11 Feb 2012

[Video] Filem Biadab Barat Permainkan Kematian Osama Laden

Kematian Osama bin Laden dipermainkan

SALT LAKE CITY - Kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden telah dipermainkan sebuah syarikat penerbitan tidak bertanggungjawab di Utah selepas mereka menerbitkan filem zombi (mayat berjalan) menggunakan watak beliau.

Filem berjudul Osambie: The Axis of Evil Dead itu memaparkan pertempuran antara Unit Angkatan Khas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan kumpulan militan zombi di kawasan gurun diketuai oleh Osama yang kononnya bangkit dari kematiannya.

Pengarah eksekutif, Kynan Griffin berkata, skrip tersebut telah dihasilkan sebelum Osama dibunuh pada Mei lalu.

Ia turut menggunakan tagline 'Bin Laden Will Die Again' (Osama akan mati sekali lagi) yang dianggap biadab dan dilihat bakal mencetuskan kemarahan orang Islam.

Sementara itu, sebuah lagi filem kontroversi arahan Kathryn Bigelow yang berkisar mengenai operasi memburu Osama juga akan diterbitkan walaupun menerima kritikan banyak pihak kerana ia secara terang mendedahkan misi rahsia Agensi Penyiasatan Pusat (CIA).



Pilihanraya Dipanggil Selepas SPRM "Bersihkan" Skandal NFC

Panel SPRM bincang tiga kes profil tinggi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membincangkan tiga kes berprofil tinggi, termasuk melibatkan National Feedlot Center dalam satu mesyuarat jawatankuasa penilaiannya pada 23 Februari.

Satu kenyataan dikeluarkan suruhanjaya itu menyebut, perbincangan itu juga melibatkan siasatan ke atas dua orang ADUN PKR Selangor – Amirudin Shari dan Shuhaimi Shafiei – berhubung dakwaan penyelewengan dan sindiket kecurian pasir di negeri itu.

Satu lagi kes yang akan dibincangkan melibatkan dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Siasatan lengkap ke atas kes berkenaan telahpun lengkap dan dikaji oleh Pejabat Peguam Negara dan akan dikemukakan kepada panel berkenaan.

"Panel ini adalah satu mekanisme bebas yang telah dibentik oleh kerajaan bagi memastikan SPRM menjalankan tugas dengan bebas, telus without fear and favour," kenyataan itu dipetik.

Terma rujukan untuk panel yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil itu antara lainnya menyatakan bahawa ia dibentuk untuk meneliti kes melibatkan suspek yang telah ditahan dan dilepaskan dengan jaminan melebih enam bulan oleh SPRM.

Selain itu, panel itu juga akan menerima laporan daripada SPRM berhubung kertas siasatan yang tidak mendapat apa-apa keputusan selepas tempoh melebihi enam bulan.

Panel itu juga dibentuk untuk menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas
Siasatan yang mana tempoh siasatan melebihi tempoh 12 bulan.

Laporan tahunan dan ulasan panel berkenaan berhubung perjalanan operasi siasatan SPRM akan diserahkan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. -mk

SPRM: Siasatan babitkan 2 Adun PKR selesai

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan lengkap Jabatan Peguam Negara terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, yang didakwa terlibat dalam isu rasuah dan skandal perlombongan pasir di Selangor, telah diperoleh dan akan dibentangkan kepada Panel Penilaian Operasi akhir bulan ini.

Sehubungan itu, SPRM akan mengemukakan laporan siasatan kepada panel berkenaan untuk mengkaji, meneliti dan mengesyorkan hasil daripada keputusan itu.

"SPRM ingin memaklumkan bahawa siasatan berkaitan kes terhadap Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Adun Batu Caves, Amirudin Shaari telah lengkap dan pihak Pejabat Peguam Negara telah mengkaji dan meneliti kes tersebut dan kini telah diterima semula oleh suruhanjaya ini.

"Sehubungan itu, suruhanjaya akan mengemukakan kertas tersebut kepada Panel Penilaian Operasi untuk mengkaji, meneliti dan mengesyorkan hasil daripada keputusan yang telah diperolehi daripada Jabatan Peguam Negara," kata SPRM dalam satu kenyataan lewat hari ini.

Panel itu yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil serta dianggotai tujuh yang lain dilantik kerajaan daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang bersesuaian bagi memastikan SPRM menjalankan tugas dengan bebas serta telus tanpa rasa takut dan memihak.

Panel ini dijangka bersidang pada 23 Februari depan, kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa Shuhaimi dan Amirudin terlibat dalam isu penyelewengan dan sindiket kecurian pasir di Selangor.

Selain kes berkenaan, SPRM juga akan turut membentangkan kes Pusat Fidlot Nasional dan kes yang melibatkan siasatan terhadap menantu Menteri Besar Kelantan, Ariff Fahmi Abdul Rahman kepada semua ahli panel.

Dalam kenyataan pagi ini, kedua-dua wakil rakyat berkenaan menafikan unsur rasuah, sebaliknya mendakwa ia laporan direka oleh blog.
-SH


Ulasan GB

Tiba-tiba kes pasir di Selangor dan kes Ariffahmi di Kelantan ditimbulkan semula dan disekalikan dengan kes NFC.

