16 Apr 2009

Selagi Kes Nizar Belum Diputuskan Isu Perak Masih Hidup dan Subur - Peguam

Sekalipun Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN, namun peguam yang mengetuai pasukan Sivakumar, Sulaiman Abdullah berkata, "Saya dan client saya tidak kecewa dengan keputusan mahkamah hari ini."

"Apa yang kita akan lakukan adalah untuk berbincang dan melihat apa yang diputuskan mahkamah dan apa yang boleh dilakukan seterusnya.

"Saya dapati tidak ada pihak yang menang semuanya dan tidak ada yang kalah semuanya kerana masih ada ruang untuk berbincang dan bertindak walaupun mahkamah telah membuat keputusan.

"Selagi kes Nizar belum diputuskan, isu ini masih subur dan hidup," katanya merujuk kepada saman bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 18 Februari lalu, Sivakumar mengambil tindakan mengejut menggantung dan melarang Menteri Besar bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta selama 18 bulan.




Keangkuhan UMNO Bakal Terbenam Di Penanti

Pilihanraya kecil N12 Penanti adalah satu lagi anugerah bagi memanifestasikan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat disamping membenamkan keangkuhan UMNO-BN. Dalam tempoh 60 hari dari sekarang bakal berlangsung satu lagu pilihanraya kecil pasca PRU 12 ekoran perletakan jawatan ADUN Penanti yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin.

Setelah membuktikan kejayaan di Bukit Selambau dan keunggulan di Bukit Gantang, sepastinya Penanti akan merupakan satu "endorsement" tentang suara hati rakyat terutama pandangan rakyat terhadap kepimpinan baru negara yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

DUN N12 Penanti terletak di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh. Dari segi struktur masyarakatnya pula

Pecahan pengundi mengikut kumpulan etnik adalah:

Melayu...62.9%
Cina.....33.2%
India.....2.8%

Berdasarkan keputusan pilihanraya umum 2008 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh, kita akan dapat tidak sukar untuk meramalkan Pakatan Rakyat akan mengulangi kecemerlangannya di dalam siri pilihanraya kecil bermula di P44 Permatang Pauh sendiri pada 26 Ogos 2008, di P036 Kuala Terengganu pada 17 Jan 2009, di P059 Bukit Gantang dan N25 Bukit Selambau pada 7 April 2009.



PKR berjaya di dalam semua daerah kecuali Telok Wang pada PRU12 dengan perbezaan 34 undi (261-227), namun ia diperbaiki di dalam pilihanraya keci P44 dimana PKR menang dengan perbezaan 28 undi sehingga menjadikan PKR memboloti kemenangan di kesemua daerah di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ketika itu.

Bagi pilihanraya kecil kali ini, UMNO sepastinya memainkan kontrovesi yang melanda bekas Adun Penanti itu hingga memaksa beliau meletak jawatan. Namun Fairus sendiri di dalam wawancara bersama akhbar Nanyang Siang Pau telah pun menjawabnya terlebih dahulu sebelum ia sempat menjadi modal besar UMNO di Penanti.

Mengenai dakwaan keterlibatan beliau di dalam aktiviti kuari haram yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fairus mendakwa beliau tidak terlibat dan semua yang berlaku hanyalah fitnah dan sebahagian dari usaha untuk menjatuhkannya.

“Saya telah melakukan kerja-kerja untuk dewan undangan negeri Penanti sebaik mungkin dan telah mendapat sokongan dari para pengundi saya. Semua yang di luar tidak tahu dan tidak mengerti kerana kerja dan perkhidmatan yang saya lakukan selama ini tidak dilaporkan oleh akhbar-akhbar,” kata Fairus.

Pemerhati politik berpendapat bahawa Pakatan Rakyat bakal memenangi pilihanraya kecil Penanti, berkemungkinan dengan majoriti yang lebih tinggi berdasarkan senario semasa yang lebih berpihak kepada Pakatan Rakyat.



Utusan UMNO Menentang Gagasan One Malaysia?

Akhbar Utusan malaysia hari semalam telah membawa satu headline yang bersifat rasis untuk membangkitkan perasaan perkauman terutama di kalangan masyarakat Melayu dengan tajuk "Bangkitlah Melayu".

Dengan bermula menyeru orang Melayu perlu bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat semakin keterlaluan diikuti dengan ingatan bahawa kononnya mereka perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai tuntutan hingga boleh menjejaskan kekuatan politik orang Melayu ianya dilihat sebagai satu usaha yang bertentangan dengan slogan One Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Tulisan tersebut menambah, "Sehubungan itu, orang Melayu diminta tidak tunduk kepada tuntutan keterlaluan tersebut sebalik bangkit bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka".

Akhbar Utusan yang dikuasai Umno yang memegang 50.46 peratus ekuitinya dilihat kebelakangan ini sentiasa menimbulkan isu-isu provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam secara bebas telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbau perkauman.

