2 Ogo 2011

Konspirasi SPR & JPN. Daftarkan Pendatang Asing Sebagai Pengundi

Pengundi baru: Pagi tadi PR, petang ini warganegara

Kurang empat jam selepas Malaysiakini melaporkan seorang penduduk tetap (PR) yang memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru, dia nampaknya telahpun menjadi warganegara.

Dia kini mempunyai MyKad biru, berdasarkan semakan pada sistem dalam talian yang sama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mana butiran pendaftarannya sebagai pengundi, direkodkan.

Semakan pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali - pada jam 5.48 petang semalam dan 11.30 pagi ini - menunjukkan nama Mismah adalah berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238), kad pengenalan bagi PR.

Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru.

Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang ini menunjukkan hasil yang mengejutkan - Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru.

Statusnya pada sistem pengesahan dalam talian SPR kekal sama pada jam 3 petang - pengundi yang baru berdaftar dalam senarai daftar tambahan pemilih yang dipamerkan oleh semakan umum. -mk


PR didaftar sebagai pengundi

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang kali menjamin bahawa tiada warga asing dibenar berdaftar sebagai pengundi, sistem pengesahan Jabatan Pendafaran Negara dan SPR menunjukkan sebaliknya.

Seorang pemegang status penduduk tetap (PR) diterima sebagai pengundi baru di Ijok, kawasan yang disandang Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.



Malaysiakini dimaklumkan oleh pembaca bahawa PR bernama “Mismah” didaftarkan dalam daftar pemilih tambahan sekarang dan sedang dipamer kepada awam untuk diteliti.

Semakan dalam melalui sistem pengesahan dalam talian JPN dan SPR mengesahan dakwaan itu.



Sistem JPN yang membenarkan pengguna menyemak status individu dengan memasukkan nombor kad PR, menunjukkan Mismah (640704715238) seorang penduduk tetap.

Bagaimanapun, nombor sama yang disemak di sistem SPR mendapati Mismah pengundi baru.
-mk


Ulasan GB

Memang binatang punya kerja. Membuat kerja-kerja penipuan untuk memenangkan rejim BN yang ternyata korup.

Tidak mengapa. Kamu-kamu di dalam SPR dan JPN akan diheret nanti ke muka pengadilan. Jangan harap rakyat akan melepaskan kamu-kamu semua.

p/s Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pembangkang perlu pro-aktif di dalam isu sebegini dengan membuat keputusan segera tentang langkah yang perlu diambil sebelum nasi menjadi bubur, sebelum PR dikalahkan dengan penipuan.

Perlu lantik Jawatankuasa adhoc PR khusus dan komprehensif untuk hal ini.

Berdasar bukti-bukti yang sedia ada, SPR dan JPN perlu diheret ke muka pengadilan sesegera munkin.



Najib Tipu Rakyat Lagi, Tak Pernah Pun Tawarkan Stadium

Najib Tidak Pernah Tawar Stadium Shah Alam - Maria Chin

SHAH ALAM 2 OGOS : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menawarkan Stadium Shah Alam kepada sekretariat Bersih 2.0 untuk mengadakan himpunan aman rakyat menuntut penambahbaikan dalam sistem pilihan raya negara.

Ahli sekretariat Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata Najib jelas mahu kembali meraih kepercayaan rakyat dengan menyatakan beliau menawarkan stadium tersebut tetapi ditolak sekretariat.

"Itu adalah fakta, kalau dia masih nak teruskan dia ada cakap demikian bagi kita buktilah dalam media di mana dia kata (tawar stadium) Shah Alam?," tegas Maria.

Maria mengakui, Najib memang menawarkan himpunan aman tersebut dilakukan didalam stadium, namun beliau tidak sesekali pernah menamakan stadium yang dimaksudkannya, sehinggalah sekretariat berkeputusan mahu menjayakannya di Stadium Merdeka, yang terletak di Kuala Lumpur.

"Saya rasa sangat kecewa apabila beliau (Najib) memutar-belitkan kenyataan sebelum ini yang beliau (ada) tawarkan Stadium Shah Alam, dalam kenyataannya sebelum ini Najib tidak pernah menyebut atau menawarkan mana-mana stadium sehingga kami (penganjur Bersih) memutuskan memilih stadium Merdeka.

