9 Okt 2010

Skandal Seks Chua Soi Lek Masih Menghantui Wanita MCA

Mesyuarat Agung Wanita MCA Hangat Dengan Isu Skandal Seks Dr Chua

KUALA LUMPUR, 9 Okt - Sesi perbahasan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita MCA kali ke-35 hari ini hangat apabila skandal seks yang melibatkan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dibangkitkan oleh anggota perwakilan.

Seorang perwakilan dari Pahang, Khiew Yuh Jiuan, mendakwa kebanyakan anggota parti itu berasa malu kerana mempunyai seorang pemimpin tertinggi yang mempunyai "masalah moral".

Beliau turut menyifatkan perjuangan parti itu sebagai gagal berhubung perkara itu yang menyebabkan ramai anggota tidak dapat menyatakan pendirian mereka dengan jelas tentang pelbagai perkara.

"Bila kami mahu menyampaikan pandangan, orang lain akan menyerang parti ini dengan mudah melalui skandal seks presiden. Sebagai ahli, kami terpaksa berdiam diri sahaja. Presiden (Dr Chua), bolehkah kepimpinan anda membantu memperkembangkan MCA?" katanya.

Kata-kata itu kemudiannya disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan yang memenuhi dewan mesyuarat di Hotel Berjaya Times Square di sini.

Speaker Ooi Siew Kim pula berkata ucapan Khiew itu jelas merupakan suara hati anggota dari peringkat akar umbi kepada pucuk pimpinan parti.

Pada Januari 2008, Dr Chua melepaskan jawatannya dalam Kabinet dan Naib Presiden MCA selepas mengakui beliaulah lelaki dalam video seks yang tersebar dengan meluas.

Dr Chua dipilih menerajui MCA dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu pada 28 Mac lepas selepas menewaskan dua orang bekas presiden iaitu Datuk Seri Ong Tee Kiat dan Tan Sri Ong Ka Ting. -Bernama

Ulasan GB

Kan dah susah bila dapat Presiden cenggitu...
dulu nak sangat...

Galas: UMNO Tapis Penceramah. Perkasa Mungkin Diberi Lampu Merah

Umno guna model berbeza di Galas, tapis penceramah

KOTA BARU, 9 Okt — Umno Kelantan akan membuat tapisan barisan penceramahnya pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memastikan hanya penceramah berwibawa sahaja dibenarkan berkempen.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin berkata ia bagi mengelakkan ada penceramah yang dipertikaikan kebolehan dan tidak mampu memberikan hujah bertepatan dengan isu semasa.

“Sebab itu penceramah yang akan berkempen nanti perlu bersesuaian dan mampu memberikan impak dengan hujah-hujah yang bernas dan diterima pengundi di DUN Galas itu nanti.

“Kita akan susun jentera penerangan ini agar menepati kehendak pengundi dan bukan ceramah sahaja yang akan ditekankan tetapi ada kaedah kempen lain akan kita gunakan untuk mematah serangan lawan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Futsal 1Belia Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Dali yang juga Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa itu berkata tidak semua modul pilihan raya kecil DUN Manek Urai yang diadakan pada Julai tahun lalu sesuai untuk digunakan di Galas nanti.

“Keadaan di Galas mungkin berbeza dan kehendak rakyat tidak akan sama seperti di Manek Urai dan sebab itu tidak semua modul dan pendekatan di Manek Urai boleh digunakan di Galas nanti,” katanya.

Beliau berkata jentera penerangan Umno Kelantan yang diketuainya kini sudah bersiap sedia untuk berkempen di Galas dan menunggu lampu hijau daripada ibu pejabat parti untuk bergerak.

Dali berkata selain itu pihaknya juga akan mendekati kira-kira 2,000 pengundi Cina di DUN itu dan yakin isu perkauman yang sering dijadikan ‘senjata’ oleh pembangkang tidak berkesan kali ini.

“Pengundi Cina sudah memahami keadaan politik semasa dan yakin akan menerima semula BN menerusi konsep 1Malaysia serta pengaruh pengarah jentera pilihan raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari PAS Che Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu akan diadakan pada 26 Oktober ini dan jika ada pertandingan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 4 November. — Bernama

Ulasan GB

Dengan mengambil langkah untuk menapis penceramah, difahamkan UMNO tidak akan membenarkan PERKASA untuk turut serta di dalam siri ceramah yang bakal diadakan sepanjang kempen PRK Galas.

Ini kerana Perkasa akan menyebabkan pengundi-pengundi bukan Melayu akan mengenepikan calon UMNO BN di situ.

Namun hubungan intim Perkasa-UMNO sudah diketahui umum dan rakyat Galas juga sudah menghidu sandiwara UMNO tersebut.


Galas: Dewan Pemuda Dan Briged Muslimat Tiup Semboyan Petang Ini

PGalas: Jentera Pemuda PAS dilancar hari ini

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan melancarkan jentera pilihan raya pemuda peringkat negeri Kelantan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas di Markaz PAS Kawasan Gua Musang jam 3 petang ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda negeri khususnya di Gua Musang dikerah untuk memulakan gerak kerja setelah jentera dilancarkan petang ini.

"Untuk peringkat kebangsaan kita dah lancar di program ijtima’ minggu lepas dan hari ini untuk peringkat negeri Kelantan sendiri," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, seramai 5,000 pemuda di seluruh negara telah dikerahkan untuk turun membantu jentera Kelantan pada PRK kali ini.

"Kita telah sasarkan seramai 5000 pemuda akan turun bertugas mengikut syif yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua DPP Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu, Kelantan telah menyediakan seramai 400 pemuda dari setiap kawasan untuk bertugas.

Jumlah petugas dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita telah gerakkan gelombang pertama bermula 7 Oktober lalu. Setiap gelombang akan bertugas mengikut syif iaitu satu syif selama lima hari dan akan berterusan sehingga ke hari membuang undi," katanya.

