17 Jan 2015

Zahid Ingat Dia Boleh Perbodohkan Rakyat Malaysia Seperti Dia Perbodohkan Kabinet


Semua bekas Menteri Dalam Negeri tulis surat secara unilateral pada FBI?

GELANG PATAH, 16 JAN: Semua bekas Menteri Dalam Negeri perlu bersuara dan membersihkan nama mereka dari tuduhan Datuk Seri Zahid Hamidi, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ini kerana Zahid dalam kenyataannya semalam berkata, Menteri Dalam Negeri sebelum beliau pernah mengeluarkan surat kepada FBI tanpa kebenaran dan pengetahuan Kementerian.

“Benarkah Menteri Dalam Negeri sebelum ini juga pernah menulis surat secara unilateral kepada FBI, tanpa pengetahuan pihak polis dan Ketua Polis Negara pada waktu itu?

“Maka menteri-menteri terdahulu jauh lebih tidak berdisiplin, liar dan melulu daripada apa yang disangkakan rakyat Malaysia.

“Bekas Menteri Dalam Negeri seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid mesti bersuara dan membersihkan nama mereka,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu kata Kit Siang, Zahid tidak boleh menyangka bahawa rakyat Malaysia bodoh walaupun dia telah berjaya ‘memperbodohkan’ kabinet

Zahid sebelum ini berkata kabinet menerima penjelasan versinya tentang surat kepada FBI menerangkan status ‘raja judi 14K Paul Phua Wei Seng’ yang didakwa menjalankan perjudian haram di Las Vegas.

“Saya tak sangka kabinet boleh terima penjelasannya, dan saya pasti takkan ada menteri berani cakap secara terbuka dia percaya penjelasan Zahid itu,”ujar Kit Siang.

Sedangkan Zahid itu dalam suratnya menyatakan Paul Phua membantu “kemanan negara” dan ‘selalu dipanggil untuk membantu dari masa ke semasa’

Malah Zahid menyatakan ‘sangat suka jika Phua kembali ke Malaysia, dan pelepasannya memberi kesan baik dalam hubungan baik antara dua negara, lebih-lebih lagi dalam pertukaran maklumat.

“Saya tak sangka Zahid ada masalah kefahaman dan percaya suratnya itu akan dilihat oleh FBI tidak mempunyai makna, kosong, dan tidak penting,”
kata Kit Siang

Dalam kenyataannya juga, Kit Siang mempersoalkan mempersoalkan tindakan Zahid yang menyorokkan maklumat ‘projek-projek keselamatan negara’ di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Apakah Kabinet yang menerima penjelasannya tahu apa ‘projek-projek keselamatan’ itu?

“Jika ya, kabinet bertanggungjawab penuh terhadap surat Zahid kepada FBI,”
ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi. – Roketkini


Zahid beri penjelasan pada Kabinet mengenai surat kepada FBI

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mendengar penjelasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung surat yang dihantarnya kepada Federal Bureau of Investigation (FBI) berkaitan warganegara Malaysia Paul Phua Wen Seng, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beri keterangan dalam mesyuarat Kabinet. Kami dengar penjelasan yang diutarakan oleh beliau, kami bersetuju penjelasan yang diberi," katanya ketika ditanya pemberita sebab Zahid menulis surat itu kepada FBI dan bukannya Kementerian Luar.

Anifah ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia, Alaihuddin Awang Mohd Taha dan Duta Timor-Leste ke Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias di Wisma Putra di Putrajaya, hari ini.

Mengenai butiran penjelasan yang diberi Zahid, Anifah berkata soalan berkenaan wajar ditanya kepada menteri dalam negeri berkenaan.

Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld memohon Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

Pada 18 Disember, 2014, Zahid menulis kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano menyatakan Phua bukan anggota kongsi gelap 14k dan kumpulan 14k tidak pernah wujud di Malaysia. – Bernama
-TMI


[BONGKAR] Siapa Sebenarnya Yang Arah Bunuh Altantuya?


Saya pertama kalinya dapat melihat wajah sebenar Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang disiarkan dalam media massa setelah didedahkan oleh pihak polis.

Terdetik di hati perasaan simpati dan sedih atas kejadian yang menimpa mereka. Benar, hukuman terhadap mereka telah diputuskan oleh mahkamah. Kedaulatan undang-undang mestilah dihormati demi menegakkan keadilan. Keputusan mahkamah itu dihormati oleh semua pihak.

Namun, bagi saya kedua-dua bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman sepatutnya menjadi hero rakyat dan negara tetapi terbabit dalam suatu situasi yang sukar dirungkaikan.

Apatah lagi, apabila terbaca laporan akhbar Sinar Harian online hari ini bahawa ibu kepada Sirul iaitu Piah Ahmad atau Mak Long Piah menyatakan bahawa anaknya pernah memberitahunya bahawa tindakannya itu dilakukan atas arahan seseorang dan dia terpaksa mengikutnya.

Kita sebagai rakyat Malaysia pastinya tertanya-tanya siapakah “seseorang” yang dimaksudkan Sirul. Sementelahan pula, memang diketahui umum bahawa Azilah dan Sirul tiada apa-apa kepentingan dan hubungan dengan Altantuya. Jadi tidak ada sebab untuk mereka membunuhnya.

Bagi saya, walaupun siapapun “seseorang” yang dimaksudkan itu, jangan mana-mana pihak mengambil kesempatan atas sumpah setia dan patuh kepada arahan dalam mana-mana pasukan beruniform khususnya polis dan tentera.