Najib harus memberitahu perkara sebenar," kata Maria. Najib semasa merasmikan Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia Summit (MSLS) Kelima kelmarin menyatakan beliau sebenarnya mahu menawarkan Stadium Shah Alam untuk himpunan tersebut, namun ditolak.

“Kita cadangkan stadium tapi tidak diterima, mereka masih mahu turun ke jalan. "Dalam pemikiran saya, saya mahu berikan Stadium Shah Alam tapi mereka tolak,” kata Najib.

Najib juga berkata, beliau menawarkan untuk himpunan aman tersebut diadakan didalam stadium ekoran ia adalah saluran yang betul dan menjamin keselamatan peserta himpunan.

“Kita mahu ia (perhimpunan) dilakukan ikut saluran yang betul, sebab itu kita tawarkan stadium. Mengapa kita tawarkan stadium? Supaya mereka boleh berucap dan tidak turun ke jalanan kerana tiada sesiapa yang boleh jamin perhimpunan di jalan tidak akan timbulkan apa-apa masalah," jelas Najib.

Mengulas kenyataan Najib itu, Maria berkata sebaik sahaja dinasihati Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Tuanku Mizan Zainal Abidin agar mengadakan himpunan tersebut didalam stadium, sekretariat akur dan memilih Stadium Merdeka.

Namun, tatkala itu Najib mengubah kenyataannya dan berkata, mana- mana pertubuhan yang ingin melakukan himpunan mestilah berdaftar dibawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tindakan 'flip- flop' Najib itu mengundang pelbagai kritikan daripada 62 Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat marhaen.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibarhim sebelum ini menawarkan Stadium Shah Alam untuk menjayakan himpunan tersebut, namun setelah mengambil kira banyak faktor, sekretariat Bersih 2.0 memilih Stadium Merdeka. -tvsnews




Rakyat Sudah Tidak Takut, Malah Bangga Dapat Serta BERS✔H 2.0

Dari Ops Lalang ke 709: Suasana ketakutan hilang...

Perhimpunan BERSIH 2.0 membuka lembaran baru gerakan sosial negara kita. Rakyat ghairah berkongsi kisah 709, sama ada di warong mamak mahupun di alam siber. Kini, keenam-enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan. Persoalannya, adakah bahang gerakan sosial ini akan dikekal hangat, ataupun dibubuhkan noktah begitu sahaja?

Pemerhati politik, Tang Ah Chai menganggap sama ada gerakan ini dikekalkan atau tidak, bergantung kepada sikap kerajaan (untuk menekan atau tidak gerakan ini) dan pertubuhan masyarakat sivil (lebih proaktif untuk mengekalkan kehangatan gerakan ini).

Tang berkata, sebelum ini, kerajaan dan polis telah memaklumkan bahawa tindakan akan diambil terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM). Seandainya Peguam Negara mendakwa mereka ke mahkamah, maka aktiviti akan dipergiatkan untuk menunjukkan "solidariti" kepada mereka. Selain itu, gerakan ini boleh dikekalkan, seandainya BERSIH 2.0 mengutarakan halatuju reformasi yang jelas - maka rakyat mempunyai ruang untuk melibatkan diri dan menyatakan sokongan mereka.

Perkembangan gerakan BERSIH 2.0 sepanjang tempoh dua bulan ini memperlihatkan banyak perkembangan yang positif, terutamanya apabila rakyat tidak lagi diselubungi rasa takut, menurut pengamatan beliau. Tang Ah Chai membandingkan 709 dengan Operasi Lalang pada tahun 1987, yang mana suasana ketakutan tidak lagi menyelubungi masyarakat. Apa yang wujud adalah suasana ketakutan yang cuba ditimbulkan kerajaan.

Beliau menambah, rakyat menjadi takut dan berdiam diri ketika Operasi Lalang. Pimpinan pertubuhan cuba larikan diri ke luar negeri, sebagai alasan untuk mengelakkan diri daripada menyatakan pendirian. Terlalu sedikit yang sanggup menyatakan pendirian, apatah lagi sokongan. Kini, rakyat secara terbuka menyatakan hasrat untuk turun ke jalan raya, malah berkongsi pengalaman dirinya berdemonstrasi dengan rakan-rakan mereka.

