14 Mac 2009

MAHATHIR SELAR NAJIB KERANA RAMPAS KUASA KERAJAAN NIZAR

Setelah lebih sebulan selepas Barisan Nasional menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan hari ini bahawa pengambil-alihan kerajaan Perak baru-baru ini tidak dilaksanakan mengikut undang-undang.

Beliau menyatakan kesilapan-kesilapan, strateji buruk dan kecuaian yang berlaku pada 5 Feb lalu di dalam rampasan kuasa tersebut, yang didalangi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah mengakibatkan krisis politik berlaku di Perak.

"Anda tidak boleh menurunkan seorang menteri besar atau perdana menteri tanpa adanya undi tidak percaya di dalam dewan. Tiada peruntukan lain," tegasnya di dalam satu majlis anjuran MUBARAK, pertubuhan bekas-bekas wakil rakyat.

"Umno-BN terlalu cuai dan dan tidak menunggu persidangan dewan tetapi sebaliknya meminta Sultan melucutkan jawatan menteri besar," tambahnya, merujuk kepada keputusan Sultan Azlan Shah menitahkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin untuk meletakkan jawatannya.

"Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada peruntukan sedemikian di Perak atau Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dr Mahathir menyatakan sepatutnya BN melakukannya dengan betul dan "tidak menyalahi undang-undang" kerana mahkamah nanti boleh membuat keputusan yang Sultan tiada kuasa untuk memecat seorang menteri besar.

Beliau menambah seseorang Sultan hanya boleh menolak seseorang calon (menteri besar) untuk membuat pilihannya selepas berlakunya sesuatu pilihanraya, itupun calon tersebut boleh dikalahkan di dalam dewan melalui undi (tidak percaya).

Ahli politik veteran tersebut menyatakan BN sepatutnya "mematuhi undang negara ini, terutama perlembagaan."

"Kerana ini boleh menimbulkan konflik dengan undang-undang, kita akan dapati rakyat tidak akan mematuhinya. Kerana kita memulakan dengan langkah yang silap, rakyat kini menentang kita," kata Dr Mahathir, yang telah bertindak keluar dari Umno tahun lepas setelah persengketaan yang panjang dengan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Rampasan kuasa di Perak sekarang ini diasak dengan dengan siri saman menyaman, oleh kedua-dua belah pihak yang mendakwa mereka sebagai kerajaan yang sah.

Enam orang juga telah didakwa kerana menghina Sultan Perak selepas baginda menyebelahi BN untuk memerintah Perak. Seorang telah mengaku bersalah dan didenda RM10,000 semalam sementara yang lain meminta dibicarakan.

Umno menuduh bahawa mereka yang menentang keputusan Sultan sebagai menderhaka.

Berita: Malaysian Insider
Video: 7 Edition


Timb MIC Kedah S.Ganesan Calon BN Bukit Selambau

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah Datuk S.Ganesan dipilih sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Pemilihan Ganesan, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, diumumkan Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak hari ini, beberapa jam selepas beliau mengumumkan Ismail Saffian sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Kerusi Bukit Selambau kosong selepas peletakan jawatan oleh penyandangnya V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal bulan lepas.

Arumugam yang menang atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu, kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri sebelum meletakan kedua-dua jawatan itu atas alasan tidak tahan dengan ugutan pihak tertentu. Katanya, tekanan itu agak berat sehingga mengancam dirinya (Arumugam) dan keluarganya. Selain ugutan, beliau juga ditawarkan dengan tawaran lumayan untuk memujuknya meninggalkan PKR.

Sementara itu UMNO Bahagian Merbok pernah meminta supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dikembalikan ke pangkuan UMNO selepas hampir 14 tahun diserahkan kepada MIC.

Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, permintaan tersebut setelah mengambil kira pandangan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang mahu mengembalikan kegemilangan bekas kubu kuat UMNO itu.

Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir juga menyatakan baru-baru ini bahawa peluang BN memenangi kerusi itu lebih besar jika calon Umno yang bertanding pada pilihan raya kecil 7 April.