Itu sebab mengapa sebelum ini GB menulis sewaktu mengulas mengapa isu pasir yang telah lama ditimbulkan semula. Petikan:

Sekarang ini semacam wujud satu fenomena baru iaitu mewujudkan isu-isu lapuk untuk memburukkan imej kerajaan PR Selangor seperti siu pasir, isu gambar bogel Elizabeth Wong dan sebagainya menjelang PRU13 di dalam misi UMNO BN Tawan Selangor.

Mereka ketandusan isu, lantas cuba "menggilap" isu lama dengan harapan rakyat terpedaya.

Maka diperalatkan Pengarah Eksekutif NFCorp dan RPK yang sekarang ini tersepit dengan pelbagai skandal dan isu yang melanda mereka berdua.

Mereka berdua (Wan Shahinur &RPK) seperti "disuruh" oleh pihak tertentu untuk membangkitkan isu berkenaan.


Mengapa isu pasir dan Ariffahmi ditimbulkan? Kerana untuk memerangkap Pakatan Rakyat: jangan kecoh-kecohkan hal Shahrizat, kami juga boleh buka semula kes pasir dan lain-lain.

Hasilnya nanti ialah: Shahrizat akan diisytiharkan bersih dari penyelewengan, sekali dengan isu pasir dan Ariffahmi!

Hal yang sama pernah berlaku dimana dua kes ditutup serentak oleh SPRM dahulu untuk menyelamatkan Ketua Menteri Melaka dimana kes politik wang membabitkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam disekaliguskan dengan 7 kes lain dan salah satunya ialah kes lembu korban yang membabitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Walaupun nyata Ali Rustam bersalah dan Tan Sri Khalid tidak berslaah, tetapi ia disekaliguskan untuk pastikan rakyat tidak "menyoal" mengapa Ali Rustam dilepaskan. SPRM akan menjawab: kami juga lepaskan MB Selangor!

Kes-kes lain yang ditutup termasuk siasatan terhadap timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Datuk T Murugiah; kes bekas speaker DUN Perak, V Sivakumar; kes bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin; kes dakwaan salahguna kuasa dan peruntukan ADUN Jawi Tan Beng Huat; kes ADUN Batu Tiga, Selangor Rodziah Ismail serta dua anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR yang didakwa cuba merasuah calon bebas DUN Penanti, Pulau Pinang Aminah Abdullah.

Kesemuanya disekaliguskan untuk menyelamatkan profail-profail BN.

Tetapi SPRM jawab: "Tengok, bukan saja pemimpin BN, tapi pemimpin PR pun dilepaskan sebab tiada kes!"

Demikianlah yang bakal berlaku untuk kes NFC.

Dan sebaik saja SPRM mengumumkan demikian nanti, maka pilihanraya pun dipanggil dengan harapan rakyat tidak lagi bersuara mengenai Shahrizat dan NFC.

Nak bersuara tentang Shahrizat, maka SPRM akan keluarkan sekali isu pasir dan Ariffahmi semula. Begitulah taktiknya, hasil baccan GB, dan sekalian orang yang mahu mengikuti kebenaran dan keadilan.

SPRM bijak bukan? Tapi mereka terlupa bahawa Allah Maha Bijaksana!

Allahumma... arinal haqqa haqqan... warzuqnat-tiba'ah
wa arinal bathila bathilaan ... warzuqnaj tinabah...


Tuduhan Hassan Ali, Pemuda PAS Buat Laporan Polis, Nasruddin Buat U-Turn [updated]

Pemuda PAS lapor polis terhadap Hasan Ali

Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat satu laporan polis terhadap Datuk Dr Hasan Mohd Ali ekoran kenyataan bekas exco Selangor itu yang didakwa boleh mencetuskan suasana tegang dan mengancam keselamatan negara.

Ianya merujuk kepada kenyataan Hasan ketika berceramah pada 31 Januari lalu di Padang Awam Seksyen 2, Bandar Baru Bangi yang dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara republik.

Di samping itu, Hasan Ali yang dipecat keahlian dari PAS awal Januari lalu itu juga dilaporkan mendakwa bahawa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

"Ucapan ini pada kita sangat bahaya dan boleh mengundang ketidakharmonian antara kaum.

"Ia juga satu kenyataan berniat jahat yang cuba menghasut masyarakat membenci PAS serta parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat," kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily selepas selesai membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Turut serta dalam rombongan itu, exco Dewan Pemuda PAS Pusat termasuk Mohd Sany Hamzan dan Mohd Adram Musa.

"Kalau ianya tidak benar, dia (Hasan Ali) kena nafikan lah, namun sehingga hari ini belum ada sebarang penafian dari beliau.