"Peserta melihat penglibatan dirinya sebagai satu kebanggaan. Mereka menulis di Facebook, berkongsi dan berbincang isu ini dengan kawan dan ahli keluarga. Mereka mengambil peluang berkongsi kebanggaan dirinya untuk berada dalam perhimpunan tersebut, malah sudi berkongsi dengan nama dirinya yang sebenar," kata Tang Ah Chai.

Beliau berkata, puluhan ribu turun ke jalan raya meskipun polis dan kerajaan mencuba sedaya upaya untuk menyekat kemaraan rakyat, di samping penangkapan secara besar-besaran. Ini menunjukkan bahawa rakyat telah membebaskan diri daripada ketakutan, malah melihat perhimpunan ini sebagai manisfestasi patriotisme. Mereka melihat diri mereka menyumbang untuk memajukan negara. Jelas, ini satu kemajuan gerakan sosial jika dibandingkan dengan Operasi Lalang, 24 tahun yang lalu.

Menggarap imaginasi rakyat

Tang Ah Chai mengulas, selepas perhimpunan BERSIH 2.0, mana-mana perhimpunan yang diadakan mengundang reaksi yang positif dari kalangan rakyat, misalnya perhimpunan untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap laporan Suruhanjaya Diraja siasatan kematian Teoh Beng Hock, perhimpunan mendesak pembebasan EO6 dan sebagainya. Usaha ini menampakkan kuasa rakyat di tempat masing-masing, dan ia juga berupa kemajuan yang besar.

Beliau berkata, cabaran terbesar gerakan sosial adalah untuk memastikan agar peserta kekal melibatkan diri. Daripada pengamatan beliau sepanjang beberapa minggu ini, beliau mendapati rakyat mula komited untuk terus menyertai aktiviti seumpama ini.

"Setiap orang mahu melakukan sesuatu. Setiap orang merasai sesuatu yang tidak kena dalam sistem kita - bukan sekadar Suruhanjaya Pilihan Raya, atau sistem pilihan raya. Maka setiap tindakan rakyat adalah proses untuk mencari jalan keluar, sama ada untuk dirinya atau negaranya," analisanya.

Beliau menganggap lapan tuntutan BERSIH 2.0, dan pimpinannya, terutamanya Ambiga Sreenevasan berjaya menggarap imaginasi ramai. Malah selepas perhimpunan, dua dialog antara Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga dengan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, menambah keyakinan rakyat terhadap BERSIH 2.0.

Tang Ah Chai berkata, Ambiga berjaya mengolah tuntutan BERSIH 2.0 dengan fakta dan rasional, mendedahkan kepincangan yang wujud dalam SPR. Tindakan ini dengan sendirinya menyanggah tuduhan kerajaan bahawa peserta perhimpunan adalah perusuh, dan mengikut pemimpin mereka secara buta tuli, segala-galanya akan melabuh tirai setelah tamatnya perhimpunan. Sebaliknya, BERSIH 2.0 menyatakan dengan tegas pendiriannya untuk mereformasikan sistem pilihan raya.

Berbanding dengan BERSIH 2.0, PERKASA dan Pemuda UMNO memberi persepsi "buat kecoh", malah gagal menandingi imej bagaikan badut. Tang Ah Chai menganggap ini sebagai peluang pendidikan, untuk rakyat membezakan pendirian dan tindakan antara BERSIH 2.0, PERKASA dan Pemuda UMNO.

Usaha kekalkan kehangatan

Ketika membicarakan kejayaan BERSIH 2.0, Tang Ah Chai menganggap ia didorong halatuju reformasi yang jelas dan tuntutan yang konkrit. Lapan tuntutan yang dikemukakan adalah nyata - boleh diputuskan segera sama ada untuk melaksana atau tidak. Misalnya, SPR boleh memutuskan segera sama ada tempoh kempen boleh dipanjangkan kepada 21 hari.

