26 Nov 2012

Taklimat Kes Scorpene Oleh Peguam Perancis Di Singapura Esok

Taklimat kes Scorpene yang sepatutnya diadakan di Parlimen esok dipinda ke Hotel Changi di Singapura berikutan arahan daripada Speaker Dewan yang enggan membenarkan kehadiran peguam Perancis.

Taklimat akan bermula pada 11 pagi sehingga 2 petang esok dan dijangka akan dihadiri majoriti ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Tambahan, taklimat yang sepatutnya dilakukan oleh dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Brohem terpaksa dibatalkan dan hanya diwakili peguam bersekutu mereka, Apoline Cagnatn.

Cagnatn dikatakan sudah berlepas daripada Perancis pukul 3 petang tadi (waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Singapura pada pukul 7 pagi esok.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam responnya berkata, keputusan itu dibuat beradasarkan kuasa mutlaknya untuk menentukan, memberi kebenaran atau arahan bagi membolehkan seseorang masuk ke kawasan Parlimen.

Menurut Pandikar, keputusan itu turut dilakukan kerana mendapat bantahan rasmi daripada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) demi menjaga kedaulatan dan nama baik institusi Parlimen supaya kekal terpelihara.

“Kalau pun ada bukti baru yang perlu diperjelaskan kepada mana-mana pihak khasnya ahli Parlimen, pada hemat saya, ia masih juga berstatus tuduhan, bersifat fan berunsur politik yang bukan ‘bipartisan’.

“Sehubungan itu, saya amat bersetuju dengan pendirian BNBBC jika agenda peribadi ini hendak diperjelaskan, bolehlah menggunakan ruang lain seperti ibu pejabat parti, pejabat Suaram atau lain-lain premis awam yang bersesuaian tanpa melibatkan institusi Parlimen Malaysia.

“Keputusan muktamad ini juga sejajar dengan keputusan saya dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada 8 November 2012 mengenai ‘Isu Keselamatan Parlimen Malaysia dan Penggunaan Ruang Sidang Media’ dengan mengambil kira keistimewaan dan hak ahli Parlimen dibawah Peraturan Mesyuarat 93 dan 94 demi memastikan tahap integriti, keluhuran dan kedaulatan institusi Parlimen Malaysia terpelihara sepanjang masa,” katanya.

Tambah Pandikar, setakat ini tiada sebarang permohonan rasmi yang diterimanya, sebaliknya hanya surat makluman mengenai hasrat untuk membawa tetamu undangan (peguam Perancis) masuk ke Parlimen.

Pandikar berkata demikian dalam satu surat jawapan rasmi kepada pejabat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua dalam sidang media berkata, William dan Joseph tidak dapat hadir kerana enggan mengambil risiko yang tinggi apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak memberikan sebarang jaminan keselamatan kepada mereka.

“KDN kata tertakluk kepada syarat-syarat imigrasi yang akan ditentukan Jabatan Imegresen…tugas mereka hanya nak masuk dan buat taklimat ringkas. Mereka tak berminat nak buat kecoh pun,” katanya.

Sehubungan itu Tian Chua berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran ahli Parlimen BN termasuk ahli Senat ke Singapura esok dan berusaha untuk menyiarkan taklimat tersebut secara langsung termasuk melalui laman sosial Facebook.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R Sivarsa berkata keputusan Speaker itu merupakan langkah terbaru untuk mengurangkan ruang bagi rakyat menyuarakan pendapat dalam Parlimen.

“Secara langsung menunjukkan adaperkara yang tak mahu didedahkan. Ada perkara yang mereka tak mahu rakyat tahu,”
katanya. -FMT

Dihalang masuk M’sia, peguam Perancis beri taklimat Scorpene di Singapura esok

KUALA LUMPUR 26 November: Taklimat Scorpene yang dijadual berlangsung di Parlimen Malaysia ditukar di Singapura esok, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan taklimat tersebut ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ekoran itu, sesi taklimat tersebut akan diadakan di Hotel Changi Village selama dua jam bermula 12 tengahari oleh Apoline Cagnate, rakan kongsi dari firma peguam Perancis, William Bourdon.

