28 Nov 2012

[EDISI PECAH LUBANG] Musa Hassan Dakwa Hishamuddin Campurtangan Dalam PDRM

Bekas IGP tuduh Hisham campurtangan dalam PDRM

Bekas Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan hari ini mendakwa bahawa pasukan polis semasa di bawah pimpinannya berdepan dengan campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya, Musa berkata Hishammuddin pernah memberi arahan terus kepada pegawai-pegawai junior dan seorang ketua polis daerah tanpa pengetahuannya.

Oleh itu, katanya, beliau memberitahu Hishammuddin mengenai Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967, yang menyatakan bahawa arahan dan kawalan pihak polis adalah oleh IGP dan bukannya menteri.

"Sudah tentu, saya tidak boleh biadap kepadanya kerana (beliau) seorang menteri.

Saya memberitahunya dengan baik. Dia tak suka," kata Musa.

Beliau menjawab soalan media sama ada beliau pernah berdepan dengan halangan daripada Hishammuddin pada zamannya sebagai pegawai tertinggi pasukan polis negara. Musa bersara pada September 2010.

Sidang akhbar diadakan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), di mana Musa menjadi penaung dan penasihatnya.

Ditanya lagi sama ada Hishammuddin menunjukkan reaksi negatif, Musa menjawab: "Saya fikir begitulah.

Itulah sebabnya (kontrak saya) tidak dilanjutkan." -mk

Bekas KPN dakwa menteri campur tangan siasatan

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Tan Sri Musa Hassan (gambar) menuduh menteri Kabinet dan ahli politik sering cuba campur tangan dalam siasatan polis dan membuat penahanan semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dan mendakwa ia masih berlanjutan.

Musa yang bersara pada September 2010 menamakan salah seorang menteri tersebut ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai antara ahli politik itu dalam satu sidang media hari ini dan mendakwa keenggannya mengikut arahan tersebut menyebabkan beliau tidak disambung kontrak.

Beliau turut mengkritik penggantinya, Tan Sri Ismail Omar sebagai seorang pegawai yang hanya mengikut perintah kepada ahli politik yang berpengaruh.

“Terdapat banyak keraguan daripada pegawai polis yang dikatakan menerima arahan bukan daripada (pegawai tertinggi mereka) tetapi daripada Kementerian Dalam Negeri.

“Malahan kementerian tersebut masih boleh memberikan arahan sekarang, siapa yang kawal sekarang?” soal Musa.

Musa kemudiaan memetik Sesyen 4(1) daripada Akta Polis yang menyatakan bahawa sebarang arahan kepada pegawai polis mestilah datang daripada KPN, yang mempunyai bidang kuasa ke atas arahan tersebut.

“Saya dimaklumkan malahan Setiausaha Agung boleh mengarahkan CPO (Ketua Pegawai Polis) dan (mengarahkan mereka untuk) melapor balik kepada mereka. Jadi siapa yang mengawal polis sekarang?

“Arah dan kawal... ke atas pasukan polis haruslah dibawah KPN. Tiada orang lain boleh beri arahan.”

Namun, bekas pemimpin tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut enggan mendedahkan nama tetapi mendakwa beliau menerima arahan tersebut daripada menteri, timbalan menteri dan ahli politik, juga daripada pembangkang.

“Apabila saya menangkap penjenayah, yang terlibat dalam aktiviti haram, pasti akan ada panggilan telefon daripada pihak atas.

“Saya masih ingat... seorang MP pembangkang selalu datang ke pejabat saya. Dia bawa kepada saya banyak saman (untuk selesaikan). Saya kata Tan Sri... awak (antara salah seorang) yang meluluskan di Parlimen.

Musa juga mensasarkan penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang dianggapnya sebagai seorang hanya mengikut arahan kepada ahli politik berpengaruh.

“Kamu baca akhbar. Kadangkala, kamu dengan (ahli politik berkata) “Saya arahkan polis buat itu... buat ini,” jawab Musa apabila ditanya bentuk arahan yang diberikan kepada KPN ketika ini.

“(Ismail) orang yang baik, tetapi menjadi seorang yang baik dan menjadi popular bukan adalah perwatakan menjadi seorang KPN. Kamu perlu jadi lebih tegas.

“Kadangkala, kamu perlu jadi seorang yang lantang (kepada) pihak atas. Apabila tidak betul... jangan hanya kata ya.

