2 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Polis Salahguna Kuasa, SUHAKAM Perlu Campurtangan

Tidak cukup dengan keganasan semalam, polis sekali lagi menyalahgunakan kuasa dengan menahan mereka yang ditangkap dalam Himpunan Mansuh ISA melebihi tempoh 24 jam.

Dari 438 yang ditahan dalam perhimpunan aman semalam, 63 lagi masih ditahan kerana dikatakan terlibat dalam tunjuk perasaan anjuran Gerakan Mansuhkan ISA itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah ditahan di Kompleks Pertama dan dua orang juvana ditahan ketika keluar dari pusat membeli belah Sogo bersama ibu masing-masing pada jam 1230 tengahari semalam.

Bagaimanapun, Polis gagal mendapatkan perintah reman ke atas dua juvana terbabit dan mereka dibebaskan jam 215 petang tadi.

Manakala Sivarasa Rasiah direman untuk dua hari lagi dan akan didakwa di mahkamah esok.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong ketika di temui di luar Ibu Pejabat Daerah Bukit Jalil berkata, tindakan polis menahan tahanan lebih daripada 24jam adalah tidak sah di sisi undang-undang.

“Itu isu yang kita akan ambil selepas mereka dibebaskan. Perkara berkenaan memang tidak sah dari segi Perlembagaan dan undang-undang. Sesiapa tidak boleh tahan lebih 24 jam tanpa dibicara atau dibawa ke majistret untuk reman. Rasanya terdapat beberapa individu dari unit amal ditahan sejak pukul 9 pagi semalam, sepatut dibebaskan pukul 9 pagi tadi tetapi masih belum dibebaskan. Kita akan utarakan perkara ini di depan majistret nanti.

"Setahu saya dia (Sivarasa) telah umumkan kemungkinan besar dia akan didakwa di mahkamah esok dan reman akan dilanjutkan tetapi kita sediakan peguam khas untuk dia iaitu M. Puravelan seorang peguam yang senior. Mereka akan cuba membebaskan semua tahanan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, peguam Johnson Chong mendedahkan bahawa kerajaan nampaknya tidak berminat untuk memastikan hak asasi tahanan dipelihara.

Dua kanak-kanak antara mereka yang ditahan semalam. Mengikut undang-undang, kedua juvana ini seharusnya mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun agensi kerajaan itu enggan memberi bantuan kepada kanak-kanak yang digasak polis.

“JKM seharusnya melihat kanak-kanak ini tetapi mereka tidak melakukan apa-apa sehingga kami masuk ke dalam memberi gambaran . Kita tidak boleh menggunakan kanak-kanak untuk permainan politik atau apa-apa. Polis memberi alasan yang tidak munasabah untuk reman mereka selama 4 hari antaranya mereka enggan menyerahkan kad pengenalan dan enggan beri kenyataan. Tiada undang-undang di negara ini mengatakan sesiapa perlu berikan kenyataan kepada polis jika mereka enggan,” katanya.

“Ya kedua-dua Ammar dan Shuib dibebaskan. Saya percaya mereka yang ditahan dalam 60 orang sebab kita utamakan kanak-kanak terlebih dahulu. Mereka (wanita yang sakit) belum dibuat apa-apa kerana keutamaan kepada kanak-kanak berkenaan. Saya hendak maklumkan majistret tidak membenarkan reman dan mereka bebas,” kata wakil Majis Peguam Shahredzuan Johan.

Masih ramai lagi yang ditahan pihak berkuasa. Kami menerima laporan bahawa ada yang diserang asma dan sedang bergelut tanpa rawatan sewahjarnya semasa dalam tahanan polis.

“Sekurang-kurangnya 2 wanita yang sangat tidak sihat, seorang mengalami serangan asma yang serius masih belum menerima inhealernya dan seorang lagi mengalami demam panas. Apa yang dibimbangkan keadaan tidak seelok seperti yang dijangka. Kami berharap majistret yang mengendalikan reman ini tidak berada dibawah mana-mana arahan dan melakukannya dengan adil,” kata peguam Latheefa Koya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, N Surendran berkata beliau yakin penahanan-penahanan diluar batas undang-undang hari ini adalah komplot polis dan Kementerian Dalam Negeri.

“Kebanyakan yang ditahan, ditahan sebelum apa-apa berlaku dah polis mengakuinya semana proses permohonan reman. Polis mengaku bahawa mereka (yang ditahan) akan terlibat jadi kami tanyakan soalan apakah akan berlaku kepada negara ini sekiranya polis mengamalkan sikap prasangka? Polis menahan seseorang sebelum menyertai perarakan,ia penyalahgunaakuasa polis yang sangat luar biasa. Polis berkelakuan seperti ini kerana diberi arahan daripada KDN Hishamuddin Hussein Onn dan kerajaan.

"Ini adalah penyalahgunaan kuasa dan konspirasi antara KDN, polis dan saya percaya ianya atas nasihat peguam Negara,” katanya.

