10 Okt 2011

Isu Ugutan Pang Chaw: Sinar Harian Pun Sudah Jadi Utusan Meloya Kedua Hina Hudud?

Pang Chow nafi sekeras-kerasnya ugutan tinggalkan PAS

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw hari ini menafikan dengan sekeras-kerasnya berita yang menyatakan DHPP enggan menyokong PAS jika hudud dilaksanakan.

Beliau juga menafikan membuat ancaman untuk tinggalkan PAS sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini (gambar).

"Sebagai salah seorg pengasas kelab penyokong PAS yang kini menjadi DHPP, tidak ada sebab saya buat demikian.

"Ia umpama rumah yang dibina dengan duit, masa dan tenaga saya tiba-tiba dibakar oleh saya sendiri atas sebab bocor sikit di dapor," kata beliau kepada Harakahdaily.

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan di muka depannya laporan kononnya 20,000 ahli DHPP akan keluar meninggalkan PAS jika hudud dilaksanakan.

Selesai melalui mesyuarat

Sementara itu, berdasarkan laporan Sinar Harian itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan meminta pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) itu agar membincangkan segala masalah dalaman parti melalui meja rundingan.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya berpendirian, sewajarnya Pang Chow yang menerajui DHPP lebih memahami dasar PAS berbanding dengan ahli-ahli biasa DHPP yang rata-ratanya tidak mempunyai sebarang masalah dengan hasrat ini.

Beliau juga mengingatkan Pang Chow untuk tidak mengambil kesempatan dari jawatan yang disandang untuk membuat kenyataan seolah-olah menggugut kerajaan negeri dan parti.

Bahkan beliau sepatutnya telah memahami dasar PAS sebelum menyertai DHPP yang wujud hanya 15 tahun selepas hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.

"Saya menggesa agar Pang Chow tidak lagi membuat kenyataan terbuka seperti ini, sebarang kemusykilan boleh diselesaikan melalui perbincangan tertutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Latif menyatakan demikian ketika memberikan ulasan berkaitan kenyataan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chow seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Di dalam kenyataannya, Pang Chow memberikan isyarat bahawa akan berlaku tindakan keluar beramai-ramai daripada sayap parti itu jika PAS terus memperjuangkan hudud untuk dilaksanakan di Kelantan.

"Saya melihat kenyataan Hu Pang Chow sebagai satu kenyataan yang kurang tepat serta tidak realistik dengan senario politik semasa yang sedang berlaku di Malaysia.

"Justeru, saya ingin mengulangi sekali lagi penegasan yang dibuat oleh pimpinan PAS samada Presiden ataupun Mursyidul Am bahawa hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja dengan tidak melibatkan langsung golongan non muslim.

"Pada hari ini, apa yang diperjuangkan oleh PAS adalah pelaksanaan hudud di negeri Kelantan sesuai dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan," kata beliau dalam kenyataan itu.

Oleh yang demikian, katanya, Pang Chow selaku Pengerusi DHPP sewajarnya lebih bertindak ke arah memberikan penjelasan kepada non muslim agar tidak khuatir dan bimbang dengan pelaksanaan hukum hudud serta bukannya mengambil langkah untuk menyongsang arus dan membuat pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan parti.

"Ingin saya ingatkan bahawa kerajaan Kelantan akan terus menjaga dan menjamin hak-hak masyarakat non muslim dan ia diterima oleh rata-rata ahli DHPP," katanya.

Sebagai contoh pada 8 Oktober 2011 yang lepas telah diadakan Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk anjuran kerajaan negeri Kelantan.

Ia dihadiri oleh wakil-wakil DHPP dari seluruh negara dan rata-ratanya memberikan respon yang cukup positif dan menyambut baik hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk menguatkuasakan hudud ke atas umat Islam di Kelantan.


Ramai keluar jika laksana hudud

SHAH ALAM - Pas dijangka akan hilang ramai penyokong bukan Islam jika parti itu meneruskan hasratnya melaksanakan hudud.

Pengerusi Dewan Himpu nan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chow berkata, apa yang mungkin berlaku ialah tindakan keluar daripada sayap parti itu beramai-ramai seandainya pemimpin Pas enggan mengalah dan mahu terus memperjuangkan hudud.

“Saya bukan nak cabar parti. Kalau saya tak suka pada Pas, saya sudah lama keluar dan tubuh parti baru. Saya juga bukan tolak hudud tetapi saya mahu kepimpinan Pas beri perhatian kepada perkara-perkara lain sebelum fikir nak laksanakan hudud,” katanya.

