19 Mei 2010

MIC Berkubur Pada PRU13

Rasa tidak puas hati ahli-ahli parti MIC terhadap presiden mereka, Datuk Seri S Samy Vellu terus memuncak, meskipun beliau berjanji untuk melepaskan jawatannya itu pada September 2011.

Pada sidang media hari ini, timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan mendesak Samy Vellu supaya berundur segera.

Menurut Mugilan, jika Samy Vellu, yang telah menerajui MIC hampir 30 tahun gagal berundur, MIC akan terkubur pada pilihan raya umum akan datang.

"Sekiranya Samy Vellu tunggu sehingga September 2011, timbalan presiden (G Palanivel) tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi melakukan pembaharuan sebelum pilihan raya umum pada 2012,” kata Mugilan.

"Samy Vellu selalu mempersalahkan (mantan perdana menteri) Mahathir Mohamed atas segala kegagalannya, tetapi dia sebenarnya yang gagal melakukan perubahaan untuk masyarakat India.” -MK


Samy Vellu: Mugilan dihadap panel disiplin

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Tidak sampai empat jam selepas V. Mugilan mendesak Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan presiden serta-merta, beliau menegaskan, Timbalan Ketua Pemuda MIC itu akan dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin.

Mugilan akan dirujuk untuk diambil tindakan disiplin bukan kerana membuat gesaan itu, tetapi didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila Mugilan akan dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin.

“Dia (Mugilan) sebenarnya bertindak awal dan menjangkakan keputusan parti akan mengambil tindakan ke atasnya kerana bertindak bertentangan dengan kepentingan Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Samy Vellu berkata, Mugilan merupakan salah seorang daripada mereka yang bertindak bertentangan dengan kepentingan BN selepas Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor itu gagal daripada dicalonkan sebagai calon.

Presiden MIC itu mengeluarkan kenyataan ini kira-kira tiga jam selepas Mugilan menggesa Samy Vellu supaya berundur dengan segera, jika boleh hari ini juga.

Sekiranya Samy Vellu (gambar) masih memerlukan masa, beliau boleh meneruskan kepimpinannya sehingga akhir tahun ini tetapi bukan tahun depan, kata Mugilan.

Mugilan yang disebut-sebut akan dipilih sebagai calon BN untuk bertanding di Hulu Selangor 25 April lalu membuat desakan ini tidak sampai 24 jam Samy Vellu mengumumkan tarikh ‘muktamad’ untuk melepaskan jawatannya yang disandang sejak 1979.

Samy Vellu berkata, MIC sebenarnya mahu mengambil tindakan ke atas Mugilan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi ia ditangguhkan.

Dua hari sebelum penamaan calon MIC ada membuat keputusan untuk mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pihak yang menerima nama lain selain Timbalan Presiden Datuk G. Palanivel sebagai wakil MIC di Hulu Selangor.

Samy Vellu pernah berkata nama Mugilan berada paling atas dalam senarai.

Malah Presiden MIC itu berkata, Mugilan bertindak sebagai alat pihak tertentu dan telah menghalang Palanivel daripada bertanding semula di Hulu Selangor pada 25 April lalu.

Semalam, Samy Vellu, presiden paling lama menerajui parti itu berkata beliau akan mengosongkan jawatannya pada suku ketiga tahun depan.

Pemimpin veteran memutuskan untuk melepaskan kedudukannya sama ada Ogos ataupun September 2011.

Samy Vellu berkata, beliau sudah memutuskan untuk meninggalkan parti itu lapan hingga sembilan bulan sebelum mandat penggal semasa yang akan berakhir pada 21 Mei 2012.

Dalam kenyataannya tengah hari ini, Mugilan berkata, beliau terpaksa membuat kenyataan ini kerana Samy Vellu telah dua kali mengubah pendirian tentang pelan peralihan kuasa.

Meskipun Samy Vellu secara terbuka menyatakan pendiriannya semalam puak yang menentang kepimpinan beliau sangsi pelan peralihan kuasa akan menjadi realiti.

Mugilan menjangkakan MIC akan meneruskan prestasi buruk jika Samy Vellu terus memimpin parti ini.

