Mat Sabu pertahan tindakan ceramah Kit Siang berkaitan hudud
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mempertahankan tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang berceramah mengenai pelaksanaan hukum hudud dalam ceramah perdana di sini, Ahad lepas dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang boleh diterima.
Beliau boleh menerima kandungan ceramah berkaitan hudud yang disampaikan oleh Kit Siang kerana dia bukan orang Islam.
"Bila seseorang yang nak ceramah kita tidak tahu apa yang dia hendak cakap... ia bukan macam seminar atau forum kita nak bagi tajuk.
"Itu (kenyataan Lim Kit Siang) kita serah kepada orang untuk membuat pertimbangan sebab dia bukan orang Islam, kira tidak apa lah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Baru, hari ini.
Beliau, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, turut berceramah pada ceramah perdana anjuran PAS Kawasan Kota Baru itu, berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan yang diberikan penasihat DAP itu kerana terdapat lagi pihak yang mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Islam itu.
Pandangan Mat Sabu itu bertentangan dengan PAS Kelantan yang menyifatkan tindakan Kit Siang sebagai sesuatu yang bertentangan dengan pendirian kerajaan negeri Kelantan.
Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata tindakan Kit Siang yang menyentuh isu hudud pada ceramah berkenaan sebagai tidak wajar.
"Kita memang tahu dia sebelum ini sudah menolak hudud, namun tidak sepatutnya dia bersuara secara terbuka di rumah kita. Dia sepatutnya menghormati Kelantan," katanya.
PAS Kelantan turut meminta PAS kawasan Kota Baru memberi penjelasan segera berhubung menjemput Kit Siang dan tujuan ceramah itu diadakan.
Akhbar melaporkan dalam ceramah berkenaan, Kit Siang menjadikan 2 buah negara iaitu Jordan dan Mesir sebagai contoh kerana mempunyai lebih 90% penduduk beragama Islam namun sehingga kini tidak melaksanakan undang-undang Islam.
Kit Siang dilaporkan berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, beliau mengingatkan semua parti yang berada dalam pakatan pembangkang supaya berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui bersama. – Bernama
ULASAN GB
Golongan pro-UMNO dalam PAS begitu hebat menyerang Lim Kit Siang ekoran ucapannya di Kota Bharu baru-baru ini.
Terlupakah mereka bahawa Presiden PAS sendiri yang mereka julang pernah menyatakan adalah menjadi hak DAP untuk menolak hudud?
Mengapa mereka tidak boleh berlapang dada mendengar hujjah LKS dan kemudiannya "berdebat dengan cara berhikmah sepertimana arahan Al-Quran?
Firman Allah swt:
Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah serta petunjuk. An-Nahl: 125
Ini tidak, dihentamnya, dikutuk dan dimaki. Akhlak Islamkah demikian?
Kedua, jangan lupa Sheikh Yusuf Qardhawi, Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia sendiri melalui satu wawancara dengan Al-Jazeera pernah menyatakan "nak hudud perlu bangunkan umat dan diri sendiri dulu"! Jadi dimanakah kesalahan LKS?
Memang memperjuangkan hudud itu satu kewajipan bagi umat Islam tetapi perjuangan itu hendaklah dengan berdakwah secara hikmah dan perlu berstaregi dan berilmu, bukan melulu mengikut hawa nafsu.