"Jadi untuk permulaan kita serah kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan kita telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut selepas itu," kata Raja Ahmad. -HD

Hasan Ali Perlu Buktikan DAP Mahukan Negara Republik

SHAH ALAM 9 FEB: Bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali diminta supaya tidak terus membohongi dan menakut-nakutkan orang Melayu dengan kenyataan DAP akan menjadikan Malaysia sebagai Negara Republik sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) menang dalam Pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, adalah tidak logik DAP mampu membentuk kerajaan sedangkan mereka hanya bertanding 15 kerusi di Selangor dan 46 kerusi Parlimen.

Oleh yang demikian, beliau mencabar Hasan Ali supaya mengemukakan perkiraan yang membolehkan DAP berkuasa di negara ini.

"Saya nak mintak dia gunakan PhDnya buktikan kepada saya macam mana bertanding 15 kerusi di Selangor boleh menang 29 kerusi. Gunalah PhD awak, tunjuk kepada saya. DAP hanya bertanding 15 daripada 56 kerusi di Selangor.

"Bertanding di peringkat pusat, DAP bertanding 46 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi. Kalau nak memerintah negara, sehingga ingin menjadikan Malaysia negara republik, dia memerlukan dua pertiga. Majoriti mudah mereka memerlukan 112 kerusi. Minta dia buat tesis macam mana bertanding 46 kerusi bagaimana boleh menang 112 (kerusi)," katanya.

Sekiranya gagal, adalah lebih baik Hasan mengambil pendekatan berdiam diri daripada terus menakut-nakutkan orang Melayu jelas beliau.

Sebelum ini, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang menyatakan pendirian bahawa parti itu menyokong 100 peratus Islam sebagai agama rasmi negara serta bukan sebuah parti anti Melayu dan institusi DiRaja.

Beliau turut mencabar Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengemukakan bukti yang mengatakan DAP ingin menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Katanya, adalah lebih baik berhujah mengenai dasar masing-masing dan membiarkan rakyat membuat keputusan dalam menentukan pemimpin mereka.

Katanya, meskipun jumlah kerusi campuran DAP dan PKR berjumlah 27 kerusi tidak ada keperluan untuk PAS tunduk kepada DAP walaupun hanya memiliki 7 kerusi memandangkan untuk membentuk kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi.

Ujar beliau, sudah semestinya Pakatan tidak boleh membentuk kerajaan di Selangor tanpa PAS.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media hari ini. -tvsnews


Nasrudin: Saya tidak lagi dengan Hasan Ali

GOMBAK - Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, beliau tidak lagi bersama Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, malah tidak ambil peduli terhadap tindak tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mendakwa Dewan Pemuda Pas berada di belakang dan menyokong tindakan-tindakan diambil Hasan.

Nasrudin berkata, setelah Hasan dipecat dan tiada rayuan dibuat, beliau menganggap bekas Exco Selangor itu sebagai orang luar yang tiada kena-mengena dengan Pas.

Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari dan minggu lalu, beliau mengumumkan tidak akan membuat rayuan.

"Saya difahamkan sebelum ini dalam 'roadshow' beliau, Hasan ada berkata yang Pemuda berada di belakangnya, menyokongnya. Di sini saya nak tegaskan bahawa saya tak bersama beliau selepas dia keluar Pas dan dia tidak kemuka rayuan. Saya tak bersama beliau," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Selain itu, Nasrudin berkata, walaupun terdapat beberapa kenyataannya sebelum ini yang didakwa menyebelahi Hasan, ia disebabkan Adun Gombak Setia itu masih lagi ahli Pas.

"Pemuda sejak awal lagi konsisten perjuangkan Islam. Kita tak pernah menyeleweng seperti yang didakwa dia (Hasan) yang mengatakan Pas kini mengabaikan perjuangan. Dari segi penubuhan negara kebajikan, kita cuma memperhalusi pendekatan dan perbaharui tindakan yang sesuai mengikut suasana. Itu perkara biasa.

"Mungkin bila kita ubah nama dari negara Islam kepada negara kebajikan, dia mengatakan kita sudah abai perjuangan. Sebenarnya tidak ada beza pun. Negara kebajikan ialah membina negara Islam," tegasnya. -SH



Ada Juga Lembu NFC Yang Masih Mahu Shahrizat Jadi Menteri

Umno: Sharizat tidak perlu letak jawatan

JENGKA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak ada sebab untuk meletakkan jawatan ekoran isu kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Datuk Ahmad Maslan.

Ketua Penerangan Umno berkata, Shahrizat tidak seharusnya meletakkan jawatan kerana suaminya yang merupakan Pengerusi Eksekutif NFCorporation tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.

“Shahrizat tidak seharusnya dibebani dengan masalah NFC ini kerana beliau tidak ada kena-mengena dengan syarikat tersebut walaupun suaminya mempunyai kaitan.

“Itu adalah satu kebetulan. Shahrizat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang suaminya untuk berniaga. Tambahan pula, jika suami atau isteri menteri tidak berniaga, apa lagi kerja yang mereka boleh lakukan,” katanya di sini, malam tadi.

Ahmad berkata demikian sebagai respons kepada desakan beberapa pihak supaya Ketua wanita Umno itu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti bagi melicinkan proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu NFC.