“Jika seorang KPN hanya mengikut perintah, dia akan jadi KPN terbaik di dunia. Jika dia lantang, dia akan jadi KPN yang jahat dan tidak akan ada banyak tuduhan ke atas dirinya,” gurau beliau.

Beliau menggambarkan hubungannya dengan Hishamuddin sebagai biasa, tetapi Menteri Dalam Negeri tersebut secara langsung mengarahkan beliau untuk mengawal pasukan polis.

“Apabila saya mendapati arahan yang diberikan kepada pegawai baru dan OCPD (Ketua Polis Daerah) tanpa pengetahuan saya, jadi pastinya suatu yang salah berlaku.

“Jadi saya tekankan kepadanya Sesyen 4(1) Akta Polis... arah dan kawal dalam pasukan polis adalah hak KPN, bukan seorang menteri.

“Saya beritahu dia secara baik tapi dia tidak suka. Sebab itu (jawatan) saya tidak disambung,” dakwa Musa.

Musa bertugas sebagai KPN selama tiga sebelum bersara pada 13 September 2010 selepas kes rasuah yang ditutup pada Julai 2007 kerana kurang bukti.

Sidang akhbar tersebut dianjurkan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), sebuah pemantau bukan kerajaan (NGO) yang mengakui mereka akan “mencabar sebarang statistik yang dikeluarkan oleh PDRM”.

NGO tersebut mendakwa mereka mempunyai statistik jenayah “sebenar” daripada pasukan polis yang dituduh mereka telah “dimanipulasi” sebelum dikeluarkan kepada orang awam.

MyWatch juga mengakui mereka memiliki bukti melibatkan pegawai atas polis dengan kumpulan bawah tanah.

Mereka merancang untuk mendedahkannya secara berperingkat, bermula minggu depan jika PDRM masih enggan bekerja dengan mereka.


[PANAS] Kes Menteri Rogol Amah Dilaporkan Ke SPRM

Kes pemerkosaan bekas pembantu rumah yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet akan dilapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, laporan yang akan dibuat dalam masa terdekat itu termasuk rasuah dan ugutan bagi menutup kes tersebut.

“Sehingga kini kita masih menunggu perkembangan dari pihak Kedutaan Besar Indonesia.

Jika tidak ada sebarang reaksi untuk memulakan siasatan, kita akan ke SPRM untuk membuat laporan selanjutnya Disember ini.

“Jingga 13 merasakan kes ini perlu disiasat kerana ia melibatkan kepimpinan tertinggi negara,” katanya ketika dihubungi.

22 November lalu, Jingga 13 menyerahkan laporan permohonan penyiasatan kes itu dan tindakan undang-undang kepada Kedutaan Besar Indonesia di Jalan Ampang.

Laporan itu diterima kedutaan tersebut sebagai informasi baru untuk pihak berkuasa Indonesia membuka siasatan.

Kementerian Kaunselor Kedutaan, Suryana Sastradiredja dan Polis Kerjasama Antarabangsa Kedutaan, Benny Iskandar mengesahkan perkara itu.

Menurut Fariz, pihaknya mengesyaki ugutan terhadap Robengah hingga terpaksa berdiam diri kerana bimbang keselamatan dirinya dan keluarga terancam.

“Robengah sendiri menyatakan beliau diberi amaran oleh orang besar di Malaysia yang melarang beliau daripada membicarakan perkara ini,” tegas Fariz.

Robengah sebelum ini mendakwa diperkosa bekas majikannya di Malaysia, sepertimana laporan NGO Migrant Care pada 23 Julai 2007.

Bagaimanapun, beliau menafikan perkara itu dalam surat ditandatangani bertarikh 7 Januari 2011, menyatakan tidak menghadapi masalah sewaktu bekerja di Malaysia.

Dalam lawatan Jingga 13 ke Banjanegara Oktober lalu mendapati Robengah hidup mewah dengan rumah dianggar bernilai RM100,000, walaupun beliau dan suami tidak bekerja.

