6 Ogo 2012

Kes NFC Bermula, Shahrizat Tak Tahu Suaminya Bida Projek NFC

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mula mendengar kes saman bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Perbicaraan yang bermula hari ini telah mendengar keterangan dari Shahrizat berhubung dakwaan kontroversi beliau dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat dalam keterangannya sebagai saksi utama berkata beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dalam NFC Holding dan tidak tahupun suaminya membida projek itu.

Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan pada 10 Ogos ini bagi sambungan perbicaraan setelah mendengar keterangan dari Shahrizat berhubungan dakwaan pembabitan beliau dalam skandal NFC.

Kes saman RM100 juta ini dikemukakan oleh Shahrizat berhubung penyelewengan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang telah didedahkan oleh kedua-dua pemimpin dari PKR itu.

Sementara itu, Rafizi yang ditemui selepas perbicaraan menyatakan keterangan yang dilakukan oleh Shahrizat hari ini sudah dijangkakan dan tidak mengejutkan beliau.

"Kita telah nenjangkakan keterangan yang beliau berikan hari dan ia tidak mengejutkan kita.

"Kita tunggu pada Jumaat ini bagi memulakan soal balas dari pihak peguam berhubung keterangan yang dilakukan nanti," jelasnya.

Tambah Rafizi lagi, kenyataan yang diberikan oleh Shahrizat hari ini menunjukkan beliau dan Zuraida adalah pemilik kepada media di negara ini yang boleh mempengaruhi seluruh rakyat Malaysia.

"Gambaran yang diberikan olehnya menunjukkan kami berdua telah berjaya mempengaruhi rakyat di negara ini melalui sebaran media.

"Seolah-olah kami ini pemilik Utusan Malaysia ataupun TV3, begitu jauh andaian yang diberikan olehnya," sambungnya.

Dalam pada itu, Zuraida memberitahu keterangan Shahrizat hari ini lebih kepada latar belakang beliau bagi menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin yang baik.

"Penceritaan latar belakang yang kemas dan apa yang kita harapkan penceritaan yang kemas ini mempunyai keputusan sebaliknya," kata Zuraida.

Pihak defenden, Rafizi diwakili Peguam, Ranjit Singh manakala Zuraida pula diwakili oleh Razlan Hadri.

Shafie Abdullah pula bertindak sebagai peguam yang mewakili Shahrizat sebagai plantif.

Sebelum itu pada 19 Januari yang lalu Shahrizat telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi telah memfitnah dan memburuk-burukkan beliau berhubung projek NFC.

Namun pada 9 Mac pula, Rafizi dan Zuraida telah memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung satu ucapan didakwa "berbau fitnah" yang diujarkan bekas menteri tersebut.

Sementara itu turut hadir memberi sokongan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan juga beberapa exco Kerajaan Negeri Selangor.

Kamar mahkamah hari ini dipenuhi dengan penyokong PKR yang turut hadir dalam memberi sokongan. -HD


Shahrizat: Saya tidak tahu mengenai projek NFC

Ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailnya terhadap dua pemimpin PKR, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau tidak tahu yang suaminya membida untuk projek Pusat Fidlot Nasional.

Beliau menyaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berhubung pelbagai komen yang didakwa mengaitkannya dalam kemelut National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Shahrizat memfailkan saman tersebut pada 19 Januari berhubung pendedahan Rafizi dan Zuraida mengenai NFC yang telah mengaitkan suaminya Datuk Seri Mohd Salleh Ismail.

Beliau memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam NFC atau di Agroscience Industries Sdn Bhd.

Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida telah menggunakan isu itu sebagai sasaran utama dalam usaha untuk memburuk-burukkan dan memfitnahnya sebagai seorang menteri persekutuan.

Shahrizat berkata beliau tidak tahu bahawa suaminya telah membida untuk projek tersebut kerana kerjaya mereka adalah berbeza luas.

"Saya menjadi seorang ahli politik sejak 1995 selepas dipilih sebagai ahli Parlimen Lembah Pantai. Saya menyertai Umno pada tahun 1982," katanya.

Suaminya pula, kata Shahrizat, adalah seorang saintis dan beliau tidak masuk campur dengan urusannya, kerana beliau (Shahrizat) adalah seorang ketua Wanita Umno, seorang menteri dan pemimpin Wanita BN.

