5 Mac 2015

[VIDEO] Kisah Masyarakat: Motosikal Peragut Dilarikan Mangsanya...


Bayangkan betapa bodohnya apabila seorang peragut yang meragut beg tangan seorang wanita tetapi kemudian dia menjadi mangsa curi apabila mangsa mencuri pula motosikalnya.

Itulah yang berlaku dalam satu klip video yang tersebar di laman Facebook hari ini menunjukkan betapa bodohnya peragut itu.

Seorang wanita sebelum itu berjalan kaki di dalam sebuah lorong di belakang sebuah bangunan tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal yang kemudian meragut beg tangannya.

Wanita itu yang tidak panik terus bertindak menaiki motosikal si peragut dan beredar pergi.

Kelihatan dalam rakaman berkenaan mungkin dari rakaman kamera litar tertutup, peragut berkenaan mengejar wanita itu yang terus berlalu pergi.

Pasti wanita itu kemudian terus menunggang motosikal berkenaan ke balai polis untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, daripada klip video berkenaan penulis berasa video itu adalah satu babak yang direka semula untuk memperlihatkan kebodohan peragut yang sekaligus melucukan.

Video berkenaan dimuatnaik ke laman Facebook Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia (MCAC) beberapa hari lalu.

Terpulang pada anda sendiri untuk menilainya… – PRU14.TV


Selepas Kereta Dr.Hatta Cuba Dibakar, Kini Dr Dzul Dipukul -updated


Selepas insiden kereta AJK PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Raamli cuba dibakar oleh pihak tertentu, pagi ini, seorang lagi AJK PAS Pusat, Dr.Dzulkefli Ahmad pula menerima nasibnya apabila beliau telah dipukul dengan kayu oleh dua orang yang memakai helmet selepas solat Subuh.

Sahabat baiknya Datuk Kamarudin Jaffar yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, Dzulkefly ketika ini sedang membuat laporan polis dan akan mendapatkan rawatan selepas ini.

Kesan kejadian itu, ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu mengalami pecah di bibir dan bengkak di kepalanya.

Di dalam kejadian tersebut, Dr.Dzul dikatakan telah didatangi oleh lelaki berkenaan dan berkata "mengapa kurang ajar sangat?" lalu memukulnya di bahagian muka.

Dr Dzul kini berada di balai polis untuk membuat laporan. Beliau bagaimana pun meminta ahli-ahli PAS tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

Serangan berkenaan dipercayai berlaku ekoran kenyataan di dalam sebuah portal di mana Dr Dzul menjelaskan beliau bukan tidak menghormati ulama, tetapi sudah hilang hormat kepada pihak yang menggelar diri ulama tetapi memaki hamun sesama sendiri, apatah lagi sesama jemaah Islam.

"Yang saya tidak hormati ustaz-ustaz yang mengaku ulama tetapi memaki hamun dan kerjanya melabel sesama ahli jemaah dan parti sendiri," katanya.

GB sebelum ini telah berulang-kali meminta supaya budaya samseng yang ada di dalam PAS segera ditangani tetapi nampaknya lansung tidak dihiraukan oleh PAS Pusat.

Bermula dengan kes seornag blogger, Aduka taruna dipukul oleh sekumpulan penyokong taksub Hj Hadi di Rusila, Marang, diikuti dengan "50 gagak hitam" yang keluar dewan semasa muktamar, kumpulan pro-ulama mengeboo ucapan Hanipa Maidin, beberapa pemuda PAS yang bertindak dan berlagak samseng menguugut untuk memukul Pengarah LENSA Sdr Safwan Anang, kumpulan ahli PAS Pahang yang turut disertai olej Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik berdemo untuk menuduh Mat Sabu dan Dr.Hatta Ramli cuba menggulingkan Presiden PAS di Pejabat Agong PAS, percubaan membakar kereta Dr Hatta dan kini Dr Dzulkefly dipukul dan dicederakan.... adalah rentetan peristiwa hitam yang amat menyedihkan dan mencalarkan imej PAS.

Di dalam peristiwa kereta Dr.Hatta yang cuba dibakar ada pula mereka dari kumpulan pro-ulamak yang menuduh perbuatan itu cuba dilakukan oleh Dr Hatta sendiri untuk meraih simpati.

Cuma di dalam dua kes yang terakhir iaitu insiden percubaan membakar kereta Dr Hatta dan memukul Dr Dzul, kita tidak dapat mengenal pasti dengan sebenarnya siapa pelakunya. Mungkin saja agen-agen provokasi untuk memburukkan hubungan kedua-dua kumpulan di dalam PAS yang dilihat tidak sehaluan.