Pelbagai pihak termasuk KEADILAN sebelum ini membuat laporan polis berhubung kes itu namun sehingga kini, tiada siasatan dilakukan. -KD

[CEMAS] 96 Peserta, 6 Jurupandu Dipanah Petir Di Puncak Gunung Datuk


Rembau – “Saya tidak dengar bunyi petir, tetapi saya nampak cahaya yang seribu kali lebih terang daripada cahaya kamera,” kata salah seorang jurupandu Gunung Datuk yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 30-an, ketika ditemui di kaki Gunung Datuk, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, seramai 96 peserta yang mendaki gunung sempena Program Fasilitator Unggul dari Alumni Madrasah Annuriah, Melaka dan enam jurupandu berhadapan detik mencemaskan apabila bahagian atas puncak gunung itu dipanah petir dan aliran arusnya mengalir ke lokasi mereka berlindung di dalam sebuah gua di lokasi berkenaan.

Akibat kejadian itu, empat peserta kini ditahan di wad Hospital Tampin (HT) untuk rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan, kebas, hipertermia atau kesejukan melampau dan anemia.

Peserta berkenaan, Syed Mohd Hakimi Syed Azmi, 21, berasal dari Kelantan; Mohd Hadif Mat, 22, dari Kota Bharu, Kelantan; Nor Sidah Mohd Fadil, 22, dari Teluk Intan, Perak dan Izzati Haziah Mohd, 21, dari Dungun Terengganu.

Seawal 4.30 petang, pasukan perubatan dari HT sudah bersiap sedia di kaki Gunung Datuk untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa insiden berkenaan.

Tercampak selepas kena renjatan petir

Din berkata, ketika itu pihaknya yang menyedari keadaan cuaca bakal berubah buruk mengarahkan peserta yang sedang ke puncak gunung untuk turun, sementara sebahagian lagi tidak dibenarkan naik dan mereka berkumpul untuk diberikan taklimat.

“Belum sempat taklimat habis diberikan, tiba-tiba angin kuat dan saya mengarahkan kumpulan peserta berlindung ke dalam gua berdekatan.

Kejadian berlaku begitu pantas dan sedar-sedar saya sudah tercampak.

“Pada mulanya saya ingat hanya tergelincir, namun apabila melihat keadaan selepas insiden berkenaan dan telinga sebelah kiri tidak mendengar sebarang bunyi, saya sedar ia disebabkan renjatan arus panahan petir yang dibawa oleh aliran air yang terbentuk dalam gua berkenaan,” katanya.

Din berkata, sepanjang tujuh tahun dia menawarkan khidmat jurupandu di Gunung Datuk berkenaan, itu adalah pengalaman pertama kali dipanah petir.

Bomba, JPAM turunkan mangsa Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.50 petang dan seramai tujuh anggota menyertai operasi menurunkan mangsa yang berakhir sekitar 2.

15 pagi semalam.

Menurutnya, susulan terdapat mangsa mengalami kecederaan di bahagian ligamen dipercayai terjatuh semasa menyelamatkan diri, anggota bomba naik ke atas puncak bagi mengusung mangsa turun dengan lebih selamat.

“Bagaimanapun, ia mengambil masa yang lama memandangkan keadaan trek licin susulan hujan lebat dan cuaca gelap sehingga menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan kaedah mengensot sedikit demi sedikit.

“Bantuan dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dengan kekuatan tujuh anggota bagi membantu membawa turun mangsa yang mengalami kesejukan melampau yang sudah bergerak turun terlebih dahulu.

Zamrus berkata, dua lagi peserta mengalami kecederaan seperti kebas dan salah seorang daripada mereka mengalami masalah melecur selepas terkena renjatan bersandar di bahagian dalam gua berkenaan.

Menurutnya, mangsa pertama yang dibawa turun dengan selamat sekitar 12 tengah malam dan dikejarkan ke HT ialah Syed Mohamad Hakimi yang mengalami kesejukan melampau dan mangsa terakhir Mohd Hadif yang cedera pada ligamen sekitar 2.15 pagi.

“Kita menasihatkan orang awam untuk tidak menjalankan aktiviti seumpama ini semasa musim tengkujuh memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan sukar diramal," katanya. -SH

Kecewa Kerana UG Gagal, Muhyiddin Belasah PAS

Seperti biasa, tidak pernah berubah sejak 1997, Perhimpunan Agung Umno (PAU) pasti akan menghidangkan siri kutukan berterusan bermula dengan ucapan timbalan presidennya yang merasmikan serentak mesyuarat perwakilan pemuda, wanita dan terbaru puteri parti itu malam sebelum perasmian mesyuarat agung diadakan.