“Hari ini pejabat Ketua Pembangkang terima surat rasmi dari Speaker yang beri jawapan negatif (berhubung permohonan taklimat).

“Antara sebab yang diberi Speaker adalah bantahan dari Ahli Parlimen BN dengan alasan menjaga kedaulatan dan nama baik institusi Parlimen,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Surat rasmi yang dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bagi meminta jaminan peguam boleh masuk ke Malaysia juga sampai hari ini tidak dijawab,” kesalnya.

Justeru, beliau menjemput semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk dari BN serta pihak media untuk hadir sama.

“Bagi yang tak dapat hadir, boleh tanya soalan melalui laman twitter dan facebook.

Kami juga akan usahakan supaya taklimat boleh disiarkan secara langsung melalui internet,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Turut hadir sidang media, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Perkara tersebut turut disahkan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel.

“Ya, taklimat tersebut akan diadakan di Singapura esok,” katanya kepada Keadilan Daily.

Mengikut jadual, William dan seorang lagi peguam Perancis, Joseph Breham akan memberi maklumat terperinci mengenai perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis.

Khamis lalu, Sivarasa memberitahu, taklimat yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu ditunda dan dijadual berlangsung di bilik taklimat, bangunan Parlimen esok.

Surat jemputan rasmi kepada mereka diserahkan Anwar pada 7 November lalu.

Sebelum ini, Hishammuddin menyatakan peguam terbabit akan ditahan jika hadir ke Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan ‘keputusan yang dibuat’.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan bertindak menghantar pulang William ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suaram di Petaling Jaya.

Kapal selam Scorpene yang dibeli dari DCNS di Perancis – melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat milik rakan baik Perdana Menteri – Abdul Razak Baginda.

Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh mengguna bom C4 dari Kementerian Pertahanan pada 2006.

Hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance Perancis.

Tujuh saksi dinamakan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir Singh Chahl serta Ahli Perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin
- KD

Skandal RM40 Juta Musa Aman Tersiar Dalam Akhbar Terbesar Hong Kong


Skandal rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan jutawan balak, Michael Chia mendapat liputan akhbar berbahasa Inggeris terbesar di Hong Kong – South China Morning Post City.

Akhbar tersebut melaporkan pertemuan delegasi KEADILAN dengan pihak berkuasa dan Ahli Parlimen Hong Kong untuk menggesa siasatan terhadap kes rasuah itu supaya dibuka semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang ketika dihubungi memberitahu, terdapat sekurang-kurangnya lima media cetak Hong Kong membuat liputan terhadap kes berkenaan.

“Ia menunjukkan media antarabangsa memandang berat isu ini,” katanya.

Akhbar lain yang membuat liputan kes rasuah itu antaranya Hong Kong The Sun, AM730, Hong Kong Oriental Daily dan Hong Kong Singpao.

“Selain media, pihak berkuasa di sana juga sangat mengambil berat isu ini. Jika betul tiada kes, mana mungkin media nak buat liputan,” kata Lih Kang.

“Kita harap agensi kerajaan di Malaysia juga dapat mengambil tindakan sewajarnya,” sambung beliau.

Sebelum ini, Chia yang rapat dengan Musa ditahan di Hong Kong kerana terlibat dalam penggubahan wang haram RM40 juta.

Taikun balak itu menyatakan wang berkenaan milik Musa tetapi pemimpin Umno terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa ia adalah dana untuk Umno Sabah.

Lih Kang bersama Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian ke Hong Kong selama dua hari, bermula 21 November lalu.

Delegasi terbabit juga ditemuramah khas oleh Reutera-Bloomberg yang mengikuti perkembangan kes tersebut.


