16 Okt 2010

RPK: Dimana Rakaman Video Pengakuan Rahimi? - Ulasan GB

Peguam Anwar Dalang Pengakuan Rahimi?

Sepertimana yang saya telah beritahu Anwar minggu lalu apabila berlaku pertikaian antara kami apabila saya terlalu lantang bersuara: anda sepatutnya gembira kerana saya masih bersuara. Itu bererti saya masih mengambil berat. Bila saya berdiam diri kamu sepatutnya patut berasa bimbang. Itu bererti saya sudah tidak peduli lagi.

Raja Petra Kamarudin

Pada Jun 2008, apabila isu Liwat 2 ini meletus, saya telah pergi ke Quality Hotel di Shah Alam untuk bertemu Anwar Ibrahim dan peguam-peguamnya. Lobi hotel penuh dengan wartawan-wartawan yang dianggarkan lebih kurang 50 atau lebih, pemberita ini boleh mengesahkan pertemuan ini.

Wartawan-wartawan mula meluru ke arah saya apabila mereka melihat saya dan isteri masuk ke dalam hotel. Dengan silauan flash kamera-kamera, perakam video dan mikrofon telah ditolak dihadapan muka saya. Mereka semua mahu tahu apa tujuan saya berada di situ dan adakah ia ada kaitan dengan isu liwat ini.

Saya hanya tersenyum dan tidak menjawab banyak soalan. Saya kemudiannya naik ke tingkat atas bertemu Anwar dan peguam-peguamnya. Peguam-peguam mereka memberi saya sebuah fail tebal dengan pelbagai dokumen dan testimoni-testimoni.

Lebih kurang satu jam kemudian saya turun ke bawah dan kumpulan pemberita yang ramai itu masih di sana. Bila mereka melihat saya dan isteri keluar daripada lif, wartawan-wartawan sekali lagi tergesa-gesa ke arah saya dan mengerumuni saya. Mereka semua mahu tahu apa yang sedang berlaku di tingkat atas.

Beberapa wartawan telah perasan fail tebal berikat dengan pita merah yang saya bawa dan mereka bertanyakan apa yang ada di tangan saya. Saya pura-pura tidak faham dan mereka kata ketika saya tiba saya tidak membawa sebarang fail jadi fail ini pastinya telah diberikan kepada saya. Mereka mahu tahu apa kandungan di dalam fail itu.

Saya hanya tersenyum dan kata 'no komen'. Saya kemudian berjalan keluar, dan telah menghampakan ramai wartawan yang telah berkhemah di lobi hotel itu sejak malam semalam dan sedang kelaparan berita.

Malam itu saya kembali semula ke hotel dengan kamera video saya. Masih terdapat beberapa wartawan yang terhendap-hendap di sekitar tempat tetapi saya berjaya mengelakkan mereka dan naik ke tingkat atas di mana saya bertemu Rahimi. Saya membuat rakaman video kenyataan Rahimi dan dia telah mendedahkan apa yang telah terjadi -- dia dan Saiful bertemu Najib Tun Razak, apa yang berlaku semasa pertemuan itu, dan sebagainya.

Saya sebenarnya pernah menulis tentang perkara ini dengan perincian yang hebat.

Selepas sesi rakaman saya membuat satu salinan video dan memberikannya kepada para peguam Anwar. Saya menyimpan pita asli di rumah. Saya kemudiannya meminta kebenaran Anwar untuk menerbitkan video itu di dalam Malaysia Today tetapi Anwar tidak membenarkannya. Ia kelihatan seperti peguam-peguamnya telah menasihatkan dia tidak membenarkannya. Mereka merasakan pendedahan ini patut disimpan sebagai bukti untuk perbicaraan.

Saya memberitahu Anwar saya tidak bersetuju dengan strategi ini. Saya merasakan video ini patut dihebahkan segera. Perbicaraan tidak penting, saya memberitahu Anwar, kerana mereka akan memastikannya bersalah walau apa pun bukti yang Anwar ada.


Rahimi dan isterinya Febby


Saya dapat rasakan mereka akan sentiasa mencari pelbagai cara untuk membawanya ke penjara, dengan bukti yang dia ada sepatutnya digunakan untuk membersihkan namanya. Lantaran itu adalah lebih baik untuk menghalang setiap langkah yang mungkin mereka ambil dengan menghebahkan video itu ketika Rahimi masih lagi 'friendly party'. Wang boleh mengubah ramai orang dan jika orang-orang Najib berpeluang menghampiri Rahimi , dengan harga yang betul, dia boleh mengatakan bahawa video itu adalah tipu atau dia dipaksa untuk memberi keterangan palsu di dalam video, atau apa sahaja.

Rahimi bercakap dengan bebas dan terbuka. Saya atau isteri tidak menyeksanya atau memaksanya supaya membuat kenyataan seperti di dalam rakaman vidoe itu. Ia telah dibuat dengan relahati dan sukarela. Lagipun , saya seorang sahaja yang berada di dalam bilik itu dengannya dan tiada toughies atau pengawal-pengawal peribadi yang hadir. Dia mempunyai pilihan untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau untuk membuat kenyataan yang berlawanan dengan apa yang dia perkatakan. Ia di atas persetujuannya sendiri untuk memberi keterangan bahawa dia dan Saiful telah pergi ke pejabat Najib untuk membincangkan bagaimana untuk mencipta dakwaan liwat ke atas Anwar.

Saya berpendapat kami memiliki sesuatu yang sangat mudah meletup dan ia seharusnya segera didedahkan kepada orang awam. Tetapi Anwar mendengar pendapat peguam-peguamnya dan saya gagal membuatnya mengubah fikiran. Saya malahan berkira-kira untuk melawan Anwar dengan meneruskan menghebahkan video itu. Lagipun , saya merasakan yang peguam-peguamnya telah salah bertindak dan keseluruhan episod ini akhirnya akan mengenai muka sendiri jika mereka tidak berhati-hati.

Bagaimanapun, saya mendengar kepada Anwar, walaupun dengan berat hati, dan tidak melakukannya. Tetapi saya ada berpesan kepada Anwar yang peguam-peguamnya harus melakukan apa arahannya dan bukan dia yang mengikut arahan peguam-peguamnya. Biar peguam-peguam fokus dalam persediaan untuk perbicaraan dan serahkan strategi-strategi politik kepada kami yang lebih arif, saya beritahu Anwar. Saya juga memberitahu perkara ini kepada Datuk Kamarul Bahrin Abbas, Ahli Parlimen TELUK KEMANG, yang turut serupa -- bersetuju dengan saya dan berfikir yang peguam-peguamnya telah bertindak salah.

Tiga bulan kemudian, pada September 2008, polis datang ke rumah saya untuk menahan saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Mereka menghabiskan masa berjam-jam menggeledah rumah saya untuk mencari 'bukti'. Mereka akhirnya menjumpai koleksi video-video, VCD dan dokumen-dokumen lain.

“Ini apa?” mereka bertanya sambil memegang video.