Pang Chow berkata, beliau sudah menjelajah ke banyak negeri dan rata-rata penyokong pembangkang yang bukan Islam bertegas menolak hudud.

“Jadi Pas tidak boleh buat main-main dengan perkara ini. Selama ini, orang bukan Islam sokong Pas kerana sangka parti ini adalah yang terbaik, serasi dengan mereka. Tiba-tiba mahu buat hudud pula. Ini yang mereka tak boleh terima,” katanya.

DHPP yang sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong Pas diangkat status menjadi Dewan atau sayap termuda parti itu dua tahun lalu setelah bergerak dengan status kelab selama kira-kira enam tahun.

DHPP mempunyai kira-kira 20,000 ahli dengan 70 peratus daripadanya daripada kaum India, 20 peratus Cina dan 10 peratus daripada kaum lain. Bagaimanapun status ahli DHPP hanya sebagai ahli Dewan, bukan ahli Pas.

Pang Chow yang sebelum menyokong Pas adalah ahli MCA berkata, Kerajaan Pas Kelantan perlu mencontohi Kerajaan DAP Pulau Pinang yang berjaya menurunkan indeks jenayah sehingga 36 peratus selepas mengambil alih pemerintahan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

“Itu yang mereka perlu buat dahulu, bukan tergesa-gesa nak laksanakan hudud yang masih banyak orang tak faham. Mereka perlu beri perhatian pada usaha tingkatkan ekonomi, wujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk rakyat. Apabila kerja ada banyak, orang tak ada alasan untuk buat jenayah.

“Itulah yang dibuat Kerajaan Pulau Pinang. Pas sepatutnya tengok pada punca jenayah, itu yang kena atasi dulu. Saya percaya jika ekonomi diurus dengan baik, jenayah akan berkurangan,” katanya.

Pang Chow mengingatkan pemimpin Pas, mereka boleh melupakan hasrat mahu mengambil alih pentadbiran negara jika terus dengan hasrat mahu melaksanakan hudud.

“Mereka tak akan boleh menang di kawasan bukan Islam,” katanya.

Kenyataan Pang Chow bagaimanapun disanggah timbalannya, N Balasubramaniam yang berkata, kaum India yang merupakan majoriti dalam DHPP sebaliknya tidak mem-punyai masalah jika hudud dilaksanakan.

“Kami tidak takut kerana hukumannya untuk pesalah saja. Lagi pun hudud dikenakan pada orang Islam saja,” katanya.

Dalam pada itu, Balasubramaniam menggesa Kerajaan Pusat melepaskan halangan untuk undang-undang Islam itu dilaksanakan di Kelantan.

“Kelantan patut diberi peluang untuk buat (laksanakan hudud). Jika sudah berjaya, boleh bawa ke negeri lain pula. Jika keadaan tidak berubah, pemimpin Pas patut berfikir semula (bagaimana cara untuk melaksanakannya),” katanya. -SH


Ulasan GB

Ini bukan kali pertama akhbar Sinar Harian "meniru" gaya Utusan Meloya di dalam melakukan penghinaan terhadap hudud.

Yang paling nyata ialah apabila Sinar Harian pada 5 Okt lalu mengusulkan pertanyaan kepada para artis : hudud wajar @ tidak?

Jadi ternyata, akhbar SH ada agenda tersendiri untuk memberikan gambaran buruk Hudud kepada masyarakat.

Sama seperti wartawan Utusan Meloya, serangan SH ke atas hukum hudud mendedah dan menjelaskan lagi kejahilan wartawan berkenaan terhadap Islam.

Kesiannya wartawan sebegini... menghina hukum Allah untuk mmeraih publisiti murahan.



PAS Bakal Kemuka Petisyen Gesa Tubuh Suruhanjaya Siasat Gani Patail

PAS akan mengemukakan satu petisyen agar diadakan suruhanjaya diraja siasatan bagi menyiasat Peguam Negara, sekali gus menolak keengganan Putrajaya untuk mendakwa Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kes rasuah.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberitahu The Malaysian Insider hari ini bahawa petisyen itu bertujuan mengenakan tekanan ke atas kerajaan mengambil tindakan tegas.

Katanya, tindakan kerajaan secara berterusan tidak mempedulikan siri dakwaan berhubung salah laku peguam negara adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.

