10 Jun 2009

MUKTAMAR PAS DITAJA KRONI UMNO? SUNGGUH MEMALUKAN!

Patutlah GB rasa semacam ada sesuatu yang tak kena dengan perjalanan Muktamar Kali ke 55 yang amat diberikan pujian oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang menyokong gagasan Kerajaan Perpaduan sebagai yang terbaik pernah diadakan.

Tatkala membaca nama-nama Jawatankuasa Urusetia muktamar, saya melihat pemuka-pemuka Kerajaan Perpaduan menguasainya sehinggakan para blogger dinafikan keizinan untuk menggunakan kemudahan internet di muktamar kerana kebanyakan blogger-blogger dianggapkan oleh mereka sebagai golongan menentang idea Kerajaan Perpaduan da dicopkan sebagai kumpulan Erdogan.

Tiba-tiba Malaysiakini melaporkan satu sumber memberitahu, 12 pemimpin tertinggi parti itu telah ditaja penginapan mereka oleh individu yang tidak dikenali, diragui mempunyai kaitan dengan Umno.

Manakala satu sumber yang lain memberitahu Malaysiakini, hanya sembilan bilik pemimpin atasan parti ditaja oleh pihak luar.

Sumber-sumber berkata, pembayaran untuk sewaan bilik di sebuah hotel lima bintang di Shah Alam bagi tempoh tiga hari sejak hari pertama muktamar 5 Jun lalu dibuat atas nama seorang bekas peguam dari Perlis.

Selain dakwaan pembabitan orang Umno dalam penginapan hotel, Ahad lalu, seorang perwakilan mempersoalkan tindakan PAS menerima tajaan sebuah syarikat besar untuk menjayakan muktamar tersebut.

Dikatakan Khalid Samad, juga yang dipertua PAS Shah Alam, melontarkan tuduhannya ketika membahaskan usul menggesa penubuhan suruhanjaya diraja siasatan kes rampasan kuasa BN di Perak awal tahun ini.

Beliau, juga ahli parlimen Shah Alam, mempertikaikan syarikat konsesi air Puncak Niaga – yang bertegang urat dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dalam isu air – yang meletakkan iklannya di bahan muktamar.

"Apalah sepanduk Puncak Niaga berbanding mashaf al-Quran di hujung lembing? Apalah iklan Puncak Niaga di hadapan majalah yang diedarkan berbanding degan mashaf al-Quran di hujung lembing?" katanya.

"Kita kenal lawan kita. Mereka sanggup membelanjai (membiayai) segala perbelanjaan kita (bermuktamar) pada hari ini dan hari-hari sebelum ini, membayar hotel-hotel kita kalau perlu."

Beliau menyindir usaha pengendalian muktamar oleh PAS Selangor dengan mengambil iktibar sejarah perang Siffin antara puak Muawiyah Abu Sufian dengan angkatan Ali Abu Talib dalam perebutan kuasa khalifah.

Muawiyah, seorang ahli politik yang licik, mencadangkan majlis tahkim atau perundingan di tengah-tengah perang di luar Madinah dengan mengangkat kitab suci di hujung lembing sebagai lambang gencatan senjata yang akhirnya memecah-belahkan kumpulan tentera Ali.

Pada hari terakhir muktamar PAS Ahad lalu, satu risalah berukuran tabloid yang melaporkan perjalanan sepanjang persidangan tiga hari parti itu diedarkan kepada lebih kurang 1,000 perwakilan dari seluruh negara dan petugas media.

Dalam bahan edaran itu, disiarkan iklan besar Puncak Niaga di bahagian bawah muka depannya.

Sementara di luar tempat persidangan sekitar Stadium Malawati di Shah Alam, tempat muktamar itu berlangsung, syarikat konsesi itu turut menggantungkan kain rentangnya.

Puncak Niaga juga membuka pondok pameran mereka di kawasan gerai-gerai jualan bersempena muktamar itu.

Sumber-sumber bagaimanapun tidak jelas berhubung nilai tajaan yang diterima PAS bagi menganjurkan muktamar itu, termasuk bayaran iklan Puncak Niaga.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan tuan rumah muktamar, PAS Selangor tidak berhasil setakat ini.

Difahamkan pesuruhjaya negeri itu Datuk Dr Hassan Ali sedang menghadiri sebuah program sewaktu dihubungi sebentar tadi.

Ketua Penerangan PAS Selangor yang juga setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir enggan mengulas isu ini sewaktu dihubungi petang ini.

Ulasan Ringkas GB

Hal di atas, jika benar, amat memalukan PAS sebagai sebuah jemaah Islam yang rupa-rupanya dikotori oleh tangan-tangan bedebah pemuka-pemuka Kerajaan Perpaduan yang telah mendapat tajaan dari pihak UMNO.