“Ia pastinya bukan porno atau rakaman saya dan isteri sedang mengadakan hubungan seks,” jawab saya. (Saya menyembunyikan semuanya di tempat lain Boom, Rodi, Vic, MsMo and Chris boleh mengesahkannya). Ia adalah rakaman-rakaman peristiwa, saya beritahu polis.

Polis itu memaklumkan saya bahawa mereka perlu merampas semuanya. Saya membantah tetapi tidak berguna dan semua video-video saya, VCD dan dokumen-dokumen diangkut oleh pihak polis.

Dua bulan kemudian, pada November 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan saya dibebaskan. Tetapi polis tidak mengembalikan semua barangan saya yang telah mereka ambil. Sehingga hari ini polis masih memiliki video-video saya, VCD dan dokumen-dokumen.

Bagaimanapun, salinan-salinan yang saya buat semasa pengakuan Rahimi / testimoni berada bersama kumpulan peguam Anwar. Jadi apa yang telah terjadi kepada mereka? Ini adalah sesuatu yang Anwar kena jawab.

Pada 1999, semasa perbicaraan Liwat 1, saya memberitahu Anwar yang saya mendapat makluman beberapa peguam-peguamnya telah dibayar oleh UMNO. Kerja mereka ialah untuk mengganggu perbicaraan supaya kerajaan boleh mensabitkan dakwaan terhadap Anwar.

Anwar, sudah tentu, tidak mempercayai saya. Dia berfikir yang semua peguam-peguamnya adalah jelmaan malaikat. Saya merasakan bahawa ada beberapa diantaranya adalah jelmaan syaitan.

Dan ianya benar, dua daripada para peguam Anwar telahpun keluar dan menyeberangi UMNO. Mungkin mereka tidak benar-benar menyeberang kepada UMNO. Mungkin mereka sebenarnya sudah lama bersama UMNO dan berjaya telah memasuki di dalam kumpulan peguam Anwar supaya mereka boleh menjejaskan pembelaannya.

Sekarang saya bertanyakan kepada Anwar: adakah dia amat yakin dia tidak mempunyai sebarang 'tahi lalat' UMNO di dalam kumpulan peguamnya yang sedang mengusahakan perbicaraan kes Liwat 2? Jika tidak, di mana perginya salinan-salinan rakaman video yang saya telah berikan kepada mereka? Adakah ia menghilang secara misteri? Kalau begitu, bagaimana boleh hilang?

Sekarang Rahimi mendakwa dia telah dipaksa supaya menandatangani Statutory Declaration (Akuan Bersumpah). Dan saya mempunyai satu rakaman video untuk membuktikan bahawa ia tidak begitu. Tetapi polis telah mengambil pita-pita induk dan ia kelihatannya seolah-olah para peguam Anwar juga telah kehilangan salinan-salinan rakaman itu. Tidakkah anda mengesyaki sesuatu?

Sebab tu lah! Bila saya mengkritik Anwar dia menjadi sangat marah dengan saya. Bila saya menuduh yang dia dikepung oleh 'tahi lalat', Trojan Horses, Judas dan Brutus, dia kata saya bersikap nakal dan berniat jahat dan ia adalah untuk kepentingan tertentu demi wujudkan perselisihan dalam PKR. Dia merasakan saya sebuah kilang yang bermotif untuk memusnahkan perpaduan parti.

Baiklah, jawab satu soalan ini: di mana rakaman video testimoni Rahimi, yang saya telah berikan kepada peguam-peguamnya?

Aiyah Datuk Kamarul! Cakap dengan Anwar lah! Saya dah bosan nak cakap. Dan saya tahu anda juga turut merasa perkara yang sama kerana anda sudah puas mengeluh terhadap perkara yang serupa. Tetapi nampaknya kita perlu untuk menyelamatkan Anwar dari dirinya -- atau sekurang-kurangnya dari orang di sekelilingnya.

Sepertimana yang saya telah beritahu Anwar minggu lalu apabila berlaku pertikaian antara kami apabila saya terlalu lantang bersuara: anda sepatutnya gembira kerana saya masih bersuara. Itu bererti saya masih mengambil berat. Bila saya berdiam diri kamu sepatutnya patut berasa bimbang. Itu bererti saya sudah tidak peduli lagi.

Terjemahan artikel : So, who was right, Anwar or I?

Sumber: pulakdah

Ulasan GB

Apa yang dikatakan oleh RPK di atas hampir menyamai dengan apa yang GB pernah rasakan. Sebelum ini GB nyatakan ulasan GB di SINI. Petikan:

Menurut laporan itu lagi, Rahimi mendakwa dia telah dihubungi oleh Latheefa beberapa bulan yang lalu melalui telefon untuk menandatangani satu lagi akuan bersumpah.

"Dia mengatakan bahawa akuan bersumpah yang telah saya tandatangani sebelum ini telah hilang. Namun saya tidak melayan mereka dan cuba sedaya upaya menjauhkan diri dari mereka."

Dakwaan di atas juga perlu disiasat. Apakah benar peguam meminta Rahimi menandatangani semula akuan bersumpah lantaran laporan yang pertama dikatakan sudah hilang. Jika benar dakwaan itu bagaimana peguam boleh menghilangkan akuan bersumpah? Jika benar, peguam itu perlu dipertanggungjawabkan. Jika tidak, Rahimi boleh didakwa lagi oleh peguam berkenaan kerana menipu.


Dan beberapa orang peguam Anwar telah bertindak untuk menapak keluar meninggalkan Anwar diantaranya Zainur Zakaria dan Zulkifli Nordin. Malah ada yang bertindak untuk memburukkan Anwar sendiri.

Tidak mustahil akan ada lagi yang mengekorinya.

Tetapi Anwar seperti sudah tidak mempunyai kekuatannya sendiri. Yang anehnya sebagai klien peguam, Anwar tidak mampu untuk mengarahkan peguamnya apa yang sepatutnya peguam-peguam itu lakukan. Sebaliknya Anwar yang menampakkan dirinya sebagai seorang pesalah, beliau mengharapkan peguamnya untuk membantunya apa yang sepatutnya dilakukan dan dalam banyak ketika Anwar dilihat mohon dirinya dikasihani oleh peguam-peguam terbabit.

GB hairan sebenarnya sikap Anwar tersebut. Dan di dalam pemilihan kali ini Anwar terlalu berpihak kepada Azmin. Anwar tidak berkecuali malah dilihat sebagai lansung tidak berkecuali. GB sudah mengulasnya di SINI.

Penutupnya: GB ingin meminjam kata-kata RPK: Anwar sepatutnya gembira kerana saya masih bersuara. Itu bererti saya masih mengambil berat. Bila saya berdiam diri kamu sepatutnya patut berasa bimbang. Itu bererti saya sudah tidak peduli lagi.



Banyak Hotel Dikesani Guna Ramuan Tidak Halal

Kuantan - Beberapa hotel di daerah Cameron Highlands yang memohon logo halal tidak prihatin dengan penggunaan bahan masakan di premis mereka kerana masih menggunakan bahan tidak halal.