Sementara itu, timbul kekecohan apabila Polis enggan membenarkan seorang warga emas Maimunah Abdullah 61 yang datang dari Johor Bahru untuk melihat anak dan menantunya yang ditahan.

Manurutnya, anaknya dan menantunya Nurul Ain Ghazali 22, ditahan di stesen Ketapi Tanah Melayu sebaik tiba dari Seremban.

“Mereka beritahu mak cik anak mak cik dah kena tangkap semasa turun keretapi semalam pukul 1 tengahari. Saya naik bus pukul 2 (untuk ke Balai Bukit Jalil),” katanya. -TVA


Era Najib Altantuya : Musa, Sabtu Perlu Dihadapkan Ke Tribunal SUHAKAM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman sepatutnya ditahan dan dihadapkan ke Tribunal SUHAKAM kerana telah menjadi dalang kepada kezaliman polis yang meletus di perhimpunan aman Gerakan Mansuhkan ISA semalam.

Beratus-ratus peserta demonstrasi telah ditangkap dan polis telah menggunakan gas pemedih mata dan air berkimia untuk menyuraikan perhimpunan menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara, semalam.

Tindakan polis berkenan telah menerima kecamana hebat dari seluruh dunia dan ia jelas merupakan satu perlanggaran hak asasi manusia sekalipun sebelum ini pihak polis telah dipanggil oleh SUHAKAM berkali-kali untuk menjelaskan kepada mereka seperti kes insiden keganasan polis pada tahun 2006 dahulu.



Laporan Suhakam tersebut berkaitan insiden keganasan polis terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan aman di KLCC pada 28 Mei 2006 bagi membantah kenaikan tol. dan beberapa cadangan telah dikemukakan oleh penel Inkuiri yang diketuai oleh Dato K.C. Vohrah (mantan Hakim Mahkamah Tinggi). Antara lain:

- tidak menjadikan satu kesalahan jenayah (decriminalising) bagi perhimpunan tanpa permit polis di bawah seksyen 27 Akta Polis 1967;

- pihak polis tidak menghadkan hak mana-mana orang di negara ini untuk terlibat dengan mana-mana aktiviti yang berbentuk protes;

- memansuhkan sama sekali seksyen 27(2), (2A) hingga (2D), (4)(4A)(5)(5A) hingga (5C), (7), (8) dan seksyen 27A Akta Polis 1967.


Adalah sangat wajar bagi SUHAKAM campurtangan semula untuk menyiasat samada kesemua rumusan dan cadangan mereka dihormati oleh polis dan kerajaan Barisan Nasional.

Jika tidak kita meminta SUHAKAM untuk berdemonstrasi menyerahkan memerandum mereka kepada Agong supaya diadukan bahawa perlantikan mereka telah dihormati polis dan kerajaan Malaysia!


Era Najib Altantuya : Hishamuddin Terus Cabar Rakyat

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein hari ini terus mencabar rakyat dengan menyatakan kerajaan tidak tunduk kepada desakan perhimpunan haram di ibu negara semalam, yang padanya bukan bertujuan membela rakyat atau menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi menuduh demontrasi itu diperalatkan untuk kepentingan peribadi kumpulan tertentu.

"Sungguh hairan mentaliti seorang Menteri Dalam Negeri yang tidak melihat demontrasi tersebut sebagai kebangkitan rakyat yang menentang penggunaan ISA oleh kerajaan BN yang sentiasa menyalahgunakan Akta itu untuk kepentingan pemerintahan mereka," jelas seorang aktivis politik hari ini.

Dengan tujuan memperkecilkan perhimpunan yang dihadiri oleh tidak kurang dari 100,000 orang Hishamuddin mendakwa bahawa pihak berkuasa menganggarkan perhimpunan haram itu disertai kira-kira 5,000 orang.

Kami telah mengulas banyak mengenai isu perhimpunan anti-ISA semalam dianataranya kami menyatakan:



Setiap kali demonstrasi aman yang dilakukan oleh rakyat, pihak kerajaan terus akan mengecap ia sebagai "perhimpunan haram" sekalipun AKHIRNYA kebenaran membuktikan perjuangan rakyat itu benar dan tindakan polis serta kerajaan adalah salah.

Buktinya ialah sewaktu Datuk Hishamuddin Hussein menjadi menteri pelajaran, satu demontrasi apa yang dipanggil "Anti-PPSMI" yang diadakan pada 7 Mac lalu. Sekalipun perhimpunan itu menerima tentangan hebat dari pihak berkuasa sehingga rakyat "dihadiahkan" dengan pelbagai kezaliman polis dan keangkuhan menteri yang bertanggungjawab untuk terus tidak melayani tuntutan rakyat, namun akhirnya kerajaan mendapati perjuangan rakyat tersebut adalah benar dan langkah diambil untuk menghapuskan PPSMI.

Pengumuman Timbalan Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang mengumumkan pemansuhan perlaksanaan adalah berdasarkan kepada kajian saintifik terhadap perkara itu dan beliau berkata PPSMI tidak mencapai tujuannya kerana peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar adalah sangat rendah.

