30 Sep 2012

Ada Lagi Pemimpin Kanan BN Sabah Bakal Sertai PR

B eberapa pemimpin kanan BN Sabah dijangka akan mengikuti jejak dua Ahli Parlimen BN Sabah yang meninggalkan parti sebelum ini.

Bayangan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan ucapan dalam Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

“Sekarang kita ada dua orang pemimpin BN Sabah sertai kita, Insyaallah minggu depan akan ada lagi yang akan jadi agen kita,” kata Azmin.

Azmin ketika memberikan penjelasan lanjut kepada TV Selangor mendakwa, pihak yang dimaksudkan akan meninggalkan BN tersebut termasuk pemimpin kanan BN di Sabah.

“Memang ada perbincangan dijalankan dengan pemimpin BN di Sabah dan Sarawak tentang bagaimana mereka boleh mainkan peranan untuk membawa perubahan untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini soal startegi, jadi tak semestinya kita umumkan semuanya serentak, kita tunggu masa yang sesuai, tetapi seperti saya nyatakan tadi, akan ada lagi pimpinan kanan, penting tempatan yang akan sertai kita,” kata Azmin sebaik selesai rapat tersebut.

Menurut Azmin, pemimpin-pemimpin yang terlibat merupakan pemimpin di peringkat Parlimen dan juga Adun di Sabah.

Selain itu, Azmin berkata perkembangan terkini di Sabah dan Sarawak menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada di dalam keadaan tertekan dan marah.

“Isu ini menjadi kemarahan PM Datuk Seri Najib, sebab itulah dalam belanjawan baru-baru ini tiada peruntukan yang benar-benar menggembirakan rakyat Sabah kecuali menyentuhnya secara pinggiran sahaja,” ujar Azmin lagi.

Sebelum ini, baru-baru ini bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin mengumumkan meninggalkan BN untuk menyertai PR.

Tindakan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut menyebabkan BN mulai kehilangan pengaruhnya terhadap masyarakat tempatan di beberapa kawasan kubu kuat mereka sendiri. -selangorku

[PANAS] Samseng Rosakkan Kereta, Simbah Asid Di Himpunan Pengerang



Johor: Sekurang-kurangnya tiga kenderaan termasuk kereta yang dinaiki Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dirosakkan pihak tertentu yang tidak senang dengan program Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Johor hari ini.

Kedua-dua tayar kereta milik Penggerak Institut Peduli Rakyat (Peduli), Datuk Seri Abdul Rahman Maidin itu dirobek manakala cerminnya dipecahkan sebelum ia disedari kira-kira jam 1 petang.

Ketika kenderaan itu dirosakkan, kereta itu diletakkan hanya 500 meter dari balai polis Sungai Rengit, tidak jauh dari tapak perhimpunan berkenaan.

Selain itu, dua kereta yang dinaiki aktivis sosial, Hishammudin Rais dan wartawan Suara Keadilan, Sidiqin Omar pula disimbah asid pagi ini.

Kejadian yang disedari sekitar jam 7.30 pagi itu berlaku depan rumah yang mereka tumpangi di Jalan Teluk Ramonia, Sungai Rengit.

Asid itu dipercayai disimpan dalam plastik itu sebelum disimbah ke bonet dan pintu kiri kedua-dua kereta itu, menyebabkan cat kenderaan kelihatan mengelupas.

Perbuatan itu dipercayai didalangi samseng Umno berikutan pelbagai program yang cenderung kepada Pakatan Rakyat diganggu kebelakangan ini termasuk tiga kali simbahan terhadap bas Merdeka Rakyat dan banyak lagi. -KD

kereta dinaiki Salahudin dipecah

KUALA LUMPUR: Cermin kereta Pengerusi Institut Peduli Rakyat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin dipecahkan manakala dua tayar ditoreh di Sungai Rengit, Pengerang tengah hari tadi.

Perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang tidak senang dengan Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Dataran Sungai Rengit pagi tadi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut menaiki kereta tersebut bersama Abdul Rahman berkata, perkara itu disedari ketika mereka selesai menunaikan solat Zuhur di masjid berdekatan.

"Kita percaya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan penduduk mengadakan perhimpunan hari ini sebab itu melakukan perbuatan khianat ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun laporan polis belum lagi dibuat berhubung kejadian itu.

Salahuddin yang juga Pengerusi Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) sementara itu berkata, himpunan yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk pagi tadi berlangsung dalam keadaan aman dan dikawal polis walaupun pelbagai ugutan diterima.

"Banyak ugutan yang kita terima termasuk sms, panggilan telefon berbentuk amaran agar kita tidak meneruskan himpunan," katanya.