Beliau menegaskan jika Gani telah dibebaskan daripada kesemua dakwaan, maka tindakan fitnah seharusnya dikenakan ke atas mereka yang membuat tuduhan termasuk bekas pegawai kanan Datuk Mat Zain Ibrahim dan blogger Raja Petra Kamaruddin.

“Bagi saya, ini menunjukkan kerajaan tiada pendirian dalam isu ini. Keengganan mereka mengambil tindakan menunjukkan kesanggupan mereka untuk membersihkan institusi.

“Ia bukan urusan mengenakan tuduhan ke atas peguam negara semata-mata, tetapi keseluruhan institusi Jabatan Peguam Negara sendiri yang kelihatan kurang integriti dan kredibiliti,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini.

Minggu lalu Putrajaya menegaskan tiada tindakan akan dikenakan ke atas Gani meskipun wujud dakwaan terbaru berkenaan amalan rasuah dan mengada-adakan bukti yang dibawa ke atas peguam negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata keputusan tahun lalu berhubung dakwaan pembabitan Gani dalam kes berkaitan mata lebam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal.

“Jawapan yang sama, jawapan yang sama. Saya telah menjawab (Penasihat DAP Lim) Kit Siang di Parlimen sebelum ini. Jawapannya masih sama,” kata beliau ketika ditanya sama ada Putrajaya akan bertindak ekoran kemunculan dakwaan baru ke atas Gani.

Apabila ditanya sama ada kerajaan ke atas pengadu-pengadu terhadap Gani, Nazri menjawab: “Jawapan yang sama.”

Pada 14 Disember lalu, kerajaan mengetepikan dakwaan dikemukakan oleh Mat Zain bahawa Gani telah memalsukan dokumen-dokumen berkaitan dengan kes mata lebam Anwar.

Sebaliknya, Nazri telah memberitahu Parlimen tidak perlu bagi Mat Zain untuk mengadu bahawa panel bebas yang dibentuk untuk menyiasat pemalsuan bukti telah gagal untuk membersihkan namanya dalam insiden itu.

Ini kerana, menurut Nazri, Mat Zain tidak pernah tertakluk kepada siasatan panel, sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan.

Dalam surat terbuka kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Mat Zain menegaskan kuasa untuk menubuhkan sebuah tribunal terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Di sebalik respons Nazri itu, Mat Zain terus-menerus berusaha untuk meyakinkan kerajaan agar mendakwa Gani dan beberapa bulan lalu menghantar siri surat terbuka kepada Ismail. -TMI

Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Malaysia dilihat di dalam banyak hal mengikut telunjuk Peguam Negara yang seorang ini yang nampaknya kian hari kian mencengkam untuk melaksanakan agenda-agenda yang hanya dia dan Allah s.w.t saja yang tahu.

Beliau sangat berkuasa di dalam menentukan apa yang perlu dibuat dan apa yang tidak perlu dibuat oleh kerajaan sekalipun apa yang disampaikan sebenarnya hanya untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail dikenali oleh rakyat Malaysia sebagai manusia paling hina yang pernah dimiliki oleh negara. Beliau selama ini bertindak seperti beliau seorang Maharaja Paling Berkuasa, memperbodohkan Perdana Menteri dan kabinet serta rakyat seluruhnya dengan melepaskan perahsuah-perahsuah negara serta menakut-nakutkan hakim-hakim dengan bertindak sebagai Pendakwa Raya untuk meminta mahkamah supaya rakyat yang dipandangnya sebagai ancaman kepada pemerintah dihalang daripada diikatjamin.


Selebihnya di: Manusia Paling Berkuasa Di Malaysia

Bunuh Ketika Mabuk Arak

Kesan buruk tabiat meminum arak terbukti apabila seorang lelaki langsung tidak menyedari bahawa dia telah memukul hingga mati isterinya selepas bertengkar mengenai kegagalan wanita itu menebus kembali seutas gelang emas yang digadai beberapa bulan lalu.

