8 Jan 2010

Demo Masjid Negara

Kira-kira 200 umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini mengadakan demonstrasi untuk membantah penggunaan kalimah Allah.

Polis memantau Masjid Negara dari udara.

Di lapangan, ribuan umat Islam mengerjakan solat Jumaat, diperhatikan oleh puluhan anggota polis.

Kawalan keselamatan ini bertujuan menghindar tunjuk perasaan yang dikhuatiri boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

Beberapa kain rentang dinaikan untuk mengenengahkan isu keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar kristian menggunakan kalimah Allah.

Namun umat Islam sendiri membuktikan mereka tidak cepat mengikut emosi.

Solat Jumaat berjalan lancar dan jemaah menghayati khutbah yang disampaikan bersabit isu yang dibicarakan.

Selain ribuan jemaah yang mengerjakan solat Jumaat, turut hadir wakil-wakil yang menggelar diri sebagai Gerakan Bantah Penggunaan Kalimah Allah.

Mereka ini mewakili persatuan seperti TERAS, PERKASA, PERSATUAN PENGGUNA Islam MALAYSIA (PPIM), PEWARIS, dan Kimma dan Pekida.

Tujuan mereka ialah meraih sokongan jemaah untuk menyertai tunjuk perasaan bersabit isu penggunaan kalimah Allah.

Namun hanya kira-kira 200 orang jemaah yang meluangkan masa untuk mendengar ucapan wakil badan-badan itu.

Pemimpin wakil-wakil berkenaan bertegas bahawa kalimah Allah hanya untuk kegunaan umat Islam.

Kehadiran anggota polis memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini dan tunjuk perasaan oleh badan-badan ini bersurai selepas kira-kira 15 minit.



Inkues Ditangguh, Beri Laluan Kes Raub Hina Mahkamah Terlebih Dulu

Inkues mendiang Teoh Beng Hock sekali lagi ditangguhkan untuk memberi laluan kepada kes menghina mahkamah oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani didengar terlebih dahulu pada 15 Januari ini.

Hakim Mahkamah Koroner Azmil Muntapha Abas semalam mengarahkan supaya prosiding terhadap Raub dijalankan terlebih dahulu berikutan keluarga Teoh memfailkan permohonan itu.

Pada 1 Januari lalu, Raub memfailkan laporan polis terhadap pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand ekoran tersiarnya sebuah artikel bertajuk "Pornthip sahkan Beng Hock mati dibunuh" di akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan.

Para peguam Teoh, Karpal Singh dan Gobind Singh Deo memfailkan permohonan menghina mahkamah di bawah Seksyen 5, Akta Kesaksian, Penculikan dan Ugutan 1947.

Dalam laporan polis, Raub mendakwa Dr Pornthip telah "membocorkan" maklumat kepada orang-orang yang tidak layak memperolehinya mengenai laporan forensik ke atas bedah siasat kali kedua pada 22 November
lalu.

Mereka juga memfailkan permohonan bagi mendapatkan laporan-laporan polis yang dibuat oleh pegawai-pegawai SPRM dan supaya mahkamah juga boleh memperolehinya.

Hakim mengarahkan supaya peguam SPRM, Abdul Razak Musa menyerahkan laporan-laporan itu di mahkamah hari ini.

Dr Shahidan Md Noor menyerahkan laporan bedah siasatnya di mahkamah semalam. Bagaimanapun laporan bedah siasat kedua daripada Dr Pornthip dan laporan daripada patologi British, Dr Peter Vanezis belum diserahkan lagi.

Gobind berkata, "laporan polis yang dibuat oleh Raub berupa ugutan. Ekoran dari itu, Dr Pornthip berkemungkinan tidak akan hadir untuk memberi keterangan pada ikues ini. Oleh itu, prosiding menghina mahkamah hendaklah didengar terlebih dahulu."

Beliau berkata, integriti sistem kehakiman di Malaysia menjadi persoalan jika Dr Pornthip gagal hadir kerana takut akan akibatnya daripada tindakan peguam negara dan pihak polis ekoran dari laporan itu.