Belum apa-apa pihak yang mendokong gagasan Kerajaan Perpaduan sudah berani membuat keputusan sendiri "bekerjasama" dengan kroni UMNO.

Apalah ertinya mempunyai muktamar yang terbaik pernah diadakan dengan menjual maruah parti sendiri dan kamu Roslam SMS, kenapa apabila diminta penjelasan tiba-tiba menikus?


Kerajaan Perpaduan PAS UMNO : Mana Tuan Presiden?

Bergegar jemaah dan Pakatan Rakyat ekoran isu Kerajaan Perpaduan yang kini cuba ditutup isu tersebut dengan satu "arahan" yang datang dari atas supaya dihentikan polemik yang merugikan parti ini.

GB telah menganggapnya ia laksana menyapu sampah ke bawah karpet agar jangan bau hapaknya terhidu oleh sesiapa terutama musuh, sedangkan merekalah juga orangnya yang selama ini menyebabkan sampah sarap itu bertimbun dan menjadikan jemaah PAS dan Pakatan Rakyat bergelandangan dengan segala kemelut masalah dan kekeliruan.

Berbelit-belit mereka memutar kenyataan untuk menjustifikasikan saranan dan gagasan itu, ada yang menyatakan ia laksana Musa yang pergi berdakwah kepada Firaun, ada yang berhujjah ia sebagai memenuhi konsep ta'awun, malah ada yang menyatakan "terma bekerjasama atau 'cooperation' telah disalahertikan kerana PAS tidak akan bekerjasama dari segi politik dengan parti seteru seperti Umno.

Itu kaedah escapisme namanya setelah tersepit dengan isu yang pimpinan sendiri sudah bikin kecoh satu jemaah, satu pakatan.

Sayang sunngguh, kisah ummi Maktum yang terlakar indah di dalam Al-Quran tidak dijadikan panduan.

Sdra Rashidi di harakahdaily tiba-tiba meminta supaya gesaan Dato' Mustafa Ali kepada semua pihak termasuk dalam PAS dan Pakatan Rakyat supaya menghentikan segera bercakap soal Kerajaan Perpaduan mesti diambil perhatian segera.

Katanya, saranan Mustafa harus diterimapakai serta merta. Dan, jika pun pemimpin-pemimpin PAS mahu bercakap mengenai kerajaan perpaduan mereka mesti mengelakkannya dari bercakap kepada media massa yang kebanyakannya pro Barisan Nasional dan akan melaporkan sesuatu menurut kepentingan BN.

Setelah idea itu menerima tentangan hebat, tetiba kini mereka pula yang meminta isu dihentikan segera walhal merekalah pelupor yang telah mengketengahkan gagasan yang telah menyebabkan kekeliruan itu.

Mereka kini cuba mengadakan pembedahan di pinggiran sedangkan merekalah sebenarnya sebahagian dari penyakit yang menyerang.

Sehingga hari ini, Presiden sendiri membisu seribu bahasa, sama langkah dan sikapnya sewaktu pertama kali Zulkifli Sulong mewarwarkan gagasan itu di dalam SISAH satu ketika dulu yang selepas itu Abd Hadi menghilang apabila banyak pihak sewkatu itu tertanya-tanya mengenai gagasan tersebut.

Kita mungkin boleh menghentikan dari membicarakan isu tersebut dari akhbar dari blog dari warung atau dari apa juga yang bersifat fizikal, tetapi tiada sesiapa pun boleh menghalang ianya dipersoalkan di hati sanubari ummah serta penyokong Pakatan Rakyat.

Riak ombak terlalu cantik bergerak di luar tetapi tsunami yang berselindung di bawahnya tiada siapa yang boleh menduga yang boleh meletup bila-bila masa.

Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Pemuda PAS cuba membawa kisah Nabi Musa yang berdakwah kepada Firaun sebagai alasan untuk menerima gagasan Kerajaan Perpaduan.

Bagi kita, mana mungkin pula boleh menyamakan dakwah Nabi Musa a.s kepada Firaun dengan seruan Kerajaan Perpaduan.

Di dalam surah TaaHaa ayat 43 menjelaskan : "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya!"

Musa tidak pernah diperintah oleh Allah untuk mengajak Firaun bersama membentuk Kerajaan Perpaduan!

Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man membawa konsep Ta'awun.

Firmanullah: "Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, janganlah kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan".

Perkara pertama yang perlu dilihat ialah "tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa."

Apakah Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan itu hendak dirujukkan sebagai "perkara kebaikan dan taqwa?