Mugilan juga menafikan beliau mengeluarkan kenyataan tegas ini kerana didorong oleh mana-mana pihak termasuk Umno.

“Tidak! Saya orang MIC, jadi saya orang India (ahli MIC). Saya dipilih oleh perwakilan Pemuda MIC.

“Saya mempunyai tanggungjawab kepada parti, jadi saya minta Samy Vellu supaya letak jawatan,” katanya.

Ditanya apakah beliau tidak memikirkan risiko dengan kenyataan hari ini, Mugilan dengan yakin berkata, tiada ruang untuk Samy Vellu mengambil tindakan ke atasnya.

“Samy Vellu sendiri pernah mendesak (Tun) Sambanthan (bekas presiden MIC) meletakkan jawatan.

“Jika beliau mahu mengambil tindakan terhadap saya, Samy Vellu merupakan orang pertama yang perlu dikenakan tindakan disiplin kerana mendesak Sambanthan berundur (pada 1960-an),” katanya.

Sehubungan itu, Samy Vellu berkata beliau akan kekal dengan keputusannya untuk meletakkan jawatan dalam tempoh “lapan atau sembilan bulan” sebelum mandat kepimpinannya berakhir Mei 2012.

“Tiada apa yang akan mengubah fikiran. Saya kekal dengan keputusan saya,” kata beliau.

Samy Vellu berkata keputusannya untuk mengosongkan kerusi presiden lebih awal daripada Mei 2012 “diputuskan sendiri, tanpa ditekan oleh sesiapa ataupun mana-mana kumpulan.”

“Saya akan terus memastikan MIC bebas daripada usaha ia dimusnahkan. Kami tidak mahu mereka yang menjadi alat kepada mana-mana pihak,” katanya dengan merujuk kepada Mugilan.

Samy Vellu berkata masyarakat India mengetahui sumbangan beliau kepada parti dan mereka.

“Biar mereka yang menilai (saya),” katanya. -TMI


Ulasan GB

Sudah dapat dijangkakan jawapan dan tindakan Samy Vellu.

Jadi, keputusannya semua sudah tahu, seperti yang Mugilan nyatakan: MIC akan berkubur pada PRU13 nanti.

Kelantan Dahului Peraturan Cuti Bersalin 90 Hari

Kerajaan Kelantan akan melaksanakan peraturan cuti bersalin bagi kakitangan wanita selama 90 hari, mulai tahun depan berbanding dua bulan yang dikuatkuasakan sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Wan Omar (gambar), berkata peraturan baru itu bagi membolehkan kakitangan wanita mengambil masa lebih panjang menjaga anak dan keluarga dalam tempoh pantang bersalin itu.

"Kertas cadangan itu telah diperincikan di peringkat jawatankuasa portfolio saya dan akan diangkat ke mesyuarat Exco minggu depan sebelum diluluskan," katanya selepas mesyuarat Mingguan Exco, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Menurutnya, pada dasarnya kerajaan negeri sudah lama bersetuju melaksanakan peraturan itu, tetapi mengikut prosedur ia perlu dibentangkan di peringkat mesyuarat Exco untuk mendapat kelulusan.

Ditanya sama ada peraturan baru itu boleh menjejaskan produktiviti kerja penjawat awam, Wan Ubaidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, berkata penjawat awam di jabatan kerajaan negeri ramai dan boleh membantu tugas kakitangan yang cuti bersalin.

"Oleh itu, kita tidak bimbang dengan peraturan melanjutkan tempoh cuti bersalin 60 kepada 90 hari ini boleh menjejaskan produktiviti kerja kakitangan awam," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri terpaksa mengambil masa agak lama untuk meluluskan peraturan itu kerana ia membabitkan banyak implikasi, termasuk pencen kakitangan terbabit.

Beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor dan Kedah memperkenalkan peraturan melanjutkan tempoh cuti bersalin bagi penjawat awamnya.

"Kita memikirkan usaha melanjutkan tempoh cuti bersalin itu perlu bagi menjaga kebajikan dan kepentingan golongan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri supaya dengan itu mereka dapat menjaga penyusuan anak dan keluarga dalam tempoh pantang itu," katanya.

