9 Dis 2009

Nazri Kata Mahathir Bapa Perkauman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menepis serangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyelar mantan Perdana Menteri itu sebagai 'bapa segala perkauman'.

Berhubung isu modul perkauman Biro Tata Negara, Nazri membidas mantan Presiden Umno itu sebagai cuba menegakkan benang yang basah, dan mengkritik Tun Dr Mahathir sebagai seorang munafik.

Nazri berkata demikian ketika mengulas mengenai cabaran Mahathir supaya beliau meletakan jawatan bagi membuktikan Nazri bukan seorang yang rasis. Cabaran itu timbul selepas Nazri menyifatkan veteran Umno tersebut sebagai sangat rasis dengan mempertahankan kursus berkenaan.

“Jika saya bersifat perkauman kerana dalam Umno, beliau adalah bapa perkauman selaku Presiden Umno selama 22 tahun.

“Apa yang dia buat kini, kami menyokong dia sepenuhnya sebelum ini tanpa ragu dan sekarang dia menyerang kami lebih teruk dari pembangkang. Hari ini pembangkang tidak perlu buat kerja bagi Tun Mahathir sahaja,” katanya.

Mantan Perdana Menteri itu dan Nazri Aziz bertelagah selepas kerajaan dikritik kerana akur dengan tuntutan rakyat supaya kursus BTN yang pro-Umno dan anti-Cina dirombak dan diperbaharui dengan modul yang pro-Malaysia.

Tun Dr Mahathir yang Nazri sifatkan sebagai gurunya dalam politik ala-Umno dikecam kerana menggerakkan kempen menjatuhkan kerajaan dibawah para penggantinya. Nazri juga menolak cabaran Dr Mahathir yang beliau sifatkan sebagai satu perangkap politik.

“Dulu masa dia hendak berhenti kita kata jangan berhenti, dia yang hendak berhenti. Lepas tu nak suruh saya berhenti kenapa?

“Saya tidak akan memenuhi permintaanya untuk membuat dia gembira kerana itu yang dia mahu dari saya. Saya tidak bodoh untuk terperangkap,” katanya.

Nazri juga menyanggah dakwaan bahawa beliau telah bersikap kurang ajar terhadap mantan Perdana Menteri itu. Beliau menambah Tun Dr Mahathir perlu redha bahawa dalam negara demokratik, tidak ada orang yang bebas dari kritikan.

“Jangan kata saya ni kurang ajar, yang dulu pada tahun 60-an dia kritik Tunku Abdul Rahman beliau tidak kurang ajar? Dia ajar saya.

“Kalau dia boleh komen orang kenapa saya tidak boleh komen dia? Siapa dia? Hanya sebab dia mantan Perdana Menteri dia boleh buat apa yang beliau suka saya tidak setuju.”katanya. -TVS



Kebocoran Paip Air Punca Tragedi Bukit Antarabangsa

Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa mendedahkan tragedi yang meragut lima nyawa dan memusnahkan 14 buah rumah itu berpunca daripada kebocoran paip air.

Saluran paip yang bocor itu terletak sepanjang jajaran rumah terbengkalai di Taman Bukit Mewah yang menyaksikan kemusnahan paling teruk dalam kejadian 6 Disember tahun lalu.

Berdasarkan laporan ini, TV Selangor difahamkan berlakunya tiga siri gelinciran tanah setiap 3 hingga 5 minit.

Hasilnya mengakibatkan keruntuhan tanah seluas 4 hektar, dan meragut lima nyawa selain memusnahkan 14 buah rumah.

Laporan tersebut adalah hasil siasatan yang dijalankan jawatankuasa khas yang ditubuhkan diketuai oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun Malaysia Jabatan Kerja Raya (JKR-CKC).

Dalam laporan berkenaan, JKR mencadangkan agar sistem perparitan dalam tanah ditanam di kawasan resapan air dengan kadar kemendapan yang tinggi.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norziatulshima Tajjudin berkata, 50 naskah laporan berkenaan yang disediakan pihaknya habis dijual sebaik sahaja kaunter dibuka jam 8 pagi tadi.

Sehubungan itu, Norziatulshima menyarankan agar pihak yang ingin mendapatkan laporan tersebut membuat tempahan dengan MPAJ dan ianya akan diedarkan pada minggu hadapan.

"Next penjualan tu kita tengok mungkin dalam minggu depan. Kita tengok setakat ni baru 4 orang.

"Selalunya bergantung pada permintaan sebab kita pun tak tahukan berapa ramai yang nak. Lebih senang kalu dia buat tempahan,"katanya.

