13 Jul 2013

Che Long Turut Disokong Keluarga Calon BN


Calon PAS, Azlan Yusof menziarahi penduduk Pantai Teluk Bayu

Biar pun ayah calon BN, Che Ku Abdul Rahman mendakwa mempunyai keluarga besar di sini, sebaliknya sebahagian daripada mereka diberitahu bersedia untuk menyokong calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long.

Adun Chukai, Hanafiah Mat mendakwa berdasar kepada pertemuan dengan anggota keluarga calon BN, sebahagian mereka memberi komitmen bagi menyokong calon PAS

“Saya sudah berjumpa sebahagian daripada mereka, dan ramai menyatakan kesediaan untuk menyokong Che Long kerana lebih dekat dengan masyarakat di Kuala Besut,” katanya pada ceramah di Seberang Barat malam tadi.

Baru-baru ini Che Ku, bekas anggota jawatankuasa Umno Besut mendakwa mempunyai seramai 3,000 anggota keluarga yang memberi kelebihan kepada anaknya.

Seberang Barat sebuah perkampungan nelayan, di mana ramai mendapat bantuan bulanan daripada kerajaan.

Insentif RM200 sebulan membuatkan sebahagian besar nelayan di situ terperangkap dalam jerat Umno. Maka tidak hairanlah ia menjadi kubu kuat Umno di Kuala Besut.

Kira-kira 70,000 nelayan di seluruh negara sejak September 2008 menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan.

Nelayan diberi kad nelayan bagi melayakkan untuk menikmati elaun terbabit dengan syarat perlu berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Selain itu nelayan juga diberi bantuan bot dan enjin serta pelbagai kemudahan lain. Bantuan tersebut menyebabkan nelayan terpaksa tunduk kepada tekanan Umno.

Tekanan berterusan itu juga menyebabkan tidak ramai penduduk tempatan tampil di hadapan pentas, tempat ceramah diadakan malam tadi.

Sebaliknya mereka dilihat berada dalam gelap di kawasan sekitar. Strategi itu bagi mengelakkan bantuan dinikmati mereka sekarang terjejas.

Ceramah diadakan di Pasti di kampung tersebut. Sepanjang laluan ke tempat ceramah terdapat banyak bendera dacing.

Ada juga petugas BN sibuk memasang bendera dacing di kiri kanan jalan.

Hanafiah berkata, nelayan di Kuala Besut perlu lebih berani bagi mengelakkan mereka terus dipersendakan pemimpin Umno melalui pelbagai bantuan kebendaan.

“Kalau pemimpin Umno beri apa sahaja ambil, tetapi undi belum tentu bagi kepada BN. Nelayan perlu ada keberanian untuk berubah.

“Tengok projek perumahan untuk nelayan di sini sehingga sekarang tidak boleh diduduki lagi. Rumah flat itu sebanyak 300 unit, namun borang yang dikeluarkan sebelum ini difahamkan sebanyak 5,000 keping,” katanya.

Difahamkan menjelang pilihan raya umum lalu borang memohon menduduki projek perumahan nelayan diedar kepada golongan muda, sebagai senjata menarik undi kepada BN.

Oleh itu Adun Chukai mengajak nelayan di Kuala Besut membuat perubahan dengan memberi sokongan kepada Che Long untuk membolehkan tekanan politik melampau terhadap mereka dibebaskan.

Kata beliau di tangan pengundi Kuala Besut bakal menentukan nasib kerajaan Terengganu pada 24 Julai ini.

Hadir sama pada program berkenaan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Che Long dan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS dari Perak, Suria.

Ambil tanah rakyat

Sementara itu difahamkan kerajaan BN Terengganu akan melakukan pecah tanah bagi membina apartment mampu milik setinggi 4 tingkat di atas tanah milik penduduk di Kampung Beris Lampu, Tok Saboh.

