22 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Idris Perlu Berkepala Dingin - Ust Zolkharnain

Membaca sanggahan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap Dr Abdul Aziz Bari agak mengejutkan. Bagi saya sanggahan itu kurang objektif dan kurang manis keluar daripada pimpinan kanan PAS Pusat. Idris benar ketika dia membela Presiden dan pimpinan PAS yang lain, tetapi dia tidak patut ‘menyerang balas’ Abdul Aziz, samada atas sifat Abdul Aziz sebagai ahli akademik, apatah lagi atas sifat Abdul Aziz sebagai orang yang turut ‘menyumbang’ dengan caranya yang tersendiri kepada PAS.

Selaku pimpinan kanan PAS Idris, harus berkepala dingin biar pun hati panas. Ini bukan sekadar terhadap golongan akademik seperti Abdul Aziz bahkan terhadap anggota parti paling bawah sekali pun. Watak ini adalah watak para nabi.

Baca kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-hud. Rujuk surah an-Naml ayat 20. Burung Hud-hud adalah burung kecil sahaja jika dibandingkan dengan besarnya kekuatan dan bilangan tentera Sulaiman yang terdiri daripada manusia, jin dan binatang. Ketiadaan burung Hud-hud jika tidak diambil kira oleh Sulaiman pun tidak menjejaskan apa-apa.

Tetapi, bagaimana sikap Sulaiman? Dia mencari burung Hud-hud, bahkan Sulaiman bersedia menghukum burung itu sekiranya ketiadaannya dalam barisan tentera tanpa alasan menasabah. Akhirnya burung Hud-hud tampil dengan berita besar. Berita tentang kekufuran seorang maharani di negeri Saba’.

Tindakan Sulaiman mencari burung Hud-hud dan bersedia menghukumnya menggambarkan keprihatinan Sulaiman terhadap setiap individu tenteranya. Selepas Sulaiman mendengar penjelasan burung hud-hud, dia tidak ‘menyerang balas’ burung Hud-hud tetapi segera direncanakan tindakan wajar terhadap maklumat itu.

Ini sebenarnya seni kepimpinan seorang pemimpin bila berhadapan dengan kerenah orang yang dipimpin. Saya agak hairan bila Idris seperti tidak menguasai seni ini sedangkan dia adalah bekas TPJ Perak dan Timbalan Ketua DPP Pusat.

Mengapa Idris tidak meletakkan dirinya di tempat Sulaiman dengan menganggap penting semua maklumat yang disampaikan dan seterusnya merencanakan tindakan wajar terhadap maklumat itu? Perlukah Abdul Aziz ‘diserang’ kembali?

Pemimpin tidak tahu semua perkara. Tidak semestinya orang yang berada di atas nampak semua benda. Dia mungkin nampak gajah yang berjalan tetapi dia tidak nampak semut yang merayap. Sulaiman adalah seorang nabi, menerima wahyu, tenteranya tidak terbilang, tetapi baginda ‘terlepas pandang’ terhadap isu di negeri Saba’.

Bila burung Hud-hud tampil dengan maklumat sebegitu besar, Sulaiman sangat berlapang dada menerimanya. Walau pun, secara zahirnya maklumat itu mencabar wibawa Sulaiman, yakni, bagaimana seorang nabi ‘tidak tahu atau tidak peka’ terhadap kekufuran seorang maharani?

Pemain bolasepak tidak tahu semua perkara. Kadang-kadang penonton lebih tahu apa yang patut dibuat oleh pemain berbanding pemain sendiri. Apa salahnya pemain menerima idea dan kritikan penonton itu? Jangan bimbang, penonton yang mengkritik pemain itu tidak akan menggantikan tempat pemain.

Ahli akademik memang sebahagian kerjanya adalah di bilik berhawa dingin. Walau pun mereka tidak turun ke medan tetapi mereka mendapat akses terhadap maklumat daripada sumber yang banyak dan berwibawa. Ibarat seorang jurutera, dia tidak perlu setiap jam berada di tapak pembinaan. Dia hanya mendapat maklumat sahaja daripada mandur yang dilantik. Dengan maklumat itu dia boleh membuat tanggapan, analisa dan keputusan.