Majlis pelancaran petang ini akan dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan akan dihadiri oleh beberapa pimpinan DPPP. -harakahdaily


Briged Dewan Muslimat PAS dirasmi petang ini

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengorak langkah baru apabila mereka menubuhkan Briged Dewan Muslimat PAS Pusat secara rasmi petang ini.

Briged itu ditubuhkan dengan tujuan untuk menggerakkan tenaga muda wanita dalam gerak kerja parti termasuk pada pilihan raya sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa wanita muda "tidak ada" dalam PAS.

"Penubuhan briged ini sebagai platform kepada wanita muda PAS bagi menarik sokongan dan penglibatan wanita dalam kerja-kerja parti. (Kerja) pilihan raya adalah sebahagian daripada tuntutan itu," kata setiausaha DMPP Kartini Ahmad.

Menurutnya, tugas rasmi pertama briged itu adalah untuk membantu jentera pilihan raya PAS pada pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Setakat ini, kata Kartini briged berkenaan mempunyai kira-kira 1,000 ahli dan telah memulakan tugas mereka semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kartini berkata majlis pelancaran hari sebagai merasmikan penubuhan briged berkenaan dan masanya juga bertepatan dengan kempen pilihan raya Galas yang bermula 26 Oktober ini.

Kartini juga tidak menafikan peranan briged dewan muslimat itu "mungkin dikatakan sama" dengan Puteri Umno iaitu untuk menarik golongan muda supaya mempunyai kesedaran bahawa mengundi itu satu tanggungjawab yang besar.

"Kita juga mahu meningkatkan kesedaran kepada pengundi muda yang belum mendaftar sebagai pemilih," katanya sambil menambah briged DMPP akan berada di bawah seliaan dewan terbabit.

Majlis pelancaran itu dijadual pada jam 5 petang ini di dewan perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam yang akan disempurnakan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara pemimpin muslimat yang dijangka hadir adalah ketuanya, Nuridah Salleh dan pengarah pilihan raya DMPP Dr Mariah Mahmud.

Menurut Kartini lagi, majlis pelancaran diadakan secara terbuka dan sidang media akan diadakan selepas majlis tersebut. - mk

Serangan Keterlaluan Ke Atas Zaid Undang Simpati Akar Umbi Terhadapnya

Serangan bertubi-tubi calon Timbalan Presiden, Azmin Ali terhadap lawannya Datuk Zaid Ibrahim menyebabkan kalangan akar umbi kini merasa mual dengan tindakan kumpulan Azmin tersebut.

"Sekalipun didokongi oleh pimpinan tertinggi parti, tidak bererti mereka boleh menerima bulat-bulat apa yang dituduh," kata seorang pengulas politik kepada GB.

"Saya bersetuju dengan pandangan GB bahawa yang ada kini hanyalah lemparan fitnah Azmin terhadap Zaid. Malah pimpinan tertinggi pun terjebak sama. Dari atas sampai ke bawah, tak habis-habis menjaja fitnah," tambahnya lagi.

Zaid mengambil sikap bersahaja terhadap lemparan fitnah dan serangan agresif Azmin. Zaid berkata:

"Pelik sungguh tabiat dan tindakan mereka ini. Semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang orang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan. Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada Umno. Tuduhan terhadap peribadi saya juga ditingkatkan. Teringat saya semasa di Hulu Selangor dulu, cuma masa itu Umno yang membelasah saya.

Jawapan saya begini: Saya masuk Keadilan kerana saya mahukan parti ini berganding dengan Pakatan untuk mengubah budaya dan kuasa politik di negara ini supaya rakyat Malaysia mempunyai Kerajaan yang berlaku lebih adil dan saksama kepada rakyat jelata. Dalam perjuangan ini, kesetiaan saya tidak berganjak seinci pun. Malah semangat saya lebih kuat. Sebab itu saya ingin menawarkan diri untuk bertanding; manalah tahu kalau ahli-ahli Keadilan terpanggil untuk melihat perubahan dalam parti ini dan menyokong gandingan Anwar Ibrahim-Zaid Ibrahim. Kita tidak boleh mengubah budaya politik dan meningkatkan tahap pentadbiran negara kalau parti kita sendiri tidak mempraktikkan prinsip-prinsip yang kita laungkan itu."

Dan beliau berkata lagi:

"DALAM parti kita perlu berbaik-baik dan tidak perlu berkelahi hanya kerana berbeza pendapat. Hendak kata saya tidak setia, jual parti, pengkhianat dan sebagainya tidak perlulah. Cakap dan pilih sahaja siapa yang lebih baik daripada saya, cukuplah."

Beberapa orang calon di dalam Pemilihan kali ini turut memperlihatkan bahawa tiada apa kesalahan yang dilakukan oleh Zaid.

Calon Timbalan Presiden yang lain, Mustaffa Kamil Ayub secara berterus terang mengulas apa yang disifatkan kelantangan Zaid :

'Kelantangan' Zaid?
Zaid punya prinsip sebab itu beliau sertai PKR. Saya tetap beri (beliau) gambaran positif. Bila beliau sertai PKR, maknanya beliau punya jiwa reformasi PKR, tak tunduk tekanan penguasa politik dan dominasi kuasa politik tertentu. Soal baru dalam PKR, terserah pada anggota untuk buat penilaian. Ada orang cepat belajar dan buat pengesuaian.

Kritikan Zaid pada parti?

Anggota PKR bijak menilai. Saya kurang pasti apa niat sebenar beliau. Saya percaya, anggota PKR bijaksana dalam konteks membuat pilihan kalau mereka rasa (itu) keterlaluan dan bukan pendekatan konstruktuif kepada parti... Berbeza dengan politik Umno, pemimpin mereka tidak boleh dikritik.


Itu pandangan Mustaffa. Jika kita meninjau calon Timbalan Presiden yang telah menarik diri tetapi hanya akab berebut kerusi Naib Presiden, Tian Chua, Tian Chua menyatakan:

Bekas menteri kabinet itu (Zaid) merupakan calon yang telah diberi mandat yang besar oleh cabang-cabang.

"Saya hormati apa sahaja tindakan Zaid dan saya rasa mandat yang telah diberikan kepada Zaid oleh cabang-cabang terlalu besar.


