26 Mei 2009

Penanti UMNO Pakatan Rakyat: Siapa Dibelakang Aminah Jerat PKR?

Calon bebas pilihanraya kecil Aminah Abdullah menjerat sahabatnya sendiri dengan merakamkan perbualan peribadi antara beliau dengan mereka untuk dijadikan senjata politik bagi menfitnah Parti Keadilan Rakyat.

Pengundi sebaliknya harus menilai keperibadian Aminah yang sanggup mengundang dua kenalannya dari PKR ke rumahnya semata-mata untuk merakam perbualan peribadi untuk diguna sebagai modal politik murahan.

Dua pemimpin PKR yang dimaksudkan menafikan mereka telah menawarkan ganjaran dalam bentuk ganti rugi kepada calon Bebas, Aminah Abdullah jika sanggup tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Kedua-dua pemimpin berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Cheah Ka Peng, 43, dan Pegawai Khas kepada Exco PKR Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam, 32, mengaku mereka adalah dua individu yang terdapat dalam rakaman suara yang didedahkan oleh Aminah semalam.

"Kami tidak menawarkan apa-apa kepadanya... hanya berbincang perkara-perkara biasa," kata Cheah pada sidang media khas bagi menjelaskan mengenai isu tersebut di sini hari ini.

Selain itu mereka juga menafikan dakwaan Aminah bahawa kedua-dua mereka datang menemuinya.

Sebaliknya mereka menjelaskan pertemuan pada 13 Mei itu telah diatur oleh Aminah sendiri.

"Kak Minah (Aminah) sebelum ini selalu jemput saya datang ke rumahnya... jadi pada 12 Mei saya hubungi beliau untuk aturkan makan tengah hari keesokkan harinya dan Kak Minah minta saya ajak (Cheah) Ka Peng bersama.

"Kemudian pada pagi 13 Mei, Kak Minah hubungi saya semula untuk pastikan mengenai temu janji pada tengah hari itu.

"Beliau kata akan masak untuk kami, saya tak jangka kawan baik seperti kami telah digunakan dan dipermainkan oleh beliau.

"Beliau bukan hanya sediakan makanan, tapi juga sediakan perakam suara untuk kami... saya sangat sedih dan kecewa," kata Peter dalam sidang media tersebut.

Peter adalah Timbalan Ketua PKR Bahagian Batu kawan yang juga Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Law Choo Kiang.

Beliau juga pernah bertanding di DUN Batu Maung pada pilihan raya umum 2004.

Semalam Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.


Nizar Cabar Najib Dahulukan Kehendak Rakyat

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Nizar Jamaludin menggesa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak mendahulukan kehendak rakyat sebagaimana dalam gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata kehendak seluruh rakyat negeri Perak kini adalah mahukan satu pilihanraya bagi memilih kerajaan yang baru.

“Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak (mahu) mendahulukan kehendak rakyat, sebagaimana di uar-uarkan 1Malaysia, rakyat didahulukan,

“Maka kehendak rakyat negeri Perak melalui kajian yang kita buat, semuanya menunjukkan bahawa rakyat negeri Perak mahukan hak mereka diberi untuk memilih kerajaan baru,”katanya ketika merasmikan program ‘Puasa dan Mogok Lapar’ Pakatan Rakyat Perak, di Ibu Pejabat DAP, disini, hari ini.

Katanya, mahkamah bukan institusi untuk menentukan siapa kerajaan, siapa Menteri Besar, tetapi ia adalah saluran untuk mentafsirkan undang-undang.

Tetapi penentu mutlak, katanya, adalah rakyat yang akhirnnya yang akan menjadi yang mahkamah sebenar.


Oleh itu, beliau berkata biarlah rakyat yang memilih kerajaan yang adil.

Menyentuh tentang program puasa ataupun mogok lapar yang dianjurkan, beliau berkata, apa jua nama yang diberikan kepada program itu adalah terpulang kepada tatacara, budaya dan agama serta bangsa masing-masing.

“Terpulang kepada peraturan, tatacara, budaya, agama dan bangsa masing-masing, tidak ada paksaan,

“bagi saya sebagai pemimpin PAS, menggalakkan orang-orang Islam berpuasa oleh kerana hari ini adalah 1hb Jamad-Al-Akhir, (dimana) pada 1hb disetiap bulan disunatkan kita berpuasa puasa sunat mutlak,”jelasnya.

Menurutnya dengan melaksanakan puasa sunat dan solat hajat serta berdoa memohon keredhaan Allah, membuka hati-hati manusia dan ditunjukkan kebenaran, semoga rakyat diberikan hak untuk memilih kerajaan yang baru.

Dalam majlis yang sama, Nizar mewakili Pakatan Rakyat negeri Perak menerima sumbangan kewangan sebanyak RM200,000.00 daripada Ir. (B) Koon Yew Yin, pesara Lembaga Air Perak bagi meneruskan perjuangan menghadapi persiapan pilihanraya yang akan datang. -buletinonline


Zambry MB Rayuan Disaman Ketua-Ketua Kampung

Ketua-ketua kampung lantikan Pakatan Rakyat yang telah dipecat oleh kerajaan negeri "Menteri Besar Mahkamah" Dr Zambry Abdul Kadir telah memfailkan saman terhadap beliau di Mahkamah Tinggi Ipoh pagi tadi.

