13 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Kota Seputeh, Mahkamah Putuskan Isnin

Status sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh, Kedah Datuk Abu Hasan Sarif dari Barisan Nasional (BN) boleh menyandang terus kerusinya akan diputuskan Mahkamah Tinggi, Isnin ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail mempertikaikan statusnya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan kerusi itu tidak mengalami kekosongan dengan Abu Hasan masih merupakan wakil rakyat yang sah.

Pada 18 Ogos lalu Abd Isa meminta SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong atas alasan Abu Hasan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tahun ini.

Peguam bagi Speaker, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong.”

Abu Hasan tidak hadir pada sidang 19 April dan kemudian pada 9 Ogos tanpa izin Speaker.

Sulaiman berkata, Abu Hasan tidak menafikan fakta itu.

“Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kemudian perjalanan undang-undang ialah Artikel 51, di mana kerusi itu dengan sendirinya menjadi kosong,” kata Abdullah yang juga bekas

Presiden Majlis Peguam di mahkamah hari ini.

Pada 18 Ogos lalu, Abd Isa menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Sebaliknya Abu Hassan menjelaskan, beliau juga telah mengemukakan surat sakit bagi membuktikan sebab ketidakhadirannya pada sidang DUN tempoh hari.

Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Abu Hasan agar terus menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan Selasa ini.

Katanya, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.

“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar.

Muhyiddin berkata, Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.

Abd Isa baru-baru ini berkata, beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun kawasan Kota Seputeh.

DUN Kedah akan bersidang mulai Selasa ini bagi membentangkan bajet negeri 2010.- Berita Malaysian Insider Video :TVS



Era Najib Altantuya : SPRM Takut, Umum Pakar Forensik UK Bantu Bedah Siasat Teoh Beng Hock

Pakar forensik, Profesor Peter Vanezis dari Pusat Sains Forensik Cameron, United Kingdom, akan mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam bedah siasat Teoh Beng Hock.

Peguam SPRM, Abdul Razak Musa membuat pengumuman ini di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Mahkamah sebelum ini mengarahkan mayat mendiang Teoh Beng Hock digali semula untuk dibedah siasat semula selepas pakar forensik lantikan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand mendapati ada 80 peratus kemungkinan mendiang di bunuh.

Penemuan ini dibuat berdasarkan kepada kesan cekik pada leher mangsa, kesan tusukan pada dubur dan kesan retakan di kepala yang konsisten dengan kesan pukulan.

Di prosiding yang sama, Koroner Azmil Muntapha Abas memanggil semula mangsa siasatan SPRM, T Sivanesan dan ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, ke kandang saksi.

Peguam veteran Karpal Singh yang mewakili Boon Wah meminta Koroner supaya menangguhkan testimoni kliennya bagi memberi laluan kepada keputusan kes saman Boon Wah terhadap SPRM yang akan diumumkan 19 November ini.

Peguam mewakili Peguam Negara Tan Hock Chuan menyokong saranan Karpal kerana saman Boon Wah memberi kesan kepada integriti SPRM.

Ketika giliran mangsa seterusnya pula, Sivanesan diminta untuk mengenalpasti pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menderanya. Siva mengenalpasti seorang pegawai bernama Ashraf (gambar), melalui foto yang disiarkan akhbar Sinar Harian.

Koroner Azmil Muntapha Abas menangguhkan kes ke tarikh 9 Disember dan 17 Disember. -TVS


Ulasan GB

mengapa terpaksa guna pakar UK? Apa yng tak kena dengan 2 orang "pakar" hli pathologi Malaysia sebelum ini? Apakah kerana rahsia dah nak terlondeh kerana pendedahan Dr Pornthip Rojanasunand mendapati ada 80 peratus kemungkinan mendiang di bunuh?



Era Najib Altantuya: Bala Dedah Ditawar RM5juta

Penyiasat Persendirian, Balasubramaniam a/l Perumal tampil dalam satu klip video untuk mendedahkan bahawa dirinya telah ditawarkan RM5 juta oleh seorang peniaga bernama Deepak, agar menarik balik akuan sumpahnya yang mengaitkan Najib Abdul Razak dengan kes pembunuhan Altantuya.

Klip video ini disiarkan dalam Malaysia Today hari ini, dengan sarikata yang menyatakan bahawa Deepak ialah pengarah (director) Carpet Raya, sebuah syarikat yang dilaporkan berpendapatan RM122 juta. Syarikat tersebut dikatakan mendaftarkan alamatnya di Dataran Palma Ampang, Selangor, sementara pejabatnya beralamat di Mahkota Taman Maluri.

Malah, sari kata yang terpampang dalam klip video ini cuba mengaitkan Deepak dengan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri. Balasubramaniam mendakwa bahawa Deepak datang berjumpa dengannya, selepas dirinya mengumumkan akuan sumpah pertamanya pada 3 Julai 2008.

Menurut Balasubramaniam, Deepak mahu Balasubramaniam menarik balik akuan sumpahnya. Malah, Deepak suruh Balasubramaniam mengikutnya ke Putrajaya, namun tidak menyebut siapa yang mahu Balasubramaniam ke Putrajaya. Seterusnya, Deepak menawarkan RM 5 juta untuk Balasubramaniam supaya menarik balik akuan sumpahnya.

