6 Dis 2012

Politik Samseng Petanda Jelas UMNO/BN Sedang Menuju Kemusnahan (KO)!


Politik ganas, salah siapa?

PETALING JAYA: Insiden ‘berdarah’ di Gombak bukan baru dalam sejarah politik negara khususnya di kalangan orang Melayu.

Banyak lagi insiden yang lebih besar serta memakan korban.

Pendek kata orang Melayu sanggup melakukan apa saja untuk kuasa politik. Malangnya pertempuran politik negara lebih banyak sesama sendiri – orang Melayu melawan Melayu.

Jika disenaraikan begitu banyak peristiwa berdarah yang boleh dikaitkan dengan kuasa politik.

Peristiwa Memali yang mengorbankan Ibrahim Libya kerana politik.

Pembunuhan speaker dewan undangan negeri (DUN) Negeri Sembilan oleh bekas menteri belia dan sukan, Datuk Mokhtar Hashim juga kerana poltik.

Tetapi mulai penghujung tahun 1990-an, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menguasai politik. Pemecatannya dari jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno oleh Tun Dr Mahathir pada pada September 1998.

Mulai detik itu, politik negara tidak lagi sunyi – menjadi lebih panas sepanjang masa.

Jadi serangan Pemuda Umno terhadap program Anwar di Gombak itu merupakan ulangan kepada beberapa serangan terdahulu. Bas PKR disimbah cat merah di Kota Baru, Johor Baru dan Melaka.

Manakala beberapa program ceramah Anwar yang lain pula diganggu.


Mengapa perkara ini berlaku?

Ketika diminta mengulas, pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Sohaimi Shahdan berkata, politik kasar dan ganas tidak menguntungkan rakyat.

Sebaliknya, kata beliau biar rakyat menilai sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat yang lebih baik.

‘Kebangkitan Arab’

“Kita memerlukan politik matang …kita tidak perlu kebangkitan Arab,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Sohaimi berkata, keganasan di program ceramah atau acara-acara yang membabitkan politik adalah disebabkan oleh provokasi pihak tertentu.

Katanya, apabila orang muda berkumpul dan dan jika ada pihak yang cuba mencabar, pergaduhan dan kekasaran mudah tercetus.

Sehubungan itu, kata Sohaimi, rakyat perlu saling menghormati, mengawal emosi serta tidak melakukan provokasi yang boleh mencetuskan kejadian yang tidak diingini.

Manakala seorang peguam dari Temerloh, Nizam Hamid menegaskan politik ganas ini bermula dari perancangan Umno untuk menghapuskan musuh politiknya.

“Umno menggunakan kekasaran untuk menakut-nakutkan musuh politiknya.

“Kita bimbang politik sebegini akan terus berlaku jika pemimpin Umno memberi restu kepada ahli dan penyokongnya,”
kata beliau lagi.

Nizam berkata, politik menakutkan lawan adalah sesuatu yang memalukan kerana sepatutnya politik ialah hujah lawan hujah.

Katanya, sepatutnya pihak keselamatan mengambil langkah tegas menangani masalah politik yang ganas itu.

Insiden berdarah Gombak: Najib suburkan budaya samseng – Azmin

KUALA LUMPUR 6 Dis: Serangan Pemuda Umno pada Ceramah Merdeka Rakyat Gombak bukti budaya samseng di negara ini disuburkan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

“Tindakan samseng Umno menikam rakyat dan membaling batu, pasu bunga dan pelbagai objek keras membuktikan Najib menyuburkan budaya samseng sedangkan mereka datang hanya untuk mendengar ceramah,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Dalam serangan samseng Umno di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2, Gombak malam semalam, sekurang-kurangnya dua penyokong Pakatan Rakyat cedera.

Mangsa pertama, seorang lelaki cedera di bahu kiri dipercayai ditikam dengan objek tajam manakala seorang lagi Haider Samsudin cedera di kepala akibat dibaling objek keras dipercayai pasu.

“Mereka ini bersifat kebinatangan apabila melontar kayu, batu-bata dan pasu bunga kepada penduduk yang tidak berdosa dan ia pertama kali berlaku di kampung ini.

“Mereka menjerit, memaki, bertindak ganas dan biadab termasuk membawa objek tajam dan menikam petugas.

