4 Mei 2010

Menyanggah Kenyataan Ketua Polis Negara

Jangan pertikai tugas polis: Musa

SERDANG: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengingatkan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mempertikaikan tugas polis berikutan insiden seorang remaja Aminulrasyid Amzah yang mati akibat terkena tembakan polis pada Isnin lalu.

Beliau berkata, polis mempunyai tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara dalam membanteras jenayah.

"Apa yang mereka (NGO) nak cakap itu hak mereka dan tunggu sehingga siasatan kita selesai. Saya mahu menjalankan siasatan secara adil untuk mencari keadilan," katanya.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas melawat anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Sarjan Roslan Bachik, 49, di Hospital Serdang yang patah kaki kanan akibat dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya petang kemarin.

Beliau berkata, kes yang membabitkan anggota polis sehingga mengalami kecederaan atau kematian dalam menjalankan tugas tidak mendapat perhatian daripada NGO atau masyarakat.

"Sebagai contoh kes yang melibatkan seorang anggota trafik kita kelmarin sehingga patah kaki kanan, ini disebabkan oleh anak orang yang 'baik-baiklah' sehingga jadi macam ni," katanya.

Katanya, walaupun polis berjaya melaksanakan tugas dengan baik namun ia tidak pernah dipuji dan dihargai masyarakat.

"Jangan perlekehkan tugas polis kerana kita mempunyai tanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara.

"NGO yang campur tangan dalam tugas polis tidak prihatin dengan tugas kita melainkan pihak kerajaan yang mengambil berat terhadap anggota polis yang cedera atau maut dalam menjalankan tugas," katanya.

Musa berkata, kertas siasatan berhubung kes Aminulrasyid, 15, akan diserahkan semula kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat selepas siasatan kes tersebut lengkap.

Jumaat lalu, pihak Peguam Negara menyerahkan semula kertas siasatan itu dan mengarahkan polis melakukan siasatan lebih lanjut.

Semalam tiga saksi utama, Azamuddin Omar, 15, rakan kepada Allahyarham Aminulrasyid serta kakak dan abang iparnya iaitu Tuty Shaninza Anom Amzah, 36, dan Muzafar Mahali, 36, dipanggil semula untuk memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Dalam kejadian 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor.

Rakan remaja itu sempat melarikan diri. - Bernama

Ulasan GB

Itu kenyataan dari seorang bergelar Ketua Polis Negara!

Menunjukkan kepada kita KPN tersebut bertugas bukan demi untuk negara, tetapi untuk dipuji dan puja... selain mengumpulkan pangkat, harta dan nama!

Musa Hassan, dengar sini.

Tiap-tiap orang memilih bidang pekerjaan masing-masing dan setiap orang ada peranan dan sumbangannya kepada negara.

Anda memilih untuk bertugas sebagai anggota polis sepastinya anda mengetahui tentang risiko yang perlu ditanggung.

Anda buta? Selain polis ramai lagi yang bekerja demi untuk negara tetapi tidak merungut jika tidak mendapat pujian kerana itu adalah KEWAJIPAN yang perlu dilaksanakan. Apatah lagi sebagai penjawat awam, anda telah dibayar GAJI untuk perkhidmatan anda, malah polis dimanjakan dengan sedikit kelebihan apabila tatkala anda semua menikmati kenaikan gaji, penjawat awam lain terlopong dan ternganga luas mulutnya! Anda tahu itu?

PM mengumumkan kenaikan gaji untuk polis. Bukankah itu satu penghargaan? Dan PM menaikkan gaji bukan dari duit poketnya atau duit adiknya yang menjadi saudagar bank, tetapi dari duit cukai yang dibayar oleh rakyat.