Selain itu, perhimpunan BERSIH memberi kesempatan untuk tunjuk perasaan di jalan raya, mengamalkan hak asasi untuk berhimpun - dan bukan lagi sekadar demokrasi luaran seperti menulis surat untuk menyatakan ketidakpuasan. Lebih-lebih lagi, apabila golongan profesional dan tokoh agama tampil untuk memberi sokongan, ia amat memberangsangkan generasi muda.

Meskipun BERSIH 2.0 agak berjaya dalam hal ini, namun Tang Ah Chai menganggap ia harus merangkumi gerakan sosial dari bidang yang berlainan, saling membantu untuk menguatkan dan memantapkan lagi gerakan itu. Justeru itu, kuasa masyarakat sivil akan semakin matang jikalau budaya ini berkembang. -MR

Ulasan GB

Apabila rakyat sudah tidak takut maka ia satu permulaan bagi satu era baru... iaitu keruntuhan penjajahan.

Rakyat telah dijajah sekian lama oleh rejim BN dengan menanamkan perasaan TAKUT di dalam minda rakyat. Dengan ISA, dengan Ordinan Darurat, dengan keganasan polis, dengan lagak SPRM, dengan kehitaman institusi kehakiman, dengan ugutan menteri-menteri terutama Menteri Dalam Negeri & Menteri Pengajian Tinggi, dengan penipuan PM dan TPM.

UMNO BN memperbodohkan sekalian rakyat sepertimana mereka telah memperbodohkan ahli mereka. Mereka masih berada di era jahiliyah, di era zaman purba. Menggunakan undang-undang rimba untuk menyekat kebangkitan rakyat.

Inilah seruan GB berkali-kali: JANGAN TAKUT. Itulah kekuatan dalaman yang perlu ada JIKA kita inginkan perubahan.


Di Kulim, Seorang Pemuda Dibunuh Kerana Kutuk Kenalan Wanita Di Facebook

Perkenalan Maut

KULIM: Gara-gara mengutuk kenalan wanita dalam laman sosial facebook (FB), seorang lelaki mati selepas dua hari dimasukkan ke Hospital Kulim (HK) akibat koma kesan pendarahan dalam kepala akibat dihentak dengan topi keledar dalam satu pergaduhan di Taman Tiram, Lunas, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 8 malam, Mohd Amran Romli, 20, dikatakan diserang dua abang wanita itu di sebuah pasar raya di taman berkenaan.

Akibat kejadian itu, mangsa dikejarkan ke HK dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dua hari sebelum mangsa meninggal dunia kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 8 malam di belakang pasar raya di taman berkenaan.

Katanya, dua lelaki terbabit yang berusia 25 dan 26 tahun tidak puas hati selepas melihat mangsa mengutuk hal peribadi keluarga mereka. -hm


Kutuk di Facebook undang padah

Lelaki maut dibelasah abang kenalan wanita

KULIM: Akibat mengutuk hal peribadi keluarga kenalan wanitanya melalui laman sosial Facebook, seorang lelaki dibelasah hingga mati menggunakan topi keledar oleh dua lelaki yang dipercayai abang wanita itu.

Mangsa, Mohd Amran Romli, 20, dimasukkan ke Hospital Kulim selepas kejadian jam 8 malam, Jumaat lalu, di Taman Tiram, Lunas dekat sini, dan disahkan mati akibat pendarahan dalaman kepala, kelmarin.

Mohd Amran dikatakan diserang dua lelaki iaitu abang kepada kenalan wanitanya, masing-masing berusia 25 dan 26 tahun di belakang sebuah pasar raya di taman itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata dalam pergaduhan itu kepala mangsa dihentak dengan kuat menggunakan topi keledar oleh suspek, menyebabkannya pengsan dan dikejarkan ke Hospital Kulim.

“Mangsa mengenali wanita itu melalui Facebook, tetapi selepas berhubung melalui laman berkenaan beberapa lama, hubungan mereka mula menghadapi masalah.

“Sejak itu mangsa dikatakan sering mengganggu kenalan wanitanya melalui Facebook, selain turut mengutuk hal peribadi keluarganya. Wanita itu kemudian mengadu perbuatan mangsa kepada dua abangnya.

