14 Okt 2010

Wang Ihsan : Mana Senarai Nama Warga Emas Dan Wang Yang Dikembalikan?

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh, menggesa Umno Pulau Pinang supaya segera mengemukakan bukti tentang dakwaan mereka bahawa sebahagian besar warga emas menolak sumbangan wang penghargaan sebanyak RM100 sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini.

Menurutnya, jika sebelum ini Umno menjadikan warga emas sebagai alat untuk memperdayakan mereka bagi mendapat sokongan yang hilang terhadap mereka, maka adalah lebih baik bagi Umno mengemukakan bukti segera supaya tidak dilihat sebagai membohongi warga emas yang tidak bersalah.

"Sila kemukakan kepada kerajaan negeri dengan tepat butir-butir peribadi penerima serta surat akuan yang ditandatangani oleh warga emas sendiri membuktikan mereka sememangnya melakukannya dengan ikhlas untuk menarik diri dari menjadi penerima sumbangan tersebut.

"Sebaik saja kita menerima butir-butir yang telah sahih itu, maka nama mereka yang telah dikenal pasti akan dipotong dari senarai penerima. Kita tidak mahu maklumat yang diberikan tidak benar serta tidak langsung terdapat nama mereka dalam sistem yang direkodkan sebelum ini," ujarnya ketika mengulas tindakan sebahagian besar warga emas yang menunjukkan sokongan terhadap kerajaan negeri di Dewan Ahmad Badawi, Butterworth, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungei Puyu berkata, sepatutnya Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang hadir dalam sidang Dun yang lalu menjelaskan perkara yang benar kepada warga emas.

Namun begitu berlaku sebaliknya, apabila Azhar yang mengetahui mengenai peruntukan sebanyak RM20 juta yang telah diluluskan dalam sidang Dun itu tidak menyatakan kebenaran tersebut.

"Sekiranya perkara yang sememangnya benar beliau ketahui dalam sidang Dun sendiri tidak dapat beliau nyatakan kebenarannya, maka bagaimana kita hendak mengharapkan beliau dapat memberi pembelaan yang sewajarnya kepada masyarakat yang diwakili oleh beliau," tegasnya lagi. -harakahdaily






Mustaffa Mahu Calon Isytihar Harta Dan Belanjawan Pemilihan

Mustaffa Kamil Ayub yang bertanding jawatan timbalan presiden parti hari ini menggesa setiap calon mengisytiharkan harta dan belanjawan kempen masing-masing bagi membuktikan partinya boleh menjalankan pemilihan bersih.

Selain itu, naib presiden PKR ini juga meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memperkenalkan penggunaan sistem cap jari bagi menjamin ketelusan dalam sistem pemilihan yang julung kali memperkenalkan kaedah satu ahli satu undi.

“Sekali saya cadangkan, JPP perkenalkan sistem dedah akaun peribadi calon dan cap jari demi mengangkat imej parti sebagai parti yang bersih dan saksama,” kata Mustaffa (gambar).

“Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Cadangan itu dikemukakan ketika tinggal dua hari lagi bagi kesemua bakal calon perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing.

Mustaffa berkata, cadangan. Itu penting diamalkan demi memperkasakan imej parti yang sedia bersih supaya dilihat berintegriti di mata rakyat dan dunia.

Tidak memadai pemimpin Keadilan bersih, tetapi kepemimpinan kita mesti dilihat bersih oleh rakyat Malaysia dan dunia melalui pembaharuan institusi ini,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, sistem dedah akuan peribadi calon dan celup jari demi mengangkat imej parti sebagai parti yang bersih dan saksama.

Difahamkan, 'institutional reform' adalah usaha mereformasi sistem pilihan raya dan demokrasi yang sedia ada supaya mampu mengangkat pemimpin yang paling adil dan bersih.

Kata beliau, pemilihan kali ini wajar dijadikan pelantar ujian pada perubahan landskap tanah air memandangkan PKR bersama-sama parti-parti oposisi yang lain pada pilihan raya umum ke-12 lalu telah pun mempopularkan cadang-cadangan tersebut melalui wadah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

“Semua ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam negara dengan kita menjadikan parti kita sebagai pelantar ujian yang sihat,” kata Pengerusi PKR Perak ini.

“Sempena proses pemilihan peringkat pusat dengan pengesahan calon-calon bertanding 16 Oktober ini, saya mencadangkan semua calon mengisytiharkan harta serta belanjawan masing-masing,” katanya.

Kata beliau, boleh dikatakan sepanjang pilihan raya umum dan kecil lepas, oposisi mengajak rakyat percaya bahawa kebanyakan pemimpin Umno dan BN mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kita bukan sahaja mencabar mereka yang terbabit mendedahkan akaun masing-masing dan belanjawan pilihan raya masing-masing sempena pilihan raya.

Malah, kita juga mendesak pihak berwajib seperti SPR dan SPRM supaya menyiasat beberapa pemimpin Umno dan BN yang kita anggap tiada integriti.

“Cabaran dan desakan ini semata-mata kerana kita mahu melihat proses pilihan raya dan demokrasi berlangsung secara bersih, bebas dan adil," kata Mustaffa yang juga Pengerusi Akademi Latihan PKR.

“Apa yang kita cadangkan serta desakan ini, bagi saya adalah suatu pembaharuan institusi iaitu kita mereformasi sistem yang sedia ada supaya mengangkat pemimpin yang adil dan bersih,” kata beliau lagi.

Menurut Mustaffa, PKR gagal membenamkan parti rejim jua sebenarnya ekoran gagal membawa pembaharuan institusi terlebih dahulu ke dalam negara.

“Sebab itu, rakyat perlu menganggap beberapa tuntutan Bersih ke atas SPR menjelang pilihan raya umum ke-12 lalu sebagai suatu pembaharuan institusi.

“Institusi yang direformasi menjadi bebas, adil dan demokratik pastinya akan mengangkat kepemimpinan yang integriti, adil dan demokratik,” kata beliau.