Langkah yang diambil kerajaan itu selaras dengan jawatankuasa yang dipengerusikannya untuk memartabatkan golongan wanita sebagai salah satu sayap penting dalam pembangunan negara. - Bernama

Protes di Angkasapuri: Wartawan Serah Memo Kepada RTM

Demonstrasi di luar Kompleks Angkasapuri untuk membantah penamatan perkhidmatan penerbit Galeri Mandarin Nasional tv2, Chou Z Lam terpaksa disuraikan, apablia polis mengambil tindakan untuk mengusir mereka. Malah kain rentang yang dibawa oleh peserta perhimpunan juga dirampas oleh polis.

Kira-kira 80 orang menyahut panggilan Kumpulan Media Bertindak 528, WAMI (Writers Alliance For Media Independence) dan CIJ (Centre for Independent Journalism) untuk berkumpul di luar Kompleks Angkasapuri, sebagai bantahan terhadap tindakan RTM memecat penerbitnya, Chou Z Lam.

20 orang tenaga polis dikerah untuk mengawasi perhimpunan tersebut, malah FRU juga tiba di tempat kejadian kemudiannya. Peserta perhimpunan memakai topeng "528, Tak Nak Self-Censorship, Tak Nak Campur Tangan Politik", tetapi dirampas kain rentangnya oleh polis.

Antara slogan yang tertulis pada kad termasuklah, "No Self-Censorship", "No Political Interference", "Bebaskan media", "Tayang Rawang dan Bakun", "Pecat Yap Shy Cuan", "Ibrahim Yahya letak jawatan" dan sebagainya. Bekas penerbit ntv7, Joshua Wong yang meletak jawatan sebagai protes terhadap self-censorship turut hadir untuk memberi sokongan solidaritinya kepada Chou Z Lam.

Sebelum ini, Chou Z Lam menerbitkan rancangan dokumentari yang bertemakan Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik voltan tinggi di Rawang. Beliau mendedahkan bahawa penyiaran rancangan tersebut dibatalkan kerana pertimbangan kepentingan pihak tertentu. Perkhidmatan Chou Z Lam ditamatkan pada 13 Mei 2010, atas alasan "menjimatkan kos".

Kira-kira 50 orang penduduk Rawang yang diketuai ADUN Rawang-PKR, Gan Pei Nei turut hadir untuk memberi sokongan kepada Chou Z Lam. Bagaimanapun, polis hanya membenarkan lima orang wakil untuk masuk ke Angkasapuri, menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ibrahim Yahya. Ibrahim Yahya tidak tampil untuk menemui wakil tersebut, sebaliknya memorandum ini diserah kepada penolongnya, Hafizal.

Jawab dalam tempoh seminggu

Dalam sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, ADUN Rawang, Gan Pei Nei memberi had masa seminggu kepada Ibrahim Yahya untuk memberi jawapan lisan terhadap persoalan yang dibangkitkan dalam memorandum.

"Kos perbelanjaan RTM ditanggung oleh rakyat, rakyat berhak mengetahui kebenaran," kata Gan Pei Nei (gambar kanan).

Chou Z Lam pula tidak menerima penamatan perkhidmatannya dengan alasan "mengurangkan kos". Menurut Chou Z Lam, peruntukan kepada RTM mencecah RM1 bilion setahun, malah beliau yakin Yap Shy Cuan yang dilantik untuk memantau rancangan Mandarin, menikmati gaji yang lebih tinggi daripadanya.

Beliau menganggap Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Heng Sai Kee harus mengkaji semula pembatalan siaran dokumentari Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik Rawang, dan bukan melantik Yap Shy Cuan untuk memantau rancangan Mandarin di sebaliknya.

Malah, Chou Z Lam dan wakil Kumpulan Media Bertindak, Ng Yap Hwa menyeru agar orang awam menyahut kempen "Tak Nak Potong", dengan memadamkan televisyen antara jam 8 hingga 9 malam, pada 28 Mei yang akan datang. Satu persembahan akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor pada malam tersebut, antaranya penyiaran dokumentari terbitan Chou Z Lam yang "dipotong" oleh RTM.

Pencabulan hak rakyat

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Kumpulan Media Bertindak 528, WAMI dan CIJ menggesa agar RTM mendukung hak mengetahui dan menyampaikan pandangan (expression) oleh pihak awam, serta tidak menghukum wartawan yang menjalankan tugasnya.