Selain itu, kereta yang dinaiki aktivis Hishamuddin Rais pula disimbah asid.

Himpunan pagi tadi bagi membantah Projek Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid) melibatkan 22,500 ekar tanah serta kira-kira 28,000 penduduk dari 17 perkampungan nelayan dan tradisi di kawasan perairan Pengerang.
-HD

[VIDEO] Ribuan Protes Projek Petronas Bernilai RM60b Di Pengerang



Johor Bahru: Beribu-ribu orang menyertai Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Dataran Sungai Rengit Pengerang, hari ini.

Himpunan yang amat besar ertinya bagi seluruh rakyat di Pengerang yang terlibat dengan Projek Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid) ini ditangani oleh gabungan NGO dari seluruh negara.

Himpunan yang turut disokong PAS itu diadakan memandangkan pembangunan projek itu telah menimbulkan berbagai konflik dan tanda tanya yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat khususnya penduduk Pengerang.

Projek Rapid ini melibatkan 22,500 ekar tanah serta kira-kira 28,000 penduduk dari 17 perkampungan nelayan dan tradisi di kawasan perairan Pengerang.

Sekiranya projek yang bernilai RM68 bilion ini diteruskan juga maka berbagai kemudahan awam termasuk warisan sejarah akan musnah antaranya, enam masjid, surau (11), sekolah kebangsaan (5), sekolah agama (5), sekolah jenis kebangsaan Cina (3) serta 3 rumah kakitangan kerajaan.

Turut musnah ditelan projek mega yang bakal dibangunkan itu 3 klinik desa, balai polis (2), perkuburan islam (11), jirat cina (7) serta 9 balai raya.

Protes menentang projek Petronas bernilai RM60b di Pengerang bermula

PENGERANG, 30 Sept — Kampung Sungai Rengit yang sunyi sepi sebelum ini bergegar apabila peserta demonstrasi melaungkan slogan dan tiupan “hon angin” mereka dengan berpakaian hijau untuk menentang projek petrokimia bernilai RM60 bilion itu yang bakal menyaksikan ribuan orang kampung kehilangan tempat tinggal dan kehidupan.

Perhimpunan raksasa Himpunan Hijau Pengerang bermula awal sedikit daripada jadual dengan aman kerana terdapat kebimbangan akan sekatan polis untuk menghalang ke tempat perhimpunan.

Dari 25 lokasi berlainan di seluruh negara, termasuk dari Malaysia Timur Sabah, peserta perhimpunan sudah berada di lokasi seawal jam 9.00 pagi dengan memakai baju hijau sambil mengangkat sepanduk protes.

Himpunan hari ini turut dipenuhi dengan gerai menjual T-shirt, payung, topeng muka dan makanan ringan, dilihat terkawal dengan kehadiran pihak polis yang turut memantau dari udara menggunakan helikopter.

Turut kelihatan adalah pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seperti naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan ketua DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, termasuk jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Wong Chin Huat dan Hishammuddin Rais, yang merupakan juruacara demonstrasi hari ini.

Hishammuddin turut dilihat menceriakan peserta protes dengan mengajar mereka menyanyikan lagu “Suara Rakyat” termasuk lagu “Oh my darling Clementine”.

Baner dan plakad mengecam projek Hab Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang menyaksikan pemindahan lebih 3,000 penduduk Pengerang dari tujuh kampung kecuali Kampung Sungai Rengit, petempatan majoriti masyarakat Cina di sini yang buat masa ini terkecuali daripada rancangan pembangunan tersebut.

Menurut penganjur, kawasan itu tidak diambil kerana nilai komersial tanah di Kampung Sungai Rengit yang tinggi.

Namun begitu, ketua pengerang PKR Taufik Jahir mendakwa objektif mereka adalah untuk “mengusir penduduk kampung dari rumah mereka” kerana Kampung Sungai Rengit akan menjadi pulau yang dikelilingi Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

RAPID akan meliputi 6,424 ekar PIPC yang keseluruhan nya seluas 22,500 ekar, yang menjadi rumah kepada 28,000 pengundi di Pengerang.

PIPC adalah projek mega bernilai RM170 billion yang bakal menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab petrokimia terbesar di Asia Pasifik.