Mustaffa memberitahu, sekarang PKR khususnya Pakatan Rakyat tidak mampu melakukan semua pembaharuan institusi ini dalam kerajaan khususnya SPR kerana masih tidak berpeluang mendapat mandat rakyat.

“Tetapi, kita khususnya JPP mempunyai kuasa untuk membuktikan bahawa semua ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam negara, dengan kita menjadikan parti kita sebagai pelantar ujian yang sihat,” kata Mustaffa lagi.

“Biar dunia melihat bahawa semua cadangan pembaharuan institusi ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam Malaysia dengan melihat pelantar ujian kita.

“Yang terjejas, mungkin pemimpin yang melakukan korupsi atau menyalah guna kuasa sahaja,” katanya.

Sambil menekankan bahawa rakyat akan melihat komitmen ini, Mustaffa berkata, tidak mustahil rakyat akan sokong usaha ini dan bersedia memberi mandat kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR kerana mereka percaya parti ini jika memerintah selepas pilihan raya umum ke-13 kelak akan laksanakan pembaharuan institusi dalam negara sebagaimana yang telahpun dibuktikan dalam parti.

“Satu lagi, saya cadang kita laksanakan cat jari sempena pemilihan kali ini.

“Cadangan ini yang bagi saya satu lagi pembaharuan institusi mampu membuka mata rakyat.

“Rakyat akan berkata, 'rupa-rupanya sistem cat jari dan dedah akaun peribadi calon tidak lah mengganggu sistem demokrasi,” katanya.

Beliau berkata jika PKR boleh buat, mengapa kerajaan pusat masih cipta alasan untuk membodohkan rakyat.

Ulasan GB

Apa yang disampaikan oleh Mustaffa Kamil Ayub itulah apa yang selama ini GB perjuangkan.

Bahawa, untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang bersih dan adil, maka ia bermula dari parti kita sendiri.

Bagaimana mungkin kita hendak memperjuangkan keadilan dan kebersihan jika pemimpin parti sendiri bersikap berat-sebelah, partisan dan penuh dengan kosnpirasi serta wayang-wayang?

Bagaimana mungkin kita hendak mewujudkan sebuah kerajaan yang baik jika calon-calon yang bertanding giat menabur fitnah tanpa bukti dengan melakukan serangan-serangan peribadi terhadap calon lawan semata-mata kerana takut dengan bayang-bayang sendiri?

Bagaimana mungkin kita mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang telus dan stabil jika parti sendiri bergelandangan dengan kekecohan akibat manusia-manusia yang kemaruk kuasa dan berebut jawatan?

Semuanya itu sepatutnya dihentikan. Tetapi mungkinkah PKR berjaya sedangkan perbuatan-perbuatan buruk dan jelek itu dimainkan oleh pemimpin-pemimpin peringkat tertinggi sendiri?

PKR bakal rebah jika terus-terusan bermain politik ala UMNO.

Sultan Kelantan Berangkat Ke Majlis Raja-raja Pagi Tadi

Majlis Raja-Raja Mengalu-Alukan Keberangkatan Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di sini bermula Rabu mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat ke-222 itu, bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Kelantan Darul Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah dengan adil dan saksama, agar negeri itu menuju kejayaan, dan baginda sentiasa dikasihi rakyat.

"Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Khamis.

Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang baru di Istana Balai Besar, Kelantan bulan lepas bagi menggantikan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang sedang gering sejak lebih dari setahun.

Titah Sultan Sharafuddin, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kelantan, serta berjiwa rakyat, Majlis Raja-Raja berkeyakinan penuh bahawa Sultan Muhammad V dapat memberi bantuan, input serta idea-idea baru kepada Majlis Mesyuarat Raja-Raja.

Sultan Sharafuddin turut bertitah, baginda dan semua Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri turut dukacita atas kegeringan Sultan Ismail Petra dan mendoakan semoga kesihatan baginda bertambah baik.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abdidin, Khamis berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berakhir di sini.

Seri Paduka diiiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Pahang, yang diwakili Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Perak, oleh Pemangku Sultan Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, dan Terengganu, oleh Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat, antara lain, membincangkan perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, agama Islam, pelantikan-pelantikan dan Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Biasiswa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. -Bernama

Ulasan GB

Sultan Kelantan Dikasihi Rakyatnya

Pendedah Maklumat Mengenai Taib Mahmud Mati Diikat Beg Di Kepala

Bekas pekerja empayar firma perniagaan yang dimiliki oleh keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijumpai mati Ahad lalu di sebuah bilik hotel di Los Angeles dengan sebuah beg diikat di kepalanya.

Ross J Boyert, 60, adalah bekas ketua pegawai operasi Sakti International - firma hartanah yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang dimiliki oleh keluarga Taib.

"Menurut spekulasi, dia mungkin membunuh diri, tetapi pihak koroner masih menangguhkan keputusan sementara menunggu siasatan lanjut,” kata laman sesawang anti-Taib Sarawak Report, yang sebelum ini banyak mendedahkan berita 'mengejutkan' berhubung keluarga ketua menteri itu.

Menuruk Sarawak Report, Boyert telah berkhidmat selama 12 sebagai pengurus yang mengendalikan beberapa blok pejabata dan unit kediaman yang dimiliki oleh keluarga Taib di San Francisco dan Seattle.

Sakti International dianggarkan memiliki hartanah bernilai US$80 juta (RM258 juta). Antaranya adalah Bangunan Abraham Lincoln yang setinggi 14 tingkat yang didakwa mempunyai sistem keselamatan yang canggih. Bangunan ini menempatkan pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) cawangan Seattle dan unit pencegahan pengganas - Washington Fusion Centre.

Boyert adalah pegawai yang bertanggungjawab bagi membantu Sakti International memujuk FBI menempatkan cawangannya itu di bangunan berkenaan pada 1998.

Selain Bangunan Abraham Lincoln, hartanah utama Sakti yang lain termasuk 260 California Street, San Francisco, yang penyewanya termasuk Citibank.