Kalau mereka hendak naikkan bendera, kita tak ada masalah, tetapi jangan biadab dan ganggu rakyat,” kata Azmin pada sidang media sejurus selepas program itu.

Provokasi dimulakan Pemuda Umno yang berlagak mat rempit dengan berkonvoi pada 8.30 malam menuju ke lokasi ceramah Pakatan.

Mereka yang membuat provokasi ke hulu ke hilir tanpa helmet sambil mengibar bendera BN menyebabkan jalan menuju ke tapak ceramah sesak.

Pemandu kenderaan terpaksa membunyikan hon bagi meminta laluan, namun suasana bertambah kecoh.

Sebaik Azmin mengambil tempat ceramah, samseng Umno menjerit-jerit menganggu program, namun rakyat tidak menghiraukannya.

Pujian juga harus diberikan kepada petugas keselamatan Pakatan yang sabar melayan karenah samseng itu.

Anwar tiba kira-kira 11 malam dan rakyat berpusu-pusu memenuhi setiap ruang tapak ceramah untuk mendengar ucapan bakal Perdana Menteri itu.

Umno yang tertekan dengan situasi tersebut bertindak biadab memasang pembesar suara dan menghalakannya ke tapak ceramah.

Anwar memulakan ceramah dengan ayat suci al-Quran dan berbicara mengenai Hijrah Rasulullah SAW, namun disambut makian dan kata-kata lucah oleh samseng Umno.

Jeritan samseng Umno yang tidak sampai 100 orang itu akhirnya tenggelam oleh laungan reformasi hampir 4,000 penyokong Pakatan.

Sementara itu, beberapa peniaga Melayu Muslim terpaksa menutup kedai kerana khemah mereka bocor dan beberapa peralatan rosak akibat serangan samseng Umno ketika cuba merempuh dan memasuki tapak ceramah.



Ulasan GB

Tiada ada penjelasan lain terhadap politik ganas atau samseng yang dilakukan UMNO terhadap Pakatan Rakyat selain dari kerana irihati dan cemburu terhadap sambutan rakyat yang semakin melimpahruah terhadap PR.

Memang provokasi samseng itu UMNO yang mulakan. Masakan tidak apabila rentetan peristiwa membukti dengan sahih bahawa ahli UMNO yang menyimbah cat bas jelajah merdeka PKR, UMNO terlibat membaling batu dan objek keras ke arah majlis-majlis PR, malah dimana PR mengadakan program, UMNO akan sama menganjurkan program yang berdekatan untuk menimbulkan kekacauan.

Tiada ada petunjuk yang lebih jelas tentang kehancuran dan kemusnahan UMNO selain dari gelagat dan perlakuan samseng yang mereka lakukan terhadap penyokong Pakatan Rakyat.

Sekalipun nampaknya rakyat begitu kecewa dengan sikap polis yang double-standard, membiarkan politik ganas a.k.a. samseng UMNO bermaharajala, namun hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berlaku - bahawa UMNO akan tetap menerima hukumannya lantaran politik ganas atau samseng yang mereka bawa.

BUKTINYA: Dalam keadaan polis bersikap double standard, seorang pegawai tertingginya menyertai PAS iaitu Datuk Fauzi Shaari, mantan Pengarah Siasatan Jenayah PDRM!

Terkini bekas KPN sendiri, Tan Sri Musa Hassan muncul dengan pembongkaran salahguna kuasa menteri KDN yang campurtangan dalam urusan PDRM.

Setiap kejahatan dan kebatilan tidak akan menang sekalipun seluruh polis dan seluruh agensi kerajaan pusat memberikan perlindungan kepadanya.

Usah ragu dan usah bimbang, hukum kebenaran dan keadilan - sunnatullah - tetap berjalan.


Kes Pembunuhan Altantuya: Pengakuan Deepak Bukti Akuan Sumpah Kedua PI Bala Tak Sah


Merujuk kepada laporan Harakah mengenai pengakuan Deepak Jaikishan yang membantu keluarga Datuk Seri Najib Razak untuk memujuk penyiasat bebas P Balasubramaniam (PI Bala) menukar akuan bersumpahnya, menjadi bukti bahawa akuan bersumpah kedua PI Bala jatuh tidak sah.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dibuka semula dengan mengambil kira akuan bersumpah pertama PI Bala, setelah akuan bersumpah kedua PI Bala didapati telah dipengaruhi oleh keluarga Najib Razak.