Saya sangat berharap, pemimpin terutamanya pemimpin kanan PAS lebih berlapang dada apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Apa salahnya, walau pun Idris tidak berupaya berterima kasih dengan dengan pandangan Abdul Aziz itu, dia mengeluarkan kenyataan menyambut baik pandangan itu.

Bukankah itu lebih manis? - Zolkharnain Abidin

Era Najib Altantuya : TGNA Cadangkan PAS Adakan EGM Untuk Selesaikan Masalah Pemimpin Bermasalah

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri.

Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata.

Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.

i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)

Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan.

Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”
Pandangan Saya

Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah. Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah.

Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.

Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?


Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana.

Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas; ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Era Najib Altantuya : Pulau Pinang Juga Dipuji Jabatan Audit Negara

Selain Selangor, Pulau Pinang turut mendapat pujian dari Ketua Audit Negara dengan laporan kewangan negeri yang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan berbanding laporan tahun 2007 sebagaimana yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara dalam pembentangan di Parlimen, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berbangga dengan pujian berkenaan.

Guan Eng berkata, hasil usaha Kerajaan Negeri dalam menjimatkan kewangan dan menguruskan kewangan negeri dengan bersih menunjukkan bahawa prinsip Cekap, Akaunbiliti dan Telus (CAT) yang dipegang oleh kerajaan menampakkan kejayaan dan perlu dicontohi selepas mendapat pujian daripada Badan Transparensi Antarabangsa Malaysia dan Ketua Audit Negara.

Menurutnya, sewaktu pembentangan laporan, Ketua Audit Negara menyatakan terdapat peningkatan pada Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan Pada Tahun 2008 berbanding 2007.

“Pencapaian cemerlang ini adalah disebabkan peningkatan aliran wang di dalam Akaun Hasil Disatukan, Kumpulan Wang Amanah Kerajaan, Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan wang Amanah Awam.

“Bagaimanapun, deposit mengalami pengurangan sejumlah RM4.25 juta atau 2.1 peratus berbanding tahun 2007,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran majalah ‘Penang Economic Monthly’ di sebuah hotel di sini, semalam.

:Guan Eng berkata, terdapat dua perkara yang membolehkan peningkatan kepada jumlah pendapatan negeri iaitu amalan bersih, cekap dan amanah serta usaha penjimatan wang di bawah kepimpinannya sehingga mendapat kepujian bukan sahaja daripada Badan Transparensi Antarabangsa Malaysia malahan laporan Ketua Audit Negara.

Beliau turut menyelar kekangan yang berlebihan yang diharungi media cetak sebagaimana diamalkan oleh Kerajaan Pusat lebih separuh abad hingga menyebabkan rakyat lebih cenderung untuk mendengar pendapat yang tidak berasaskan fakta.

“Hasil maklumat orang awam, saya difahamkan fakta sering kali dilindungi daripada pengetahuan rakyat.

“Lebih teruk lagi, sudah banyak kali fakta tidak sampai ke pengetahuan Kerajaan Negeri,” katanya.

Era Najib Altantuya : Aziz, Kawan Yang Sebenar - Hanipa

Saya boleh memahami betapa marahnya Ustaz Idris Ahmad terhadap tulisan Dr Aziz Bari di dalam Sinar Harian bertarikh 19/10/2009 ('Pengajaran dari Bagan Pinang').

Saya percaya Ustaz Idris tidak bermaksud memperkecilkan kehebatan Prof Aziz Bari yang kita tahu seorang Profesor yang bukan sahaja mendalam ilmunya tetapi amat berani dan lantang menyatakan kebenaran.

Kekerasan sahabat saya Ustaz Idris Ahamd menyanggah tulisan Dr Aziz Bari bagi saya mungkin terbit dari keletihan beliau berkempen secara intensif di Bagan Pinang.

Sudahlah penat berkempen dan berhadapan pula dengan samseng-samseng Umno dan seterusnya mengalami kekalahan yang besar tiba-tiba Dr Aziz Bari pula mengkritik PAS.

Tidak dinafikan saya rasa bukan sahaja Ustaz Idris malahan mungkin ramai juga pemimpin PAS yang lain yang turut berkongsi sentimen seperti Ustaz Idris.