Balasubramaniam (gambar kanan) ialah penyiasat persendirian yang diupah oleh Abd Razak Baginda, tertuduh yang ketiga dalam kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Balasubramaniam telah membuat akuan sumpah pada 1 Julai 2008, mendedahkannya kemudian pada 3 Julai, dengan kandungan yang menggemparkan apabila mengaitkan Timbalan PM ketika itu (PM sekarang), Najib Razak dengan Altantuya.

Walau bagaimanapun, Balasubramaniam membuat akuan bersumpahnya yang kedua pada 4 Julai 2008, secara dramatiknya menarik balik tujuh perkara dalam akuan sumpah pertama yang berhubung kait dengan Najib Razak. Apa yang lebih mengejutkan, Balasubramaniam telah hilang bersama keluarganya selepas itu.

Abdul Razak Baginda yang selama ini dilihat sebagai orang rapat Najib Razak, dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan Altantuya. Walau bagaimanapun, beliau dibebaskan setelah didapati tidak bersalah oleh mahkamah pada 31 Oktober 2008.

Najib Razak, Perdana Menteri ke-6 dipertikaikan oleh pembangkang ketika membincangkan kes pembunuhan Altantuya. Walau bagaimanapun, beliau pernah bersumpah dan mendakwa dirinya tidak mengenali Altantuya. Isterinya, Rosmah Mansor, juga berkali-kali menafikan bahawa dirinya terlibat dalam kes ini, malah menganggap tuduhan tersebut berunsur fitnah. Sumber: Merdeka Review Video: TVS



Era Najib Altantuya : Tembok SUK Perak Runtuh

Tembok bangunan Perak Darul Ridzuan yang turut dikenali sebagai bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini runtuh selepas hujan lebat malam semalam menyebabkan sebahagian Jalan Istana ditutup kepada lalu lintas.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira 9 malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim berkata sebahagian tembok sepanjang kira-kira 24 meter dan setinggi 2 meter itu dipercayai runtuh akibat tekanan air.

Bercakap kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau berkata siasatan awal mendapati longkang di sebelah tembok berkenaan tersumbat dan air yang bertakung telah menolak tembok itu.

Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000, katanya.

Bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri Perak itu dirasmikan pada 2000. - BERNAMA

Ulasan GB

Apakah ini petanda awal kruntuhan kerjaaan haram BN?

Era Najib Altantuya : MCA Boleh Digantung Jika Kemelut Berterusan

Kemelut dalaman MCA yang kini berlarutan dibimbangi boleh menyebabkan parti itu digantung pendaftarannya, kata Ketua MCA Bahagian Tapah Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata pemimpin parti sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada Umno yang digantung pendaftarannya pada 1988.

"Kalau kita tidak selesaikan perkara ini dengan sebaik-baiknya, saya bimbang MCA bukan saja menghadapi masalah keyakinan daripada rakyat, malah mungkin kita (MCA) juga akan menghadapi masalah teknikal sepertimana Umno telah digantung pendaftaran, kalau kita tak berhati-hati," katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen di sini Khamis.

Ong yang juga bekas Setiausaha Agung MCA menasihatkan pemimpin agar melihat kembali punca masalah yang timbul dalam parti itu sebelum ia menjadi semakin rumit.

"Masalah asal adalah ada EGM (10 Oktober) dipanggil kemudian keputusan tidak dihormati, kemudian (ada) dua timbalan presiden, secara teknikal akan menjadi semakin besar, sampai satu hari apa terjadi kalau di luar kawalan sesiapa pun, maka kita mungkin hadapi masalah teknikal," katanya.

Ong berpendapat campur tangan ROS menyebabkan imej parti itu tercalar kerana ia menunjukkan pimpinan MCA tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau menyokong cadangan 16 anggota Jawatankuasa Pusat untuk diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 28 November ini sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis dalaman parti.

Pemilihan baru dengan mengadakan EGM adalah langkah bijak dengan menyerahkan kuasa kepada 2,380 perwakilan untuk menyuarakan pendirian dan sokongan masing-masing, katanya. BERNAMA

Era Najib Altantuta : Jais dakwa Asri Nov 18, bukan hari ini

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) yang sebelum ini disebut-sebut akan didakwa pagi ini dijangka hanya akan dihadapkan di mahkamah minggu depan.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memperoleh tarikh awal iaitu 18 November untuk mengenakaan dakwaan secara rasmi ke atas Asri yang ditahan 1 November lalu kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas Jais memfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri pada pukul 11 pagi semalam.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani yang dipetik Utusan Malaysia berkata, kertas pertuduhan telah difailkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Syukor Abd Hamid.

"Kita jangka dakwaan terhadap Asri dapat dilakukan pada hari itu. Namun segala keputusan dari segi tarikh dan masa adalah tertakluk pada arahan mahkamah," katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan menghubungi Asri bila-bila masa untuk memaklumkan perkara tersebut.