Jika demikian halnya, UMNO perlu diperbetulkan terlebih dahulu supaya memenuhi konsep taqwa berkenaan, kemudian barulah boleh bekerjasama dengan mereka untuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Memperbetulkan UMNO bukan pula dengan dengan kaedah pergi merangkak masuk ke dalam kelambunya tanpa diketahui oleh sekalian ahli tetapi kita bertemu di dalam pilihanraya.

Justeru itu penjelasan-penjelasan sesetengah ulamak untuk menjustifikasikan idea Kerajaan Perpaduan tersebut telah menajamkan lagi kekeruhan dan kekeliruan.

Mengapa sukar sangat untuk menerima kenyatan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz yang menyifatkan gagasan itu sebagai mengarut?

Kita ingin menyatakan bahawa isu yang menjadi duri dalam daging ini tidak boleh diselesaikan dengan arahan berhenti bincang mengenainya dengan meletakkan ia sebagai tajuk heading di harakahdaily sekalipun.

Saya ingin mengulangi satu Muktamar Khas perlu segera dipanggil untuk isu Kerajaan Perpaduan tersebut dengan kehadiran semua ahli dan juga pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat, dan Presiden serta Timbalan presiden "merendahkan dirinya" menarik balik dan memohon maaf secara terbuka disamping berjanji untuk tidak tergamak melakukan dan mengulangi kesalahan dan pengkhianatan yang serupa di masa mendatang.


PAS UMNO Kisah Ummi Maktum Untuk Renungan Presiden Timbalannya dan Pendokong UG

Muktamar PAS kali ke 55 yang baru selesai mengajak kita untuk merenungi hal-hal yang boleh dijadikan pengajaran di dalam usaha kita memperkuatkan jemaah disamping menghindarkan kita dari mengulangi apa jua kesilapan.

Editor Siasah, Zulkifli Sulong di dalam catatanya menyatakan, PAS telah terlepas peluang keemasannya apabila muktamar tahunan yang ke 55nya berlalu tanpa menyelesaikan secara tuntas isu hubungannya dengan Umno.

Para penyokong dan ahli parti itu terus keliru dan menerima mesej yang berpecah tentang isu itu walaupun muktamarnya telah berakhir.

Ia telah dipergunakan sepenuhnya oleh media yang dimiliki musuhnya untuk terus mengeliru dan memasukkan jarum-jarum perpecahan di kalangan mereka.


Ia bermula apabila Datuk Husam Musa menyertai pertandingan merebut jawatan timbalan presiden dengan alasan untuk menjelaskan halatuju parti itu kerana timbalan yang ada Nasharudin Mat Isa terlalu liberal dengan Umno bagi beliau.

Sebagaimana diketahui, Husam bersama seorang lagi calon untuk jawatan itu, Mohamad Sabu tewas dan Nasharudin menang.

Signal yang dihantar kepada semua adalah perwakilan mahukan Nasharudin meneruskan hubungan liberalnya dengan Umno.

Nasharudin dalam laporan medianya pula terus berkata, beliau akan menyokong agenda kerajaan perpaduan yang dibawa oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sedangkan, sepanjang muktamar para perwakilan bercakap dengan lantang hatta ketika ucapan penangguhan, kerjasama atau hubungan dengan Umno memberikan signal yang salah kepada penyokong dan ahli parti itu di peringkat bawahan.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS (KPP), Vincent Lee yang bercakap bagi pihak orang bukan Islam yang menyokong parti Islam itu jelas memberikan kenyataan bahawa hubungan yang baik dengan Umno akan menjauhkan orang bukan Islam yang selama ini sudah menyokong PAS.

Ini kerana, orang bukan Islam memberikan sokongan kepada PAS kerana mereka tidak senang dengan lagak Umno selama ini. Jika PAS pula berbaik-baik dengan Umno bermakna PAS mengkhianati sokongan mereka kepada PAS selama ini, demikian tulis Zulkifli lagi.

GB ingin mengutip kisah Kerajaan Perpaduan yang sangat-sangat dikobarkan gagasannya oleh Presiden dan Timbalan Presiden dengan isu tuntuntan Kelab penyokong PAS yang minta diberikan perhatian tetapi tidak mendapat perhatian serius oleh Muktamar.

Ini mengingatkan kita mengenai kisah Ummi Maktum yang terkenal yang kerananya Rasulullah telah ditegur oleh Allah s.w.t. dengan turunnya Surah 'Abasa.

Asbabun Nuzul : Menurut sebuah riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Jarir Ath-Thabari yang diterima dari Ibnu Abbas; "Sedang Rasulullah menghadapi beberapa orang pemimpin Quraisy iaitu Utbah bin Rabiah, Abu Jahal dan Abbas bin Abdul Muthalib dengan maksud menyampaikan seruan Islam agar mereka sudi beriman, di waktu itu masuklah seorang lelaki buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum dengan tangan meraba-raba.