Bagi Muhyiddin Yassin, ini ialah kali ketiga buatnya merasmikan mesyuarat ketiga-tiga sayap parti reput orang Melayu itu atas kapasitinya sebagai orang nombor dua dalam parti.

Sekali lagi, PAS dijadikan mangsa amarah Muhyiddin kerana gagal mengikut telunjuknya menjayakan kerajaan perpaduan tajaan broker mereka dengan beberapa pemimpin PAS hingga menyebabkan terpelantingnya bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Hasan Ali pada 8 Januari lalu.

Tanpa berselindung, nyata ucapan Muhyiddin umpama panglima hilang keris kerana berani menyembur parti seterusnya dalam Pakatan Rakyat iaitu KEADILAN dengan mengulangi skrip yang sama, tetapi dijenamakan semula, Parti Keluarga dan Rakan-Rakan.

Sedangkan dia sendiri terlupa Umno tidak kurang hebatnya dengan kroni perdana menteri dan presidennya sendiri, Najib Altantuya.

Najib Altantuya merupakan anak kepada perdana menteri kedua, Razak Hussein, juga sepupu kepada Naib Presiden Umno, Hishamuddin Hussein Onn yang merupakan cucu kepada pengasas Umno, Onn Jaafar.

Bagi menambah luka Umno, timbalan pengerusi Umno Kedah, Muhkriz adalah anak bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula adalah menantu seorang lagi bekas perdana menteri yang disingkirkan Muhyddin dan Najib Altantuya sendiri, Abdullah Badawi.

Apakah Muhyiddin menyindir Najib Altantuya secara tidak sengaja atau sebaliknya? Mengapa tergamak mengkhianati ulasan sendiri di Islamabad, Pakistan sedangkan bersungguh-sungguh mahu perwakilan membahaskan usul mahu menang dalam pilihanraya umum yang dijangka paling getir buat Umno sejak 1999?

Sepatutnya Muhyiddin menasihatkan partinya sendiri terlebih dahulu sebelum menunding jari ke mana-mana pihak hingga menyebabkan Umno sendiri yang luka berdarah hasil daripada ucapan paling tidak bertanggungjawab sepanjang menjawat jawatan sejak April 2009.

Bukan sedikit kesannya terhadap parti malah ia mencerminkan Umno sudah semakin sasau dan risau akan untung nasibnya sendiri kerana Muhyiddin tahu hanya dengan cara inilah kununnya semangat perwakilan mampu dinaikkan sedangkan parti itu kini umpama melukut di tepi gantang mengharap bagai pengemis kuasa yang hampir pasti hilang sengatnya biarpun pilihanraya umum sudah berada di depan mata.

Usahkan perwakilan, ahli Umno sendiri yang setia dengan parti itu pun menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju dengan kata-katanya memperlekehkan parti lawan dengan cara tidak beretika malah menyerlahkan kedangkalan hujahnya sendiri.

Jika Umno terus mengulangi surah-surah lama bagi menutup kelemahan sendiri, jangan salahkan rakyat yang seolah-olah dipaksa menonton di televisyen semakin jauh dari Umno kerana tiada idea baru dihasilkan selain hanya tahu bergelak ketawa tanpa mengetahui semakin hari semakin hilang kekuasaan mereka dari tampuk pemerintahan di Putrajaya. -jalanpulang

Skandal Scorpene ‘Bapak’ Segala Jenayah Di Malaysia

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin menyifatkan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene yang sedang dibicara di Mahkamah Perancis adalah ‘bapak’ kepada semua kes jenayah di Malaysia.

Beliau yang dikenali Chegu Bard berkata, kes itu melibatkan Kerajaan Malaysia, rasuah, pembunuhan, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa dan oleh kerana itu rakyat perlu tahu mengenainya.

“Rakyat perlu tahu kerajaan bazirkan RM5 bilion, itu belum termasuk kos-kos lain yang tidak diambil kira, semua menjadikannya lebih RM7 bilion dalam urusniaga pembelian Scorpene ,” katanya.

“Sebab itu pelbagai usaha kita buat agar rakyat celik tentang isu ini, termasuk membawa masuk peguam dari Perancis ke Parlimen, namun akhirnya dihalang kerajaan,” jelasnya kepada kepada Keadilan Daily dalam program tayangan secara langsung taklimat Scorpene yang dibawakan oleh SAMM di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) tengahari tadi.