Walau apa pun kita berharap PAS Pusat tidak terus berdiam diri terhadap gejala samseng yang semakin menjadi-jadi ini.

Sifat-sifat buruk dengan akhlak yang keji dan jijik yang diaparkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka pro-ulamak terus dibiarkan. Malah di alam siber ini, "papagomo versi PAS-UG" seperti Tok Usin Ceroi dan El-haraki juga dibiarkan tanpa diambil apa-apa tindakan semata-mata kerana dikatakan mereka itu melakukan hal yang demikian kerana "menyokong ulama".

setiausaha Agong PAS, Mustafa Ali yang sebelum ini menonjolkan diri untuk membawa beberapa kes ke Lembaga Disiplin nampaknya masih terus dengan sikap "biased"nya dan kini lebih sibuk untuk berpolitiking bagi mempastikan Presiden PAS, Haji Abd Hadi Awang tidak ditandiingi di dalam pemilihan muktamar akan datang ini.

Kita berharap para perwakilan muktamar akan membuka mata untuk menilai mana intan mana kaca di dalam perjuangan.

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Sesiapa juga yang bersalah PASTI akan terhukum, jika tidak di sini, akan dihukum di "sana".

Dr.Dzul sedang menerima rawatan di hospital

Dr Dzul sambut tumbukan dengan takbir

Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad "menyambut" tumbukan oleh individu yang tidak dikenali dengan laungan takbir.

Menceritakan kembali kejadian Dzulkefly dipukul, isterinya Azlin Hezri berkata, pada jam 6.30 pagi, pemimpin PAS itu dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal.

Ketika meletakkan kereta di kawasan rumah, Azlin berkata, salah seorang lelaki tersebut membuka pintu kereta Dzulkefly dan menumbuk di bahagian kanan muka Dzulkefly.

Selepas ditumbuk, Dzulkefly kemudian melawan kembali sambil bertakbir sekuat hati beberapa kali, kata Azlin.

"Sebenarnya semasa dia balik daripada masjid dan meletakkan kereta di perkarangan rumah, belum sempat pintu pagar ditutup, ada dua orang lelaki.

"Seorang daripadanya memakai topi keledar terus menuju ke kereta Dr (Dzulkefly) dan buka pintu kereta dan terus tumbuk muka Dr sebelah kanan.

"Kemudian Dr turun (kereta) dan lawan balik, dia takbir kuat-kuat banyak kali sehingga orang tersebut tergamam dan lepas itu dia (individu tersebut) pukul Dr dengan besi.

"Alhamdulillah, tiada jahitan yang dikenakan terhadap Dr," kata Azlin ketika dihubungi Malaysiakini.

Bibir bengkak, dahi luka

Ditanya mengenai kenyataan “kenapa kurang ajar sangat” yang ditujukan kepada pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu, Azlin berkata, Dzulkefly tidak sempat untuk berkata apa-apa.

Menurut Azlin lagi, Dzulkefly yang hanya mengalami luka di dahi dan bengkak di bibir dan kini baru selesai memberi kenyataan kepada pihak polis yang datang ke rumah berhubung kejadian itu.

"Dia OK. Cuma bibir bengkak, luka di dahi. Dr memang jenis yang tidak akan berdiam diri. Dia memang akan melawan balik.

"Ini baru selesai Dr buat laporan polis. Polis datang ke rumah. Dr sekarang berehat di rumah dan selepas ini tidak pasti sama ada dia akan ke Putrajaya jaya untuk urusannya atau tidak," tambahnya lagi.

Pagi tadi, Dzulkefly diserang oleh individu tidak dikenali di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam selepas selesai solat subuh.

Berikutan kejadian serangan itu, PAS Selangor akan mengarahkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin PAS negeri itu dipertingkatkan agar cubaan pihak yang ingin mencetuskan provokasi dapat dihalang.
-mk


Gagasan "Kepimpinan Melalui Ulamak" PAS Perlu Penilaian Semula


Relevankah Kepimpinan Ulama Oleh Shuhaib R-Rumi, iium.academia.edu

Bismillahirrahmanirrahiim.

Persoalan yang dilontarkan adalah relevankah kepimpinan ulama’? Pertamanya, perlu didefinisikan dahulu apakah ma’na ulama’ yang dipakai. Dalam mazhab Sunni, definisi ulama’ adalah tidak tetap bukan seperti mazhab Syi’ah yang menetapkan ulama adalah faqeh.