Sejenak sedang Rasulullah terhenti bicara orang buta itu memohon kepada Nabi agar diajarkan kepadanya beberapa ayat Quran. Mungkin oleh kerana terganggu sedang menghadapi pemimpin-pemimpin itu, kelihatanlah wajah beliau masam menerima permintaan Ibnu Ummi Maktum itu, dan baginda terus meneruskan missinya untuk menyampaikan "dakwah" kepada peemimpin-pemimpin Quraisy itu dan mengabaikan Ummi Maktum.

Setelah selesai semuanya, turunlah ayat "Dia bermuka masam dan berpaling".

Turunnya ayat itu telah menyedarkan Rasulullah akan kehilafannya lalu segera beliau menghadap Ummi Maktum dan barulah Rasulullah menerangkan ayat-ayat Al-Quran kepadanya.

Dan sejak itu di mana saja Rasulullah bertemu dengan Ummi Maktum beliau menunjukkan muka yang jernih berseri kepadanya dan kadang-kadang baginda berkata : "Hai orang yang telah menjadi sebab satu kumpulan ayat turun dari langit kepadaku."

Pengajarannya: Apakah kita sanggup membiarkan permintaan Kelab Penyokong PAS yang minta diberikan perhatian dan ingin merapatkan diri mereka dengan saf kita sementara kita sibuk dengan Kerajaan Perpaduan hendak melayan pemimpin-pemimpin UMNO dengan tujuan berdakwah kepadanya sepertimana Rasulullah mengabaikan Ummi Maktum dan cuba mendakwahkan Islam kepada pemimpin-pemimpin Quraisy itu sehingga Allah menegur baginda?

Ummi Maktum seorang yang buta tetapi ikhlas untuk mendapatkan ilmu Islam, begitulah Kelab Penyokong PAS yang "masih buta" mengenai falsafah perjuangan PAS inginkan penjelasan lanjut dari kita tetapi kita mengabaikannya?

Pemimpin-pemimpin UMNO yang berkuasa kita berikan perhatian sehingga gagasan dibentuk bernama Kerajaan Perpaduan dengan harapan mereka menerima Islam sepertimana Abu Jahal, Abbas Muttalib dan Utbah yang diberikan dakwah Islam kepada mereka oleh Rasulullah sehingga baginda ditegur lansung dari langit dengan turunnya surah 'Abasa ini.

Rumusan: Saya telah melihat fenomena yang berlaku di muktamar baru-baru ini dari kacamata kebenaran dan keadilan betapa jauhnya sudah kita melangkah pergi meninggalkan asas-asas perjuangan sehingga meletakkan jemaah berada di dalam kusut dan dilanda kemelut perpecahan ekoran kekhilafan pimpinan tertinggi parti.

Ditegur sudah oleh Mursyidul Am PAS, tetapi ada diantaranya seperti sudah melupakan kedudukan Tuan Guru selaku Mursyidul-Am - Pembimbing Umum kepada kita semua.

Dan oleh kerana kekhilafan Presiden itulah maka Allah s.w.t. mendatangkan Setiausaha Agong DAP telah mengeluarkan kenyataan yang mengingatkan Abdul Hadi supaya sentiasa bercakap benar.

"Sebagai seorang alim, seseorang itu bukan sahaja perlu menjawab kepada DAP, tetapi juga kepada Tuhan," katanya.

Fikir-fikirkanlah supaya nanti jangan lagi kata kami ahli bawahan ini tidak menyampaikan sebelum kamu pemimpin-pemimpin dan pendokong gagasan Kerajaan Perpaduan ditegur Allah dengan lebih hebat.

Kisah yang dibawa bukan dongeng rekaan, bukan putarbelit kisah benar bukan penglipur lara untuk perjuangan. InsyaAllah, kami yakin dengan kebenaran yang kami perjuangkan dan kami istiqamah dengannya.


Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

[1] Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

[2] karena telah datang seorang buta kepadanya.

[3] Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa).

[4] atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?

[5] Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup,

[6] maka kamu melayaninya.

[7] Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman).

[8] Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),

[9] sedang ia takut kepada (Allah),

[10] maka kamu mengabaikannya.

[11] Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan,

PAS UMNO : Adegan Menyapu Sampah Ke Bawah Karpet

Usaha kini sedang giat dilakukan oleh beberapa pimpinan PAS untuk menyapu sampah ke bawah karpet.

Harakahdaily melaporkan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa bersetuju dengan saranan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali agar seluruh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat menghentikan segala kenyataan yang boleh mengelirukan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat khususnya mengenai Kerajaan Perpaduan.