Penolong Pengarah Pengurusan Halal, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan bin Abdul Manan berkata, pemantauan Jawatankuasa Kajian Makanan Dan Barang Gunaan Orang Islam Pahang ke beberapa hotel di daerah itu mendapati tahap kesedaran dan keprihatinan pihak pengusaha hotel terhadap standard halal perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, walaupun kesedaran untuk mendapat sijil halal adalah tinggi tetapi kefahaman terhadap standard halal kurang memuaskan.

“Lebih mengejutkan ada dapur hotel yang menggunakan produk terutama sos salad yang jelas mengandungi alkohol dan tidak dibenarkan penggunaannya sama sekali bagi maksud persijilan halal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa halal mengingatkan pengusaha hotel mengenai garis panduan yang wajib dipatuhi jika mereka berhasrat memohon sijil halal.

Katanya, memang ada pelbagai pilihan sos yang digunakan sebagai ramuan sajian tetapi pihak hotel perlu menukar produk yang tiada perakuan halal kepada produk yang diperakui halal dan suci.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada masalah untuk mendapatkan jenama yang mempunyai sijil halal di negara ini kerana banyak pilihan yang terdapat di pasaran.

“Kita nasihatkan supaya pengurusan hotel perlu bijak memilih produk yang tidak dikilangkan di Malaysia seperti bahan-bahan di dalam tin serta ramuan yang digunakan untuk penyediaan masakan barat,” katanya.

Lawatan pemeriksaan dan pemantauan disertai 14 pegawai Jaip, Jabatan Kesihatan Cameron Highlands, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cameron Highlands dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Raub.

Sementara itu, Noridzuan kesal kerana ada pengusaha hotel yang masih keliru mengenai status persijilan yang dibenarkan Jaip dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Masih ada pengurusan hotel yang keliru mengenai status sijil halal dari pihak swasta sedangkan sijil berkenaan tidak sah.

Menurutnya, di antara aspek utama yang perlu dicapai oleh pihak hotel ialah memastikan semua bahan atau ramuan yang digunakan di dalam penyediaan semua masakan dan minuman diperakui halal oleh badan yang diiktiraf. -SH

PKR Kedah Mahu SPRM Siasat Bekas MB, Exco

Alor Setar – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Ahmad Kasim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap dua pemimpin UMNO negeri ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

“Saya nak minta SPRM siasat pembinaan rumah milik Mahdzir di Pedu yang menelan kos yang agak tinggi, berbanding dua rumah bekas Menteri Besar sebelum ini, Tan Sri Osman Aroff dan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain. Tempoh beliau jadi Menteri Besar pun tidak selama mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau juga mahu SPRM menyiasat penganjuran rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri ADUN Kuah sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri, sebelum Pakatan Rakyat (PR) menawan Kedah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke12 pada 2008.

“SPRM perlu menyiasat siapa yang menaja penganjuran rumah terbuka itu memandangkan ianya dilihat terlalu mewah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau sendiri akan membuat laporan berhubung dakwaannya itu, Ahmad berkata, beliau mahu SPRM sendiri yang menjalankan siasatan.

“Sebelum ini, Nawawi mencabar SPRM menjalankan siasatan (terhadap pegawai-pegawai di bawah pentadbiran Barisan Nasional) menerusi media.

“Justeru, saya juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu agar SPRM menjalankan siasatan terhadapnya berdasarkan laporan media, biar pegawai-pegawai SPRM sendiri yang menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ir Nawawi ketika dihubungi menyangkal dakwaan majlis rumah terbukanya ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri ditaja pihak tertentu.

Menurutnya, perbelanjaan rumah terbuka itu daripada peruntukan Kerajaan Negeri, UMNO negeri serta wangnya sendiri.

“Seingat saya ketika itu, RM10,000 disediakan untuk menganjurkan majlis rumah terbuka dengan anggaran tetamu antara 3,000 hingga 5,000 orang. Kita jemput semua penduduk Langkawi.

“Exco Kerajaan Negeri diberi peruntukan kira-kira RM5,000 untuk mengadakan jamuan rumah terbuka dan selaku Exco pada ketika itu, pendapatan saya sendiri mencecah RM20,000. Justeru tidak menjadi masalah untuk mengeluarkan wang sendiri bagi menampung perbelanjaan jamuan itu,” katanya.

Ir Nawawi tidak menafikan ada mendapat tajaan tetapi dalam bentuk makanan dan minuman daripada beberapa hotel di Langkawi selain sumbangan penduduk setempat.

Difahamkan, peruntukan RM3,000 untuk ADUN dan RM5,000 untuk Exco Kerajaan Negeri menganjurkan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri diamalkan sejak dahulu lagi.

“Peruntukan sebanyak itu memang tidak mencukupi kerana tuan rumah masih perlu menambah wang sendiri, mungkin Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan menambah jumlah peruntukan itu pada masa akan datang,” katanya.

Ir Nawawi menafikan penglibatan syarikat operator bekalan air di Langkawi, Taliworks Sdn Bhd sebagai penaja majlis itu.

Menurutnya, hubungannya dengan syarikat berkenaan ketika itu tidak begitu akrab memandangkan beliau selaku Exco Air sering mempertikaikan mutu perkhidmatan mereka.

“Sekiranya penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri oleh bekas Exco atau ADUN perlu disiasat SPRM, suruhanjaya itu juga mesti menyiasat semua Exco dan ADUN sama ada kerajaan terdahulu atau yang mentadbir Kedah pada masa ini," kata Nawawi.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu. -SH

"Hukuman Tak Setimpal" - Erni, Anak Sosilawati

Hukuman yang diterima itu tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan ke atas mama dan tiga yang lain,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam.

Dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku berasa terkilan dengan keputusan itu, tetapi agak lega kerana pihak yang bertanggungjawab menerima pembalasan walaupun tidak setimpal.

Rita berkata, sepatutnya kedua-dua tertuduh yang mengaku bersalah menghapuskan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat ibu dan tiga rakannya ke sungai, menerima hukuman lebih daripada tujuh tahun penjara.

“Kalau betul apa yang mereka lakukan itu, saya rasa semua orang pasti setuju jika hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap tertuduh kerana tindakan menghapuskan bukti hingga tiada mayat dan hanya tinggal serpihan tulang memang tidak berperikemanusiaan terutamanya kepada semua keluarga mangsa.

“Tetapi kalau peruntukan undang-undang sudah sedemikian saya akur dan percaya dengan siasatan dilakukan pihak berkuasa terutamanya polis,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Bot, petang semalam.

Selain itu, ekoran daripada pembebasan beberapa suspek lain yang dikatakan mempunyai kaitan dalam kes berkenaan, dia meluahkan perasaan sedikit gusar kerana selepas apa yang menimpa ibu dan tiga yang lain atau mungkin ramai lagi, banyak perkara yang difikirkan boleh berlaku ke atas diri dan keluarga.

“Bila dengar ada yang sudah bebas, saya berasa agak takut juga kerana mungkin masih ada dendam yang terpendam dan mungkin juga tidak, tetapi kita tidak tahu.