Saya katakan lebih ramai di sana yang bukan anggota polis tetapi bekerja demi untuk kesejahteraan rakyat dan negara tanpa memperdulikan pujian dan pujaan sekalipun ada diantara mereka menyabung nyawa. Itu anggota tentera, pengawal keselamatan, wartawan, guru, kerani, posmen, malah nelayan di lautan, peladang dan petani di bendang, pemanjat tiang eletrik dan telefon, buruh kasar binaan malah setiap wargangara yang bekerja, ada risiko yang mereka tanggung dan kesemua mereka telah, sedang dan terus memberikan sumbangan terhadap negara.

Malah jangan terperanjat jika saya menyatakan para blogger juga ada peranan dan sumbangannya untuk kemajuan dan pembangunan negara. Jadi, apa besarnya kamu polis-polis sampai kamu tak boleh ditegur dan tak boleh disentuh lansung oleh rakyat dan NGO?

Justeru itu, kamu jangan pertikaikan hak orang lain untuk mengkritik kredibiliti polis yang jatuh merudum sejak kamu menjadi ketuanya. Kalau tak mahu dikritik dan ditegur, letak jawatan semua, jangan ambil gaji dari duit rakyat, ramai yang sedang menganggur sedang mencari pekerjaan yang boleh mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh kamu-kamu semua.

Mengambil kata-kata Ahmad Nisfu: kecik-kecik tak nak mampos, dah besar menyusahkan orang.


Kes Anwar: Mahkamah tolak laporan perubatan HKL

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan kes tuduhan liwat yang di hadapinya.

Ketika membuat keputusan itu hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria berkata "laporan perubatan bagi menyokong permohonan Anwar untuk menolak kes ini, hendaklah di baca secara keseluruhannya.

"Oleh itu ianya tidak dapat menyokong rayuan Anwar," kata Arifin yang mengetuai tiga panel hakim. Dua hakim lain yang duduk bersama beliau ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Fong Cheng Yuen, dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Surayadi Halim Omar.

Peguam bela yang mewakili Anwar terdiri daripada Karpal Singh, Datuk Param Cumaraswamy, Sankara Nair dan Wan Anwar Shadat manakala Peguam Cara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abidin mewakili Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini bermakna kes tuduhan liwat yang difailkan oleh Saiful terhadap Anwar di sambung semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mei depan.

Sebelum itu, Mohd Yusof dalam hujahnya, turut membantah bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa memutuskan kredibiliti pihak pendakwaan pada ketika ini.

Beliau menjelaskan, sebarang penghakiman mengenai kelemahan atas kredibiliti hanya boleh dibuat pada penghujung pendakwaan atau atas kes pembelaan.

“Ini bukan proses keadilan. Ia juga tidak hampir kepada kes bersifat ‘mala fide’ (berniat jahat)." kata beliau.

Karpal Singh pula membantah hujah Mohd Yusof bahawa pendakwaan ke atas Anwar berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Laporan tiga doktor pakar HKL

Menurut Karpal, melalui laporan perubatan daripada tiga doktor pakar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) jelas tidak wujud sebarang penetrasi (penetration) ke dalam dubur Saiful.

Karpal mendakwa sampel air mani yang diambil daripada badan Anwar telah dengan sengaja dipalitkan ke badan Saiful.

Sementara itu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ditemui di luar mahkamah melahirkan perasaan kecewa dengan keputusan mahkamah tersebut.

"Keputusan hakim berupa dua baris perkataan sahaja. Saya sungguh tidak puas hati dan merasa sungguh kecewa. Tetapi saya sudah menjangkakan keputusan tersebut," kata beliau.

Namun beliau berkata, "kita akan tunggu untuk perbicaraan sepenuhnya kemudian."

Ditanya mengenai Anwar, Wan Azizah berkata, "Anwar berada di luar negeri dan tidak dapat hadir."

Sankara Nair, seorang lagi peguam Anwar, turut melahirkan rasa kecewa kerana hujah yang dikemukakan oleh pihak peguam bela sangat kukuh, tidak berlaku penetrasi.

Beliau berkata, "saya kecewa dengan keputusan mahkamah ini. Hakim kata hujah ini tidak mencukupi sedangkan isu penting di sini adakah wujud penetrasi.