Antara pembeli laporan tersebut terdiri daripada pemaju hartanah dan individu.



Kelantan Turut Tolak BTN

Selepas Selangor dan Pulau Pinang, kini Kerajaan Kelantan pula menolak pegawai dan kakitangannya daripada menyertai program Biro Tata Negara (BTN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak bersetuju menghantar pegawai dan kakitanganya menyertai program yang dianjurkan BTN selagi modul dan kurikulumnya tidak diubah mengikut acuan Islam.

Malah, beliau mahu kurikulumnya dirombak dan menonjolkan ke arah Islam. Menurutnya, beliau bersama dua negeri di bawah Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak menghantar pegawainya mengikuti kursus BTN itu.

"Kalau dalam keadaan (kurikulum sekarang) saya setuju tak kirim. Kalau Selangor tolak, Pulau Pinang tolak, tak ada sebab saya nak kirim. Kirim wat gapo (buat apa)?," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk ''mengharamkan'' pegawainya menyertainya kerana haram itu perkataan Islam, cuma tidak bersetuju dan tidak menggalakkan menghantar pegawai menyertai program anjuran BTN.

Kerajaan Pulau Pinang 2 Disember lalu melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menterinya, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Nik Abdul Aziz berkata, sudah lama beliau memerhatikan bahawa kurikulumnya tidak diajar mengikut Islam dan bercanggah dengan dasar agama.

"Kalau boleh BTN ini mengadakan forum dengan pakar ekonomi ke atau ahli dalam bidang tertentu ke arah Islam merombakkan semula BTN mengikut acuan Islam," katanya. -Bernama

Era 1 Malaysia : Tarif Eletrik Mungkin Naik Tahun Depan

Nampaknya slogan Pencapaian Diutamakan Rakyat Didahulukan semakin menjadi satu slogan kosong era 1 Malaysia. Dasar penipuan kerajaan Barisan Nasional era Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Tarif elektrik baru mungkin diperkenalkan Januari tahun depan sekiranya ia diluluskan oleh kabinet, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Bernama dipetik.

Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad telahpun mengemukakan permohonan untuk menaikkan tarif elektrik, namun kementerian masih membuat kajian mengenainya sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk diluluskan.

"Tarif ini dikaji semula setipa enam bulan sejajar dengan harga minyak, tetapi sama ada tarif baru akan dikenakan atau tidak, bergantung kepada kabinet," katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan kementerian dan sambutan Hari Inovasi peringkat kementerian di sini hari ini.

Chin berkata kabinet akan mengambil kira semua perkara sebelum meluluskan sebarang tarif baru.

"Adalah perkara biasa untuk TNB meminta kenaikan tarif elektrik oleh kerana kenaikan kos dan sebagainya tapi kabinet akan melihat situasi keseluruhan termasuk keadaan ekonomi dan kemampuan rakyat untuk membayar," katanya.

Chin berkata antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian itu yang telah ditetapkan adalah untuk mengurangkan indeks gangguan bekalan elektrik di Sabah, yang pada masa ini jauh lebih tinggi dari di Semenanjung dan di Sarawak.

Untuk itu, kementerian akan bekerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk membolehkan perkara itu dicapai dalam tempoh setahun, dengan memastikan kapasiti tenaga yang dibekalkan mencukupi untuk kegunaan rakyat di sana.

Antara KPI lain yang ditetapkan ialah meningkatkan kawasan liputan bekalan air terawat, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga, serta mewujudkan lebih banyak sistem pembetungan serantau, katanya.

"Cina Kaum Pendatang" – MCA, GERAKAN Dicabar Keluar BN

MCA dan Gerakan dicabar keluar dari Barisan Nasional (BN) berikutan pembatalan penggantungan bekas Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang pernah mengeluar kenyataan “Cina adalah kaum pendatang.”

Ahli Parlimen DAP-Ipoh Barat, M Kulasegaran (gambar) menganggap MCA dan Gerakan sebagai parti tidak berprinsip jika kekal dalam BN walaupun tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

“Apa pendirian Gerakan dan MCA dalam hal ini? Adakah mereka berani membuat keputusan meninggalkan BN. Itu yang patut dibuat jika mereka ada prinsip.

“Saya tidak hairan dengan keputusan Umno. Mereka langsung tidak menghiraukan desakan Gerakan dan MCA dulu yang mahu menghukum Ahmad.