Definisi yang saya pegang adalah ulama’ merupakan orang yang berilmu dan khasyah (takut) pada Allah. ‘Ilmu tersebut bermaksud apa sahaja pengetahuan yang memberi ma’na dan pengiktirafan yang tepat akan hakikat makhluk dan khaliq. Tak kiralah ‘ilmu itu sains, pengurusan atau agama; asalkan ianya membawa kepada pengiktirafan dan parletakan Tuhan pada tempatnya yang sebenar maka ianya diiktiraf sebagai ‘ilmu.

Definisi yang digunapakai oleh massa dan mungkin difahami oleh orang kebanyakan adalah ulama’ merupakan golongan yang berilmu dan lebih dikaitkan dengan ilmu-ilmu turath dan pengajian Islam secara formal. Jadi pada diskusi kali ini kita akan menggunapakai definisi ini.

Kembali kepada persoalan kepimpinan ulama’, disini saya membahagikan soal kepimpinan itu kepada dua lapangan: Kepimpinan masyarakat madani atau lebih mudah disebut Ummah dankepimpinan politik dan kekuasaan.

Kepimpinan Ummah

Saya mulakan dengan menyatakan bahawa saya amat bersetuju bahawa ulama’ perlu dijadikan kepimpinan dalam lapangan ummah. Ulama’ secara tidak langsung merupakan warga pendidik yang mencetuskan islah massa. Di sinilah peranan ulama’ dalam melahirkan generasi rabbani dan memandu masharakat dengan budaya ‘ilmu. Lihat sahaja contoh-contoh silam bagaimana Muhammad Al-Fateh dididik oleh tokoh ulama’ di zamannya, Syeikh Aaq Syamsuddin.

Contoh lain yang menarik untuk dikaji pada zaman sekarang adalah institusi Al-Azhar, Mesiryang mengumpulkan ribuan ulama’ dalam sebuah institusi pengajian. Di sana ulama’ memacu masyakarat melalui ‘ilmu, malahan mereka mempunyai autoriti yang kuat walaupun tanpa kuasa politik.

Juga boleh dikaji model kepimpinan masyarakat seperti pertubuhan Gulen di Turki, Muhammadiyah dan Nadhlatul ‘Ulama di Indonesia yang mengumpulkan pelbagai jenis pakar didalamnya termasuklah ulama’. Organisasi masyarakat madani yang seperti yang disebutkan merupakan entiti bebas yang punyai autoriti dan keunikannya yang tersendiri dalam memperkasakan ummah mengikut tempat masing-masing. Dalam konteks Malaysia, gagasan Manhaj Maliziy yang diutarakan oleh ABIM sangat menarik untuk diteliti.

Kepimpinan Politik

Izinkan saya memulakan perbahasan ini dengan menyatakan ciri-ciri kepimpinan Islam. Dalam soal pemilihan kepimpinan Syeikh Yusuf Al-Qaradawy menggunakan panduan surah Al- Qasas ayat 26 yang menekankan soal pemilihan pekerja melalui dua ciri iaitu qawiyy dan amin.

Qawiyy bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai kompetensi. Amin pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai integriti.

Juga termasuk dalam ciri seorang pemimpin adalah hafizul ‘aleem melalui surah Yusuf ayat 55. Hafeez itu adalah soal integriti manakala ‘Aleem pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda. Disini menunjukkan pentingnya soal ilmu, integriti dan kompetensi dalam kepimpinan Islam.

Melalui argumen-argumen tadi, boleh saya simpulkan bahawa ulama’ (seperti yang difahami aliran mainstream) bukanlah syarat utama dalam kepimpinan politik. Islam menolak konsep rijaluddin (kepimpinan agamawan) seperti yang berlaku pada zaman gelap Eropah. Dalam Islam, kepimpinan haruslah dipilih dan direstui oleh rakyat. Maka lebih murni jika terma Kepimpinan ulama’ ini diganti dengan kepimpinan Islam atau Kepimpinan berilmu atau apa-apanama yang lebih universal sifatnya.