"Kami telah diberitahu oleh para peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor bahawa Dr Pornthip telah dinasihatkan supaya mendapatkan pandangan sama ada beliau harus datang ke Malaysia," tambah beliau. -FMT

Isu kalimah "Allah": Umno terlalu agresif

Kemarahan umat Islam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah mingguan “Herald The Catholic Weekly” menggunakan kalimah “Allah” boleh diterima dengan fikiran yang terbuka dan berlapang dada.

“Tetapi tindakan Umno yang terlalu agresif dan memprovokasi keputusan mahkamah itu mungkin timbul dari rasa benci kepada bukan Islam,” kata Setiausaha DAP Ipoh Barat, P Sugumaran (gambar) kepada Free Malaysia Today, hari ini.

Sugumaran berkata, beliau ingin mengajak seluruh umat Islam untuk melihat perkara ini dari beberapa sudut pandangan seperti mana yang dikatakan oleh pemimpin PAS.

Katanya, “keharmonian negara amat penting dan kesejahteraan rakyat harus dijadikan agenda utama pentadbiran kerajaan. Saya cukup menghormati para pemimpin PAS yang mengambil pendirian untuk tidak mahu bertindak secara agresif dan provokatif dalam isu ini.”

“Saya pasti bahawa PAS mempunyai prinsip perjuangan dan pembelaan yang berbeza dalam konteks ini bila mana mereka berinteraksi dengan semua golongan secara rasional,” tambahnya. -FMT

Umat Islam berhati-hati terhadap tunjuk perasaan anjuran NGO

Beratus ribu umat Islam menunaikan solat Jumaat di Selangor dan Kuala Lumpur di bawah pengawasan polis yang di kerah untuk membanteras sebarang tunjuk perasaan berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh sebuah akhbar Krisitian.

Wartawan TVSelangor Salmiah Drahsin melaporkan bahawa keadaan tenang di Masjid Negara, Kuala Lumpur sungguhpun beberapa kain rentang dinaikan untuk menyatakan pendirian pihak berkenaan mengenai isu itu.

Antara lain kain rentang itu menyebut “Jangan Politikan Isu Kalimah Allah” – merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin kerajaan menyokong tunjuk perasaan dikhuatiri boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

Dianggarkan satu ribu akan menyertai tunjuk perasaan di sini, menggabungkan pengikut beberapa badan bukan kerajaan seperti Teras, Perkasa, PPIM, Pewaris, Ikim.FM, Macma, PUM, JIM, Darusyifa, PJPIM, IRIMM, AMB dan Kimma.

Dalam pada itu, khutbah Jumaat di Masjid Negara dan masjid-masjid lain berpaksi kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar Krisitian The Herald menggunakan kalimah Allah.

Khutbah itu menzahirkan kebimbangan pihak tertentu menggunakan kalimah Allah untuk mengelirukan orang Islam dan menghina agama Islam.

Iman Masjid Negara meminta jemaah supaya menolak keputusan mahkamah itu yang sudah pun di tangguh perlaksanaannya buat sementara waktu.
Selesai solat jumaat itu, beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan memberi ucapan kira-kira 15 minit mengenai isu itu.

Hanya kira-kira 200 orang mendengar ucapan itu sebelum bersurai.

Sementara itu di Masjid Negeri Shah Alam, ribuan umat Islam turut mengerjakan solat Jumaat dalam keadaan aman dan tenang dengan di pantau oleh polis.

Selesai usai solat Jumaat, pasukan polis berkawal di disekitar pintu masuk masjid.

Wartawan kami, Yusmawati Yusof melaporkan perhimpunan membantah penggunaan nama Allah di adakan dalam dewan masjid.

Perhimpunan yang disertai 500 orang ini dianjurkan Angkatan Belia Islam Malaysia Selangor, Persatuan Ulama, dan Persatuan Imam dan Pegawai-Pegawai Masjid Selangor.

Sebuah kain rentang mengandungi tandatangan membantah penggunaan kalimah Allah direntang berhampiran pintu masuk.

Manakala di Masjid Jamek Kampung Baru, penunjuk perasaan berhimpun dalam perkarangan masjid.

Laungan takbir bergema seusai solat Jumaat, menarik kehadiran jemaah masjid ke perhimpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia ini.

Keadaan aman di Lembah Kelang semasa solat Jumaat itu menyusul tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyerang sekurang-kurangnya tiga gereja Kristian menggunakan bom petrol atau molotov cocktail.