Taklimat itu yang sepatutnya diadakan di Parlimen Malaysia terpaksa diubah ke Changi Singapura berikutan halangan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sesi taklimat oleh Apoline Cagnate, rakan kongsi dari firma peguam Perancis, William Bourdon itu berlangsung dua jam.

SAMM dan kerjasama dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebelum ini komited memberi pendedahan berhubung kes itu kepada masyarakat pedalaman dengan mengadakan ceramah dan jelajah.

“Puak-puak Umno kemudian membuat pelbagai cerita kononnya tidak ada perbicaraan tentang kes itu di Perancis. Tapi bila kita nak bawa masuk (peguam) untuk jelaskan, mereka (kerajaan) takut pula nak bagi (masuk),” kata beliau.

Sehubungan itu, menurutnya, SAMM akan melancarkan buku bertajuk ‘Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia’ pada bulan depan.

“Dalam buku tersebut ada semua dokumen lengkap dan telah disahkan mengenai pembelian kapal selam itu.

“Jadi komitmen kita ialah turun kepada rakyat dan memudahkan pemahaman mereka,” jelas Ketua KEADILAN Cabang Rembau itu. -KD

[VIDEO] Deepak, Kawan Rosmah, Dedahkan Diberi Amaran Untuk Tidak Dedahkan Perkara Sebenar

Cerita sebenar Deepak Jaikishan kawan Rosmah

KUALA LUMPUR: Hasil desakan perwakilan Muktamar agar wartawan bertanya Datuk Seri Najib siapa dia, Deepak Jaikishan (gambar) dengan sukarela menghubungi Harakahdaily untuk menceritakan siapakah dia sebenarnya.

Deepak J Tekwani, pengarah kepada Carpet Corporation menghubungi Harakahdaily untuk memberikan cerita sebenar di sebalik hubungan beliau dengan keluarga Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pertemuan berdepan kira-kira setengah jam di sebuah hotel terkemuka itu, Deepak menceritakan apa sebenarnya hubungan beliau dengan keluarga Perdana Menteri khasnya Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.

Ia bermula apabila Rosmah menjadi pelanggan kedai karpet beliau di Jalan Tunku Abdul Rahman. Selepas itu hubungan mereka baik dan Deepak diperkenalkan kepada Najib.

Ketika itu, Najib adalah Menteri Petahanan.

Namun persahabatan mereka berakhir apabila Deepak diminta menolong keluarga Najib ekoran akuan bersumpah (SD) yang dibuat oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Ia berakhir apabila Bala tidak berpuashati dan Deepak dipersalahkan oleh keluarga Najib.

"Cara dia bertindak bukan sebagai kawan yang menolong kawan, tetapi dia hantar 50 orang penguatkuasa datang ke ofis saya, rumah, dan kilang saya dengan niat memberi amaran untuk saya tidak mendedahkan perkara sebenar & menutup cerita sebenar SD," cerita Deepak kepada Harakahdaily.

Ikuti pendedahan siapa Deepak Jaikishan sebenarnya melalui temubual wartawan Harakahdaily dengan beliau.

Apa tujuan saudara mahu bertemu dengan Harakah (daily)?

Saya tertarik dengan pertanyaan Harakah (daily) minggu lepas, siapa saya (Deepak Jaikishan).

Saya sebenarnya terlibat dalam perniagaan karpet dan perniagaan hartanah.

Saudara dikaitkan dengan Datuk Seri Najib.

Sebenarnya bagaimana hubungan saudara dengan keluarga beliau? Hubungan.... saya memang kenal Datuk Seri dan Puan Seri. Saya sebagai pembekal karpet dan terlibat dalam perniagaan. Kalau ada peluang bisnes, kita mintak sokongan dari pihak beliau.

Sudah lama hubungan itu. Bagaimana saudara kenal dia? Ia hanya bisnis karpaet. Mungkin 2004 atau 2005, Datin Seri (Rosmah) datang ke kedai kita di Jalan Tunku Abdul Rahman. Dia datang kedai beli karpet, so kita berkenalan dari situlah. Kamudian Datin Seri perkenalkan kepada suami dia. Masa itu dia (Najib) adalah Menteri Pertahanan.

Bisnes apa yang saudara buat dengan dia?