“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah mengambil langkah lebih berhati-hati dan kehidupan sosial kini terpaksa dikurangkan,” katanya.

Namun, dia tidak menafikan kalau sesuatu perkara itu ingin berlaku ia akan tetap berlaku walau macam mana pun langkah berhati-hati diambil.

“Tengok macam mama, dia bukan pergi berseorangan tetapi ditemani tiga lelaki, kalau benda hendak jadi macam mana pun akan jadi. Kita terima musibah ini, cuma ambil iktibar dari apa yang sudah berlaku,” katanya. Sementara itu, ditanya adakah dia masih lagi berharap ibunya bukan mangsa pembunuhan kejam itu, dia berkata selagi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak diumumkan selagi itu masih lagi ada harapan dan kalau betul ibunya sudah tiada dia terima takdir seadanya.

[Bergambar] 500 Sertai Demo Bantah Surau Dan Pasti Di Bkt Katil Melaka

500 sertai demo bantah roboh surau, Pasti

BUKIT KATIL, 16 Okt: Demonstrasi aman anjuran Badan Bertindak Perobohan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Surau Bukit Katil semalam berjaya memberikan gambaran kepada pihak berkuasa bahawa rakyat menolak kezaliman dan penindasan.

Mereka bukannya menolak pembangunan tetapi pembangunan itu mestilah memberikan manfaat serta tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

Tindakan kerajaan BN Melaka yang dilihat sengaja mengambil tapak Pasti dan surau untuk dibuat jalan menimbulkan kemarahan penduduk Kampung Bukit Katil kerana bagi mereka kerajaan boleh mengambil tanah kosong yang ada di kawasan lain untuk dibuat jalan.

Malah tindakan itu juga disifatkan tidak logik kerana jalan yang akan dibina adalah bengkok berbanding cadangan asal yang lebih lurus.

Demonstrasi semalam dikatakan berjaya kerana berjaya mengumpulkan kira-kira 500 orang penduduk setempat dan kawasan sekitarnya termasuk tuan-tuan tanah yang terlibat.

Demo yang diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Bukit Katil petang tadi telah diganggu oleh pihak polis selepas hanya kira-kira lima minit dimulakan.

Polis meminta pihak penganjur menghentikan program tersebut atas alasan mengganggu ketenteraman awam dan tiada permit.

Dalam ucapan ringkas, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mahu berunding dengan rakyat khususnya tuan tanah kepada Pasti dan surau tersebut.

"Rundingan tidak dibuat, tiba-tiba surat sampai untuk beri pampasan. Inilah sikap rakus pihak kerajaan yang jelas tidak mengutamakan rakyat.

“Di sana ada tanah kosong yang boleh diambil untuk buat jalan mengapa tanah di sini yang diambil sedangkan tanah kosong tersebut lebih sesuai tidak melibatkan surau, Pasti dan rumah rakyat," ujarnya bersemangat.

Tindakan itu, katanya adalah perbuatan membalas dendam dan berteraskan politik serta dengki melihat kebangkitan rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek menyifatkan tindakan itu sebagai bukti bahawa kebajikan dan kedaulatan rakyat telah hapus dengan penguakuatsaan Akta Tanah yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat atas nama pembangunan.

"Rakyat sudah tidak ada kuasa dan hak ke atas tanah milik mereka sendiri, bila-bila masa kerajaan boleh ambil dan ianya sukar dicabar di mahkamah," ujarnya.

Semua pemimpin utama PR negeri hadir antaranya Pengerusi DAP, Goh Leong San; Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin. -Sofi Wahab













Langkah Najib Benar KWSP Naikkan Pelaburan Luar 20% Resahkan MTUC

MTUC risau Najib naik had pelaburan asing KWSP

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dibolehkan membuat pelaburan sehingga 20 peratus di luar negara agar “berhati-hati” kerana pasaran global lazimnya amat tidak menentu.

Setiausaha Agungnya G. Rajasekaran (gambar) berkata, MTUC sebagai badan induk yang mewakili kepentingan pekerja tidak pasti sama ada keputusan kerajaan untuk membenarkan KWSP menaikkan kadar pelaburan asingnya kepada 20 peratus sesuai atau tidak pada masa sekarang. Dalam Bajet 2011 diumumkan semalam, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah menaikkan kadar pelaburan KWSP di luar daripada tujuh peratus kepada 20 peratus.

“Ketika krisis ekonomi 2008, impak ke atas syarikat-syarikat besar adalah sangat serius di Eropah dan Amerika Syarikat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan mengulas kandungan Bajet 2011.

MTUC juga merupakan salah satu anggota dalam lembaga KWSP.

Oleh itu kata beliau, meskipun kerajaan membenarkan had baru itu panel pelaburan KWSP perlu dikenakan syarat agar mereka lebih berhati-hati dalam soal pelaburan di luar negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan, MTUC juga tidak bersetuju sekiranya syarikat-syarikat insurans mengurus dana pencen kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan keuntungan dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya kepada keperluan pekerja.

Rajasekaran juga berkata lebih tiga juta pekerja sektor swasta akan mendapat manfaat daripada langkah kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang dipertanggungjawabkan menentukan kadar dan mekanisma penetapan gaji minimum.

Beliau berkata tuntutan MTUC berhubung penetapan gaji minimum sudah berlarutan sejak 60 tahun lalu, dan kini ia akan direalisasikan.

Najib mengumumkan kerajaan akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja.

Rajasekaran menjelaskan perkara itu sudah lama dinantikan dan ia pasti akan dapat membantu golongan pekerja, terutama di kalangan pekerja miskin.

Menurutnya soal selidik kerajaan baru-baru ini mendapati bahawa kira-kira 34 peratus pekerja kini berpendapatan RM700 sebulan, iaitu di bawah paras RM720 yang ditetapkan sebagai garis kemiskinan. -TMI

Peneroka Dakwa Ditipu & Dipermainkan Pengurusan FELDA

Peneroka di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu mendakwa mereka ditipu dan dipermainkan pihak pengurusan Felda di sini berhubung pengeluaran kayu getah bagi persiapan tanam semula.

Bekas Ketua UMNO Cawangan Felda Lawin Selatan, Abu Mansur Ahmad, 52, berkata, tender bagi melaksanakan projek itu sudah dikeluarkan pada awal April lalu.

Menurutnya, boleh dikatakan sepanjang proses persetujuan tender pengeluaran kayu getah antara pemaju, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lawin Selatan adalah bercorak paksaan ke atas semua peneroka.

“Walaupun pihak pemaju berusaha untuk mencari kontraktor yang mampu memberikan tawaran harga tinggi, namun tidak dipersetujui oleh pihak pengurusan, sebaliknya kami dipaksa untuk bersetuju dengan kontraktor yang dipilih pihaknya dengan hanya menawarkan harga lebih rendah.

“Harga yang ditawarkan kepada kami adalah RM2,395 untuk sehektar dan kami juga diarahkan supaya tidak membangkitkan sebarang masalah berhubung pengeluaran kayu getah ini dalam mana-mana mesyuarat bersama Pihak Pengurusan Felda Lawin Selatan dan JKKR Felda Lawin Selatan,” katanya ketika ditemui di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu, semalam.