Tanah tersebut sebelum ini diluluskan kerajaan negeri ketika ditadbir PAS kepada penduduk, namun 'dirampas' semula kerajaan BN bagi melaksanakan projek komersial. -HD

Zahid Dicabar Buktikan 90% Jenayah Dilakukan Bekas Tahanan EO


Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan kenyataan bahawa 90 peratus jenayah di Malaysia dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO).

Beliau berkata, Ahmad Zahid tidak perlu menunggu sehingga September untuk membentangkan statistik dan kajian penuh yang didakwa jika beliau sudah membuat kajian dan memperoleh data.

“Kami hairan, kenapa beliau tidak dedahkan sekarang ketika sesi Parlimen sedang berjalan. Tidak ada masalah, beliau boleh sahaja memanggil sidang media bila-bila pun dan tidak perlu tunggu dua bulan untuk membuktikan ‘betapa wajarnya Ordinan Darurat itu diteruskan,” kata Pua dalam kenyataan.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa akan membentangkan statistik penuh daripada kajian terhadap jenayah yang berlaku pada sesi Parlimen akan datang untuk mewajarkan EO serta membolehkan polis meletakkan suspek ditahan tanpa bicara selama dua tahun.

Bagaimanapun, Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu sangat bertentangan dengan apa yang didakwanya sendiri.

“Kalau ‘kajian’ itu wujud, sudah tentu 90 peratus penjenayah itu sudah boleh dikenal pasti, disiasat, ditahan dan didakwa.

“Tapi, kalau mereka ditahan dan disiasat, dan masih kurangnya laporan, jadi bagaimana mereka tahu jenayah masih berleluasa dan pihak polis masih memerlukan EO. Adakah menteri cuba memberitahu kita bahawa mereka mengenalpasti semua suspek bagi jenayah yang berlaku tetapi tidak mampu menahan dan mendakwa mereka,” tambah Pua.

Pada masa yang sama, Pua cuba membayangkan jika dakwaan Zahid yang menuduh kebanyakan penjenayah adalah bekas tahanan EO adalah benar, ia juga tetap bukan bermakna undang-undang zalim itu diperlukan.

“Ia akan hanya menunjukkan pihak polis tidak cekap!” ujarnya.-Roketkini


Terima hakikat polis lemah, NGO kecam KDN guna EO sebagai alasan


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam sikap Putrajaya yang masih menyembunyikan hakikat sebenar kadar jenayah yang semakin meningkat serta menggunakan Akta Ordinan Darurat (EO) sebagai alasan, kata NGO pemantau jenayah, MyWatch dan hak asasi manusia, Suaram serta menggesa pasukan polis menerima hakikat kelemahan mereka sendiri.

Pertikaian itu kembali diperkatakan selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebanyakan penjenayah yang ditangkap kerana melakukan kesalahan di negara ini adalah bekas tahanan di bawah EO.

"Kerajaan hendak menubuhkan semula akta seperti EO bagi membolehkan mereka melakukan tindakan tahanan tanpa bicara, dan sesuka hati boleh tahan orang yang mereka anggap sebagai ancaman," kata pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan kepada The Malaysian Insider bagi membidas rancangan Ahmad Zahid yang mahu memperkenalkan akta sama seperti EO bagi membanteras jenayah.

Pengerusi MyWatch itu berkata kenyataan Ahmad Zahid membuktikan polis mengakui kelemahan mereka sendiri kerana polis tidak dapat menjalankan siasatan dan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat Malaysia.

"Tindakan ini sama seperti polis tidak percayakan anggota mereka.

"Ini umpama polis tidak percaya daya saing anggota mereka, dan tahap penyiasatan mereka masih lemah," katanya.

Menteri Dalam Negeri itu menerima kritikan hebat daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kerana cuba mengaitkan EO sebagai alasan peningkatan kadar jenayah walaupun statistik polis menunjukkan kadar jenayah selepas EO dimansuhkan iaitu pada 2012, menurun.

EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik.