Mungkin tidak sesuai saya dedahkan hari inilah. Mungkin sessi lain. Sebab saya hanya mahu jawab apa yang saudara tanya dalam akhbar saudara. Apa hubungan saya dengan mereka. Bisnis saja, tidak ada yang bukan-bukan. Ia hanya bisnis sahaja. Dia isteri orang, tidak ada yang bukan-bukan, tidak baik. Ia benar-benar bisnes sahaja.

Ada laporan dalam Malaysiakini yang saudara berkata, ia hubungan kakak adik sahaja, tanpa lain-lain? Ya boleh dikatakan begitu.

Pada pandangan saudara, kenapa saudara dipopularkan sangat?

Saya pun rasa. Dulu tidak ada macam itu. Mungkin kesalahan saya bila saya tolong dalam kes Bala (P Balasubramaniam). Semasa kita dengan tidak sengaja terlibat dalam kes Bala untuk menolong keluarga Perdana Menteri. Masa itulah nama kita naik.Sememangnya kita tidak suka, kita suka low profile.

Sebelum ini tidak ada apa-apalah?

Takda, kita senyap-senyap buat bisnes kita. Di Malaysia, kalau kita high profile bukan senang kita nak buat bisnes.

Macamana pulak saudara terlibat dalam kes Bala. Ia menjadi persoalan kepada orang ramai? Ini kes mahu tolong kawan. Pada kita dia kawan yang setialah. Jadi kita tolong. Contohnyalah, saya dengan saudara dekat kolam renang. Saya tidak tahu berenang. Tetapi saya lihat saudara jatuh ke dalam kolam dan tenggelam. Jadi saya pun masuk dalam kolam untuk menolong saudara. Jadi saya rasa pada masa itu, kita saja yang ada dan kita diminta menolong. Kita bukan terlibat secara langsung. Lawyer pun lawyer dia (keluarga PM), kita saja tolong koordinat. Reporter pun dia yang panggil. Kita fikir ketika itu ada kawan yang terdesak minta pertolongan. Dia pun dah ada hubungan baik dengan kita. Kita tak anggap perkara ini akan menyusahkan kita dan melibatkan kita secara langsung dalam kes Altantuya inilah.

Maksuk Encik Deepak, saudara baik dengan Bala ke, saudara tolong Bala ke atau.... Saya tolong keluarga Datuk Seri Najib.

Saudara memang kenal Bala?

Saya tidak kenal secara langsung, ada kenalan melalui komuniti yang sama, perkara ini terjadi. Saya dipanggil waktu tengah malam, "You boleh tak selesaikan masalah ini.... its a big problem". Saya pun ada seorang saudara yang kenal dia (Bala), seorang anggota polis juga. "Tanya dia boleh tak you uruskan orang ini, minta dia jumpa wakil keluarga Datuk Seri." Dia setujulah. Kita perkenalkan dia. Kita bukan terlibat dengan apa-apa proses lain, kita tidak terlibat.

Jadi selepas itulah nama saudara menjadi popular?

Ya ini memang kesalahan kitalah. Kalau perkara ini terjadi sekali lagi, saya tidak boleh berenang, saya tengok saudara tenggelam, saya akan biarkan tenggelamlah. Saya tak boleh nak tolonglah sebab manusia tidak mengenang budi.

Adakah selepas itu hubungan dengan Bala bermasalah?

Sebenarnya dia (Bala) bukan marah dengan kita. Dia marah orang yang telah janji dengan dia. Bukan saya.

Apa berlaku kepada hubungan saudara dengan Datuk Seri selepas itu?

Saya rasa selepas semua inilah, apabila ia sudah terdedah, kita telah dianggap bersalah kerana tidak dapat memuaskan semua kehendak Bala. Sebenarnya bukan kita yang terlibat dalam masalah ini, bukan kita yang terlibat dalam kes Altantuya. Kita pada malam itu menolong saja tetapi dipersalahkan kerana tidak dapat memenuhi kemahuan-kemahuan Bala. Bala ini bekas Pi. Seminggu cerita itu, seminggu lagi cerita ini. Kita tidak mahu terlibat dengan semua itu. Kita orang bisnes tidak mahu terlibat dengan dunia James Bond inilah.

Apa berlaku selepas itu. Saudara dilihat senyap sedikit selepas itu?

