7 Mei 2012

Majlis Fatwa Kebangsaan Dibidas Kerana Keluarkan Fatwa Jaga Kepentingan UMNO

Nik Aziz: Keputusan Majlis Fatwa 'guna sebelah mata'

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".

Mengulas kenyataan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata, beliau setuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram.

"Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata.

"Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun rosak,"
katanya sambil menambah beliau menghormati anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata Nik Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Abdul Shukor dilaporkan berkata Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan kekacauan di dalam negara.

Menurut laporan akhbar, pengerusi Majlis Fatwa itu berkata Islam membenarkan mencari keadilan tetapi melaui tindakan beradab.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu berkata perhimpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara

Perhimpunan itu, tambahnya, menggariskan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

"Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan duduk?

"Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara?"
soal Nik Aziz.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa fatwa tersebut hanya "laporan akhbar pro-kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0 sebelum membuat pertimbangan dibuat.

"Justeru, soalan saya ialah fatwa-kah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman?" kata Nik Aziz lagi.

Sebaliknya, kata menteri besar Kelantan itu, huru-hara tercetus jika ia dihalang.

"Andaikan himpunan di Gua Musang dan RTC, Kota Bharu ketika kedatangan Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara.

"Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan Presiden Umno di Gua Musang dan RTC baru-baru ini yang tujuannya jelas mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan?


"Justeru cukuplah saya mengatakan, jangan berjalan sebelah kaki, nanti pincang mengatur langkah. Salam hormat saya buat Majlis Fatwa Kebangsaan," tambahnya. -mk


PKR bidas Majlis Fatwa kemuka fatwa berbaur “politik murahan” membantu Umno

KUALA LUMPUR, 7 Mei — PKR hari ini membidas fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan semalam yang berkata mereka memandang serius isu perhimpunan Bersih 3.0 di mana adanya umat Islam menjadi perusuh jalanan.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty menjelaskan, fatwa yang dikemukakan badan berkenaan adalah bertentangan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Shaikh Yusuf al-Qaradawi, yang berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman.

“Fatwa yang dikemukakan Majlis Fatwa itu amat bertentangan dengan fatwa yang dikemukakan ulama tersohor tersebut.

“Perkara ini jelas menunjukkan bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan Umno yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka,”tegasnya.

Jelas beliau, pihak Majlis Fatwa perlu merujuk kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) bagi mendapatkan fakta sebenar supaya fatwa yang dikeluarkan tidak berat sebelah.

“Di sini jelas menunjukkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan gagal melihat insiden 28 April lalu secara keseluruhan. Kami yakin bahawa matlamat penganjur perhimpunan Bersih 3.0 mempunyai tujuan yang jelas itu perhimpunan secara aman demi untuk mempastikan berlakunya keadilan dan ketulusan dalam pengurusan pilihanraya di Malaysia,” tambahnya.

Muhammad Nur turut menegaskan, kewibawaan badan pembuat fatwa itu turut diragui apabila dilihat tidak mengemukakan pendirian berhubung insiden keganasan polis ketika Bersih 3.0, dan fitnah isu moral yang dikenakan kerajaan terhadap pemimpin pembangkang.

“Rakyat berhak mendapat jawapan-jawapan yang ikhlas dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu-isu tersebut demi kebenaran dan keadilan sejagat.”

Ulama PAS juga turut menyeru Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan agar tidak mengeluarkan pandangan yang sempit dan melibatkan demonstrasi semata-mata, sebaliknya mengambil kira punca demonstrasi itu sendiri iaitu kepincangan sistem pilihan raya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan, demonstrasi yang menjurus kepada perkara kebaikan dan tugas “amar makruf nahi mungkar” adalah sangat digalakkan dalam Islam.

Selain itu, Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali, pula menegaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diminta tidak menyempitkan pandangan muzakarah melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja.


Tetapi, tambahnya mereka perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, seperti amalan rasuah yang berleluasa, dan ketirisan dengan tujuan politik jahat.

Pengerusi jawatankuasa fatwa tersebut, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dipetik berkata: “Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

“Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah.”
-TMI


Ulasan GB

Semalam GB sudah ulas. Petikan:

DASAR pertama yang ditetapkan Islam, ialah: bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah adalah halal dan mubah. Tidak ada satupun yang haram, kecuali kerana ada nas yang sah dan tegas dari syari' (yang berwenang membuat hukum itu sendiri, iaitu Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas yang sah --misalnya kerana ada sebahagian Hadis lemah-- atau tidak ada nas yang tegas (sharih) yang menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, iaitu mubah.