Semalam Asri yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau tidak akan hadir di mahkamah.

Difahamkan beliau mahu bertindak demikian bagi mengelakkan kekecewaan yang dialami awal bulan ini.

Pada 2 November lalu iaitu sehari selepas ditahan, beliau terpaksa menanti kira-kira tiga jam di mahkamah tetapi tidak didakwa manakala pasukan pendakwa pula tidak hadir.

Asri berkata, beliau tidak akan berada di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kerana tidak menerima apa-apa notis ataupun makluman untuk berbuat demikian.

"Saya belum terima sebarang notis (sehingga malam ini). Ini bukan mahkamah rimba," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Laporan media kelmarin menyebut Asri yang ditahan 1 November lalu akan didakwa esok.

Malah Mohd Hidayat juga memberitahu, pasukan pendakwa sedang meneliti kertas tuduhan untuk mendakwa Asri minggu ini.

Asri akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Bagaimanapun Hidayat memberitahu, Jais akan memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana melibatkan profil tinggi.

Memandangkan mahkamah tidak bersidang Sabtu, kemungkinan Asri akan didakwa esok melainkan ada perubahan terakhir di pihak Jais.

Kelmarin, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan JAIS yang menahan bekas Mufti Perlis itu atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri berkata, tindakan Jais bukan sesuatu yang mencurigakan kerana mana-mana ulama yang ingin memberi ceramah perlu mendapatkan kebenaran dan tauliah Jais. -malaysianinsider

Era Najib Altantuya : BN Sekat Peruntukan Persekutuan Kepada Selangor

Sidang Dewan Negeri semalam semakin hangat apabila menyentuh isu peruntukan Selangor disekat Kerajaan Barisan Nasional sejak Pakatan Rakyat memerintah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan jelas engkar menyalurkan peruntukan yang sepatutnya kepada Selangor 400 juta ringgit sahaja diterima berbanding sumbangan hasil cukai negeri melebihi 16 bilion ringgit kepada persekutuan setiap tahun.

“Daripada jumlah itu, RM200 juta diberikan melalui Geran Jalanraya Berdasarkan Maklumat Rekod-rekod Jalanraya Malaysia (Marris), dan selebihnya sumbangan melalui Pemberian Bilangan Penduduk (Capitation Grant)”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau berkata demikian menjawab soalan ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Khalid turut memberitahu dewan bahawa terdapat beberapa jenis geran Persekutuan.

Antaranya Geran Jalan Raya berdasarkan rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), pemberian berdasarkan Tahap Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP), dan pemberian 5 peratus bagi projek Kerajaan Persekutuan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Ia turut merangkumi pemberian perbelanjaan mengurus (50 peratus) bagi jabatan-jabatan di bawah senarai bersama, pemberian Khas Negeri Selangor (Pemberian pampasan Kuala Lumpur dan Putrajaya), pemberian Bilangan Penduduk (Capitation Grant) dan pemberian pertambahan hasil.

Katanya, pemberian kerajaan pusat sebanyak RM200 juta setahun itu tidak lagi relevan kerana hanya dapat memberikan kira-kira sebanyak 4 ringgit sebulan kepada setiap kira-kira 5 juta penduduk Selangor.

“Ini hanya cukup untuk sarapan pagi,” katanya menjelaskan pemberian tersebut yang termaktub dalam Perkara 109 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil sebaliknya berharap Kerajaan Persekutuan berbalik kepada prinsip “equalisation” atau kesamarataan.

Katanya, pemberian geran ini perlu mengambil kira jumlah penduduk, kemiskinan, pembangunan kawasan, kos, pembangunan insan dan indeks pendapatan hasil kasar per kapita. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN. (TVS)



Patah Sayap Ku Terbang Jua

12 November, satu tarikh Masehi yang selama ini jarang sangat menjadi ingatan pada GB.

Ia hanya satu tarikh untuk tujuan rekod semata-mata dalam konteks urusan duniawi bahawa GB dilahirkan ke dunia ini oleh seorang ibu yang kemudiannya dari saat itu GB diasuh, dibela dan dibesarkannya.

Pada satu ketika GB mengharungi kehidupan paling getir, ibulah yang memainkan peranan pentingnya di sisiku.

Sekalipun selepasnya, giliran GB pula untuk menjaga dan membelannya sewaktu beliau sudah uzur dan terlantar sakit. Dengan sangat menyedari bahawa penjagaan dan pembelaan sorang anak jauh sangat kecilnya dan kekurangannya berbanding apa yang telah dilakukan seorang ibu kepada anaknya semenjak kita dilahirkannya.

Dan semalam, pada tarikh yang sama setelah berpuloh tahun lamanya, iaitu pada 12 November 2009, ibuku telah pergi untuk selama-lamanya.

Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibuku, terima kasih kepada semua saudara-mara, sahabat handai dan kenalan yang membantu dan yang datang dari jauh dan dekat dan terutama kepada Dewan Muslimat PAS di kawasan GB, serta semua yang merakamkan ucapan-ucapan takziah.

Inalillahi wainna ilahi rajiun.
Al-fatehah