Mereka menganggap pembatalan siaran rancangan dokumentari tersebut telah mencabul hak rakyat Malaysia untuk terdedah kepada maklumat yang melibatkan kepentingan awam. Malah, penamatan perkhidmatan Chou Z Lam dilihat sebagai hukuman kepada seseorang wartawan yang menjalankan tugasnya.

Menurut kenyataan, setakat ini tiada penjelasan daripada pihak RTM walaupun didesak masyarakat sivil. Sikap acuh tak acuh sedemikian menunjukkan kesetiaan yang tersasar salah pada tempatnya, iaitu kuasa eksekutif, biarpun sepatutnya RTM harus taat kepada orang awam yang membiayai RTM dengan cukai mereka.

Mereka juga mentafsirkan tindakan pembatalan penyiaran dokumentari untuk melindungi pemegang kuasa adalah penyalahgunaan kuasa, kerana menggunakan kuasa awam untuk kepentingan peribadi. "Menghukum seorang wartawan yang membuat pendedahan adalah satu tamparan besar kepada kerajaan persekutuan BN yang mendakwa dirinya akan melindungi whistle-blower dan kempen untuk memerangi rasuah."

Tuntutan memorandum

Selain daripada itu, kumpulan yang berprihatin terhadap kebebasan media ini menuntut agar RTM:-

1. Menyiarkan kesemua episod dokumentari yang diterbitkan oleh Chou Z Lam, iaitu isu Empangan Bakun yang menggambarkan kehidupan kaum asli dan pembinaan menara elektrik bervoltan tinggi di Rawang.

2. Meyakinkan rakyat Malaysia bahawa RTM berpegang kepada kayu ukur etika dan profesional yang menekankan kesaksamaan.

3. Menamatkan perkhidmatan Yap Shy Cuan, ahli MCA yang dilantik untuk memantau rancangan Mandarin selepas pendedahan Chou Z Lam.

4. Parlimen mereformasikan RTM kepada stesen penyiaran awam.
-MR

Polis Tembak Pemuda Kerana Tiada Cukai Jalan

Mangsa tembakan polis pada April tahun lepas, Shahril Azlan Ahmad Kamil, 26, membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seksyen 11 hari ini,di sini.

Beliau yang diiringi dua orang peguam, Fadiah Nadwa Fikri dan Puspawati Rosman membuat laporan tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.

Bapa mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada 16 April tahun lepas, sehari selepas kejadian tersebut namun tidak ada tindakan sehingga hari ini.

Dalam laporannya, Ahmad Kamil mendakwa anaknya ditembak di Seksyen 7, di satu sekatan jalan raya.

Ketika ditanya wartawan berhubung laporan polis yang dibuat hari ini, Shahril berkata ketika kejadian itu, beliau ditembak selepas bertindak mengundurkan kereta dalam satu sekatan jalan raya di Persiaran Permai, Seksyen 7.

"Semasa perjalanan pulang ke rumah selepas menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran pada pukul 12.30 tengah malam, saya telah ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya.

"Saya mendapati cukai jalan kereta telah tamat dan disebabkan panik, saya terus mengundurkan kereta dan secara tiba-tiba dua orang anggota polis berpakaian biasa membawa kayu terus melepaskan dua atau tiga das tembakan ke arah kereta dan mengenai badan,

"Anggota polis tersebut kemudian menyuruh saya membuka bonet kereta kerana mendakwa kononnya saya memiliki dadah.

"Menyedari saya telah terkena tembakan itu, saya kemudiannya merayu kepada seorang anggota polis berpakaian seragam supaya menghantar saya ke hospital.

"Selepas hampir satu setengah jam barulah ambulan datang dan menbawa saya terus ke unit rawatan rapi," ujar Shahril.

Menurutnya, semasa di hospital, datang wakil polis berpakai seragam menemui ibunya menyerahkan RM200 sebagai belanja bil perubatan tetapi ditolak.

Dalam laporan tersebut, Shahril juga meminta agar tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak beliau tanpa sebab.