Awal minggu ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua berkata indeks jenayah yang dikeluarkan polis pada 2012 menyaksikan penurunan terendah dalam satu dekad dengan 145,891 atau 7.6 peratus berbanding 2011.

Malahan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam membabitkan isu kadar jenayah apabila Ahmad Zahid menyatakan jenayah meningkat tetapi kerajaan sebaliknya pula mengeluarkan statistik menunjukkan jenayah menurun.

"Di mana statistik jenayah yang baru? Saya beri soalan ini kepada Ahmad Zahid semasa penggulungan titah Diraja di Parlimen semalam, tetapi dia tidak beri jawapan yang memuaskan," kata Lim, baru-baru ini.

Suaram turut menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis tidak menyembunyikan perkara sebenar kerana kepentingan dan keselamatan rakyat lebih mustahak.

"Polis dan KDN harus telus dalam isu kenaikan kadar jenayah di Malaysia. Jika kadar jenayah meningkat kerana kegagalan polis untuk menyelesaikannya maka perkara itu harus diakui dan polis harus memperbaikinya.

"Tiada gunanya kadar jenayah yang sebenar disorok hanya kerana mahu jaga imej PDRM dan KDN. Ini membabitkan keselamatan rakyat," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai.

Bagaimanapun, Nalini menegaskan pendirian Suaram bahawa tidak wajar menggunakan EO sebagai alasan dan menyifatkan rancangan untuk mewujudkan undang-undang yang sama melanggar hak asasi manusia.

"Kenaikan kadar jenayah tidak boleh diperbaiki dengan mengembalikan undang-undang darurat seperti EO yang mencabul hak asasi manusia dengan membenarkan penahanan tanpa bicara," kata Nalini.

Suaram berkata, undang-undang itu hanya akan menyebabkan polis lebih malas daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

"Undang-undang ini terbuka kepada penyalahgunaan kuasa dan boleh mewujudkan 'kemalasan' di kalangan polis untuk menjalankan siasatan terperinci," katanya.

Ahmad Zahid baru-baru ini menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa daripada mereka kembali melakukan jenayah.

Namun, kenyataan Ahmad Zahid itu disanggah kerana hakikatnya ketika EO masih wujud, jenayah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada 2008.
-TMI

MCA Lapor Polis 2 Blogger Seks Hina Islam


Siasat pasangan blogger melampau

SEREMBAN - MCA negeri membuat laporan polis, semalam berikutan tindakan pasangan blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah mencetuskan kontroversi menerusi foto dipaparkan dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Yeow Chai Thiam berkata, pihaknya amat kecewa dengan kelakuan pasa-ngan tersebut dan menyifatkan perbuatan mereka sebagai tidak rasional.

“Bagi kita, ini bukanlah satu perkara lucu yang boleh dibuat main-main. Mereka tidak sepatutnya menghina umat Islam yang sedang menjalani ibadah berpuasa.

“Perbuatan mereka telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, termasuk di kalangan kaum Cina sendiri. Sekiranya dibiarkan, kita khuatir akan menjejaskan perpaduan antara kaum dan menimbulkan masalah lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini, semalam.

Kata Chai Thiam, beliau berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasangan terbabit supaya menjadi contoh, sekaligus amaran kepada orang lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Terdahulu, pasangan blogger berkenaan yang turut mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila memaparkan aksi seks mereka dalam laman blog, telah mengepos satu foto memaparkan mereka sedang menikmati juadah tidak halal sambil mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam.

Turut tertera, logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada sudut bawah kiri gambar berkenaan.

Ulasan GB

GB dan sekalian rakyat sedang tertunggu-tunggu tindakan polis ke atas blogger-blogger seks UMNO kerana membikin, menyiarkan dan menyebarkan video lucah.... hingga kini masih sunyi sepi...

Akta Hasutan: Maruah Zahid Hamidi Tercampak Ke Longkang!


Kabinet kekal keputusan mansuh Akta Hasutan, kata Subra

Kabinet hari ini mengekalkan keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata Akta Keharmonian Nasional yang menggantikan Akta Hasutan kini dalam proses penggubalan.