Sankara menjelaskan, "permohonan kita amat kukuh dan sahih melalui laporan perubatan daripada tiga pakar perubatan yang mengesahkan tidak berlaku penetrasi" katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan seterusnya Karpal menyatakan bahawa tiada permohonan lain akan dikemukakan sebaliknya akan meneruskan soal balas terhadap pengadu, Saiful.

"Ini merupakan peringkat akhir dan kami tidak akan membuat apa-apa permohonan lain. Kami akan meneruskan soal balas terhadap Saiful minggu depan," kata Karpal. -FMT

Kerajaan Tubuhkan Pemantau Siasatan, Bukan Suruhanjaya. Tipu Rakyat Lagi

Kerajaan hari ini mengumumkan pembentukanjawatankuasa khas bagi memantau siasatan polis berhubung kematian remaja 14 tahun yang ditembak mati polis 26 April lalu, bukan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kes tersebut sperti yang diminta oleh keluarga Aminul-rasyid.

Beberapa figur yang agak hebat disenaraikan termasuklah bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar yang merupakan di antara lapan orang yang dilantik bagi menganggotainya.

Mereka yang lain adalah bekas pesuruhjaya Suhakam Dr Denison Jayasooria, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim, peguam Muhammad Shafee Abdullah, ketua pegawai eksekutif ASLI Dr Michael Yeoh dan naib canselor UiTM Prof Abdul Halim Sidek.

Panel berkenaan akan diketuai oleh timbalan menteri dalam negeri, Datuk Abu Seman Yusop (gambar) dan dibantu oleh timbalan ketua setiausaha kementeriannya, Datuk Ahmad Fuad Aziz.

Abu Seman memberitahu pemberita minggu lalu bahawa jawatankuasa khas itu tidak boleh menjalankan siasatannya sendiri tetapi hanya boleh memantau siasatan yang dijalankan oleh polis bagi memastikan ia berjalan dengan telus dan adil kepada semua pihak.

Ulasan GB

Kalau setakat nak pantau, lebih baik tak perlu tubuh apa-apa. Pemantau yang tidak ada kuasa apa-apa. Sekadar pemerhati, sekadar pencelah sekali-sekala.

Laporan akhirnya akan disediakan oleh polis jugak. Semasa laporan dibuat, tiada pemantauan, justeru laporan itu belum lagi boleh dianggap adil, telus dan berwibawa.

Nak tipu rakyat dan nak bodohkan rakyat lagi.

Husam Minta Najib Jelaskan Fakta Sebenar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mendedahkan butiran mengenai keputusan kabinet melepaskan kedaulatan Malaysia yang mengandungi dua blok telaga minyak kepada Brunei.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebelum ini rakyat hanya mengetahui hal berkenaan melalui sebuah syarikat yang menguruskan operasi di medan minyak tersebut, Murpy Oil selepas konsesinya terbatal akibat penyerahan yang dibuat oleh kerajaan.

“Perdana Menteri sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskan kepada umum sampai hari ini,” katanya ketika dipetik surat yang dihantar kepada Perdana Menteri semalam.

Kontroversi berhubung dua blok minyak itu timbul apabila Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis lalu, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan mendakwa keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira US$100 bilion (RM320 bilion). Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Badawi, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Dalam pada itu, Husam yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri berkata, terdapat banyak keraguan yang timbul di sebalik pendedahan yang dibuat oleh syarikat minyak tersebut.

“Seperti disebut dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah ‘overlapping area’(kawasan bertindih). Jika ia kawasan bertindih bagaimana lain seperti kawasan :JDA, (Kawasan Pembangunan Bersama): dan CCA (Kawasan Aturan Komersial), mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya.

“Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh 40 tahun?” katanya.