Ia sekaligus menafikan kenyataan Hishamuddin yang satu ketika berkeras ingin meneruskan dasar PPSMI tersebut sekalipun telah menerima tentangan dari banyak pihak.

Kini di bawah menteri yang sama, Hishamuddin selaku Menteri Dalam Negeri sekali lagi mencari pasal dengan rakyat dan beliau dikatakan sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam demonstrasi anti ISA....


Kita ingin menjelaskan kepada Hishamuddin bahawa rakyat yang bilangannya 100,000 semalam bersedia untuk didakwa di mahkamah, bersedia untuk ke penjara dan bersedia untuk berhadapan apa saja kemungkinan yang kamu rasa perlu untuk mengekalkan kuasa BN.

Jangan hanya tangkap Sivarasa, Mujahid dan 540 peserta demonstran, sila buat tangkapan untuk keseluruhan 100,000 orang yang hadir semalam. Keluarkan pengumuman supaya mereka yang hadir semalam mendaftarkan diri di mana-mana balai polis berhampiran dan kami bersedia untuk menghadapinya dan bersedia untuk memenuhi penjara-penjara di negara ini.

Malah jika pihak kerajaan BN mahu tunjukkan keras kepalanya kepada rakyat, silakan untuk terus gunakan polis untuk membelasah, menahan dan menangkap rakyat semahu mereka, anda akan melihat sendiri keruntuhan kerajaan BN yang anda dokong sekarang ini!


"Orang-orang yang zalim itu akan mengetahui di mana temoat mereka akan dihumbankan"
- Asy-Syuara : 227


Era Najib Altantuya : Najib Memutarbelitkan Kehadiran Nik Aziz

Di dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dikatakan "terkejut kerana kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menyambut ketibaannya di Kota Baru".


Pada lawatan hari ini, peristiwa yang saya tidak duga ialah antara orang pertama yang sambut saya di lapangan terbang, selain pemimpin Umno ialah tok guru Nik Aziz. Saya terima (pertemuan itu) kerana hormat beliau sebagai pemimpin.
Berita Harian 2 Ogos 2009


Kita jadi hairan dengan "rasa terkejutnya" Najib dengan kehadiran Nik Aziz walhal beliaulah yang menjemput Nik Aziz menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.



Ini memandangkan kehadiran Menteri Besar Kelantan itu di atas jemputan Dato' Seri Najib Razak sendiri.

"Walaupun kehadiran saya pada awalnya tidak dirancang kerana ia dibuat begitu mendadak, namun untuk kepentingan umum saya terpaksa membatalkan beberapa program lain yang lebih awal dirancang," katanya.

Beliau memberitahu perkara it kepada pemberita ketika ditemui di lapangan terbang sebelum berlepas ke Kuala Lumpur petang semalam.


Sepatutnya Mohd Najib melahirkan terima kasih kerana kesudiann MB Kelantan menerima jemputannya tetapi apa yang diucapkan oleh Najib seolah-olah Tuan Guru yang terhegeh-hegeh menyambutnya di Kota Baru.

Demikian satu contoh kaedah dimana Najib memanipulasikan kehadiran dan keikhlasan Nik Aziz.

Harakahdaily seterus melaporkan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah berkata, pertemuan empat mata yang berlangsung lebih kurang 20 minit itu memperlihatkan ada perkembangan positif ke arah meningkatkan lagi kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

Beliau juga melahirkan rasa bersyukur kerana pada pertemuan tersebut Perdana Menteri menerima dengan wajah yang manis setiap perkara yang dibangkitkan.

Antara isu yang dibincangkan pada pertemuan tertutup tersebut berkenaan tuntutan royalti, jalan bertingkat di Jalan Hamzah dan pembinaan pelabuhan di Tumpat.

"Cumanya Dato' Seri Najib sebut kalau boleh Tok Guru tak payahlah cepat sangat menyebut provokasi-provokasi terhadap Umno, tetapi waktu tu saya tak kata apa kepadanya.

"Saya tak jawab apa pada waktu tu, tetapi maknanya beliau faham, kalau tak jawab. Kami PAS dan Pakatan Rakyat tidak ada surat khabar sendiri, kami tak ada radio dan kami juga tak ada televisyen untuk menjawab," ujarnya.

Najib pertama kali datang ke Kelantan setelah dilantik sebagai Perdana Menteri selepas pemilihan Umno April lalu.

Beliau hadir pada dua program di Kota Bharu iaitu pecah tanah projek pembangunan di kompleks sekolah di Wakaf Mek Zainab dan merasmikan persidangan Umno Bahagian Kota Bharu.

Menteri Besar Kelantan berkata, sekiranya memekakkan telinga tanpa menjawab sebarang tuduhan ia tidak boleh kerana akan menimbulkan masalah kepada penyokong Pakatan sebab tidak tahu jawapan sebenar.

"Kerana itulah saya terpaksa menjawab untuk memberi kefahaman terhadap penyokong dan rakyat seluruhnya.