Jika kita meneliti sejarah, kita akan menemui beberapa contoh bagaimana sikap ulama’ terhadap kepimpinan politik. Majoriti ulama’ bersikap menjauhkan diri dari soal kekuasaan, kita boleh lihat contoh Imam Abu Hanifah dan lain-lain. Juga tidak dapat dinafikan bahawa ulama’ silam adalah penggerak hisbah, ya’ni menjadi wakil “check and balance” terhadap pemerintah zaman mereka. Bagi memperolehi hal yang sedemikian, ulama’ perlulah mempunyai autonomi dan autoriti yang tersendiri yang terhasil melalui kewibawaan ‘ilmunya bukan hasil paksaan.

Model Kepimpinan Ulama’ Pas

Apabila bercakap tentang Kepimpinan Ulama’ dalam realiti Malaysia, kita tidak dapat lari dari memperkataan soal model Kepimpinan Ulama’ PAS. Justeru disini saya akan cuba menyingkap beberapa salah tanggapan tentang Kepimpinan Ulama’ PAS yang sering disalah ertikan oleh massa dan juga oleh sesetengah ahli PAS sendiri.

Pertamanya, kepimpinan Ulama’ PAS adalah merupakan slogan yeng menunjukkan bahawa PAS dipandu arah tujunya oleh Majlis Syura Ulama’. Kepimpinan ulama’ yang disebutkan disini adalah merujuk kepada ulama’ dari sudut institusi, bukannya dari sudut individu.

Sesetengah pihak beranggapan bahawa kepimpinan ulama’ adalah apabila kepimpinan esekutif (Presiden etc) mestilah diisi oleh individu yang bergelar ulama’. Ini adalah salah tanggapan yang paling mengelirukan sekali.

Tiada masalah jika mahu meletakkan ulama’ pada kerusi kepimpinan esekutif, akan tetapi ulama’ tersebut perlulah cukup syaratnya (qawiyy, amin, hafeez, ‘aleem). Tren perletakan ulama’ pada kerusi esekutif setelah lebih dua dekad dalam PAS menujukkan bahawa PAS masih gagal dalam mentarbiyah dan membentuk ahlinya memenuhi syarat kefahaman Islam yang jelas. Lihat sahaja gerakan Islam lain di seluruh dunia, kebanyakan ketua bukanlah terdiri dari golongan ulama’ (yang mengikut definisi ulama’ PAS adalah mereka yang menerima pendidikan agama secara formal). Sepatutnya setiap orang dalam PAS adalah ulama’ kerana mereka ditarbiyah dengan jalur pemikiran dan manhaj yang sama, yang sepatutnya tahap kefahaman Islam mereka sama-sama jelas.

Jika dilihat dari sudut Majlis Syura Ulama’ PAS, saya kira ianya relevan dan kena pada amalan tradisi ulama’ silam dan fungsi ulama’ yang sepatutnya dimainkan iaitu sebagai majlis hisbah dan penasihat/penjaga hal ehwal dasar parti. Di sini ada relevannya Kepimpinan Ulama’, namun kretiria pemilihan ahli-ahli majlis syura tersebut perlu diperhalusi dan lebih inklusif sifatnya.

Buka kepada diskusi

Poin-poin yang boleh disentuh:
*Surah Faathir ttg Sunnatullah vs Syariatullah
*Tapak Islam: ‘Ilmu & Akhlak
*’Ilmu yang holistic vs compartmentalization of knowledge
*Hadith fantaziru sa’ah & Innallah la yaqbidul ‘ilm…ru’usan juhalan.

ULASAN GB

GB pernah menulis sebelum ini mengenai asal-usul kempimpinan ulama yang dijadikan slogan PAS. petikan:

Sebenarnya gagasan KEPIMPINAN MELALUI ULAMA adalah satu doktrin SYIAH yang kini tiba-tiba menjadi semacam satu dasar untuk memilih pemimpin di dalam PAS sekalipun tidak ada hitam putih di dalam Perlembagaan PAS yang menyatakan bahawa pemimpin termasuk jawatan Presiden perlu dipilih dari kalangan ulamak.

Sekalipun ulamak-ulamak PAS rata-ratanya penentang Syiah tetapi mereka semacam menerima konsep "IMAMAH" di dalam Syiah yang meletakkan ulamak sebagai golongan maksum (terjaga) dari berbuat salah dan dosa, baik yang kecil maupun yang besar, baik sengaja maupun tidak sengaja. Mereka juga dikatakan terjaga dari kelengahan, kekeliruan dan lupa.