“Akta Keharmonian Nasional ini akan memastikan kestabilan politik dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Sebaik perlindungan ada di tempatnya, kita akan menarik balik Akta Hasutan," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Pada Julai tahun lepas, Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.

Namun, akhir-akhir ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.


Ahmad Zahid menegaskan Akta Hasutan harus dikekalkan bagi memelihara empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu akan dipersoal sesetengah pihak.

Dalam isu lain, Dr Subramaniam menegaskan sebagai seorang menteri kesihatan beliau tiada kuasa untuk mengiktiraf program ijazah perubatan daripada Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine.

“Saranan seorang pemimpin PKR agar saya menggunakan kuasa sebagai menteri agar CSMU diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah tidak betul. Saya tidak akan guna kuasa itu. Takkan ada penghujungnya. Jika saya lakukan untuk satu kolej, banyak lagi kolej akan memohon perkara yang sama.

“Sehubungan itu, MMC akan membuat pemeriksaan dan penilaian secara profesional dan kementerian akan membuat keputusan,” katanya sambil menegaskan bahawa penilaian MMC adalah untuk memastikan graduan perubatan yang dilahirkan berkualiti. - Bernama

Ulasan GB

Demikian jawapan kepada seorang menteri yang dikenali rakyat sebagai seorang "samseng", pukul orang dan bermulut celupar.

Beliau sebenarnya lansung tidak layak untuk dijadikan menteri, dan hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan terus.... dia, insyaAllah akan menerima balasan akibat dari segala perbuatannya sendiri.

Che Long Dihina Kerana Tidak Berkelulusan Tinggi... Ini Jawapannya...


Pendidikan calon bukan isu besar - Husam

BESUT: PAS berpendapat calon yang dipilih pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut adalah calon yang tepat serta menepati kehendak penduduk setempat.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Datuk Husam Musa menjelaskan perkara tersebut selepas proses penamaan calon pagi tadi.

Menurutnya lagi, calon yang ditampilkan oleh PAS merupakan calon yang disukai oleh penduduk setempat dan beliau yakin rakyat akan terus memberi sokongan pada hari pengundian nanti.

"Calon yang kita tampil ini adalah atas permintaan penduduk di sini, jadi atas alasan tersebut saya yakin calon dari PAS mempunyai kekuatan untuk menghadapi calon Barisan Nasional (BN) pada PRK kali ini.

"Kita tidak tampil calon yang mempunyai bantahan dalaman atau penduduk setempat, calon kita adalah individu yang dihormati serta dikenali," kata beliau.

Sementara itu, Husam ketika ditanya mengenai kelayakan pendidikan calon PAS, Endot@Azlan Yusof menjelaskan calon PAS dipilih untuk mewakili serta membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri bukannya untuk menjadi pensyarah ataupun jurutera.

"Isu pendidikan bukan satu isu yang besar, beliau mewakili dan membawa suara rakyat di dewan, beliau hendak mewakili rakyat bukannya menjadi pensyarah ataupun jurutera di dewan.

"Apa yang penting walaupun pendidikan itu rendah tetapi dapat membawa inspirasi rakyat dan membela hak rakyat itu yang lebih bermakna dari pendidikan tinggi tapi gagal membela rakyat," jelasnya.

Husam yang juga turut yakin dapat mengulangi kemenangan PAS di Dun Kuala Besut sepertimana yang belaku pada tahun 1999.

"Kita di sini mempunyai tugas berat dan kita sedia maklum pada PRK BN akan menggunakan pelbagai pihak atau agensi kerajaan untuk membantu kempen mereka.

"Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diragui ketelusannya tetapi oleh kerana calon kita ini disenangi rakyat, saya rasa peluang itu ada.

"Kalau ditakdirkan kita menang kedudukan Dun 16:16, secara tidak langsung rakyat terengganu ada kuasa untuk meminta kerajaan mengagihkan kekayaan Terengganu dengan lebih adil," sambung beliau.