Abu Mansur berkata, mereka terpaksa bersetuju terutama bila pihak pengurusan berjanji bahawa peneroka boleh mengusahakan kebun getah masing-masing dan mengeluarkan hasil seperti biasa sehingga kerja-kerja pengeluaran kayu getah sampai ke kawasan mereka.

Menurutnya, selain itu, peneroka turut mendakwa mereka tidak menerima duit hasil kebun getah sepertimana yang sepatutnya.

“Apa yang dijanjikan kepada kami adalah tanah milik peneroka akan diberikan pajakan pada kadar RM1,400 sebulan untuk setiap satu lot bersama duit sara hidup sepanjang kerja-kerja pengeluaran kayu getah itu dijalankan.

“Namun sehingga kini, kami hanya menerima duit sara hidup sahaja, manakala sembilan peneroka lain langsung tidak mendapat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata, beliau pernah membincangkan perkara ini dengan pihak pemaju dan dipersetujui bahawa nilai yang ditawarkan adalah rendah di mana pihak pemaju kemudiannya memberi insentif tambahan sebanyak RM236,000 kepada peneroka.

Bagaimanapun, Abu Mansur berkata, insentif tambahan ini disalah erti oleh pihak pengurusan yang menganggap ia sebagai duit pajakan dan memaksa peneroka mengikuti syarat dalam surat perjanjian tidak bertarikh sebelum menerima wang masing-masing.

“Pembayaran itu dikeluarkan pada 27 September lalu dan berhubung surat perjanjian itu, ia sebenarnya tidak bertarikh dan dikeluarkan tanpa terlebih dahulu melalui sebarang perbincangan atau mesyuarat bersama kami.

“Ketika mengusahakan sendiri kebun masing-masing, kami mampu mengeluarkan hasil lebih RM2,000 sebulan, namun setelah diberi pajakan, ternyata hasil yang diterima berkurangan apabila hanya menerima sekitar RM1,000 lebih sahaja,” katanya.:

Cuba ubah syarat perjanjian

Manakala:, bekas Pengerusi JKKR Felda Lawin Selatan, Jumari Ismail, 57, berkata, terdapat percubaan untuk mengubah salah satu syarat Perjanjian Tuntutan/Pampasan Bayaran Kayu Getah tanpa terlebih dahulu membatalkan perjanjian asal.

Menurutnya, perkara ini disedari melalui satu sesi perbincangan dalam satu mesyuarat bersama pemaju dan berasa syarat yang hendak diubah adalah syarat ketiga dalam perjanjian itu.

“Lebih mencurigakan apabila surat perjanjian asal hanya ditandatangani satu pihak sahaja sementara JKKR Felda Lawin Selatan sebagai pihak kedua dan Pengurus Felda Lawin Selatan selaku saksi tidak menurunkan tandatangan,” katanya.

Jumari berkata, dalam mesyuarat itu juga, pihak berkenaan bersetuju untuk memberikan tempoh dua minggu kepada peneroka untuk menjalankan kerja menoreh dan mengeluarkan hasil seperti biasa bermula 1 Oktober lalu.

Beliau berkata, langkah itu diberikan sementara menunggu kerja-kerja mengeluarkan kayu getah dimulakan oleh pihak pemaju.

“Pihak pemaju juga sebenarnya masih dalam proses perbincangan dengan JKKR Felda Lawin Selatan dan pihak pengurusan termasuk mesyuarat khas yang diadakan pada 8 Oktober lalu, namun tidak menemui sebarang keputusan.

“Saya bagaimanapun tidak dijemput bersama walaupun saya sepatutnya ada dalam mesyuarat selaku salah seorang ahli tertinggi Jawatankuasa Bertindak Penanaman Semula Getah di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu,” katanya.

Katanya, perjumpaan yang diadakan pada sebelah pagi itu sepatutnya lanjutan kepada mesyuarat yang tertangguh tanpa sebarang keputusan pada 8 Oktober lalu, namun ditukar tujuannya secara tiba-tiba.

“Sepatutnya ia adalah mesyuarat bersama bagi mencari penyelesaian dan memberi penerangan berhubung masalah pengeluaran kayu getah ini, tetapi ditukarkan kepada sesi taklimat oleh pihak perbankan serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja,” katanya.

Beliau berkata, berlaku sedikit kekecohan pada pertemuan itu dan semua peneroka Felda akhirnya bertindak meninggalkan Dewan Komuniti Felda Lawin Selatan.

“Antara punca kemarahan peneroka adalah arahan yang mengatakan mereka perlu menghentikan segala kerja dan tidak boleh mengeluarkan hasil tidak sepertimana yang dipersetujui pada peringkat awal," katanya.:

Harga tawaran berbeza

Sementara: itu, seorang peneroka, Ahmad Abd Latef, 60, berkata, dia tidak berpuas hati dengan harga yang berbeza daripada tawaran asal.

Menurutnya, harga yang mereka terima adalah lebih murah daripada harga asal.

“Bukan hanya tentang harga tawaran, saya dan rakan-rakan turut tidak merasa puas hati tentang perjalanan perbincangan sejak peringkat awal lagi apabila semua yang dijanjikan tidak terlaksana,” katanya.

Ahmad berkata, pada perbincangan awal, mereka dijanjikan untuk mendapatkan kadar harga tawaran lebih tinggi.

Katanya, dia juga tidak puas hati apabila pihak pengurusan Felda Lawin Selatan memaksa peneroka bersetuju dengan harga yang diperoleh sepertimana pada hari ini.

“Sedangkan pada peringkat perbincangan bersama peneroka, Pengerusi JKKR Lawin Selatan memberi keyakinan kepada kami bahawa pihaknya akan berunding dengan pemaju untuk dapatkan harga lebih tinggi.

"Namun hingga kini, tidak ada sebarang keputusan dibuat dan dimaklumkan kepada kami,” katanya. -SH

Tim Presiden PKR, Lawan Tetap Lawan - Kata Zaid

Timbalan presiden PKR: Khalid, Nurul tarik diri

Persaingan merebut jawatan nombor dua PKR dijangka adalah pertandingan tiga penjuru membabitkan naib presiden parti itu, Azmin Ali, ketua Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dan ketua Perak Mustaffa Kamil Ayub.

Azmin yang juga adalah ketua Selangor, mengemukakan borang penerimaan pencalonan sebentar tadi manakala Zaid pula mengesahkan bahawa beliau akan bertanding menerusi blognya.

"Pada tepat jam 11.05 pagi tadi, dengan penuh keinsafan, saya menerima pencalonan sebagai timbalan presiden.

"Saya berharap anggota terus memberi sokongan dan selepas pemilihan ini parti (kita) akan lebih kuat, anggota menjadi matang, demokrasi akan terus subur dan reformasi ditegakkan di Putrajaya," katanya.