Turut serta mengiringi ketua-ketua kampung tersebut ke mahkamah termasuk Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan pemimpin Pakatan Rakyat negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ketua-Ketua Kampung Negeri Perak, Mohd Ridzuan Afit saman yang dikemukakan mengandungi tujuh tuntutan terhadap Dr Zambry.

Antara lain mereka menuntut supaya mahkamah melarang kerajaan negeri membuat sebarang pelantikan ketua kampung sebelum 31 Julai 2010 iaitu tarikh tamat tempoh perkhidmatan mereka seperti watikah pelantikan daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan dan tindakan kerajaan negeri "Menteri Besar Mahkamah" yang memecat mereka berkuat kuasa 16 April lalu.

Disamping itu saman itu turut memohon perintah mahkamah melarang kerajaan negeri menggunakan dewan orang ramai di seluruh negeri oleh Barisan Nasional sehingga kes itu selesai.

Mohd Ridzuan yang mewakili 817 ketua kampung yang dipecat dalam tindakan "Menteri Besar Mahkamah" itu yang dianggap tidak sah dan melanggar undang-undang berkata pihak mahkamah belum lagi menetapkan tarikh untuk mendengar saman mereka tetapi kes tersebut akan didengar dalam tempoh dua bulan dari tarikh difailkan.

Ketika dihubungi Tv Antara beliau berkata pemecatan yang dilakukan secara mengejut pada 16 April lalu dan sebelum tamat tempoh kontrak perlantikan pada 31 Julai 2010 adalah sesuatu yang kejam dan zalim yang dilakukan oleh Barisan Nasional.

"Saya menerima surat pemecatan saya daripada pejabat daerah dan di dalam surat itu tidak disebut apakah kesalahan saya yang menyebabkan saya dipecat. Watikah pelantikan yang kami terima daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat adalah bagi tempoh dua tahun dan dengan tiba-tiba apabila bertukar kerajaan negeri kami dipecat secara mendadak.

"Ini adalah satu tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ketua kampung bukannya satu jawatan politik dan kami berkhidmat kepada semua orang tidak kira fahaman politik sama ada dia PKR, Umno atau mana-mana parti politik," kata Mohd Ridzuan.

Menurut beliau lagi jawatan ketua-ketua kampung yang dipecat telah diambil alih serta merta oleh Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan yang dilantik oleh BN seiring dengan perlantikan ketua-ketua kampung tersebut tahun lalu.

Selain menfail saman badan bertindak tersebut juga telah melancarkan kempen mengumpul tandatangan rakyat Perak sebagai tanda sokongan kepada ketua-ketua kampung yang dipecat.

Setakat seminggu lalu badan bertindak itu telah mengumpulkan lebih 250,000 tandatangan rakyat dari seluruh negeri Perak dan yakin dapat mencapai sejuta tandatangan dalam masa satu atau dua minggu lagi.

"Kempen tandatangan yang sudah kami lancarkan sejak seminggu lalu mendapat respons yang amat baik dan menggalakkan daripada rakyat seluruh negeri Perak. Ini menunjukkan mereka menyokong pakatan Rakyat dan menolak "Menteri Besar Mahkamah" yang berkuasa ke atas rakyat Perak melalui perintash mahkamah.

"Rakyat Perak rata-rata mahukan Pakatan Rakyat kembali dan usaha mengumpul tanda tangan ini adalah sebahagian daripada langkah untuk mendesak supaya DUN Perak dibubarkan," tambah beliau.

Walaupun kerajaan kudeta "Menteri Besar Mahkamah" melakukan pelbagai untuk menghalang hasrat rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri rakyat tetap akan menolak BN kata Mohd Ridzuan. -TVA

Harakah Dilarang Berkempen Untuk Mana-mana Calon

Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, Datuk Mustafa Ali, melarang akhbar rasmi PAS, Harakah untuk berkempen bagi calon yang bertanding di dalam pemilihan parti itu pada bulan depan.

Perkara ini dinyatakannya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut Selasa lepas.

Menurut Mustafa yang juga Pengerusi Jamaah Pengarah Harakah itu, akhbar rasmi PAS itu harus berlaku adil kepada semua calon yang bertanding nanti.

Dalam sidang media yang sama, Mustafa Ali juga mengumumkan senarai penuh bagi calon yang bertanding bagi sesi 2009-2011.

Pemilihan akan akan di jalankan pada Muktamar PAS yang ke 55 tahun ini yang akan dijalankan di Stadium Melawati, Shah Alam bermula dari 5 hingga 7 Jun 2009.

Dewan Pemuda akan bersidang pada 3 dan 4 Jun di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar dan akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

Manakala Dewan Ulamak akan bermesyuarat di Auditorium Muzium Shah Alam pada 4 Jun dan Dewan Muslimat akan bermesyuarat di Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam pada 4 Jun.

UMNO BN : Zahid Pengecut Berdebat Dengan Husam

MStar melaporkan debat membabitkan Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Program Hujah TV9 malam ini tidak menjadi kenyataan.

Husam yang ditemui tengah hari tadi berkata, beliau menerima makluman daripada stesen tersebut bahawa Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak dapat mengambil bahagian dalam program malam ini.

"Saya dah buat persiapan tetapi hari ini saya menerima panggilan daripada TV9 bahawa Zahid tidak dapat datang," katanya.