"Sedangkan kalau Perdana Menteri tidak menjawab apa pun ia tidak menjadi masalah kerana media milik kerajaan Barisan Nasional sentiasa membantu menjawab sebarang spekulasi," ujarnya.

Malah Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sejak dari dahulu lagi beliau sentiasa menjaga hubungan baik dengan pusat dan tidak pernah pernah berniat untuk mengacau sesiapa.

"Tetapi kalau orang asyik dok kacau saya macam mana, jadi tolong menolong dan bukannya tolong saja, sama-sama jagalah," ujarnya.

Sementara itu ditanya berhubung permohonan maaf Utusan Malaysia terhadapnya Menteri Besar berkata, perkara itu sedang diurus peguam yang dilantik.

"Ya saya pun ada membaca tentang permohonan maaf itu, tetapi perkara itu sedang dirunding melalui peguam saya," ujarnya.

Baru-baru Utusan Malaysia bertarikh 29 Julai lalu di halaman depan menyebut memohon maaf kepada Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiar Utusan bertarikh 15 Jun 2009.


Era Najib Altantuya : Menjawab Serangan Najib Ke Atas Rakyat

Kerajaan bersedia menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium, untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, demikian lapor Bernama.

"Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan," kata Najib mengulas perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di ibu negara semalam.

Perhimpunan itu yang mendesak kerajaan agar menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap tidak adil.

Najib juga berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak polis sama ada akan mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Katanya, polis mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan serta ketenteraman awam, dan tidak mahu kejadian semalam berlaku secara berterusan.

"Terpulang kepada pihak berkuasa (untuk mengambil tindakan). Demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang tidak patut diteruskan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, pihak pembangkang telah menjadikan perhimpunan haram itu sebagai bahan politik untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan itu kejam dan tidak bertindak adil dengan undang-undang yang "draconian."

SEBAGAI JAWAPAN, kita ingin menyatakan kepada Najib bahawa tiada siapa yang bertempik tetapi Polis yang bukan sahaja bertempik tetapi meniupkan siren sekuat-kuatnya di atas alasan untuk meleraikan perhimpunan.

Kita ingin bertanya kepada Najib dan sekalian pemimpin UMNO BN, apa jadi dengan rumusan inkuiri SUHAKAM yang dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia sebelum ini?

Laporan Suhakam tersebut berkaitan insiden keganasan polis terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan aman di KLCC pada 28 Mei 2006 bagi membantah kenaikan tol. dan beberapa cadangan telah dikemukakan oleh penel Inkuiri yang diketuai oleh Dato K.C. Vohrah (mantan Hakim Mahkamah Tinggi). Antara lain:


- tidak menjadikan satu kesalahan jenayah (decriminalising) bagi perhimpunan tanpa permit polis di bawah seksyen 27 Akta Polis 1967;

- pihak polis tidak menghadkan hak mana-mana orang di negara ini untuk terlibat dengan mana-mana aktiviti yang berbentuk protes;

- memansuhkan sama sekali seksyen 27(2), (2A) hingga (2D), (4)(4A)(5)(5A) hingga (5C), (7), (8) dan seksyen 27A Akta Polis 1967.


Laporan tersebut juga mengecam tindakan pihak polis yang menggunakan helikopter untuk mengganggu mereka yang berhimpun. Pihak Suhakam begitu tegas mengecam pihak polis apabila juruterbang helikopter mengakui bahawa dia telah merendahkan helikopternya atas arahan ketuanya meskipun tindakannya tersebut diakui boleh membahayakan keselamatan beliau dan orang ramai.

Bagi pejuang-pejuang demokrasi di negara ini dan rakyat yang peka terhadap hak mereka, cadangan-cadangan Suhakam ini amat besar maknanya. Namun harapan untuk melihat ianya dilaksanakan oleh pihak kerajaan khususnya pihak polis amat kecil.

Kita tentu masih ingat bagaimana sebelum ini pihak Suhakam juga telah mengeluarkan laporan inkuiri berkaitan keganasan pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun secara aman di Lebuhraya Kesas.

Laporan Kesas tesebut bukan sahaja mengesahkan bahawa pihak polis telah melakukan kesalahan pencabulan hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi juga mencadangkan agar beberapa peruntukkan di bawah Akta Polis khususnya yang berkaitan dengan kebebasan berhimpun dipinda atau dimansuhkan terus.

Jika dilihat kepada laporan Kesas tersebut, Suhakam malah mencadangkan agar pihak polis tidak membuat sekatan jalan raya bagi menghalang orang ramai untuk menyertai mana-mana perhimpunan secara aman.

Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Diraja Bagi Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia yang dipengerusikan oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Dzaiddin, pihak Suruhanjaya juga telah mengkritik sikap dan tindakan pihak polis dalam menangani isu hak berhimpun dan telah mencadangkan agar seksyen 27 dipinda manakala seksyen 27A, 27B dan 27C dimansuhkan sama sekali.