“Sebaik mengetahui hal itu, abang wanita terbabit merancang satu perjumpaan dengan mangsa di belakang sebuah pasar raya untuk menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan mangsa dihentak dengan topi keledar sebelum pengsan,” katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia petang kelmarin akibat perdarahan di kepala.

Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. -BH


Selamba Merokok Depan Anak Kena Cekup

Baru sahaja Ramadan membuka tirainya, namun sudah ada umat Islam yang mencemarkan kesucian bulan ini dengan tidak berpuasa.

Semalam dengan selambanya seorang bapa merokok sambil memandu kereta dan cermin tingkap keretanya terbuka, lebih memalukan apabila isteri dan dua anak kecilnya juga ada bersama dalam kereta.

Dua kereta peronda JAIPP yang pada ketika itu sudah setengah hari melakukan operasi pesalah Ramadan kemudiannya serta merta mengarahkan lelaki itu berhenti ke tepi untuk diperiksa.

“Maaf ustaz, saya betul-betul ingat hari ini tidak puasa, hendak ambil tindakan pun tidak mengapa sebab saya memang lupa hari ini puasa’, itulah alasan seorang bapa muda setelah ditahan Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Tetapi helahnya itu hanya sementara selepas Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan bertanyakan kenapa dia tidak bekerja hari ini (semalam).

Kemudiannya bapa muda itu menjawab ‘Hari ini cuti ustaz, cuti peristiwa sebab Ramadan ustaz’, jawapannya yang spontan itu menimbulkan rasa lucu dalam kalangan PPA JAIPP dan wartawan akhbar ini.

Alasannya lupa hari berpuasa akhirnya ‘kantoi’ juga kerana pada mulanya dikatakan tidak tahu hari pertama Ramadan, namun lelaki berkenaan tahu pula waktu bercuti ketika bermulanya Ramadan.

Bapa yang juga suami seharusnya menjadi contoh kepada anak dan isteri namun, dia pula tidak berpuasa.

Beliau menggelabah ketika wartawan merakamkan gambarnya ketika disoal siasat oleh PPA.

“Tak apalah saya mengaku bersalah dan boleh ambil kad pengenalan saya,” katanya.

Lebih menyedihkan kerana ketika operasi dijalankan, anak-anak lelaki berkenaan yang masih kecil bersama dengan isterinya hanya terpinga-pinga melihat keadaan bapanya yang dikelilingi PPA JAIPP.

Lelaki yang berusia awal 30-an itu kemudiannya diberikan notis atas kesalahan mengikut Seksyen 15 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 atas kesalahan tidak menghormati Ramadan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau tidak lebih enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali. -SH


Kain rentang ponteng puasa di 50 lokasi

GEORGETOWN: Sebagai peringatan kepada umat Islam, khususnya ‘kaki ponteng puasa’ supaya berpuasa pada bulan Ramadan, kerajaan negeri akan memasang kain rentang mengenai kesalahan ponteng berpuasa di 50 lokasi di seluruh negeri.

Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim (kanan), berkata Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) juga mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara lebih tegas.

Katanya, pemasangan kain rentang itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kemuliaan Ramadan dan kewajipan menjalani ibadat puasa.

"Bahagian penguat kuasa JAIPP akan bergerak secara serentak di seluruh negeri ini yang membabitkan lima daerah dan mengawasi kawasan tertentu selain menjalankan risikan.

"Kami juga akan menjalankan Ops Jejak untuk mengesan premis yang menjual makanan kepada orang Islam di siang hari; Ops Cegah Maksiat bagi memantau aktiviti bertentangan Islam di rumah tumpangan, hotel dan premis hiburan, manakala Ops Ramal bagi mengesan kegiatan orang Islam dalam aktiviti perjudian," katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JAIPP, Jaafar Ismail.

Abdul Malik berkata, pihaknya juga akan memantau mana-mana orang Islam yang sengaja memasuki premis hiburan, termasuk yang meminum arak.

"Semua kesalahan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang. Mereka yang tidak berpuasa dan tidak menghormati bulan Ramadan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesalahan atau aktiviti maksiat pada Ramadan untuk membuat aduan melalui laman web E-Aduan Maksiat JAIPP di penguatkuasaanjaipp.blogspot.com atau menghubungi JAIPP 019-4256917 (pulau) atau 013-4419300 (Seberang Perai)," katanya. -BH


Hebat Dari Binatang, Bapa Rogol Anak Sendiri!