Di dalam senario di mana UMNO kini kian tersepit, maka diusulkan percantuman parti UMNO dan PAS konon dapat menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Utusan memetik kata-kata dari Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Muhammad Aziz

“Pada masa sama orang Melayu pun kenalah sedar, asyik bercakaran sesama sendiri, tak untung Melayu sedangkan kita main politik untuk apa kalau tidak untuk membela Melayu.

“Jadi UMNO dan Pas kena duduk, tak kan dalam berbeza tak ada persamaan. Atas persamaan ini kita duduklah semeja dulu,” tambahnya.

Apa yang dilakukan oleh akhbar Utusan tersebut jelas merupakan satu usaha yang bertentangan dengan apa yang dislogankan oleh Najib yang dengan gagasan One Malaysia menyatakan:

"Di bawah konsep Satu Malaysia ini bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita".

Justeru itu ramai pengalisis politik berpendapat gagasan One Malaysia yang dibawa oleh Najib hanyalah satu gimik padahal hakikat sebenarnya UMNO masih tebal dengan sifat perkauman seperti yang dibuktikan oleh tulisan di dalam Utusan Malaysia milik mereka.

Masyarakat Melayu khususnya dari kalangan kelas menengah yang berpelajaran peringkat tinggi telah menolak UMNO yang dilihat sebagai sebuah parti usang yang sarat dengan pelbagai masalah seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pemimpin-pemimpin mentaliti duniaketiga yang tidak mungkin parti itu dapat diperbaiki.

Sementara itu harakahdaily melaporkan, menurut Pengerusi Institut Modeniti dan Tamadun Melayu (Cesmacs), Dr Muhammad Nur Manuty, konsep 'One Malaysia' adalah satu 'rebranding' yang biasanya dibawa oleh pemimpin baru.

"Pemimpin yang baru akan bawa konsep baru dan benar ini adalah satu penanda bahawa BN gagal dalam dasarnya sebelum ini,"jelasnya

Tambahnya, walaupun selama ini kerajaan telah perkenalkan pelbagai dasar tetapi dengan ungkapan Najib ini jelas bahawa beliau akur dan mengakui kegagalan yang dihadapi oleh BN.

"Walaupun sudah 50 tahun memerintah ternyata mereka gagal. Bermakna memang benar seperti yang disebut bahawa konsep 'one malaysia' adalah satu rebranding kerana sebelum ini ternyata BN dan kerajaan gagal dalam melaksanakan konsep kesamarataan terhadap rakyatnya,"katanya terhadap persoalan bagaimana gagalnya BN dalam dasar-dasar sebelum ini.

Selepas Bukit Gantang Penanti Pula Akan Hadapi Pilihanraya

Di dalam satu perkembangan yang mengejutkan, bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keputusannya meletak jawatan ADUN Penanti, berkuatkuasa hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat siswazah lanjutan.

Ia juga, katanya, untuk memberi masa kepadanya untuk bersama-sama dengan keluarga "yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya".

Dengan perletakan jawatan tersebut, kerusi Penanti bakal disytiharkan kosong dan satu pilihanraya kecil bakal diadakan.

Kerusi DUN Penanti berada di dalam Parlimen Permatang Pauh. Pada pilihanraya umum 2008, kerusi itu dimenangi oleh Mohd Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat yang memperolehi 7,346 undi mengalahkan Datuk Abd Jalil Abd Majid yang memperolehi 5,127 undi. Majoriti undi yang diperolehi oleh PKR ialah 2,219 undi.


Berikut adalah kenyataan penuh Fairus hari ini:

Setelah memberikan pertimbangan dengan sewajarnya, mengambilkira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang saya wakili, saya dengan ini mengambil keputusan demi memelihara kepentingan Parti Keadilan Rakyat untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuatkuasa hari ini 16hb April 2009.

Keputusan ini bertujuan untuk membolehkan saya memberikan tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepada saya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya.

Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini.

Khususnya kepada pengundi dan rakyat Penanti yang saya wakili, saya ingin merakamkan jutaan penghargaan di atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan selama saya memegang amanah selaku wakil rakyat Penanti.

Keputusan ini adalah untuk kebaikan semua, Parti Keadilan Rakyat dan perjuangan serta kepimpinan di bawah teraju Dato' Seri Anwar Ibrahim (selaku Penasihat Parti) demi menegakkan kebenaran dan keadilan.


4 peguam, 3 aktivis hak asasi dibebaskan

Empat peguam dan tiga aktivis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada dua tuduhan berada dalam perhimpunan haram dan gagal mematuhi arahan polis supaya bersurai, dua tahun lepas.

Hakim S M Komathy Suppiah dalam penghakimannya tanpa memanggil mereka membela diri berkata, pihak pendakwa gagal mengemukakan kes prima facie terhadap peguampeguam Amer Hamzah Arshad, Latheefa Beebi Koya, N. Surendran dan K. Sivarasa serta aktivis Eric Paulsen, Johny Andu @ Abu Bakar Adnan dan Nooraza Othman.