Beliau juga meminta satu pasukan khas polis Bukit Aman ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut berikutan tiada tindakan lanjutan yang diambil selepas peristiwa hitam itu berlaku setahun yang lalu.

Sementara itu, peguamnya Fadiah Nadwa berharap pihak polis menyiasat kes tersebut memandangkan tembakan terhadap anak guamnya tidak dibuat mengikut kaedah yang sepatutnya. -SK

Bung Mokhtar Berjaya Tangguhkan Hukuman Penjara

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur sebentar tadi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sebulan terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, sementara rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi Syariah.

Awal tadi, makhamah menjatuhkan hukuman sebulan penjara terhadap Bung Mokhtar kerana didapati bersalah berpoligami tanpa kebenaran dengan pelakon, Zizie Izette A Samad.

Bung Moktar dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudiannya memerintahkan peguam Amli Embong yang mewakili Bung Moktar menfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Terdahulu, dalam penghakimannya Wan Mahyuddin berkata Bung Moktar adalah ikon masyarakat dan kesalahan yang dilakukannya itu adalah kesalahan yang berat yang sepatutnya dikenakan hukuman yang setimpal.

"Kes ini mendapat liputan meluas oleh media massa dan ramai di luar sana tidak memahami konsep poligami dalam Islam, berkahwin tanpa kebanaran mahkamah, oleh itu hukuman ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Wan Mahyuddin juga menyifatkan berkahwin tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan yang serius.

Bung Moktar, 51, didakwa berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan isteri, pelakon Zizie Izette Abdul Samad, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Selain itu, Bung Mokhtar juga didenda RM1,000 kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette yang berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, dan jika gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara sebulan.

Isterinya turut dikenakan denda RM1,000 kerana kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 dan jika gagal membayar denda, Zizie Izette boleh dipenjara sebulan.

Zizie Izette juga dikenakan denda RM1,000 kerana kesalahan bersubahat poligami dengan suaminya di alamat, waktu dan tarikh yang sama dan sekiranya gagal membayar, pelakon itu boleh dipenjara enam bulan.

Selain Zizie Izette, dua abang dan adiknya, Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48, Samzy Fuzette Abdul Samad, 34, dan Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, serta dua rakan Ahli Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, turut dikenakan denda RM1,000 kerana bersubahat dalam kes berpoligami itu, dan jika gagal membayar, kesemua mereka akan dipenjara enam bulan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen yang sama yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi turut didenda RM1,000 kerana pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie Izette dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40(1)(a) Enakmen yang sama.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy masing-masing dikenakan hukuman denda RM1,000 kerana kesalahan mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie Izette dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof manakala semua tertuduh diwakili peguam Amli Embong. - Bernama

MP Tunjuk Contoh Teladan Tidak Baik, Bung Mokhtar Dipenjara Sebulan

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin kerana berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, hujung tahun lepas.

Dalam pada itu, isterinya Zizie Izette Abdul Samad pula didenda RM1,000 atau penjara sebulan atas kesalahan yang sama.

Selain itu aktres tersebut juga dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan kerana bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Hukuman ke atas mereka sepatutnya diumumkan semalam, tetapi ditangguhkan sehingga ke hari ini.

Semalam, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu setelah mendengar rayuan dan hujahan akhir pihak pendakwaan dan pembelaan.

Wan Mahyuddin juga menetapkan hari ini untuk keputusan kes dua abang dan adik Zizie Izette serta dua yang lain yang didakwa atas pertuduhan bersubahat dalam kes berpoligami itu.

Pada 20 April lalu, Bung Moktar, 51, dan Zizie, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, hujung tahun lepas.

Bung Moktar dituduh berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan isterinya di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lalu.

Zizie juga dituduh berkahwin dengan Bung Moktar tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan itu, pasangan tersebut didakwa mengikut Seksyen 124 dan Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, Zizie didakwa bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah manakala Bung Moktar dituduh bersubahat dengan pasangannya berkahwin tanpa kebenaran.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen yang sama yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48; Samzy Fuzette Abdul Samad, 34; Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, dan dua rakan Ahli Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen yang sama yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40(1)(a) Enakmen yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy didakwa mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Kesemua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dilepaskan dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Amli Embong.