Beliau turut berkata, geran bernilai RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat tersebut bukan diperuntukkan secara percuma, sebaliknya ia adalah satu bentuk hutang yang perlu dibayar.

“Selain itu, NFC, sama seperti lima atau enam syarikat lain, mereka turut bertanding untuk mendapatkan tender di mana mereka akan membuat pembentangan atau taklimat dan hanya syarikat terbaik sahaja yang terpilih.

“Tambahan pula, syarikat tersebut mendapat kelulusan projek dari Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) dan bukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipegang oleh Shahrizat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, jawatankuasa NFC juga telah memutuskan bahawa Shahrizat tidak ada kaitan dengan syarikat tersebut. -SH

Umno Cheras: Selesaikan isu NFC sebelum p'raya

Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata kontroversi yang timbul berhubung isu syarikat National Feedlot Corporation perlu diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Katanya, beliau tidak mahu isu yang membelenggu ketua sayap wanita parti itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menghakis sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Isu tersebut bakal menjadi beban besar kepada Umno sekiranya tidak ditangani, katanya seperti dipetik blog umnobahagiancheras.blogspot.com.

"Jangan salahkan rakyat (pengundi) jika mereka beralih sokongan disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu berkaitan kepentingan umum termasuk NFC," katanya lagi.

Kenyataannya itu timbul berikutan pendedahan terbaru PKR semalam berhubung dakwaan pembelian dua lagi kondominium, bernilai RM34.6 juta di di kawasan mewah Pusat Kewangan Marina Bay, Central Boulevard, Singapura.

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli semalam berkata, pembelian tersebut dipercayai diluluskan oleh bank-bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana National Feedlot Centre dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki keluarga Shahrizat mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut.

Deposit berkenaan didakwa merupakan sebahagian daripada dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi National Feedlot Centre.

Kedua-dua hartanah itu dimiliki oleh suami Shahrizat, Datuk Mohd Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Izran.

Syed Ali juga menegaskan bahawa rakyat mahu isu yang mendapat perhatian media antarabangsa itu dijelaskan secara sahih.

"Jika semua dakwaan pembangkang terutama PKR itu fitnah, saya minta pihak berkenaan menafikannya secara terbuka berserta bukti atau fakta yang tepat bagi meyakinkan rakyat," katanya lagi.

Masyarakat umum mungkin membentuk persepsi bahawa dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang "benar" sekiranya tidak dinafikan oleh keluarga Shahrizat, tambahnya.

Katanya lagi, keluarga Shahrizat juga tidak perlu takut jika mereka benar-benar tidak terlibat dalam penyelengan mahupun salahguna kuasa dalam kes tersebut.
-mk


Berita Harian Tarik Balik Rayuan, Mahfuz Kekal Terima Gantirugi RM150,000

Mahkamah batal rayuan Berita Harian ke atas Mahfuz

PUTRAJAYA, 10 Feb: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Berita Harian ke atas Datuk Mahfuz Omar tanpa kos setelah peguamcara Berita Harian memaklumkan kepada Mahkamah anakguam mereka menarik balik rayuan tersebut.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri dari Yang Arif Hakim Datuk Jeffery Tan, Datuk Clement Skiner dan Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Berita Harian untuk menarik balik rayuan tersebut apabila peguamcara Datuk Mahfuz, Mohamed Hanipa Maidin tidak membantah permohonan peguam Berita Harian tersebut.

Beita Harian pada 23 September 2009 memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan atas keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Haji Mohd Yazid bin Mustafa yang membenarkan tuntutan gantirugi Mahfuz ke atas Berita Harian sebanyak RM150,000-00.

Tuntutan itu dibuat di atas laporan berita yang disiarkan di akhbar tersebut bertarikh 9/11/2000 di muka hadapan akhbar bertajuk “ Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk”.

Atas berita yang bersifat fitnah tersebut, Mahfuz telah melalui peguamnya memfailkan writ saman ke atas Berita Harian dengan menamakan Ketua Pengarang akhbar tersebut pada masa itu Datuk Ahmad Rejal Arbee dan penerbit dan pencetak akhbar tersebut The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Di dalam artikel bertajuk 'Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk' akhbar tersebut antara lain telah memfitnah kononnya Mahfuz telah mencabar Datuk Shaziman Abu Bakar bertumbuk di luar Dewan Rakyat semasa perbahasan usul membantah tindakan ganas polis kepada peserta perhimpuna di Klang pada tahun 2000.

Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan berita tersebut adalah fitnah ke atas Mahfuz kerana menurut hakim laporan akhbar berkenaan bercanggah dengan laporan Hansard Parlimen yang menunjukkan bahawa cabaran bertumbuk sebenarnya datang dari Datuk Shaziman Abu Bakar dan bukannya Mahfuz.

Mahfuz sebelum ini telah memfailkan permohonan Notis Usul untuk membatalkan rayuan tersebut kerana terdapat kecacatan serius dalam proses rayuan tersebut yang menjejaskan keesahan rayuan tersebut.