“Sebaik sahaja kawasan ini menjadi pulau, nilai hartanah di Kampung Sungai Rengit akan jatuh dan penduduk akan terpaksa berpindah,” kata Taufik kepada The Malaysian Inside.
-TMI





[VIDEO] Pesawat 202 Bravo Terhempas Semasa Pertunjukan Aerobatik, 2 Maut



Jakarta : Sebuah pesawat 202 Bravo yang sedang mengadakan pertunjukan aerobatik di Bandung Air Show (BAS) 2012 di Pangkalan Udara Husein Sastranegara, Bandung terhempas pada Sabtu, mengakibatkan juruterbang dan pembantu juruterbangnya maut.

Pesawat itu jatuh di kawasan bangunan Jabatan Penyelidikan dan PembangunanAngkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU).

Mangsa yang terbunuh merupakan bekas pegawai TNI-AU.

Jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia berkata kejadian berlaku pada kira-kira 11.42 pagi, iaitu lima minit selepas pesawat itu berlepas untuk persembahan aerobatik di pertunjukan udara itu.

Berikutan kejadian itu, pihak penganjur telah membatalkan acara pertunjukanudara seterusnya sebagai tanda berkabung.

Bandung Air Show 2012, satu daripada acara sambutan ulang tahun ke-202 KotaBandung yang memasuki hari ketiga pada hari ini, diteruskan hanya dengan acarapameran.

Sejumlah 28 pesawat termasuk dari beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Amerika dan Australia mengambil bahagian dalam acara pertunjukan udara yang dijadual berlangsung empat hari mulai 27 September. – BERNAMA




[BERGAMBAR] Siapa Gerangan Yang Datang Bersahaja Kunjungi TG NIk Aziz Itu?



Tuanku Sultan Muhammad V bersama Tengku Mahkota menziarah Menteri Besar di Pulau Melaka. Selepas bertemu Tuanku Sultan bersama Tengku Mahkota sempat mendirikan solat berjemah bersama-sama Tok Guru di masjid Pulau Melaka.

Biarlah orang kata Kelantan negeri miskin, janji rakyat Kelantan dapat seorang Sultan yang berjiwa rakyat dengan tinggi perkerti agama serta kerajaan yang dipemimpin oleh seorang ulamak yang kaya dengan akhlak dan ilmu.

Sultan Muhammad V kunjungi TG Nik Aziz.

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V petang tadi mengunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka.

Sultan Kelantan yang julung kali mengunjungi Tuan Guru tiba di Pulau Melaka tepat waktu Asar dan baginda berkesempatan menunaikan solat itu di Masjid Pulau Melaka.

Pada kesempatan itu juga, Tuanku bersalaman dengan orang ramai yang turut menunaikan solat Asar.

Keberangkatan baginda ke masjid itu, merupakan kali kedua selepas 15 tahun dahulu ketika menjadi Tengku Mahkota Kelantan.

Sejurus kemudian baginda berangkat ke kediaman Tuan Guru untuk bertanya khabar tentang kesihatan Tuan Guru memandangkan baginda tidak berkesempatan menziarahinya sewaktu berehat di Hospital Sains Kubang Kerian minggu lalu.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Hadir sama Ketua Istiadat Istana, Datuk Abdul Halim Hamad.

Isteri Tuan Guru, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, turut beramah mesra dengan Tuanku berdua.

Tuan Guru ketika ditemui menjunjung kasih di atas keberangkatan baginda berdua ke kediaman peribadinya untuk bertanya khabar.

Menurutnya, semoga dengan keprihatinan Tuanku akan memakmurkan lagi negeri dan rakyat sejahtera di bawah penerintahan baginda.

“Saya sendiri membaca doa khas untuk tuanku dan usrah diraja semua agar sentiasa sejahtera serta dilindungi Allah.> Saya harap rakyat juga mendoakan kesejahteraan baginda.

“Saya sayang nak baiki rumah ni, sebab tuanku dah sampai rumah saya ni,” ujarnya ceria.

Tuanku sebelum berangkat pulang kira-kira jam 5.25 petang, sempat bergambar kenangan bersama sebahagian cucu Tuan Guru dan isteri di pekarangan kediamannya
. -HD



Anwar: Kita Wajib Menang Untuk Selamatkan Negara



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen parti itu bukan sahaja mahu menukar kerajaan sedia ada tetapi adalah merubah sistem nilai yang lebih baik kepada negara.

“Sudah sampai waktunya Umno-BN berundur dan kita mengambil kuasa, kita akan lawan kezaliman,” katanya di Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre di sini.

Anwar berkata komitmen dan iltizam diperlukan semua di peringkat kepimpinan bagi menggembeling kekuatan melaksanakan agenda perubahan yang digariskan oleh Pakatan Rakyat.

“Untuk Selamatkan negara ini kita wajib menang, untuk menang kita kena kerja kuat dalam lawan tetap lawan,” tegas Anwar.

