2 Dis 2012

1 Juta Ke Grand Finale Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Jan 2013


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mensasarkan sejuta orang turun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur, 12 Januari tahun hadapan.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, semua orang harus memainkan peranan menyampaikan maklumat berhubung himpunan yang merupakan kemuncak kepada himpunan-himpunan yang diadakan di setiap negeri.

"Grand finale himpunan kebangkitan rakyat, kita akan bersama-sama turun ke Kuala Lumpur bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

"Yang ada depan saya ini, mesti sampaikan perkara ini kepada mereka yang tidak tahu, ajak mereka bersama-sama kita demi pilihan raya yang bersih," kata beliau sewaktu berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Parit Salleh Ros, Parit Raja, dekat sini malam ini.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyeru perkara yang sama kerana mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus melakukan penipuan dalam pilihan raya bagi menyelamatkan Umno BN.

"54 tahun Umno menipu kita, tuntutan Bersih tidak dipedulikan. Pilihan raya ini adalah pilihan raya yang akan ditipu.

"Yang rakyat lawan bukan Umno atau BN tapi satu sistem yang dikeluarkan SPR untuk menipu rakyat.

"Selagi SPR yang ada ini wujud, selagi itu pilihan raya akan ditipu," katanya di hadapan lebih 30 ribu hadirin.

Himpunan malam ini merupakan himpunan yang ketiga selepas kali pertama di Seremban dan kali kedua di Kelantan.

Naib Ketua Wanita Umno Sabah Keluar Parti, Bakal Sertai KEADILAN


Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Semporna hari ini meletak jawatan dan mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Kalasahan Abdul Salam berkata, tindakannya itu kerana hilang sepenuhnya keyakinan terhadap pemimpin Umno.

“Saya mengambil keputusan ini kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Umno, khususnya terhadap Ketua Umno Bahagian Semporna yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal.

“Terlalu banyak ketidaktelusan, skandal membabitkan wang rakyat dan moral serta budaya fitnah dalam pentadbiran Umno Bahagian Semporna,” katanya pada pengumuman itu dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini disaksikan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.

Menurut Kalasahan, kepimpinan Umno Semporna juga gagal membawa perubahan sebaliknya banyak masalah asas gagal ditangani.

“Lihat saja kebanjiran pendatang asing tanpa izin, kekurangan bekalan air, ketidakstabilan bekalan elektrik, jalan raya yang berlubang dan berlopak, malah paling teruk, pencapaian pendidikan sekolah yang tercorot di Sabah,” jelasnya.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan luar bandar, Shafie gagal secara total dalam melaksanakan tanggungjawabnya memajukan Semporna,” tegas Kalasahan yang sedang mempertimbang untuk menganggotai KEADILAN.

“Peletakan jawatan beliau di kala Perhimpunan Agung Umno sedang berlangsung merupakan tindakan berani. Kita mengalu-alukan kebersamaan beliau dalam menolak Umno bersama Pakatan Rakyat,” kata Azmin.

Tiada Maaf Lagi Bagimu, UMNO-BN Pada PRU-13


Maaf?…, tiada maaf bagi mu UMNO-BN, kerana kesalahan yang kamu (UMNO-BN) lakukan bukan sekali malah banyak kali sejak 55 tahun memerintah.

Kalau rakyat masih boleh memaafkan UMNO-BN, bermakna rakyat tidak sensitif atau merelakan apa saja kesalahan yang dilakukan pemimpin UMNO-BN sebelum ini.

Boleh dikatakan hampir setiap kali dalam 12 kali pilihan raya umum pelbagai penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang dilakukan pemimpin UMNO-BN, tetapi rakyat masih ‘merelakan’ UMNO-BN memerintah negara ini.

Ia jauh berbanding sikap rakyat dan pemimpin negara lain, mereka akan tukar kerajaan atau pemimpin meletakkan jawatan jika berlaku dan melakukan penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah.

Hanya pada PRU-12, hasil kerjasama tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR, DAP dan PAS, menampakkan rakyat semakin sedar dan mahu menukar kerajaan sebab itu UMNO-BN kehilangan dua pertiga majoriti.

Kalau tidak lama dulu, UMNO-BN dihantui isu BMF di Hong Kong, kini banyak lagi penyelewengan yang didedahkan menjelang PRU-13 tidak lama lagi, termasuk isu pembelian kapal selam Scorpene, projek ternak lembu NFC (National Feedlot Corporation) dan PKFZ yang membazirkan ribuan juta wang rakyat.