Sebaliknya TV9, kata beliau, mengesyorkan nama bekas Ketua Pemuda Keadilan, Ezam Mohd. Noor yang menyertai Umno setahun lalu, sebagai pengganti.

Bagaimanapun jelas Husam, beliau telah memaklumkan kepada TV9 bahawa sedia untuk berdebat dengan Zahid pada bila-bila masa kelak.

"Saya mahu berdebat dengan Zahid, bukannya Ezam," kata beliau.

Program tersebut yang dijadual untuk siaran pukul 9.30 malam menyentuh soal Rasuah Politik.

Sementara itu banyak pihak menyelar tindakan Zahid yang telah bertindak untuk menggantikan dirinya dengan orang lain bagi majlis debat berkenaa.

"Ia menunjukkan Zahid seorang yang bacul dan pengecut yang UMNO ada ketika ini," tegas seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

"Zahid boleh hadir di majlis tarian separa bogel di Bukit Gantang, tetapi rupa-rupanya seorang yang dayus untuk berdepan dengan pemimpin Pakatan Rakyat," tegasnya lagi.



Nizar Zambry : Semua Tahanan Telah Dibebaskan

Kesemua 14 orang yang ditahan termasuk tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang ditangkap pagi tadi berhubung tindakan memfailkan saman terhadap "Menteri Besar Mahkamah", Dr Zambry Abd Kadir atas tindakan beliau memecat ketua-ketua kampung lantikan Pakatan Rakyat telah dibebaskan daripada IPK Ipoh sebentar tadi.

Mereka yang dibebaskan termasuk Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran, ADUN Teja, Chan Lih Kang, ADUN Menglembu, Lim Phek Her, ADUN Jalong, Leong Mee Ming, ADUN Pasir Pinji Thomas Su dan ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai, ADUN Tronoh V. Sivakumar dan ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh.

Turut menyambut mereka di luar IPK Ipoh termasuk Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat negeri.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di luar kawasan IPK, Nizar berkata perjuangan rakyat untuk menuntut keadilan berhubung pemecatan ketua-ketua kampung dan puasa sunat serta mogok lapar akan tetap diteruskan walaupun Barisan Nasional menyalahgunakan institusi polis untuk menekan dan menindas rakyat.

"Kami akan teruskan program puasa sunat dan mogak lapar sehingga hari Khamis. Perjuangan untuk rakyat menetang kezaliman tetap diteruskan," kata beliau kepada media.

Sementara itu 5 pekerja sebuah syarikat penyedia siaraya yang mendirikan kemah untuk program mogok lapar berkenaan masih ditahan. Mereka teridir dari dua rakyat tempatan dan 3 warga Burma.


Penanti : Aminah Guna Taktik Kotor Untuk Publisiti

Calon bebas Aminah Abdullah memerangkap dua kenalan beliau dari Parti Keadilan Rakyat dengan menjemput mereka untuk makan tengah hari dan kemudian merakamkan perbualan peribadi antara mereka untuk dijadikan senjata politik bagi menfitnah PKR.

Pengarah Pilihanraya PKR Saiffudin Nasution berkata Aminah, bekas pemimpin PKR di Pulau Pinang, sememangnya mempunyai hubungan baik dengan dua ahli berkenaan.

Saifuddin berkata dua ahli PKR itu telah menerima undangan Aminah untuk makan tengah hari seperti lazimnya.

Namun kali ini, Aminah bertindak merakamkan perbualan mereka untuk digunakan sebagai modal bagi meraih undi pada pilihanraya kecil Penanti Ahad ini.

Saifuddin berkata Aminah jelas bertindak tidak iklas terhadap dua rakannya itu, semata-mata dalam cubaan untuk menfitnah PKR.

“Mereka (Dua rakan Aminah) hadir makan tengahari, bahkan mereka dijemput untuk makan tengahari. Kemudian perbualan mereka dirakam. Kalau dijemput makan tengahari, tak perlulah rakam kalau tidak ada apa-apa niat,” kata Saifuddin.:

Saifuddin sekali lagi menegaskan bahawa PKR tidak pernah menawarkan sebarang imbuhan kepada Aminah dan segala perbualan yang dirujuk oleh calon bebas itu adalah bersifat peribadi antara beliau dan dua kenalannya itu.

Aminah mendakwa kononnya dua ahli PKR berkenaan dihantar oleh parti itu untuk menawarkan beliau pelbagai imbuhan bagi menarik diri daripada pada pilihanraya kecil Penanti.

Aminah mendakwa beliau kononya juga ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 jika menang pilihanraya kecil itu.

Namun pemerhati politik berpendapat, tidak masuk akal untuk PKR membuat tawaran seperti mana yang di dakwa oleh Aminah, kerana parti itu dalam keadaan selesa untuk mengekalkan kerusi Penanti.

Tambahan pula Aminah tidak mempunyai sokongan akar umbi di Penanti yang merupakan kubu kuat PKR dan Pakatan Rakyat.

Saifuddin berkata PKR akan membuat kenyataan lebih menyeluruh selepas peguam PKR selesai meneliti rakaman audio perbualan tiga jam antara Aminah dan dua kenalannya itu.

Parti itu juga akan menunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyelesaikan siasatan bersabit tuduhan Aminah itu.