Berikutan tindakan PI Bala mengubah pengakuan bersumpah, Deepak sendiri mengaku ia dilakukan demi menolong keluarga Najib.Ini bukti yang cukup untuk memanggil Najib ke kandang saksi. Pengakuan bersumpah PI Bala yang pertama yang menyebut keterlibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya wajib dirujuk.

SAMM melihat kes pembunuhan Altantuya menerbitkan sudut persoalan yang pelbagai, apatah lagi ia berkait rapat dengan skandal Scorpene yang disifatkan sebagai ‘bapak’ kepada semua kes jenayah di Malaysia. Skandal pembunuhan Altantuya dan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang terkait ini harus dirungkai dan rakyat harus tahu.

Demi memastikan rakyat celik dalam isu ini, pelbagai usaha dilakukan oleh SAMM termasuklah jelajah sesi taklimat penerangan di setiap negeri, ceramah pencerahan dan SAMM juga akan melancarkan buku bertajuk ‘Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia’ pada bulan hadapan.

Akhir sekali, SAMM seru supaya rakyat menolak kepimpinan Najib Razak yang tercalit skandal Altantuya dan Scorpene, dan hanya selepas Bn ditumbangkan barulah kebenaran akan terungkai kerana ketika itu tiada lagi imuniti undang-undang terhadap VIP dan VVIP negara.

Badrul Hisham Shaharin
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia

PI Bala gembira kebenaran akhirnya terserlah

Lelaki yang mendakwa telah dipaksa untuk mengubah akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu, berkata beliau gembira bahawa kebenaran akhirnya terserlah juga.

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam berkata ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan, yang terlibat untuk mendapatkannya mengubah akuan berkanun (SD) itu, telah melakukan "perkara yang betul".

Dalam responnya melalui emel kepada Malaysiakini, Balasubramaniam menggesa Deepak supaya mendedahkan segala-galanya yang diketahui mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mahu Deepak mengesahkan siapa sebenarnya individu yang terlibat dari awal hingga akhir.


Balasubramaniam kini hidup dalam buangan bersama keluarganya di India selama tiga tahun sejak beliau melarikan diri negara selepas menandatangani SD kedua.

Deepak, dalam satu wawancara dengan Malaysiakini awal minggu ini, berkata pembabitannya dalam konspirasi itu adalah ekoran permintaan dari seorang "rakan wanita" yang dikaitkan dengan pihak-pihak yang akan terjejas oleh SD pertama Balasubramaniam.

Sementara itu, Balasubramania berkata beliau mahu tahu siapa peguam yang didakwa merangka SD kedua, yang menurutnya, telah disediakan tanpa "pengetahuan atau input" daripadanya.

"Persoalannya ialah siapa yang melakukannya? Tiada siapa yang interviu saya sebelum menyediakan SD kedua. Ia disediakan tanpa pengetahuan atau input saya. Saya ingin mengetahui siapa peguam ini".
-mk


[BERGAMBAR] Kes Polis Rogol Amah: Lagi Demo Anti-Malaysia Di Jakarta


Lagi demo anti Malaysia di Jakarta

JAKARTA: Laskar Merah Putih membuat demonstrasi sekali lagi di depan pejabat kedutaan besar Malaysia. di Jalan HR Rasuna Said, Jakarta Selatan hari ini.

Bagaimanapun, ratusan polis yang berjaga berjaya mengawal keadaan.

Mereka mahu bertemu dengan pihak kedutaan besar Malaysia.

“Niat kami berbicara baik, jangan sampai kami terus teriak menghina ka,” kata anggota Laskar Merah Putih menggunakan pembesar suara .

Tapi keinginan mereka ditolak.

“Mereka nggak (tidak) mahu bertemu pendemo,” ujar ketua polis sektor Setiabudi, AKBP Lalu Muhammad Iwan Mahardan.

Namun pendemo tetap menginginkan perwakilannya masuk ke pejabat kedutaan besar. Pendemo mengancam akan mengerahkan puluhan ribu anggota Laskar Merah Putih untuk mengepung kedutaan.

“Dalam dua bulan ke depan kalau kedutaan besar Malaysia tidak mahu menerima kita, 50 ribu orang akan kita turunkan, apapun risikonya. Panglima-panglima di wilayah rapatkan barisan, kita akan datang ke sini,”
teriak pendemo.