Bezanya yang seorang "mengarahkan" yang seorang "merayu" kerana yang pertama berjawatan Timbalan Presiden yang seorang lagi belum dilantik ke jawatan apa-apa di dalam parti.

Tetapi seruannya sama, dan ianya ditujukan kepada seluruh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat tidak ditujukan kepada ahli dan blogger, justeru itu yang bawah-bawah ini seperti GB dan lain masih lagi boleh membicarakannya.

Blog ini telah banyak mengeluarkan tulisan-tulisan yang tidak bersetuju seputar isu Kerajaan Perpaduan yang diwarwarkan, bertujuan untuk mengeluarkan "duri dalam daging" dengan sehabis-habisnya agar duri itu tidak menyebabkan luka di hati ahli jemaah dan penyokong Pakatan Rakyat terus berdarah kemudian bernanah dan akhirnya merebak ke seluruh tubuh sehingga menatijahkan kerosakan dan kehancuran.

Bagi GB, duri dalam daging itu perlu dikeluarkan, gagasan itu (Kerajaan Perpaduan) perlu dihentikan malah dihapuskan kerana ia sumber kepada penyakit kronik yang hebat yang melumpuhkan seluruh tubuh sehingga boleh mengakibatkan terus penamat segala-galanya.

Ada yang lebih selesa, sapukan sahaja sampah itu ke bawah karpet kerana kononnya kita hendak ke Manek Urai, jangan bau hapaknya terhidu oleh sesiapa terutama musuh, sedangkan merekalah juga orangnya yang selama ini menyebabkan sampah sarap itu bertimbun dan menjadikan jemaah PAS dan Pakatan Rakyat bergelandangan dengan segala kemelut masalah dan kekeliruan.

Kali ini ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat hendak ditipunya lagi, supaya selepas kemenangan dicipta nanti, mereka akan kembali dapat memproklamirkan gagasan jahat ituuntuk kononnya menunjukkan meeka ulamak yang mudah lentur, berilmu serta "berpandangan jauh" yang kini sudah boleh menerima tepuk dan sorak-sorai oleh kumpulan manusia yang mereka sendiri hentam habis-habisan selama ini.

Bagi kita bukan semudah itu untuk menghilangkan kesan luka yang berdarah dan bernanah tersebut.

Satu Muktamar Khas perlu segera dipanggil untuk isu Kerajaan Perpaduan tersebut dengan kehadiran semua ahli dan juga pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat, dan Presiden serta Timbalan presiden "merendahkan dirinya" menarik balik dan memohon maaf secara terbuka disamping berjanji untuk tidak tergamak melakukan dan mengulangi kesalahan dan pengkhianatan yang serupa di masa mendatang.

Mahukah Hadi, Nasharuddin, Harun Din, Mustapha Ali, Daud Iraqi dan semua pendokong tegar Kerajaan Perpaduan satu hari nanti dikhianati dan ditikam dari belakang sepertimana mereka telah lakukan terhadap ahli ahli dan rakan-rakan di dalam Pakatan rakyat lewat isu Kerajaan Perpaduan ini?

Damage has been done!


DEMI UMNO PAS SEDIA BERKORBAN DAN DIKORBANKAN

Teman diminta oleh seorang kenalan untuk mengulas tentang pembentukan kerajaan perpaduan di Malaysia. Dan teman mengaku bahawa teman pernah dan selalu menulis di blog ini tentang sokongan teman terhadap idea ini. Pendirian teman masih sama, teman hanya menyokong kerajaan perpaduan yang diilhamkan oleh DSAI pada 16 September 2008. Bukannya kerajaan perpaduan ala PAS.

Ada dua bentuk kerajaan perpaduan yang teman paham. Pertama kerajaan perpaduan yang disokong oleh 82 AP PR dan lebih 30 lagi AP BN termasuklah AP UMNO. Kerajaan perpaduan ini diketuai oleh DSAI yang telah meletakkan sasarannya boleh dilaksanakan pada 16 September 2008.

Tetapi PAS menolak idea ini kerana jumlah AP Melayu kurang berbanding AP bukan Melayu. Hasrat kerajaan perpaduan ilham DSAI dan mungkin juga Kuli telah gagal dilaksanakan angkara hilangnya sokongan pimpinan utama ulamak PAS. Sebab itulah DSAI kelihatan tidak bersungguh-sungguh ketika membantah penolakan usul undi tidak percaya kepada Pak Lah di parlimen.

Kedua, kerajaan perpaduan yang diketuai oleh pimpinan utama UMNO dengan kerjasama PAS. UMNO telah berjaya mempengaruhi PAS kerana ahli-ahli parti ini adalah Melayu dan Islam. Lagipun PAS tidak mungkin mampu mengIslamkan perjuangan DAP dan PKR. Pada waktu yang sama parti-parti komponen BN telah mula berani mempersoalkan kewibawaan UMNO. Hanya dengan kerjasama PAS sahaja, Melayu dan Islam boleh kembali menjadi ‘tuan’ di negara ini.