“Kini semuanya kabur,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, sambil mendesak Umno membuat pengumuman rasmi mengenai isu itu.

September tahun lalu, Ahmad digantung keahlian dan dilucut hak-haknya dalam Umno selama tiga tahun kerana menyentuh sensitiviti kaum, tapi dibatal Jumaat lalu.

Pembatalan itu dibuat Umno dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) manakala Ahmad sudah dimaklumkan perkembangan itu tetapi tiada pengumuman rasmi setakat ini.

Pada satu ceramah 23 Ogos 2008 dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut masyarakat Cina adalah pendatang dan tidak layak menuntut hak yang sama.

Ahli Parlimen DAP-Bukit Bendera, Liew Chin Tong pula berkata, pembatalan itu meningkat imej rasis Umno dan bertentangan dengan semangat 1Malaysia.

Beliau tertanya-tanya pendirian Pengerusi BN Pulau Pinang yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Koh Tsu Koon yang terlibat secara langsung dalam pertelagahan dengan Ahmad Ismail.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan, apa pendirian Tsu Koon? Dan, apa sebenarnya mesej yang mahu disampai melalui keputusan itu?” katanya.

Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula menyifatkan penggantungan itu ditarik balik bagi mengukuhkan konsep Ketuanan Melayu.

Menyifatkan keputusan itu mengecewakan banyak pihak, beliau mendapati Umno cuba memulihkan individu yang didapati bersalah dalam kelakuan mereka semata-mata atas dasar kepentingan politik. -FMT


Penggantungan Ahmad Ismail ditarik balik
Dis 9, 09 5:00pm

Umno Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menarik balik penggantungan Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun dari September kerana mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen.

Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata beliau menyambut baik keputusan penarikan balik penggantungan Ahmad kerana beliau (Ahmad) masih merupakan orang penting bagi Umno, lapor Bernama.

"Saya percaya Majlis Tertinggi parti telah menimbangkan perkara itu secara serius sebelum membuat keputusan itu dan Umno Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan kepulangan Ahmad," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini dilaporkan berkata Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu, memutuskan untuk menarik balik penggantungan Ahmad.

Ahmad, bekas Ketua Umno Bukit Bendera, semasa dihubungi berkata beliau bersyukur kerana perjuangan parti kembali ke landasan dan mengucapkan terima kasih kepada presiden dan timbalan presiden parti atas pertimbangan mereka.

Beliau digantung daripada parti selama tiga tahun dari September berikutan kritikan orang ramai selepas beliau menganggap bukan Melayu sebagai "pendatang" semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lepas.

Pada 10 September lalu, MT memutuskan Ahmad digantung dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun, ekoran kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Ahmad telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. -malaysiakini


Pecah Perut Bakal Jadi Kenyataan

Doa Menteri Besar Kelantan yang dijadikan isu oleh UMNO BN nampaknya bakal dimakbul oleh Allah s.w.t. apabila hari ini dengan jelas terpapar sekeping gambar, "lets cheers", Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Razak bersama-sama Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjiva.

Ianya dipercayai dirakam di dalam majlis Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Bukit Bunga yang terletak di Malaysia dan Ban Buketa di selatan Thailand yang menurut Najib membuktikan hubungan persabahatan yang erat antara dua negara sejak 50 tahun lepas.

Perdana Menteri berkata hubungan Malaysia dan Thailand sentiasa menjadi perkara utama kerana kedua-dua negara bukan hanya merupakan jiran terdekat yang berkongsi sempadan, tetapi juga mempunyai aspirasi yang sama.

"Kedua-dua kerajaan telah menunjukkan mereka boleh bekerjasama untuk kepentingan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata keputusan kedua-dua kerajaan pada 14 Okt 2004, untuk menandatangani perjanjian bagi membina jambatan itu adalah bukti kepada hubungan baik kedua-dua negara yang telah menghasilkan banyak projek usahasama untuk dilaksanakan bagi kepentingan rakyat yang tinggal di sepanjang sempadan bersama.

Najib berkata demikian ketika bersama-sama Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva merasmikan jambatan itu pada majlis menamakan semula jambatan berkenaan sebagai Jambatan Persahabatan.

Di dalam gambar berkenaan, Najib selaku seorang "pemimpin beragama Islam" tidak segan silu untuk melakukan satu majlis cheers, yang ramai meyakini Najib bersama PM Thailand memegang segelas wain setiap seorang, semata-mata untuk membuktikan hubungan persabahatan yang erat antara dua negara .