Boyert mengambil-alih pengurusan Sakti International yang tenat pada 1994 daripada anak Taib - Sulaiman - yang ketika itu seorang pelajar di California.

Sulaiman, yang sekarang ini adalah ahli parlimen mengambil-alih kerusi bapanya di Kota Samaharan. Beliau meletak jawatan sebagai timbalan menteri pelancongan tahun lalu dengan alasan faktor peribadi. Menurut khabar angin, Sulaiman sekarang menghadapi masalah kesihatan.

Diketepikan keluarga Taib

Menurut Sarawak Report, Boyert meninggalkan Sakti International pada 2006 setelah persaingan yang tidak sihat berlaku di kalangan keluarga Taib.

"Butiran berhubung apa yang terjadi ke atasnya boleh didadapti daripada rekod samannya di mahkamah di California. Rekod berkenaan membekalkan beberapa maklumat di sebalik pendedahan kepentingan hartanah yang dimiliki oleh Taib yang dibuat oleh Sarawak Report,” lapor laman sesawang itu.

Taib, yang memerintah Sarawak sejak 1981, disebut sebagai antara rakyat Malaysia yang terkaya dan mempunyai kepentingan perniagaannya baik secara langsung ataupun melalui pihak ketiga di dalam dan juga di luar negara.

Antara konglomerat yang menonjol kepunyaan keluarganya adalah Cahaya Mata Sarawak Bhd, yang banyak diberikan kontark membina infrastruktur di Sarawak.

Menurut notis saman yang dikemukakan oleh Boyert, Sulaiman menjanjikan beliau 50 peratus keuntungan Sakti International jika berjaya menyelamatkan syarikat itu.

Namun, Sulaiman yang kurang cekap kemudiannya digantikan sebagai pengarah tunggal dengan menantu Taib yang berbangsa Kanada, Sean Murray - suami kepada seorang lagi anak Taib - Jamilah. -mk

40 Peneroka FELDA Buat Laporan Polis Terhadap Ahmad Maslan

Ahmad Maslan didakwa hina peneroka

Lebih 40 peneroka Felda dari Negeri Sembilan telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan kerana didakwa menghina peneroka Felda baru-baru ini.

Diketuai oleh presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman; peneroka terbabit membuat laporan di balai polis Seremban 2 dengan mendakwa Ahmad menghina mereka dalam laporan akhbar Harian Metro bertarikh 8 Oktober 2010.

Menurut Mazlan, terdapat 14,882 peneroka dari seluruh negara yang masih belum mendapat semula wang tanam semula mereka berjumlah RM17,000 setiap seorang.

"Bagaimanapun Ahmad dalam laporan akhbar tersebut berkata Felda tidak memberi wang tanam semula kepada peneroka bagi mengelak ianya disalahguna.

"Beliau berkata jika wang itu diberikan kepada peneroka, mereka akan membelanja duit itu untuk membeli motor, baiki rumah dan beli kereta.

"Beliau juga menghina peneroka dengan berkata kebun peneroka akan bertukar menjadi hutan dan dipenuhi dengan babi hutan, ular sawa dan tikus," kata Mazlan.

Sehubungan itu, beliau menuntut Ahmad menarik balik kenyataannya "yang mengguris perasaan dan bersangka buruk terhadap peneroka".

"Beliau mesti meminta maaf atas ungkapan yang berunsur penghinaan terhadap peneroka.

"Sebagai satu pengajaran, hari ini saya bersama wakil peneroka di Negeri Sembilan membuat laporan polis agar satu siasatan dijalankan terhadap beliau," tambahnya.

Mazlan turut menjelaskan bahawa wang tanam semula adalah hak peneroka, di mana wang tersebut dicarum melalui potongan bulanan, hasil daripada pendapatan peneroka selama 20 tahun sebelum ini.

Oleh itu, tegasnya, adalah tidak munasabah untuk mempersoalkan penggunaan wang tanam semula oleh peneroka.

Turut hadir menemani peneroka membuat laporan polis ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamed Omar.

Enam Maut Kereta Rempuh Pokok di Kampar

Enam Maut Kereta Rempuh Pokok di Kampar

KAMPAR: Enam orang, iaitu empat lelaki dan dua perempuan, terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok dan terbakar di tepi jalan di Km 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini awal, pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu ialah pemandu kereta Lim Kar Wai, 20, Yap Heng Loong, 21, Soo Poi Wan, 18 (wanita), Wong Chee Keong, 23, dan Tang Wai Leong, 18.

Seorang lagi mangsa wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya, meninggal dunia di Hospital Kampar pada pukul 4.50 pagi, katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata lima mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan mengalami kebakaran 80 peratus di badan.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Abdul Aziz berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Lim dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampar dikatakan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebatang pokok di kanan jalan dan terbakar.

Akibat kemalangan itu, kereta jenis Honda City tersebut musnah terbakar dan pasukan Bomba dan Penyelamat dari sini dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan kesemua mangsa. -BERNAMA








Dollah Kassim Meninggal Dunia

Dollah Kassim bekas pemain bola sepak terkenal Singapura meninggal

SINGAPURA - Dollah Kassim, bekas pemain bola sepak terkenal Singapura pada tahun-tahun 70-an meninggal dunia di rumahnya di sini hari ini, lapor media tempatan.

Dollah yang lahir pada 13 Mac 1949, berusia 61 tahun.

Allahyarham meninggal dunia setelah kira-kira setahun berada dalam keadaan koma selepas diserang sakit jantung ketika bermain dalam satu perlawanan bola sepak persahabatan antara bekas-bekas pemain Malaysia dan Singapura di sini pada 4 Okt tahun lalu.

Dollah dikatakan berperanan penting dalam membantu pasukan republik ini menjulang Piala Malaysia pada tahun 1977 setelah Singapura berjaya menewaskan pasukan Pulau Pinang 3-2.