Kumpulan itu juga dilepas dan dibebaskan atas dua tuduhan alternatif menyertai perhimpunan haram dan gagal mematuhi arahan polis supaya bersurai.

Mereka dikatakan melakukan kesalahan itu semasa program berjalan kaki, "People's Freedom Walk" di hadapan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman antara 8.10 pagi dan 8.50 pagi 9 Disember, 2007.

Komathi berkata walaupun pihak pembela bersetuju bahawa ia perhimpunan haram tetapi pegawai pemerintah yang juga pemangku OCPD Dang Wangi Supt Che Hamzah Che Ismail telah memberikan kumpulan itu 10 minit untuk berjalan kaki dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke arah Bangunan Majlis Peguam.

Beliau berkata Che Hamzah dalam keterangannya tidak pasti sama ada tangkapan dibuat selepas tempoh 10 minit itu atau sebelum itu.

"Pendakwaan berhujah bahawa perintah untuk bersurai tidak dipatuhi bila orang yang tertuduh gagal bersurai dan meneruskan program berjalan kaki itu.

"Pada pendapat saya, orangorang yang dituduh hanya boleh dikatakan telah tidak mematuhi perintah bersurai selepas berlalu tempoh 10 minit diberikan oleh Supt Hamzah," kata Komathy.

Beliau berkata ketika tiada keterangan lain yang bertentangan dari sebarang saksi lain pendakwaan untuk menunjukkan bahawa orang yang dituduh ditangkap selepas berlalu tempoh 10 minit, tidak boleh dikatakan orang yang dituduh telah tidak mematuhi arahan bersurai.

Beliau menambah foto dan rakaman video menunjukkan bahawa kedai masih ditutup dan lalu lintas adalah minimum di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman oleh kerana hari itu adalah Ahad.

"Program berjalan itu tidak menyebabkan sebarang halangan kepada pejalan kaki atau lalu lintas kenderaan oleh kerana polis tidak diperlukan memasang sekatan jalan atau melencongkan lalu lintas atau mengendali kejadian mengganggu ketenteraman akibat kumpulan itu berjalan kaki di sepanjang jalan bersempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Kumpulan itu diwakili oleh peguam M. Puravelan, sementara timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran mewakili pihak pendakwa.

Mahkamah Putuskan Speaker Perak Tiada Kuasa Halang Zambry dan Exco

Di dalam satu keputusan yang telah diduga, Mahkamah Persekutuan memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN), V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN.

Perkara itu diputuskan oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif.

Panel memutuskan perkara itu selepas mendapati tindakan Sivakumar menggantung Zambry daripada menghadiri sidang DUN selama 18 bulan dan 6 ADUN lain selama 12 bulan dilakukan tanpa mengikut kuasa yang betul.

Dengan keputusan tersebut, Sultan Perak dijangka akan memberi perkenaan bila sidang DUN tersebut akan diadakan.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah dirampas kuasanya selepas beberapa ADUN mereka diculik dan kemudian mengisytiharkan diri menjadi calon bebas yang menyokong BN telah menyebabkan kemelut politik Perak berpanjangan.

Rampasan kuasa yang di dalangi oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) dengan secara tidak bermaruah menyatakan:

"Walaupun BN mempunyai jumlah kerusi DUN sama banyak dengan Pakatan Rakyat tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil raktyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN dalam DUN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar daripada kalangan anggota BN dan mempertahankan BN."



Elizabeth Wong : Khir Toyo Akan Terus Ditelanjangkan

Sikap konfrontasi yang diambil oleh Mohd Khir Toyo untuk mengeksploitasikan kes Elizabeth Wong yang diterima kembali sebagai exco dan ADUN Bukit Lanjan oleh kerajaan negeri Selangor akan hanya mengundang padah untuk mantan MB Sealangor itu.

Beliau dilaporkan menyatakan tindakan Eli menerima keputusan (kerajaan Selangor itu)...pastinya membolehkan beliau (UMNO-BN) mengeksploitasi isu tersebut.

Banyak pihak menyelar sikap Khir Toyo yang menganggap beliau sebagai kekeringan modal apatah lagi di ketika mana kredibiliti dan integriti beliau sendiri sudah musnah ekoran pendedahan penyalah-gunaan kuasa dan penyelewengan yang dilakukan oleh beliau sewaktu menjadi menteri besar Selangor.

Pada 2004, syarikat pelaburan kepunyaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mencatatkan RM1.2 juta untuk kos perjalanan beliau dan keluarganya serta pegawai kerajaan negeri yang lain untuk lawatan seminggu ke Perancis dan Maghribi.

Senarai perbelanjaan itu termasuk lawatan pada tahun 2004 ke Disneyland Paris dan persinggahan transit selama empat hari di Dubai.

Pejabat Menteri Besar Selangor sebelum ini juga pernah mendedahkan kerajaan negeri Barisan Nasional melakukan pelaburan untuk apartment di Mekah, Arab Saudi bernilai RM17.5 juta pada 2007.