Seksyen 27 Akta Polis berkaitan dengan sekatan hak berhimpun di tempat awam yang memerlukan lesen/permit daripada pihak Ketua Polis Daerah manakala seksyen 27A adalah berkaitan sekatan kebebasan mengadakan aktiviti temasuk berhimpun di tempat persendirian ( private place).

Suruhanjaya Diraja ketika mencadangkan seksyen 27A dimansuhkan menyatakan "this (section) spells the end of the freedom of assembly, speech and association provided by the Constitution." (Terjemahan: seksyen ini melenyapkan kebebasan berhimpun, bersuara dan berpersatuan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.)

Selain Suhakam dan Suruhanjaya Diraja tersebut, pihak Mahkamah sendiri telah memutuskan dalam beberapa kes yang melibatkan pendakwaan di bawah seksyen 27 dan 27A memihak kepada mereka yang dituduh.

Kerajaan UMNO BN perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal mengindahkan segala saranan suruhanjaya yang telah dibentuk dan diperkenankan oleh ke bawah DYMM Di Pertuan Agong.

Polis semalam telah menahan 589 orang selepas mereka terlibat dalam perhimpunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya akan menyiasat penglibatan pemimpin pembangkang di perhimpunan itu.

SEBENARNYA, YANG PERLU DISIASAT IALAH DATUK MUSA HASSAN DAN DATUK SABTU OSMAN ITU SENDIRI. BELIAU PERLU DIPANGGIL MEMBERI PENJELASAN KEPADA SUHRUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA (SUHAKAM) TERHADAP TINDAKAN POLIS SEMALAM.

Tindakan perlu di ambil ke atas mereka berdua supaya mereka dipecat dari jawatan kerana telah bertindak melanggar undang-undang dan perlembagaan.




ERa Najib Altantuya : Benarkah Dia Teoh Beng Hock?

Saya menumpukan perhatian saya kepada siri kezaliman yang berlaku ke atas rakyat negara ini sepanjang saya mengulas isu perhimpunan aman Gerakan Mansuhkan ISA yang berlansung semalam.

Saya dari dulu tidak suka kepada keganasan, tidak suka kekejaman dan kezaliman yang berlaku oleh manusia ke atas manusia yang lain

Maka dengan itu saya melihat kezaliman polis yang berlaku adalah sesuatu yang amat jelek dan tidak sepatutnya ada lagi di zaman manusia telah tinggi nilai budi dan tamadunnya.

Namun, hasrat sedemikian seumpama utopia. Kezaliman terus bermaharajalela. Dan di saat saya mendedahkan kezaliman polis keatas rakyat, saya menerima sebuah video yang katanya diperolehi dari sebuah blog dan meminta saya untuk menilai siapa sebenarnya "watak" yang dibelasah teruk oleh anggota siasatan tersebut. Apakah beliau Teoh Beng Hock yang ditemui mati di bangunan SPRM temohari?

Saya tidak dapat mengecam dengan baik. Mungkin ada pembaca blog ini yng lebih mahir dari saya. Namun yang nyata pegawai penyiasat yang bangsanya serupa dengan saya itu adalah binatang, bukan manusia.

Silakan tonton video ini:





ERa Najib Altantuya : Peniaga Tutup Kedai kerana Benci Gangguan Polis

Semalam sewaktu perhimpunan menentang ISA diadakan, pihak media massa arus perdana mengembar gemburkan mengenai keluhan peniaga kononnya kerugian lantaran terpaksa menutup kedai pada setiap kali demonstrasi diadakan.

Satu perkara yang jelas cuba untuk menutup fakta bahawa sebenarnya perhimpunan aman tidak pernah mendatangkan kesusahan kepada rakyat terutama kepada peniaga.

Malah para peniaga gembira bila ada perhimpunan aman kerana bilangan rakyat ke ibukota akan bertambah dan ini mewujudkan permintaan dan pasaran yang lebih besar untuk perniagaan mereka.

Yang menjadi pokok masalah ialah pada setiap kali demonstrasi diadakan ialah gangguan pihak polis yang bertindak kebinatangan, membelasah, manangkap dan menahan orang sesuka hati yang kadangkala dilakukan secara rambang dan kasar sehingga orang tidak terlibat turut menjadi mangsa mereka.

Lebih buruk lagi mereka sesuka hati menyemburkan air berasid dan gas pemedih mata dengan alasan untuk menyuraikan peserta perhimpunan sedangkan tunjukkan mereka hanya untuk menunjukkan kuasa dan dihalakan kepada kedai-kedai di tempat laluan mereka.

Betapa fakta tersebut terlindung, dan diputarkan sedemikian rupa untuk menghitamkan demonstrasi aman dan menutup kekejaman dan kezaliman polis yang menyebabkan kebencian para peniaga pada setiap kali berlakunya demonstrasi.

Justeru itu tindakan polis yang keterlaluan itulah sebenarnya yang dibenci oleh para peniaga bukan kerana adanya demonstrasi di tempat mereka.