Menyifatkan serangan terhadap NFC adalah mensasarkan dirinya, Shahrizat berkata ia bertujuan untuk menyerang BN dan Umno menjelang pilihan raya umum ke-13.


Noh Omar Tidak Layak Bicara Soal Wang Rakyat!

Shah Alam – Kerajaan Negeri menafikan dakwaan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang kononnya menyalahgunakan wang rakyat untuk membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari, berkata, dana itu diperoleh menerusi peruntukan Geran Selangorku bernilai RM5 juta bagi Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan.

Noh tidak layak bicara soal wang rakyat kerana beliau sendiri tidak mampu menyelamatkan penyelewengan dana Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) berjumlah RM250 juta oleh pemimpin Umno-BN,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Menurutnya, sejak kepincangan itu didedahkan, beliau selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Noh tidak mengambil sebarang tindakan bagi mendapatkan semula wang rakyat yang telah disalahgunakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Salleh.

“Selaku Menteri, Noh gagal menunaikan tanggungjawab berkhidmat dan menjaga amanah rakyat termasuk memastikan tiada penyelewengan melibatkan dana kerajaan.

“Walaupun pinjaman RM250 juta diluluskan sebelum Noh memegang kementerian itu, beliau sepatutnya ambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mengembalikan semula dana itu kepada kerajaan,”
katanya.

Yaakob berkata, Geran Selangorku sememangnya diperuntukkan untuk kegunaan rakyat antaranya, Pengenalan Gaji Minima, Program Memperkasakan Wanita, Pembinaan Infrastruktur Sukan, Pembaikan Infrastruktur dan Program Pengukuhan Demokrasi.

“Bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri bukan untuk membantu kroni, sebaliknya sebagai sokongan terhadap usaha dan keberanian Rafizi mendedahkan kepincangan pengurusan dana rakyat.

“Rafizi adalah mangsa ketidakadilan sistem di negara ini apabila pelapor kes rasuah dan penyelewengan dilayan seperti pengganas dengan tangannya digari ketika dibawa ke mahkamah manakala suspek rasuah pula diberi layanan VIP.

“Rakyat Selangor dan Malaysia dapat menilai ketidakadilan yang berlaku di bawah pemerintahan Umno-BN.

“Kita yakin bahawa penilaian ini akan membawa kepada perubahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) akan datang,” katanya. -SH

Staf Yang Terjun Dari AirAsia Dakwa Ada Hantu Dalam Pesawat

Staf dakwa nampak hantu dalam pesawat AirAsia

MIRI – Lelaki yang terjun dari pesawat AirAsia malam Jumaat lalu mendakwa dia terlihat kelibat bayangan ‘hantu’ dalam pesawat tersebut sebelum nekad meninggalkan teman wanitanya dan terjun ke atas landasan Lapangan Terbang Miri di sini.

Gambar: CHONG kini masih dirawat di Hospital Miri.

Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Chong, 24, mendakwa, kehadiran bayangan ‘hantu’ yang mengganggunya itu menyebabkan dia ketakutan dan mengambil keputusan bertindak keluar dari pesawat berkenaan.

Menurut lelaki itu, tanpa mempedulikan keselamatan dirinya, dia terus membuka pintu kecemasan disebabkan permintaannya untuk turun daripada penerbangan itu tidak dibenarkan oleh anak kapal bertugas.

“Semasa pesawat bersedia untuk berlepas, tiba-tiba saya ternampak kelibat makhluk aneh seakan-akan hantu hadir mengambil tempat penumpang.

“Disebabkan bimbang sesuatu tidak diingini berlaku semasa penerbangan memandangkan permintaan saya tidak dipedulikan pramugari bertugas, saya tiada pilihan lain melainkan terjun dari pesawat,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri di sini semalam.

Menceritakan lebih lanjut, Chong yang merupakan seorang staf AirAsia memberitahu, ketika mula memasuki pesawat, keadaan adalah tenang sebelum dia mengambil tempat duduk bersama teman wanitanya.