Kes rasuah RM40j kecoh di Hong Kong, KL pula senyap – Anwar KUALA LUMPUR 26 November: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik pelaksanaan sistem tidak adil oleh institusi kerajaan, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau merujuk kes rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan jutawan balak, Michael Chia yang mendapat perhatian serius pihak berkuasa Hong Kong.

“Kes rasuah melibatkan pemimpin negara boleh riuh di Hong Kong, tapi di Kuala Lumpur tutup kes,” katanya.

“Pemimpin patut ada perasaan malu, satu negara tahu, dan ada rekod kes di Hong Kong,” tambahnya pada Himpunan Raksasa Kebangkitan Rakyat Sabah di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Ekoran kelemahan itu, Ketua Pembangkang berkata, pihak berkuasa kerajaan tidak mendapat kepercayaan rakyat.

“Sebut SPRM orang tak yakin, Mat Sabu sebut SPR pun (dia) tak yakin,” kata Anwar.

“Saya masih ingat masa pilihan raya 2008 di Selangor, masa pengundian ditambah dua jam, sepatutnya habis jam 4 petang ditambah kepada 6 petang.

Kita kata itu satu usaha nak tipu undi, sebab rakyat Selangor masa itu berat ke arah Pakatan,” jelasnya.

Anwar berkata, kesedaran dan kebangkitan rakyat akan menumbangkan penipuan tersebut.

Justeru, beliau menyeru rakyat Sabah menukar kerajaan dan sistem yang diamalkan.

“Ia bukan hanya soal tukar kerajaan atau Perdana Menteri, tetapi juga tukar sistem yang ada dengan sistem dan agenda baru,” katanya disambut tepukan 500 penyokong
-KD

Pelaburan Selangor RM6.9 bilion, Rekod Tertinggi Banding Negeri Lain

Selangor merekod jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri lain, dengan catatan RM6.903 bilion, melibatkan 170 projek perkilangan diluluskan, sepanjang Januari hingga Ogos. Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, jumlah itu mewakili sebanyak 23.18 peratus daripada RM29.786 bilion keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di negara ini, sepanjang tahun ini. “Daripada jumlah modal pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak RM 5.237 bilion adalah daripada pelabur tempatan, manakala selebihnya RM 1.665 bilion adalah pelaburan asing. “Sebanyak 14,630 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2013 Selangor, pada Sidang Dun Selangor, kelmarin. Menurutnya, sebanyak 101 projek diluluskan itu adalah projek baru dengan nilai pelaburan berjumlah RM4.112 bilion, manakala 69 lagi merupakan projek pengembangan pelaburan berjumlah RM2.792 bilion. “Jumlah ini menunjukkan bahawa pelabur tempatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pelaburan di Selangor dan masih berkeyakinan dengan senario pelaburan semasa serta dasar pelaburan berkonsepkan mesra pelabur yang diamalkan Kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya. Dalam pada itu, Teresa berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan program pertemuan, lawatan dan kunjungan hormat ke kilang dan kawasan industri yang beroperasi di Selangor bagi mendapatkan maklum balas, selain meninjau masalah yang dihadapi. -SH
Ekonomi Cemerlang: Negeri BN Gagal Saingi Selangor.

Selangor sekali lagi menunjukkan kemajuan memberangsangkan daripada negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) apabila mencatatkan nilai pelaburan tertinggi lebih RM44.

9 bilion daripada hampir 1,500 projek perkilangan.

Bukan itu sahaja, malah negeri terkaya ini juga mewujudkan hampir 14,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Selangor untuk tahun ini sahaja.

Dalam ucapan penggulungannya, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok berkata, kemasukan pelaburan itu jelas membuktikan kepercayaan pelabur asing dan tempatan terhadap urustadbir cemerlang Selangor sejak 2008.

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 170 projek perkilangan diluluskan di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan RM6.903 bilion.

“Ini bermakna nilai pelaburan sebanyak RM6.903 bilion di Selangor oleh MITI-MIDA ialah 23.18 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan di Malaysia iaitu sebanyak RM29.

