10 Jun 2008

Sah, Petronas mahu hapus terus subsidi minyak

Berucap seperti Petronas itu milik persendiriannya, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican berkata langkah menghapuskan subsidi minyak perlu dilaksanakan sebelum strategi baru dalam menangani krisis tenaga global dirangka. Beliau berucap demikian ketika di Persidangan Tahunan Minyak dan Gas Ke 13 di ibu kota semalam.

Langkah tersebut meletakkan Malaysia sama darjatnya dengan negara-negara yang tidak mempunyai sumber minyak dan justeru, rakyat berpendapat jika seandainya harga minyak tempatan adalah sama dengan paras harga minyak sedunia tanpa sebarang subsidi, maka Petronas tidak perlu ada sama sekali di negara ini.



Apa yang jelas, fakta sebenar daripada keuntungan Petronas tidak pernah dibentangkan dengan betul seperti seolah ada perkara yang cuba diselindungi dari rakyat.

Rakyat telah melihat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri seolah-olahnya tidak memahami dan tidak tahu mengurus ekonomi negara dengan betul sehingga banyak keputusan dibuat olehnya menyusahkan rakyat jelata. Pun masih terus memegang Menteri Kewangan yang tidka pernah mahu dilepaskan kepada orang lain.

Yang jelas, fakta-fakta palsu dan bercanggah di kalangan pihak yang terlibat di dalam isu minyak ini mendedahkan dan menajamkan lagi kepincangan yang sedia ada.

Malah pada setiap kali pengumuman kenaikan harga minyak, kerajaan pasti mengeluarkan satu statistik kononnya harga minyak di Malaysia adalah yang paling rendah di rantau ini. Kemudian membandingkan harga minyak Malaysia dengan harga minyak di Thailand, Singapura, Filipina dan Vietnam.

Persoalan sekarang apakah asas perbandingan tersebut sedangkan negara negara tersebut bukan pengeluar minyak? Namun itulah hujah yang di gunapakai sentiasa oleh barisan pemimpin negara untuk membahalulkan rakyat.