Sepatutnya fatwa itu berbunyi, haram bagi sesiapa "mencetuskan huru-hara dalam demo", bukannya "demo cetus huru-hara haram".

Kerana, tiada siapa tahu demo yang mana bakal ada huru-hara, demo yang mana tiada huru-hara.

Sama seperti demo BERSIH tempohari. Demo tersebut telah berlansung aman sehingga ada pihak yang telah sengaja mencetuskan huru-hara di saat demo hampir berakhir.

Jadi bagaimana hendak menghukumkan demo itu haram sedangkan "huru-hara" itu sengaja diada-adakan oleh pihak tertentu untuk memburukkannya?

Kalau begitulah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, maka demo untuk memperingati UMNO pada 11 Mei nanti juga adalah haram kerana ia mungkin saja boleh mencetuskan huru-hara?

Kita berharap Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak adil dan saksama, fatwa yang hendak dikeluarkan perlulah bersandar kepada ilmu bukan bersandar kepada UMNO.

[Video] Serah Memo Kepada Polis, Kump Pro-UMNO Cuba Sekat Chegu Bard Di Bukit Aman

Kumpulan pro, anti-BERSIH bertembung di Bukit Aman

Sekumpulan penyokong BERSIH 3.0 bertembung dengan satu lagi kumpulan anti-perhimpunan itu dalam satu kejadian yang hampir mencetus pergeseran di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini.

Insiden pada anggaran jam 2.50 petang itu bermula apabila kumpulan pro-BERSIH, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) disorak oleh kumpulan anti-perhimpunan berkenaan, termasuk anggota NGO Suara Anak Muda 1Malaysia.

Kumpulan SAMM diketuai pengerusinya Badrul Hisham Shaharin itu mula disorak dengan panggilan "pengkhianat negara" apabila kumpulan itu mula bergerak dari satu kawasan parkir ke kawasan pintu masuk Bukit Aman.

Keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila seorang pemimpin Suara Anak Muda 1Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah secara tiba-tiba meluru ke arah pemimpin Badrul Hisham.

Beberapa orang anggota polis bagaimanapun berjaya menghalang Armand daripada mendekati Badrul Hisham dan 10 orang yang lain.

SAMM hadir ke Bukit Aman hari ini untuk menyerahkan memorandum bagi mendesak supaya pihak polis yang terlibat melakukan kekerasan ke atas peserta perhimpunan 28 April itu menyerah diri.

Kumpulan bersama Armand itu dalam perhimpunan terdahulu pula menyerahkan kenyataan ikrar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sokongan terhadap tindakan pasukan itu dalam menangani perhimpunan 28 April.

Perhimpunan pada kira-kira jam 1.10 petang itu diketuai presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Datuk Mohd Ali Baharom yang berkata ikrar itu juga sebagai bantahan ke atas tindakan peserta dalam perhimpunan BERSIH 3.0 itu.

"Kita mahu negara yang aman dan kita sokong PDRM. Kita beramai-ramai berikar hari ini menyatakan bahawa kami sokong PDRM," katanya yang menyifatkan perhimpunan berkenaan sebagai "anasir jahat untuk menumbangkan negara."

Katanya lagi, tindakan yang ditunjukkan peserta perhimpunan berkenaan juga merupakan perbuatan yang "kurang ajar."

"Saya minta agar Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) dapat menahan mereka yang membuat provokasi dan ketua-ketua mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan ikrar tersebut kepada seorang wakil ketua polis negara, ASP Ramli Yusuf.

Turut hadir dalam perhimpunan selama 15 minit yang disertai kira-kira 30 orang itu ialah wakil NGO Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara, Pertubuhan Ikatan Perpaduan Melayu Gombak.

Kumpulan yang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu juga membacakan ikrar berkenaan dan turut melaung slogan "hidup polis", "hancur Ambiga" serta menyanyikan lagu "Barisan kita." -mk



Polis Perlu Tangkap Anggotanya Dengan Segera!