786 bilion,” katanya.

Tambahnya, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri lain diikuti Sabah dengan nilai pelaburan RM4.84 bilion membabitkan 22 projek dan Sarawak sebanyak RM4.635 bilion dengan 20 projek.

“Daripada jumlah itu menunjukkan pelabur tempatan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pelaburan di Selangor dan masih berkeyakinan dengan senario pelaburan semasa dan dasar pelaburan yang berkonsepkan mesra pelabur yang diamalkan Kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Teresa.

Daripada hasil negeri yang memberangsangkan ini ia membolehkan kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Dasar Merakyatkan Ekonomi negeri yang memberi banyak kemudahan dan imbuhan secara berterusan seperti skim air percuma untuk rakyat, TAWAS, hadiah anak masuk universiti, Skim bantuan warga emas dan sebagainya.
-Roketkini

Kerajaan Takut Pemerhati Luar Kerana Pilihanraya Kotor - MAFREL

Kerajaan Umno BN tidak perlu takut dengan kehadiran pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya umum (PRU) jika yakin sistem pilihan raya di negara bersih, kata Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kalau kita yakin proses demokrasi kita baik, tak perlu takut dan bimbang untuk benarkan pemerhati luar (memantau PRU).

“Dari dulu lagi Mafrel konsisten tentang isu ini. Ia perlu dilihat dengan positif kerana pemerhati luar boleh beri perspektif dan cadangan yang baik.

“Jadi, (kerajaan) patut alu-alukan kedatangan mereka. Seolah-olah nak takutkan orang ramai, bahawa ‘ini negara kita, orang lain jangan terlibat’,” katanya ketika dihubungi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan kehadiran pemerhati antarabangsa pada PRU ke-13 akan memalukan negara.

Najib turut menuduh pemerhati luar sebagai ‘campur tangan asing’ dan kononnya merosakkan masa depan negara.

Menyangkal tuduhan itu, Syed Ibrahim menjelaskan, peranan pemerhati luar semasa pilihan raya di mana-mana negara biasanya berpandukan prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

“Mereka bukan sewenang-wenangnya buat laporan (untuk burukkan negara). Jadi tak perlulah takut sangat untuk benarkan pihak lain beri pandangan tentang negara kita,” kata beliau.

Menurutnya, Mafrel akan menjadi pemerhati dalam PRU 13 untuk memantau sebarang cubaan penipuan dan penyelewengan.

“Mungkin dalam masa terdekat, kami akan umumkan (penubuhan) gabungan dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk buat pemerhatian yang lebih baik dan meluas,” jelasnya.

Sejak 2005, Mafrel menjadi pemerhati di beberapa pilihan raya kecil, Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2006, termasuk PRU 2008.

Mafrel juga mengambil bahagian sebagai pemerhati antarabangsa di beberapa negara, antaranya Hong Kong, Pakistan, Thailand dan Bangladesh.

SPR sendiri jadi pemerhati negara lain – Bersih

KUALA LUMPUR 26 November: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (Bersih 2.0) menempelak kerajaan Umno BN yang menolak kehadiran pemerhati luar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Ahli Jawatankuasa Pemandunya, Maria Chin berkata, ia tidak dapat diterima sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri menjadi pemerhati pilihan raya di negara lain.

“SPR sendiri ingin jemput pemerhati luar. (Malah) mereka juga jadi pemerhati semasa pilihan raya di negara lain.

“(Justeru) saya tidak tahu kenapa jadi isu besar apabila Pakatan Rakyat minta Australia jadi pemerhati luar (dalam PRU akan datang),” katanya ketika dihubungi.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan Malaysia tidak memerlukan pemerhati luar untuk memantau perjalanan pilihan raya akan datang.

Maria yang kesal dengan tindakan itu menggesa kerajaan bersikap adil menerima pemerhati luar bagi menjamin pilihan raya umum ke-13 bersih dan adil.