Di pihak Angkatan Muda Keadilan, calon-calon yang bertanding turut memperlihatkaan pandangan yang serupa. Che'guBard menyatakan:

PKR rugi jika menolak orang baru yang mempunyai kewibawaan mempimpin semata-mata kerana statusnya baru menyertai parti

Sebaliknya, kata beliau, belum tentu orang lama dalam parti mampu memainkan peranan dengan baik dalam parti.

"Setiap ahli parti, tidak mengira baru atau lama mempunyai hak untuk bertanding mana-mana jawatan selagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.


Seorang lagi calon Ketua AMK, Rafizi Ramli dalam satu wawancaranya dengan tegas menyatakan sebarang sekatan untuk "ahli baru" bertanding a:dalah budaya lapok UMNO yang takut kepada bayang-bayang sendiri.

kalau ada sekelompok di dalam parti yang cuba menyekat golongan ini aktif di dalam parti, kerana budaya itu adalah budaya lapok UMNO yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Perbezaan kita berbanding dengan UMNO adalah kerana kita meraikan semua pihak dan mengalu-alukan penyertaan golongan berpendidikan dan profesional, sebab itu kita nampak lebih menarik berbanding parti-parti BN di mata rakyat.

Lee Boon Chye yang cuba menyerang Zaid, tetapi Lee Boon Chye sendiri telah disergah oleh S Manikavasagam. Kata Manickavasagam:

"Saya gesa pemimpin kanan parti seperti Dr Lee Boon Chye kekal tidak memihak dan berhenti mengeluarkan kenyataan menghentam pesaing lain, termasuk Zaid Ibrahim.

"Dr Lee kena sedar, beliau turut bersaing untuk jawatan tertinggi parti dan beliau patut tidak dilihat cuba berkempen untuk menang dengan mengugat orang lain," kata Manikavasagam yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.



Zaid: Siapa musuh parti dalam PKR?

Ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim menafikan beliau ditaja oleh ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen untuk menghancurkan parti itu.

Katanya, sejak isu pemilihan timbul, cara berkempen setakat ini adalah melabel mereka yang menawarkan diri tetapi tidak direstui sebagai 'musuh parti'.

“Adakah benar saya ditaja oleh ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen untuk menghancurkan parti? Itukah cara kempen setakat ini? Bahawa saya ini pengkhianat dan saya orang baru?

“Pada pendapat saya, isu kempen sebenarnya mudah sekali. Jika ahli-ahli PKR selesa dan berpuas hati dengan prestasi parti berteras reformasi ini, maka pilihlah calon-calon yang setia dan mereka dari Reformasi 1998. Jika ahli-ahli PKR percaya bahawa semua masalah dan kelemahan parti kita adalah ciptaan dan kerenah Umno, mereka patut memilih pemimpin yang sedia ada sebagai calon,” katanya dalam posting terbaru di blognya.

Menurut Zaid, beliau menawarkan diri sebagai calon hanya jika ahli PKR mahu alternatif dalam membuat perhitungan.

Tak masuk akal

Katanya lagi, beliau sebenarnya tidak mahu menjawab segala tohmahan tetapi tuduhan yang tidak masuk akal terpaksa dijawabnya.

“Soh Chee Wen (kiri), setahu saya, adalah rakan akrab dan setia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah membantu PKR. Azmin Ali, Syed Shahir dan (Datuk) Chua Jui Meng tahu hal ini. Saya kenal Soh kerana dia dilantik oleh Anwar untuk menganggotai biro politik PKR sembilan bulan lalu.

“Amat tidak masuk akal untuk Soh digambarkan sebagai orang jahat dengan serta-merta bila berkawan dengan saya, tetapi bila berkawan dengan Anwar, dia orang yang baik. Ini aneh sekali,”
tulisnya.

Zaid sehubungan itu menafikan beliau dibiayai oleh Soh ataupun orang lain.

Nombor dua tak ada kuasa

“Lagipun jawatan timbalan presiden (PKR) itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada banyak kuasa sangat.

“Apa lagi dalam PKR, nombor satu pun tak ada kuasa seperti ketua umum, jawatan yang tidak boleh ditandingi. Jadi, saya tidak faham riuh-rendah pasal jawatan nombor dua ini,” tulisnya secara sinis.


Mahkamah Tak Boleh Campurtangan Semata-mata Nak Tolak Tuntutan Siva

Mahkamah Putuskan Tak Boleh Campurtangan

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam hal yang berlaku semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, termasuk soal berhubung penyingkiran V Sivakumar sebagai Speaker.

Hakim Datuk Abdul Malik Ishak berkata apa yang berlaku pada 7 Mei tahun lalu di DUN Perak, termasuk penyingkiran Sivakumar sebagai Speaker dan digantikan oleh Datuk R Ganesan, adalah sah dan dibuat berdasarkan undang-undang.

Beliau berkata sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan itu mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk memilih atau memecat Speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Speaker adalah terletak di luar bidang kuasa mahkamah untuk membuat penghakiman mengenainya berdasarkan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan.

"Sebarang relief yang diberi kepada Sivakumar akan membawa erti merampas kuasa Dewan," kata Abdul Malik dalam penghakimannya setebal 49 muka surat bertarikh 20 Ogos, yang diedarkan kepada media semalam.

Pada 22 Jun tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Malik, menolak rayuan Sivakumar untuk mengekalkan saman sivilnya terhadap Ganesan berhubung perbuatan menyerang, memukul dan menahan secara salah.

Sivakumar mengambil tindakan undang-undang terhadap Ganesan susulan kepada persidangan DUN berkenaan pada 7 Mei tahun lepas di mana beliau mendakwa dia dipegang secara kasar, diheret dan dibawa keluar dari dewan persidangan atas perintah Ganesan ketika beliau mempengerusikan persidangan dewan itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan, sebagai Speaker yang sah.