Tambahnya lagi, kemenangan PAS memberi kelebihan kepada rakyat tetapi jika BN terus kekal ia tidak akan membawa apa-apa perubahan besar kepada politik Terengganu.

Katanya, jika kedudukan seri, wakil rakyat PAS akan membawa isu-isu pembangunan ekonomi yang lebih mantap dan rakyat akan mendapat faedah yang berganda.

"Ini peluang untuk rakyat Kuala Besut membuat perubahan, ia tidak berlaku pada PRU13 sebelum walaupun hanya PRK tetapi kesannya amat besar kepada pengaruh politik Terengganu," tambah beliau lagi.

Dalam pada masa yang sama, Husam menyifatkan PRK kali ini juga merupakan pertarungan antara kem Datuk Seri Idris Jusoh dan kem Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. -HD

Ulasan GB

Sekalipun calon PAS yang dikenali sebagai "Che Long" itu hanya berkelayakan SPM, tetapi beliau telah membuktikan bahawa beliau berjaya di lapangan perniagaan dengan menjadi seorang kontraktor Kelas A... berbanding lawannya berpendidikan peringkat universiti tetapi hanya mampu menjawat jawatan makan gaji sebagai seorang jurutera.

Sebagai kontraktor Kelas A, Che Long sudah pastinya mempunyai "pekerja-pekerja" bertaraf "jurutera" di projek-projek kendalian syarikatnya dan disitulah kelebihan orang yang menjalankan perniagaan sendiri berbanding dari mereka yang makan gaji! Seorang peniaga itu, walau sekecil mana pun kelulusannya tetap "seorang tuan yang bebas" berbanding yang mencari rezeki dengan makan gaji yang sentiasa terikat kemana saja dia pergi!

Kedua, ingat pesan Rasulullab, orang berniaga itu ada kelebihannya kerana, 9/10 dari rezeki adalah di dalam dunia perniagaan. Malah Nabi Muhammad sendiri seorang peniaga di masa mudanya sebelum beliau diutuskan menjadi Rasul, dan semasa beliau diangkat menjadi Rasul pun, Rasulullah adalah seorang yang "ummi" (tidak tahu membaca dan menulis) namun baginda beriman dengan ayat-ayat Allah (mafhum surah Al-A’raf: ayat 158).

Ketiga jangan lupa semasa PRK Manek Urai pada pertengangan tahun 2009 dimana Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempat untuk mengeluarkan kata-kata penghinaan kepada calon PAS ketika itu, Fauzi Abdullah.

Muhyiddin telah dilaporkan berkata:

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi."

Kata-kata tersebut jelas ditujukan kepada calon PAS yang merupakan seorang pemborong ikan yang tidak berkelulusan tnggi seperti calon BN.

Namun walaupun dengan segala "emas. intan dan berlian" dicurahkan di Manek Urai disamping penghamburan kata-kata penghinaan UMNO BN terhadap calon PAS yang ramai mengira amat mustahil untuk PAS memenangi PRK Manek Urai itu, namun dengan kuasa dan taqdir Allah, akhirnya calon UMNO BN, Tuan Aziz yang dipukul canang sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan berjawatan sebagai pengurus Kesedar, kalah juga dia di tangan seorang peniaga ikan, Fauzi Abdullah yang tiada kelulusan itu!

Ingatlah wahai UMNO bahawa tentang ayat Allah ayat 106 dari Surah Ali-Imran yang lazim diwiridkan selepas solat:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[VIDEO] Ucapan Osama Mursi: Teruskan Langkahmu Wahai Ayahandaku!


Memakai t-shirt Polo berwarna ungu dan kaca mata hitam Ray Ban, Osama Mursi berjalan menuju ke ruang temu bual dengan tenang dan yakin.

“Apa yang saya nampak pada hari mendatang? Revolusi ini akan berjaya dan pemimpin yang sah bakal kembali.