Bagaimanapun tidak ada sesiapa yang cedera dalam serangan ke atas Gereja Metro Tabernacle A/G, di Jalan 4/4C Desa Melawati, Gereja Assumption, Petaling Jaya dan Live Chapel Church di Seksyen 17, Petaling Jaya,

Kejadian berlaku antara tengah malam semalam dan pukul sembilan pagi ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan serangan ke atas gereja itu bukan didalangi oleh ummah yang mengutamakan kesucian agama Islam.

“Islam melarang umatnya daripada merosakan tempat beribadat orang Islam dan bukan Islam. Saya yakin tindakan (serangan) ini adalah perbuatan politik oleh pihak tertentu untuk menangguk di air keruh,” kata Mahfuz. Berita -TVS Foto - BH

Najib Melenting, Zaid Mahu UMNO Bertanggungjawab Terhadap Serangan Gereja

Datuk Seri Najib Razak dengan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa Umno membakar perasaan tidak puas hati ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan perkataan "Allah", yang turut menyebabkan tiga gereja diserang sejak tengah malam tadi.

"Jangan menuding jari ke atas Umno ataupun mana-mana pihak.

"Kami sentiasa sangat bertanggungjawab, jangan kata serangan ini dihasut oleh Umno," kata Najib yang kelihatan tidak gembira apabila ditanya sama ada ahli-ahli politik khususnya dari Umno seharusnya dipersalahkan kerana mengapi-apikan situasi yang tegang sekarang.

Sebaliknya beliau marah wartawan ini yang mengajukan soalan sama ada Umno wajar diperslahkan dalam hal ini.

Ahli Majlis Kepimpinan PKR, Datuk Zaid Ibrahim mengutuk Umno dan menggesa kerajaan mengambil tanggungjawab penuh terhadap serangan-serangan gereja sejak tengah malam tadi.

“Ia harus mengambil tanggungjawab penuh atas situasi yang semakin buruk antara masyarakat berlainan agama di negara ini dalam mengendalikan isu Allah," kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melawat gereja The Assumption di sini mengutuk serangan ke atas gereja dan menyifatkannya suatu sebagai tindakan pengecut.

"Saya menggesa polis memberikan perlindungan kepada semua gereja dan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap serangan ke atas gereja The Assumption," tambahnya.

Beliau berterima kasih kepada pihak berkuasa gereja yang memberikan jaminan mereka tidak akan bertindak balas terhadap serangan itu.

"Saya merayu kepada rakyat Selangor agar menahan diri daripada melakukan tindakan sedemikian, yang hanya mencetuskan lebih banyak masalah kepada semua orang," katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata tindakan membakar gereja dalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan bukan amalan orang Islam.

"Ia tidak sedikit pun mencerminkan sikap Islam yang sebenar terhadap penganut agama lain, sedangkan hak kebebasan beragama dijamin oleh Islam," katanya.

Beliau menegaskan, malah Allah amat melarang umat Islam bertindak terhadap mana-mana rumah ibadat penganut agama lain, sekalipun dalam peperangan sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

"Rasulullah juga mengingatkan sahabat yang menyertai peperangan supaya tidak membunuh mereka yang berlindung di rumah-rumah ibadat agama lain, sama sekali tidak bertindak membakarnya," katanya seperti dipetik dari Harakahdaily.

Begitu juga, katanya sewaktu pembukaan Makkah oleh tentera Islam yang dipimpin Rasulullah di mana penduduk yang berada di dalam rumah-rumah ibadat dijamin keselamatan mereka selain berlindung di rumah sendiri.

"PAS mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menyerang gereja berkenaan," tegasnya.
Dalam kejadian awal pagi tadi, tingkat bawah gereja Metro Tabernacle musnah akibat serangan itu.

Yusof Qardhawi dan Wahbah Zuhaili Kata Nama Allah Dibolehkan Kepada Penganut Agama Samawi

Allah Untuk Semua
Oleh Dzulkefly Ahmad

Saya amat insaf isu penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.

Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.

Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat ‘bercampur’ 60-40 atau “mixed”, kesan “senjata dua mata” atau “double-edged sword” ini tidak dapat dielakkan. Sementara ada yang suka dan menyokong, tentunya ada yang akan kecewa dan marah. Itu cabaran politik plural yang mesti didepani.

Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya, betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berpaksikan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.

Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam.

Berikut adalah penulisan secara separa ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.

Kerana kekurangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.

Perspektif Al-Quran atau Hukum dan Perspektif Pentadbiran atau Perundangan dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.

Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.

Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah “Allah” sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gurdwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama “Allah” oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?

Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.

Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Ar-Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Al-Uluhiyah).

Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 : “Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?”, Tentu mereka akan jawab “Allah”. Katakanlah “Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat “Rububiyah”(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Al-Uluhiyah).

Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama “Allah” adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.

Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat “persaudaraan agama samawiyat”, paling tidaknya.

Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau semacam memaksa mereka cari Tuhan yang lain. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua umat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran: “….kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri”…..Surah Al-Ankabut:46.

Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima “Allah”, walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita.

Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya. Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama “Allah”, maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama “Allah” itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.

Hal ini juga dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri. Ini aspek pengurusannya atau Siyasah Syariahnya, supaya dijaga maslahahnya dan dijauhkan mafsadah atau kemudharatanya. Jelasnya begitu.

Sebenarnya, perkara itulah yang dimaksudkan dengan Perkara 11(4) dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya di pihak berwajib menjaga pentadbiran kebebasan bergama supaya tidak timbul huru-hara dan ketidakstabilan dan dikekalkan keharmonian. Pada waktu yang sama agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam seperti terkandung Perkara 11 (4). Semuanya telah diperuntukkan. Ini wajib dijaga dan perlu juga peraturan. Adakan peraturan. Jangan haramkan penggunaan nama Allah, tak selesai masalah.

Sebab itu juga keputusan PAS menekankan supaya jangan ada pihak yang terlalu agresif dan melakukan provakasi sehingga mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian antara agama dan konflik antara kaum-budaya. Itu saja. Mengapa sampai nak berperang? Mengapa sampai nak berdemonstrasi? Kata 1 Malaysia? Mengapa perlu menimbulkan kesangsian dan syak wasangka sehingga menjejaskan keharmonian antara agama? Siapa yang mempolitikkan isu ini?

Dari sekadar memperjuangkan isu penggunaan eksklusif nama “Allah” itu, adalah lebih penting untuk umat Islam memperjuangkan apa yang Allah perintahkan ke atas kita, yakni menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran termasuk membenteras rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, membasmi kemiskinan, keruntuhan moral dan akhlak serta kezaliman yang diinstitusikan.

Dengan mempertegaskan sikap dan pendirian yang jauh berbeza dengan Umno, PAS telah benar-benar membawa kesedaran rakyat dalam “Politik Baru” bahawa agama mampu menyatukan dan tidak memecahkan umat manusia. PAS mahukan supaya dianjurkan dialog dan diskusi bagi mengangkat dan mendalami lagi persefahaman antara agama dan budaya supaya “Politik LiTa’arafu” atau Politik Saling Mengenali-menghormati akan dapat dibudayakan.

Andainya PAS konsisten dan terus iltizam dengan kerangkan pemikiran (fikrah) ini, maka tajribah atau eksperimen ini jelasnya adalah satu pengalaman baru dalam “Political Islam” yang sekaligus akan meletakkan PAS dan gerakan Islam dipersada politik global bagi menyumbang kepada kebangunan semula tamaddun manusia yang berteraskan nilai moral serta integriti yang tinggi yang bersendikan tuntutan agama dan wahyu.

Gereja Di Desa Melawati Diletupkan

Sebuah gereja di Desa Melawati telah diletupkan pada tengah malam tadi seiringan dengan amaran polis kepada kumpulan masyarakat Islam supaya tidak mengadakan demonstrasi membantah Catholic Herald menggunakan kalimah “Allah” di dalam seksyen Bahasa Malaysianya.

Serangan ke atas Metro Tabernacle A/G, sebuah gereja di Jalan 4/4C Desa Melawati, telah memusnahkan pejabat pentadbiran di tingkat bawah. Tiada kecederaan dilaporkan akibat serangan tengah malam itu.

Polis masih cuba mengenalpasti penyerang berkenaan dan belum ada yang tampil bertanggunggungjawab terhadap insiden yang berkumngkinan boleh dikaitkan dengan kemarahan sesetengah pihak terhadap keputusan mahkamah pada 31 Disember lalu. Penghakiman berkenaan telah ditangguhkan perlaksanaannya denga rayuan di pihak kerajaan.