“Kenyataan yang disebut semalam menyentuh mengenai tuduhan tawaran wang dan jawatan,” kata Saifuddin. “Panel peguam telah dibentuk untuk meneliti rakaman audio ini dan sekiranya ada unsur-unsur seperti yang dituduh itu, maka ia akan disertakan dalam notis kepada calon berkenaan.”

Saifuddin berkata pada peringkat in, PKR berpendirian dakwaan Aminah itu bersifat fitnah yang bertujuan mencemar parti berkenaan dan cubaan terdesak oleh beliau untuk meraih sokongan pengundi.

PKR pagi ini telah menghantar notis guaman kepada Aminah, menuntut beliau memohon maaf kepada PKR dan berhenti mengaitkan parti itu kepada perbualan peribadi yang di rakamnya itu.

Saifuddin berkata setelah mendengar rakaman itu, beliau secara peribadi berpendapat Aminah menunjukkan minat mahu kembali ke pangkuan PKR.

“Komen saya adalah satu acara makan-makan, pertemuan antara sahabat dalam suasana mesra dan gelak-tawa,” kata Saifuddin. “Acara itu juga menunjukkan seperti ada hasrat untuk kembali menyertai parti. Itu gambaran yang saya dapat,” tambah Saifuddin.

Sementara itu, Aminah telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Pulau Pinang kira-kira enam jam berhubung pendedahan bukti beliau ditawarkan ganjaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Aminah berkata beliau telah dihubungi SPRM agar hadir memberikan keterangan berhubung perkara tersebut.

"Semalam SPRM hubungi Kak Min (Aminah), mereka suruh datang beri keterangan sekejap saja, tapi dari pukul 4.30 petang sampai pukul 10.30 malam mereka masih tak benarkan Kak Min balik," katanya ketika ditemui di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di sini hari ini.

Jelasnya, sewaktu pertemuaan tersebut juga beliau telah menyerahakn kesemua bukti yang ada bagi menyokong pendedahannya untuk disiasat.

"Masa itu juga Kak Min serahkan bukti-bukti yang ada iaitu rakaman perbualan dan gambar.

"Ada tiga rakaman perbualan bagi tiga kali pertemuan antara Kak Min dan mereka serta tiga keping gambar yang dirakamkan menggunakan telefon bimbit," katanya.

SPRM dengan serta merta dilaporkan sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Aminah, beliau ditawar Parti Keadilan Rakyat (PKR) wang tunai dan jawatan supaya menarik diri daripada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim, mengesahkan perkara itu, demikian laporan Berita Harian.



Nizar Tarik Diri Bertanding Naib Presiden PAS

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sah menarik diri daripada persaingan jawatan naib presiden PAS, sementara Nasrudin Hassan diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

Daripada 16 yang dicalonkan untuk tiga jawatan kanan tersebut, hanya lima tokoh PAS bersaing.

Ketua Pemuda sekarang Salahuddin Ayub, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan tiga ahli jawatankuasa pusat Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim dan Nik Amar Nik Abdullah mengesahkan bertanding.

Seperti diduga, jawatan timbalan presiden menyaksikan perebutan tiga penjuru antara penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Bagi Pemuda PAS, dua lagi jawatan kanan turut dimenangi tanpa bertanding - masing-masing Azman Shapawi Abd Rani sebagai timbalan ketua dan Ahmad Sabki Yusof (naib ketua).

Jawatan ketua Dewan Muslimat menyaksikan persaingan dua penjuru, antara penyandang Nuridah Salleh dengan pencabarnya Dr Asiah Ali.

Datuk Harun Taib menguasai kembali ketua Dewan Ulama tanpa bertanding seperti dua lagi jawatan kanan - timbalannya kini Datuk Ahmad Yaakob dan naib ketua Datuk Mahfodz Mohamed.

Senarai penuh calon-calon barisan pemimpin PAS diumumkan dalam satu sidang media khas di ibu pejabat parti, Kuala Lumpur pagi ini.


Nizar Zambry : 15 Termasuk Wakil Rakyat PR Ditangkap Di Hari Mogok Lapar

15 orang yang ditangkap polis termasuk seorang Ahli Parlimen dan 7 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak lewat pagi tadi telah di bawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Ipoh sebentar tadi.

Anyata pemimpin Pakatan Rakyat yang ditahan ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, Lim Kit Siang, ADUN Teja, Chan Lih Kang, ADUN Menglembu, Lim Phek Her, ADUN Jalong, Leong Mee Ming, ADUN Pasir Pinji Thomas Su dan ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai, ADUN Tronoh V. Sivakumar, ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh serta enam orang awam.

Wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tersebut difahamkan ditangkap ketika dalam perjalanan ke kereta masing-masing dan sedang bersiap untuk ke Mahkamah Tinggi Ipoh bersama-sama ketua-ketua kampung dan JKKK dipecat memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Barisan Nasional pimpinan Dr Zambry Abd Kadir.

Pagi tadi polis juga menahan lima orang di tapak perasmian puasa sunat dan mogok lapar anjuran Pakatan Rakyat bagi meneruskan desakan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan.

Keadaan agak tegang di kawasan berhadapan Wisma DAP di Ipoh dengan kira-kira 100 anggota keselamatan berkumpul di situ.

Polis memberi amaran untuk menyuraikan majlis tersebut atas alasan ia tidak mempunyai permit.

Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dalam ucapan perasmiannya berkata mahkamah bukanlah tempat terbaik menyelesaikan kemelut politik di Perak sekarang.