Kejadian di kuarters Pejabat Haiwan, Taman Golden Wood, Ulu Bernam di sini menyebabkan seorang peniaga nasi lemak, S. Gurmeet Kaur, 41, ditemui mati pada pukul 7 pagi semalam disyaki dipukul di muka oleh ahli keluarganya sendiri beberapa jam sebelum itu.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa bersama suami dan kakaknya mula meminum arak pada pukul 11 malam sebelum mereka bertengkar mengenai seutas gelang milik kakak mangsa yang gagal ditebus kembali selepas digadai. -kosmo



Pukul adik sampai mati

KUALA KUBU BHARU: Gara-gara tidak puas hati apabila barang kemas yang digadai gagal ditebus adik, seorang wanita disyaki membelasah adiknya sehingga mati dalam kejadian di Kuarters Pejabat Haiwan, Taman Golden Wood, Ulu Bernam, dekat sini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mangsa, Gurmet Kaur Sedara Singh, 41, dan kakaknya menjamu selera di rumah mereka sebelum berlaku pertengkaran.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi Yahya Afendy, berkata kakak mangsa berusia 44 tahun dan tinggal serumah dengan mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga mereka, dipercayai tidak puas hati apabila barang kemas miliknya gagal ditebus mangsa.

“Perselisihan faham di antara dua beradik itu serta suami mangsa yang berusia 57 tahun bermula sejak petang sebelum menjadi semakin serius pada waktu malam.

“Mangsa dan kakaknya itu bergelut sebelum suspek disyaki membelasahnya sehingga mati. Mayat mangsa ditemui telentang di atas katil bilik tidurnya dengan kesan bengkak di muka dan berdarah pada hidung serta mulut kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam),” katanya. -hm


Ulasan GB

Tak tahu siapa yang melaporkannya dengan betul. Kosmo atau Metro.

Di dalam laporan yang pertama, dikatakan suami yang memukul isterinya sehingga mati sementara di berita kedua kakaknya yang memukul.

Walau apa pun, ia berlaku setelah mereka berada di dalam keadaan mabuk kerana arak. Semua orang tak kira bangsa dan agama mengakui bahawa arak itu mengandungi mudharat yang boleh menyebabkan kebinasaan.

Ini amat bertepatan dengan ajaran Al-Quran.

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (Al-Baqarah :219)

Maka sebab itu ia diharamkan kerana Allah Amat Mengetahui apa yang baik dan tidak baik bagi manusia.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Al-Maidah : 90

Zina Dan Rogol Menjadi-jadi Di Kalangan Pelajar Sekolah

Empat pelajar rogol rakan sekolah

SUNGAI PETANI – Empat pelajar tingkatan tiga dan empat di sebuah sekolah menengah di Gurun dekat sini ditahan reman semalam dipercayai terlibat dalam kes rogol melibatkan seorang pelajar perempuan dari sekolah sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, keempat-empat mereka berusia 15 dan 16 tahun itu didapati telah merogol rakan sekolah mereka di sebuah rumah salah seorang suspek di Gurun.

“Mangsa yang berusia belasan tahun dikatakan baru sahaja berkenalan dengan ahli kumpulan lelaki terbabit sebelum dibawa ke rumah salah seorang suspek.

“Mangsa kemudiannya dipercayai dirogol oleh keempat-empat suspek ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Hashim berkata, penahanan suspek dilakukan bagi meneruskan siasatan lanjut mengenai kejadian yang berlaku ini.

“Suspek dan mangsa masih dibawah umur dan kita menahan suspek untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan .

“Kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan ke balai polis berhampiran atau ke IPD Kuala Muda,” katanya.

Bukti Nyata Kerajaan BN Menzalimi & Mendiskriminasi Wakil Rakyat PR

Permohonan dana RM1juta Jeyakumar ditolak

Permohonan semakan kehakiman ahli parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar untuk mencabar tindakan kerajaan kerana tidak memberi dan menyediakan butiran peruntukan dana tahunan sebanyak RM1 juta kepada bahagian pilihan raya kawasan itu telah ditolak.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang membenarkan rayuan kerajaan persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan semakan kehakiman.

Hakim Datuk Low Hop Bing bersama-sama dengan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail (abang kepada Peguam Negara, Abd. Gani Patail - GB) dan Anantham Kasinater sebulat suara membenarkan rayuan itu dan menolak permohonan Jeyakumar.

Pada bulan Februari lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aziah Ali memberi kebenaran kepada Jeyakumar untuk memfailkan semakan kehakiman.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membenarkan kerajaan untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman.

Peguam Datuk Ambiga Sreenevasam yang mewakili Jeyakumar berkata, keputusan itu cukup mengecewakan kerana Jeyakumar berharap keputusan mahkamah akan menentukan ketelusan kerajaan dalam mengagihkan wang rakyat.