Pengarah-pengarah PNSB hanya meluluskan pembelian 5 unit apartmen tetapi 12 unityang telah dibeli dan ia didaftar di atas nama persendirian. Tujuh unitnya kemudian dijual semula kepada individu yang tak diketahui kerana ketiadaan resit untuk mengesahkan transaksi tersebut.

"Membandingkan kesalahan Elizabeth dengan kesalahan yang dilakukan oleh Khir Toyo terlalu jauh bezanya, Elizabeth jika dikatakan ada melakukan kesalahan pun adalah mengenai reputasi dirinya sedangkan keslaahn Khir Toyo ialah menyalah-gunakan dana awam untuk kepentingan diri dan keluaganya," tegas seorang aktivis masyarakat di sini hari ini.

"Kita berharap kes ini di bawa ke mahkamah supaya beliau diadili dan semua dana yang dirompak dari kerajaan negeri semasa beliau menjadi MB dirampas semula," tambahnya lagi.

Sikap pengecut beliau dan isteri beliau untuk tidak menghadiri inkuiri terbuka Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) membuktikan bahawa beliau khuatir lebih banyak kesilapan yang beliau akan lakukan sewaktu didedahkan segala tembelangnya mengenai salah-lakunya sewaktu menduduki pejabat MB Selangor.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa sekiranya Elizabeth menerima tawaran tersebut, beliau diminta kembali daripada cuti dan meneruskan perkhidmatannya mulai hari ini.Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan Exco Pelancongan, Pengguna dan Alam Sekitar Selangor dan ADUN Bukit Lanjan pada 17 Februari lalu ekoran tersebarnya gambar separuh bogelnya kepada umum.

Keputusan mengekalkan Elizabeth itu adalah wajar dan adil setelah mengambil pandangan semua pihak dan siasatan polis berhubung kes berkenaan yang juga gagal membuat keputusan yang muktamad.Manakala Elizabeth pula telah menerima tawaran tersebut petang semalam dan menyifatkan insiden yang menimpa beliau adalah pengalaman yang sukar dalam hidup beliau.

"Sultan Selangor telah turut menyatakan rasa bimbang dan dukacita baginda dengan perkembangan akhir-akhir ini di mana perbuatan menceroboh hak peribadi dan privasi individu dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang.

“Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak peribadi individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai,” tambah kenyataan dari Setiausaha Sulit Sultan.

"Berdasarkan kepada kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor itu, tindakan Khir untuk mengekploitasikan kes Elizabeth Wong menunjukkan sikap biadab dan derhakanya terhadap Sultan Selangor yang telah menyatakan dukacita baginda terhadap kejadian tersbut yang mana pencerobohan hak peribadi dan privasi individu dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang," tegasnya lagi.


Elizabeth Wong Kembali Bertugas Hari Ini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dilaporkan tiba di pejabatnya jam 9.30 pagi tadi bagi memulakan tugas sebagai Exco Selangor selepas bercuti selama dua bulan.

Semalam, beliau bersetuju menerima tawaran kerajaan negeri supaya kekal sebagai Exco serta tidak perlu mengosongkan kerusi Adunnya.

Beliau tiba di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)kira-kira pukul 9:30 pagi dengan menaiki kenderaan rasmi Toyota Camry dengan nombor pendaftaran BKF 7000.

Ketika ditemui di lobi Wong berkata, beliau sudah bersedia untuk kembali menjalankan tugas seperti biasa.

"Saya sudah menerima nasihat daripada Menteri Besar dan juga Anwar Ibrahim (Datuk Seri).

"Izinkan saya menjalankan tugas dan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat,"katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim , Wong berkata: "Saya sudah menemui Menteri Besar semalam dan beliau sudah memberikan taklimat berkenaan tugas-tugas saya."

Wong juga memberitahu tugas pertama beliau hari ini ialah untuk menghadiri mesyuarat bersama Lembaga Pelancongan Negeri Selangor.

"Saya harap anda beri saya peluang untuk masuk pejabat untuk buat persediaan,"katanya.

Beliau juga, melahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini.

Semalam, Wong bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan negeri Selangor agar beliau kekal sebagai Exco dan ADUN Bukit Lanjan.

Pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan pihaknya sudah menerima persetujuan Wong.

Terdahulu pada sidang media Khalid berkata, keputusan supaya Wong meneruskan khidmat Wong itu dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Wong menjadi tumpuan ekoran tersebarnya klip video dan gambar separuh bogelnya menerusi internet dua bulan lalu.


UMNO BN Bergaduh Sesama Mereka

Semenjak kenaikan Najib sebagai Perdana Menteri, kerajaan dilihat agak goyah. Masalah semakin hari semakin menimbun. Orang BN sendiri dilihat tidak meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan Najib. Contoh yang dapat kita lihat ialah, MIC cuba untuk “melarikan” diri daripada BN. Begitu juga MCA yang melihat kabinet Najib sebagai pelan rancangan mengukuhkan kroni.