Pemandu lori sawit dituduh rogol anak

IPOH – Seorang pemandu lori sawit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol anak kandungnya berusia 15 tahun antara tahun 2009 hingga 13 Jun lalu.

Bapa kepada lima anak itu mengaku bersalah terhadap tuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.

Dalam pertuduhan yang dibacakan, tertuduh yang berusia 50 tahun itu mempunyai isteri dan lima anak termasuk mangsa didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah tidak bernombor, Kampung Parit, Titi Gantung dekat sini.

Perbuatan tertuduh itu bukan sahaja menyalahi hukum agama, undang-undang dan adat malah boleh menjejaskan masa depan anak gadisnya yang masih bersekolah.

Berikutan itu dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 B(1) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang enam dan tidak lebih 20 tahun serta sebat.

Bagaimanapun, hasrat tertuduh untuk bebas dengan ikat jamin tidak kesampaian apabila pihak pendakwaan membantah sebarang ikat jamin ke atasnya mengambil kira faktor keselamatan mangsa.

Nadiah mempertahankan bantahan jaminan itu dengan alasan mangsa dalam kejadian itu adalah anak perempuan tertuduh sendiri dan mereka tinggal serumah.

Selain itu, mangsa yang masih dirawat di Hospital Manjung akan pulang ke rumah dalam masa terdekat dan akan dijaga oleh ibunya.

Tertuduh yang hadir dengan hanya berbaju T biru dan berseluar jeans hitam dalam rayuannya memohon agar dia dibenarkan diikat jamin sementara menunggu tarikh sebutan seterusnya.

Dia yang tidak diwakili peguam dalam sebutan semalam berkata, sebagai ketua keluarga, dia terpaksa menyara isteri dan anak-anak serta merupakan penyumbang ekonomi keluarga yang utama.

Hadir sama menemani tertuduh adalah adik perempuannya namun kelibat ahli keluarganya tidak kelihatan.

Mengambil kira kepentingan awam dan menjamin keselamatan mangsa dalam kes ini, Julie Lack membenarkan bantahan ikat jamin terhadap tertuduh sebelum menetapkan 7 September ini sebagai sebutan semula kes bagi mendengar keputusan laporan perubatan mangsa. -SH

Kes Khalwat Salim Parlan: Salim Baru Mohon Pengesahan Poligami

Salim Parlan Mohon Pengesahan Poligami

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran berpoligami dan pengesahan pernikahannya yang didakwa berlaku di selatan Thailand.

Permohonan itu difailkan oleh Salim, 51, dan wanita yang ditangkap berkhalwat dengannya, Nur Diyana Norslan, 30, pada 21 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan permohonan itu disebut pada Isnin.

Pasangan terbabit diwakili oleh peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang memaklumkan bahawa beliau menerima surat daripada Pihak Pendakwaan Syarie Jabatan Agama Pulau Pinang (JAIPP) yang memohon agar prosiding ditangguhkan.

Zainul Rijal juga memberitahu, pihaknya sehingga kini masih belum menerima sebarang maklumat berhubung hasrat pihak Pendakwa Syarie JAIPP untuk menjadi pencelah dalam permohonan oleh anak guamnya.

Hasrat pihak pendakwaan tersebut telah dimaklumkan oleh Ketua Pendakwa Syarie JAIPP, Mohd Zulkhairi Aziz pada prosiding terdahulu, tetapi difahamkan belum berbuat demikian sehingga kini.

Justeru itu, Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan tempoh sehingga 18 Ogos ini untuk pihak Pendakwa Syarie JAIPP memfailkan permohonan sebagai pencelah dalam permohonan Salim.

Salim yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hadir di mahkamah bersama dengan Nur Diyana, yang merupakan bekas pembantu peribadinya.