Mengulas keputusan mahkamah hari ini, Jeyakumar berkata mahkamah sebagai benteng terakhir untuk rakyat, sepatutnya menyokong keputusan untuk memastikan wang yang diperuntukkan tidak disalahgunakan.

"Saya tidak mahu wang untuk diri sendiri tetapi hanya ingin pastikan wang yang diperuntukkan dibelanjakan dengan betul dan tidak disalah-guna.

"Wakil rakyat pembangkang tidak langsung menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan ini adalah amat mengecewakan. Berikutan keputusan ini, mesej saya kepada rakyat adalah kita tidak boleh bergantung pada mahkamah bagi mendapatkan ketelusan tetapi mengharapkan kuasa rakyat dalam membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang."

Jeyakumar berkata, beliau akan berunding dengan Parti Sosialis Malaysia sama ada untuk meneruskan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan yang bakal menelan perbelanjaan yang besar meskipun peguamnya melakukannya secara percuma. -mk

Ulasan GB

Keputusan mahkamah di atas membuktikan DISKRIMINASI yang amat nyata kerajaan BN terhadap wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat dengan menafikan peruntukan pembangunan dari kerajaan Persekutuan.

Kerajaan BN hanya memberikan peruntukan tersebut kepada wakil-wakil rakyat BN sedangkan sebagai sebuah kerajaan, wang rakyat yang digunakan untuk pengagihan peruntukan termasuk hendaklah diberikan juga kepada wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Ia bukan wang miik BN, tetapi milik rakyat.

Kedua, rakyat berpersepsi bahawa keputusan hakim itu juga membuktikan bahawa hakim-hakim mengikut kehendak dan telunjuk kerajaan Najib.

Ia adalah implikasi dari pertemuan Najib dengan para hakim pada awal bulan September lalu. GB sudah ulas dahulu di SINI. Petikan:

Istana Keadilan masih mengikut telunjuk eksekutif. Itulah persepsi rakyat.

Bagaimanakah hakim-hakim boleh bertindak dengan adil dan saksama jika mereka kini sedang tidak dapat membebaskan diri dari rasa "terhutang budi" kepada Perdana Menteri dengan menjemputnya untuk bersama-sama di dalam satu pertemuan di Istana Keadilan?

Muslihat apa yang ada disebaliknya? Malah rakyat berpendapat lawatan Najib dilihat cuba untuk memanipulasi institusi kehakiman. Hakim-hakim hendak dijadikan pak angguk-pak angguk kepada kehendak PM? Kedatangan Najib ke Istana Keadilan dilihat untuk "membeli" minda para hakim supaya mudah untuk diperlembukan.


Apa Mau Jadi Ni - Suami Cekup Isteri Bersama 2 Lelaki Di Bilik Tidur

Luluh hati seorang suami berusia 32 tahun apabila menangkap isterinya sedang ‘berpesta’ arak di dalam bilik di rumahnya di Pantai Dalam, di sini, bersama dua lelaki tidak dikenali, Khamis lalu. Illustrasi hiasan.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan lanjut si suami di dalam bilik itu menemui puluhan botol dan tin arak disembunyikan dalam almari di bilik tidurnya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, berang dengan tindakan isterinya berusia lewat 20-an itu, si suami menghalau kedua-dua lelaki terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Menurut sumber, si suami yang baru pulang dari kerja berasa curiga apabila melihat dua pasang kasut lelaki di hadapan pintu rumahnya.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, lelaki terbabit mendengar bunyi gelak tawa dari dalam bilik tidurnya. “Si suami terkejut apabila melihat isterinya dan dua lelaki tidak dikenali berada dalam keadaan khayal di dalam bilik tidurnya. “Si suami menghalau kedua-dua lelaki terbabit sebelum menemui puluhan tin dan botol arak disembunyikan dalam almari di bilik itu menyebabkan mereka bertengkar hampir 20 minit,” katanya. -hm

Kes Koperal Tembak Gas Ke Tung Shin, Perulangan Kes Koperal Tembak Aminul-Rasyid

Bersih: Koperal jadi ‘kambing hitam’ polis selesai isu Tung Shin

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Bersih 2.0 mendakwa pihak berkuasa telah menjadikan seorang anggota polis sebagai “kambing hitam” memikul tangungjawab penuh dalam kes kontroversi melepaskan gas pemedih mata ketika meleraikan penunjuk perasaan di kawasan Hospital Tung Shin di sini 9 Julai lalu.