Mungkin rakyat maafkan UMNO-BN kerana mereka tidak faham bahawa duit yang diseleweng atau ‘disonglap’ pemimpin UMNO-BN itu duit mereka sebab itu UMNO-BN masih dipilih memerintah negara.

Rakyat baru bangkit dari tidur

Bagaimanapun pada PRU-13 nanti mungkin berlainan, rakyat sudah sedar dan faham, mereka dilihat mula bangkit daripada ‘tidur’ tidak lagi akan mengizinkan wang rakyat dibelanjakan diselewengkan sewenangnya walaupun UMNO-BN mengumpan mereka dengan pelbagai habuan termasuk BR1M, baucer buku 1Malaysia, bantuan RM100 kepada pelajar sekolah dan Skim Tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi.

Mereka mula yakin kepada Pakatan Rakyat apabila kerajaan negeri yang diperintah PR membuktikan pemimpin mereka bersih, tidak menyeleweng dan rasuah seperti yang diperakui menerusi laporan Ketua Audit Negara terhadap prestasi kewangan negeri Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan.

UMNO-BN lemas, Najib sanggup bersumpah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib nampak semakin ‘lemas’ sebab itu merayu supaya rakyat memaafkan mereka sekali lagi pada PRU-13 nanti untuk membolehkan UMNO-BN membaiki kesilapan atau terus sebaliknya terus melakukan kesalahan yang sama.

Rayuan Najib itu bukan pertama kali, malah sudah acap kali dilafazkan termasuk ketika melakukan lawatan rasmi ke Kelantan, Kedah dan Selangor sebelum ini.

Pemimpin PR juga sudah berjanji akan memerintah negara lebih baik daripada UMNO-BN sebagaimana yang dibuktikan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dan jika mereka gagal rakyat boleh menumbangnya semula pada PRU-14.

Sekarang rakyat juga sedar, mereka kini dibebani dengan pelbagai masalah termasuk harga barang mahal, minyak mahal, gaji rendah dan pelbagai hutang, tidak termasuk terpaksa membayar cukai, kompaun saman polis, JPJ dan yang termasuk menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diharamkan di negeri yang diperintah PR.

Jauh panggang daripada api berhubung dakwaan UMNO yang mereka membela bangsa Melayu, agama dan negara kerana Kelantan yang diperintah Melayu juga dizalimi, mengutuk pari yang memperjuangkan Islam dan menjahanamkan negara menjadikan wang rakyat macam wangnya sendiri.

UMNO-BN cukup takut kalah PRU-13

Atas alasan itulah menyebabkan UMNO-BN cukup takut akan tewas pada PRU-13 nanti sebab itu mereka bertekad akan melakukan apa saja untuk kekal memerintah negara.

Sebab itu juga mereka mula memainkan sentimen agama, perkauman dan mengugut rakyat supaya takut memilih PR pada PRU-13 nanti.

Sebagai rakyat Malaysia, pencapaian kewangan negara dengan hutang yang begitu banyak tidak langsung membolehkan ia dibanggakan berbanding pencapaian beberapa negara jiran, termasuk Singapura yang tidak mempunyai banyak hasil tetapi sudah begitu jauh meninggalkan Malaysia.

Pada saat genting setelah tahu UMNO-BN akan kalah pada PRU-13, barulah Presiden UMNO sanggup bersumpah dengan nama Allah dan Rasul berjanji terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat rumpun Melayu, membenteng akidah umat dan memelihara agama Islam.

Bagaimanapun, rakyat diharap tidak termakan dengan janji manis UMNO-BN itu, malah membuka pintu hati untuk memberi peluang PR menterjemahkan amanah rakyat dengan lebih baik, termasuk menurunkan harga petroleum, membayar royalti minyak sehingga 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak, hapus PTPTN yakni pendidikan percuma, gaji minimum RM1,200 sebulan, harga kereta lebih murah dan hapuskan tol. – Roketkini

Bekas Pengerusi MRCB, Bekas CEO Felda Plantations Sertai PAS


Batu Pahat: Bekas Pengerusi konglomerat media negara, MRCB, Datuk Abdul Rahman Maidin mengumumkan pernyertaannya ke dalam PAS malam tadi.

Beliau yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengumumkan penyertaan itu bersama tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor malam tadi.

Turut serta adalah bekas Pengarah Eksekutif Felda Plantation Haji Mohd Sais Joned.