Pada 12 Julai lalu, SPR dilaporkan berminat menjemput badan pengendali pilihan raya dari negara Asean sebagai pemerhati antarabangsa untuk PRU 13.

SPR sebelum ini turut menghantar seorang pegawai untuk menyertai delegasi pemerhati Malaysia semasa Pilihan Raya Myanmar tahun lalu.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca


MURSHID Juga Kata Tak Salah Doa Hancurkan Organisasi

Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) berpandangan berdoa untuk menghancurkan sesebuah organisasi tidak salah, jika ia membawa kebaikan.

Pengerusinya Dr Zaharuddin Abdul Rahman (gambar) berkata, doa yang menjurus kepada organisasi, bukan individu, tidak melanggar adat berdoa.

“Sekiranya doa itu dari individu yang dizalimi, maka doa untuk menghancurkan organisasi tertentu (yang bertanggungjawab) dibenarkan.

“Doa seperti menunjukkan mangsa meluahkan kekecewaan yang sudah sampai ke puncak akibat sering dizalimi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik mendoakan agar individu atau sesebuah organisasi itu mendapat petunjuk, dan ampunkan kesalahan mereka.

Isu doa sebelum ini timbul ekoran doa pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV sempena Muktamar PAS ke-58 baru-baru ini.

Doa yang dibaca Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat itu antara lain menyebut 'Hancur BN' dan 'KO BN' pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, akhbar berbahasa Melayu itu juga turut memetik pandangan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.

Beliau berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka? "Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya dipetik akhbar itu lagi.

Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).


Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Doa Kehancuran Dibolehkan Jika Dizalimi - Dr.Asri

Kota Bharu - Umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Kita ada beberapa perkara yang perlu dipisahkan, isu politik dan fakta, jangan kerana kerana kita berpolitik, kita menafikan fakta.

"Pertama, persoalannya, adakah boleh kita mendoakan orang yang menzalimi kita agar ALLAH SWT mengambil tindakan kepadanya, itu persoalan yang biasa, jangan letak pada Pas atau Umno.

“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka? "Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Program Kembara Ilmu Bersama Dr Maza di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu doa kehancuran yang dibacakan adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat sempena muktamar tahunan parti itu minggu lalu.

Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).

Bagaimanapun mengakui kurang bersetuju dengan pendekatan doa tersebut yang dilihat keluar dari kesantunan, Asri berkata, ia sepatutnya mengikut adab- adab berdoa dan mengetepikan rasa amarah.

“Kadang-kadang tak nampak macam doa, dari segi adab-adab yang lain seperti terlalu menjerit, nampak macam terkeluar dari kesantunannya, kita boleh berdoa kepada orang yang menzalimi, bukan doa kerana marah perbezaan parti, tetapi doa kerana kezaliman,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ulama Umno, Asri berkata, parti itu memerlukan suatu panduan untuk memandu pergerakan dan perjuangannya, dan satu majlis yang terdiri daripada golongan ulama perlu diwujudkan.

“Pas sebenarnya antara benda yang meletakkan kepercayaan orang ramai terhadapnya adalah Majlis Syura Ulama yang memandunya dalam banyak perkara,” katanya.

“Ulama tidak semestinya menjadi pemimpin atau presiden, jadi ahli dewan yang memandu, itu perlu diambil kira supaya Umno juga ada pemandu dari satu majlis yang bukan untuk mempolitikkan agama tetapi membimbingnya supaya semua parti dikawal oleh elemen agama,” katanya.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Mahkamah Perintah Blogger Bayar Gantirugi Kepada Husam


Kota Bharu: Seorang blogger, Salahuddin Hisham diarah Mahkamah Tinggi di sini membayar gantirugi kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berhubung satu artikel yang diangggap memfitnahnya.

Tulisan tersebut dimuatkan dalam blog www.anotherbrickinwall.blogspot.com yang bertajuk “Husam: A moral for PAS delegates” diterbitkan pada l Jun 2011, yang mana secara jelas menyebut berita tidak benar dan tak berasas dikaitkan terhadap plaintif.