Bagaimanapun, ketika sedang melalui lorong untuk mencari tempat duduknya, tiba-tiba dia berasa sesuatu yang tidak menyenangkan lalu menoleh ke belakang pesawat sebelum melihat suatu kelibat hitam yang menakutkan di situ. -kosmo


Lelaki terjun daripada pesawat AirAsia

MIRI – Beratus-ratus penumpang sebuah pesawat AirAsia Berhad (AirAsia) menghadapi saat cemas apabila seorang penumpang bertindak membuka pintu kecemasan lalu terjun ketika pesawat itu dalam kedudukan sedia untuk berlepas di Lapangan Terbang Miri di sini malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, siasatan mendapati penumpang berkenaan yang dikenali sebagai Chong, 24, dipercayai staf syarikat penerbangan tambang murah itu sendiri.

Pada hari berkenaan, dia tidak bekerja tetapi menaiki pesawat AK587 itu bersama teman wanitanya untuk menuju ke Kuala Lumpur.

Kosmo! Ahad difahamkan, tindakan lelaki itu membuka pintu kecemasan yang terletak di bahagian tengah pesawat menyebabkan pesawat tersebut berhenti serta-merta.

Keadaan itu mencetuskan situasi panik dalam kalangan penumpang.

Sementara itu, seorang penumpang yang menaiki penerbangan sama berkata, sebaik pesawat tersebut hendak berlepas, lelaki itu menjerit ‘saya mahu pulang’ sebelum dia meninggalkan kerusinya dan membuka pintu kecemasan.

Chong diberi rawatan selepas terjun dari pesawat AirAsia.

“Ketika pesawat itu sedang bergerak perlahan untuk berlepas, tiba-tiba lelaki tersebut buka pintu kecemasan di sebelah kanan pesawat dan terjun sekali gus menyebabkan pesawat berhenti mengejut.

“Penumpang lain mula menjerit dan panik. Punca dia bertindak demikian masih kurang jelas,” kata saksi itu.

Pengarah Operasi Penerbangan AirAsia, Kapten Datuk Fareh Ishraf Mazputra berkata, penumpang yang terjun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan.

Kejadian tersebut menyebabkan penerbangan tersebut tergendala dan penerbangan hanya dapat diteruskan pada pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, setakat ini polis masih mengumpul maklumat mengenai kejadian itu dan siasatan giat dijalankan berhubung kejadian tersebut.


Gambar Ini Kit Siang Dihalang Masuk Sabah Pada 1984, Bukan Kencing Pada 13 Mei 69

Kontroversi filem Tanda Putera: Kencing di bawah tiang bendera dan gambar 1984 digunakan untuk fitnah 13 Mei 1969

KUALA LUMPUR, 6 OGOS – Filem Tanda Putera mengenai tragedi 13 Mei yang bertujuan membangkitkan kebencian rakyat terhadap DAP sekali lagi mencteus kontroversi apabila dikatakan memuatkan adegan Lim Kit Siang kencing di bawah tiang bendera Selangor pada 1969.

Keterangan gambar: Insiden Lim Kit Siang dilarang masuk ke Sabah pada 1984 dijadikan gambar fitnah untuk tragedi 13 Mei 1969

Filem yang belum ditayangkan itu tetapi telah disebarkan adegan-adegan yang terkandung di dalamnya di laman-laman internet membuktikan fitnah baru yang sedang dicipta oleh mereka yang benci kepada perpaduan kaum di negara ini.

Fitnah kencing di bawah tiang bendera

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan karut dan bohong itu yang telah dipaparkan dalam laman sosial Facebook bagi filem Tanda Putera kononnya beliau telah kencing di bawah tiang bendera Selangor di rumah kediaman Menteri Besar Selangor semasa rusuhan 13 Mei.

Beliau menjelaskan bahawa fitnah itu tidak masuk akal sama sekali kerana beliau tidak pernah berada di Kuala Lumpur mulai 10 Mei hingga 13 Mei 1969, malah sewaktu rusuhan berlaku, beliau berada di Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum ini, laman-laman web dan Facebook pro-UMNO telah menyebarkan fitnah dengan mendakwa Kit Siang memaki hamun orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur di antara 11 Mei dan 13 Mei 1969, walau pun hakikatnya beliau tidak ada di Kuala Lumpur pada masa tersebut.

Menurut Kit Siang, pada tahun 1969, beliau tidak tahu di mana letaknya kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, apatah lagi kewujudan tiang bendera yang “terletak di dalam perkarangan rumah MB yang dipagari dan dikawal oleh ‘jaga’”.