(Haji Mohd Sais menyerahkan borang kepada Ustaz Hadi dengan diperhatikan Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz)

Dua lagi adalah masing-masing bekas Pengarah Pelajaran Johor Hj Ramlan Sariman dan Timbalan Pengarah institur Perguruan Batu Pahat Haji Nasir Abdullah.

Kesemua mereka menyerahkan borang meyertai PAS kepada presiden parti itu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan disaksikan hampir 30,000 hadirin.

(Haji Nasir serahkan borang)

Penyertaan mereka ini yang semuanya pegawai-pegawai tinggi kerajaan, dilihat satu lagi tamparan hebat kepada Umno yang baru sahaja selesai bersidang hari ini.

Tekanan juga pastinya dirasai Felda yang diterajui Tan Sri Isa Samad, yang kini sedang terpalit dengan pelbagai masalah khususnya isu penyenaraian Felda Global Venture Holding Bhd (FGVH).

(Gambar: Haji Ramlan), Bekas Pengarah Pelajaran Johor

Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman ketika mengulas kemasukan Mohd Sais ke dalam PAS berkata, ianya satu kekuatan baru kepada NGO itu untuk terus mendedahkan segala kepincangan yang sedang berlaku dalam Felda ketika ini.

"Penyertaan bekas pegawai kanan Felda ini akan lebih menguatkan perjuangan kita untuk terus membetulkan kepincangan dan salah urus Felda pada waktu ini," katanya.

Tanya Sama Najib Apasal Goyang, Nanti Najib Jawab, Johor Dah Nak Hilang....


Ribuan rakyat Johor memenuhi Dataran Rakyat, Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, di sini sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor malam ini.

Biarpun program malam ini bertembung dengan siaran langsung bola sepak piala AFF Suzuki 2012 antara Malaysia dengan Indonesia, namun kehadiran yang ramai malam ini menunjukkan semangat perubahan politik rakyat negeri ini.

(Gambar: Mohamad Sabu menerima limau sebagai gimik perasmian.)

Program malam ini bermula dengan ucapan wakil-wakil badan bukan kerajaan NGO yang memperjuangkan hak rakyat.

Ianya termasuk NGO Anti-PPSMI, Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Gerakan Mansuh ISA (GMI), Hak Air Untuk Semua (Haus), Gabungan Menuntut Royalti Kelantan 'R', Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Gabungan menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), NGO Pengerang, serta NGO alam sekitar dan Anti Lynas.

Pada malam ini Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang dijangka hadir.

Mereka dijangka memberikan ucapan penutup sekaligus menjawab beberapa tuduhan Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu yang berakhir hari ini.

Sedang berada dipentas ketika ini Pengarah Program Mohamad Sabu yang juga timbalan presiden PAS, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Pesurhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan pemimpin PKR, DAP di peringkat negeri.

Terdahulu program malam ini dibuka dengan pertunjukan tarian singa dan kemudian dirasmikan pembukaannya oleh Mohamad Sabu. ~HD




UMNO Akui Akan Dikalahkan Oleh Ahlinya Sendiri

Najib: 'Saya khuatir sikit soal kita sesama kita'

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menyembunyikan kekhuatiran terhadap kemungkinan 'tindak balas' dari anggota yang tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Walau percaya bahawa sokongan umum akan memihak kepada BN, Najib tetap bimbang bahawa beliau akan menghadapi tindakan sedemikian daripada pemimpin Umno yang tidak dipilih sebagai calon.

"Saya percaya musuh kita tidak kuat.... saya yakin orang ramai akan memihak kepada BN... yang saya khuatir satu sahaja... sikit sahaja... soal kita sesama kita," tegasnya dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Sepertimana dalam perhimpunan terdahulu, Najib turut meminta perwakilan membacakan ikrar agar taat kepada parti serta bekerja demi kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tapi bezanya para perwakilan kali ini diminta menjawab soalan cepu emasnya – sama ada akan menyokong calon pilihan Umno sekiranya mereka sendiri tidak terpilih.

"Saya beri lima kemungkinan. Pertama sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong; ketiga, tidak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima lompat parti," katanya.

Tambahnya, soalan berkenan lebih penting untuk dijawab daripada kajian yang menunjukkan sokongan besar pada BN - seperti dikemukakan naib presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelumnya.

"Sebab itu dalam perhimpunan ini kita mesti kata kita mesti dengan suara yang cukup hebat bahawa jawapan yang kita hendak 'adalah saya tetap akan sokong BN'," kata Najib yang disambut laungan "Boleh" sebanyak tiga kali oleh para perwakilan.