Warga siber siar foto polis yang 'dikehendaki'

Kecewa dengan tanggapan bahawa polis tidak mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didakwa menggunakan kekerasan berlebihan semasa perhimpunan BERSIH 3.0, warga siber memulakan inisiatif untuk mengenal pasti mereka yang dikatakan telah menyerang seorang jurugambar akhbar.

Satu imej empat anggota polis yang dikatakan telah menyerang Huang An Jian - jurugambar akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily - telah dimuatkan dalam halaman peminat Facebook berbahasa Cina.

Postingnya bermaksud 'Masa untuk balas dendam! Kongsi ini! Empat anggota polis yang menyerang wartawan Guang Ming Daily!".

Dalam masa 24 jam, imej tersebut telah menarik lebih 3,000 'likes' dan lebih 200 komen. Ia telah dikongsi oleh lebih 6,000 pengguna Facebook.

Perhimpunan di Kuala Lumpur pada 28 April lalu telah dicemari oleh keganasan yang membabitkan kedua-dua pihak - anggota polis dan para peserta.

Polis telah menerbitkan gambar 91 peserta, meminta mereka tampil membantu siasatan dakwaan berlaku keganasan. Gambar-gambar lain menunjukkan peserta 'merempuh benteng polis'.

Sekurang-kurangnya 13 wartawan, jurugambar dan juruvideo telah diserang semasa perhimpunan tersebut. Kebanyakan mereka mendakwa telah dikasari polis walaupun mereka menunjukkan kad media dan memperkenalkan diri mereka sebagai petugas media.

Banyak gambar atau klip video yang menunjukkan dakwaan kekejaman polis, telah dimuatnaik di Internet oleh para saksi.

Polis, bagaimanapun, hanya menerbit gambar satu sahaja insiden tersebut dan meminta saksi dan mangsanya menghubungi mereka.

Ini menyebabkan warga siber mengkritik pihak polis kerana didakwa menjalankan siasatan berat sebelah dan cuba melindungi anggotanya yang terbabit. -mk

Ulasan GB

Polis kini perlu buktikan mereka professional dengan mengambil tindakan segera terhadap anggotanya yang melakukan keganasan semasa perhimpunan BERSIH 3.0.

Jangan hanya bernai untuk menangkap hanya para peserta.

TGNA: Kenapa Takut BERSIH Jika Menang Secara Adil?

Shah Alam, 5 MEI: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 dan berkata ia bukan untuk menggulingkan kerajaan sebaliknya menuntut sistem pilihanraya yang telus dan adil.

Menurut beliau, kerajaan pusat pimpinan Umno-BN tidak sepatutnya takut terhadap tuntutan himpunan tersebut sekiranya mereka selama ini menang dengan cara yang telus dalam pilihanraya sebelum ini.

“Takkan Bersih nak gulingkan kerajaan. Mereka menang selama ini bersih ke?” soal beliau di satu majlis makan malam di sini.

Dalam lawatannya ke Kelantan baru baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata peserta himpunan Bersih ingin menjadikan Dataran Merdeka seperti Tahrir Square di Mesir tahun lepas yang menjatuhkan presiden negara itu Hosni Mubarak.

Jelas Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sistem pemerintahan yang dianjurkan Islam merupakan sistem yang terbaik memandangkan Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara lain.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggesa negeri Pakatan Rakyat yang lain agar mencontohi cara urus tadbir yang dilakukan oleh Kelantan yang dipimpin oleh Nik Aziz.

Katanya, Pakatan tidak harus patah semangat dengan segala tomahan yang dilemparkan oleh Umno-BN dalam usaha Pakatan untuk menawan Putrajaya dan mengingatkan semua pihak bahawa ujian lebih besar akan menanti apabila berjaya memerintah kelak.

Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di I-City dianjurkan Dewan Pemuda Pas Kelantan. Ia bertujuan untuk mengumpul dana pilihanraya ke-13. Turut hadir Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan beberapa pimpinan Pas Kelantan.

Turut diadakan lelongan barangan peribadi milik Nik Aziz selain persembahan dikir barat dari Kumpulan Dikir Barat Warisan Darul Naim. -selangorku

Sah sungguh ke k’jaan BN ini?

SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 untuk menggulingkan kerajaan adalah tidak tepat.

Malah Mursyidul Am PAS itu mempersoalkan pula sejauh mana kebenaran disebalik kenyataan Najib bahawa kerajaan yang dipilih adalah sah mengikut sistem yang telus dan adil.