Sivakumar mendakwa pada hari berkenaan iaitu selepas dewan membuat ketetapan memecatnya sebagai Speaker, Ganesan memerintahkannya kembali duduk di kerusi yang disediakan untuk ADUN Tronoh dan apabila beliau tidak mematuhi perintah itu, Ganesan memerintahkan Bentara Dewan mengalihnya daripada duduk di kerusi Speaker dan ini menyebabkan belaku pergelutan.

Dalam penghakimannya Abdul Malik berkata, tindakan Ganesan di Dewan berkenaan dibuat sebagai Speaker yang sah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, sejajar dengan kuasa yang diberi kepadanya berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Perak, perintah tetap dan amalan parlimen.

Hakim itu berkata ia merupakan perkara berkaitan prosiding dalaman dewan berkenaan yang tidak boleh dicampuri oleh mahkamah dan Sivakumar tidak boleh mencabar sah atau tidak prosidng Dewan itu.

Katanya tindakan Ganesan pada hari itu bertujuan memelihara peraturan dan ketenteraman di Dewan berkenaan berikutan tingkah-laku buruk Sivakumar yang menghalang atau mengganggu perjalanan Dewan itu.

Abdul Malik berkata mahkamah membuat kesimpulan bahawa dakwaan yang dibuat oleh Sivakumar adalah sesuatu yang remeh kerana beliau tidak dapat mengenal pasti penyerangnya.

"Dalam percubaan terdesak untuk menyelamatkan kapal yang hendak tenggelam, plaintif (Sivakumar) bergantung pada mesyuarat yang diadakan di bawah pokok pada 3 Mac 2009 dan mendakwa ia adalah persidangan Dewan. Kami membuat keputusan bahawa pendapat seperti itu adalah tidak berasas sama sekali dan sesuatu yang menyusahkan sahaja," katanya.

Beliau berkata mahkamah memutuskan bahawa apa yang dianggap sebagai mesyuarat di bawah pokok itu sebenarnya bukan suatu persidangan seperti yang disyaratkan oleh Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan Perintah Tetap.

"Sebanyak 31 perisytiharaan berkanun dibuat oleh ADUN Perak, yang semuanya mengesahkan bahawa plaintif (Sivakumar) disingkirkan sebagai Speaker DUN berkenaan dan defendan (Ganesan) pula dipilih sebagai Speaker Dewan itu.

"Apa jua yang dilakukan defendan pada 7 Mei 2009 selepas dipilih sebagai Speaker mestilah diterima sebagai hak istimewanya. Defenden dilindungi oleh imuniti," katanya.

Beliau berkata oleh itu, Mahkamah Tinggi bertindak betul apabila menolak saman Sivakumar. - Bernama

Ulasan GB

Memang pelik sistem kehakiman di dalam negara kita.

Dahulu hakim boleh isytiharkan persidangan DUN bawah pokok tidak sah, isytiharkan Zambry MB yang sah, isytiharkan Ganesan Speaker Perak, itu semua campurtangan nyata terhadap Sidang DUN Perak.

Apabila Sivakumar gunakan precedent yang sama, tetiba keputusan berubah, kini hakim berkata mahkamah tak der kuasa untuk campurtangan pula.

Sekaligus mengesahkan tindakan pihak yang menyerang, memukul dan menahan Sivakumar secara salah.

Ini bererti di lain masa, untuk menukar speaker dewan, tindakan sedemikian adalah dibenarkan. Mahkamah tiada ada kuasa menahannya?

Ku Li Mampu "Mengalas" Atau "Menggalas"?

Ku Li Dilantik Pengarah Pilihan Raya BN DUN Galas

SEPANG: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata ia merupakan tanggungjawab sebagai anggota Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, persoalan sama ada dilantik sebagai calon tidak timbul kerana beliau perlu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta bermesyuarat mengenai perkara itu Isnin depan.

"Kita belum mengadakan mesyuarat pun. Kita bincang tadi, mungkin saya akan jumpa Perdana Menteri pada hari Isnin depan.

"Selepas itu, kita akan mengadakan mesyuarat, dan selepas mesyuarat, kitaakan mengadakan sidang media, memaklumkan apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat itu," katanya kepada pemberita sebaik tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Pelantikan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir bulan lepas, kerana yakin dengan kepimpinan beliau yang amat berpengalaman, berpengaruh serta dihormati pengundi di kawasan itu.

Pada Jumaat, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Ku Li merupakan calon paling layak bertanding di DUN Galas berdasarkan kewibawaan beliau, khususnya di Gua Musang, selain dalam arena politik di peringkat nasional.

Mengenai dakwaan Pas bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN padapilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Ku Li berkata beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu.

Bagaimanapun, katanya, pandangan Umno juga perlu dihormati parti pembangkang berkenaan.

Berhubung cubaan Pas memutarbelitkan isu royalti minyak, Ku Li berkata ia adalah isu nasional dan perkara itu tidak boleh ditimbulkan kerana kerajaan Pas telah membawanya ke mahkamah.

Katanya, tindakan membincangkan perkara itu adalah "sub judice" kerana kes tersebut belum didengar oleh mahkamah.

Berhubung keyakinan Pas bahawa mereka akan terus menguasai kerusi DUN Galas itu, Ku Li berkata, "Kita tengoklah pada 4 November nanti". - BERNAMA

Ulasan GB

GB tertarik kepada kain rentang UMNO BN yang menyambut kepulangan YBM Tengku Razaleigh Hamzah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi tadi.

Ayatnya berbunyi: KU LI MAMPU MENGALAS

Perkataan "mengalas" datang dari akar kata "alas" yang bermakna tempat untuk diletakkan sesuatu di atasnya atau tempat untuk dipijak seperti "alas kaki".

Manakala yang sebetulnya atau sepatutnya "menggalas" yang terbit dari pertaaan "galas" itu "memikul", "membahu" - di dalam konteks sekarang "memikul tanggungjawab"

Daripada dua itu, UMNO lebih suka Ku Li mampu "mengalas" daripada "menggalas" ertinya Ku Li mampu dijadikan tempat untuk dipijak bukan untuk "memikul tanggungjawab".