Sudah menjadi tradisi polis, UMNO BN untuk melencongkan kesalahan kepada pihak lain. Namun rakyat tidak sebodoh itu. Kebenaran akan tetap terpancar jua. Peniaga mengutuk kekejaman polis bukan perhimpunan aman kerana yang mengkucar-kacirkan perhimpunan ialah si polis yang buta undang-undang - bahawa perhimpunan aman dijamin oleh perlembagaan - tanya SUHAKAM jika masih bebal dan ragu-ragu!


Era Najib Altantuya - Perjuangan Rakyat Akhirnya Akan Menang - Zaid Ibrahim

Hari ini (1 Ogos 2009) buat kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya menjadi mangsa bom gas pemedih mata. Pedih sungguh mata dan hati saya! Inilah pengalaman saya berhimpun dan berarak bersama dengan berpuluh ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Ia benar-benar membuka mata saya di samping memberi banyak pengajaran.

Saya amat terkejut kerana tidak menyangka betapa kejamnya polis bertindak terhadap rakyat yang hanya berhimpun dan berjalan secara aman. Rakyat hanya mahu meluahkan perasaan tentang buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan secepat mungkin. Rakyat kita tidak membawa senjata; mereka hanya membawa anak-anak untuk menyedarkan warga kecil betapa kejamnya ISA.

Lelaki, perempuan, tua dan muda, pelbagai kaum, bermacam agama, semuanya berhimpun secara aman di ibu kota. Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat. Tapi nampaknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini sudah tidak ada guna lagi.

Hak kita sudah hancur kerana polis yang bersenjata, yang berkuasa penuh, yang sombong dan angkuh, kini telah menentukan hak kita. Bila polis kata perhimpunnan itu haram, maka kita semua yang berhimpun atas dasar kebebasan dan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi mangsa kekerasan polis.

Ya, polis yang mengaku diri sahabat rakyat, kini menunjukkan belang sebenar mereka. Tak sangka, dengan sedikit kuasa itu, mereka sudah merasakan diri seperti Fira’un.

Saya sebagai warga Malaysia yang prihatin telah turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Tapi saya bersama dua anak saya dan kawan-kawan lain tak tahu ke mana mahu dituju kerana polis telah tutup banyak jalan.

Kami hanya mahu ke Istana Negara untuk menyaksikan penyerahan memorandum anti-ISA. Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club; kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan. Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari.

Polis kemudian meminta orang ramai bersurai. Tetapi ke mana nak bersurai kerana semua jalan sudah ditutup. Tak ada cara lain kecuali patah balik ke arah Masjid Negara. Saya pun bersedia untuk bersurai.

Tapi bila sampai dekat dengan Masjid Negara, ada pula sekatan jalan polis. Di situlah saya lihat orang ramai angkat tangan supaya polis membenarkan mereka bersurai ke arah bagunan Dayabumi. Saya juga angkat tangan kerana kami memang nak bersurai. Ada dua orang wanita tua bersama saya yang merah serta berair mata mereka di samping terbatuk-batuk akibat bom gas pemedih mata. Sa orang peserta lelaki yang cacat anggota dengan crutches nya tidak dapat lari. Saya tak tahu apa nasib maanusia berani ini. Kasihan saya melihat mereka semua.

Rupa-rupanya polis sudah berniat jahat. Tanda angkat tangan tidak ada erti kepada mereka. Walau pun melihat ramai antara kami yang sudah mahu bersurai, polis terus melepaskan bom pemedih mata. Saya dapat lihat wajah-wajah polis berkenaan, kebanyakannya orang Melayu, yang penuh benci dan kesumat dendam. Maka terpaksa lagi kami berlari elakan diri.

Tapi nak ke mana lagi? Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram. Dinegara kita apa pun boleh dilakukan Ramai orang termasuk saya terpaksa lari masuk ke dalam hutan kecil berhampiran Jalan Kuching dengan melompat pagar bangunan di situ. Mujur juga ada pengawal keselamatan di situ yang baik hati yang telah melepaskan kami keluar dari perkarangan bangunan tersebut. Semoga Allah membalas budi baiknya. Di sana barulah kami dapat keluar untuk bersurai. Masa itu mata kami semua sudah merah, suara parau dan seluar koyak akibat terpaksa melompat pagar. Saya pun baru sedar bila sudah berumur begini lutut sudah tidak sekuat waktu muda dulu.

Memang jelas hak dan kebesan kita semakin terhakis. Apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat. Mereka mahu mengajar rakyat Malaysia bahawa era Pak Lah yang mahu mencuba membuka ruang kebebasan sudah tidak wujud lagi. Ini era Najib yang tak mahu dengar dan tak terima pandangan rakyat.