“Bila timbul masalah Bersih di sebut ketua kerajaan yang pergi Kelantan kelmarin, Bersih ini nak guling kerajaan yang sah. Sah sungguh ke kerajaan ini?” soalnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis malam pemimpin Pakatan Rakyat di I-City malam tadi.

Kelmarin Najib dilaporkan berkata, bahawa perhimpunan Bersih di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April lalu adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi.

Najib berkata tindakan itu menunjukkan pihak terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.

“Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir.” ujar Najib.

Kepincangan perlu diperbetulkan

Walau bagaimanapun, Nik Aziz berkata masih terdapat kepincangan yang perlu diperbetulkan kerajaan berhubung prosedur pilihan raya yang ada di negara ini.

Ini membabitkan pengundi hantu yang masih belum dapat dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Datuk Presiden PAS sebut berkali-kali mengenai undi luar yang di bawa masuk ke Terengganu tapi Umno tak boleh cabar. Bila undi luar masuk dalam pilihan raya umum ke-12 di Terengganu, (jadi) pilihan raya itu tak sah.

“Kamu (kerajaan) kata sah tapi akhirat kelak kebanyakkan wakil rakyat Umno yang menang di Terengganu akan masuk neraka kerana menang menggunakan undi hantu,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Abdul Latif Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan adalah untuk mengutip dana bagi negeri itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
-FMT


Astaghfirullah, Pelajar Dirogol Di Tangga Sekolah

Rogol dekat tangga sekolah

ALOR GAJAH - Akibat gagal melawan nafsu serakah, seorang remaja berusia 14 tahun sanggup merogol seorang murid Tahun Tiga di kawasan tangga bangunan sebuah sekolah, di sini kelmarin.

Bukan saja merogol, malah remaja lelaki berkenaan turut mengugut serta mengacukan senjata tajam kepada murid berusia 9 tahun itu yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Menurut sumber, murid terbabit menjadi mangsa kerakusan remaja berkenaan Isnin lalu, sebelum sekali lagi berlaku kejadian sama pada Rabu dan Khamis lalu.

“Murid berkenaan menjadi mangsa sejak Isnin ketika sedang menunggu ibu menjemputnya selepas tamat sesi persekolahan sebelah petang.

“Mangsa dihampiri remaja berkenaan yang kemudian membawa mangsa menaiki tangga serta merogolnya di kawasan tangga bangunan sekolah berkenaan.

“Remaja terbabit kemudian melepaskan mangsa yang dalam ketakutan dan menghunus senjata tajam ke arah mangsa sambil mengugutnya,” katanya.

Menurut sumber berkenaan, kejadian sama berlaku selang sehari selepas itu ketika waktu rehat kira-kira 10.30 pagi Rabu lalu apabila murid-murid lain keluar ke kantin.

“Mangsa yang tinggal seorang diri dalam kelas ketika itu didatangi remaja terbabit. Sekali lagi remaja berkenaa melakukan perbuatan terkutuk itu di tangga sekolah dan memberi amaran agar tidak memberitahu sesiapa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa kemudian melaporkan kepada pihak sekolah apabila buat kali ketiga kejadian sama berlaku Khamis lalu, kira-kira 10.30 pagi dan kali ini mangsa diacu senjata tajam di leher.

“Pihak sekolah terkejut selepas diberitahu kejadian itu dan segera memanggil ibu mangsa sebelum bertindak membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

“Polis sudah mengenal pasti suspek dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Mohamad Yusuff Osman ketika dihubungi memberitahu pihaknya ada menerima laporan dan akan menunggu lapo­ran polis sebelum sebarang tindakan diambil.

Peserta PLKN Selamatkan Maruah Najib Di Taman Gelora Kuantan

BERITA PANAS MENDIDIH TAPI BENAR!!!!!.... WARGA PAHANG SUDAH MULA TOLAK DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK..

KUANTAN, 6 Mei - Orang ramai yang hadir ke program "Bersantai Di Taman Gelora Bersama YAB Perdana Menteri" di Taman Gelora dekat sini pagi tadi kecewa dengan sambutan orang ramai terhadap program tersebut. Program yang bermula jam 9.15 pagi itu hanya dipenuhi dengan para pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikerah hadir untuk meramaikan hadirin yang hadir, namun ianya masih gagal membuktikan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor itu telah mendapat sokongan padu dikalangan rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.