Akibat dari tindakan Berita Harian menarik balik rayuannya, peguamcara Mahfuz juga menarik balik Notis Usul tersebut tanpa perintah terhadap kos.

Sebelum ini Mahfuz juga telah berjaya di dalam samannya ke atas Utusan Malaysia apabila mahkamah mengarahkan Utusan membayar gantirugi RM120,000-00 dan kos ke atas Mahfuz kerana memfitnah beliau kononnya ingin mengguling kerajaan dengan kekerasan.

Berita Harian diwakili oleh Tetuan Shearn Delamore & Co manakala Mahfuz pula diwakili Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. -HD

Takda Rupa Hasan Ali Boleh Bentuk "Third Force"

Hasan Ali - Dari UMNO beliau datang, kepada UMNO jugalah beliau akan kembali

Dr Hasan Ali, bekas Exco kerajaan (PAS) negeri Selangor, yang dipecat dari PAS baru-baru ini nampaknya mendapat tempat di media perdana terutamanya di TV3. Setiap malam kita melihat Hasan Ali diliputi oleh TV3 dan beliau ditonjolkan sebagai seorang pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan.

Kita melihat lakunannya setiap hari dengan berdoa sambil menangis serta kembali bercakap dengan nada yang tinggi beserta dengan gerak tangannya yang menunjukkan beliau memang hebat berlakon dan berdrama.

Hasan akhir-akhir ini selalu menggunakan air mata beliau dalam membahaskan isu politik untuk menagih sokongan ramai. Beliau boleh menangis serta merta jika perlu dan air matanya jelas meleleh keluar.

Beliau mendapat liputan TV3 setiap hari dan kenapa beliau diberi tempat didalam media eletronik ini tanpa henti itu memang sudah menjadi perkara yang maklum kepada orang ramai. Berbagai-bagai cara beliau menonjolkan diri seperti bintang filem Bollywood. Yang belum beliau lakukan hanyalah menari dari gunung hingga ketepi laut sambil menyanyi dan naik kembali kegunung dengan pakaian yang bertukar-tukar silih berganti.

Sesungguhnya Hasan tidak selayaknya menjadi ahli politik. Oleh itu selepas beliau dipecat dari PAS ini, saya mencadangkan supaya Hasan pergi ke India dan menguji bakat lakonan bersama ramai yang minat berlakon dalam Industri filem di Bollywood. Beliau sememangnya mempunyai bakat berlakon dan saya merasakan beliau tidak akan melalui jalan sukar untuk berjaya dalam uji bakat berlakon di situ. Beliau memang seorang yang sangat berbakat dalam lakonan.

Walaupun saya tidak pernah kepanggung wayang sejak puluhan tahun yang lalu, saya berjanji akan membeli tiket yang secukupnya untuk se isi keluarga saya pergi menonton lakonan beliau dalam filem pertama yang beliau lakunkan nanti. Saya percaya pihak yang beliau caci sekarang ini iaitu PAS, PKR dan DAP tidak teragak-agak untuk bersama-sama menonton lakonan beliau.

Hasan merupakan seorang ‘failed broker’ kerana niatnya untuk menjadi orang penting dalam usaha penyatuan UMNO dengan PAS telah menemui kegagalan. Kegagalan untuk menyatukan UMNO dan PAS itu telah meranapkan cita-citanya untuk menjadi MB Selangor. Hasan mengharapkan untuk menjamah kerusi MB itu jika UMNO dan PAS bersatu kerana jika itu berlaku maka beliau akan berjaya melaksanakan ‘intrigue’ politik seperti mana yang telah berlaku di Perak sebelumnya.

Apabila niat dan matlamat untuk menjayakan 'compromise' di antara UMNO dengan PAS itu maka beliau terus sahaja membidas PKR dan DAP dan menjadikan Anwar sebagai ‘punching bag’ untuk beliau melakukan serangan kepada pihak-pihak yang telah menggagalkan niat beliau untuk mendapat munafaat jika UMNO dan PAS berjaya di satukan.

Rasa kempunan beliau inilah yang menyebabkan Hasan sudah hilang arah politiknya. Beliau rasa malu yang besar kerana disebabkan tapak dan langkahnya telah dengan mudah dapat dikesan dan difahami oleh semua pihak yang telah memerhatikan lagak dan lakunannya sejak usaha untuk merapatkan UMNO dan PAS itu jatuh sebelum ‘taking off’.

Sekarang Hasan sedang mengaruk dan beliau menyalahkan semua pihak dalam Pakatan Rakyat. PAS dan DAP itu adalah pihak yang salah kepada Hasan PKR pula salah kerana jawatan MB yang beliau hendak tagih itu datangnya dari PKR. Hasan juga menyanggah secara peribadi terhadap Khalid Samad yang pernah menjadi timbalanya dalam PAS Selangor. Hasan juga membidas Anwar kerana kononnya PAS tidak mahu mengikut kehendaknya (Hasan) adalah kerana pengaruh Anwar Ibrahim.