Pada 19 April lalu, pasangan berkenaan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang atas tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan di sebuah hotel mewah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 5 pagi, 16 April lalu di bilik nombor 224, sebuah hotel di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

Salim didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Neheri 1996 manakala pendakwaan terhadap Nur Diyana dibuat mengikut Seksyen 27(b) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Salim dan Nur Diyana difahamkan telah berkahwin di luar negara dan akan mendaftarkan pernikahan tersebut dengan pengetahuan isteri pertamanya. -mstar


Adik Ini Jadi Buta Kerana Kecuaian Hospital, Bisul Dikatakan Gigitan Nyamuk

Buta akibat bisul lambat dirawat

Gombak – Seorang kanak-kanak, Putri Nur Natashah Mirsha Muhammad Amin, 6, yang pada mulanya hanya didakwa mengalami bengkak akibat gigitan nyamuk mengalami nasib malang apabila mata kanannya kini buta.

Ibu kanak-kanak itu, Nurul Huda Ahmad, 28, berkata, keadaan bengkak pada mata Nur Natashah pada mulanya dikesan ketika dia berusia dua tahun tiga bulan iaitu pada tahun 2008.

Selepas bengkak tersebut semakin membesar, anaknya dibawa ke Hospital Selayang pada 12 Mac 2008 untuk menjalani rawatan namun, Bahagian Kecemasan di hospital tersebut memberitahu, bengkak yang berlaku berpunca daripada kesan gigitan nyamuk.

“Mereka kata tiada apa yang harus dirisaukan walaupun ketika itu anak saya meronta-ronta kesakitan,” ujarnya kepada Kosmo! di rumahnya di Selayang Baru di sini semalam.

Bagaimanapun, pada petang hari yang sama, Nurul Huda datang semula ke Hospital Selayang membawa anaknya kesakitan tetapi dia masih dimaklumkan perkara yang sama.

“Tidak puas hati dengan alasan gigitan nyamuk yang diberi doktor di Hospital Selayang saya kemudian membawa anak saya ke sebuah klinik di Selayang dua hari kemudian dan doktor di klinik itu mengesahkan bahawa ia bisul dan memberi surat rujukan ke Hospital Selayang untuk membuat pembedahan membuang nanah,”
ujarnya.

Menurut Nurul Huda, ketika itu, mata anaknya sudah tersembul keluar dan keadaan di sekeliling matanya juga membengkak. -kosmo

Kes Rogol Amah: Amizuddin Fail Rayuan

Saman Malu Menteri, Blogger Fail Rayuan

KUALA LUMPUR 1 0GOS : Blogger Azimudin Ahmat yang diarahkan membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersabit dakwaan merogol, hari ini memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Amizudin menerusi laman sharpshooter.blogspot.com, pada 28 Disember 2010 menerbitkan artikel berserta gambar, yang mendakwa Datuk Seri Dr. Rais Yatim merogol pembantu rumahnya yang merupakan warganegara Indonesia.

"Saya telah memfailkan notis rayuan untuk kita membuat rayuan terhadap keseluruhan keputusan Yang Arif mengenai kes saman malu ini termasuklah isu gantirugi, dan termasuk kos ketiga-tiga aspek semua," kata peguam yang mewakili Azimudin, Ong Chin Wen dilobi mahkamah.

Selain ganti rugi bernilai RM300,000, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman malu terhadap Amizudin, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda PKR Pulau Pinang, berhubung penyiaran artikel tersebut.

Mengulas perkembangan kes itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata pihaknya akan memastikan kes ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, perbicaraan kes ini tidak mendapat penghakiman yang tuntas ekoran kegagalan membawa saksi- saksi utama ke kandang saksi.

"Kita percaya bahawa alasan-alasan yang ada pasti nanti akan memberikan rakyat Malaysia satu pandangan tentang pendapat kes ini. Antara faktor utama ialah apabila saksi-saksi utama itu tidak dapat hadir dalam mahkamah dan ketika perbicaraan telah menolak permohonan untuk mendapatkan saksi-saksi utama dalam kes ini.

"Dari segi perspektif yang difahami oleh rakyat bahawa sebenarnya dalam perbicaraan kes ini hanyalah keterangan Azimuddin Ahmat sahaja yang diambil dan tidak berjaya dikesan ialah mereka yang disyaki menjadi mangsa dalam kes ini," katanya.