Nak perjuangkan bangsa sedang bahasanya pun masih bercelaru. Tetapi yang nyata memang UMNO jadikan Ku Li sebagai "alas kaki", maka lantarannya dikatakan Ku Li mampu mengalas, bukan menggalas...


Ahli Parlimen Batu Sapi Meninggal Dunia Kemalangan Jalan Raya. Pilihanraya Lagi.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu. Beliau berusia 54 tahun.

Mendiang dipercayai menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki 750 di jalan Sembulan-Tanjung Aru apabila bertembung Mercedez kira-kira 11.40 pagi Sabtu.

Mayat mendiang dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Chong dilahirkan pada 9 April 1956 di Sandakan. Beliau berkahwin dengan Linda Tsen Thau Lin dan meninggalkan empat anak.

Jurutera perunding itu merupakan bendahari parti dan Pengerusi bahagian Elopura.

Chong menjadi Ahli Parlimen setelah memenangi kerusi Batu Sapi pada pilihan raya umum 2004. -mstar

Apabila Media PKR Turut Amalkan Kewartawanan Longkang

Kelmarin GB mengulas bahawa media PKR iaitu Suara Keadilan dan TV Selangor telah membuka ruang seluas-luasnya untuk Azmin tetapi menutup ruang itu untuk Zaid Ibrahim di dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, ia jelas menunjukkan media PKR juga berjalan senget sama seperti media arus perdana yang dikutuknya selama ini.

Kini, media-media PKR itu bukan sahaja ia senget, malahan lebih buruk daripada itu, ia telah melancarkan serangan ke atas Zaid Ibrahim seolah-olah Zaid itu bukan lagi ahli PKR layaknya.

Di dalam satu tulisan di dalam Suara Keadilan, wartawannya terus-terusan menuduh dengan mengaitkan pendedahan Rahimi dengan Datuk Soh Chee Wen, seorang jutawan yang dikatakan kononnya disifatkan sebagai pengurus dana kempen Zaid dalam pemilihan PKR.

Ia tidak mengemukakan sebarang bukti, tidak mengemukakan sebarang penjelasan melainkan fitnah rambang dan tuduhan melulu semata-mata untuk mendiskreditkan peribadi Zaid untuk faedah Azmin.

Mana bukti Datuk Soh Chee Wen mendalangi Rahimi dan mana bukti beliau menguruskan dana bagi kempen Zaid?

Apabila tuduhan dilemparkan tanpa bukti, itulah fitnah namanya. Dan ia menjelaskan kepada kita sebahagian besar pimpinan PKR termasuk medianya begitu jumud dan tidak bersikap terbuka di dalam Pemilihan.

Begitu juga TVSelangor, membuka ruang untuk Zaid tetapi dengan kaedah menyerang Zaid dengan tajuk-tajuk beritanya yang provokatif dengan tujuan yang serupa dengan Suara keadilan, iaitu untuk mendiskreditkan nama Zaid.

Mana Jawatan Pemilihan Parti(JPP)? Mana Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution yang tiba-tiba berdiam diri terhadap peranan media PKR yang mengamalkan kewartawanan longkang ini?Apakah mereka turut terjebak di dalam grand-design pimpinan PKR untuk memenangkan Azmin Ali di dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden?

Serangan bertubi-tubi Azmin juga dilihat sebagai fobia kumpulannya terhadap Zaid yang dikatanya "baru setahun jagung" di dalam PKR. Kalau baru setahun jagung di dalam PKR, kenapa perlu takut? Ia menggambarkan bahawa Azmin tidak ada kekuatan tetapi sebenarnya ketakutan teramat sangat kepada bayang-bayang sendiri apabila terpaksa bertindak agresif dan offensif dengan melancarkan serangan melulu terhadap Zaid. Satu ketakutan yang amat sangat kerana gila kuasa dan tamak haloba.

Di dalam apa-apa pemilihan, unsur demokrasi sepatutnya dihormati dan pemimpin atasan dan media parti tidaklah wajar dilihat cuba mempengaruhi perwakilan untuk menentukan siapa yang sepatutnya dipilih.

Akibat daripada tidak adanya penghormatan terhadap demokrasi di dalam pemilihan, wujud YB-YB bebal yang terang-terang membuat kenyataan menyokong Azmin sebelum ini. Ini kerja bodoh, ini kerja pemimpin bermentaliti rendah, kerja pemimpin "captive mind" atau "bebalisma".

"Bebalisma" satu istilah yang pernah dikemukakan oleh seorang lagi yang bernama Syed Hussein (bukan bekas Timbalan Presiden PKR), tetapi Prof Syed Hussein Al-Attas.

"How do the fools and bebalisma act to stifle the growth of the intellectual spirit? The fools block the development of the public demand for intellectual labour. The intellectuals do not have access to the means of creating a public demand for the results of their labour." - dari buku beliau 'The intellectuals and developing socities'.

YB-YB ini GB yakin akan ditolak oleh rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti apatah lagi kita tahu kebanyakan YB-YB ini adalah YB-YB tangkap muat yang tidak berkualiti.

Pemimpin berfikiran terbuka dan pemimpin sejati adalah umpama sang bapa yang tidak pilih-kasih kepada anak-anaknya sekalipun ada anaknya yang mungkin nakal, malah OKU sekalipun.

Biarlah suasana pemilihan disuburkan dengan kebebasan perwakilan menentukan sendiri calon yang mereka mahu, bukan yang ditunjukkan oleh kumpulan tertentu.

Media-media yang mengamalkan kewartawanan longkang sewajarnya ditolak sekalipun calon dokongan mereka menang di dalam perebutan jawatan nanti.


Perhilitan Serbu Ladang Tempatkan Harimau Dan Haiwan Liar

Georgetown: Sebuah ladang terletak kira-kira 800 meter dari Teluk Bahang dekat sini tidak ubah seperti sebuah zoo mini yang menempatkan puluhan haiwan liar termasuk harimau, kucing hutan, buaya, ular sawa, burung dan biawak.