Turut berada di atas pentas, adalah exco Selangor Dr Xavier Jayakumar yang menyokong Azmin. Beliau pula pula menawarkan diri untuk bertanding naib prtesiden.

Menurut sumber parti, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan puteri reformasi PKR yang juga ahli parlimen Nurul Izzah Anwar dijangka menolak pencalonan masing-masing.

Dipercayai anak ketua umum PKR dan presiden parti itu akan bertanding merebut satu daripada empat jawatan naib presiden yang dipertandingkan.

Sementara itu, ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang juga merupakan bekas naib presiden PKR telah memilih untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden meskipun telah mendapat lima pencalonan.

Beliau juga seperti Nurul izzah, dikatakan akan cuba merebut jawatan naib presiden.

Semua calon mempunyai masa sehingga jam 5 petang ini untuk mengesahkan sama ada mereka menerima pencalonan untuk bertanding jawatan masing-masing. 24 Oktober ini telah ditetapkan sebagai tarikh pengumuman calon yang sedia bertanding.

Penerimaan pencalonan dibuka mulai jam 10 pagi ini di luar pusat pencalon yang ditubuhkan di ibu pejabat parti di Tropicana, Kuala Lumpur.

Penyokong Azmin dilaporkan penuh sesak sebagai sokongan moral kepadanya.

Suasana di sana dilaporkan bagaikan pesta dengan lima kanopi besar dipasang untuk proses pengambilan borang penerimaan calon.

Sejak beberapa hari kebelangkangan ini, terdapat usaha sengit bagi mengatur percaturan dalam usaha menentukan kepimpinan PKR.

Jawatan naib presiden juga dijangka amat sengit dengan hampir 30 calon yang layak bertanding meskipun ramai dijangka akan mengundurkan diri.

“Hari penerimaan calon Pemilihan Pimpinan PKR. 252 dicalonkan untuk pelbagai jawatan. Ramai akan tarik diri. Tentu ada memeranjatkan,” kata timbalan presiden PKR Syed Husin Ali yang tidak akan mempertahankan jawatannya menerusi tweeter.

Bagi kerusi Pemuda - AMK, - ketuanya sekarang Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatannya.

Shamsul sebelum ini dikatakan berminat menjawat jawatan lebih tinggi dalam PKR tetapi menukar hasratnya kerana dipercayai sedar bahawa peluangnya agak tipis.

Dipercayai Shamsul akan dicabar oleh Badrul Hisham Shahrin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Rafizi Ramli.


Cukur Jambul

Hari ini 16hb Oktober saya akan menerima pencalonan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat. Saya harap borang diisi lengkap dan akan diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat. Walaupun cadangan saya supaya proses pemilihan diubah suai untuk memastikan tidak ada penipuan dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu tidak dilayan (surat pun tak jawab), saya telah menerima desakan penyokong di seluruh negara bahawa biarlah apa berlaku, lawan tetap lawan. (Bukankah ini yang selalu kita dengar?)

Bila saya jadi Timbalan Presiden nanti, parti kita akan lebih bersepadu dan kukuh. Ahli di bawah akan mendapat layanan yang lebih daripada pemimpin di atas. Pemilihan parti tidaklah seperti sekarang. Mereka yang tidak setuju dengan pendapat saya tidak akan disisih. Kem dan puak akan berkurangan. Calon pilihanraya akan dibuat secara terbuka dan demokratik. Cabang-cabang akan menjadi lebih aktif dan suara demokrasi sebenar akan berkumandang di negara Malaysia.

Saya tidak mampu berjanji akan membawa kita semua ke Putrajaya seperti yang dilaungkan oleh calon-calon lain, kerana saya bukan Ketua Pakatan Rakyat. Cuma persediaan untuk kemenangan besar mestilah bermula dengan beberapa kemenangan kecil. Kemenangan seperti memupuk perpaduan ahli, kemenangan mencari dana yang cukup untuk jentera parti, kemenangan mencari calon yang direstui dan disokong oleh orang tempatan, dan bukan kerana mereka kenal orang kuat parti. Ini akan saya lakukan.

Hari ini juga cucu saya yang pertama Rayes akan melalui proses “cukur jambul”. Rayes baru berumur 58 hari tetapi sudah mula tunjuk “personalitinya”. Dalam kesibukan dan tekanan politik sama ada di Galas dan pemilihan parti yang penuh memenatkan itu, Rayes memberi ketenangan jiwa yang amat sangat. -zaiduntukrakyat.com

"Saya Takkan Maafkan Pembunuh Itu Sampai Bila-bila" - Ibu Sosilawati

Batu Pahat: “Saya tidak akan maafkan mereka sampai bila-bila. Hingga hari ini, saya tidak faham kenapa mereka sanggup buat anak saya macam tu,” kata Yatmah Abdul Rahman (gambar), 80, ibu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh di Banting, Selangor, Ogos lalu, ketika ditanya hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan terhadap K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dua lelaki yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Yatmah berkata, dia tidak tahu undang-undang, namun sebagai ibu yang melahirkan Sosilawati sukar baginya memaafkan mereka yang membunuh dan membakar anaknya itu.

Menurutnya, sejak kehilangan dan diberitahu mengenai pembunuhan anaknya itu, setiap hari dia berdoa supaya sesiapa yang melakukan jenayah itu mendapat balasan dan berharap ia setimpal dengan perbuatan mereka.

“Walaupun mereka meminta maaf, sebagai ibu saya tidak mungkin dapat memaafkannya,” katanya yang enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih.

Sarawanan, bekas mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan menghilangkan bukti dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu, Kamaruddin Shansuddin, 44.

Syarikat Palsu Iklan Tawaran Pekerjaan Di Kapal Mewah

Kuala Lumpur - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran peluang pekerjaan dalam industri perkapalan mewah di perairan antarabangsa oleh sebuah syarikat yang menggunakan nama Sea Wave Cruise Line (Malaysia).

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan semalam berkata, individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini telah menarik perhatian orang ramai khususnya warga luar negara dengan menawarkan peluang pekerjaan yang menarik dan pulangan pendapatan lumayan dalam suasana kerja kapal mewah.

“Modus operandi individu-individu berkenaan adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan melalui laman sesawang dengan menyatakan mempunyai lebih 100 syarikat kapal mewah yang mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Individu-individu tersebut juga berjaya meyakinkan orang ramai dengan menyediakan visa pekerjaan dan dokumen perjalanan yang akan diuruskan oleh pejabat guaman di Malaysia,” menurut kenyataan itu semalam.

SSM menegaskan bahawa tiada syarikat yang diperbadankan dengan nama Sea Wave Cruise Line (Malaysia) Sdn Bhd dan meminta orang ramai merujuk perkhidmatan e-info SSM di http://www.ssm-einfo.my untuk menyemak status pendaftaran sesebuah syarikat atau perniagaan.