Berikut disiarkan ucapan penuh beliau:

Mahkamah adalah bukan penyelesai masalah, dia boleh menafsirkan undang-undang tapi rakyatlah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah di Perak.

Saya mengalakkan orang Islam berpuasa kerana hari ini 1 Jamadil Akhir yang disunatkan dalam Islam, diiringkan dengan solat Hajat dan berdoa.Mudah-mudahan dibuka hati kepada mereka yang berkenaan dan diberikan kepada mereka.

Pada masa ini banyak perkara tidak boleh dibuat. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, namun pagi ini saya dilarang untuk bersalam.

Hari ini macam-macam tidak boleh termasuk main belon.

Di Penanti aman kerana BN tidak bertanding, pagi ini kami dihalang untuk berkumpul dan berucap.

Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada rakan media, NGO dan semua pihak dalam membantu program kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya mengalu-alukan sesiapa ikut serta berdasarkan kemampuan masing-masing dan budaya serta agama sendiri.

Generasi akan datang akan menyaksikan apa yang dilakukan oleh tuan-tuan.

Saya mohon rakan media melaporkan berita secara baik dan akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dilakukan. Kita ada sikap terbuka dengan rakan media.

Dengan Kalimah nasrunminallah wafathun qarrib, saya merasmikan Program Puasa Sunat dan Mogok Lapar.


BERITA SEBELUM INI

Polis menahan 5 orang daripada sebuah syarikat pengendalian acara apabila mereka sedang mendirikan khemah bagi perasmian puasa sunat dan mogok lapar di hadapan Wisma DAP di Ipoh pagi tadi.

Gangguan polis terhadap acara berorientasikan rakyat adalah yang terbaru dalam siri kes penahanan orang ramai diseluruh berhubung desakan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan perkabungan kematian demokrasi di negeri itu.

Majlis tersebut dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Speaker V. Sivakumar. Rakyat Perak diseru beramai-ramai menyertai puasa sunat dan mogok lapar yang akan diadakan selama tiga hari sehingga hari Khamis bagi tujuan meneruskan desakan pembubaran DUN.

TV Antara difahamkan lebih 50 anggota FRU dan polis, 20 anggota polis berpakaian preman, 2 jip polis, 4 kereta peronda, 2 van dan 7 trak pasukan keselamatan ditempatkan disekitar kawasan di mana acara itu akan berlangsung.
Orang ramai dilarang mendekati Wisma DAP dipercayai bagi menghalang mereka menyertai dan menyokong acara puasa sunat dan mogok lapar anjuran Pakatan Rakyat itu.
Polis juga merampas belon gergasi yang menjadi sebahagian daripada acara tersebut.

Syarikat yang mengendalikan acara ini adalah yang sama menguruskan majlis makan malam anjuran DAP Lumut di Sitiawan beberapa minggu lalu yang telah diserbu oleh polis apabila VCD kekecohan DUN Perak ditayangkan.

Polis telah menduduki khemah yang dirikan untuk melindungu daripada hujan sambil menikmati sarapan pagi mereka. -TVA


Husam dan Zahid Dalam HUJAH Malam Ini

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa dan Naib Presiden Umno, Datuk Zahid Hamidi akan bertemu dalam Program Hujah TV 9 pada 26 Mei 2009 (Selasa) jam 9.30 malam.

Program tersebut akan menampilkan Profesor Madya Agus Yusof sebagai pemudahcara dengan tajuk “Rasuah Politik” dan akan disiarkan secara langsung oleh TV9.

Husam dilaporkan akan menyentuh perkara-perkara slogan Bersih Cekap Amanah yang semakin dilupakan oleh pemimpin-pemimpin BN, isu korupsi, agensi-agensi kerajaan yang lebih bertindak sebagai agen parti pemerintah seperti SPR dan SPRM, insitutsi kehakiman dan lain-lain.

Semalam, Husam telah mengesahkan beliau akan bertanding merebut jawatan merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu minggu depan.

Selain Husam, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dijangka akan mempertahankan jawatan tersebut.

Blog Kelab GB akan cuba menayangkan program tersebut secara lansung pada pukul 9.30 mlm ini iaitu setengah jam sebelum rancangan Isu Semasa dan Irama Malam Bersama GB di radio tko.fm bermula.

PENANTI : UMNO BN Tersengih Dengan Pendedahan Aminah.

Salah satu pra-syarat untuk menjadi ahli politik berkaliber apa lagi wakil rakyat ialah ketangkasan berhujah dan kepintaran memulas dan mematikan terjahan lawan. Ilmu bijak berkomunikasi ini kadang-kadang timbul secara semula jadi dan tidak perlu berkelulusan tinggi. Penjual ubat dan peraih ikan di pasar pun seringkali pandai berhujah untuk menarik pembeli mendekati mereka, apa lagi pemimpin politik.

Dalam berita TV malam tadi saya ternampak calon Bebas dalam PRK Penanti, Aminah Abdullah sedang membaca kenyataan akhbar mengenai sogokan RM80,000 yang konon cuba diberikan kepadanya. Saya nampak dia baca teks yang telah disediakan dengan suara agak tergagap-gagap dan seperti tiada keyakinan diri.