Menurut saksi yangbaru selesai minum kopi di kedai berdepanan dengan gereja berkenaan, tiga atau empat orang dengan dua motosikal telah berhenti di hadapan gereja itu.

"Mereka memecahkan panel kaca di tingkat bawah sebelum mencurahkan cecair pembakar dan kemudian membakarnya," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak gereja.

Gereja itu ditempatkan di bagunan rumah-kedai tiga tingkat dengan menjadikan pejabat di tingkat bawah. Kakitangan gereja telah membuat laporan polis terhadap kejadian berkenaan.

Sebelum itu, lamanweb kehakiman telah diceroboh dan kemudian tidak boleh diakses.

Gereja Metro Tabernacle tidak ada hubungan dengan Gereja Katolik Roman yang telah mencabar penghakiman 2007 untuk menghentikan penggunaan kalimat “Allah” bagi menampilkan Tuhan Kristian di dalam majalah Herald.

Majalah Herald diedarkan secara ketat di dalam negara ini kepada anggaran 850,000 Katolik yang melakukan ibadat mereka di dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Bahasa Malaysia.

Gereja Katholik Roman telah bersetuju untuk tidak membantah penangguhan penghakiman untuk tujuan "keselamatan negara" kerana terdapat bantahan dari kalangan umat Islam terhadap keputusan mahkamah tinggi dan mengugut untuk berdemo.

Kumpulan itu telah dikatakan akan menganjurkan demo selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur hari ini sekalipun pihak polis telah mengeluarkan amaran supaya tidak berdemo.

Perdana Menter Datuk Seri Najib Razak dan sepupunya Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein telah mempertahankan hak para pendemo untuk berdemo di kawasan masjid.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamad Sabtu Osman berkata terlalu awal untuk mengkaitkan serangan ke atas gereja itu dengan protest terhadap kalimah Allah.

"Kami masih menyiasat," katanya kepada Associated Press. Beliau juga meminta umat Islam Muslims tidak menyertai demo yang dirancangkan, dan menambah bahawa polis akan di hantar ke masjid-masjid untuk memantau keadaan.

Polis menghadkan perkumpulan tidak melebihi lima orang dan lazimnya akan mengambil tindakan, termasuk menggunakan gas pemedih mata dan air berasid untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Ulasan GB

Jika benar ia dilakukan oleh umat Islam, ia sesuatu yang amat mengecewakan hasil dari tindakan emosional serta tidak bertanggungjawab.

Ia berlaku apabila kejahilan menguasai diri dan mereka yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan juga keagamaan di dalam isu kalimat Allah perlu merenung terhadap implikasi buruk yang menimpa agama Islam dan umatnya ekoran kejadian itu.

Isu Kalimah Allah : DPPP Sedia Berdialog Dengan Ketua Paderi

Dewan Pemuda Pas Pusat sedia berdialog dan berbincang dengan ketua paderi roman katolik Kuala Lumpur sebagai usaha menjelaskan isu sebenar berhubung penggunaan kalimah Allah dalam akhbar The Herald.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, penjelasan dan perbincangan adalah penting sebagai memperbaiki segala salah faham yang berlaku pada hari ini.

Menurutnya, peranan dan tanggungjawab Dewan Pemuda Pas untuk menjelaskan kedudukan isu adalah penting supaya keadaan tidak bertambah buruk.

“Itu memang sikap kitalah. Kita akan memberikan penjelasan dan kita akan berikan hujah bagi melihat kedudukan sebenar isu ini dan kita akan melihat apa sebenarnya tindakan mereka, apa sebenarnya tujuan mereka, apa maksud mereka, apa motif mereka,” katanya.

Nasrudin berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas tentang pertemuannya bersama Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

Menurutnya, dalam perbincangan itu nanti Dewan Pemuda Pas akan menyatakan sikap umat Islam serta prinsip-prinsip Islam terhadap isu ini.

Walau bagaimanapun, tarikh serta tempat pertemuan itu masih belum ditetapkan dan bergantung kepada kelapangan pihak paderi terlibat.