Kita pun mahu cerita ini senyap tetapi tidak begitu. Saudara juga terlibat bangkitkan lagi cerita ini. Saya rasa kes ini tidak akan senyap sehingga kes Altantuya selesai dengan adil. Bagi saya, dunia ini dikuasai oleh Tuhan Yang Maha Esa. Saya rasa selagi kes ini tidak selesai, perkara ini tidak akan terhenti. Kita tidak bersalah, tangan kita bersih.Kita tidak mahu dikaitkan dengan benda yang libatkan kes-kes yang sebegini kejam, Kita nak bercakap benar dengan semua orang. Memang satu masa dulu kita telah menolong kawan tetapi kita tidak bersalah. Kita tak terlibat dan tidak ada motif untuk melibatkan diri.

Selepas apa yang berlaku dengan Bala, adakah masih baik dengan keluarga Datuk Seri?

Sebenarnya, selepas perkara ini berlaku, mereka telah mengambil tindakan cuba mensenyapkan saya. Cara dia bertindak bukan sebagai kawan yang telah menolong kawan, tetapi hadiah yang dihantar adalah hantar 50 orang penguatkuasa kerajaan datang melawat, masa kes Bala terdedahlah. Jadi kita pun tahulah pada ketika itu, Najib is sitting Prime Minister. Dihantar pula 50 orang penguatkuasa datang dan angkut lima enam lori.

Jadi apa tindakan saudara?

Kita tunjuklah ketidakpuasan hati kita, perniagaan kita terjejas. Kalau you anggap saya sebagai kawan, you besar atau kecil, kawan tetap kawan, kita mesti tolong. Kalau tidak boleh tolong, jangan susahkan. Jangan makan kawan. Jadi tindakan yang dibuat untuk kawal situasi dengan hantar 50 penguatkuasa untuk menyeyapkan kita, supaya kita senyap, jangan cakap. Kita tahulah, ini bukan kawan. Kalau macam ini, baik hari itu bagi dia tenggelam.

Apa tindakan selepas itu?

Kita duduk diam-diam. Yang hangus tidak boleh diganti. Jadi sekarang saja nak bersihkan nama saya. Kita pun tak libat bisnes dengan mereka lagi. Dah dua tahun tidak libat lagi bisnis dengan dia tetapi masih cerita ini keluar. Bagi saya cerita ini tidak akan selesai sehingga Altantuya dibicarakan dengan adil dan mendapat hak dia. Kita tidak mahu dilibatkan. Sangat jelas penglibatan kita pada malam itu hanya tolong kawan dan SD itu sendiri dibuat oleh peguam mereka. -HD

Deepak kesal terlibat dengan SD Bala

EKSKLUSIF Ahli perniagaan Deepak Jaikishan kesal dengan penglibatannya dalam usaha membuatkan P Balasubramaniam membuat pengakuan bersumpah kedua sehingga menggugurkan pengakuan pertama yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mendiang Altantuya Shaariibuu.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini lewat malam tadi, Deepak berkata beliau hanya terlibat dalam usaha berkenaan atas permintaan seorang "kawan wanita" yang didakwanya mempunyai hubungan dengan satu pihak yang mungkin akan terjejas jika pengakuan bersumpah pertama itu tidak digugurkan.

"Saya diminta membantu oleh seorang kawan, saya bersetuju untuk membantu beliau kerana saya boleh lihat akibat yang akan dialami keseluruhan kumpulan itu.

Itulah bagi saya – terlibat dalam keseluruhan masalah Bala ini – satu kesilapan.

"Saya tiada kena mengena (untuk terlibat). Saya seorang ahli perniagaan. Saya kecewa kerana membantu seorang kawan yang saya anggap sejati.... Saya tidak sepatutnya terlibat dalam filem James Bond ini," katanya.

Deeepak bagaimanapun enggan menjelaskan identiti kawan wanitanya itu.

Deepak diketahui mempunyai hubungan rapat dengan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang disifatkannya sebagai seorang "kakak".

Ditanya mengenai kekesalannya itu, Deepak selepas berfikir panjang berkata: "Tidakkah anda akan kesal apabila terlibat dengan sesuatu yang amat keruh, yang melibatkan pembunuhan, yang melibatkan begitu banyak perkara yang amat negatif, tidakkah anda akan mengesalinya? Siapa saja akan mengesalinya".

Usahawan permaidani itu menambah, masalah tersebut memberi "aura negatif" ke atasnya sebagai seorang ahli perniagaan.
-mk