Melihat cara dia bercakap yang tergagap-gagap itu saja tidak meyakinkan saya dia adalah pemimpin yang wajar diangkat sebagai Wakil Rakyat. Melihat cara dia bercakap saja meyakinkan saya jika diajak berdebat mengenai isu-isu negara, mungkin mak cik ini akan mudah sangat ditundukkan. Saya pun tidak faham mengapa watak sepertinya boleh menjawat satu jawatan yang tinggi dalam PKR dahulu.

Bagi saya berdasarkan penampilan pertama beliau yang saya lihat dalam media itu, tempat yang paling sesuai untuknya ialah di rumah, menjaga cucu atau setidak-tidaknya menjaga kebajikan suami dengan tinggal dalam rumah sambil memasak dan mengemas rumah. Sangat tidak sesuai susuk yang tidak nampak seperti orang politik ini menceburi bidang politik yang penuh ranjau dan duri itu.

Saya tidak yakin majoriti pengundi Penanti akan terpikat dengan penampilan Mak Cik Minah. Tapi jika ditakdirkan mak cik itu memenangi PRK Penanti bermakna pengundi-pengundi telah menzalimi Mak Cik Minah dengan memaksa beliau menggalas satu beban yang dia nampak tidak berupaya menanggungnya. Jadi kepada pengundi Penanti, kita berharap tidak menzalimi Mak Cik Minah dengan mengundinya. Kasihanilah Mak Cik Minah yang lebih beketrampilan sebagai suri rumah sepenuh masa dan bukannya ahli politik itu. -pendikargunungkriang



PENANTI : Murahnya Mak Cik Minah, Sama Dengan Harga Lembu!!

Pagi tadi Aminah Abdullah, calon Bebas dalam PRK Penanti mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama seseorang yang didakwa sebagai wakil PKR yang cuba menawarkan sogokan kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 sebagai ganti rugi dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Kalau tanya saya boleh percaya ke PKR yang selalu melaungkan slogan anti-rasuah itu pun dua kali lima saja dengan Umno yang memang terkenal 1 Malaysia sebagai parti yang suka menyogok dan menerima sogokan? Saya akan kata mengapa tidak boleh percaya?

Dalam politik 1 Malaysia ini semua berita yang tersebar kita kena percaya - Najib berkhalwat dengan penyanyi wanita di Port Dickson kita kena percaya, Najib mengarahkan pembunuhan Altantuya kita kena percaya, Rosmah berada di tempat pembunuhan Altantuya kita kena percaya, Najib pernah mengadakan hubungan sex luar tabii dengan Altantuya di Singapura seperti dalam versi Balasubramaniam kita kena percaya, Najib tawar sogokan RM50 juta kepada Fauzi Muda Ketua PKR Ipoh Barat untuk dapatkan ADUN PKR kita kena percaya, Najib terlibat dalam rasuah pembelian kapalselam dan Sukhoi kita kena percaya, bla... bla... bla... semuanya kita kena percaya. Jika 1 Malaysia boleh percaya Najib memang teruk, mengapa 1 Malaysia tak boleh percaya cerita Mak Cik Minah yang sedang meletup popularitinya itu?

Cuma yang yang saya masih was-was ialah bila Mak Cik Minah cuma ditawarkan RM80,000 oleh PKR untuk menarik diri dari menyertai PRK Penanti. RM80,000 saja, kata hati saya, awat murah sangat? Bayangkan fakta ini:

i) ADUN Kulim dari PKR melaporkan kepada SPRM ia ditawarkan RM5 juta oleh BN untuk menyeberangi BN. Laporan kepada SPRM disertakan bersekali dengan pita rakaman perbualan wakil BN yang menawarkan sogokan tersebut.

ii) Fauzi Muda Ketua PKR Ipoh Barat melaporkan kepada SPRM ia ditawarkan oleh DS Najib RM50 juta untuk mendapatkan dua orang ADUN PKR

iii) ADUN Malim Nawar dari DAP dan ADUN Kuala Kurau dari PKR melaporkan kepada SPRM mereka ditawarkan sogokan bernilai RM20 juta bersama jawatan penting dalam BN Perak jika menyertai BN.

iv) Banyak lagi kes-kes sogokan BN kepada ADUN PR yang dilaporkan, bukan saja semenjak dua menjak lepas PRU ke-12 ini, tapi sejak dulu-dulu lagi, yang semuanya bernilai lebih dari RM 1 juta. Semuanya nilai juta-juta!!

Tapi nilai Mak Cik Minah, aduhai murahnya...RM80,000 saja! Nak buat apa dengan RM80,000 di zaman kemelesetan ekonomi yang sudah tak tertahan ini? Kalau nak digunakan untuk cucuk botox yang bernilai antara RM2,500 hingga RM5,000 satu suntikan bagi menegangkan muka mak cik yang dah berkedut itu pun tak berbaloi, berapa lama sangat nak bertahan duit RM80,000 untuk buat suntikan botox? Harga seunit rumah teres kos sederhana sekarang ini pun sudah jadi lebih dari RM100,000, habis nak buat apa mak cik dengan RM80,000 itu? Nak beli Exora lepaslah dengan RM80,000 tu, tapi tak kan Exora saja mak cik?

Tapi jika nak beli lembu memang selesalah dengan wang sebanyak RM80,000 kerana harga lembu dalam lingkungan RM3,000-RM4,000 saja seekor atau dengan RM80,000 boleh dapatkan hingga 27 ekor lembu.