Begitu juga UMNO Johor yang melihat isu Jambatan Bengkok sebagai isu yang kontroversi. Khairi yang menang sebagai Ketua Pemuda “dianaktirikan” oleh Najib sendiri. Dan pelbagai lagi. Kalau sebelum kenaikan Najib, beliau terkenal dengan kes Altantuya, dan kes tersebut masih dianggap misteri sehingga beliau naik sebagai Perdana Menteri. Jelas, namanya kotor di mata dunia.

Adakah kabinet Najib ini tidak tahan lama? Ubat tahan lama yang diturunkan oleh Mahadet sudah habis tarikh luput? Atau apa? Saya teringat juga kisah Perang Khaibar yang telah saya tulis di dalam artikel “MIC minta fasakh daripada BN”, yang menunjukkan realiti perpecahan BN hari ini. Saya juga teringat firman Allah SWT…

Sekiranya kamu rasa perit (menghadapi musuh Allah), mereka juga merasa perit sepertimana kamu rasai (Surah an Nisa : 104)

Kalau sebelum ini Pakatan Rakyat telah dituduh bermacam-macam. Mereka mengatakan Pakatan Rakyat tidak sehaluan. Mereka berkata lagi “PAS terpaksa menggadaikan prinsip mereka semata-mata untuk bergabung dengan orang kafir”. Tetapi segalanya terpalit kembali ke muka mereka.

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, telah diceritakan bahawa di antara pemimpin-pemimpin musyrikin Mekah pernah berlaku pergeseran ketika permulaan Perang Badar. Iaitu Utbah bin Rabi’ah tidak bersetuju orang-orang Musyrikin memerangi Nabi Muhammad SAW. Beliau mengatakan bahawa tindakan memerangi sanak saudara itu adalah satu perkara yang sia-sia dan menimbulkan fitnah.

Tetapi, Abu Jahal juga antara pimpinan besar, menjawab kembali kata-kata tersebut dengan mengatakan bahawa Utbah bin Rabi’ah telah disihir oleh Nabi Muhammad SAW. Keengganan Abu Jahal tersebut, menyebabkan berlakunya peperangan tersebut. Di permulaan perang lagi, Utbah bin Rabi’ah telah terbunuh, dan diakhir peperangan, Abu Jahal sendiri terbunuh.

Hari ini, pergeseran di antara pimpinan BN, sudah pasti akan memberi untung kepada PR. Apakah hasil daripada pertempuran PR dan BN? Ya, sepertimana yang telah diceritakan, kedua-dua pimpinan tersebut, terbunuh di dalam peperangan tersebut. Adakah BN dan segala parti-partinya akan mengalami kekalahan yang teruk selepas ini? Fikirlah sendiri.

- Dr Fikrah

sebaris dari GB : dimana mau diwujudkan ONE MALAYSIA jika ONE UMNO dan ONE BN pun mereka tak terdaya laksanakan?


Kes Elizabeth Wong : Hilmi Hubungi Sayuti Pukul 1 Pagi

Blogger terkenal Mohd Sayuti Omar mendedahkan bahawa Hilmi, lelaki yang dikatakan teman lelaki Elizabeth Wong yang kini di dalam buruan polis telah menghubungi beliau pada pukul 1.13 pagi malam semalam.

Berikut ialah petikan dari blog beliau:

Mulanya saya tidak bercadang untuk mengonsgsikan kisah ini. Tetapi apabila kerajaan Selangor mengumumkan menawarkan semula jawatan Exco dan Adun Bukit Lanjan kepada Elizabeth Wong tengah hari tadi saya rasa perlu dipostingkan untuk kisah ini sebagai kenangan. Lagipun Elizabeth juga dilaporkan bersedia untuk kembali bertugas memegang jawatan Exco dan Adun Bukit Lanjan, mulai esok.

Kisahnya begini: Jam 1:13 pagi (malam tadi) saya menerima satu panggilan dari lelaki misteri. Dia tidak memperkenalkan namanya cuma memberi klu, “saya orang yang dicari orang seluruh Malaya waktu ini,” katanya mengejutkan saya.
Saya lantas menebaknya dengan berkata; Ini Hilmi Malik (foto) ke?, telah saya.

“Iya, abang kenal saya! Abang ingat tak saya kita pernah jumpa dan bercakap-cakap suatu masa dulu,” ceritanya mengembalikan ingatan saya. Timbul juga rasa ragu dalam diri siapakah pemanggil ini sebenarnya. Panggilan jam 2:00 atau 4:00 telah menjadi kebiasaan bagi saya.

“Dimana ya?, tanya saya ingin kepastian sambil terus berfikir mencari-cari sendiri. Timbul juga di kepala takut pemanggil itu menyamar dan mahu mengorek sesuatu dari saya. Selalunya tidak ada lain yang diingatkan, melainkan polis.