Penghakiman tersebut dikeluarkan setelah blogger terbabit gagal hadir pada perbicaraan kesnya.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, blogger berkenaan gagal hadir walaupun saman dan tuntutan ke atas beliau telah diserah dengan berbagai cara termasuk melalui iklan dalam suratkhabar harian.

Husam dalam tuntutan samannya menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta, bagaimanapun mahkamah mengarahkan agar gantirugi ditaksirkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Salahuddin, 52 yang tinggal Taman Setiawangsa merupakan pemilik dan penulis ruangan blog http://anotherbrickinwall.blogspot.com.

Dalam blog berkenaan defendan antara lain menulis, “Husam secara terbuka mengkritik pemimpin-pemimpin parti tertentu dan menyalahkan mereka bagi idea UG. Ini tidak berjalan secara baik dengan perwakilan. Apa-apa pun, UG adalah secara halus subjek perbincangan di Muktamar 2008 dan dalam jawatankuasa parti politik.

“Akibatnya beliau telah dibiarkan di padang belantara politik. Pada tahun yang sama, calon Kelantan sepenuhnya dihapuskan dalam pemilihan parti.”

Husam dalam tuntutannya menyifatkan tulisan tersebut tidak benar sama sekali, bertujuan memburuk-burukkan plaintif sebagai pimpinan PAS.

Adam AF2 Berdoa Ditunjukkan Jalan Yang Benar

Kuala Lumpur – Nama penyanyi lelaki, Mohd Aizam Mat Saman atau dikenali dengan nama Adam seakan-akan senyap seketika dari dunia nyanyian jika di bandingkan sewaktu di awal kemunculannya.

Penyanyi yang berasal dari negeri Sabah itu dilihat kurang menonjol di kaca televisyen mahu pun acara anugerah yang dianjurkan industri seni tempatan.

Adam yang mengakui kurang menonjol di khalayak ramai kerana sedang menjalani kehidupan secara sederhana.

Bagi jejaka yang masih muda itu, dirinya ketika ini sedang mendalami ilmu agama dan ilmu perubatan Islam.

Pun begitu, Adam masih lagi menerima undangan untuk melakukan persembahan asalkan waktu untuk dirinya mengabdikan diri kepada Tuhan tidak terganggu.

“Apapun saya masih menyanyi. Islam tidak menghalang kita melakukan perkara yang disukai asalkan tidak melanggar perintahnya seperti meninggalkan solat lima waktu,” kata Adam yang dipetik dari laporan MyMetro.

Bukan itu sahaja, untuk memastikan niatnya untuk berubah sejajar dengan tuntutan Islam, Adam banyak membataskan dirinya dari melakukan perkara yang ditegah dalam Islam.

“Saya juga menjaga batas pergaulan dengan peminat perempuan dan tidak lagi bersalaman, tetapi kalau nak bergambar dengan saya tiada masalah. Perubahan ini berlaku secara perlahan-lahan kerana tidak mahu menimbulkan rasa riak,” katanya.

Walaupun Adam masih lagi mendalami ilmu agama, dia tidak mahu dirinya kelihatan riak dengan ilmu yang didapati.

Pun begitu, Adam mempunyai pegangan tentang perangai manusia yang dia tidak gemari kerana kemungkinan sikap itu mampu mempamerkan imej umat Islam yang tidak baik.

Justeru, Adam akan sentiasa berdoa agar Tuhan sentiasa membimbing dirinya ke arah dan jalan yang benar.

“Saya tak berapa berkenan melihat mereka yang baru memakai kopiah dan bertudung terus menjatuhkan hukum kepada orang lain. Janganlah terlalu drastik kerana setiap orang ada bahagian masing-masing dan yang sebaiknya kita doakan agar dia juga turut berubah.

“Dalam solat saya mohon petunjuk daripada Allah dan inilah jawapan yang diberikan kepada saya iaitu memandu arah saya belajar perubatan Islam,” luah Adam. -mynewshub