“Ini sesuatu yang mengarut. Setiap orang ada melihat... keseluruhan dunia telah menonton video. Seorang anggota dijadikan kambing hitam.

“Jika anda mengatakan hanya seorang, adakah mereka telah mengadakan siasatan lengkap? Bagaimana mereka boleh kata hanya seorang sahaja (yang terlibat)?” kata anggota jawatankuasa Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah kepada The Malaysian Insider.

“Mereka seperti Menteri Kesihatan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) yang menafikan Tung Shin dijadikan sasaran, ini satu penafian lebih seorang anggota polis terlibat,” kata Chin.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh memberi jaminan akan mengambil tindakan disiplin ke atas seorang anggota — yang berpangkat koperal — jika didapati bersalah melanggar garis panduan operasi (SOP) semasa meleraikan perhimpunan Bersih 2.0 di kawasan Hospital Tung Shin.

Namun, beliau berkata pihaknya masih mengumpulkan bukti bagi menyiasat kesahihan dakwaan bahawa anggota berkenaan bertindak di luar SOP semasa melaksanakan tugas.

“Kita akan ambil tindakan disiplin dan tatatertib di peringkat IPK (ibu pejabat polis Kuala Lumpur) jika siasatan mendapati perkara itu benar,” kata beliau.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada Selasa lalu menyebut siasatan Kementerian Kesihatan mengesahkan polis telah melanggar SOP dan bertindak secara tidak beretika ketika hendak meleraikan perhimpunan Bersih 2.0 di kawasan Hospital Tung Shin.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata, anggota polis yang didapati bersalah akan dirujuk kepada lembaga disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mahmood berkata, Kementerian Dalam Negeri mengambil maklum hasil laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Siasatan Dalaman Peringkat Tertinggi, Kementerian Kesihatan mengenai insiden gas pemedih mata dan meriam air ditembak ke dalam kawasan Hospital Tung Shin.

“Keputusan siasatan mendapati bahawa memang wujud tindakan tidak beretika dan di luar daripada garis panduan operasi polis oleh kakitangan PDRM ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan dalam menangani ahli perhimpunan yang secara salah mempergunakan premis hospital tersebut,” kata beliau.

Mahmood menambah, laporan itu antara lain menyebut bahawa berlaku semburan air oleh anggota PDRM ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat parkir kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama hospital itu.

“Bagaimanapun, tindakan ini adalah semata-mata bertujuan untuk menyuraikan kelompok penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di dalam kawasan hospital,” kata beliau lagi.

Mahmood juga berkata laporan itu menunjukan bahawa berlaku tembakan gas pemedih mata dari arah premis Waz Lian oleh anggota PDRM ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat letak kereta awam yang terletak di luar kawasan hospital, dan bagaimanapun, dakwaan yang menyatakan berlakunya tembakan gas pemedih mata ke dalam kawasan hospital adalah tidak benar kerana ia berlaku di tempat letak kereta awam yang terletak di luar kawasan hospital berkenaan.

“Berlaku lontaran ‘bom asap’ oleh anggota PDRM ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat parkir kenderaan Hospital Bersalin Cina,” kata beliau.

Berhubung insiden lontaran bom asap, kata Mahmood, hasil siasatan mendapati ia bukan berlaku dalam kawasan Hospital Tung Shin tetapi di kawasan Hospital Bersalin Cina di mana dari segi pentadbirannya, adalah berasingan daripada Hospital Bersalin Cina.

“Pihak Hospital Bersalin Cina sebenarnya telah memberhentikan operasinya semenjak September 2006 kerana akan dibuat pengubahsuaian secara makro atau menyeluruh terhadap keseluruhan premisnya yang akan bermula pada Disember 2011,” katanya lagi. -TMI

Ulasan GB

Mengingatkan kita tetang kes adik Aminur-Rasyid. Hanya seorang koperal, Koperal Jenain Subi didakwa dandituduh mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, kemudian didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara 5 tahun sahaja. Koperal tersebut mengemukakan rayuan di mahkamah dan besar kemungkinannya dilepaskan.

Hal yang sama mungkin berulang untuk kes Tung Shin.




Seorang Jemaah Haji Wanita Malaysia Maut Jatuh Tingkat 9

Seorang jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan hotel penginapannya di Hotel Al-Haram di Madinah, Arab Saudi, kira-kira jam 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia), kelmarin.