Allahyarham digelar “Raja Gelek” oleh peminatnya di sini kerana kepandaiannya mengawal bola dan boleh mengelecek empat hingga lima pemain lawan apabila membawa bola.

Ribut Melanda Baling. 60 Rumah Rosak.

Baling 13 Okt. - Beberapa pemilik kenderaan yang melalui Jalan Lanai Parit Panjang dekat Kampung Lanai nyaris menjadi mangsa sebatang pokok besar yang tumbang merentangi jalan raya dalam kejadian ribut yang menyebabkan kira-kira 60 buah rumah rosak di beberapa kawasan di sini hari ini.

Gambar: Kelihatan beberapa orang kanak-kanak melihat kesan kerosakan pada rumah yang timpa pokok kelapa yang tumbang itu. Sementara itu, kira-kira 50 buah rumah di mukim Bongor Baling dan mukim Pulai mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung akibat tiupan angin kencang. foto : Bernama

Bagaimanapun kejadian pada kira-kira pukul 1.15 tengahari itu tidak melibatkan murid-murid sekolah yang sebelum ini sering melalui jalan tersebut apabila pulang dari sekolah.

Murid-murid sekolah terbabit bernasib baik kerana sewaktu hujan lebat mereka tidak melalui jalan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Kampung Lamai, Ghazali Murad, pokok tersebut tumbang semasa sesi persekolahan kanak-kanak sekolah tamat.

"Jika tidak hujan, pasti kanak-kanak sekolah ini akan menjadi mangsa kerana mereka akan melalui jalan berkenaan," katanya.

Kejadian ribut yang berlaku tengahari ini turut merosakkan sebuah bangsal yang menempatkan sebuah kereta dan stor baja seorang penduduk di Kampung Sungai Tas Lanai.

Pemilik bangsal berkenaan, Ishak Ismail,58, berkata, angin yang berputar menerbangkan bumbung bangsal tersebut sebelum jatuh menghempap kenderaan miliknya.

Ishak berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah tetapi disaksikan isterinya, Halimah Abdullah, 52.

Menurut Halimah, angin kuat disusuli hujan lebat telah menyebabkan bumbung bangsal tersebut terangkat beberapa kali sebelum menghempap kenderaan milik suaminya.

Dalam kejadian ribut di kawasan lain, beberapa rumah di Kampung Asam Jawa, Pulai Kaki Bukit Rambong dan Kampung Bandar rosak termasuk rumah milik seorang warga emas.

Akibat kejadian itu bumbung rumah mangsa turut diterbangkan angin.

Namun, sehingga kini tiada laporan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. -UM

Azmin & Pemimpin PKR Manipulasi Pemilihan, Gobala Ugut Tinggalkan Parti

MP Gobala ugut keluar PKR jika proses pemilihan terus dinoda

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR N. Gobalakrishnan memberi kata dua akan keluar parti itu sambil mendakwa Naib Presiden Azmin Ali dan beberapa pemimpin tertinggi membentuk “puak” untuk memanipulasikan proses pemilihan yang menggunakan sistem langsung.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Padang Serai ini menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) segera mengambil tindakan untuk membetulkan segala kelemahan dan kekurangan yang wujud ketika pemiliham bahagian, yang berakhir 3 Oktober lalu, dan jika gagal beliau akan meninggalkan parti.

“Hari ini, saya datang dengan kenyataan ini meminta jawatankuasa pemilihan segera menyelesaikan kesemua masalah berkaitan dengan pemilihan bahagian.

“Saya mahu mereka berlaku adil, telus dan berkecuali kepada semua.

“Jika keadaan ini berterusan, maka tidak gunanya (saya) tinggal lagi (dalam parti), jika ada individu yang boleh memanipulasikan pemilihan cara-cara begini,” kata beliau yang pernah dikaitkan akan keluar parti satu hari bersama beberapa wakil rakyat yang telah pun keluar.

Beliau telah menafikan khabar-khabar angin itu sebelum ini.

Kata Gobalakrishnan, sepanjang 11 tahun lalu beliau berdiri teguh bersama parti tetapi ini kali pertama “berdiri di depan kamera” mendesak jawatankuasa pemilihan bertindak tegas.

Mereka boleh panggil saya pengkhianat atau trojan, tetapi saya akan tegas... tetapi jika perkara ini berterusan, saya tidak fikir saya perlu kekal,” kata beliau pada sidang media di bangunan Parlimen.

Gobalakrishnan merupakan salah seorang pemimpin yang dicalonkan untuk jawatan naib presiden.

Ulasan GB

Banyak dah GB ulas bab manusia yang bernama Azmin dan pimpinan PKR termasuk Ketua de Fakto, senator dan setiausaha agongnya yang dilihat terlalu biased dan partisan.

Tapi semua teguran GB, baik yang bernada lembut dan tegas, tak mahu diambil peduli.

Malah siap ada pertemuan diantara Anwar, Azmin dan Yusmadi di Indonesia lagi beberapa hari lepas di Sarihala.

Sekarang tanggung dan jawab sendiri.

Kepada Gobala, GB dengan tulus ikhlas mempelawa Gobala sertai PAS sebagai ahli Kelab Penyokong PAS.

GB juga yakin akan lebih ramai pemimpin PKR yang akan mengikut jejak langkah Gobala nanti.

GB tak segan-silu kini untuk mempelawa mana-mana ahli/pemimpin PKR yang nak menyertai PAS, silakanlah. Daripada menyiksakan jiwamu dengan PKR yang semakin cuba dimonopoli oleh golongan gila dan tamak kuasa.

Benar kata seorang pengkomen di Karpet Hijau blog GB, PKR sudah menjadi liabiliti besar untu Pakatan Rakyat.