UMNO mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kerana mendakwa MIC berpecah kepada tiga kumpulan, menyebabkan parti itu sukar menang di kerusi berkenaan. Seorang pemimpin Umno bahagian Merbok berkata, tiga kumpulan terbabit masing-masing diketuai oleh Pengerusi MIC negeri, Datuk V Saravanan; bekas calon dalam pilihanraya umum lalu, V Krishnan dan satu kumpulan lagi yang diketuai oleh timbalan pengerusi MIC Kedah, M Ananda.

Samy Vellu telah menepis tuntutan UMNO tersebut.

"Sebenarnya kawasan itu, kawasan MIC sebab kita telah bertanding empat pilihan raya di sana, jadi tidak kira calon tua atau muda, asalkan rakyat suka atau tidak (kepada calon), itu yang lebih penting," kata Samy.

Kelab GB sebelum ini telah banyak mengulas kerusi Bukit Selambau ini di sini dan juga di sini

Batang Ai - Mussen Lamoh Calon BN

Jurutera Pertanian, Malcolm Mussen anak Lamoh, 49, diumumkan calon Barisan Nasional bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, pada 7 April ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas mempengerusikan mesyuarat BN, di sini, petang ini.

Bagaimanapun, calon yang dipilih itu perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mesyuarat parti-parti komponen BN hari ini.

Mussen anak Lamoh dari jabatan Pertanian Sarawak adalah seorang rakan karib Ketua Menteri Sarawak dan juga saudara rapat kepada mendiang Datuk Dublin Unting yang merupakan Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak sewaktu hayatnya.

Kerusi DUN Batang Ai terletak dalam bahagian Parlimen Lubok Antu, Sarawak.

Dublin telah menang di kerusi Batang Ai pada 2006 dengan menewaskan calon Parti Nasional Sarawak (Snap), Bawin Anggat.

Pakatan Rakyat diwarwarkan akan menurunkan Ketua Penaja PKR Batang Ai Nicholas Bawin sebagai calonnya di Batang Ai nanti.

Setakat September 2008, Batang Ai mempunyai pemilih berdaftar seramai 8,061 dengan 93 peratus adalah Iban.

Pegelutan untuk menguasai pengundi-pengundi bagi setiap Petiundi dijangkakan sengit.




Bukit Gantang - UMNO Pertaruhkan Ismail Safian

Ketua Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Ismail Saffian,48, dipilih sebagai calon BN bagi parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya kecil pada 7 April ini.

Ismail yang juga Bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang tewas dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian di tangan Datuk Rosli Husin baru-baru ini dengan 30 undi.

Beliau yang sedang mengikuti pengajian sarjana pembangunan pelancongan di USM, Pulau Pinang (secara kajian) dikatakan calon yang paling popular. Tambahan pula beliau adalah bekas Setiausaha, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dari Mei hingga Julai 2008.

Beliau juga merupakan seorang aktivis Belia 4B di kawasan parlimen Bukit gantang di mana beliau pernah menjadi Pengerusi Belia 4B Bukit Gantang dari tahun 1998 hingga 2004.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taiping hari ini.

Pengumuman tersebut juga menyaksikan nama-nama mereka yang menang di dalam pemilihan UMNO Bahagian Bukit Gantang yang lalu tidak terpilih termasuklah Ketuanya Datok Rosli Husin, Timbalan Ketuanya, Kamarulail Sulaiman dan Naib ketuanya Mohd Kamaruddin Abu Bakar.

Ramai ahli UMNO mempertikaikan pemilihan Ismail kerana kata mereka "bagaimana nak menang di dalam pilihanraya Bukit Gantang berdepan dengan orang pakatan Rakyat jika dengan nak jadi Ketua Bahagian pun beliau sudah tewas".

Di dalam satu forum yang dikendalikan oleh UMNO, mereka telah menyatakan bahawa Ismail Safian bukan calon favourite di Bukit Gantang.

"3 orang duk dalam final list sekarang Kamarullail, Kamaruddin dan Ismail Safian. Ismail Safian kemungkinan besar akan terkeluar, walaupun beliau dilihat 'bersama' dengan orang kuat UMNO dan BN. Akar Umbi kurang berkenan Ismail Safian ni, mungkin kerana beliau 'bukan anak tempatan dalam ertikata sebenar' berbanding Kamarullail dan Kamaruddin."