“Rakyat Mesir tidak akan sesekali takut lagi dengan ancaman penahanan ini,” katanya dipetik CNN.

Lebih seminggu lalu, ayah Osama, Presiden Mesir, Mohamed Mursi telah diguling oleh pihak tentera Mesir.

“Ini adalah satu rampasan kuasa revolusi, rampasan terhadap demokrasi, rampasan kuasa Perlembagaan dan kehendak rakyat.

Sementara itu, Menteri Pertahanan pada dasarnya mengatakan kepada jutaan rakyat yang mengundi dalam pemilihan Presiden dan referendum Perlembagaan "anda tidak tahu apa yang terbaik untuk anda. Saya tahu apa yang terbaik untuk anda’,” katanya.

Menurut agensi berita Al-Ahram, kerajaan baru sedang dibentuk dan Presiden sementara, Hazem El-Beblawi berkata, 70 peratus pemilihan jawatan di kementerian telah selesai.

Pembentukan kerajaan baru dijangka diumumkan Isnin ini.

Jutaan rakyat Mesir memenuhi jalanan pada 30 Jun lalu dan melaungkan ‘pergi’ terhadap Mursi, .

Menurut Osama, perkataan ‘rampasan kuasa’ merupakan penghinaan dan istilah kotor yang merendahkan kepercayaan rakyat selama ini.

Ketika diminta mengulas mengenai Revolusi Redux Osama bagaimanapun tidak bersetuju jika menyamakan ia dengan krisis di Mesir.

“30 Jun bukan revolusi! Sejarah tidak akan pernah merekodkan itu sebagai revolusi.

"....tidak ada sesiapa pun, sama ada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) atau sesiapa saja yang boleh memanggilnya revolusi.

"Kenapa? Kerana tidak ada revolusi di dunia ini yang membawa pemerintahan ketenteraan. Tidak ada revolusi di dunia ini yang membatalkan peti undi,” tegasnya.

Sebelum ini, pihak tentera telah memberikan Mursi tempoh 48 jam untuk menyelesaikan krisis.

Dalam pada itu, ulas Osama, bapanya sempat bercakap dengannya untuk kali terakhir sebelum berucap dalam sebuah program televisyen pada 2 Julai lalu.

“Saya beritahu kepada ayah sebagai anaknya untuk dia kekal ingkar dan maju ke depan dan tidak menyerah dengan pihak ketenteraan.

“Mohamed Mursi yang saya kenal ada lambang kebanggaan. Sebagai anak, sekiranya Mohamed Mursi itu berundur atau melarikan diri ia akan sangat memalukan kepada saya, walaupun dia kekal sebagai Presiden,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap tentera Mesir, Kolonel Ahmed Ali, Mursi sedang ditahan di satu lokasi yang dirahsiakan atas alasan ‘keselamatan peribadi’ tapi untuk seorang anak yang kehilangan ayahnya, Osama menganggap jaminan itu seolah-olah tidak bermakna.

“Jangan risaukan keselamatan peribadinya. Tak ada sesiapa, bukan menteri pertahanan atau menteri dalam negeri patut risau tentang keselamatannya,” kata Osama dengan sinis.

Tambahnya, “jika situasi penahanan yang tidak bermoral dan menyalahi undang-undang, Mursi mesti dibebaskan.

"...dan jika ia berdasarkan penahanan yang sah di sisi undang-undang, saya mengalu-alukannya dan mari kita ikut undang-undang.

Ketika ditanya sama ada dia ada menghubungi ayahnya yang di dalam tahanan, Osama berkata, “saya sebahagian daripada revolusi dan saya cukup kuat dari seorang tentera, benarkan saya bercakap dengan ayah saya.

"Tidak. Kita dalam revolusi. Angin baru bagi revolusi 25 Januari...laluan demokrasi kita, kami tidak akan melepaskannya,” katanya.