Jika benarlah ada “seseorang” yang mengarahkan pembunuhan itu dibuat, dan mahkamah dunia gagal mengesannya, sebagai orang Islam tentu kita percaya bahawa akan ada satu lagi mahkamah yang maha adil iaitu mahkamah akhirat. –HDbr />



Ibu doakan Sirul Azhar pulang

SEBERAT mana pun tuduhan yang dikenakan ke atasnya, sebesar mana pun kesalahannya, namun anak tetap anak!

Apa saja berita tentang darah daging yang pernah dikandung sembilan bulan, dibesarkannya itu, tidak mungkin dapat ditepis dan dibiarkan dibawa angin lalu.

Tidak dapat digambarkan kesedihan seorang ibu apabila mengenangkan nasib anak keempat daripada lapan beradik iaitu bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Koperal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan, kelmarin.

Menjejaki rumah pusaka didiami Sirul Azhar bersama keluarga sejak kecil di kampung halamannya di Batu 8, Trong, Taiping, tidaklah sukar.

Pertemuan singkat dengan Piah Ahmad, 71, atau lebih mesra dipanggil Mak Long Piah, tidak banyak sedikit, dapat berkongsi duka si ibu tua.

Ikuti luahan ibu kandung Sirul Azhar seperti diceritakan kepada Wartawan Sinar Harian, NURUL MAZWANA HAMDAN, semalam.

Pintu rumah dibuka kecil. Separuh tubuhnya disembunyikan di balik daun pintu. “Apa yang boleh Mak Long cakap? Hukuman sudah diputuskan hakim, sudah dijatuhkan mahkamah," ibu tua itu bersuara lemah.

Sebagai seorang ibu yang sentiasa mengharapkan kesejahteraan anaknya, dia hanya mampu memanjatkan doa dan berharap anaknya itu kembali semula ke tanah air.

“Dah lama kami terputus hubungan. Kali terakhir kami berjumpa tahun lalu semasa dia datang jemput anaknya.

“Sebagai ibu, siapa yang tidak sedih mengenangkan nasib anak, tambahan pula ketika ini Mak Long tidak tahu di mana dia berada.

“Mak Long reda dengan keputusan yang sudah ditetapkan mahkamah. Itu ketentuan Tuhan. Sudah bahagian dia begitu, tapi kalau boleh Mak Long nak dia pulang.

Mak Long nak jumpa anak Mak Long, nak pegang tangan dia, nak sentuh pipi dia,” katanya.

Air yang sejak awal bergenang di kelopak mata Mak Long sudah jatuh ke pipi. Mak Long tunduk, sambil menahan sebak di dada.

“Walaupun amat berat untuk terima, Mak Long harus kuat terima semua ketentuan ini,” dia kembali bersuara. Riak duka masih jelas di wajahnya.

“Doa Mak Long untuk Sirul tidak pernah putus. Setiap hari Mak Long mohon ALLAH lindungi dia, pelihara dia. Mak long selalu solat hajat untuknya.

Menurut Piah, sudah lama dia tidak tonton televisyen kerana ia akan membuatkannya lebih sedih apabila mengenangkan anaknya itu.

“Sirul pernah cakap pada Mak Long, tindakannya itu dilakukan atas arahan seseorang dan dia terpaksa mengikutnya.

“Tidak kira apa pun yang berlaku, sebagai seorang ibu, Mak Long harap dia dapat pulang semula ke pangkuan keluarga. Saat ini itu saja yang Mak Long mahu,” katanya.

Piah kini tinggal berseorangan di rumah itu. Anak-anaknya semua sudah bekerja dan berkeluarga.

Kadang-kadang jiran-jirannya datang menemaninya pada waktu malam.
-SH


ULASAN GB

Jika benar seperti apa yang dilaporkan oleh Sinar Harian maka benarlah telahan GB sebelum ini... bahawa ada seseorang yang mengarah (mengajar?) Sirul Azhar untuk ke Australia sebelum keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis berkenaan.

Petikan:

Cukup aneh. Sirul Azhar semacam sudah tahu bahawa beliau akan menerima hukuman mati walaupun sebelumnya Mahkamah Rayuan telah membebaskannya.

Selepas itu, dia berjaya meloloskan diri lari ke Australia. Dia semacam sudah tahu (atau diajar?) supaya lari ke Australia kerana di Australia tiada hukuman mati di dalam undang-undangnya. Lantaran itu Sirul selamat dan hanya akan dilepaskan oleh Australia jika Malaysia berjanji untuk tidak melaksanakan hukuman mati berkenaan.

Kedua, persoalan "motif pembunuhan Altantuya" masih kekal misteri.

Siapa watak sebenarnya mengarahkan kedua-dua anggota polis berkenaan supaya bunuh ALtantuya?

Mengapa saksi-saksi penting tidak dipanggil dan macamana Razak Baginda boleh dibenarkan lepas dan tingal di luarnegara sedangkan perbiraaan kes Altantuya yang melibatkan dirinya masa itu masih berjalan?

menjadi pengajaran kepada anggota polis yang lain dan mana-mana penjawat awam supaya TIDAK menjadi Pak Sanggup kepada mana-mana individu atau parti politik hatta menteri sekalipun kerana anda akan menanggung akibatnya di satu hari nanti. Itu hukum SUNATULLAH!