“Itu kita belum putuskan lagi dan kita cadang akan adakan buat di pejabat Tan Sri Murphy sendiri. Kita dah hantar surat dan masih menunggu respon daripada pihak mereka. Kita juga masih belum menetapkan tarikh dan terbuka kepada pihak mereka pada bila-bila masa sahaja," katanya. - FANSURINA ABDULLAH (TVS)



Koroner Perintah Laporan Polis Diserahkan Ke Mahkamah

Koroner Azmil Muntapha Abbas memerintahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyerahkan salinan laporan polis yang difailkan pegawai SPRM Raub Ghani kepada semua panel peguam yang terlibat dalam Inkues Kematian Setiausaha Exco Teoh Beng Hock.

SPRM diarahkan berbuat demikian esok selepas peguam mewakili keluarga mangsa Karpal Singh memohon untuk meneliti laporan tersebut dan mengambil tindakan susulan.

Pihak keluarga sebelum ini menyelar tindakan SPRM memfailkan laporan polis itu, yang didakwa cuba mengugut Pakar Patologis Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Dr Pornthip yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor menemui kesan-kesan yang menunjukkan mangsa mungkin telah dibunuh, sebelum mayatnya ditemui terdampar di bumbung tingkat 5 bangunan Plaza Masalam.

Sehubungan itu, Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan 15 Januari ini bagi mendengar permohonan keluarga mangsa yang mahu pegawai SPRM terbabit dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah.

Keputusan ini dibuat selepas mahkamah yakin bahawa tindakan pegawai SPRM ini boleh menjejaskan penyiasat inkues keatas punca kematian mangsa.

“Hari ini kami bangkitkan sama ada ia perlu diselesaikan dahulu dan mahkamah setuju dengan kami bahawa permohonan menghina mahkamah sangat serius kerana ia mengganggu prosedur inkues. Saya setuju dengan pandangan keluarag Beng Hock bahawa laporan polis SPRM adalah perangkap dan cubaan menakutkan,”katanya peguam mewakili Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihak keluarga kesal dengan apa yang disifatkan satu perangkap oleh SPRM. Lantaran itu pihaknya mengalu-alukan perintah mahkamah menangguhkan tarikh memanggil Dr Pornthip sebagai saksi sehingga isu ugutan ini selesai.

“Dr Pornthip mungkin boleh ditahan, ditangkap jika ke sini kecuali jika Peguam Negera dapat memberi jaminan. Sebab itu adalah penting untuk menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan dakwaan menghina mahkamah terlebih dahulu dan bukannya menetapkan tarikh memanggil saksi. Ia lebih serius,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Karpal Singh dan Timbalan Pendakwaraya SPRM Datuk Abdul Razak Musa bertikam lidah mendebatkan dalang laporan polis ini.

Raub mendakwa beliau telah diarah untuk memfailkan laporan polis terhadap Dr Pornthip selepas akhbar Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan, menyiarkan rencana kematian Teoh 29 Disember lalu.

SPRM bagaimanapun menyangkal pengakuan itu dan mendakwa Raub berbuat demikian atas kapasiti peribadi.

“Saya tidak mempunyai salinan laporan itu. Saya perlu mendapatkannya daripada pegawai terlibat kerana ia merupakan laporan yang dibuat oleh individu. Ia sesuatu yang bersifat peribadi,”katanya Timbalan Pendakwaraya SPR, Abdul Razak Musa.

Hujah Razak bagaimanapun disanggah keras oleh peguam mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, dan keluarga mangsa.

“Dalam laporan polis itu tercatit bahawa laporan yang dibuat mewakili SPRM dan ia tidak menyatakan laporan itu dibuat oleh individu. Difahamkan laporan itu juga dibuat atas arahan Ketua SPRM,’”katanya.

Sementara itu Karpal di luar mahkamah berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Raub kerana tindakan cuba menakutkan saksi iaitu pakar patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand.

“Saya terkejut Timbalan Pendakwaraya SPRM dalam mahkamah mengatakan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Raub Gani dan satu lagi laporan tyerhadap Suara Keadilan dibuat atas kapasiti individu pegawai SPRM.