Revolusi pada 25 Januari 2011 menyebabkan kejatuhan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Ratusan penyokong Muslim Brotherhood kekal di dalam tahanan dan pendakwa raya telah mengeluarkan banyak waran tangkap untuk pimpinan atasan tapi Mursi muda ini memilih untuk bertemu di siang hari, di salah sebuah masjid terkenal di Kaherah.

“Revolusi ini akan berjaya. Revolusi yang membawa kepada berakhirnya pemerintahan Mubarak akan kekal kuat.

“Ini adalah revolusi keamanan melawan rampasan kuasa tapi revolusi ini akan menjadi lebih penting daripada 25 Januari kerana ia akan turut menghentam akar umbi.”

Sebelum mengakhiri temu bual, Osama memandang ke kamera dan menyampaikan mesej ini buat ayahnya.

“Ayah adalah pemimpin yang sah, ayah adalah pemimpin dan Presiden yang terpilih. Kami sokong sebarang keputusan yang ayah buat walaupun ayah memilih untuk meninggalkan pejabat.

"Keluarga ayah, kami semua bangga dengan ayah. Tuhan merahmati ayah.”


Anak Mursi turun gelanggang di Dataran Rab'ah


Usamah, anak kepada Presiden Dr. Muhammad Mursi berucap di hadapan jutaan penyokong di Dataran Rab’ah, menyatakan bantahan beliau terhadap rampasan kuasa: “Elakkan pertempuran atas nama Revolusi”.

Beliau turut menujukan ucapan kepada ayah beliau Dr Muhammad Mursi dengan berkata:

"Sesungguhnya aku tujukan seruan kepada ayahku, bertahanlah wahai ayahku, teruskanlah langkahmu dan jangan sesekali tunduk dengan mereka yang zalim, dan kami sekeluarga nazarkan dikau kepada kepada tanah air ini, cukup lah Allah bagi kami, dan janganlah terbeban Wahai Ayah terhadap dasar Revolusi kami”

Beliau juga dalam ucapannya di atas pentas Dataran Rab’ah menyeru Pakatan Nasional untuk mempertahankan syar’iyyah, “Aku katakan kepadamu Wahai ayahku, jika kamu dapat mendegarku sekarang, atau Allah pasti akan menyampaikannya kepadamu"

"Seluruh keluarga Mursi berada di dataran, dan aku datang hari ini ke Dataran Rab’ah, bukan untuk berucap atas nama individu atau parti, tapi aku aku berucap atas nama kebenaran, aku mengatakan kepadamu wahai ayah atas nama keluarga Presiden : Pergilah kamu wahai ayahku untuk berperang kerana Tuhanmu maka kami akan berperang bersamamu”.

Beliau menyambung lagi,"Aku berwasiat kepada ayahku dan berkata jika kamu melihat darahku mengalir, ketahuilah bahawa aku di atas jalan kebenaran, dan jika kamu melihatku serasi bersama mereka yang batil, maka ketahuilah bahawa aku bersama kebatilan".

Beliau juga memberi ucapan kepada rakyat Mesir, "Aku mengatakan kepada kamu Wahai rakyat Mesir yang mulia, revolusi ini atas nama Mesir, maka bangkitlah dan sempurnakanlah revolusi ini, maka dengan kehendak Allah dan takdirNya jua."

" Kita berada di pihak yang benar bermula hari ini sehinggalah Allah berkehendak melaksanakan suatu urusan yang harus dilaksanakan".
(nota: iaitu kemenangan kaum muslimin dan kehancuran kaum musyrikin)

Beliau kemudian meneruskan ucapannya kepada Dr. Muhammad Mursi presiden Mesir,"Aku titipkan kepadamu salam wahai ayah, dan aku berikan penghormatan yang mulia kepada seluruh rakyat Mesir, tetaplah atas jalan kamu, dan dengan nama Allah janganlah takut kepada celaan orang yang suka mencela, dan semoga Allah membantu kita memelihara revolusi ini dengan darah-darah kita". - ikhwanonline