Mereka menuntut proses undang-undang terhadap tiga polis Diraja Malaysia atas kes pemerkosaan TKW.

“Kami menuntut mahkamah Malaysia juga memulangkan kembali wang jaminan 3 polis dan hukum setimpal-timpalnya,” ujar pendemo.







Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah ulas. Laporan BERNAMA yang telah menyiarkan berita dusta dan tidak tepat berkait dengan demonstrasi berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan Utara menyemarakkan lagi kemarahan orang Indonesia.

BERNAMA sebelum ini melaporakan "yang hadir menunjuk perasaan itu kira-kira 20 orang sedang media massa Indonesia mnelaporkan angkanya ialah 1,000 orang."

Nah, sekarang mereka berhimpun lagi.. 20 orang jugakah BERNAMA?

Dan mereka berjanji untuk turunkan 50,000 orang!

Pada pendapat GB orang yang sepatutnya dihantar untuk bertemu pendemo-pendemo berkenaan ialah Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim! Berkemungkinan hanya beliau yang boleh mententeramkan pendemo-pendemo itu.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Untuk Berubah, UMNO Perlu Dijadikan Pembangkang!

UMNO tidak mampu berubah melainkan dipilih menjadi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini kerana ia memberi mereka kelebihan untuk melaksanakan proses “transformasi” dengan telus dan jujur.

Justeru, proses “mengubah UMNO kepada pembangkang” juga akan mewujudkan asas yang lebih kukuh dan kuat untuk proses demokrasi berparlimen yang lebih matang dan kompetitif.

Menyimpulkan realiti sebenar pada Perhimpunan Agung UMNO ke 66 baru-baru ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, UMNO tidak mampu berubah dan ianya sudah dibuktikan dalam ucapan pemimpin mereka pada dalam perhimpunan terbabit.

Dalam kenyataannya, beliau memberi contoh bagaimana Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil membangkitkan mengenai tragedi “13 Mei”, ia termasuk ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri perihal “huru-hara” yang akan berlaku jika UMNO tewas.

Semua kenyataan itu jelasnya bercanggah sama sekali dengan apa yang dikatakan Najib apabila ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno itu menyebut bahawa pilihan raya kali ini akan mencorakkan rupa wajah Malaysia samaada sebagai sebuah negara yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.

“Persoalan yang bermain di fikiran rakyat Malaysia adakah UMNO-BN mempunyai kewibawaan dan legitimasi untuk merayu kepada rakyat supaya menyokong untuk “berkongsi nilai dan matlamat” biarpun tiada “perkongsian nilai dan matlamat di dalam BN?” soal beliau.

Apapun jelas Kit Siang, fitnah jahat, sandiwara, janji dan mainan politik kotor ini adalah bukti mutlak bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak mampu melaksanakan janji “transformasi” beliau.

“Tidak ada apa yang akan berubah apabila sama ada Najib atau mana-mana perwakilan UMNO gagal mengetengahkan masalah nombor satu negara iaitu rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang makin membarah.

“Sebab itu jika UMNO benar-benar mahu berubah dan melakukan transformasi, mereka perlu menjadi pembangkang!” tegas Kit Siang.

Antara wibawa UMNO-BN dan wibawa PR

Dalam perkara berkaitan, Kit Siang menjelaskan bahawa penguasaan berterusan UMNO-BN terhadap Malaysia tidak akan mampu merealisasikan hasrat untuk menjadi “negara demokrasi terbaik dunia” sepertimana menjadi slogan 1Malaysia yang dijaja Najib sendiri.

Contohnya, UMNO-BN secara terbuka menanam kebencian dan konflik dengan mesej yang saling bercanggah dengan memomokkan orang Melayu bahawa jika mengundi DAP itu bermakna mengundi untuk penindasan orang Melayu, manakala MCA pula memberi amaran kepada orang Cina bahawa mengundi DAP bermakna mengundi penindasan orang Cina.

Bagaimanapun, jelas Kit Siang, lain pula dengan apa yang diamalkan parti Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

“PR tidak menyembunyikan perbezaan ideologi dan komited dengan Kerangka Dasar Bersama PR untuk menegakkan kedaulatan ciri dan dasar perlembagaan Malaysia, menyemarakkan kesatuan kebangsaan, memulihkan demokrasi dan keadilan dan memastikan tadbir urus yang baik, “Kami juga terikat dengan prinsip bahawa perlu ada kesepakatan di kalangan tiga parti komponen PR sebelum sebarang perubahan dan dasar dipersetujui.