PKR nak marah, marahlah. GB dah banyak juga membantu selama ini mempromosi PKR dan bertoleransi terhadap karenah-karenah pimpinan PKR sekalipun GB lihat ada waktunya GB tidak adil kerana keterlaluan membela mereka. Kali ini tidak lagi. Reformis sebenar bukan buaya-buaya lagi yang boleh diketuk kepalanya oleh sang kancil untuk ke seberang memakan buah-buahan lagi. Umat Islam tidak akan terjelepok ke dalam lubuk biawak dua kali (mafhum hadith). GB sudah cukup berkecil hati dengan tindak-tanduk pemimpin PKR selama ini.

Kini, GB yakin Allah akan bantu PR menghadapi UMNO BN sekalipun PKR tiada lagi di dalamnya. Selama ini pun yang memperkuatkan PKR, yang memenangkan PKR, adalah petugas-petugas PAS jugak. Kena akur dan akui fakta itu!

Buang Bayi Menjadi-jadi. Janin Ditemui Di Flat

Kuala Pilah – Penduduk Flat Wisma Sentosa di Kuala Pilah gempar apabila menjumpai janin di tingkat satu flat berkenaan, jam 2.30 petang, semalam.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Arif, 34, berkata, dia terbau busuk di tingkat itu dan mencari daripada mana arah bau itu.

“Apabila saya melalui tingkat terbabit, tiba-tiba bau tidak menyenangkan menusuk ke dalam hidung. Pada mulanya saya biarkan sahaja tetapi lama-kelamaan rasa tidak sedap hati.

“Saya cuba cari dan terkejut kerana ternampak janin yang mempunyai kaki bersaiz kecil. Keadaan janin masih berdarah, seolah-olah cukup sifat dan rasanya baru sahaja dibuang,” katanya.

Menurutnya, selepas penemuan itu, dia segera menghubungi pihak polis dan mereka tiba kira-kira jam 3 petang.

Arif berkata, dia kesal dengan kejadian itu kerana secara tidak langsung mencemarkan nama baik flat berkenaan. -SH

Kes Liwat: Keterangan Dr Siew Yang Meloyakan Dikeluarkan Dari Rekod

Pakar dakwa Saiful diliwat, keterangan dibuang ekoran protes Karpal

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa dia telah diliwat lapan kali oleh majikannya pada pertengahan dua tahun lalu, kata seorang patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Pakar forensik HKL Dr Siew Sheue Feng berkata, Saiful memberitahu beliau dan dua doktor lain pada 28 Jun 2008 bahawa dia diliwat lapan kali dalam dua bulan oleh Anwar.

“En Saiful memberitahu saya apa yang berlaku, dia telah diliwat oleh seorang personaliti berprofil tinggi selama beberapa bulan,” kata Dr Siew.

Malah menurut Dr Siew, Saiful juga memberitahunya bahawa kondom tidak digunakan ketika hubungan seks luar tabii itu.


Bagaimanapun keterangan itu mendapat bantahan Karpal Singh yang mengetuai pasukan peguam bela.

Karpal mendakwa dakwaan Saiful bahawa dia diliwat lapan kali bukan sebahagian daripada tuduhan liwat dan keterangan itu seharusnya dikeluarkan daripada rekod.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah bersetuju dengan bantahan Karpal dan mengarahkan agar kenyataan itu dikeluarkan daripada rekod. -TMI

Bab Yang Meloyakan

9.58am: Dr Siew, 40, berkata beliau telah mengendalikan antara 200 hingga 300 kes forensik. Dia juga telah mengendalikan kira-kira 20 kes liwat.

Katanya, dia merawat Saiful Bukhari pada 28 Jun tahun lalu di jabatan kecemasan hospital berkenaan.

10.06am: Dr Siew berkata polis memberi taklimat kepada mereka berhubung kes berkenaan.

Ketiga-tiga doktor itu - Dr Siew, Dr Khairul Nizam dan Dr Razali - kemudian membincangkan tugas masing-masing dalam memberikan rawatan dan mengendalikan kes.

"Saya diberi tanggungjawab kendalikan spesimen yang diambil dari mangsa,” katanya.

"Saiful beri kebenaran untuk dirinya diperiksa dan gambar dirakamkan di bahagian kemaluannya. Kebenaran juga diberikan untuk mengambil spesimen.”

Dr Siew berkata Saiful menceritakan bahawa dia diliwat 'beberapa' kali oleh seorang individu berprofil tinggi - kali terakhir adalah pada 26 Jun 2008.

"Individu berprofil tinggi itu tidak menggunakan kondom.” -mk



Negeri Kuat UMNO Takda Air

Kota Tinggi – Gangguan bekalan air sejak lapan hari lalu menyukarkan kira-kira 2,000 penduduk di Felcra Sungai Ara di sini, dalam menjalani kehidupan harian mereka.

Rata-rata penduduk yang ditemui merungut kerana masalah gangguan bekalan asas itu mendatangkan kesukaran kepada mereka, sekali gus menjejaskan aktiviti harian seperti membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk.

Seorang penduduk, Mohamad Hudzari, 58, berkata, ketiadaan air selama seminggu itu menyebabkan dia terpaksa menggunakan kolah di belakang rumahnya, namun bekalan itu juga masih tidak mencukupi.

“Mujurlah ramai penduduk di sini ada kolah di belakang rumah. Pada awalnya, bolehlah mereka menggunakan air tersebut, namun ketiadaan air yang berlarutan lebih seminggu ini menyebabkan air kolah menjadi kontang,” katanya kepada Sinar Harian.

Masalah bekalan air ini dipercayai berpunca daripada dua pam air yang sebelum ini digunakan untuk membekalkan air kepada penduduk di kawasan itu rosak. -SH

Ulasan GB

UMNO Kedah bising-bising kenaikan tarif air yang diumumkan pihak SADA di Kedah ditarik balik kerana kononnya membebankan rakyat. Dakwa mereka kenaikan 27 peratus adalah sangat besar.

Sedangkan UMNO di Johor terpaksa membisu bila paip dibuka airnya tak da!

UMNO Kedah perlu jadikan ia pengajaran.... dan bersyukurlah selagi ni'mat itu ada sebelum terjadi apa yang terjadi di negeri sahabat terkuatnya, Johor.