Tinjauan di lokasi itu pagi tadi mendapati kehadiran orang ramai amatlah hambar dan memalukan Perdana Menteri sebenarnya. Malah, ketika beliau berucap pun hanya kerusi kosong yang memenuhi setiap ruang dibawah kanopi yang disediakan. "Mujurlah ada budak-budak PLKN, kalau tidak sudah pasti Najib akan mendapat malu yang lebih besar. Sepatutnya kehadiran seorang Perdana Menteri wajar disambut dengan ribuan rakyat.. Namun ini tidak berlaku kepada Najib. Mungkin ramai yang kecewa dengan tindakan kerajaan dalam menangani para peserta Bersih 3.0 di Kuala Lumpur baru-baru ini agaknya", kata seorang pengunjung.

Tambah malang lagi, majlis yang diadakan sempena program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Malaysia 2012 itu juga turut diserikan dengan hujan lebat dan angin kencang di tapak berkenaan. Ini menyebabkan orang ramai semakin kelam kabut dan air bertakung di sana sini menyebabkan majlis menjadi kucar kacir. Segala aktiviti yang dirancang termasuk sukaneka dan expo jualan semuanya tidak menjadi akibat hujan lebat yang mencurah-curah membasahi kawasan itu. Turut hadir dalam majlis pagi tadi ialah MB Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob, barisan exconya dan lain-lain kenamaan.

Najib sedang menyampaikan ucapan kepada sebahagian mereka yang hadir


 Menipu dan terus menipu


 Hambar, mujurlah adanya pelatih PLKN yang dipaksa hadir ke program itu




 Gerai jualan dekat tapak expo juga tunggang langgang dibuatnya akibat hujan


 Hujan lebat, air bertakung di sana sini iringi program PM di Taman Gelora




[Sungguh memalukan melihat senario yang berlaku ini. Sering saja kehadiran Najib dalam mana-mana acara keramaian seperti ini di Kuantan akan disambut dengan hujan lebat dan ribut. Sebelum ini kejadian yang sama melanda tapak Hari Koperasi Negara di Padang MPK2 pada tahun lalu. Semua ini mungkin ada hikmahnya. Namun, ia jelas mengganggu kelancaran program yang dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia itu. Jika di Himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini para peserta dihujani dengan air "water canon" dan "gas pemedih mata". Kini program Najib di Kuantan dihujani dengan "hujan lebat" linangan air mata rakyat ketika mereka dibelasah oleh pihak polis di Bersih 3.0 itu dulu. Kini bagai sudah ditakdirkan, program Najib tidak menjadi dan hambar. Hanya beberapa kerat kakitangan kerajaan yang dipaksa hadir dan penyokong UMNO BN yang kelihatan. Sepatutnya, kehadiran adalah lebih besar daripada apa yang dijangkakan, tambahan pula ia melibatkan program Najib itu sendiri]. -omakkau

Kes Azmin: Pihak Penuduh & Media Berdosa Membuat Andaian Tanpa Kemuka 4 Saksi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap semua pihak termasuk media memberi peluang kepada timbalan presiden PKR Azmin Ali membersihkan nama berhubung rakaman video panas yang didakwa mirip dirinya (Azmin).

"Saya tak ada hak untuk bercakap tentang itu, biar dia sendiri yang cakap secara langsung....beri peluang (kepada Azmin membersihkan namanya)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa diminta mengulas rakaman video panas yang didakwa mirip Azmin bersama seorang wanita yang tersebar baru-baru ini, selepas menyampaikan ceramah umum bersama bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Bukit Tok Beng, Batu Rakit, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin yang mendakwa rakaman video berkenaan dibuat oleh orang dalam parti PKR sendiri, Abdul Hadi berkata beliau tidak mahu mengulas berdasarkan andaian atau dakwaan.

"Saya tak nak komen sebab ia dakwaan sahaja, satu andaian... buat andaian memang tak boleh. Kita (PAS) berpegang kepada ajaran Islam, adat Islam kena ada empat saksi, saksi yang adil, ikhlas dan bersopan dan mahkamah yang bebas.

"(Yang penting) beri peluang Azmin bela diri, termasuk yang menuduh itu pun kena diambil tindakan, mana boleh menuduh saja-saja,"
katanya.