Bukankah sebaik sahaja selesainya PRU 12 pada 8 Mac 2008, UMNO telah mula merisik dan meminang PAS? Yang merisik tidak mungkin mengenakan syarat. Yang merisik mesti bersedia menerima apa sahaja syarat yang diminta. Hatta jawatan MBpun boleh diserahkan kepada PAS. Begitu juga dengan beberapa kementerian akan dipimpin oleh PAS. Tawaran yang paling menarik ialah segala urusan agama dan dakwah Islam diserahkan bulat-bulat kepada PAS.

Memang inilah perjuangan PAS iaitu mendaulatkan Islam melalui al-quran, hadis dan qisas. Dan peluang untuk membuktikannya telah terhidang. Jikalau kekal bersama DAP dan PKR, amat sukar untuk PAS melaksanakannya. PAS tidak yakin yang DAP akan menyokong kehendaknya. PAS masih meragui dan berprasangka buruk terhadap rakan pakatannya.

Teman sendiri sebagai orang Melayu dan beragama Islam langsung tidak percaya dengan niat ‘murni’ UMNO. PAS mungkin mahu berdamai dengan UMNO, tetapi UMNO tetap UMNO. Membantu UMNO seumpama melepaskan anjing yang tersepit. Meraung minta ditolong. Takkan Melayu dan Islam PAS tak tolong UMNO. Bukankah Islam itu bersaudara? Sakitnya UMNO, sakit juga PAS. Lupakanlah kisah silam. Yang telah berlalu biarkan berlalu. Melayu dan Islam mesti diperkasakan di bumi ini. UMNO dan PAS mesti memulakan politik baru. Cantik dan indahnya susunan ayat-ayat bicara janji manis UMNO pada PAS.

Sebagai rakyat marhaen, teman mengharapkan UMNO dapat dimatikan secepat yang mungkin. Peluang untuk mematikan UMNO begitu cerah pada PRU 13 nanti. UMNOpun sedar yang ia akan mati jikalau PAS memberi komitmen terbaiknya kepada PR. Tetapi sayang PAS masih ada sisa simpati pada lawannya UMNO. PAS tidak sanggup membunuh lawan yang selalu berhelah dan memukulnya. PAS sentiasa berkorban demi UMNO walaupun PAS juga sedar bahawa PAS pernah terkorban oleh UMNO.

Biarlah PAS hilang sokongan pengundi asalkan UMNO boleh terus memerintah Malaysia. Terima kasih PAS. -dango mamamat


Kerajaan Perpaduan Dgn UMNO : Nik Aziz Ulangi Pendiriannya

Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengulangi pendiriannya untuk terus menolak cadangan mengadakan sebarang rundingan atau menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Menurutnya, isu kerajaan perpaduan yang ditimbulkan sebelum ini bukan dasar Pas sebaliknya dikemukakan oleh ahli dan ia diperhalusi di peringkat jawatankuasa parti itu.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, parti menyerahkan keputusan untuk melaksanakan kerajaan perpaduan bersama UMNO kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang Khamis ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, isu kerajaan perpaduan perlu dibincangkan serta diperhalusi jawatankuasa tersebut agar cadangan itu diterima oleh semua ahli peringkat akar umbi.

“Saya tidak mahu komen lagi isu ini, biar jawatankuasa terbabit putuskan. Satu sidang media akan dibuat nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Mengenai reaksi PKR dan DAP berhubung cadangan kerajaan perpaduan itu, Nik Aziz berkata, Pas akan mendapatkan pandangan kedua-dua parti itu mengenai kerajaan perpaduan dan semua urusan itu adalah di peringkat pentadbiran tertinggi parti.

PAS UMNO : Presiden & Timb Presiden Melaksanakan Dasar, Bukan Mengubah Atau Memandai-mandai Dasar


Orang Pas kata kepada Umno, busuk ikan bermula di kepala, bukan ekur. Ertinya kebobrokan Umno, kotor dan kelamkabutnya Umno adalah kerana pemimpin.

Pengikut Pas bertepuk tangan. Semua kata betul. Tetapi bagaimana pula kalau Umno kata, bisul-bisul Pas berada di kepala yang memakai ketayap atau serban?

Memang pun bisul tidak seperti ikan busuk yang bermula di kepala. Bisul boleh muncul dan bernanah di mana-mana, hatta di kepala yang memakai serban.