“Tulisan ini mendedahkan fitnah, kepalsuan dan pembohongan bahawa saya atau sesiapapun boleh kencing di bawah tiang bendera rumah Menteri Besar Selangor – apabila ianya jelas tidak boleh dilakukan kerana ianya berada dalam kawalan dan pengawasan keselamatan,” jelas beliau.

Kit Siang menjelaskan bahawa kedua-dua ‘Kertas Putih’ yang telah dikeluarkan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 9 Oktober 1969 yang bertajuk “The May 13 Tragedy” serta buku Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman “May 13 – Before & After” tidak pernah membuat apa-apa rujukan pun kepada insiden kencing di rumah Menteri Besar Selangor.

“Ini merupakan satu skandal “Urine-Gate” atau “Pee-Gate” Malaysia.

“Rakyat Malaysia mesti menyiasat terlebih dahulu “siapa, bila dan apa” berhubung dengan asal-usul tipu helah insiden “kencing” di bawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor yang telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 – kerana sekiranya tiada apa-apa unsur kebenaran dalam dakwaan tersebut, ianya mesti dikuburkan sekarang juga,” tambah beliau.

Fitnah gambar 1984 yang dikatakan diambil pada 13 Mei 1969

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ada satu lagi tulisan yang membuat fitnah 13 Mei 1969 yang dipaparkan dalam laman rasmi Facebook Tanda Putera tetapi menggunakan gambar lain, iaitu pada 26 Ogos, 1984 di terminal lama lapangan terbang Kota Kinabalu

Katanya, beliau ke Kota Kinabalu pada pagi tersebut melalui Sandakan untuk menyahut cabaran Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Datuk Haris Salleh untuk mengulangi ucapannya pada 23 Julai 1984 di luar Parlimen tanpa perlindungan hak istimewa Parlimen berhubung dengan penyalahgunaan kuasa Ketua Menteri Sabah terutamanya dengan perbuatan Haris menyerahkan Labuan kepada kerajaan persekutuan.

“Akan tetapi di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, saya tidak dibenarkan masuk diatas arahan Ketua Menteri Sabah yang pada awalnya telah mencabar saya untuk mengulangi ucapan Parlimen saya terhadapnya di Sandakan pada pagi hari yang sama jua!” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pihak imigresen Sabah telah memaksa beliau meninggalkan Sabah dan memaksa beliau duduk atas kerusi roda serta diangkat masuk ke dalam kapal terbang.

“Gambar tersebut merupakan gambar yang diambil pada tahun 1984 di Kota Kinabalu dimana ianya telah disalahgunakan dalam laman Facebook rasmi Tanda Putera sebagai salah satu gambar 13 Mei 1969,” tambah beliau.

Katanya, amat menyedihkan kerana semua usaha menjelang sambutan Kemerdekaan yang ke-55/Hari Malaysia Ke-49 sepatutnya berfokuskan perpaduan yang diversif dan berbilang kaum.

Namun, ujar beliau, ada elemen-elemen anti-nasional yang mengapi-apikan syak wasangka buruk diantara kaum dan memporak-perandakan keharmonian di negara ini dengan penyebaran kepalsuan dan fitnah berhubung dengan sejarah tanahair ini. – Roketkini


Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Curi Kuih Di Surau Kerana Terlalu Lapar

Kulim – Tiada siapa di antara manusia yang mahu hidup tanpa tempat berlindung. Kepada yang berfikiran waras tentu sekali tidak mahu memilih jalan hidup sebegitu.

Gambar: Eng Khim ketika melihat keadaan lelaki terbabit.

Namun, ramai antara kita terpaksa hidup bergelandangan akibat masalah peribadi masing-masing.

Begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki berusia 50-an yang ditemui Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) sebaik saja mendapat aduan daripada orang awam yang mendakwa lelaki itu mencuri makanan di surau.

Pengerusinya, Khor Eng Khim berkata, pihaknya menemui lelaki itu yang sedang tidur di tepi parit bersebelahan Stadium Mini Keladi kira-kira jam 12.30 pagi semalam.

Menurutnya, lelaki itu mengaku kerana terlalu lapar dia terpaksa mengambil sisa kuih dalam surau sebaik solat Terawih dijalankan lalu melarikan diri.