Seorang ahli UMNO secara sinis mengulas tajuk sebuah sebuah blog yang menyatakan "memang betul pun Ismail seorang sisa yang cukup pejal (is a solid waste)" yang bermasalah di dalam UMNO sendiri.

PRK Kecil Bukit Gantang akan diadakan pada 7 April itu ekoran kematian Ahli Parlimennya Ustaz Roslan Saharom. Dalam PRU 12 yang lalu allahyarham telah menewaskan calon BN; Datuk Azim Zabidi dengan majoriti 1566 undi. Ustaz Roslan Saharom mendapat 20,015 undi, Datuk Azim Zabidi mendapat 18,449 undi manakala calon BEBAS; M. Morgan mendapat 872 undi.

Sementara itu hari penamaan calon PRK Bukit Gantang akan diadakan pada 29 Mac 2009.

Altantuya Najib: Si Bebal Nak Gantung Gobind

Ahli Parlimen BN dilaporkan bercadang menggantung tugas ahli parlimen DAP Gobind Singh Deo selama setahun kerana dianggap menghina dewan berhubung tuduhannya terhadap timbalan perdana menteri kelmarin.

Wakil rakyat Puchong kelmarin telah digantung sehari dari Dewan Rakyat selepas mendakwa Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Usul mengambil tindakan disiplin itu dimuatkan dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Parlimen untuk dibahaskan pada Isnin depan.

Jika dikenakan tindakan tersebut, Gobind "tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan kemudahan sebagai seorang ahli parlimen" sepanjang tempoh tersebut.

Sebelum dikenakan tindakan itu, beliau bangun untuk bertanya soalan kepada Najib, yang juga menteri kewangan sebaik sahaja pemimpin Umno itu selesai menyampaikan penggulungannya.

Selain isu Altantuya, Gobind juga mempersoalkan tindakan berhubung kematian mengejut A Kugan dalam tahanan polis, Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz awal malam ini dilaporkan berkata usul itu akan dibentangkan jam 11.30 pagi menurut peraturan tetap dewan 27 (1).

"Dewan akan mengundi untuk memutuskannya selepas perbahasan itu," beliau dipetik berkata.

Persoalan kini, bijaksanakah tindakan Barisan Nasional itu?

Rakyat melihat episod tersebut sebagai satu usaha para wakil rakyat BN untuk mempertahankan Najib Tun Razak yang bakal menjadi Presiden UMNO/BN dan juga bakal Perdana Menteri dan separtinya ia untuk mengurangkan wakil Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat.

Kes Altantuya menarik semula perhatian rakyat ekoran pendedahan akhbar Liberation yang mengaitkan hubungan Najib yang dikatakan ada melakukan pertemuaan dengan Altantuya yang telah dibunuh dengan kejam itu.

Suara-suara lantang kedengaran setiap masa agar Najib disiasat, namun pemimpin-pemimpin UMNO-BN memekakkan telinga mereka terhadap suara-suara tersebut lantaran ia bukan sahaja akan menjejaskan masa depan Najib malah menjejaskan parti UMNO-BN keseluruhannya. (Ia juga menjejaskan peluang mereka yang bercita-cita dan berharap untuk dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen di dalam rombakan kabinet yang akan dilakukan Najib setelah menjadi PM nanti).

Yang ketara UMNO-BN masih lagi di dalam keadaan menafikan (state of denials) yang populariti mereka di kalangan rakyat negara ini semakin hari semakin menurun.

Kekalahan mereka untuk mempertahankan majoriti 2/3 di dalam PRU12 lansung tidak memberi apa-apa pengajaran kepada mereka supaya mereka melakukan bedah-siasat untuk melihat faktor-faktor penolakan rakyat terhadap parti mereka di dalam pilihanraya yang lalu serta di dua pilihanraya kecil selepasnya iaitu di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Malah kekalahan calon mereka ke atas pemimpin Hindraf yang sedang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang meringkuk di penjara di dewan undangan negeri Kota Alam Shah, M Manoharan adalah bukti nyata maruah, kredibiliti dan integriti BN sebenarnya sudah ditolak dengan jelas oleh rakyat.