“Selepas mendapat salinan laporan itu, sesorang perlu membuat laporan polis terhadap Raub Gani dan tindakan akan dibuat terhadap dia. Bukan hanya menghina mahkamah tetapi kita akan dakwa di bawah Seksyen 5 Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947,”katanya Karpal Singh. -TVS



Qazaf: Mahkamah Syariah Dengar Permohonan Anwar 13 Januari

Mahkamah Syariah menetapkan Rabu depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengarahkan pihak berkuasa Islam Wilayah Persekutuan memulakan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Permohonan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan gagal mengambil tindakan wajar ke atas aduan Qazaf terhadap Saiful yang difailkan hampir 18 bulan lalu.

Anwar telah menfailkan aduan Qazaf itu setelah Saiful membuat pertuduhan liwat terhadap beliau walaupun laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mendapati tidak ada bukti forensik menunjukkan Saiful diliwat.

Hari ini, Anwar meminta Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie JAWI dan pengarahnya serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meneruskan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful.

Anwar berkata pertuduhan liwatnya di Mahkamah Sivil telah dibiar berterusan dengan pelbagai kekangan yang beliau percaya berpunca daripada campur tangan politik.




Qazaf: Anwar Bidas UMNO Cuba Kekang Keadilan Islam

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pimpinan Umno yang cuba menafikan keperluan pihak berkuasa Islam untuk bertindak ke atas aduan Qazafnya terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom memberitahu Parlimen sebelum ini, siasatan Qazaf terhadap Saiful terikat kepada perbicaraan Anwar atas tuduhan liwat di Mahkamah Sivil.

“Saya terkejut dengan kenyataan Menteri yang membuat kenyataan politik di parlimen pada 27 Oktober bahawa keputusan pendakwa qazaf itu hendaklah menunggu perbicaraan liwat di Mahkamah Tinggi Sivil,” Anwar memberitahu pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur".

“Sejak bila Mahkamah Syariah harus tunduk di bawah Mahkamah Sivil?,” kata Anwar. Kes ini berbeda dengan kesalahan jenayah liwat lain. Ini bersabit kes qazaf.” tambah beliau.

Mahkamah Syariah hari ini menetapkan Rabu depan untuk mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengarahkan pihak berkuasa Islam Wilayah Persekutuan memulakan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful.

Permohonan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan gagal mengambil tindakan wajar ke atas aduan Qazaf terhadap Saiful yang difailkan 18 bulan lalu.

Anwar menfailkan aduan Qazaf itu setelah Saiful membuat pertuduhan liwat terhadap beliau walaupun laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mendapati tidak ada bukti forensik menunjukkan Saiful diliwat.

Anwar meminta Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie Kuala Lumpur, Pengarah JAWI dan Datuk Jamil meneruskan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful.

Anwar berkata pertuduhan liwatnya di Mahkamah Sivil telah dibiarkan berterusan dengan pelbagai kekangan yang beliau percaya berpunca daripada campur tangan politik. -TVS



Kerajaan, KDN Politikkan Isu Kalimah Allah

Pakatan Rakyat membidas tindakan kerajaan Umno-BN dan Kementerian Dalam Negeri mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah untuk semata-mata meraih sokongan orang Melayu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Umno-BN seharusnya bertindak mengadakan dialog dengan semua pihak berkepentingan dan tidak membiarkan isu itu melarat hingga ke peringkat mahkamah.

“Dan kini, setelah mahkamah membuat keputusan... Kementerian Dalam Negeri pula menyokong tunjuk perasaan oleh pelbagai pihak pada ketika emosi agama orang ramai melayang pada tahap yang begitu tinggi,” kata Anwar.

“KDN jelas bersifat pilih bulu untuk membenarkan tunjuk perasaan tertentu dan memukul penujuk perasaan lain pada perhimpunan yang tidak digemarinya,’ tambah Anwar.

Anwar berkata daripada memberi sokongan terbuka kepada protes dan tunjuk perasaan esok, kerajaan Umno-BN seharusnya menganjurkan dialog antara kumpulan berkepentingan bagi memastikan kepentingan Islam dan agama lain dipertahankan.

Beliau berkata dialog sedemikian akan memastikan penyelesaian yang rasional dan bersandarkan penelitian mendalam yang boleh diterima oleh semua pihak.

“Saya percaya kepada kebebasan bersuara tetapi KDN harus bersikap adil dan tidak memilih untuk menyokong kebebasan itu hanya dalam kes-kes tertentu,” tambah Anwar. -TVS