Hairan juga mengapa PKR letakkan nilai RM80,000 saja untuk Mak Cik Minah kita ni. Orang lain nilainya juta-juta tapi Mak Cik Minah bernilai cuma RM80,000 yang bersamaan dengan harga sekawan 27 ekor lembu saja. Pemimpin Umno yang sudah biasa dengan harga belian manusia dengan harga berjuta-juta satu kepala pasti ketawa besar dengan nilai Mak Cik Minah yang sangat murah itu. Tentu mereka berkata: sampai hati PKR menghina Mak Cik Minah dengan tawaran semurah itu!! -pendikargunungkriang


PENANTI : UMNO BN Yang Taja Calon Bebas?

Setelah UMNO mengumumkan penarikan diri daripada bertanding di PRK Penanti, saya merasakan bahawa UMNO tidak mahu mengambil risiko kalah dengan majoriti yang lebih besar. Saya juga merasakan yang UMNO amat kecewa apabila calon PR tidak diberikan kemenangan percuma. Lantas saya terfikir apakah PR yang menaja calon-calon bebas bagi memastikan akan adanya pilihanraya.

PR tentu mahu membuktikan bahawa pengundinya akan bertambah di Penanti. Pertambahan jumlah undi yang diterima oleh PR akan menambahkan kesengsaraan UMNO.

Walaupun UMNO tidak bertanding di Penanti, PR masih tetap berkempen mendedahkan kelemahan UMNO dan PM Satu Malaysia. PR seolah-olah tidak pedulikan kelibat calon-calon bebas sehinggalah apabila Aminah Abdullah mula bersuara. Calon bebas cap kunci ini begitu berani menyerang PKR. Calon kunci ini diberitakan akan/telah membuat laporan kepada polis, SPRM dan SPR dengan menyertakan bukti yang kononnya PKR telah merasuahnya supaya tidak bertanding.

Pada waktu yang sama juga calon ini ditawarkan jawatan KM1 oleh PKR sekiranya berjaya menewaskan calon PR dengan syarat kembali kepada PKR. Begitu celaru jalan ceritanya. PKR merasuah RM80k supaya calon ini tidak bertanding. Apabila calon ini masih berkeras mahu bertanding, ditawarkan pula jawatan KM1 apabila menang nanti. Nampak sangat yang PR tidak yakin akan menang di Penanti. Nampak sangat yang calon bebas ini lebih bertenaga daripada UMNO.

Lebih menarik lagi apabila SPR amat berminat melayani helah politik calon cap kunci. Pengerusi SPR begitu cepat menyambut permainan calon kunci sebagaimana cepatnya SPR menyambut permainan UMNO di dalam setiap pilihanraya yang membabitkan calon UMNO. Hati kecil saya membisikkan bahawa semua calon bebas ini ada penajanya. Hati kecil saya berani membisikkan bahawa penajanya ialah UMNO.

Sekiranya calon kunci itu ditaja oleh PKR semata-mata untuk mewujudkan pilihanraya, sudah tentu calon itu tidak akan menyusahkan PR. Tetapi sekarang calon itu telah dan sedang menyusahkan PR sehingga melibatkan polis, SPRM dan SPR. Kes ini sedikit sebanyak telah berjaya menenggelamkan isu-isu yang bersabit dengan UMNO. Secara tidak langsung UMNO berjaya juga menyerang PKR melalui calon kuncinya. Saya ingatkan Satu Malaysia takutkan Aminah Abdullah, rupa-rupanya Aminah Abdullah ini adalah spesis Altantuya belaan UMNO.

Kehadiran bekas calon cap payung Bukit Gantang, Kamarul Ramizu adalah sebagai pelengkap untuk menunjukkan sesiapa sahaja bebas bertanding. Kononnya amalan demokrasi di Malaysia masih subur. Apalah yang diharapkan oleh calon ini setelah memperolehi 62 undi di Bukit Gantang. Di Bukit Gantang sebagai peniaga. Di Penanti pula sebagai pakar motivasi. Di Bukit Gantang dihebohkan sebagai calon PEKIDA bertaraf ayahanda. Setelah saya meneliti setiap organisasi PEKIDA peringkat negeri atau Malaysia, langsung tidak terdapatpun nama beliau. Mungkin beliau ahli PEKIDA tanpa kad keahlian. Kehidupan sehariannya pun tidak sesempurna mana, tetapi masih mampu bertanding walaupun telah kehilangan wang pertaruhan dalam PRK Bukit Gantang. Betulkah calon ini bebas tanpa penaja? Bukankah calon ini pernah berkata bahawa beliau akan memperolehi sekurang-kurangnya 6200 undi UMNO di Penanti? Rugi besarlah PKR jikalau menaja calon cap payung ini.

Seorang lagi calon bebas ialah Nai Khan Ari yang berketurunan Siam. Apa yang diharapkan oleh UMNO ialah calon ini mampu mencuri undi pengundi bukan Melayu. Seterusnya pengundi yang mengundi calon PR akan merosot bilangannya. Inilah yang diharapkan oleh UMNO. Secara jujurnya adakah calon ini yakin yang dia akan menjadi wakil rakyat di Penanti? Adakah calon ini begitu pemurah sehingga sanggup mengeluarkan belanja yang banyak demi Penanti?