Untuk mendapatkan profil atau status sesebuah syarikat dan perniagaan, orang ramai boleh menggunakan aplikasi online dengan berdaftar sebagai anggota e-Account dan profil itu akan dihantar terus ke e-mail pengguna.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Hotline SSM 02-22995500. - Bernama

Siasatan Ke Atas Usharani Berlanjutan Sehingga Di Chennai

Polis Malaysia Soal Siasat Usharani Di Chennai

CHENNAI: Pasukan dua anggota polis dari Malaysia telah menyoal siasat S.Usharani dan seorang pembiaya filem berhubung kes pembunuhan ahli perniagaan warga India A. Muthuraja, yang dilaporkan hilang sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 18 Januari lepas.

Usharani, 24, isteri kedua hartawan itu, telah disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai polis berpangkat tinggi dari Bukit Aman, Khamis lalu di Chennai selain meneliti beberapa barangan penting yang berada dalam pemilikannya.

"Mereka merekodkan kenyataan Usharani dalam tempoh tiga hingga empat jam. Mereka juga akan menyoal siasat seorang pengarah filem berhubung satu komplot penipuan tanah di Malaysia, serta seorang lagi warga India yang terlibat dalam komplot membabitkan tanah di Melaka.

"Pihak polis datang ke sini bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubungempat jenayah komersial yang berbeza, kebanyakannya membabitkan penipuan tanah,"kata Konsul Jeneral Malaysia Anuar Kasman.

Di Chennai, Usharani telah memberitahu media tempatan bahawa beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan penjualan tanah berkenaan serta komputer riba suaminya kepada pegawai polis Malaysia.

"Soal siasat itu berjalan selama lima jam. Mereka telah memeriksa sistem dan dokumen berkenaan sebelum memulangkannya.

"Saya berharap ia akan membantu membuktikan bahawa mereka (peguam dua beradik) memang bersalah," beliau dipetik sebagai berkata oleh Deccan Chronicle.

Mangsa yang merupakan penduduk Ramapuram di Chennai, dipercayai telah berjumpa kedua-dua suspek di Malaysia sebelum dilaporkan hilang.

Kematian Muthuraja, ahli perniagaan dari Selatan India, terbongkar selepas pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu laindi Banting, Ogos lepas.

Peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya didakwa di sebuah mahkamah di Banting Rabu lepas, bagi pembunuhan berganda itu.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dipercayai dibunuh selepas satu urus niaga bernilai jutaan ringgit bertukar menjadi hambar.

Pembunuhan itu berlaku di sebuah ladang milik Pathmanabhan dan adiknya. - BERNAMA

Projek Mega Kembali, Rasuah Bakal Menjadi-jadi

Belanjawan 2011 tanpa istilah "Rasuah"

Sesungguhnya ia Belanjawan yang mempersiap-sediakan Barisan Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Malah, mungkin sesetengah ahli Dewan Rakyat yang sarkastik akan menyindir bahawa ianya satu belanjawan yang dihantui bayang isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

Ia sudah terbukti dalam dewan itu sendiri, apabila nama "Rosmah" dilaungkan ketika Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak mencadangkan pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, pada kadar 5% hingga 30% - antaranya, pewarna rambut. Malah, apabila Najib mengumumkan peruntukan RM111 juta kepada PERMATA, sekali lagi dewan menjadi gempar dengan nama Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Program ini.

Belanjawan tahun 2010 yang bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" ini mencatat angka peruntukan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM212 bilion, 2.8% lebih tinggi berbanding peruntukan Belanjawan tahun 2010. Defisit kerajaan persekutuan dijangka berkurangan kepada 5.4% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2011, iaitu RM45.481 bilion.

Gula-Gula PRU

Beberapa peruntukan disalurkan kepada kawasan kampung atau desa, misalnya penambahan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800, berbanding RM450 sekarang. Bukan itu sahaja, malah elaun imam, guru KAFA turut dinaikkan.

Sasarannya jelas apabila Najib menyatakan "kerajaan tidak akan meminggirkan rakyat luar bandar" - lantas RM6.9 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar, meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tanpa pertikaian, Belanjawan tahun 2011 berbaur politik. Ia semakin terhidu apabila Najib mengambil kesempatan untuk mencuit Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tanpa menyebut nama, mendakwa bahawa kerajaan BN "bukan saudagar mimpi yang memperdagang dongengan". "Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata," katanya sambil meyakinkan rakyat dengan "kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi yang akan datang".

Persoalannya, apakah Belanjawan tahun 2011 ini membawa Malaysia kembali ke landasan yang tepat untuk meluncur ke arah kejayaan?

Projek mega kembali

Antara yang paling dipertikaikan dalam Belanjawan 2011 ini adalah pembinaan menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Projek bernama "Warisan Merdeka" yang menelan RM5 bilion ini dibangunkan Permodalan Nasional Berhad, dan dijangka akan siap pada tahun 2015.

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong mendedahkan bahawa bangunan Sri Perdana (kediaman rasmi PM) di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM15.8 bilion.

Seandainya kedua-dua kes ini dibaca bersama, maka akan didapati bahawa kerajaan BN masih tidak mengambil iktibar daripada "projek mega" zaman Perdana Menteri ke-empat, Mahathir Mohamad. Projek mega seperti Putrajaya misalnya, telah membebankan generasi akan datang dengan kos penyelenggaran yang terlalu tinggi.

Pembinaan projek mega semestinya memanfaatkan golongan kontraktor, yang menjadi asas kepada UMNO. Najib cuba menghalalkan kesinambungan "projek mega" dengan "Semangat Malaysia Boleh", tanpa menyedari bahawa keghairahan untuk menghambat kemegahan pencakar langit inilah yang menjejaskan ekonomi Malaysia.

Wartawan Australia, M.Backman dalam bukunya Asia's Future Shock, mengulas situasi Malaysia dengan satu artikel berjudul "From Malaysia Boleh to Malaysia Bodoh". Backman menganggap Malaysia memiliki kelebihannya yang tersendiri, kerana kaya dengan sumber semulajadi, malah telah mewarisi satu sistem yang moden dari tangan penjajah British.

Namun demikian, kelebihan-kelebihan ini telah dibinasakan, kerana dasar ekonomi yang lebih mementingkan pengagihan daripada penghasilan, hubungan etnik yang teruk, malah terlalu bermegah-megah dengan projek yang indah khabar dari rupa untuk mengubati perasaan inferior dirinya. Mahathir pernah mengibaratkan menara Petronas KLCC sebagai kotak untuk si pendek, Abdullah Ahmad Badawi pula ghairah dengan khayalan angkasa-nya.

Tiada istilah "Rasuah"

Tanah air kita seolah-olah terkena sumpahan sumber (resource curse), dilimpahi sumber yang terlalu lumayan, tetapi berakhir dengan pertumbuhan ekonomi yang lembik berbanding negara yang kekurangan sumber. Cuba ambil Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index, HDI), Malaysia menduduki ranking dunia ke-59 pada tahun 1999, tetapi tergelincir ke tangga 63 pada tahun 2007, malah terus menjunam ke 66 pada tahun 2008.