Sekarang Hasan telah menyalahkan semua pihak dalam PR kecuali peribadi beliau sendiri. Beliau kini bergerak untuk mewujudkan ‘force ketiga’ untuk kononnnya untuk menjadi penentu dalam pilihanraya nanti. Bagi saya, Hasan tidak mempunyai rupa untuk menjadi ‘third force’ dalam politik tanah air sekarang ini.

Dalam situasi politik kali ini mana-mana pihak yang cuba untuk meletakkan diri mereka sebagai ‘middle left’ atau ‘middle right’ tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Rakyat kini mahukan kumpulan yang ‘decisive’, samada kanan atau pun kiri. Tetapi jika diselidik kepada keadaan hari ini, Hasan mungkin menyertai UMNO juga akhirnya. UMNO adalah parti yang beliau pernah sertai sebelum isu Anwar pada tahun 1998 dahulu.

Jika Hasan kembali menyertai UMNO maka ‘dari UMNO beliau datang, kepada UMNO jugalah beliau akan kembali’. Buat sementara waktu Hasan boleh bersalaman ketat-ketat dengan Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Zaharin Hashim. -aspanalias

Najib Perlu Selesaikan Kemiskinan Melampau Di Pekan

Najib diminta selesai kemiskinan di Pekan

PEKAN, 10 Feb: Daripada terus menabur janji merata-rata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar tidak lupa menangani kemiskinan melampau di kawasan parlimennya sendiri.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, antara kawasan yang paling daif keadaan ekonomi dan sosialnya di sini ialah di Kuala Pahang.

Tambah Abu Kassim, meskipun penduduknya merupakan warga tempatan namun keadaan hidup, ekonomi dan sosial mereka tidak sebaik nasib ‘penduduk import’ orang Kemboja di kampung Tanjong Agas dan orang Myanmar di Sungai Miang.

“Kebanyakan mereka nelayan dengan pendapatan tak tetap dan rezeki menyara keluarga bergantung kepada hasil laut yang tidak menentu, ditambah pula musim tengkujuh selama tiga bulan.

Gambar kanan: Ust Abu Kassim manaf

“Sekarang ini tiap-tiap hari orang Kuala Pahang datang minta bantuan di Pusat Khidmat PAS Pekan, ini mumbuktikan kerajaan dan ahli parlimennya sendiri gagal membela nasib mereka.

“Nasib mereka tak terbela sejak berpuluh tahun sedangkan kelompok inilah yang memenangkan Umno dan BN selama ini,” katanya.

Difahamkan, pernah Umno menjalankan program ‘Gempur Kemiskinan’ dengan inisiatif mewujudkan pusat jahitan semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri. Namun tiada perubahan yang dicapai dan penduduk terus dibelenggu kemiskinan jauh sekali daripada hidup selesa.

Tinjauan Harakahdaily ke lokasi baru-baru ini mendapati keadaan penempatan penduduk tidak menggambarkan berada di kawasan Perdana Menteri kerana rumah yang buruk dan berhimpit-himpit sehingga menyakitkan mata.

Menurut penduduk, kerajaan telah beberapa kali berjanji terutama menjelang pilihan raya untuk membina kediaman tersusun yang tidak jauh dari sini. Malangnya sehingga hari ini, di lokasi tersebut hanya tapak sahaja yang ada.

Tambah mereka lagi, ketika Tun Razak menjadi Ahli Parlimen Pekan atas usaha beliau telah membina perumahan kos rendah rakyat di Kuala Pahang pada tahun 1969 dengan bayaran sebanyak RM10 sebulan. Manakala rumah pemindahan banjir pula penduduk membayar RM15 sebulan pada tahun 1971.

Apa yang mengecewakan mereka, pada zaman Najib menjadi ahli parlimen dan Perdana Menteri ini tiada usaha serius untuk mengubah nasib mereka.

Bagi menambah pendapatan penduduk, kerajaan juga telah membina kolam simen yang besar untuk mereka memelihara ikan terutama pada musim tengkujuh. Namun setakat ini tiada ikan yang diisi.

Abu Kassim berkata, di Kuala Pahang masyarakatnya tidak tersusun sebab itu selain daripada masalah ekonomi, keadaan sosial di sini juga teruk dengan penagihan dadah dan gejala anak luar nikah.

“Itu yang kami kesal sedangkan Parlimen Pekan sudah melahirkan dua Perdana Menteri, tiga Menteri Besar dan dua Timbalan Menteri Besar. Tetapi nasib penduduk Kuala Pahang tidak berubah,” katanya.

Sekolah Cina ini majoriti muridnya di kalangan pelajar Melayu.

Perdana Menteri yang berasal dari Pekan ialah Tun Razak Hussein dan anaknya Najib. Manakala Menteri Besar Pahang yang datang dari daerah ini ialah Datuk Mohamad Jusoh, Najib dan Tun Khalil Yaakob.

Timbalan Menteri Besar pula ialah Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.

Dewan Undangan Negeri Kuala Pahang (kini Peramujaya) pernah dimenangi PAS pada pilihan raya umum (PRU) 1999 melalui Mohd Iqbal Hamdy Rusdi. Sementara Najib pula hanya menang tipis pada tahun tersebut dengan majoriti 241 undi.