Insya Allah calon PR, Dr. Mansor Othman akan memenangi PRK Penanti dengan bilangan undi yang lebih besar. Melalui pembacaan, saya juga dimaklumkan bahawa Dr. Mansor akan diamanahkan jawatan KM1 Pulau Pinang. Tahniah.

Akhir bicara, saya gunakan kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih atas segala ilmu yang prof telah sampaikan kepada saya. Prof adalah pensyarah SAU 405 - Isu-Isu Dalam Masyarakat Tani. Saya adalah salah seorang pelajar prof pada tahun akhir 80-an. Prof amat baik dan sentiasa bersedia membantu saya menyelesaikan tugasan berkaitan. Walaupun tugasan saya A, gred keseluruhannya B kerana saya gagal memberikan jawapan terbaik dalam peperiksaan akhir.

Prof tetap guru saya walaupun hanya untuk tempoh satu semester ataupun 17 minggu. Khas untuk Dr. Mansor Othman, Selamat Hari Guru. -dango mamamat

Husam Nasa Mat Sabu : Kita Dapat Satu, Tapi Terlepas Dua!


Nasharudin, Husam dan Mohamad (disebut mengikut bilangan pencalonan yang diterima) pasti akan bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden. Kerusi itu hanya satu, bukan dua dan rasanya tak akan jadi dua atau tiga.

Jawatan itu sepenting Presiden. Bukan sekadar sebagai pembantu utama Presiden tetapi sebagai Presiden ketika ‘keuzuran’ Presiden. Sebab itu ia cuma satu dan bukan dua atau tiga.

Keputusan Majlis Syura Ulamak menyerahkan kepada muktamar untuk menentukan siapa yang layak untuk menduduki kerusi itu adalah tepat. Bukan masanya untuk berpolemik ‘ulamak dan profesional’. Polemik itu umpama membongkar bata bangunan untuk dimasuki kelawar. Sekali kelawar masuk, sukar benar untuk dihalau keluar.

Ketiga-tiganya adalah orang baik dan hebat. Sebagaimana tiada seorang pun daripada mereka menjadi yang terbaik, begitu juga tiada sesiapa pun yang menjadi tercorot. Seperti mana tiada sesiapa pun yang sempurna, begitu juga tiada sesiapa pun yang buruk semuanya.

Sesiapa sahaja di kalangan mereka boleh merasakan dirinya adalah terbaik dan layak dipilih, namun jangan ada sesiapa pun yang merasakan saingannya adalah buruk dan tidak layak terpilih. Tuhan benci manusia takabbur. Orang itu tiada tempat di dalam syurga. Orang takabbur ialah penolak kebenaran dan penghina manusia lain.

Mereka bertiga hanya bersaing untuk jawatan itu sahaja. Apabila salah seorang menang, yang dua lagi akan tidak bertempat dalam hirarki utama parti.

Kalau mereka mempertahankan jawatan masing-masing sekarang sahaja, diyakini kita akan mendapat ketiga-tiganya. Tetapi apabila mereka bersaing untuk Timbalan Presiden, kita akan dapat satu dan akan keguguran dua.

Kalau pakai ilmu lojik, mana lebih baik antara dapat tiga dengan dapat satu dan gugur dua? Tentu jawabnya, dapat tiga lebih baik.

Namun, itu hanya menjadi matematik sahaja kerana keputusan mereka untuk bersaing adalah muktamad.

Benar, Presiden boleh melantik dua orang yang tidak terpilih untuk menduduki kerusi harian Pas Pusat samada Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan atau AJK Pas Pusat. Dan, rasanya itu yang bakal dilakukan Presiden. Beliau tentu tidak mahu kehilangan seorang pun daripada mereka.

Mereka yang tidak terpilih juga tidak akan janggal untuk ‘turun ke bawah’, tetapi ibarat tangga yang ada tiga anak, kita gugurkan dua daripadanya. Dua yang digugurkan itu pula kukuh-kukuh belaka.

Ini tidak bermaksud bahawa mereka yang bakal bersaing untuk jawatan Naib Presiden untuk menggantikan Husam dan Mohamad tidak bagus. Mereka bagus tetapi apa yang ingin diungkapkan di sini ialah kita akan keguguran dua daripada tiga yang bagus juga.

Jangan marah kalau saya kata begini. Pemimpin kita yang bakal bersaing itu memangsakan perwakilan. Saya tidak berkata bersaing itu salah. Saya juga tidak berkata perwakilan muktamar tidak bijak.

Perwakilan sayang ketiga-tiganya tetapi kita memaksa dan memangsakan mereka untuk memilih salah satu daripada tiga. Mereka sepatutnya dapat ketiga-tiganya, tetapi mereka hanya boleh mengambil satu sahaja. Adakah itu adil?

Apa pun saya tetap mendoakan kebaikan untuk semuanya. Sebagaimana orang lain, saya juga sayangkan tuan-tuan bertiga. Mana-mana yang saya suka untuk diri saya, itu juga yang saya suka untuk tuan-tuan bertiga.

Cuma satu harapan terakhir saya. Semasa undi dikira, saya harap jumlah undi yang diperolehi oleh tuan-tuan bertiga tidak termasuk undi tuan-tuan untuk diri sendiri.

Saya harap tuan-tuan mampu melakukannya. Kalau tidak, tuan-tuan hitunglah diri tuan-tuan sendiri.