Ulasan GB

Rasanya betul kot ia wain. Kalau tak betul GB pohon maaf. Namun hati kecil GB masih menyatakan ia sejenis minuman keras, dan umat Islam diharamkan meminumnya.

Dr Mahathir eksploitasi BTN, saya sudah bertaubat - Johari

Sambil menegaskan bahawa Biro Tata Negara (BTN) tidak relevan dalam arus pembangunan semasa, bekas Pengarahya Datuk Johari Abdul berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak wajar menggunakan wang rakyat atas nama biro itu untuk menghentam Pakatan Rakyat.

Kata Johari, sebenarnya tidak ada apa yang silap dengan agensi itu tetapi menegaskan, sukatan BTN perlu dikaji semula kerana ia tidak disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Bekas ahli Umno itu menambah parti itu mempunyai segala hak untuk menghadapi musuh-musuh politiknya dalam apa jua cara sekalipun.

“Tetapi jangan gunakan wang cukai rakyat untuk tujuan itu. Biar anda biaya sendiri,” katanya.

“Kalau Umno ada jabatan latihan, gunakan wang sendiri, OK tiada masalah. Tetapi jangan menggunakan wang rakyat... hendak kritik pembangkang OK, selagi ia tertakluk dalam undang-undang negara.

“Tetapi yang salah ialah apabila BTN diperuntukkan RM64 juta bagi tahun 2010 (peruntukannya digunakan untuk anjur program kritik pembangkang),” kata beliau pada Forum Adakah Biro Tata Negara Relevan Untuk Perpaduan Negara di sini malam tadi.

Kerajaan telah memperuntukkan RM64 juta di bawah Bajet 2010 untuk BTN. Pembangkang menggesa BTN ditutup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan sukatan BTN akan dikaji semula ekoran kritikan pelbagai pihak.

Malah Nazri juga mengkritik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis apabila mempertahankan BTN.

Malah beberapa pemimpin Umno mempertahankan operasi BTN.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga mengakui bahawa beliau pernah menjadi mangsa kecaman dalam kursus BTN selepas keluar Umno akhir 1980-an.

Johari yang kini merupakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani berkata, beliau menyedari tentang penggunaan BTN untuk tujuan politik semasa kepimpinan Dr Mahathir.

“BN menggunakan BTN dengan sepenuhnya untuk melakukan serangan peribadi. Ia menjadi ketara selepas 1998 (apabila Anwar dipecat) digunakan untuk memfitnah Lim Kit Siang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim seolah-olah mereka tidak patut berada di Malaysia,” katanya.

Johari yang mengetuai BTN selama empat tahun sebelum meninggalkannya pada 1990 berkata, beliau akhirnya “bertaubat” dengan apa yang berlaku.

“Saya tahu, tetapi saya sudah bertaubat sekarang,” katanya.

Kata Johari, pada awalnya beliau sedar akan kekurangan-kekurangan yang wujud tetapi tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan “pengaruh” Dr Mahathir ketika itu.

Johari memberitahu ketika ditubuhkan pada 1970-an BTN hanya merupakan satu unit di Kementerian Belia dan Sukan, yang dibentuk untuk mengawal gerakan Islam yang menentang kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi khususnya Universiti Malaya.

Ketika itu ia diterajui oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku pegawai kerajaan.

“Dan apabila Abdullah menjadi ahli politik sepenuh masa, badan itu secara rasmi menjadi BTN dan tujuannya adalah untuk meningkatkan keyakinan di kalangan pelajar Melayu dengan memasukkan idea-idea ketuanan Melayu,” kata Johari.

Bagaimanapun apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri, BTN digunakan sepenuhnya untuk tujuan politik Umno-BN.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003.

“Salah satu kursus yang diberikan kepada peserta Melayu ialah mempertahankan kerajaan Umno-BN dalam apa jua cara sekali. Jika kerajaan Umno-BN jatuh, orang Melayu disemai fikiran bahawa mereka akan menjadi hamba di negara sendiri,” katanya.

“Dan keadaan menjadi semakin buruk apabila Anwar dipecat oleh Dr Mahathir dan BTN digunakan dengan sepenuhnya untuk mengecam pemimpin-pemimpin pembangkang,” kata beliau lagi. -MI

PAS Tak Layan Cabaran Kartun Nazri

Cabaran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya Kerajaan PAS Kelantan membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah tidak perlu dilayan.

Nazri berkata, membawa isu tuntutan itu ke mahkamah merupakan langkah paling tepat berbanding usaha retorik iaitu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa yang bukan-bukan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat.