“Sekarang ini Najib dan pemimpin Umno lain berjanji di negeri-negeri seperti Selangor dan Kelantan jika pilih BN semua masalah akan selesai. Kami minta selesaikanlah dulu masalah di Kuala Pahang ini,” tegas Abu Kassim. -HD

Ana Raffali Bertudung... Semuga Lebih Ramai Selebriti Ikut Jejak Langkahnya

Penyanyi yang bakal ke jinjang perkahwinan pada 25 Februari ini, Ana Raffali, mengambil keberkatan Maulidur Rasul untuk mengenakan hijab serentak kehadiran hari besar junjungan Nabi Muhammad SAW.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Tolong Ingatkan Aku' ini menegaskan keputusan diambil bukan atas desakan sesiapa namun keinginan itu lahir atas kesedaran diri sendiri.

Ana juga menjelaskan tiada sebarang keraguan yang bermain dalam fikiran untuk bertudung malah bersyukur keinginan itu mendapat sokongan ramai terutama daripada keluarganya.

Tanpa berselindung Ana juga menjelaskan dirinya semakin tenang walaupun kini sibuk menguruskan majlis perkahwinannya yang berbaki dua minggu sahaja lagi.

"Semasa sambutan Maulidur Rasul tempoh hari, Ana terasa satu keinginan, dorongan… Susah sebenarnya Ana nak jelaskan tetapi pada hari itu, Ana nak sangat-sangat pakai tudung," kongsi Ana Raffali dengan GUA sebentar tadi mengenai keputusannya untuk bertudung.

"Ketika Ana bersiap nak keluar, Ana pun pakai. 'It felt right.' Ana tak berbincang dengan sesiapa. Cuma dengan Naim (bakal suami), Ana ada beritahu, hari ini Ana nak pakai tudung. Dia kata 'Alhamdullilah'.

Ibu bapa Ana turut gembira melihat anak perempuan mereka berubah menjadi lebih baik. Sebelum ini, Ana biasanya memakai tudung untuk majlis-majlis keagamaan dan sepanjang zaman persekolahannya.

"Ana membuat keputusan ini atas kehendak dan keinginan Ana sendiri. Ana gembira dan bagi Ana, ini jawapan kepada doa-doa mereka di luar sana. Sebelum ini bila ada yang bertanya (bila Ana nak bertudung), Ana tak pernah ada jawapan. Ana cuma minta mereka doa-doakanlah.

"Ana berasa lebih tenang sekarang dan dengan penghijrahan ini, Ana mengharapkan yang terbaik. Ana masih seperti yang anda semua kenali dulu cuma Ana melihat diri Ana kini mempunyai kehidupan yang lebih sempurna."

Sumber: Media Hiburan dan Gua


Bertudung sebab diri sendiri




BERKAT 12 Rabiulawal sempena kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, 27, membawa arus perubahan besar dalam hidup dan kerjayanya dengan tampil bertudung.

Selepas mengejutkan banyak pihak menerusi pengumuman majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka kelahiran Selangor, Ahmad Aznaim Abdullah atau dikenali sebagai Naim, 30, gadis yang menggunakan nama pentas Ana Raffali itu sekali lagi membuka mata ramai terutama peminatnya.

Melangkah setapak lebih dekat dengan tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi, Ana yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, semalam mengakui dia kini merasakan dirinya lebih dekat dengan Maha Pencipta.

"Saya tak melihat pemakaian tudung sebagai satu imej atau trend, ini merupakan pelaksanaan tanggungjawab saya. Sebagai seorang wanita beragama Islam, tidak salah untuk saya mendekatkan diri dengan ajaran agama yang memayungi saya sejak dari kecil," ujarnya yang ditemani buah hatinya yang juga seorang jurufoto bebas itu ketika sesi fotografi tersebut.

Jujur, tatkala lensa kamera jurufoto Kosmo! ,Jeffri Iran membidik tepat ke arah dirinya, si gadis itu kelihatan lebih manis dan tenang.

Kata Ana, penghijrahan itu merupakan doa daripada peminat dan individu sekeliling yang sentiasa menyokongnya selama ini.

"Ramai orang tanya bila nak pakai tudung dan saya jarang memberikan komen mengenai perkara itu. Malah, tidak sesekali saya menangkis atau menolak untuk memakai tudung.

"Dan sekarang syukur Alhamdulillah, doa anda semua dimakbulkan Allah. Jodoh pun sudah ketemu dan kini tanggungjawab saya sebagai seorang wanita beragama Islam semakin lengkap," katanya.

Perasaan yang menusuk terus ke dalam sanubarinya saat dia memutuskan untuk bertudung dirasakan anugerah teragung baginya.

"Alhamdulillah sekarang rasa lebih tenang dan sewaktu hari saya nak pakai tudung itu pun perasaan itu datang dengan sendirinya dan bukan secara mengejut atau tiba-tiba.