” ujarnya. -Roketkini

Reputasi Polis Tercalar Jika Lambat Ambil Tindakan Serangan Ceramah Gombak

Pemimpin Pakatan Rakyat mendesak agar polis berlaku adil dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang menyerang ceramah PR di Batu 8 ˝ Gombak semalam yang menyebabkan lima orang tercedera.

Pemimpin Pas dan PKR berkata kegagalan polis untuk bertindak dengan tegas dan segera terhadap individu yang disyaki akan mencemar reputasi polis.

Lebih buruk lagi, kegagalan untuk mengambil tindakan akan memberi gambaran bahawa polis bersekongkol dengan individu-individu tersebut.

Penyelaras DUN Gombak Setia, Salehuddin Nasir berkata, polis hanya bertindak setelah serangan secara bertubi-tubi dilakukan hingga mencederakan orang ramai, sedangkan polis sedia maklum mengenai ceramah itu beberapa hari sebelumnya.

Beliau mendakwa serangan tersebut diketuai oleh pemimpin Pemuda Umno Gombak dan melibatkan ahli Umno Gombak, Wanita Umno Gombak dan anggota NGO.

Menurutnya, ekoran insiden itu, dianggarkan lebih lima individu mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu dan tangan akibat terkena objek keras, malah khemah juga musnah teruk.

“Kita telah maklumkan pada pihak polis dan sehari sebelum ceramah itu berlangsung, ada anggota polis daerah Gombak yang datang melawat menunjukkan bahawa mereka tahu ada program pada malam itu.

“Saya sendiri telah serahkan surat melalui email kepada Ketua Polis Daerah memberitahu maklumat berhubung ceramah itu,” kata Salehuddin apabila dihubungi TVSelangor.

Keadaan di ceramah di Dataran Sharuddin di Batu 8 ˝ Gombak semalam menjadi kecoh apabila pergaduhan berlaku di antara sekumpulan ahli Umno dan penyokong PR.

Salehuddin mendakwa seorang penyokong PR ditikam dengan Kerambit manakala batu bata dilemparkan ke arah peserta ceramah tersebut yang di dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat.

Ceramah itu menampilkan Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali, bekas Adun Ayer Molek, Melaka Datuk Tamrin Ghafar dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari.

Manakala Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata sekiranya polis gagal mengambil tindakan ia boleh mengalakkan orang lain untuk mencetuskan serangan yang serupa.

“Tidak mustahil keberanian mereka ini berpunca daripada sikap pihak polis juga yang seolah-olah mereka ini kebal dari sebarang tindakan undang-undang.

“Kejadian provokasi dan keganasan yang dicetuskan juga seolah-olah memberi signal ‘isyarat’ bahawa mereka ini akan melakukan tindakan lebih ganas di luar keterbatasan yang dibenarkan,” kata Shuhaimi lagi.

Insiden serangan ke atas ceramah PR ini bukan yang pertama.

Sebelum ini, sebuah ceramah Anwar di Lembah Pantai turut dibaling dengan batu sehingga seorang hadirin tercedera di kepala.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa pemimpin PR berceramah ke seluruh negara juga telah diserang beberapa kali di Kota Baru dan Melaka dengan disimbah dengan cat dan dibaling batu. -selangorku

Insiden Gombak Bayangan 13 Mei Yang Disebut Shahrizat?

Insiden berdarah Gombak, Umno ulangi tragedi 13 Mei – Shamsul

KUALA LUMPUR 5 Dis: Serangan samseng Umno terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua penyokong Pakatan Rakyat (Pakatan) cedera berdarah membuktikan peristiwa 13 Mei akan diulangi Umno, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau merujuk ucapan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil pada Perhimpuann Agung Umno (PAU) tempohari yang menyatakan peristiwa 13 Mei bakal berulang jika Pakatan memerintah.

“Baru saja Shahrizat mengingatkan kononnya jika Umno tidak lagi memerintah, suasana tegang akan bermula dan peristiwa 13 Mei akan berulang,” kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu ketika dihubungi.