Tambahnya, jentera parti perlu menyiapkan seluruh kekuatan untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa sahaja.

Dalam amanatnya itu, Anwar juga meminta perwakilan mengangkat martabat minda seperti mengangkat budaya ilmu dengan membahaskan buku-buku baru serta seminar membentangkan kertas kerja yang melibatkan kepentingan rakyat.

Kira-kira 1500 perwakilan daripada seluruh negara hadir dalam rapat itu hari ini yang dihadiri oleh pimpinan tertinggi parti. - selangorku


Bajet "Bunga Telor" - Najib Bakal Di"Mubarakkan"

Bajet 2013, bajet ‘bunga telor’

Pilihanraya kali ini sangat mahal harganya. Mahal sungguh untuk pihak pemerintah untuk mempertahankan kuasa yang semakin menipis itu. Semalam hampir dua jam Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita membentangkan bajet 2013 dan begitu ramai yang memanggil saya untuk minum kopi dan memberi komen tentang pembentangan bajet itu.

Saya telah membuat kenduri untuk dua orang anak saya berkahwin dan apa yang saya nampak bajet kali ini banyak memberikan tumpuan kepada ‘handouts’ untuk pilihanraya dan ianya tidak lebih dan tidak kurang seperti pemberian ‘door gifts’ kepada tetamu yang datang untuk kenduri kendara kahwin anak-anak kita.

Salah seorang dari rakan saya yang berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan memberitahu saya seminggu yang lepas yang bajet kali ini adalah bajet ‘bunga telor’. Apabila saya bertanya apa maksud beliau, dengan tegas beliau mengatakan yang bajet kali ini ialah bajet yang menumpukan untuk membeli hati dan jiwa rakyat. BR1M sana BR1M sini dan semuanya itu bukannya memberikan apa-apa faedah jangka panjang tetapi hanya sekadar untuk membeli perasaan rakyat untuk pilihanraya sahaja.

Pemberian ‘bunga telor’ ini hanyalah untuk digunakan buat sementara waktu sahaja iaitu semasa pilihanraya. Najib mengharapkan rasa suka itu akan masih terasa berada di dalam hati pengundi apabila pilihanraya di adakan. Apa yang berlaku selepas itu mereka (BN) tidak peduli kerana jika mereka mendapat mandat lagi BN ada lima tahun lagi untuk mengelentong rakyat sesuka hati mereka.

Najib membentangkan kepada kita semua sebanyak 80 peratus dari belajawan 2013 ini adalah belajawan menguirus. Hanya 20 peratus sahaja dari jumlah itu untuk membina pembangunan ekonomi negara. Nampak dengan jelas yang kerajaan hanya menumpukan perbelanjaan untuk menampung perkhidmatan awam dan perbelanjaan mengurus yang lain.

Kali ini benar-benar bajet membeli undi dan bajet bunga telor. Bunga telor selalunya nya kita dapati dari seseorang apabila dia menjemput menghadiri majlis perkahwinan yang hanya datang tiga atu empat tahun sekali. Tetapi bunga telor itu tidak dapat memberi faedah jangka panjang pada penerimanya. Ia hanya setakat kenang-kenangan sahaja. Pembayaran ‘one-offs’ seperti ini tidak akan membawa apa yang di cita-citakan rakyat untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Ia akan hanya tinggal slogan dan slogan terus-menerus.

Tetapi apa yang kita boleh rumuskan pemberian ‘gula-gula’ ini sangat mahal harganya. Lain-lain perkataan rakyat terpaksa menanggung harga yang begitu tinggi untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya itu.

Itulah sebabnya saya berfikir yang bajet anjuran Pakatan Rakyat itu lebih realistik jika kita memilih untuk mengekalkan negara kita sebagai negara yang maju pada masa yang akan datang serta memberikan keringanan kepada kehidupan rakyat biasa.

Rakyat akan lebih terasa kebaikannya jika hutang PTPTN serta harga kereta yang murah dirasai oleh rakyat kerana ini lebih memberikan munafaat kepada rakyat yang ramai. Mendapat BRIM sebanyak rm500 itu tidak dapat menampung kos penghidupan yang tinggi yang di alami oleh rakyat. Rakyat mahukan joran bukannya mahukan ikan yang cepat busuk itu.

Pihak BN boleh menuduh PR mengemukakan bajet bayangan yang tidak boleh dilaksanakan dan akan membawa negara kearah kebangkrapan tetapi dalam politik dan siasah mengharap itu adalah satu perkara yang biasa dan dirasai oleh setiap rakyat di mana-mana sekali pun.