Malah di dalam Syiah, para ulamak dan imam mereka lebih utama dari ulul azmi dari kalangan nabi. Malah di satu aspek yang lebih ekstrem, mereka yang ingkar dengan ulama sama dengan mengingkari kenabian, artinya telah kafir dan sesat serta masuk dalam neraka selama-lamanya. Dengan alasan seperti ini mereka mengkafirkan seluruh sahabat kecuali tiga orang yaitu Miqdad, Salman dan Abu Dzar, bahkan mereka mengkafirkan seluruh kaum muslimin bukan-syiah, malah menghalalkan darah mereka.

Bagusnya kewujudan kontroversi gagasan "kepimpinan melalui ulamak" yang didokong oleh PAS kini ialah kita dapat menyemak semula gagasan tersebut berhubungkait dengan aqidah ahli sunnah wal-jamaah yang kita ahli-ahli PAS pegang selama ini. Penilaian terhadap gagasan tersebut adalah perlu agar kita tidak terjebak dengan aqidah Syiah yang sesat dan menyesatkan itu.

Sebenarnya di dalam Islam, tidak ada konsep Kepimpinan Melalui Ulama itu. Malah Hadith Rasulullah menunjukkan sesiapa pun yang dilantik sebagai Ketua, ia perlu ditaati tanpa mengira dia ulama atau bukan.

“Aku wasiatkan kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan patuh serta taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi.” (Hadis Riwayat Ahmad, 28/373, no. 17144. Ad-Darimi, 1/57, no. 95. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Meneliti sejarah Islam kita melihat sejarah perlantikan khalifah Islam selepas kewafatan Rasulullah, tiada ulama-ulama seperti Abu Hurairah, Ibnu Muslim, Ibnu Abbas dan sebagainya yang dipilih atau dilantik sebagai khalifah walaupun mereka itu adalah fuqaha dan faqih. Sebaliknya yang dipilih ialah Abu bakar, Umar, Uthman dan Ali dan keempat-empat sahabat Rasulullah itu adalah bekas ahli-perniagaan dan mereka adalah diantara yang dijamin oleh Rasulullah masuk syurga.

Meninjau pada senario semasa, kita melihat, Ketua Ulamak Seduna sekalipun, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi tidak memegang apa-apa jawatan di dalam parti atau di dalam pemerintahan kerajaan Mesir walaupun di zaman Dr.Mursi sebagai Presiden.

Di Palestin, sayap politik HAMAS dipimpin oleh seorang yang bukan ulama, Khalid Meeshal. Beliau adalah seorang guru fizik. Beliau juga bukan ahli Majlis Syura HAMAS. Tetapi di bawah kepimpinannya Hamas telah keluar sebagai pemenang kerana Israel sepakat untuk melakukan gencatan senjata di Palestine. Malah Khalid Meeshal menduduki tangga ke-18 dalam "50 lelaki paling berpengaruhi di dunia" yang dipaparkan dalam majalah Britain, New Statesman.

Allahyarham Ustaz Fadzil Noor pernah menyatakan dasar kepimpinan ulama di dalam PAS bukan bermakna yang presiden PAS semestinya ulama, dan orang yang bukan ulama tidak boleh sama sekali menjadi Presiden PAS walaupun dia layak dan mendapat kepercayaan ahli-ahli.

Jelas Ustaz Fadzil lagi: PAS sudah menetapkan dasar-dasarnya dan PAS mempunyai Majlis Syura Ulama yang menjadi pengawal kepada dasar-dasar kepimpinan ulama di dalam PAS. Siapa sahaja yang menjadi presiden mesti patuhi dasar-dasar tersebut dan mesti tunaikan amanah ahli-ahli PAS kepadanya agar melaksanakan dasar-dasar Islam yang telah termaktub; manakala yang memerlukan ijtihad pula akan dilakukan oleh Majlis Syura.


Oleh itu gagasan Kepimpinan Melalui Ulamak perlu penyemakan semula. Jika mahu juga diteruskan dengan definisi ulama yang konservatif itu maka Muktamar perlu menggantikannya dengan "Kepimpinan Melalui Ulama & Profesyenal" bagi memperseimbangkan peranan dan untuk mengembalikan PAS sebagai wadah politik yang relevan dengan arus semasa.

Jika tidak maka berlakulah lagi apa yang dibimbangkan seperti yang disuarakan oleh bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jafaar "kumpulan ulama dalam PAS kini bersikap tidak boleh ditegur walaupun pada masa sama mereka bebas menegur kumpulan lain dengan mengeluarkan pelbagai istilah termasuk perkataan “babi” dan “syaitan”.

Wallahu'alam.