“Kita pernah berjumpa di Taman Melewar, lama dulu. Kita pernah bercakap dan abang berikan saya bisnes kad. Saya juga sering baca buku-buku abang. Ketika itu abang baru terbitkan buku Hitam Putih Darul Arqam. Saya bertanya abang mengenai buku berkenaan. Ingat?” tanyanya.

Saya tidak teringat langsung kenangan itu. Tetapi memang saya ada terbitkan buku yang disebutkan itu pada tahun 2004. Maknanya dia bertemu saya kira-kira lima tahun lalu.

“Di mana ni? Saya mahukan kepastian, ingat dia sudah berada di tanah air.

“Saya di Indonesia bang!’, jawab ikhlas.

Saya mahu tengok nombor telefon, tetapi kerana lampu ketika itu sudah tutup, jadi saya biarkan saja. Tenguk kemudian. Saya mempercayai kalau dia memanggil dari Indonesia.

“Hilmi” banyak hendak bercerita malam tadi tetapi agak gugup untuk memulakan di mana. Mulanya dia mengakui apa yang saya posting dalam blog sebelum kisah gambar bogel Elizabeth itu tersebar luas. Dalam posting itu saya mendedahkan secara samar yang Exco Selangor ada skandal.

“Saya mengakui apa yang abang tulis itu betul. Skandal itu melibatkan saya dengan Elizabethlah...” begitulah kira-kira tuturnya. “Tetapi apa yang sebenarnya berlaku banyak orang tidak tahu, bang,” katanya.

“Apa sebabnya yang berlaku?, tanya saya jadi semakin berminat dan yakin pemanggil itu adalah “Hilmi’.

“Inilah saya nak cerita yang sebenar kepada abang, biar abang tahu dan abang boleh tulis dalam blog,” dia memulakan bercerita. Malangnya percakapan tenggelam timbul, ada kalanya jelas ada kalanya tenggelam terus.

“Saya rasa bersalah atas apa yang berlaku sekarang ini, bang. Saya tidak tahu nak buat macam mana. Gambar yang dikatakan bogel itu sebenarnya saya tidak tahu gambar mana dan datang dari mana,” katanya.

“Sapa yang tangkap gambar itu?” tanya saya.

“Saya tidak tahu... tetapi.... (tenggelam), telefon saya hilang secara misteri. Mungkin gambar berkenaan ada dalam telefon saya,” jelasnya tanpa hujung pangkal.
Menurutnya beliau ada menceritakan perkara ini kepada beberapa pemimpin Keadilan.

“Saya ada jelaskan kepada beberapa pemimpin Keadilan, dia kawan saya juga, kami selalu berhubung” ceritanya. Menurutnya kawannya itu memahami apa yang berlaku.

“Bila sebenarnya you berpisah dengan, Eli?” soal saya.

“Baru... bulan Februari saya masih lagi berhubung dengannya,” jelasnya.

“Kenapa you tidak balik?” acah saya.

“Saya tahu kalau saya balik saya akan ditangkap. Jadi untuk menjaga parti, kita sayang parti, kalau saya kena tangkap saya akan dibawa ke seluruh negara untuk mencerita perkara sebenarnya. Kalau ini berlaku parti akan cemar dan kotor,” kata “Hilmi” semacam bersimpati dengan nasib yang dialami oleh Keadilan dan Elizabeth Wong.

“Jadi apa yang you nak buat sekarang,” tanya saya. Sampai di sini telefon tiba-tiba putus. Saya menanti beberapa minit takut ada call balik. Tetapi tidak ada sampailah ke saat ini.

Saya tidak dapat memastikan apakah dia benar-benar Hilmi! Nombor telefon yang tertera di skrin telefon saya mempunyai sebelas digit dengan kod awalnya 015. Saya tidak pasti apakah 015 itu nombor dalam negara atau luar negara.

Daripada apa yang dapat saya rumuskan dari perbualan tengah malam itu, Hilmi semacam merasa bersalah dengan apa yang berlaku. Dia juga semacam kesal atas nasib yan dialami Elizabeth. Dia cuba membayangkan dia tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar berkenaan dan ada pihak yang sengaja memerangkapkannya. Dia juga semacam buntu untuk menyelesaikan masalah yang ditanggungnya itu.

Bagaimana pun apa yang terus menjadi persoalan saya, sekiranya beliau tidak bersalah kenapa beliau harus melarikan diri dari buruan polis? Kalau benar yang bercakap semalam Hilmi saya merayu agar beliau menyerahkan diri dan usah berselindung lagi. Ke mana sdr hendak melarikan diri, dunia ini terlalu sempit bagi mereka yang dikejar bayang-bayang kesalahan!

Surirumah Dituduh Beri Komen Lucah Kepada Sultan Perak

Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth terhadap tuduhan mengedar komen lucah mengenai Sultan Perak di pautan ke laman web pejabat baginda.