Dalam masa yang sama, Husam turut mempersoalkan adakah penyembunyian fakta ini ada kaitan semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri di waktu itu dan seluruh kabinet menerima keputusan ini walaupun ia merugikan negara. -SH


Wisma Putra: Kawasan kaya minyak milik Brunei

Brunei mempunyai kedaulatan ke atas dua kawasan yang kaya dengan minyak mengikut peruntukan Konvensyen Undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 dan kawasan berkenaan akan dibangunkan secara usahasama dengan Malaysia.

Sehubungan itu, menurut kenyataan media Kementerian Luar Negeri, hari ini, 'penyerahan' dua blok kawasan petroleum oleh Malaysia kepada Brunei menerusi “Pertukaran Surat” adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Konsesi minyak blok L dan M Malaysia bertindan dengan blok J dan K Brunei yang diiktiraf menerusi 'Pertukaran Surat' sebagai kawasan maritim Brunei dan negara itu mempunyai hak atas kedaulatannya mengikut UNCLOS.

"Penamatan kontrak perkongsian pengeluaran membabitkan Blok L dan M, yang diberikan oleh Petronas kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan Murphy Oil pada 2003, adalah selaras dengan pewujudan CAA seperti yang ditetapkan dalam Pertukaran Surat," kata kenyataan itu.

Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada Mac tahun lalu itu juga dikatakan telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik.

Menurut Wisma Putra lagi, ia juga membawa lembaran baru dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Satu daripada elemen penting dalam perjanjian yang ditandatangani oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada 16 Mac, 2009, adalah memuktamadkan penyempadanan kawasan maritim antara Malaysia dan Brunei,” katanya.

Selain itu, perjanjian itu berjaya menyelesaikan pewujudan Kawasan Aturan Komersial (CAA) bagi minyak dan gas, memuktamadkan modaliti bagi pembatasan sempadan darat antara Malaysia dan Brunei, dan hak laluan maritim yang tidak boleh dicabuli bagi warganegara dan penduduk Malaysia menyeberangi zon maritim Brunei.

Kontroversi berhubung dua blok minyak itu timbul apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis lalu, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan mendakwa keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira US$100 bilion (RM320 bilion).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Abdullah, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kandungan “Pertukaran Surat” itu mendapat kelulusan Kabinet, dan malah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara berkenaan.

“Pertukaran Surat” antara Malaysia dan Brunei itu juga dikatakan telah berjaya menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik. -mk




Kembalikan Integriti PDRM

Kematian adik Aminulrasyid Amzah yang baru sahaja berumur 14 tahun akibat ditembak oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memilukan hati ramai pihak.

Namun kesedihan orang awam sudah pasti tidak akan dapat menandingi kesedihan yang dialami oleh ibu dan keluarga kepada arwah Aminulrasyid Amzah yang sehingga kini masih lagi tersentak dengan kejadian yang ngeri dan menyayat hati itu.

Jika ahli keluarga kita yang menjadi mangsa kejadian seperti ini, sudah pasti kita akan turut merasakan kesedihan yang sama. Persoalannya ialah, apakah kita mahu menunggu sehingga anggota keluarga kita menjadi mangsa untuk mula melakukan sesuatu?

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan menjadi sangat defensif bila dikemukan persoalan mengenai kes ini sehinggakan beliau mengeluarkan kenyataan yang “kebudak-budakan” seperti, “Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak.

“Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya.”

Ramai pihak yang terkejut bagaimana kenyataan sebegini boleh keluar dari mulut seorang KPN. Sebagai seorang ketua kepada PDRM, beliau seharusnya lebih berjiwa besar dan memahami kemarahan orang awam terhadap kes seumpama ini.

Satu lagi yang Musa perlu faham ialah kes seumpama ini melangkaui perbezaan politik yang ada di negara ini. Lihatlah bagaimana ahli-ahli politik daripada kedua-dua kerajaan dan pembangkang yang mengecam kejadian ini.


Sudah pasti apabila berlakunya kes seumpama ini, ramai yang akan marah apatah lagi mangsa adalah seorang remaja yang baru sahaja berumur 14 tahun!