"Kalau itu jawapannya yang sebenarnya dalam hati kita, Insya-Allah, akan memberi kemenangan kepada Umno dan BN (dalam pilihan raya umum)," tambahnya.

Najib seterusnya meminta para perwakilan membawa soalan itu pulang untuk difikir secara mendalam dan mengawasi golongan penghasut - yang digelarkan "tukang kipas dan "batu ronson" di dalam parti.

"... dalam kereta, dalam bas ekspres, cuba tepuk dada tanya selera.... Kita nak bawa semangat ini, kita nak menghayati semangat ini, (apabila) kita nak jumpa penyokong kita bila balik," katanya.

Sekiranya ahli berkenaan tidak kuat iman, "sokongan penuh" kepada calon berkenaan mungkin akan menyebabkan mereka berubah pandangan sehingga melakukan sabotaj ke atas parti, kata Najib.

"Jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang telah mengkhianati parti... kerana gila jawatan, kerana dirasuk orang tertentu sekarang jadi orang yang menentang Umno dan BN," katanya. -mk

Umno akan ditewaskan oleh ahli sendiri, kata Khairy KUALA LUMPUR, 1 Dis — Umno akan ditewaskan dalam pilihan raya umum (PRU) Ke-13 nanti oleh ahlinya sendiri kata ketua pemuda parti tersebut, Khairy Jamaluddin sambil menggesa semua pihak supaya setia kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli parlimen Rembau itu dilihat menyokong gesaan Najib yang mahukan kesemua ahli parti menerima calon yang dipilihnya demi kemenangan parti.

"Yang boleh menewaskan kita (Umno) adalah diri kita sendiri," kata Khairy selepas berakhir Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapan penggulunggannya, Najib sekali lagi menekankan tentang pentingnya prinsip "kesetiaan" ahli kepada parti dan tidak mahu melihat berlaku "sabotaj" seperti yang berlaku dalam PRU 2008 lalu.

"Saya sendiri telah memberi jaminan, walaupun Pemuda ada harapan masing-masing menjadi calon dan sebagainya tapi kita akan tetap setia dengan dengan apa saja keputusan.

"Kerana kesetiaan adalah prinsip paling penting daripada harapan peribadi masing2-masing.

"Kesetiaan adalah nombor satu," tambah Ketua Pemuda Umno itu lagi.

Sebelum itu, Khairy juga gembira dengan keputusan presiden Umno, Najib kerana menerima dua cadangan diusulkan semasa perbahasan antaranya penubuhan institut kepimpinan kepada ahli-ahli muda Umno dan juga pindaan melibatkan Akta Kebangkrapan.

Isu perpaduan menjadi tajuk utama ucapan Najib sejak daripada awal perhimpunan agung kali ini menjelang pilihan raya akan datang.

Kepada pemimpin tertinggi parti terbesar negara itu, mesej Najib sangat jelas, bersatu atau bersedia menghadapi kekalahan, kebanyakkan yang ditemui bertenaga selepas meninggalkan taklimat tersebut.

Perdana menteri (PM) keenam tersebut mengingatkan mereka tentang pentingnya kesetiaan kepada parti untuk menjamin Umno terus menerajui negara selepas kejutan dalam pilihan raya 2008.

Pemimpin yang ditemui selepas taklimat Najib mengatakan, presiden menegaskan tentang bagaimana sabotaj dalaman hampir menyebabkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada pilihan raya lalu.

Pada perhimpunan Umno Disember tahun lepas, perwakilan mengangkat "sumpah bai'ah", satu langkah simbolik oleh parti untuk mengelakkan perbalahan dan sabotaj dalaman menjelang pilihan raya umum.

Pada ketika itu, Najib memberitahu seramai 5477 perwakilan tentang pilihan raya akan menjadi "paling kritikal" setakat ini untuk parti pemerintah, turut mengulangi tentang pentingnya bersatu.

Masalah utama yang dihadapi parti komponen utama dalam BN ketika ini adalah dalam menentukan calon dan keputusan Umno tidak mengeluarkan senarai calon memperlihatkan lagi masalah itu dalam parti tersebut.

Umno menyedari PRU-13 kali ini paling sengit dalam sejarah oleh kerana BN yang memerintah Malaysia semenjak 1957 dicabar hebat oleh Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Dalam pilihan raya 2008, buat pertama kalinya penguasaan tradisi majoriti dua pertiga BN dinafikan oleh PR dan beberapa negeri BN seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak jatuh ke tangan PR.

Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri.
-TMI