“Dia juga memaklumkan tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan hidup gelandangan sejak lima tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, lelaki berkenaan berkata, dia tidak suka dituduh sebagai pencuri. “Aku ada minta pada mereka sedikit kuih tetapi mereka halau aku kerana aku kotor. “Orang selalu tuduh aku mencuri. Itu semua tidak betul.

Aku cuma mahu makan saja,”
katanya. Dia berkata, sehingga kini tidak ada sesiapa atau pihak bertanggungjawab yang datang membantu.

Dalam pada itu, Eng Khim berkata, masalah itu dapat diselesaikan sekiranya pihak terlibat turun padang dan mendekati nasib mereka yang hidup di jalanan.

“Orang awam yang menemui lelaki ini memaklumkan kepada saya dia mencuri dan harus diserahkan kepada polis. Pada pendapat saya, dia tak bersalah.

“Dia sudah meminta kebenaran untuk mendapatkan beberapa kuih untuk dimakan tetapi tidak diberikan sebaliknya dia dihalau.

“Dia tidak ada pilihan melainkan mencuri kuih itu. Dia mencuri kerana dia lapar dan bukan kerana dia mahu melakukan jenayah.
Dalam soal ini di manakah peranan orang ramai serta badan yang bertanggungjawab?,” katanya.

Katanya, dia meminta jasa baik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat rondaan atau operasi bagi mengenal pasti orang gelandangan di sekitar Kulim.

Sehingga kini sudah ramai dalam kalangan pengemis yang meninggal dunia di kaki lima. -SH

Ulasan GB

Demikianlah...

Allah menguji mereka yang berpuasa, yang berbuka, yang berterawih dengan didatangkan seorang hambaNya yang dhaif untuk meminta sedikit makanan. Rupa-rupanya mereka yang berpuasa, yang berbuka, yang berterawih itu menghalaunya.

Binatang sekalipun jika kelaparan wajib bagi kita untuk membantu inikan pula seorang manusia sekalipun bukan Islam....

Apa ertinya ilmu dan amal bertimbun-timbun jika di sana tiada sifat peri-kemanusiaan? Itulah sebabnya mengapa perlu sentiasa koreksi bab HATI!

Jangan sampai nanti ilmu dan amal dicampak Allah ke tepi dan kita di campak ke dalam api.

[KANTOI] Isu Rumah Mewah: "Saya Diperalatkan Zamil Ibrahim Untuk Baca Skrip"

Sau Ping: Saya diperalat Zamil Ibrahim buat kenyataan media

SUNGAI PETANI – H’ng Sau Ping semalam membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kenyataannya yang disiarkan akhbar semalam berhubung kait dengan pemilikan rumah mewah bekas kakitangan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Gambar: Kamal Nasser dan Sau Ping menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua mereka.

Menurutnya, kenyataan itu telah disediakan pihak tertentu terlebih dahulu manakala skrip telah disediakan sebelum kenyataan akhbar bermula.

“Saya dengan ini membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang dikeluarkan semalam kerana hanya diperalatkan pihak tertentu supaya berbuat demikian,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan luar Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda petang semalam.

Sau Ping berkata, dia seorang yang berpendidikan rendah, tidak tahu apa-apa tentang perkara berkenaan dan hanya mengikut kehendak pihak tertentu.

“Saya juga ingin membuat laporan terhadap seorang individu yang bernama Zamil Ibrahim yang mengaku dirinya Pengerusi Kita dan telah memperalatkan diri saya untuk membuat kenyataan di surat khabar.

“Saya sedar ini adalah satu kesilapan besar dan mengaku dengan ikhlas segala kenyataan bukan dari diri saya.

“Oleh itu saya memohon pihak berkuasa memberi kerjasama terhadap keselamatan diri dan keluarga,”
katanya selepas membuat laporan polis semalam.

Sau Ping bagaimanapun menafikan dia diberikan imbuhan atau diugut untuk berbuat demikian, sebaliknya ke lokasi sidang media kerana diajak oleh seorang ‘sahabat’ namun tidak mengetahui tentang kewujudan sidang media.