Saya juga pemimpin PAS Pusat. Namun saya tidak sama sekali marah jauh sekali melenting dengan teguran dan kritikan Prof Aziz Bari. Malahan sebagai pemimpin PAS saya benar-benar berterima kasih dengan teguran dan kritikan beliau.

Saya yakin tulisan beliau tidak mempunyai unsur mala fide (niat jahat). Tulisan tersebut, bagi saya, lahir dari hati suci beliau untuk melihat supaya PAS membuat koreksi diri agar tidak kecundang dalam pilihan raya yang akan datang.

Tulisan itu saya yakin lahir dari satu pengamatan beliau yang amat panjang tentang beberapa insiden yang berlaku dalam PAS yang diketahui umum.

Pemimpin gerakan Islam Al-Nahdah, Tunisia yang kini hidup dalam buangan di London, Rashid Ghanouchi pernah menyatakan di dalam satu tulisannya bahawa kesilapan paling besar gerakan Islam ialah adalah ketidaksediaan atau keberatan untuk bermuhasabah dan dimuhasabah.

Orang bijaksana berkata kawan yang sebenar adalah kawan yang sudi menegur kita jika dia melihat kita melakukan kesilapan. Kawan yang buruk pula adalah kawan yang hanya mendiamkan diri malahan menyokong pula meskipun dia tahu kita melakukan kesilapan.


Saya tidak kata tulisan Dr Aziz Bari adalah sempurna dan saya juga yakin beliau juga tidak berpendapat teguran dan kritikan beliau adalah sempurna. Tidak dinafikan kenyataan beliau bahawa "Hasan (Hasan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokonng mereka" agak menyenakkan sesetengah pemimpin PAS.

Namun jika kita melihat dari perspektif lain, salahkah jika Dr Aziz Bari sebagai pihak di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu.

Politik, orang kata adalah berkaitan persepsi. Saya percaya bukan sahaja Dr Aziz Bari malahan ramai lagi rakyat Malaysia yang lain yang juga mempunyai persepsi seperti Dr Aziz Bari iaitu persepsi bahawa sesetengah pemimpin PAS adalah pro Umno.

Kerana kesan bahaya persepsi sebegitulah yang menyebabkan Muktamar PAS berhempas pulas membuat ketetapan dan penegasan bahawa PAS tidak akan ada hubungan dengan Umno dan akan terus bersama Pakatan Rakyat. Kalau kita tidak mahu dilihat dan dikritik pro Umno janganlah buat perkara-perkara yang menyebabkan orang ramai membuat tanggapan bahawa kita adalah pro Umno.

Adakah persepsi lahir begitu sahaja? Salah ke jika orang-orang di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu setelah mereka melihat apa yang berlaku di dalam PAS � melalui tindak tanduk, kenyataan dan gelagat sesetengah pemimpin PAS.

Bagi saya sudah sampai masanya pemimpin PAS, mengambil istilah kata Khairy Jamaluddin, keluar dari 'siege mentality' (mentaliti terkongkong). Sila lihat di luar sana, orang ramai sedang memerhatikan kita !!!

Salahkah kita menjadi pendengar yang baik (good listener) demi kebaikan parti yang kita sayangi ini.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Aziz Bari. Prof, percayalah bagi saya kamu adalah sahabat yang sejati. -Hanipa Maidin

Era Najib Altantuya : Ketua Audit Negara Puji Urustadbir Selangor

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan sukacita beliau akan pujian yang diterima kerajaan negeri dalam Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen semalam.

Laporan Ketua Audit Negara meletakkan tahap pengurusan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat adalah pada tahap yang amat memuaskan.

Mengulas laporan ini, Khalid berkata Pakatan Rakyat meletakkan prinsip ketelusan, integriti dan ketanggungjawaban sebagai pemandu urustadbir kerajaan.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri akan terus menambahbaik pengurusan di negeri ini.

"Kita merasakan laporan yang dibuat oleh Audit Negara telah memberikan kita keputusan yang sangat memuaskan ,walaupun empat star maknanya telah dapat menunjukkan bahawa pengurusan kewangan negeri dapat di uruskan dengan baik dan teratur walaubagaimanapun terdapat beberapa perkara biasa dalam pengurusan kewangan yang boleh ditegur oleh pihak audit negara ini telah kita ada jawapan dan usaha penyelesaian,"katanya.