Bagi tuduhan bersubahat poligami Wan Mahyuddin mengenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan terhadap Ahmad Shahazmi, Samzy Fuzette, Shaheizy Sam, dan dua rakan Ahli Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur dan dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut hari ini.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy juga dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau satu bulan penjara kerana mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Mahkamah akan bersambung semula pada pukul 12 tengah hari.

Wan Mahyuddin juga menegur sikap Bung Mokhtar dan Zizie Izette memandang mereka berdua adalah orang terkenal dan tidak sepatutnya melanggar undang-undang.

‘Mereka adalah orang terkenal dan dikenali ramai dan tidak sepatutnya melanggar undang-undang,’ katanya.

Tambah beliau, sepatutnya mereka memberi contoh baik kepada masyarakat memandang mereka adalah ikon masyarakat.

‘Segala tingkah laku mereka pasti akan menjadi ikutan dan tindakan melanggar peraturan bermakna undang-undang boleh dimainkan oleh orang berpengaruh.

‘Jadi dengan hukuman dikenakan diharapkan ia boleh diberikan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melanggar undang-undang,’ katanya. -TMI

Tumbang Di Sibu: BN Belum Sedar Dari Lamunan

Para pemimpin Barisan Nasional (BN) belum lagi sedar dari lamunan kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu Ahad lalu yang menyaksikan pertarungan sengit di antara calon DAP Wong Ho Leng dan calon SUPP Robert Lau Hui Yew.

Mereka masih berputar-putar mencari punca apakah sebab kekalahan itu dan ada di antara mereka yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan dan sokongan yang semakin terhakis.

Mereka mengeluarkan kenyataan bersifat rempah ratus, memujuk diri sendiri dan ada yang sedang mengkaji apakah keperluan masyarakat Sibu sebenar.


Kenyataan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berbentuk retorik kerana menyifatkan kemenangan DAP itu bukan isyarat kepada permulaan penguasaan parti pembangkang di Sarawak.

"Jangan sangka apabila seekor ayam berkokok maka ertinya hari sudah siang," katanya yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu.

Masyarakat Sibu tidak boleh "dibeli"

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, BN akan melakukan pembaharuan terhadap jentera pilihan raya parti itu yang kini didapati kurang bertenaga, dan tidak kreatif, sebagai persediaan pada pilihan raya umum yang akan datang.

Menurut beliau, DAP berkempen secara agresif dan menggunakan isu-isu yang sensitif serta banyak mengadakan program dan perjumpaan.

Najib sepatutnya hairan kenapa rakyat Sibu tidak termakan dengan "gula-gula" yang ditaburkannya menjelang PRK itu.

Seperti mana berleluasanya politik wang di Hulu Selangor tempuh hari, Najib memberi wang tunai RM600 untuk setiap pintu di rumah panjang disamping memberi RM5 juta untuk sekolah-sekolah rendah Cina, RM5 juta untuk sekolah-sekolah menengah persendirian Cina dan RM10 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh Kristian.

Masyarakat Cina di Sibu khususnya sudah mencapai kematangan berpolitik dan tidak boleh "dibeli" dengan wang seperti mana yang ditunjukkan oleh pengundi-pengundi Cina di Rasa, Hulu Selangor.

Mereka memberi sokongan padu kepada calon Pakatan Rakyat, Dato’ Zaid Ibrahim walaupun Najib menyogok RM3 juta untuk sekolah kebangsaan Cina di situ sehari menjelangnya hari mengundi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyarankan BN melakukan bedah siasat segera bagi mengenal pasti punca utama calonnya tewas.

"Umno memang kecewa dengan kekalahan itu, tetapi kita menerima keputusan berkenaan secara terbuka. Walaupun kalah tipis, BN perlu melakukan bedah siasat yang boleh dijadikan panduan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujar Naib Presiden Umno itu.

BN terus berjanji untuk menunaikan janji-janji yang dibuat menjelangnya sesuatu pilihan raya dan begitu juga di Sibu. Kegemaran para pemimpin BN untuk berjanji dengan projek pembangunan membuat rakyat menjadi muak kerana banyak janji yang tidak ditunaikan.