Bukankah lebih banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghentikan kenderaan yang dipandu oleh anak muda tersebut selain daripada menembaknya di kepala?

Beliau seharusnya bersyukur oleh kerana orang-orang di Malaysia majoritinya masih bertindak secara rasional dan menunggu siasatan dijalankan terhadap kes ini tanpa melakukan tindakan diluar batasan undang-undang.

Respon Menteri Dalam Negeri

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut memarahi orang awam yang bising mengenai isu ini. Beliau meminta rakyat supaya berlaku adil terhadap anggota PDRM.

Apakah ketidakadilan rakyat terhadap PDRM? Lupakah beliau bahawa walaupun telah benyak kejadian kematian rakyat ditangan anggota PDRM, rakyat masih terus membayar pelbagai cukai agar kerajaan boleh membayar gaji anggota PDRM.

Tambahan lagi rakyat sedikitpun tidak melakukan apa-apa apabila baru-baru ini kerajaan menggunakan wang cukai yang dibayar oleh mereka untuk kenaikan gaji anggota PDRM. Tidak adilkah lagi rakyat kepada PDRM? Bagaimanakah pula dengan keadilan kepada rakyat yang diberikan oleh PDRM?

Seperti biasa, apabila berlaku kejadian seumpama ini, Menteri Dalam Negeri akan memberikan jawapan yang “standard”.

“Satu panel memantau siasatan polis terhadap kes itu akan dibuat, saya beri jaminan lantikan itu nanti akan pertimbangkan mereka yang benar-benar bebas, kita simpati terhadap apa yang berlaku, dalam masa yang sama ianya perlulah melalui proses keadilan,” kata Hishamuddin selepas merasmikan mesyuarat serentak 30 cawangan Umno bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat Raub pada 2 Mei lalu.

Berapa lamakah lagi rakyat perlu menanti agar panel yang bakal atau telah ditubuhkan ini untuk menyelesaikan kes ini? Apakah keluarga adik Aminulrasyid Amzah dan rakyat Malaysia perlu menanti selama bertahun-tahun barulah kes ini dapat diselesaikan?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa siasatan terhadap kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah akan dilakukan secara terbuka dan “no cover up”. Lega hati rakyat mendengar jaminan perdana menteri itu. Akan tetapi bukankah perdana menteri turut memberikan jaminan yang sama apabila Teoh Beng Hock terbunuh dahulu? Sehingga kini kes Teoh Beng Hock masih belum selesai.

Kes-kes seperti ini akan terus berterusan jika masalah pokoknya tidak diselesaikan. Suka atau tidak, integriti PDRM sebagai pasukan yang seharusnya menjaga keselamatan awam perlu dikembalikan.

Salah satu cara yang paling baik untuk menggembalikan kepercayaan rakyat terhadap anggota PDRM ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis atau dalam bahasa inggerisnya di panggil Independent Police Complaint and Misconduct Commission (IPCMC).

Penubuhan IPCMC adalah cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang mana salah seorang anggotanya adalah Tun Hanif Omar yang juga bekas KPN. Suruhanjaya ini telah dilantik sendiri oleh kerajaan Malaysia sewaktu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.

Apa kebaikan IPCMC?

IPCMC adalah badan yang berperanan sebagai sebuah badan bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. Dengan adanya badan seperti IPCMC, anggota-anggota polis tidak boleh lagi bertindak sewenang-wenangnya kerana ada sebuah badan yang mengawasi mereka.

Selain daripada itu, mereka juga akan dikenakan hukuman jika melakukan kesilapan. IPCMC akan membantu PDRM untuk menggembalikan kepercayaan orang awam terhadap institusi tersebut yang semakin hari semakin hilang wibawanya akibat daripada pelbagai kes-kes sumpama kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah ini.

Kerajaan harus serius untuk membantu menggembalikan integriti PDRM dengan menubuhkan IPCMC. PDRM juga tidak harus melihat badan seperti IPCMC sebagai ancaman kepada mereka sebaliknya IPCMC boleh dijadikan sebagai salah satu sebab kepada anggota-anggota PDRM untuk bekerja dengan lebih baik.

Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar, exco-exco, ahli parlimen dan adun itu sendiri dipantau oleh rakyat dan “ujian penilaian” akan diberikan kepada mereka pada musim pilihanraya.

Jadi apa masalahnya dengan IPCMC untuk mengawasi PDRM? -Amin Iskandar

Khalid Yang Mana Cakap Tanpa Bukti?

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya membawa mana-mana saksi dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah yang masih belum disoalsiasat oleh polis ke hadapan sekiranya benar beliau mengetahui masih ada yang belum diambil keterangan.

Ini kerana kata Khalid Abu Bakar, kenyataan ahli parlimen Pas itu sangat tidak bertanggungjawab seandainya beliau membuat dakwaan tanpa disertakan dengan bukti.

"Saya ingin menyatakan di sini sejelas-jelasnya, jika benarlah apa yang dia kata iaitu masih terdapat saksi yang belum diambil keterangannya oleh polis, sila bawa saksi itu ke balai polis dengan segera... jangan sedap cakap tanpa bukti," katanya hari ini.

Kata ketua polis itu lagi, Khalid Samad boleh menelefonnya pada bila-bila masa dan adalah menjadi kerja polis untuk mencatatkan kenyataan saksi bukan kerja Pas.

Tambah beliau lagi, setakat yang diketahuinya, semua saksi yang melihat kejadian itu telah direkodkan kenyataan mereka dan Khalid Samad tidak seharusnya berasa sangsi dengan pihak polis.

"Yang saya tahu orang saya telah pun mengumpulkan semua maklumat dan kenyataan daripada saksi-saksi dan kita tidak ada sebarang sebab untuk menyembunyikan apa juga fakta dan maklumat tetapi jika ahli Yang Berhormat dari Shah Alam kata beliau tahu masih ada saksi yang belum direkodkan kenyataan mereka, sila bawa saksi itu kepada saya, tidak ada apa yang perlu ditakutkan," katanya lagi.

Setakat ini 20 orang saksi telah direkodkan kenyataan mereka berhubung insiden itu.

Aminulrasyid Amzah seorang murid tingkatan tiga meninggal dunia selepas dia terkena tembakan polis yang mengejarnya sejauh 6 kilometer pada lewat tengah malam Isnin lalu selepas dia dilihat memandu dengan laju dan secara berbahaya di Seksyen 11 Shah Alam.

Dan Khalid Samad telah mempertikaikan yang polis tidak mengambil keterangan saksi sepenuhnya dalam mengendalikan siasatan tersebut. -Mstar


Rakan Aminulrasyid pertikai versi polis

Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.

“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.

“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.

“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.

“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.

“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.

“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.

Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.

“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, peguam N. Surendran dan juga ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid. -TMI



Ulasan GB

Siapa yang sebenarnya "sedap cakap tanpa bukti"? Khalid Samadkah atau Khalid Abu Bakar?

Siapa yang sebelum ini menyatakan Aminulrasyid "mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis berkenaan" dan siapa yang menyatakan munkin "Aminulrasyid seorang penjenayah" jika bukan Ketua Polis Selangor sendiri?

Sudahkah KPN Selangor itu mempunyai bukti sahih Aminulrasyid mengundurkan keretanya untuk merempuh anggota polis berkenaan sedangkan keterangan saksi iaitu penumpang yang juga rakan Aminulrasyid yang ditembak mati oleh polis menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis?

KPN Selangor ini, sudah banyak "track record"nya yang cuba menipu rakyat dengan pelbagai kenyataan untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anggota bawahannya. Kes Kugan, kes Teoh Beng Hock dan seumpamanya adalah contoh yang kita dapat saksikan Khalid Abu Bakar ini sangat-sangat mencurigakan dan tidak bertanggungjawab malah perlu disiasat dan dipecat segera dari jawatannya.