Bagi polis yang jelas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka mahu rakyat takut kepada mereka. Mereka tidak mahu kita di Malaysia bebas seperti Indonesia dan Filipina yang memberi rakyat peluang bersuara dan berhimpun secara aman. Mereka mahu semua rakyat sedar bahawa Malaysia adalah Negara Polis seperti Myanmar. Sesiapa yang berhimpun dianggap bersalah kecuali mereka yang berhimpun untuk menyokong Najib dan pemimpin UMNO yang lain. Inilah mesej 1Malaysia ciptaan Najib yang memberi amaran kepada rakyat bahawa kekerasan akan digunakan pada bila-bila masa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salah-guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini, InsyaAllah.


Era Najib Altantuya : 1Dunia Kutuk Kezaliman Polis Malaysia

Tindakan polis yang menggunakan kekerasan melampau untuk "mengganggu" dan menggagalkan perhimpunan aman Gerakan mansuhkan ISA semalam dikutuk hebat oleh media massa antarabangsa.

Gas pemedih mata yang dilepaskan bertalu-talu di Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Dang Wangi tidak dapat melumpuhkan semangat rakyat yang menjayakan perhimpunan.

Satu dunia terkejut dengan tindakan polis Malaysia yang dianggap "barbarian" dan masih kolot di dalam dunia globalisasi yang telah maju dan tindakan polis sedemikianlah yang menakutkan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Agensi berita AP menyatakan tindakan polis yang bertindak kasar ke atas peserta demontrasi semalam akan merosakkan sokongan ke atas Najib sebagai Perdana Menteri yang telah mengambil-alih kuasa pada April lalu dan menunjukkan beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak mengindahkan suara rakyat terhadap isu-isu seperti hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

Ia juga menunjukkan keangkuhan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengulangi kesilapan bekas Menteri terdahulu, yang bertanggungjawab mengarahkan pihak polis mengambil tindakan tegas ke atas para peserta perhimpunan ditambah dengan sikap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman yang selama ini dilihat bertindak menjadi polis yang menjaga dan mengampu kerajaan UMNO BN dan bukan keselamatan rakyat.

"Perhimpunan berjalan dengan aman tetapi telah dikacau dan diganggu oleh polis yang bertindak sewenang-wenangnya ke atas rakyat dengan provokasi melampau," demikian tegas Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menurut laporan Al-Arabiya News Channel pula menyatakan tidak kurang 5,000 anggota polis termasuk FRU telah menahan dan menangkap ratusan peserta demonstrasi di beberapa lokasi termasuk di dua masjid dan kompleks membeli belah.

Berita itu yang memetik kata-kata YB Siti Mariah Mahmoud, dari PAS, yang mengkritik penahanan para peserta perhimpunan sewaktu para peserta ingin memasuki masjid.

"Amat tidak wajar. Ini waktu solat dan tindakan ini adalah melampau dan menghalang orang dari menunaikan tanggungjawab untuk mendirikan solat," katanya.



Era Najib Altantuya : Himpunan Berjaya Sekalipun Polis Diserang Histeria

Perhimpunan Mansuhkan ISA dianggap berjaya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila lebih 100 ribu berhimpun di ibu negara hari ini walaupun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum akibat sekatan tegar polis.

Dalam sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan GMI di pejabat agung PAS, Anwar berkata, tindakan tegar polis menghalang perarakan ke Istana Negara menyebabkan peserta perhimpunan berselerakan di seluruh ibu negara.

Turut serta berada di ibu negara adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sebahagian besar peserta perhimpunan pula berhimpun di tiga tempat iaitu Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni. Namun mereka tidak berjaya berkumpul sekali untuk berarak ke istana kerana sekatan tegar polis.

Mereka hanya berjaya berkumpul sekejap di depan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut untuk mendengar sedikit ucapan pimpinan Pakatan sebelum disembur air dan gas oleh polis.

Anwar berkata, memorandum 10 tuntutan akan dihantar ke istana Negara apabila suasana mengizinkan.

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyatakan pihak polis telah menggunakan tindakan melampau disamping provokasi jahat mereka yang mana tanpanya, perhimpunan yang berlaku sebenarnya adalah di dalam suasana aman.

Naib presiden PAS Salehuddin Ayub merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat yang menyertai perhimpunan anti-ISA dan menyatakan sasaran 100,000 berjaya dihimpunkan. Kita berjaya menghantar signal kepada kerajaan UMNO BN tentang suara rakyat terhadap penentangan mereka terhadap ISA.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru polis supaya membebaskan semua demonstran yang ditahan tanpa syarat kerana menentang undang-undang ISA yang zalim bukan merupakan satu kesalahan malah merupakan satu kewajipan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan sekalipun kita tidak dapat menyerahkan Deklarasi Anti-ISA kepada Yang Dipertuan Agong, namun beliau yakini bahawa rakyat telah dapat berhimpun dan kita boleh berhimpun secara aman.

Sementara itu sewaktu sidang media diadakan di pejabat PAS pihak polis telah berusaha memecahkan pintu Pejabat Agung Pas dalam usaha menahan pimpinan Pakatan Rakyat, demikian lapor TVA.

Suasana di luar ibupejabat parti pembangkang terbesar di Malaysia itu bagaikan medan perang. Bunyi siren polis, trak FRU ke hulu ke hilir dan gas masih lagi menebal di udara.