"BN akan tetap menunaikan janji-janji yang telah diumumkan oleh kerajaan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya kecil Sibu," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, segala apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, dirinya sendiri atau mana-mana pemimpin BN sebelum ini akan ditunaikan.

Bagaimanapun SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) agak lebih berterus terang tentang kekalahan ini. Presidennya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, lebih daripada 50 peratus pengundi didapati tidak gembira dengan parti tersebut.

"Ini adalah pilihan rakyat dan kita mesti terima keputusan ini. Sekarang kita mesti mengambil tahu kenapa rakyat tidak senang dengan kita," ujar beliau.

Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu menandakan tsunami politik telah melanda negeri Sarawak dan diharap tsunami akan tiba di pantai Sabah tidak lama lagi bagi membawa perubahan dan memperkenalkan politik baru. -FMT


BN Sarawak tak panik

Barisan Nasional (BN) tidak panik dengan kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil Sibu 16 Mei lalu, kata Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Amar Adenan Satem (bawah, kiri) di Kuching hari ini.

Beliau ketika dalam usul perbahasan ucapan perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berkata ia tidak akan memberi kesan kepada BN sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

"Hanya dengan menang di Sibu, BN masih lagi menguasai dewan (DUN) dan pembangkang masih kekal di kerusi pembangkang di dewan ini," kata Adenan (BN-Tanjung Datu).

Kata Adenan pembangkang yang menang dengan majoriti kecil 398 undi telah banyak menabur janji kepada rakyat di Sibu pada pilihan raya kecil lalu dan BN mahu melihat sejauh mana mereka dapat melaksanakannya.

Jelasnya BN akan memantau dengan lebih dekat apa yang boleh pembangkang buat untuk rakyat Sibu dalam tempoh dua tahun lagi.

- Bernama


Sibu: Bukti Konsep 1Malaysia GAGAL

1Malaysia belum yakinkan kaum Cina di S'wak

Konsep 1Malaysia masih belum menyakinkan lagi masyarakat Cina di Sarawak, kata penganalisa politik, Prof Dr Mohd Agus Yusoff.

“Sebab itu bila dijanjikan dengan pembangunan di Sibu, ada perkara lain yang masyarakat Cina lihat,' kata pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

“Konsep 1Malaysia ini masih belum mampu untuk menambat hati dan sokongan masyarakat bukan Melayu dan Cina di Sibu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Prof Dr Agus menegaskan demikian ketika diminta mengulas kegagalan BN mempertahankan kerusi parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil kawasan itu Ahad lalu.

Dalam pilihan raya kecil itu, DAP berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan majoriti tipis 398 undi.

Calon DAP Wong Ho Leng mendapatkan 18,845 undi untuk menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi.

Manakala calon Bebas Narawi Haron mendapatkan 232 undi.

Mengulas lanjut, Prof Dr Agus berkata, terdapat beberapa isu yang masih lagi menjadi persoalan di kalangan rakyat di sana.

“Seperti contoh isu keadilan masih lagi belum terjawab," katanya sambil menambah BN perlu memikirkan semula, kemungkinan masyarakat Cina melihat isu ketuanan Melayu dan sosio-kontrak.

"Mereka juga perlu menterjemahkan konsep 1Malaysia ini untuk kebaikan semua kaum,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya tingkah laku pemimpin BN diperbaiki.

“Pemimpin ni bila jumpa di sini cakap ini, bila disana cakap lain pula. Ini membuatkan rakyat rasa, pemimpin tidak jujur dengan mereka.

“Antara kemungkinan lain pula ialah mereka berasa tidak puas hati dengan (Ketua Menteri Tan Sri) Taib Mahmud kerana lama sangat (menerajui Sarawak).

"Mungkin orang di Pusat boleh terima beliau, tetapi mungkin (rakyat) negeri (itu) tak boleh terima beliau,” katanya.

Ulasan GB

Jika selepas PRK Hulu Selangor dengan penipuan SPR yang memindahkan tempat mengundi bagi 15,000 pengundi sehingga membolehkan BN meraih kemenangan dikatakan oleh media massa arus perdana bahawa konsep 1Malaysia Najib telah berjaya, maka apa pula jawapannya untuk konsep berkenaan selepas kalah di PRK Sibu?

Jawapannya: 1Malaysia GAGAL.