Saya di antara pengikut dan ahli Pas sejak berusia 14 tahun, yang berkempen waktu itu sampai kena baling telur ayam kemuruk. Pemimpin yang saya ikuti dulu semua berserban, berketayap putih. Semua bermatlamat satu; berjihad menegak agama Allah dengan motto; Negara yang baik yang mendapat keampunan Allah.

Kini setelah 56 tahun hidupnya Pas, serangan demi serangan terhadap Umno diteruskan. Dikatakan Umno berkepentingan duniawi, rasuah, tidak adil, kepentingan pribadi, mengaut kekayaan, bertokak sama sendiri, melarikan wang, melarikan perempuan, banglo besar, kereta besar, munafik malah sampai kepada taghut, maha firaun dan lain-lain.

Apabila kemasukan cerdik pandai, peguam, profesor dan lain-lain ahli profesional ke dalam Pas, maka sedikit sebanyak nampak semacam sedikit tergugat golongan ulama. Lalu mereka pun bangkit dengan memberi alasan betapa ulama sebenarnya penting dalam perjuangan Pas. “Jangan tinggalkan kami”, kata mereka.

Memang satu ketika dulu golongan profesional tidak ada tempat dalam Pas. Tetapi kini ulama pula nampak macam tergugat. Seperti dibimbangi akan ujud satu fenomena baru di mana Pas akan dikuasai oleh golongan profesional.

Secara peribadi, saya melihat golongan ulama di dalam Pas ialah golongan yang hanya bijak dalam soal-soal kupasan perkara ukhrawi, haram halal dan sunah makruh. Mereka tidak profesional. Beremosi. Pembakar semangat tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah. Ia tidak bersifat profesional keagamaan. Jadual atau atur cara antara golongan profesional dengan golongan ulama, golongan ulamalah yang paling tercorot. Jadual majlis jam 9, majlis bermula jam 10. Perkataan Insyaallah hanya sandaran menutup kelemahan.

Maka apabila dilihat golongan profesional ini semakin ramai, kemungkinan satu ketika lubang-lubang jawatan di dalam parti akan dimasuki oleh golongan profesional, lalu timbul tanda tanya, ke mana hendak pergi golongan ulama?

Di Pinggir Neraka?

Sebenarnya, sebelum ini pertanyaan patut dikemukakan: Mengapa harus ada golongan ulama dan profesional? Dalam satu jamaah Islamiah, bagi saya tidak penting adanya ulama dan profesional. Jamaah Islamiah yang mengambil politik sebagai landasannya dan sebagai dasar perjuangan ke arah jihad, apa pentingnya membahagi kepada dua kategori? Apakah ulama itu lebih baik dari profesional? Apakah gologan profesional, ilmu mereka tidak berguna? Apakah profesional tidak ada aqidah?

Istilah ‘walak, setia kepada pemimpin, wali,ulama’ menjadi satu kegerunan, seolah-olah siapa yang tidak membuktikan arah ini, ia sedang berada di pinggir neraka.

Kemunculan golongan profesional menjadikan sebahagian besar ulama merasa fobia. Sehingga ada kawasan dan negeri sangat mencurigai hendak melantik golongan profesional menjadi pemimpin. Kemudian apabila tiba muktamar tahunan, hal ini pun ditimbulkan. Akibatnya bergemalah puak profesional dan ulama. Ada yang meragui dan berkata, profesional saja tidak memadai dalam perjuangan Pas dan ulama juga tidak memiliki kecekapan dalam petadbirannya.

Wadah Pas ialah perjuangan dan dakwah, satu wadah yang meletak dasar tertinggi Al-Qur`an dan Hadis, Ijmak dan sebagainya. Mereka yang memasuki Pas ialah mereka yang yakin dengan dasar ini. Maka apabila seorang jurutera yang belajar bertahun-tahun, apakah ia seorang komunis atau athis ketika ia memohon menjadi ahli Pas dan perlukah kita bertanya, pengajian agama kamu setinggi mana? Tidak pernah terjadi, sebaliklnya kita berbangga.

Begitu juga kita berbangga sekarang ini bilamana ramai mereka yang bukan Islam, terutama golongan Cina yang sudah mulai mendekati Pas. Malangnya Pas yang dianggap kepimpinan ulama tidak pernah mengambil kata putus bagaimana kaedah untuk menerima mereka. Yang dilakukan ialah satu rancangan yang tidak disukai ramai, iaitu ‘Pemerintahan perpaduan.’

Kita hairan tentang gagasan yang tidak diterima ramai ini. Ada jalan atau uslub membolehkan Pas menjadi kuat dengan sokongan bukan Islam, tiba-tiba mahu melakukan sesuatu yang dibenci oleh ramai orang. Pas tidak pernah belajar sejarah. Kaedah apa yang dipakai, jika dulu, kini dan selamanya Umno dianggap musuh, tiba-tiba presidennya pula menganggap, di sanalah jalan perpaduan.