Ibu Sosilawati Harap Pembunuh Anaknya Dihukum Seadilnya

Ibu Datuk Sosilawati Lawiya, Yatmi Abdul Rahman, 77, meletakkan sepenuh harapan agar pesalah yang membunuh Allahyarham dijatuhi hukuman yang setimpal dengan kekejaman yang dilakukan.

Menurut Yatmi, mahkamah perlu meneliti segala bukti yang diperolehi polis agar penjenayah terbabit dapat diadili dengan sebaik mungkin dan jangan sampai terlepas.

“Kami sekeluarga mahukan orang jahat itu dikenakan hukuman yang paling berat, setimpal dengan perkara yang telah dilakukannya kepada Wati,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam suspek utama, N Pathmanabhan dan tiga yang lain didakwa di Mahkamah Majistret Banting, pagi semalam, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai CIMB Noorhisham Mohammad, 38

Sementara itu, adik Sosilawati, Rosnani Lawiya, 45, berkata, keluarganya berasa lega kerana suspek utama kes pembunuhan kakaknya telah mula dibicarakan dan jika didapati bersalah perlu dijatuhkan hukuman yang berat.

“Kami sekeluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mana-mana pihak yang mengambil berat dengan kes ini, termasuklah pihak polis dan media yang bekerja bagi memastikan kes ini dapat diselesaikan.

“Tiada apa yang kami harapkan, cuma jika suspek berkenaan memang benar-benar bersalah, hukumlah dengan seadilnya. Kami mengharapkan ia dijadikan pengajaran kepada pesalah berkenaan,” katanya. -SH

Gadis Dilarikan Jin Dapat Permata! Ulasan GB.

Dapat permata

JERTIH: Kisah gadis misteri yang semakin menarik perhatian orang ramai, Siti Balqis Mohd Nor, 22, bertambah unik apabila tujuh batu permata dipercayai delima, nilam dan zamrud tiba-tiba jatuh dari siling rumahnya, semalam.

Gambar: BUKTI...Norizan menunjukkan batu permata yang jatuh di rumahnya, semalam.

Lima daripada batu itu berwarna putih manakala dua lagi masing-masing berwarna biru dan hijau sebesar kira-kira duit syiling 20 sen.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Siti Balqis dan ahli keluarganya berada di ruang tamu dan mereka terdengar bunyi benda jatuh dalam biliknya.

Selepas membuat pemeriksaan, mereka menemui sebiji batu delima di atas katil.

Manakala batu kedua pula jatuh jam 2.45 petang di ruang tamu, diikuti batu ketiga pada jam 3 petang.

Kira-kira 20 minit kemudian, sebiji lagi batu delima jatuh di hadapan seorang jurukamera TV3 yang sedang minum bersama kru rancangan Misteri Nusantara di ruang tamu dan terpelanting pada kameranya.

Dua biji batu lagi jatuh kira-kira jam 6 petang di ruang tamu dengan salah satu daripadanya berwarna biru dipercayai nilam. Kira-kira sejam kemudian, sebiji batu berwarna hijau dipercayai zamrud pula jatuh di ruang tamu.

Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, dia menyifatkan penemuan batu terbabit sesuatu yang luar biasa dan mungkin ada hikmahnya.

Katanya, semua batu berkenaan kini disimpan dalam bekas khas yang direndam dengan air Zam-Zam. -hmetro


Balkis ghaib lagi

BESUT - Kejayaan dua bomoh yang mendakwa berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus yang sering ‘menyembunyikan’ seorang gadis, Siti Balkis Mohd Nor, 22, kelmarin nampaknya tidak berjaya menghalang gadis itu daripada terus ghaib pada waktu senja.

Semalam, gadis itu ghaib lagi dan ditemui terkulai tidak sedarkan diri di atas pokok rambutan belakang rumahnya di Gong Nangka, Apal di sini.

Gadis itu didapati ghaib jam 7.30 malam semalam dari rumahnya iaitu kira-kira 30 minit sebelum ketibaan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat bersama tiga tokoh agama dari Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Difahamkan hajat Khazan membawa tiga pegawai YIT berkenaan bagi membantu merawat Siti Balkis dengan kaedah rawatan Islam namun tidak dapat berbuat demikian kerana gadis itu terlebih dahulu ghaib.

Kehilangan gadis itu semalam selepas berlaku sejak dua bulan lalu menggemparkan lagi orang ramai dan usaha mencari di merata tempat dilakukan tetapi dia gagal ditemui.

Bagaimanapun kira-kira jam 11.30 malam, ibu Siti Balkis, Norizan Said, 47, menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya memberitahu dia berada di celah batu di satu lokasi seakan-akan di Bukit Keluang, kira-kira 13 kilometer dari rumahnya.

Menerusi SMS itu juga, Siti Balkis meminta keluarganya membaca Yasin dan sehubungan itu Khazan mengadakan bacaan Yasin beramai-ramai.

Sementara itu pada masa sama, orang ramai, keluarga termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bergegas ke Bukit Keluang untuk mencari Siti Balkis namun tidak berhasil menemuinya, didakwa dia telah disorokkan ke tempat lain disebabkan kelewatan orang ramai tiba di situ.

Sehingga jam 1 pagi, Siti Balkis masih gagal ditemui dan Khazan bersama pegawai berkenaan pulang meninggalkan rumah gadis misteri itu.

Kira-kira 30 minit selepas Khazan beredar, penduduk kampung akhirnya menemui gadis itu berada di atas pokok rambutan hanya 20 meter di belakang rumahnya.

Kata keluarganya, ketika ditemui, Siti Balkis tidak sedarkan diri dan badannya tersangkut pada dahan pokok rambutan.

Dia dibawa turun ke bawah oleh orang ramai dalam keadaannya tidak sedarkan diri dan hanya sedar kira-kira jam 5 pagi semalam.