“Inilah bukti kebenaran kata-kata beliau bahawa peristiwa itu memang akan berulang kerana dicetuskan samseng Umno yang mengamalkan politik ganas,” tempelak Shamsul.

Dalam teks ucapan Shahrizat, antaranya menyatakan bahawa:

“... Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi di negara kita…” Shamsul turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang baru meminta maaf kepada rakyat dalam PAU.

“Najib baru saja minta maaf kepada rakyat dalam Perhimpunan Umno atas segala kesilapan. Hanya beberapa hari, perkara begini (serangan) terjadi. Apakah Najib tak ada kuasa untuk halang sayap pemudanya?” tegasnya.

“Apa pula pendirian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang kononnya sering melontarkan idea bernas? Kenapa biar politik ganas menjalar? Mustahil beliau tak tahu isu ini,” katanya.

Tegas Shamsul, polis perlu ambil tindakan segera dan mengheret pihak bersalah yang menyebabkan kecederaan terhadap penyokong Pakatan ke mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak Shahrizat berdebat berhubung isu ‘Tragedi 13 Mei 1969 dan Perpaduan Nasional’.

Timbalan Ketua Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, cadangan debat ini menunjukkan kesediaan DMPP menjawab segala tuduhan dan kenyataan Shahrizat di PAU, 28 November lalu.

DMPP mahu Shahrizat sendiri berdebat dengan Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

“Kenyataan tersebut boleh mendatangkan rasa takut, cemas, rasa tidak selamat, tidak tenteram, berunsur ugutan, menghasut dan seterusnya upaya dan cenderung mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Bukti SMS Umno arah provokasi ceramah Gombak

KUALA LUMPUR 5 Dis: Serangan sekumpulan samseng terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi didahului dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berupa ‘arahan’ beberapa hari sebelumnya.

SMS itu menyatakan arahan supaya membantah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program yang diadakan di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di Gombak.

SMS itu didedahkan Ketua Cawangan PAS Kampung Gombak Utara, Haider Samsudin kepada Keadilan Daily malam tadi.

Katanya, beliau menerima SMS itu beberapa hari sebelum ceramah berlangsung.

“SMS ini disebarkan kepada orang ramai khususnya pemimpin PAS dan anggota supaya tidak turun ke ceramah. Ia juga mengandungi bukti arahan supaya rakyat turun beramai-ramai buat provokasi pada ceramah,” jelasnya.

Pada program itu, Haider cedera di kepala akibat dibaling objek keras dipercayai pasu oleh samseng Umno.

Berikut SMS tersebut:


1. Adalah dimaklumkan pada tarikh 4.12.2012 hari selasa malam, ketua pembangkang anuar ibrahim akan datang ke gombak utara bt 8, diharapkan tuan tuan dapat menurunkan seberapa ramai pemuda cawangan bagi menghalang kehadiran beliau ke gombak utara. Tuan tuan! Gombak Utara adalah maruah kita, sama samalah kita turun beramai ramai pada malam tersebut.

2. A.kum & slm perjuagan.. diseru semua ketua 4 sayap caw2 (Cawangan-cawangan). PDM (Pusat Dun Mengundi) Bt (batu) 9 Gbk (gombak) dpt (dapat) menurunkan seberapa ramai ahli caw.ke perkarangan pjb (pejabat) Dun Simpang bt 8 gbk (gombak) mlm (malam) ini jam 8mlm (malam) bg (bagi) menyokong BANTAHAN kehadiran KETUA PENGKHIANAT BANGSA ke kg kita gbk (gombak) utara.. moga kita sama2 dpt (dapat) membela kg kita & mempertahankan kubu kuat kita dr (dari) dikhianati oleh egen ZIONIS ini… su (setiausaha) pdm (Pusat Dun Mengundi) bt (batu) 9 gbk (gombak)
.

Penyebaran SMS itu turut disahkan Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Gombak, Amirudin Shari dalam kenyataan pagi ini.

“Beberapa hari sebelum program, pimpinan Pakatan Rakyat Gombak telah dimaklumkan bahawa terdapat pesanan ringkas (SMS) yang berlegar untuk menggesa Pemuda Umno Gombak turun untuk menghalang program yang akan berlangsung,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves itu.

Ekoran itu, sebagai langkah keselamatan, kepimpinan Pakatan Rakyat Gombak membuat satu laporan polis Isnin lalu di Balai Polis Gombak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. -KD