Kemenangan M Manoharan disamping kekalahan pemimpin-pemimpin utama MCA/MIC/Gerakan samada di Dewan Rakyat atau dewan undangan negeri menjelaskan fakta bahawa wakil rakyat BN hanyalah gendang kosong yang telah ditolak oleh rakyat.

Melihat kepada keputusan pilihanraya umum 2008 masyarakat Puchong telah memberikan kemenangan besar kepada Gobind dengan majoriti 12,593. Satu angka yang agak besar jika dibandingkan dengan majoriti yang diperolehi oleh tukang-tukang sorak BN di Dewan Rakyat seperti Tajuddin Abdul Rahman - Pasir Salak (maj - 2,688), Dato Seri Mohamed Nazri Abd Aziz - Padang Rengas (maj - 1,749), Bung Mokhtar Raden - Kinabatangan (maj - 6,326).

Gobind, sama seperti Nizar dan para exconya tidak kerugian apa-apa (walaupun dari sudut materialnya mereka kehilangan elaun dan keistimewaan-keistimewaan lain) namun dari segi sokongan dan simpati rakyat kepadanya akan terus meningkat dan ini akan pastikan memberikan Pakatan Rakyat modal yang cukup banyak untuk di bawa ke pilihanraya-pilihanraya akan datang terutama pilihanraya kecil 7 April nanti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Justeru itu, kita ingin bertanya kepada wakil-wakil rakyat UMNO dan BN, apakah yang mereka perolehi dengan mengusulkan tindakan dikenakan ke atas wakil rakyat Puchong itu? Apakah mereka merasakan bahawa rakyat Puchong akan beralih untuk menyokog BN selepas ini? Apakah mereka merasakan BN akan bertambah kuat dengan mengambil tindakan sekeras itu?

Yang rakyat sekalian boleh beritahu ialah mereka akan terpaksa membayar harganya yang mahal dengan menanggung kekalahan yang lebih besar di dalam pilihanraya akan datang, bukan sahaja di parlimen Puchong malah di tempat-tempat lain.

Fikir-fikirkanlah.


Selangor Negeri Pertama Umumkan Aset Para Exco

Negeri Selangor mengorak langkah menjadi negeri pertama di negara ini yang mewajibkan semua para exconya mendedahkan pendapatan dan asset mereka secara online untuk tatapan masyarakat.

Tindakan tersebut disambut baik oleh masyarakat yang merupakan respons positif terhadap gesaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini meminta kesemua ahli Exco negeri itu mengisytiharkan aset masing-masing secepat mungkin dalam usaha memastikan kerajaan yang bersih dan telus.

Maklumat pengisytiharan aset membabitkan hartanah, saham, wang yang diperoleh sejak mengangkat sumpah sebagai Exco itu disiarkan menerusi laman web rasmi kerajaan negeri di alamat www.selangor.gov.my bermula lewat petang semalam.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, pendapatan bulanan RM32,830.67, manakala bayaran bulanan yang ditanggungnya adalah RM2,246.92.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohd Ali memperoleh pendapatan RM17,722.08 dengan jumlah tanggungan sebanyak RM12,781.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan, Yaakob Sapari memperoleh RM17,722.08 dengan jumlah tanggungan RM1,598.99.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail memperoleh pendapatan RM18,122.08 dengan jumlah tanggungan RM3,830.25.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar memperoleh RM17,722.08 dengan jumlah tanggungan RM2,270.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali memperoleh RM17,722.08 dengan jumlah tanggungan RM7,238.50.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad memperoleh RM17,722.08 dengan jumlah tanggungan RM2,527.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu memperoleh RM20,722.08 dengan jumlah tanggungan RM4,657.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong memperoleh RM17,722.08 dengan jumlah tanggungan RM2,000.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong memperoleh RM23,222.08 dengan tanggungan RM2721.