Baru-baru ini, penganalisa politik-ekonomi, Soon Hoh Sing melancarkan bukunya yang berjudul "Ekonomi Malaysia yang kekok" (The Embarrassing Malaysian Economy). Beliau sempat memetik beberapa angka, yang pada pandangan beliau cukup menggusarkan. Pelaburan Malaysia di luar negara mencatat peningkatan dari RM22.1 bilion pada tahun 2006, RM38.2 bilion pada tahun 2007, kepada RM50.2 bilion pada tahun 2008.

Sebaliknya, kita dimaklumkan bahawa pelaburan asing langsung di Malaysia pula menjunam sebanyak 81%, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009. Lebih ketara, pelaburan yang mengalir keluar pada tahun 2008 (RM50.2 bilion) lebih tinggi daripada pelaburan asing yang mengalir ke dalam Malaysia (RM23.47 bilion).

Apakah yang berlaku pada hakikatnya? Sementara rakyat disuapkan dengan angka-angka yang memberangsangkan, jarang sekali tumpuan diberikan kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Malaysia menduduki tangga ke-56 daripada 180 buah negara pada tahun 2009, setelah pelbagai langkah pembaharuan cuba diketengahkan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi selepas tsunami politik tahun 2008.

Apa yang menarik, istilah "rasuah" langsung tidak disebut dalam teks ucapan Najib Razak yang setebal 45 muka surat hari ini. Jadi, agak jelas untuk kita - sejauh manakah iltizam kerajaan Najib untuk membanteras rasuah, jikalau dinilai dari teks ucapan tersebut. Berbalik kepada persoalan, apakah ekonomi Malaysia akan meluncur semula di landasan yang betul dengan pembinaan menara 100 tingkat, pada masa yang sama enggan meneliti masalah rasuah yang berleluasa di Malaysia? -Lim Hong Siang/MR



[Bergambar] Tertuduh Guna Pacuan Empat Roda Angkut Abu Mayat Untuk Dibuang Ke Sg Pancau


Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk melupuskan bukti pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dekat Ladang Gadong telah dibawa ke Mahkamah Majestret Telok Datuk, Banting, hari ini.

Ketika prosiding itu, Majistret Hurman Hussain, pasukan pendakwaan dan pembelaan turut keluar sebentar daripada mahkamah untuk melihat salah satu eksibit yang dibawa oleh pihak polis iaitu sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna kelabu yang digunakan mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa untuk dibuang ke dalam Sungai Panchau.

K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Majistret Hurman menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 9 September lalu.

Mereka adalah antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lalu bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu.

Sarawanan dituduh menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam

Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Bekas mekanik itu didakwa membakar mayat keempat-empat mangsa itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos lepas antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam.

Suresh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8 pagi hingga 10 pagi.

Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan empat-empat tertuduh di dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain daripada tindakan undang-undang.

Rabu lalu, peguam N Patmanabhan, 41; pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20; dan R Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

Pada proseding mahkamah yang bermula pada 11.15 pagi tadi, Sarawanan dan Suresh diwakili oleh peguam M Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie, manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusoff dan dibantu oleh Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.

Pertuduhan ke atas kedua-duanya dibacakan di dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa di dalam mahkamah yang dipenuhi wartawan dan orang ramai termasuk adik perempuan Suresh berusia 25 tahun.

Sementara itu, dalam rayuannya, Puravelan memohon mahkamah mengambil kira faktor latar belakang dan kebolehan tertuduh apabila menjatuhkan hukuman.

"Kedua-dua tertuduh memohon maaf di atas kesalahan yang mereka lakukan," katanya.

Roslie berkata, Sarawanan yang bekerja sebagai mekanik motosikal sebelum ini
adalah tempat keluarganya bergantung hidup dengan pendapatan RM800 sebulan bagi menyara bapanya yang mengidap sakit jantung dan ibunya seorang suri rumah.

"Tertuduh yang juga anak bongsu daripada empat beradik telah kematian abang dan dua lagi kakaknya sudah berkahwin dan kini menetap di Ipoh," kata Roslie.

Katanya, beliau percaya Sarawanan tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan tertuduh perlu diambil kira kerana menjimatkan masa dan kos perbicaraan serta perlu dipertimbangkan untuk hukuman yang lebih ringan.

Mohd Naguib pula berkata, anak guamnya, Suresh tidak mempunyai pekerjaan
tetap dan mempunyai pendapatan RM700 sebulan bagi menyara adiknya yang sudah bertunang dan ibunya pula bekerja sebagai seorang tukang cuci dengan pendapatan RM800 sebulan.

Bapanya sudah meninggal dunia dan ibunya memerlukan lebih RM300 bagi mendapatkan rawatan penyakit kencing manis, darah tinggi dan alahan kepada
ubat-ubatan, katanya.

"Anak guam saya mohon diberikan peluang kedua dalam situasi ini," kata Mohd
Naguib.

Roslie dan Mohd Naguib memohon supaya Sarawanan dan Suresh dikenakan hukuman penjara serentak bagi kesalahan mereka.

Bagaimanapun, Ishak berkata di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan mereka berdua boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan juga boleh didenda.

Beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang diskaun hukuman kepada kedua-dua pesalah dan perlu dikenakan hukuman maksimum yang dijalankan secara berasingan bagi memberikan peringatan kepada yang lain daripada melakukan jenayah yang sama.

"Perbuatan mereka menghapuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain serta kesan tindakan mereka terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terbabit juga perlu diambil kira," katanya.

Hurman ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, beliau mengambil kira tindakan tertuduh memusnahkan bahan bukti kes perbicaraan pembunuhan, kesan tindakan mereka terhadap keluarga simati dan kepada masyarakat selain daripada latar belakang tertuduh yang mempengaruhi mereka melakukan jenayah itu.

Selepas Hurman menjatuhkan hukuman, Sarawanan dan Suresh memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat di atas perbuatan yang mereka lakukan dan telah insaf.

Kedua-dua tertuduh bercakap dalam Bahasa Tamil dan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah.











Menara 100 Tingkat Dibina, Tapi Subsidi Untuk Rakyat Terus Dipotong

Najib: Warisan Merdeka 100 tingkat, satu lagi pencakar langit di KL

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kita berasa sungguh bangga kerana ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas.

“Satu lagi mercu tanda yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd ialah Warisan Merdeka, yang dijadual siap pada 2020,” katanya semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Menara itu akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

Kos projek berjumlah RM5 bilion, dengan menara dijangka siap pada 2015. – Bernama

Ulasan GB

Baru-baru ini kerajaan BN baru sahaja memotong subsidi untuk rakyat sehingga harga barang keperluan seperti minyak, gula, dan lain-lain meningkat.

Tetapi kerajaan mampu untuk melakukan satu lagi pembaziran semata-mata untuk membina sebuah lagi bangunan tertinggi dalam negara.

Menara kembar Petronas yang dibina mencakar langit sehingga kini masih lengang di dalamnya tanpa penyewa.

Hanya untuk bermegah kita mempunyai bangunan tertinggi sedangkan pada hakikatnya kita menyembunyikan fakta bahawa itu hanyalah monumen yang ditegakkan di atas penderitaan dan kesengsaraan rakyat.

Kesilapan Mahathir terus diulang oleh Najib.