Namun banyak pihak menyelar kenyataan Nazri tersebut dan menganggapnya sebagai satu cara UMNO BN untuk memperbodohkan PAS.

"Semua orang tahu, sekalipun kebenaran nanti berpihak kepada kerajaan Kelantan, Kerajaan Pusat akan berusaha untuk menterbalikkan keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan kerana sistem kehakiman negara masih penuh dengan hakim-hakim yang korup," tegas seorang pemimpin PAS Kawasan.

"Contoh yang paling jelas ialah kes MB Perak di mana Mahkamah Tinggi telah jelas menyatakan datuk Seri Mohd Nizar Jamalauddin adalah MB Perak yang sah tetapi hakim-hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang dikawal oleh peguam negara telah menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk memenangkan UMNO BN," tambahnya.

"Ini diikuti dengan kes Kota Seputih, Mahkamah Rayuan telah menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi apabila SPR dan UMNO merayu supaya menangguhkan keputusan yang diputuskan olh Mahkamah Tinggi yang menetapkan kerusi berkenaan telah kosong sepertimana yang telah diumumkan oleh Speaker Kedah," ujarnya lagi.

Justeru itu, masyarakat melihat institusi kehakiman yang sedia ada kini sebagai institusi yang penuh dengan korupsi dan dimanipulasikan oleh UMNO BN supaya sentiasa berpihak kepada mereka.

Peguam Negara dilihat memainkan peranan utamanya yang menentukan hakim-hakim yang mendengar kes-kes. Dan di dalam satu pendedahan terbuka terdapatnya hakim yang khianat yang membaca keputusan yang telah disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang diadilinya di dalam kes pita video Lingam meletakkan maruah para hakim di negara berada di dalam tong najis.

Ahli-ahli PR dan rakyat Kelantan tetap berdiri teguh di belakang Menteri Besar Kelantan di dalam isu doa sekalipun UMNO BN dan para pemimpinnya tidak menyukainya.

Mahathir Akui UMNO Parti Perkauman

Mantan Perdana Menteri mengakui UMNO adalah sebuah parti perkauman.

Pengakuan itu dibuat tatkala beliau menyerang-balas kenyataan Menteri di jabatan Perdana Menreri, Mohd Nazri Abd Aziz.

“Nazri menuduh saya sebagai rasis, betul kerana saya mempertahankan kursus BTN (Biro Tata Negara) daripada dirombak dan menuduh saya hanya bercakap pasal orang Melayu sahaja tanpa mengambil kira kaum lain.

“Beliau berada dalam parti yang bersifat perkauman tetapi dalam masa sama mengatakan bahawa beliau anti perkauman dan menuduh kursus Biro Tata Negara (BTN) bersifat perkauman,” kata Mahathir.

Pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2009 bertajuk “Peluang dan Cabaran Daripada Perspektif Media dan Perniagaan” semalam, Dr Mahathir berkata, Nazri perlu meninggalkan UMNO bagi membuktikan beliau bukan seorang yang bersifat perkauman.

“UMNO adalah parti yang bersifat perkauman pada asasnya kerana hanya mengambil ahli daripada kaum Melayu.

Saya cadangkan agar beliau keluar UMNO untuk membuktikan yang beliau antiperkauman. Beliau harus sedar kedudukannya dalam parti dan peka dengan kenyataannya yang menyentuh isu perkauman khususnya orang Melayu,” katanya.

Bekas Perdana Menteri berkata, BTN berfungsi dengan baik cuma segelintir yang tidak memahami nilai positif yang boleh dijayakan dalam kursus itu terutama untuk membangunkan negara.

“Setakat pengetahuan saya, tiada kepincangan dalam BTN, malah sebahagian besar modul adalah sesi penerangan mengenai sejarah negara kita. Isu BTN diperbesar-besarkan pembangkang dan menjadikan isu ini sebagai mainan politik semata-mata,” katanya.

Serang-menyerang diantara kedua-dua pemimpin UMNO itu juga telah diberikan sampukan oleh Timmbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata adalah agak terlampau untuk melabelkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis.

Beliau berkata Dr Mahathir sudah banyak berjasa kepada negara dan masih mampu menyumbangkan idea.

"Jadi hendak menyebut beliau sebagai rasis itu agak terlampau. Dia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) kawan saya juga tetapi tidak tahu kenapa perkara itu terkeluar. Dalam situasi politik negara hari ini macam-macam pihak boleh menyalahtafsir," katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.