Apa Kayu Ukur Ulama?

Maka bergema dan berkumandanglah di media bagaimana pentingnya perpaduan tetapi malang Pas melalui pucuk pemimpinnya tidak sedar, setiap rancangan yang disiar, Pas menjadi batu loncatan, Pas diperbodoh dan Pas dimomok-momok.

Atas nama ulama, kita diajar sangka baik. Maka apapun tohmahan dan senda, kita menerimanya.

Apa kayu ukur ulama? Ini pun satu hal. Di dalam Pas, ukuran ulama berlainan dari ukuran biasa. Masakan sekadar lulus Azhar atau belajar di Jordan kita sudah boleh namakan ulama? Sekarang ini begitulah ukuran ulama di dalam Pas, selain dari syarat tersembunyi mesti berserban atau berjubah dan mesti ada sedikit janggot. Diperbesarkan soal janggut lalu ditekan sebagai Sunnah Nabi.

Maka sebab itu Pemuda dengan senang hati menerima Nasruddin Hasan Tantawi, kerana ia 100% berwatak ulama. Tetapi apakah ukuran ini, termasuk keluar dari universiti agama atau lulus syariah maka ia harus kita lebalkan sebagai ulama? Apapun yang terkesan sekarang, kita tersangat cepat melebalkan ulama terhadap seseorang yang pulang dari Mesir atau Timur Tengah dari seorang PhD agama di UKM atau di UIA.

Inilah satu tanggapan yang silap. Sehingga kini orang Pas tidak mengakui Tan Sri Hamid Othman, Nakhaie, Noh Gadot dan terakhir Hj Hairussani yang baru menerima anugerah Tan Sri sebagai ulama. Malah mufti-mufti sendiri bagi Pas, hanya Dato’ Ishak Baharum sahaja yang diakui ulama.

Inilah kesilapan kita.

Ulama Bukan Penghurai Masalah?

Maka atas kepercayaan ulama mempunyai bidang tersendiri, apabila ulama melakukan sesuatu, atau melontarkan idea sesuatu yang bersifat sekular, bersifat keduniaan maka orang tidak berapa ambil peduli hendak mempertikaikan, menolak atau menyanggah. Sebaliknya jika golongan profesional yang ingin melakukan sesuatu yang bersifat agama ia dipertikaikan.

Ulama mestilah berhati-hati dan tidak boleh memandai-mandai dalam semua hal atas status ulamanya. Di awal tadi telah dikatakan, kebanyakan ulama ialah mereka yang hanya mampu dan bijak mentafsir dasar, bukan menjalankan dasar. Mereka mampu menghurai syarah dan tafsir Qur`an juzuk demi juzuk, tetapi mereka belum tentu mampu melaksanakan mengikut tafsir itu. Mereka mampu melihat isu dan masalah tetapi mereka bukan penghurai masalah.

Maka kerana itu, ulama yang sudah berada di peringkat atas, ia mestilah bijak mengawasi dasar dan ia perlu memelihara dasar, bukan mengubah dasar atau memandai-mandai menyimpang dari dasar.

Ingatlah, pemimpin ialah orang yang memelihara dasar, melaksanakan dasar tetapi bukan mengubah dasar, memandai-mandaikan dasar.

Kerajaan perpaduan

Presiden Pas, dalam ingatan saya sudah membuat percubaan pertama bagaimana hendak merealisasi ‘kerajaan perpaduan’ tetapi ia disanggah oleh ramai ahli dan pemimpin. Maka selepas muktamar beliau mengulangi lagi dan mencari celah dan ruang untuk menerangkannya.

Tetapi Presiden ini lupa dan tidak nampak bagaimana pengikut-pengikutnya melompat dan gelisah, bagaimana mereka menangis dan meraung sedih, menyumpah dan maki hamun kerana:
1. Itu bukanlah dasar Pas yang ditubuhkan sekian lama.
2. Apapun istilah, seakan nampak satu hambatan pelangi beberapa pemimpin Pas untuk duduk sama taraf dengan pemimpin Umno/BN.
3. Seakan nampak semakin hilang teras perjuangan Pas. Dinyatakan oleh mereka, perjuangan Pas bukan untuk menang bersama Umno/BN tetapi ialah perjuangan menegakkan dasar Pas itu sendiri dan mereka percaya dasar Pas akan diterima juga pada satu hari nanti.


“Apa untungnya mewujudkan ‘Pemerintahan Perpaduan?’ jika dengan Pakatan Rakyat sendiri?” Begitu yang lain bertanya pula. - Azizi Abdullah