Bagaimanapun, ia bukan untuk pameran, sebaliknya dipercayai disembunyikan untuk diseludup keluar sebelum Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan lebih 50 haiwan itu dalam serbuan mulai petang kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan itu, Perhilitan menemui dua harimau, empat kucing hutan, seekor buaya sepanjang kira-kira lima meter, empat ular sawa pelbagai jenis, biawak serta 30 burung tiung emas.

Serbuan dilakukan susulan penahanan seorang lelaki, Anson Wong Keng Liang, 52, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Ogos lalu yang dipercayai cuba menyeludup keluar pelbagai haiwan dilindungi ke Jakarta, Indonesia.

Berikutan itu, sepasukan anggota Perhilitan membuat serbuan ke kawasan ladang berkenaan kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu dan merampas pelbagai jenis haiwan antaranya biawak, burung dan ular.

Selepas serbuan pertama dihentikan akibat cuaca gelap, kira-kira jam 10 pagi, semalam serbuan kedua dilakukan dan antara haiwan diselamatkan harimau, kucing hutan, buaya dan ular sawa.

Tinjauan Harian Metro mendapati, semua haiwan itu dibawa keluar menggunakan sebuah lori dari Zoo Melaka dan trak Unit Pengurusan Gajah Perhilitan dalam tempoh kira-kira dua jam.

Menurut sumber pelbagai jenis hidupan liar termasuk ular, biawak dan 30 burung tiong emas yang disorok dirampas di ladang berkenaan.

“Turut dirampas kira-kira 60 haiwan lain dipercayai disimpan lelaki itu di sebuah premis di Jalan Jones di sini,” katanya.

Usaha pihak media mendapatkan maklumat lanjut mengenai operasi serbuan gagal apabila tidak dibenarkan masuk ke ladang berkenaan selain tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa terbabit.

Pengarah Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, Jamalun Nasir Ibrahim ketika dihubungi memberitahu serbuan dilakukan Ibu Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur dan pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan.

Difahamkan, serbuan dilakukan berikutan penarikan semua lesen dan permit khas yang diberikan kepada Wong dan isterinya, Cheah Bing Shee untuk menjual serta memelihara haiwan liar.

Penarikan itu dibuat selepas penahanannya oleh jabatan berkenaan dan mendakwanya di Mahkamah Sesyen Sepang mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Dalam pendakwaan pada 26 Ogos lalu, Wong dituduh cuba menyeludup keluar 95 ular sawa, dua ular tedung dan kura-kura tanpa sebarang permit dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM190,000.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh hujahan kes rayuan Wong yang ditahan bersama 95 ular berbahaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dua bulan lalu. Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam bela Wong, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah meminta tempoh untuk meneliti rekod rayuan yang baru diterimanya, kelmarin.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara enam bulan dan denda RM190,000, terhadap Wong oleh Mahkamah Sesyen Sepang, pada 6 September lalu. -hmetro

Sekat Pihak Aktif Dalam Parti Adalah Budaya UMNO Yang Takut Dgn Bayang-bayang Sendiri - Hafizi

Politik baru maknanya gagasan bertunjangkan idea, Rafizi Ramli

Mohd. Rafizi Ramli, nama yang mungkin tidak begitu terserlah sebelum ini, menjadi tumpuan media selepas menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Angkatan Muda Keadilan. Pada usia 35 tahun, beliau kini menyandang jawatan Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Dengan kata lain, beliau salah seorang yang berada di sisi Anwar Ibrahim.

Rafizi Ramli (gambar kiri) menyertai PKR pada tahun 2003, dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi Pusat pada ketika itu. Namun, beliau meletak jawatan pada tahun 2004 sebagai protes, apabila pimpinan parti mengambil keputusan untuk membuka pintu AMK kepada pemudi.

Beliau bertanding dalam pasukan yang menggelar diri sebagai "Generasi Reformasi", mencungkil pertikaian daripada "reformis yang turun ke jalan raya" sebelum ini. Bagaimanapun, yang berikut adalah satu wawancara yang dijalankan melalui email, bersama Mohd. Rafizi Ramli yang menawarkan diri sebagai calon Ketua AMK dalam pemilihan PKR hujung November ini.

1. Penilaian anda terhadap situasi/prestasi AMK sekarang. Pada pendapat anda, apakah masalah pokok yang membelenggu AMK kini?

Persoalan asas AMK sekarang adalah persoalan yang sama kepada mana-mana organisasi - apakah peringkat peningkatan yang seterusnya, setelah berjaya membina satu imej dalam masa satu dekad.

Selama sedekad, Pemuda Keadilan/Angkatan Muda Keadilan berada di hadapan membawa isu-isu salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan Barisan Nasional kepada rakyat.

Sumbangan ini banyak membantu PKR dan PR meyakinkan rakyat untuk berubah semasa PRU12.

Atas kejayaan itu jugalah, AMK sekarang berada di persimpangan - setelah berjaya membentuk imej sedemikian rupa, apakah bentuk peningkatan yang seterusnya?

Saya ajukan kepada AMK dan parti bahawa masanya sudah sesuai untuk AMK mencapahkan bentuk-bentuk isu yang diperjuangkan agar meliputi isu mendesak anak muda seperti kos sara hidup, pembiayaan pendidikan melalui PTPTN yang membebankan, kerjaya yang berkualiti, masalah perumahan - walaupun ini bukan isu tradisional yang sebelum ini biasa dengan AMK. Tetapi kita perlu mengangkat isu ini ke peringkat nasional kerana inilah isu yang menarik minat anak muda di luar, terutamanya 4.6 juta pengundi muda.

Pada masa yang sama, untuk memastikan mesej kita sampai dan diyakini ahli dan pengundi, AMK perlu juga mengukuhkan organisasi di peringkat akar umbi kerana hanya dengan organisasi yang kuat, kita dapat menyampaikan mesej secara berkesan kepada rakyat.

2. Ramai pemimpin muda dalam PKR yang agak menyerlah secara individu. Malah, PKR menjadi pilihan golongan muda selepas PRU ke-12, kerana dilihat sebagai harapan masa depan. Ironinya, dari segi organisasinya, AMK agak lemah. Mengapakah situasi ini berlaku?