Tambahnya ketika ini, kerajaan negeri juga telah menyiapkan memorandum mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 13 hingga 17 November ini.

Sementara itu, Abdul Khalid Ibrahim turut menyentuh kelemahan perlaksanaan Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri (Speks) seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Katanya, proses penggunaan Speks itu juga didapati masih lagi belum mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan selain peralihan sistem perakaunan secara manual kepada berkomputer ketika ini masih belum berkuatkuasa secara total.

"Sistem-sistem komputer itu menunjukkan kelemahan audit negara juga sebab dia tidak clear the system, sistem tu dia proses untuk mengggunakan sistem itu mendapat kelulusan penggunaan daripada pihak audit dan kementerian kewangan tapi proses itu masih lagi dalam perlaksanaan",katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan pengurusan Speks Selangor menghadapi risiko keselamatan sistem operasi, aplikasi serta integriti data yang akan memberi kesan kepada ketepatan Penyata Kewangan Berkomputer yang dijana sistem Speks.


ERa Najib Altantuya : 80 Peratus Teoh Dibunuh - Pakar Patologi Thailand

Mahkamah Inkues diberitahu ada 80 peratus kemungkinan Teoh Beng Hock dibunuh.

Pakar patologi, Dr Pornthip Rojanasunan mengumumkan kepada Koroner Azmil Muntapha Abbas bahawa penemuan ini dibuat berdasarkan kepada laporan bedah siasat dan gambar yang dikumpulkan dari tempat kejadian.

"Dari gambar post-mortem, saya dapati ada kesan lebam di bahagian kanan leher, yang kami (pakar patologi) panggil 'handle bruise', dan kecederaan ini selaras dengan kecederaan disebabkan cekekan," kata Dr Porntip .

Dr Pornthip adalah pengarah di Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Keadilan Thailand.

Beliau adalah pakar dalam menyiasat kes-kes pembunuhan yang rumit, dan terbabit dalam operasi membedah siasat ribuan mangsa Tsunami 2006.

Beliau dilantik kerajaan negeri Selangor untuk membongkar misteri kematian mendiang.

Mengulas dengan lebih lanjut, Gobind berkata penemuan ini mengesahkan spekulasi yang berkisar sekitar misteri kematian mangsa.

"Saya juga dapati kecederaan tusukan di bahagian dubur yang boleh disebabkan perbuatan memasukkan objek dalam bahagian berkenaan. Saya tidak pernah melihat kecederaan seumpama itu dalam kes jatuh dari tempat tinggi," kata beliau, sambil menunjuk kepada gambar-gambar bedah siasat yang dipaparkan pada slaid.

"Satu lagi kecederaan yang saya temui ialah keretakan tempurung kepala, yang mungkin disebabkan oleh hentakan tumpul yang tepat kepada tempurung kepala sebelum jatuh," kata Dr Porntip, saksi ke-30 di inkues itu.

Pakar itu percaya ada kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri sebelum ditemui di tingkat 14 Plaza Masalam.

“Beliau telah membuat rumusan bahawa Teoh Beng Hock jatuh berkemungkinan besar dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ini membuatkan satu lagi tanda tanya dan sudah jelas dalam keadaan begitu mana mungkin beliau membunuh diri. Keterangan beliau juga cukup membawa satu kesan yang penting kepada pihak kami.Tujuan kami bawa saksi ini bertujuan membantu mahkamah dan kami harap mahkamah dapat memberi pertimbangan daripada keterangan beliau,”kata Gobind.

Teoh Beng Hock merupakan setiausaha politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam berhubung dakwaan salahguna wang negeri pada 15 Julai lalu. -TVS


Ulasan GB

Jika benar laporan berkenaan, memang sudah parah apabila 1Malaysia ditipu bulut-bulat oleh mereka yang dikatakan ahli patologi dari Malaysia, yang hanya berkonspirasi dengan pihak PDRM dan SPRM untuk memberikan kesaksian palsu dan menyembunyikan kebenaran.