Abdul Khalid berkata, statistik yang dilaporkan di dalam laman web itu hanyalah bagi pendapatan dan aset barisan Exco kerajaan negeri semenjak mereka mengangkat sumpah pada 24 Mac tahun lepas sehingga sekarang.

Bagaimanapun, aset mereka sebelum menjadi Exco tidak dilaporkan di dalam laman web itu buat masa ini, katanya kepada pemberita.

Dengan pengumuman aset ini, Abdul Khalid berkata pihaknya dapat mengesan sama ada aset anggota Exco meningkat semasa memegang jawatan itu dan jika meningkat adakah ia berikutan salah guna kuasa.


Taktik Kotor Kerajaan Pusat Untuk Jatuhkan Negeri-negeri Pakatan Rakyat

Dewan Undangan Negeri Selangor pada hari ini didedahkan dengan satu usul tergempar yang telah dibentangkan berhubung usaha dan tindakan Kerajaan Persekutuan cuba menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor.

Usul tergempar berkenaan dibentangkan oleh Adun Kg Tunku, Lau Weng San yang mendakwa beliau mempunyai dokumen berhubung satu mesyuarat yang diadakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (PPNS) yang memperincikan program- program membabitkan agensi kerajaan.

Menurutnya, dokumen yang bertajuk 'Pelaksanaan Program People Centric di Negeri Selangor' satu mesyuarat telah diadakan 26 februari lalu dan membabitkan Agensi Keselamatan Negara serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Lau memberitahu dewan, program berkenaan dilaksanakan bagi menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan Barisan Nasional menguasai negeri Selangor dan juga meraih kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen bagi pilihanraya akan datang.

Tan Sri Khalid berkata program tersebut juga menjadi tanda tanya tentang kebebasan pegawai kerajaan yang bertindak menyebelahi Kerajaan BN.

Ketua Setiausaha Negeri (KSN)diminta memberi penjelasan mengapa pegawai kerajaan dibenarkan bersubahat dengan Kerajaan Pusat untuk cuba menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Mereka sepatutnya bersikap bebas dan professional dalam menjalankan tugas... lebih teruk lagi program ini juga cuba memberi kredibiliti kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) sedangkan DYMM Sultan Selangor telahpun bertitah tidak mengkitiraf JKKP di Selangor," kata Khalid lagi.

Beliau juga tertanya adakah program tersebut antara sebabnya Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor seringkali diserang dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan.

Beliau merujuk kepada isu derma lembu korban, penggunaan kereta peribadi Menteri Besar dan juga yang terbaru dakwaan Adun Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun kononya saudara beliau (Khalid) terlibat dalam aktiviti mencuri pasir dan mempunyai pejabat khas di tingkat 5, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

"Ingin saya nyatakan, tuduhan isu lembu dan kereta serta tuduhan Adun Kuala Kubu Baru adalah tidak benar sama sekali... Tidak ada sebarang aktiviti di Tingkat 5, Bangunan SUK seperti yang digembar gemburkan," tambahnya lagi.

Di samping itu, katanya, arahan juga telah diberikan kepada semua Pihak Berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan semua anak syarikat Kerajaan Negeri supaya tidak melayan (jika ada) sebarang permintaan ahli keluarga atau rakan serta pihak tertentu untuk mendapatkan sesuatu keistimewaan.

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat percaya bahawa usaha menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat bukan sahaja terhadap di negeri Selangor malah di kesemua negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Sebagai bukti ialah bagaimana gelagat Ketua Setiausaha Negeri Perak bertindak sewaktu kerajaan pimpinan Dato Seri Nizar Jamaluddin dipaksa keluar dari bangunan Perak Darul-Ridwan malah, KSU juga telah bertindak menghubungi polis untuk mengawal dan mengepung bangunan tersebut terutama di hari dimana sidang tergempar DUN Perak dijadual berlansung di bangunan tersebut pada bulan Februari lalu.

Tindakan KSU tersebut telah menyebabkan sidang tergempar terpaksa diadakan di bawah pokok di luar bangunan Perak Darul Ridwan.