Beberapa anggota polis cuba membuka pintu ibu pejabat, namun gagal. Mereka akhirnya beredar. Walaupun begitu, trak meriam air FRU yang melintasi hadapan ibupejabat Pas masih menembak-nembak air kimia ke pintu kaca ibupejabat Pas.


Era Najib Altantuya : Tindakan Polis Ganas dan Terlampau

Tindakan pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terhadap demonstrasi secara aman mansuhkan ISA di ibu negara, hari ini dianggap paling ganas dalam sejarah Malaysia, demikian lapor TVS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang menyertai Perhimpunan itu berkata, tindakan pihak berkuasa adalah keterlaluan dan melampau.

Lebih 400 orang yang berhimpun secara aman ditahan pihak polis yang turut melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

“Kami tidak menjangkakan bahawa mereka terlalu terdesak dengan mengambil tindakan terlalu agresif dan melampau, dan ternyata mereka itu semacam lebih tertekan hari ini berbeza dengan perhimpunan terdahulu daripada ini. Sehingga petang ini mereka masih lagi menunggu kami di Jalan Raja Laut dan di Ibu Pejabat Pas ini.Saya kira ini adalah perbuatan paling ganas dan paling keji dari pihak FRU,” katanya.

Kedua-dua pihak iaitu kumpulan Anti-ISA dan Pro-ISA gagal menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara.

Dr Dzulkefly menegaskan, undang-undang ISA ini bukan sahaja tidak releven pada masa ini, malah menzalimi rakyat di Negara ini sendiri.

“Kita mahukan Perdana Menteri mengambil kira kesungguhan dan komitmen rakyat.dan beliau perlu segera mengambil tindakan memansuhkan ISA dan bukan sekadar merujuk atau mengulang tayang serta meminda mana-mana undang-undang ini, tetapi pada dasarnya adalah zalim kerana menafikan hak pembelaan kepada tertuduh secara terbuka dimahkamah bagi mereka mempertahankan diri.”

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata, kejadian yang berlaku pada hari ini menun jukkan mesej yang jelas daripada rakyat terhadap kezaliman yang berlaku di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Exco Selangor, Dr Halimah Ali berkata, tindakan pihak berkuasa yang melampau ini tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia adalah sebuah Negara yang mengamalkan dasar demokrasi.

Katanya, rakyat berhak memberi pandangan dan mengemukakan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong secara aman.

Sementara itu, suasana di Pusat Tahanan FRU Cheras menjadi kecoh apabila pihak polis bertelagah dengan para peserta demonstrasi anti-ISA yang ditahan sebelum dan semasa himpunan MANSUH, hari ini, demikian lapor harakahdaily.

Menurut Ahli Jawatan Kuasa Muslimat PAS, Athirah Aiman al-Jundi, yang ditahan kira-kira jam 12.50 tengah hari di Kompleks Pertama, pertelagahan tersebut berlaku apabila pihak polis tidak membenarkan mereka yang ditahan untuk menemui peguam.

Tambah beliau, pihak polis tidak membenarkan mereka menemui peguam dengan alasan 'mereka belum ditahan', selain mengatakan para peguam tidak mengendahkan hak dan nasib mereka.

"Alasan pihak polis tidak membenarkan kami menemui peguam ialah kerana kami belum ditahan. Jadi, yang letakkan kami di pusat tahanan ini apa namanya? Jika kami tidak ditahan, mengapa tidak dilepaskan sahaja?", soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau lagi, alasan polis bahawa para peguam tidak mengendahkan mereka yang ditahan turut tidak masuk akal, memandangkan terdapat tiga peguam di luar pusat tahanan tersebut, antaranya Lateefa Koya yang ingin menemui mereka yang ditahan.

Sambil menyatakan kesemua yang ditahan dipisahkan antara satu sama lain bagi mengelakkan sebarang perbincangan, Athirah turut memaklumkan tiada sebarang keterangan diambil polis ke atas mereka yang ditahan.

"Kita tidak tahu apa yang mereka mahu. Keterangan tidak diambil, malah terdapat dua tahanan wanita dihantar ke Balai Polis Bukit Jalil. Atas sebab apa kita tidak tahu. Malah, ada di kalangan yang ditahan telah diambil kad pengenalan mereka tanpa dipulangkan kembali," tambah beliau yang turut menyampaikan informasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mereka yang ditahan bertindak melakukan pelbagai aktiviti bagi memprotes tindakan polis, antaranya melaungkan slogan 'Hidup Rakyat', 'Mansuh ISA', 'Hentikan kezaliman', 'hancur penindasan', 'lawan tetap lawan', selain mendeklamasikan sajak.

Antara yang turut ditahan bersama Athirah ialah AJK PAS Pusat, Mujahid Yusof Rawa; Exco Pemuda Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; serta beberapa aktivis lain, termasuk isteri tahanan ISA lapan tahun, Norlaila Othman.