Khoo Hui Shuang, 27, didakwa melakukan perbuatan itu bersama- sama suaminya Chan Hon Keong, 26, di No 5, Lorong Arowana Emas 2, Taman Arowana Emas, Permatang Pauh kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Feb lepas.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Bernama, suami Khoo telah didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan yang sama pada 13 Mac lepas.

Pendakwaan terhadap Khoo dijalankan hari ini kerana tidak hadir di mahkamah untuk prosiding pada 13 Mac lepas kerana berada di Sarawak.

Khoo diwakili peguam Jagdeep Singh Deo, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radhi Abas.

Selain pertuduhan itu, Khoo juga menghadapi pertuduhan pilihan bersama-sama suaminya mengedarkan komen lucah itu menggunakan
internet dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara minimum setahun, jika didapati bersalah.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan kedua-dua kes itu, lapor agensi berita itu lagi.

Beliau membenarkan Khoo diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.



PASCA BUKIT GANTANG : Malaysia ditahap JAKUN demokrasi

Cara pilihan raya dijalankan di Malaysia masih belum berubah dan berada di takuk lama. Kebebasan berkempen, bersuara, berkomunikasi dalam media tetap di tahap jakun yang amat sangat.

Malu kita dengan demokrasi Indonesia. Cara pilihan raya dijalankan di Malaysia masih belum berubah dan berada di takuk lama. Kebebasan berkempen, bersuara, berkomunikasi dalam media tetap di tahap jakun yang amat sangat.

Polis dikerah untuk berkubu dan mengawal tempat pilihan raya kecil seperti kawasan perang atau darurat. Khemah-khemah putih ada di mana-mana seolah-olah kita melintasi Padang Arafah di Makkah.

Segala alat kenderaan seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda, trak dan bas, kereta penyembur air dan gas ditempatkan di lokasi strategik seolah-olah dalam suasana perang.

Entah berapa juta perbelanjaan sebenar pihak keselamatan dalam pilihan raya kecil di Malaysia kebelakangan ini.

Operasi polis seperti ini saya pernah lihat di sempadan Lubnan-Israel (Palestin). Tentera, kenderaan serta khemah penempatan tentera PBB bagi mengawal sempadan Israel-Palestin. Suasana itu boleh dilihat dalam pilihan raya kecil di Malaysia.

Majlis pengumuman calon di Bukit Gantang cuba diganggu dan dihentikan. Bagi polis majlis itu hanya untuk mengisytiharkan nama calon bukan untuk berceramah. Soalnya, kalau tak ada ceramah, tak perlulah permit berhimpun daripada jam 8 hingga 12 malam.

Mengumumkan nama calon cukup 5 minit sahaja. Sudah tentu himpunan itu untuk berceramah dan mengumumkan nama calon. Ketegangan diwujudkan oleh pihak polis di malam penamaan calun Bukit Gantang.

Bagaimanapun sepanjang kempen berjalan, pihak polis memberi kerjasama yang baik. Seratus peratus sepanjang kempen pilihan raya, RTM dan TV3 menjadi medan kempen BN. Menteri dan pegawai-pegawai di RTM dan TV3 tidak rasa malu langsung di atas perbuatan mereka.

Jentera BN sebenarnya tidak perlu berceramah kepada orang ramai dan pengundi kerana TV3 dan RTM telah bertindak bagi pihak BN. Perbuatan tidak bertamadun terus diperaktikkan kerajaan BN, walaupun rakyat sudah meluat dengan cara media kerajaan digunakan dalam pilihan raya. "Over Kill" terhadap pembangkang pada setiap warta berita TV3 dan RTM menimbulkan kemeluatan kepada kerajaan BN itu sendiri.

Namun, di Indonesia, kempen-kempen pendek dan janji-janji daripada parti-parti yang bertanding sering ke udara atau melalui kaca TV. Parti-parti politik bergilir ganti berkempen menggunakan TV kerajaan atau swasta di TV Indonesia. Malaysia - 'Jakun Demokrasi'

Semasa Malaysia menikmati sedikit kebebasan demokrasi, Indonesia berada di bawah diktator dan demokrasi terpimpin, dan kebebasan bersuara hampir tidak ada di bawah regim Order Baru Suharto itu. Selepas reformasi rakyat Indonesia mula menikmati kebebasan, manakala demokrasi Malaysia pula berada di alam "jakun demokrasi".

Dalam lawatan saya ke Jakarta, hari Sabtu 4 April, parti PDIP pimpinan Megawati dijadual mengadakan rapat umum di Stadium Senayan Jakarta. Di awal subuh pihak polis lalu-lintas telah bersedia di jalan-jalan utama untuk menjaga dan melicinkan perjalanan rakyat ke Stadium Senayan.

Saya tidak nampak sebarang kenderaan berat polis seperti trak, bas, dan kereta penyembur gas/air di sekitar jalan utama ke Stadium Senayan. Hanya polis lalu-lintas yang bertugas. Saya difahamkan dua parti besar membuat rapat umum di stadium Senayan di sebelah pagi dan petangnya.