Kelmarin, Sau Ping mengeluarkan kenyataan dan disiarkan Sinar Harian semalam di bawah tajuk ‘Rumah Mewah Milik Siapa’ yang bersangkut-paut dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Pengerusi Kita Kedah, Kamal Nasser Thow Beek berkata, kenyataan yang disiarkan kelmarin tiada kena-mengena dengan parti itu.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan tindakan itu mencemarkan nama parti itu.

“Kita memberi amaran keras terhadap individu berkenaan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. -SH



Maklumat Sulit: Najib Mahu Lindungi 'Perompak BN'


Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar segala maklumat sulit kewangan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa hanya untuk melindungi 'perompak-perompak BN'.

Pengarah Stratregi PKR, Mohd Rafizi Ramli ketika dihubungi Harakahdaily, berkata ini kerana kebanyakan undang-undang yang berada di bawah BN hanya bertujuan untuk melindungi pihak tertentu.

Sedangkan, jika diimbas di awal pendedahan beliau berhubung isu National Feedlot Corporation (NFC), Rafizi berkata pihaknya telah memberi tempoh selama tiga minggu kepada Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, dan pihak berkaitan untuk memberi penjelasan, sebelum satu laporan kepada SPRM.

Namun, beliau berkata laporan yang dilakukan sebuah NGO, Jingga 13 itu tidak mendapat sebarang reaksi dari mereka.

Tambah beliau, seperti undang-undang berkaitan 'whistleblower', hanya di Malaysia sahaja yang tidak menganggap pendedahan di media sebagai maklumat, berbanding di negara luar yang menjadikannya sebagai sumber maklumat.


"Jika di negara luar, sebarang pendedahan di media, akan dikira sebagai satu maklumat. Bukan seperti di Malaysia. Di Malaysia lebih untuk melindungi pihak tertentu. Yang beri maklumat pula didakwa," tegas beliau.

Masalahnya di negara ini, tambah Rafizi apabila ada pihak yang membuat laporan di SPRM, perkara tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum dan perlu 'didiam'kan sahaja.

Sedangkan, kata beliau SPRM di negara ini pula dilihat agak berat-sebelah dalam menangani kes-kes tertentu.


Sehubungan itu, katanya pihak beliau tidak mempunyai pilihan lin selain mendedahkannya kepada media.

Najib, dalam kenyataannya sebelum ini berkata sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat kewangan sulit yang berkaitan dengan rasuah perlu mendedahkannya kepada SPRM.

Beliau dilaporkan berkata, maklumat sulit seumpama itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.

Rafizi pada Rabu lalu yang didakwa melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) kerana mendedahkan dokumen mengenai butiran perbankan yang berkaitan dengan skandal NFC kepada umum.

Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Rabu terhadap pertuduhan itu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, bekas kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi, juga mengaku tidak bersalah.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin masing-masing ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kedua-dua kes pada 10 September ini dan kedua-dua kes dibicarakan serentak. -HD



Persoalan Manusia Semuanya Telah Terjawab Di Dalam Al-Quran

Soalan 1: Kenapa Aku Diuji?

Al Quran Menjawab:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3).


Soalan 2 : Kenapa Aku Tidak Dapat Apa Yang Aku Idam-Idamkan?
Al Quran Menjawab:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah ayat 216)

Soalan 3: Kenapa Ujian Seberat Ini?

Al Quran Menjawab:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Soalan 4: Kenapa Kita Rasa Kecewa?

Al Quran Menjawab:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman".
(Surah Ali Imran ayat 139)

Soalan 5: Bagaimana Harus Aku Hadapi Kesusahan Ini?

Al Quran Menjawab:
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah al-Baqarah ayat 45)

Soalan 6: Kepada Siapa Aku Berharap?

Al Quran Menjawab:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".
(Surah at-Taubah ayat 129)

Soalan 7: Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ujian Ini?

Al Quran Menjawab:
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".
(Surah at-Taubah ayat 111)

Soalan 8: Aku Tidak tahan dengan ujian ini!

Al Quran Menjawab:
"...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf ayat 12)

Soalan 9: Sampai bila aku Akan Merana?

Al Quran Menjawab:
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah al-Insyirah ayat 5-6)

KESIMPULANNYA

Firman Allah maksudnya :
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah Al-Hadid ayat 22)

Dalam Ayat yang lain Allah berfirman maksudnya :
"Tidak luput daripada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). "
(Surah Yunus ayat 61)