PKR lahir di tengah-tengah perjuangan rakyat yang secara tiba-tiba bangkit menentang kezaliman BN, setelah bertahun-tahun diadu-dombakan.

Secara langsung, tekanan kepada PKR dan pemimpinnya juga luar biasa sejak sedekad yang lalu. Pelbagai bentuk sekatan, ugutan dan tindakan diambil yang menyebabkan rakyat secara keseluruhannya tidak begitu berani mendekati PKR.

Jadi kami membesar dalam keadaan perlu bersuara lantang tetapi tidak cukup sokongan organisasi di belakang. Sebahagiannya kerana tidak mempunyai sumber dan masa untuk menumpukan perhatian membina organisasi itu kerana isu-isu nasional yang mendesak sering dijadikan keutamaan, sebahagiannya juga kerana tidak ramai yang sanggup tampil ke depan menjadi aktivis dan pemimpin akar umbi kerana tekanannya kuat.

Tetapi keadaan selepas tahun 2008 berbeza kerana kita ramai ahli baru yang berduyun-duyun menyertai PKR dan AMK. Sebab itu bagi saya ini adalah persimpangan yang baik untuk mula mengukuhkan organisasi, kita tidak ada alasan untuk mensia-siakan dokongan rakyat ini.

3. Apa yang anda lakukan sepanjang beberapa tahun ini, sebagai cubaan untuk mengatasi masalah yang dikatakan di atas?

Saya banyak menumpukan masa membina akar umbi di Terengganu, selain membantu pentadbiran parti dan penggubalan dasar parti di peringkat pusat.

Perkara yang paling saya tekankan di dalam gerak kerja di Terengganu adalah untuk menghidupkan seramai mungkin anggota sedia ada untuk menyumbang dan membina kekuatan akar umbi, kerana PKR juga tidak lari dari masalah sama organisasi yang lain iaitu ramai ahli tetapi sebilangan kecil yang aktif.

Untuk mencapai perkara ini, kepimpinan cabang perlu pastikan seberapa ramai ahli mereka menerima maklumat yang berterusan dan ada aktiviti dari semasa ke semasa yang menghidupkan ukhuwwah sesama anggota di peringkat akar umbi. Apabila perkara ini berlaku, barulah kita boleh mengenalpasti anggota yang berbakat dan disesuaikan dengan tugasan masing-masing.

Sebab itu, kita tidak boleh rendahkan peranan sistem komunikasi untuk membina jentera akar umbi. Di Terengganu, kami mensasarkan setiap cabang mempunyai 200 orang anggota aktif yang dijaringkan dengan sistem sms yang berterusan dan email (bagi mereka yang mempunyai email). Apabila jaringan ini telah wujud, barulah mudah untuk menyebarkan maklumat dan membuat culaan anggota mana yang cergas dan tidak.

Proses ini perlu dilakukan walaupun rumit. Ia tidak popular dan tidak nampak gah, tetapi inilah bentuk-bentuk kerja akar umbi yang membina organisasi.

4. Anda bertanding atas nama pasukan "Generasi Reformasi", menganjurkan pendekatan yang lebih bercorak "elit", apabila mendakwa zaman berdemonstrasi di jalan raya telah berlalu. Namun demikian, penindasan dan ketidak-adilan yang berlaku 12 tahun lalu, masih wujud dalam sistem politik negara terkini, misalnya akta draconian yang mengekang kebebasan, mencabul keadilan dan sebagainya.

Persoalannya, apakah reaksi AMK terhadap kewujudan akta draconian, malah, seandainya perlu berdepan dengan senario seperti Anwar dipenjarakan, kenaikan harga minyak dan sebagainya?


Saudara membuat kesimpulan sendiri dan terbawa-bawa dengan tuduhan yang dibuat di blog-blog.

Saya pernah mengajukan soalan ini dalam pertemuan-pertemuan dengan aktivis akar umbi - kalau elit itu dimaksudkan berpendidikan tinggi dan berlatar belakangkan profesional, adalah tidak bertanggungjawab kalau ada sekelompok di dalam parti yang cuba menyekat golongan ini aktif di dalam parti, kerana budaya itu adalah budaya lapok UMNO yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Perbezaan kita berbanding dengan UMNO adalah kerana kita meraikan semua pihak dan mengalu-alukan penyertaan golongan berpendidikan dan profesional, sebab itu kita nampak lebih menarik berbanding parti-parti BN di mata rakyat.

Jadi kalau ada angin-angin tidak sihat di kalangan anggota AMK yang sudah terbawa-bawa dengan perangai takut bayang-bayang sendiri ala UMNO dengan memainkan isu elit ini, saya rasa ia perlu diperbetulkan dan ditentang, jika perlu.

Mengenai demonstrasi, saya juga kesal kerana ada pihak yang cepat melatah dan memutar belitkan kenyataan. Ini tidak sihat kerana kita dipandang rakyat - dan rakyat yang membaca faham bahawa saya tidak pun pernah mengatakan kita perlu meninggalkan demonstrasi.

Yang saya sebut adalah kita perlu keluar dari imej demonstrasi jalanan semata-mata dan mula juga membawa isu-isu yang selama ini kita tidak begitu dekat, seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Maksud saya kita perlu versatile, hak yang wajib diperjuangkan seperti kebebasan berhimpun dan bersuara perlu terus dibawa, tetapi janganlah itu sahaja yang boleh dibawa oleh AMK.

Pimpinan AMK seharusnya boleh mengapalai rapat umum yang besar (tidak kiralah apa isunya - harga minyak naik atau ISA), tetapi boleh juga duduk di dalam forum ilmiah mengupas isu ekonomi dan sosial secara tersusun dan intelek. Pimpinan sebegini yang boleh memikat rakyat, sebab itu saya syorkan supaya AMK membuat anjakan supaya mengembangkan lagi pendekatan kita dengan rakyat.