Mengenai ura-ura beberapa lagi video panas yang didakwa membabitkan pemimpin pembangkang yang lain akan didedahkan, Abdul Hadi berkata pihak yang mendakwa mempunyai rakaman berkenaan sepatutnya membawa kes berkenaan ke mahkamah.

"Berdosa, kalau tuduh orang, betul sekali pun tapi tak ada saksi dan tak ada bukti tetap berdosa, apatah lagi benda salah, Islam tak benar begitu," katanya. - Bernama

Hadi: Beri peluang Azmin bela diri

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta RTM dan TV3 membuat liputan secara langsung bagi memberi peluang kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali membela diri dan menjawab tuduhan yang mengaitkan beliau berhubung isu video panas yang tersebar baru-baru ini.

Bercakap kepada media di sini, Abdul Hadi menganggap beliau tiada hak mengulas mengenai pembabitan pelaku yang mirip Azmin itu, tetapi menyifatkan kaedah yang dicadangkan itu adil kepada individu terbabit.

Beliau berkata, siaran secara langsung boleh memberi liputan penuh kepada kenyataan Azmin tanpa sebarang suntingan.

“Saya minta RTM, TV3 bagi peluang kepada Azmin untuk bercakap di TV. Biar dia bercakap, bagi peluang kepada dia barulah adil. Saya tiada hak untuk bercakap tentang itu. Biar dia sendiri melalui siaran secara langsung. Kalau rakaman, nanti dipotong pula,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah umum di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, semalam.

Abdul Hadi turut menggesa pihak yang menyebarkan video terbabit diambil tindakan kerana ia tidak wajar didedahkan sedemikian rupa kepada umum.

Berhubung pendirian Pas, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pihaknya berpegang kepada kaedah Islam yang menuntut empat saksi bagi mengesahkan kesahihan pelaku dalam video terbabit.

“Kita berpegang kepada ajaran Islam. Adat Islam kena ada empat saksi, saksi yang adil, ikhlas dan bersopan dan mahkamah yang bebas, akhbar boleh jadi mahkamah,” katanya.

Ditanya khabar angin mengenai penglibatan pemimpin Pas yang turut dikaitkan dalam video tidak bermoral yang masih belum didedahkan, beliau menegaskan, jika benar, ia perlu dibawa ke mahkamah.

Jelasnya, sebarang penyebaran imej tidak senonoh tidak boleh disebarkan sewenang-wenangnya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat dengan penyebaran imej lucah adalah berdosa termasuk pihak penerbitan akhbar dan penulis yang menyampaikan maklumat berkaitan, walaupun ia benar kerana kesalahan yang dilakukan pelaku itu disifatkan sebagai hak tuhan.

“Mana boleh sebar, bawalah pergi mahkamah kalau mahu buat tuduhan, tak baik dan berdosa, akhbar pun berdosa, yang tulis itu pun berdosa. Kalau tuduhan itu betul sekali pun tapi tiada saksi, tiada bukti tetap berdosa apatah lagi benda salah. Islam tak benar begitu.

“Walaupun kita tengok orang buat benda salah, kita seorang ada, itu tetap salah sebab itu adalah hak tuhan, ini pergi rampas hak tuhan mana boleh macam tu,” katanya.
-SH




Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Petugas PAS Larikan Lim Kit Siang Dari Amukan Polis Semasa BERSIH 3.0

DAP Terengganu Merakamkan Ucapan Terima Kasih kepada Petugas PAS Terengganu

DAP negeri Terengganu mengucapkan terima kasih atas prihatin petugas PAS Terengganu yang memberikan ruang 'Rawat dan Rehat' kepada En. Lim Kit Siang Semasa Perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28hb April lalu.

DAP Terengganu bangga dapat bersepakat dan bersetiakawan dengan PAS petugas PAS Terengganu yang membawa En. Lim Kit Siang keluar dari kawasan 'amukan polis' di hadapan Mahkamah dan Dataran Merdeka.

Petugas Terengganu telah membawa naik En. Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur ke tempat peninapan mereka serta memberikan salinan baju-T kepada En. Lim Kit Siang.

Sekali lagi, bagi pihak DAP Terengganu dan DAP Malaysia, kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Ng Chai Hing
Pengerusi DAP Kuala Terengganu
Merangkap Pengerusi Penaja DAP Terengganu
http://daptrg.blogspot.com/


Laporan sebelum ini
klik untuk baca