Kalau himpunan seperti itu dibuat di Malaysia, entah berapa sekatan polis terpaksa rakyat tempuh termasuk deretan kereta pancutan air dan gas. Entah berapa ribu anggota FRU dan polis simpanan digunakan.

Demokrasi dan perjalanannya di Malaysia mesti terus diperjuangkan. Kebebasan berhimpun, kebebasan bersuara, kebebasan media harus diperjuangkan terus.

Kawalan dan sekatan untuk menjaga keamanan memang diperlukan, tetapi bukan dengan mewujudkan ketakutan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan. Pasukan keselamatan adalah rakan yang dihormati, bukan musuh yang perlu dibenci dan ditakuti.


UMNO Bebankan Masalahnya Kepada Rakyat

Melalui Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin UMNO memberitahu rakyat parti itu hendaklah diberi masa dua tahun untuk membaiki imej dan strukturnya yang lebih mesra rakyat. Rakyat diberitahu mereka kena tunggu dua tahun untuk melihat apa yang digembar-gemburkan sebagai Kabinet Rakyat itu berkesan atau tidak. Bagi UMNO/BN, masa yang diberikan rakyat lebih dari 51 tahun untuk “membela” rakyat tidak cukup, perlu tambahan khusus untuk membuktikan UMNO/BN memang mementingkan rakyat.

Adakah ini berupa pengakuan bahawa sudah lebih 51 tahun rakyat dilenakan dengan janji dan projek gergasi yang tidak memberi manfaat kepada mereka?Adakah UMNO kini mengaku ia telah gagal menjadi pemerintah yang mesra rakyat? UMNO/BN sudah tua dan tidak relevan lagi dalam percaturan politik abad 21 di Malaysia. Inilah mesej penting yang rakyat perlu fahami dan ambil ingatan supaya mereka tidak dipermainkan selama 50 tahun lagi dengan coklat berulat yang diberi nama Kabinet Rakyat.

Sebenarnya sejak dahulu hingga sekarang tidak wujud “kabinet rakyat” yang digembar-gemburkan sekarang. Semua kabinet dari dahulu hingga kini adalah kabinet para pengail politik yang matlamatnya yang paling utama ialah menjaga kepentingan parti dan kepentingan ketua-ketua UMNO yang sentiasa rakus syahwat politiknya. Apa yang dilaungkan sebagai transformasi dan reformasi dalam UMNO bukanlah untuk rakyat, tetapi untuk gembung-gembung UMNO dan sekutunya untuk memastikan mereka menang besar dalam pilihan raya akan datang. Mana ada reformasi dan transformasi untuk rakyat? Tidak ada.

Jika ada berilah contoh konkrit untuk dinilai. Tidak ada contoh konkrit itu. Yang ada hanya usaha untuk membaiki kelemahan parti dan para pemimpin UMNO/BN supaya rakyat memilih mereka lagi dalam pilihan raya akan datang. Jika itulah maksud transformasi dan reformasi, maka agenda peribadi UMNO/BN yang begitu ketara dan angkuh disogokkan kepada rakyat wajib ditolak bulat-bulat oleh rakyat tanpa ragu-ragu lagi.

Slogan baru, gagasan satu Malaysia, mungkin boleh diterima oleh etnik bukan Melayu yang menunggu-nunggu sekian lama “Melayu” itu sama taraf dengan mereka, tanpa sebarang keutamaan diberikan kepada mana-mana etnik atau suku kaum atau komuniti (ketiga-tiga istilah ini digunakan dengan maksud yang sama dari segi politik perkauman). Yang pertama perlu dihapuskan ialah hak istimewa orang Melayu; diikuti kemudian status bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan (yang ditolak UMNO); kedudukan ekonomi disamaratakan dengan memberi keutamaan kepada etnik China untuk meneruskan monopoli mereka (hakikat ekonomi ini tidak pernah dibincangkan dengan terbuka dan mendalam.

Oleh itu sekarang perlu dilakukan dengan kritis supaya Melayu tahu mengapa mereka susah mendapat barang-barang yang diperlukan dalam sektor pembinaan misalnya). Kesan politik pula cukup besar bagi UMNO/BN. Gagasan satu Malaysia menuntut mereka membubarkan parti perkauman, dengan itu UMNO, MCA, MIC dan semua parti gabungan perlu dibubarkan dengan menjadikan BN sebuah parti untuk semua etnik yang sama rata kedudukannya. Ini bererti Presiden BN boleh sesiapa saja yang dipilih oleh perwakilan atau sebarang cara yang ditentukan nanti. Jika perkara ini tidak mahu dilakukan, maka apa yang dinamakan gagasan satu Malaysia itu hanya khayalan Perdana Menteri saja, untuk mengelirukan lagi rakyat yang sudah terlalu keliru dan bercelaru. [15/4/2009]

Mohd Affandi Hassan