5. Anda cuba menawarkan satu pasukan belia/pemuda yang berkemampuan untuk mengetengahkan dasar yang memanfaatkan rakyat, khususnya dari segi ekonomi. Namun, matlamat anda akan lebih bermakna seandainya PKR-Pakatan Rakyat berkuasa sebagai kerajaan. Persoalannya, bagaimana jika ia tidak berlaku? Dan bagaimana pula AMK di bawah pimpinan anda menunjukkan keprihatinan terhadap isu setinggan, remaja dan sebagainya?

Kita bawa politik baru, ia langsung tidak ada kena mengena sama ada kita berada di dalam kerajaan atau tidak. Politik baru maknanya gagasan yang bertunjangkan idea, apa yang dipanggil thought leadership bukannya ketaksuban kepada tubuh badan pemimpin semata-mata.

Tidak ada parti politik yang patut turun gelanggang dengan prasyarat ia akan berkuasa, gerakan siasah bermakna kita bawa gagasan untuk meyakinkan rakyat - jadi isu sama ada berkuasa atau tidak, bagi saya tidak relevan.

Dari segi keprihatinan kepada isu-isu rakyat, saya rasa sekarang pun, sejak mengumumkan untuk bertanding, Generasi Reformasilah yang mempelopori isu-isu sebegini untuk dibawa kepada anggota AMK dan rakyat. Kalau tidak, saya sendiri sebelum ini khuatir pemilihan 2010 hanya berkisar kepada persoalan individu (atau individual cultism) semata-mata - sebab itu kami yang paling awal gagaskan beberapa isu rakyat yang pokok yang perlu dijawab oleh calon-calon yang ingin bertanding.

6. Penilaian anda terhadap Gerakan Reformasi sejak tahun 1998. Pada pandangan anda, apakah bentuk dan halatuju baru untuk Gerakan Reformasi ini, selepas 12 tahun?

Pertama, ia tidak boleh lari dari semangat asas yang mengikatnya dulu iaitu kebersamaan. Gerakan reformasi pada tahun 1998 tidak pernah membezakan sesiapa dan mengalu-alukan sumbangan semua pihak, maka kita tidak hairan apabila PAS, DAP dan NGOs boleh duduk bersama merancang gerak kerja.

Tetapi kita juga telah melepasi peringkat semangat dan pemahaman, jadi sewajarnya di dekad ini semangat reformasi itu diterjemahkan kepada pelaksanaan, apatah lagi apabila kita sudah menguasai negeri-negeri penting dan di ambang ke Putrajaya.

Sebab itu, manifesto Generasi Reformasi menggagaskan supaya roh reformasi yang diikat oleh semangat kebersamaan itu, diterjemahkan untuk dilaksanakan melalui organisasi yang berkesan di bawah kepimpinan yang berketrampilan.

Jadi jika saudara tanyakan apakah bentuk dan hala tuju baru gerakan reformasi - ia adalah membina keberkesanan melalui organisasi dan menampilkan pimpinan yang berketrampilan, agar ideal reformasi itu dapat dilaksanakan selepas 12 tahun diperjuangkan.

7. Penilaian anda terhadap Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO. Setujukah anda bahawa beliau memiliki keupayaan bukan sahaja dari segi perbahasan dasar, tetapi juga berpidato ketika dalam ceramah, malah ketika berdemonstrasi?

Saya berpendapat Khairy berkebolehan, tetapi beliau juga berdepan dengan cabaran tertentu di dalam UMNO. Kebolehan peribadi beliau, kalau tidak berjaya membawa perubahan kepada UMNO, akan sia-sia begitu sahaja.

8. Penilaian anda terhadap Nasrudin Hassan Tantawi (gambar kiri), Ketua Dewan Pemuda PAS dan Anthony Loke selaku Ketua DAPSY. Apakah yang membezakan anda dengan dua orang ketua sayap pemuda dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak banyak berurusan dengan mereka, apatah lagi mereka pemimpin yang lebih senior dan berpengalaman. Saya tidak fikir perbezaan antara kami akan menjadi isu, kerana seperti mana PKR, PAS dan DAP saling melengkapi di dalam PR, pemimpin sayap muda ketiga-tiga parti juga akan saling melengkapi.

9. Sila nyatakan tiga perkara yang akan anda lakukan dalam tempoh jawatan seandaiya anda terpilih sebagai Ketua AMK.

Pertama, membina organisasi dengan memastikan selepas 3 tahun, kesemua 202 cabang PKR seluruh Malaysia mempunyai AMK yang berfungsi dan lengkap.

Kedua, meletakkan fokus kepada menampilkan pimpinan bawah 30 tahun sebagai pewaris yang akan mengambil alih kepimpinan AMK sepenggal lagi - maka mereka perlu diberikan ruang sebesar-besarnya untuk diuji dan memimpin.

Ketiga, membawa isu-isu mendesak anak muda yang saya sebut sebelum ini ke peringkat nasional agar ia akhirnya mendapat pembelaan pimpinan tertinggi PR dan BN, bukan sahaja dipandang sebagai isu belia semata-mata.

10. Pada pandangan anda, apakah kelebihan diri anda berbanding calon Ketua AMK yang lain?

Saudara perlu tanya anggota-anggota di bawah, mereka lebih arif dan memahami kerana mereka yang akan memilih. -MR

*Wawancara bersama Mohd.Rafizi Ramli ini dijalankan melalui email. 10 soalan direka mengikut kesesuaian ketiga-tiga calon Ketua Angkatan Muda Keadilan, telah dihantar serentak dan dimaklumkan kepada penerima email pada minggu lalu, iaitu che'GuBard, Rafizi Ramli dan Hasmi Hashim.


Maka, Tergoleklah "Lembu-lembu" Itu Disembelih Tangan Sultan Sendiri




Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V, berkenan untuk mengagihkan daging sembelihan 99 ekor lembu kepada orang miskin di seluruh negeri ini, sempena Hari Keputeraan baginda ke-41 pada 6 Oktober lalu.


Biarlah gambar-gambar ini berbicara sendiri:
dari : Topeng Perak