Semalam akhbar termasuk Sinar Harian melaporkan kisah bomoh tempatan yang mendakwa berjaya menangkap sembilan daripada sepuluh makhluk halus yang dikatakan sering mengganggu Siti Balkis. -SH


Ulasan GB

Macam dalam kisah Ahmad Albab pulak, jin boleh beri macam-macam harta karun. Sekarang dikisahkan pula jin boleh bawakan permata seperti delima, nilam dan zamrud. Siap dengan ada saksi lagi, dengan wartawan TV3 dengan kameranya bersama... Dihebohkan pula oleh blogger yang main tampal dalam blog ikut suka.

Nanti al-hasilnya, ramai tak percaya lagi majlis bacaan Yassin, ramai tolak kaedah agama. Lebih baik ikut cakap jin... dapat batu-batu permata... ghaib sekejap tak apa, asalkan dapat batu permata berharga "kurniaan" jin...

Inilah akibatnya apabila ilmu tauhid dan aqidah sudah kesasar jauhnya. Jin mengambil-alih mentadbir dunia, bukan lagi manusia menjadi khalifah. Akal kurniaan Allah sudah tidak berguna. Jin berkuasa bawakan itu dan ini, kata mereka... sedangkan ilmu tauhid mengajar kita "yang baharu tidak boleh memberi bekas" - samada mendatangkan menafaat atau mudharat.

Maka jadilah Terengganu dari sebuah darul-iman bertukar menjadi negeri jin bertendang.. dengan kisah Balkis ini, histeria di sekolah agama di negeri Terengganu... dihebohkan oleh wartawan yang ilmu tauhidnya juga empang-empang alang.. Ramailah yang terpesona dengan kisah ini, bukan sahaja UMNO, tapi ada sekerat dua dalam PAS yang berkopiah juga.. Dan jin runtuh itu khabarnya dah pergi ke Kedah juga. Semalam ada bangunan sekolah di Pokok Sena yang runtuh cederakan 10 pelajar, nak uji Mahfuz di sana. Jin ini, dibela dan diharapkan oleh UMNO akan runtuhkan kerajaan Kedah di sana.

Percaya kepada kuasa jin inilah timbul mendarem, timbul kisah politikus jumpa bomoh nak pertahankan jawatan, nak jadi YB sampaikan terjadi kisah Mona Fendy pun masih tak insaf-insaf lagi.

Dunia kita dibentuk oleh minda kita sendiri. pegangan kita sendiri, aqidah kita sendiri, ilmu yang pada kita sendiri. Apa yang ada di dalam fikiran kita, itulah kita. Kalau percaya jin tu yang boleh bawa permata, jadilah ia begitu. Maka hilanglah pengetahuan tentang kudrat dan iradat Allah yang menakluki segala yang maujud, maujud qadim dan maujud hadith. Hilanglah pengertian ayat kelima suratul fatihah (iyyaka na'budu waiyyaka nasta'in) dan ayat kedua suratul ikhlas (Allahus-Samad) yang dbaca saban hari.

Apabila ilmu tauhid sekangkang semut, maka runtuhlah aqidah sepertimana runtuhnya bangunan-bangunan di negeri Terenganu yang oleh politikus dan wartawan dikatakannya nanti, akibat jin-jin. Justeru itu, serunya lagi, mari beriman dengan jin - darul-iman juga namanya! - kata mereka.

PR Ke Putrajaya: Jangan Lagi Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran

Surat Daripada Zaid Kepada Dr Molly Cheah mengenai Proses Pemilihan Parti

Nota: Balasan dari pihak Jawantankuasa belum diterima sejak tarikh kiriman.

Selasa, 5hb Oktober 2010

Dr Molly Cheah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Parti Keadilan Rakyat Kuala Lumpur

Per: Proses Pemilihan Parti

Saya telah meniliti dan mengikuti perkembangan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang baru selesai. Banyak masalah timbul yang telah menjadi pengetahuan umum bahawa berlaku kekecohan dalam pemilihan peringkat Cabang.

Ada beberapa isu yang telah dibangkitkan oleh pihak-pihak yang terlibat yang menimbulkan tanda tanya sama ada pemilihan parti dapat dilaksanakan dengan telus dan adil dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat nanti.

Antara perkara-perkara tersebut ialah tindakan dan keputusan pengawas pemilihan yang jelas memihak kepada kumpulan tertentu: jumlah pengawas yang tidak mencukupi, lalu dibantu oleh penyokong pihak yang bertanding; daftar pengundi yang digunakan oleh pengawas berbeza dengan senarai yang ada pada pihak yang bertanding; kertas undi yang sudah dipangkah didapati digunakan untuk memenangkan seseorang calon, jumlah kertas undi yang melebihi jumlah ahli yang hadir; peti undi yang tidak telus cahaya (transparent); calon tidak diwakili secara sah oleh polling and counting agent untuk mengesahkan jumlah kertas undi dan jumlah undi yang telah dikira; kertas undi tidak ada nombor siri; dan tidak ada proses pengesahan oleh wakil calon bahawa pengundian dibuat oleh nama pengundi yang berdaftar sahaja.

Oleh kerana saya telah mendapat pencalonan untuk beberapa jawatan dalam pemilihan ini, saya meminta jasa baik Jawatankuasa Pemilihan Pusat untuk melaksanakan langkah- langkah berikut untuk membolehkan proses pemilihan yang baik dan adil.

1. Calon dibenarkan melantik seorang Wakil Calon dan 4 orang wakil sebagai polling and counting agent (PACA) bagi setiap Pusat Mengundi. Jumlah kertas undi mestilah ditandatangani dan disahkan oleh PACA (Borang SPR 13) dan jumlah undi mestilah juga ditandatangani dan disahkan oleh PACA di setiap tempat mengundi (Borang 14 SPR). Tanpa pengesahan tandatangan ejen-ejen calon berkenaan keputusan di tempat tersebut adalah tidak sah.

2. Kertas undi mesti bernombor siri. Nombor-nombor siri ini menjamin bahawa jumlah kertas undi adalah terkawal, dan kertas tambahan tidak boleh digunakan.