Jika PR tidak berjaya melaksanakan janji-janjinya rakyat mempunyai kuasa untuk menurunkan mereka kembali di dalam pilihanraya yang berikutnya. Apabila sampai ke taraf itu maka barulah benar-benar rakyat yang mempunyai kuasa menentu siapa yang perlu di berikan mandat dan bukannya rakyat dipaksa oleh BN untuk menyambung mandat bagi mereka melakukan segala noda dan dosa terhadap politik dan ekonmi negara dan rakyat kita.

Rakyat tidak perlu takut untuk memberikan keyakinan kepada PR kerana jika PR mendapat mandat ke Putrajaya ia hanyalah TOL (temporary occupancy license) bukannya mempunyai hak untuk mendudukinya secara kekal. Itulah kesilapan BN selama ini kerana mereka menganggap Putrajaya itu adalah tempat yang boleh diduduki secara kekal dan boleh melakukan apa sahaja di Putrajaya itu.

Bagi saya bajet kali ini ibarat ‘door gift’ semata-mata, tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Maklumlah pilihanraya akan sampai tidak lama lagi.

Rakyat tetap menjadi penentu dalam pilihanraya kali ini. Rakyat boleh memilih BN, tempat dan sumber rasuah dan salah gunakuasa yang besar atau memilih pihak yang serius untuk membetulkan dan menyelamatkan negara untuk generasi kita yang akan datang.

Jika BN masih mendapat mandat percayalah kita akan menyaksikan rasuah akan berlaku lebih dahsyat lagi pada masa-masa yang akan datang. Kenapa begitu? Jawapannya mudah. BN akan percaya yang rakyat boleh ditipu setiap pilihanraya seterusnya sampai bila-bila. BN akan memperkuatkan lagi kepercayaannya rakyat, khususnya orang Melayu, akan memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka melakukan rasuah secara terang-terangan.

Mereka akan lebih percaya yang rakyat terutamanya orang Melayu boleh melupakan dosa dan noda mereka dengan memberikan mereka ‘gula-gula’ apabila pilihanraya mendatang. Apabila sampai ketahap itu tidak akan dapat lagi sesiapa untuk berbuat apa-apa.

Negara hancur dan terus hancur dan tidak siapa lagi boleh memperbaikinya lagi. — aspanaliasnet

Ulasan GB

Taraf pemikiran orang-orang UMNO kini begitu rendah, termasuklan Presidennya, Timbalannya atau naib-naib presidennya - membernarkan kenyataan bekas presidennya, Tun Dr Mahathir bahawa di dalam UMNO yang tinggal hanya yang bodoh-bodoh setelah sekian lama UMNO menutup pintunya kepada cerdikpandai untuk menyertai parti berkenaan.

Maka sebab itu timbul bajet "populis" untuk menarik hati rakyat melalui pemberian RM250 dan RM500 tunai yang merupakan satu kaedah paling buruk dan bangang untuk sesebuah kerajaan lakukan di dalam usaha untuk mempertahankan kuasanya.

Pemberian "one-off" sedemikian melambangkan keterdesakan kerajaan yang ada untuk memenangi hati rakyat yang disangkanya mudah digula-gulakan dan diperbodohkan sedemikian rupa.

Lebih bodoh lagi apabila pemberian BR1M itu dilakukan dipejabat-pejabat UMNO untuk menunjukkan kepada rakyat UMNOlah yang memberikan wang berkenaan.



Dari sudut etika dan undang-undang, hal tersebut ternyata merupakan satu "rasuah" untuk membeli undi seperti yang diungkapkan oleh TDM sebelum ini.

GB menyarankan jika pada kali kedua ini pemberian BR1M diagihkan melalui pejabat UMNO, laporan polis perlu dilakukan dan Pakatan Rakyat perlu mengheret Najib serta kerajaan BN ke muka pengadilan. Mudah-mudahan masih ada hakim yang berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan menghukum Najib dan kerajaannya lantaran rasuah politik itu.

Menurut pemerhatian GB, satu hari Najib tetap akan di"Mubarakkan", begitulah juga terhadap pemimpin-pemimpin UMNO BN yang lain - kerana itulah hukum kebenaran dan keadilan. Najib tidak boleh lari dari menutup segala macam korupsi dan rasuah yang dilakukan oleh beliau dan konco-konconya di dalam parti dan kerajaan. Langit tak selamanya mendung - yang bersalah tetap akan terhukum jua!

Marilah kita sama-sama berdoa agar ianya menjadi kenyataan.

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah

Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).