Sumber memberitahu, mangsa yang berasal dari Selangor, bersama suaminya ke Makkah untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan berada dalam biliknya di tingkat sembilan hotel berkenaan.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari biliknya sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Pejabat Tabung Haji ditempatkan di hotel ini - GB

Sementara itu, jurucakap Tabung Haji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, seorang jemaah haji Malaysia yang turut menetap di hotel sama, Mohd Faizal Mohd Noor berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Masjid Nabawi, tidak jauh dari hotel itu untuk menunaikan solat Asar.

Katanya, dia ternampak mangsa terjatuh dari bilik hotelnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bukti Jelas Najib Hina Petani Dan Nelayan - Anggap Ia Kelas Rendah

PM: `Pilihan raya dah dekat’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini memberitahu ahli penyokong BN hari ini bahawa pilihan raya umum ke 13 sangat dekat.

Berucap di majlis penerangan perdana BN Wilayah Persekutuan di PWTC, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata “gendang pilihan raya sudah dipalu dan gemanya semakin dirasai”

“Anda sendiri boleh mendengarnya.”

Beliau yakin BN akan menang sekali lagi berdasarkan kelebihan dan kekuatan yang ada.
Bagaimanapun, beliau mengingat komponen mengadakan persiapan di tahap terbaik kerana BN memasuki pilihan raya mahu menang dan bukan mahu kalah.

“BN ada kekuatan sekali lagi untuk menang kerana kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya memberitahu 8, 000 ahli dan penyokong BN.
.
Pengerusi BN itu juga menegaskan BN bukan parti kelas rendah yang hanya disokong oleh petani dan nelayan.

Menurut Najib beliau mahu BN turut disokong oleh orang bandar terutama di Kuala Lumpur.

Jangan sabotaj

“Kuala Lumpur penting walaupun Kuala Lumpur bukan lagi deposit tetap (BN),” tambahnya.

Pengerusi BN itu mengingatkan semua komponen BN menyelesaikan masalah masing-masing selain tidak menimbulkan masalah baru.

Beliau juga tidak mahu orang parti sendiri membuat sabotaj sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Menurutnya, ada seorang setiausaha bahagian Umno membuat sabotaj dalam pilihan raya kecil kerana tidak terpilih sebagai calon.

“Bayangkan rumah Setiausaha Umno bahagian ja, 10 malam sudah gelap, buat pura-pura tidur. Dia tutup pintu rumah,” katanya.

Najib memberitahu seorang wakil rakyat BN Sarawak selama tiga penggal telah lari ke London kerana merajuk tidak terpilih menjadi calon.

Ulasan GB

Awal-awal lagi GB sudah melihat bahawa PM yang bernama Najib ini memandang rendah golongan marhaen - golongan petani dan nelayan.

Pengerusi BN itu juga menegaskan BN bukan parti kelas rendah yang hanya disokong oleh petani dan nelayan.

Beliau menganggapkan bahawa golongan petani dan nelayan adalah golongan yang membuatkan BN sebagai parti kelas rendah.

Ini dibuktikan di dalam pembentangan Bajet 2012, golongan petani dan nelayan lansung tidak dihiraukan. Golongan petani dan nelayan secara khusus tersisih dari sebarang peruntukan one-off.

Bajet 2012 hanya menumpukan 4 golongan utama yang diharapkan Najib akan menjadi tunggak kemenangan UMNO BN, iaitu kumpulan guru/penjawat awam, polis, tentera dan peneroka FELDA.

Keempat-empat kumpulan ini menerima perhatian khusus kerana bilangannya yang ramai yang bakal menjadi pengundi nanti. Lebih-lebih lagi polis dan tentera, yang bilangannya boleh diduplikasikan sepertimana yang didedahkan oleh banyak pihak sebelum ini sebagai kumpulan paling ramai pengundi-pengundi pos dan hantu yang pernah memenangkan Najib di parlimen Pekan di dua pilihanraya umum yang lalu.

Justeru baginya petani dan nelayan adalah kumpulan manusia yang rendah kelasnya yang merendahkan taraf UMNO/BN.

p/s perhatian untuk Bersih dan PR. Bersih 3.0 perlu digerakkan jika Najib membubarkan parlimen sebelum PSC selesai melakukan kerja untuk penambahbaikan proses pilihanraya.