"Sebelum keluar makan petang bersama Naim, saya terasa mahu memakai tudung dan saya rasa sangat selesa. Ini perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya, ditambah pula dengan keberkatan Maulidur Rasul pada hari itu," ucap Ana setinggi-tinggi pujian kepada yang Maha Esa atas sinar yang ditunjukkan.

Bertudung bukan satu perkara asing bagi Ana kerana setiap kali menghadiri majlis keagamaan mahupun kenduri dia bakal mengenakan hijab di kepalanya. Malah, dari zaman belajar lagi menurut Ana, dia sememangnya bertudung.

Jatuh Cinta

Menyangkal sama sekali seandainya ada dakwaan yang mengatakan bahawa dia bertudung disebabkan perjalanan hidupnya yang bakal berkahwin tidak lama lagi, ditambah pula dengan faktor latar belakang keluarga Naim yang bersangkut paut dengan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan). Bapa Naim sebenarnya pernah bekerja di Jawi.

"Saya bertudung bukan disebabkan keluarga Naim tapi sebab diri saya sendiri, saya bersyukur kerana dikurniakan nikmat dan rezeki yang melimpah ruah dari Allah.

"Beginilah cara saya membalas kasih sayang-Nya kepada saya iaitu kepercayaan bukan saja dari dalaman tapi juga secara lahiriah. Allah bukakan hati dan mata saya untuk mendapat kesedaran secara halus," luah Ana.

Tambahnya, sepanjang jalinan hubungannya dengan Naim dia tidak pernah dipaksa untuk bertudung dan disebabkan itu mereka berasa semakin selesa dan serasi.

"Kami pun banyak berbincang mengenai hal agama dan masing-masing memberikan pendapat masing-masing," katanya.

Ditanya mengenai persiapan Ana menuju hari bahagianya bersama jejaka yang dipanggilnya Naim, jawab Ana segalanya berada di landasan yang tepat.

"Alhamdulillah sedang berjalan lancar, hantaran sikit lagi nak siap, kami sudah buat perjumpaan kedua-dua belah pihak begitu juga dengan pihak masjid dan aturcara majlis pun dah siap," katanya yang bakal menggunakan khidmat Ezuwan Ismail dan Safura Azali sebagai pereka pakaian nikah dan resepsi nanti.

Menerusi perbincangan yang sudah dibuat, tambah Ana, sebanyak tujuh dulang hantaran dari pihak lelaki dan sembilan dulang hantaran dari pihak perempuan sudah dipersetujui.

FIGURA yang dikenali dengan imej sopan ini mengakui dirinya kini semakin dekat dengan Tuhan.


Sementara, mas kahwin dan perkara lainnya masih dalam proses perbincangan.

Memikul tanggungjawab bergelar isteri pastinya sedikit sebanyak menghadiahkan jiwa gemuruh buat Ana. Diakui sendiri oleh empunya badan, katanya lagi: "Saya bersyukur sangat-sangat, senang cerita perasaan saya gemuruh dan gembira. Semuanya bercampur-baur."

Memilih untuk berkahwin tatkala karier masih berada di puncak sekali gus bersama satu tanggungjawab yang makin berat, Ana menegaskan dia tidak akan sesekali meninggalkan kariernya sebagai anak seni.

"Saya akan terus berkarya dan insya-Allah pada bulan Mei nanti saya bakal muncul bersama album kedua saya yang memuatkan 10 buah lagu termasuk sebuah lagu baharu, Lisa Jatuh Cinta.

"Material semua dah ada cuma konsepnya masih belum diputuskan. Biar tanggungjawab saya sudah bertambah tapi saya tetap Ana Raffali yang anda semua kenali," tegasnya.

Bingkisan lagu buat Naim

Sebagai seorang karyawan merangkap penulis lirik dan komposer muda yang berbakat, Ana Raffali tidak ketinggalan mendedikasikan sebuah lagu khas buat sang kekasih, Ahmad Aznaim Abdullah, 30.

Lagu Sampai Bila dihasilkannya dua tahun lalu dan katanya tidak sengaja ditujukan khas buat bakal suaminya itu.

"Dua tahun lalu kalau tak silap saya cipta lagu itu dan yang menariknya setiap intipati dalam lagu itu menceritakan kisah saya dan dia (Naim)," singkapnya.

Secara literal, lagu itu menurut Ana berkisar tentang kisah kekasih yang sudah sekian lama bercinta. Jadi sudah sampai masanya untuk setiap pasangan itu meneroka peringkat lebih tinggi dalam sesebuah ikatan perhubungan untuk menyatukan dua hati.

"Lagu ini sebagai pesanan mesra kepada mereka yang sedang bercinta dan merancang masa depan bersama," ucap Ana.
-kosmo


Ulasan GB

Tahniah dan syabas kepada Ana Raffali.

Semuga berkekalan dan semuga lebih ramai selebriti dikurniakan hidayah mengikuti jejak langkah Ana Raffali untuk menyahut seruan Allah agar menutup aurat. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Firmanullah:


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً

Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya. Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.