3. Peti undi telus cahaya (transparent ballot box) harus digunakan supaya ia dapat dilihat oleh semua pihak.

4. Ruang membuang undi hendak diasingkan bagi mengelak gangguan. Pengawas tidak boleh berada di tempat pembuangan undi kerana ini akan mempengaruhi ahli yang ingin membuang undi.

5. Senarai ahli-ahli yang sah sahaja yang digunakan; dan senarai yang sah mestilah mempunyai jumlah ahli dan nama ahli yang sama yang diberikan kepada Calon dan tidak ada perbezaan dari segi jumlah atau pun nama-nama ahli tersebut.

6. Masa mengundi mestilah dipatuhi dan pengawas tidak boleh menangguhkan atau melanjutkan masa pembuangan undi tersebut.

7. Bagi ahli yang sudah membayar yuran semasa MATC tempoh hari; nama mereka sepatut ada dalam senarai ahli yang berhak mengundi.


Saya berharap permintaan ini akan diluluskan secepat mungkin. Ini memudahkan saya membuat keputusan sama ada mahu menerima pencalonan atau tidak. Parti kita mestilah mampu menepati standard minimum yang dilaksanakan oleh SPR, kalau tidak sukar bagi kita untuk mendesak SPR supaya menepati standard antarabangsa.

Sekian, terima Kasih.

Zaid Ibrahim

s.k YB Setiausaha Agung


Ulasan GB

Permintaan-permintaan Datuk Zaid itu ada asasnya berdasarkan kepada senario pemilihan yang berlaku di cabang-cabang.

Jika tidak masakan boleh berlaku kekecohan di hampir 1/3 dari jumlah cabang seluruh negara.

Keperluan standard minima tidak dipatuhi malah tidak lansung piawaian yang digunapakai di dalam pemilihan PKR 2010. Sungguh dasyat dan sungguh teruk. Tidak ada procedure dan disiplin yang boleh dijadikan teladan sebagai parti yang mendominasi Pakatan Rakyat selain dari slogan retorik "Satu Ahli Satu Undi".

Diperburukkan oleh tindakan pimpinan tertingginya termasuklah Penasihatnya yang dilihat terlalu partisan ingin memenangkan calon tertentu. Bukan sahaja pelik malah jelek.

Saya kalau jadi Zaid Ibrahim pun akan menuntut perkara yang sama. Malah lebih daripada itu saya akan meminta mereka yang tenyata telah melakukan diskriminasi dan berpihak supaya dilucutkan jawatan. Ini siap ada wayang MP-MP dan ADUN-ADUN berdiri di belakang calon tertentu. Siap dengan serangan Penasihat kepada calon yang tidak disukainya. Tuan Penasihat juga siap ada pertemuan dengan calon Timbalan Presiden di Indonesia. Politik bebal!

Saya telah menyatakan berkali-kali, bagaimanakah kita hendak menjadi pemerintah yang lebih baik kepada BN jika di dalam parti kita sendiri tidak boleh dilaksanakan kebenaran dan keadilan. Ia akan hanya mengundang padah - mengundang kemarahan rakyat dan Allah s.w.t. juga.

Itulah hikmahNya mengapa PR ditangguhkan kemaraannya ke Putrajaya. Bersihkan part yang berbau hamis. Jangan angan berlebihan, jangan semangat keterlaluan. Jangan peristiwa 16 September berulangan, belum apa-apa dah dipukul gendang, akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Mengharap orang sebelah menyeberang ke PR, rupanya yang di sebaliknya berlaku, sehingga satu negeri terlungkup dikerjakan. Penyanyi macam M.Nasir pun tahu nak menyindir di dalam Mentera Beradunya:

M.Nasir:
Pecah tembelang… peta dah hilang
Bangau dah pulang… suara sumbang


Awan mendung yang berarak
Bawa tangis bawa resah
Rebah rindu yang terkumpul
Semua birat dan kalimah
Semua janji yang terikat
Lebur disisimu


Malique:
Naik bukit angkuh cakap ayah jangan risau
Turun bukit pucat dengar tiga miaww
Kucing bawa tidur rimau bawa igau
Masuk tempat orang bawa otak bukan pisau
Tolak pintu gua tiga kerat tenaga
Kosong tak dijaga sampai datang tiga naga
Ingat nak berlaga tapi tak kan boleh menang
Menang dengan otak tak mesti dengan pedang

(GB dulu kerap putarkan lagu ni di GB.fm, tetapi tidak ada seorang pun bertanya GB kenapa asyik putarkan lagu itu sedangkan GB sudah senyum begitu lama terhadap bangau yang dah pulang itu... suaranya sumbang)

Berubahlah sebelum rakyat kata "You can all go to hell!"

Polis Bebaskan Tiga Individu Termasuk Surendren, Jesyntha

Polis Bebas Tiga Individu Disiasat Kes Sosilawati

KUALA LUMPUR: Polis hari ini membebaskan seorang wanita dan dua lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Menurut laman web Polis Diraja Malaysia dalam Facebook petang ini, pembebasan wanita itu dibuat dengan bon mahkamah manakala dua lelaki berkenaan dengan jaminan polis selepas empat suspek kes itu didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting di Selangor pagi ini.

Peguam N. Patmanabhan, 41, bersama-sama pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting, Selangor antara 8.30 malam hingga pukul 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Difahamkan wanita itu, Jesyntha Clarene Isreal, 27, dan adik lelaki Patmanabhan serta seorang lagi lelaki, dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Dua suspek lain masih ditahan reman sehingga Jumaat ini. - BERNAMA

Ulasan GB

Tidak diketahui butiran lanjut tentang pembebasan mereka. Namun mengikut pandangan GB mereka dibebaskan berkemungkinan mereka telah memberikan kerjasama di sepanang siasatan polis sehingga beberapa maklumat kritikal mengenai pembunuhan diperolehi.