Shamsul berkata akan menggunakan saluran yang tepat untuk membantu Azimudin, biarpun sistem perundangan negara kini terikat pada tekanan politik kotor pemerintah.

"Pada saya, saya rasa ini juga perbicaraan politik, jadi ini menyebabkan politik dan pemimpin politik, jadi kita lihat kebenaran itu dikekang dengan saluran undang-undang.

"Kita juga bersedia untuk berhadapan dengan apa jua keadaan untuk menggunakan semua saluran undang-undang yang ada agar tidak ada pertikaian dari segi aspek-aspek menggunakan mahkamah dalam kes ini," katanya. -tvsnews



Ulasan GB

Allah itu Hakim Yang seadil-adilnya. Justeru perbanyakkanlah berdoa di bulan mulia ini seperti yang selalu GB nukilkan di blog ini:

Kita sebagai rakyat terbanyak hanya mampu terus berdoa kepada Allah s.w.t.

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ
وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَااجْتِنَابَهُ

1) Allahumma arinaal haqqa haqqaan, warzuqnattiba’ah,
wa arinaal bathila bathilaan, warzuqnajtinaabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَاناً نَّصِيراً
وَقُلْ جَاء الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathil innal bathila kaana zahuuqa

Ya Allah, masukkanlah kami dengan cara yang benar dan keluarkanlah(pula) kami dengan cara yang benar dan berikanlah kepada kami dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:


Firman Allah bermaksud,

Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)


BERS✔H 2.0: Serah Segera Foto Dan Video Keganasan Polis Kepada J/K Bersih

BERSIH 2.0: Hantar kami bukti keganasan polis

BERSIH 2.0 menetapkan Rabu ini sebagai tarikh terkhir bagi penyerahan bukti mengenai keganasan dan penggunaan kuasa melampau oleh polis pada perhimpunan 9 Julai lalu.

Gabungan itu bersama NGO, Suaram sedang mengumpul kes dan bukti bagi diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang kemudiannya akan mengadakan inkuiri awam berhubung dakwaan tersebut.

“Adalah penting untuk orang ramai memberitahu pengalaman mereka supaya ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa didedahkan,” kata BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan hari ini.

Ia meminta peserta perhimpunan yang mengalami penderaan fizikal (seperti dipukul, ditendang, ditampar, dipukul menggunakan baton dan lain-lain) dan penderaan melalui kata-kata kesat serta mereka yang ditangkap atau ditahan, tampil memberi maklumat.

Aduan boleh dibuat dengan memberi maklumat di borang di dalam talian dan dihantar menerusi email kepada info@bersih.org dengan tajuk emel 9 Julai Kekerasan Polis atau faks kepada 03-7784 4978.

BERSIH 2.0 juga meminta peserta menghantar gambar dan video kejadian-kejadian berikut:

* Keadaan ketika kematian arwah Baharuddin Ahmad
* Penangkapan Muhammad Sabu
* Serangan polis yang tidak berpatutan di terowong KL Sentral
* Tangkapan dan layanan ganas oleh pegawai polis
* Tembakan air asid dan gas pemedih mata ke dalam Hospital Tung Shin


“Pihak polis telah mendedahkan gambar-gambar yang dipilih dengan hati-hati untuk memburukkan perhimpunan itu. BERSIH 2.0 dan Suaram juga sedang mengumpul bukti-bukti gambar dan video.

“Kami menghargai semua yang berkongsi maklumat yang kredibel dengan kita. Tolong sebarkan perkara ini kepada semua rakan-rakan dan ahli keluarga yang menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.” -mk

Ulasan GB

Semua pihak kena bersungguh-sungguh dan segera menyerahkan semua bahan bukti bagi mendedahkan pembohongan polis di sebalik isu siaran video versi PDRM.

Kita perlu tegas kali ini. Kita tidak lagi boleh diperbodohkan dan ditakutkan.

Kita tidak boleh lagi biarkan polis dan para menteri BN bertindak sesuka hati mereka terhadap rakyat.

Kita akan dedahkan penipuan dan runtuhkan keegoan melampau mereka. Itu guna adanya SUHAKAM.