5 Jun 2013

UMNO BN Menang Tetapi Mereka Masih Berantakan Dan Meroyan..


Perjuangan Umno sudah tidak bertenaga

KUALA LUMPUR: Selepas keputusan PRU13, parti komponen BN nampak gelabah sehingga ada cadangan untuk menjadikan BN parti tunggal.

Selain itu, ada cadangan membubarkan semua parti komponen menjadi satu sahaja seperti yang disuarakan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.

Mesyuarat MT UMNO, Jumaat lalu, bersetuju mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan itu dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli di seluruh negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini ditambah pula kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan Umno menang bukan kerana kuat, tetapi kerana Melayu berjaya ditakutkan sehingga mereka mengundi Umno pada PRU13.

“Sampai bila Melayu hendak ditakutkan kerana Melayu yang berjaya ditakutkan sudah tidak ramai, sebagaimana orang Melayu sudah tidak ramai yang takut kepada hantu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Umno berada pada situasi yang merbahaya jika hanya mengharapkan Melayu menyokong berdasarkan emosi kerana Melayu yang celik maklumat dan faham agama tidak diserang dengan budaya takut.

Katanya, mereka sedar, Melayu musnah semuanya angkara Umno.

Beliau berkata, golongan ini mula mempersoalkan kenapa setelah 57 tahun merdeka, Melayu semakin tertinggal ke belakang.

Ini, katanya kerana Umno telah khianat amanah untuk membantu orang Melayu.

“Berapa banyak projek yang dikhas untuk orang Melayu gagal diselenggarakan dengan baik.

“Kenapa Umno hendak mengkambing hitamkan kaum lain, supaya Umno terus selamat?” tanya beliau.

Beliau menambah, Melayu terpelajar sudah menganggap, Umno mesti bertanggungjawab terhadap musibah yang menimpa kepada orang Melayu.

“Mereka mahu Melayu yang bermoral dan telus untuk memimpin negara. Umno telah meninggal rekod yang terlalu buruk kepada sejarah perjuangan orang Melayu di negara ini,” ujarnya lagi. -HD

Ulasan GB

Genap sebulan selesainya pilihanraya, UMNO BN menang tetapi mereka berantakan dan meroyan seperti mereka yang kalah di dalam pilihanraya itu. Itu sebagai tanda kemenangan mereka adalah kemenangan yang tiada keberkatan.

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kemenangan dengan penipuan adalah satu jenayah dan tiada keberkatannya.

...kemenangan melalui penipuan adalah kemenangan yang rapuh ... dan ia akan tumbang dengan sendirinya kerana "dasarnya" lemah.

GB amat yakin jika kerajaan Najib dan UMNO BN memperolehi kemenangan dengan cara penipuan, kerajaannya akan tumbang tidak berapa lama lagi.

Dan semua yang terlibat dengan penipuan akan tetap dihukum walaupun penipuan itu licik dan tidak diketahui orang. Tetapi Allah Maha Mengetahui! Anda tidak boleh lari.


Kebatilan tidak akan dapat mengalahkan kebenaran selama-lamanya. Itu hukum alamiah, itu hukum Allah swt!

[VIDEO] Chegu Bard Mengaku Tidak Bersalah, Dakwa Berkait Dgn Politik Dalaman Umno-BN


Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari berkenaan penganjuran Himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur MBPJ pada 25 Mei lalu.

Badrul Hisham atau dikenali CheguBard didakwa di bawah Akta Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum program tersebut berlangsung.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika didapati bersalah, boleh didenda tidak lebih RM10,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Badrul Hisham tidak diwakili peguambela.

Hakim, Yasmin Abdul Razak menetapkan 9 Julai depan untuk Timbalan Pendakwaraya menyerahkan dokumen kes dan pelantikan peguambela Badrul Hisham.

Badrul Hisham dibebaskan tanpa ikat jamin selepas Yasmin berpuashati bahawa beliau hadir ke mahkamah dengan rela. Beliau juga menghubungi pihak polis selepas pihak berkuasa itu gagal menyerahkan saman kepadanya.

Ketika di luar mahkamah, Badrul Hisham menyatakan kes pendakwaan ke atasnya ada kaitan dengan permainan politik dalaman Umno-BN melibatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pemilihan Umno akan berlaku tidak lama lagi. Zahid tidak sedar bahawa kamu masuk dalam perangkap (Datuk Seri) Najib Razak dan (Tun Dr) Mahathir Mohamad. Kamu diberi jawatan Menteri Dalam Negeri untuk dirosakkan imej kamu.

“Hari ini setiap hari usaha merosakkan imej Menteri Dalam Negeri itu berlaku. Jauh daripada itu rakyat menjadi mangsa permainan politik dalam Umno-BN,” katanya.

Menurutnya, Dr Mahathir ingin mempersiapkan keluarga dan saudara maranya selesa di dalam Umno-BN manakala Najib menyusun strategi untuk kebaikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


Isu IPCMC: Selepas Kena Belasah Menteri BN Buat U-Turn


Paul Low kata akan cadangkan penubuhan IPCMC dalam mesyuarat Kabinet esok

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berjanji hari ini akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam mesyuarat Kabinet esok dikala peningkatan kematian dalam tahanan.

Akan tetapi Low, menteri yang menguruskan permasalahan integriti dan rasuah enggan memberitahu sama ada beliau menyokong penubuhan IPCMC selepas mesyuarat dengan Pengarah Strategi MIC S. Vell Paari dan NGO India hari ini.

“Itu saya tidak boleh cakap; Saya berjanji akan kemukakan permintaan mereka,” kata Low kepada The Malaysian Insider hari ini.

Vell Paari memberitahu The Malaysian Insider hari ini kedua-dua menteri MIC - presiden parti Datuk Seri G. Palanivel yang mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam - dilantik sebagai Menteri Kesihatan - akan menyokong penubuhan IPCMC.

"Rakyat secara umumnya tidak gembira dan marah dengan isu ini dan mahu melihat tindakan diambil serta merta," kata Vell Paari, merujuk kepada kematian dalam tahanan.

Low mengakui awal hari ini "sesuatu perlu dilakukan" sebelum lebih ramai mati ditangan polis.

Kumpulan hak asasi manusia Suaram mengatakan baru-baru ini lapan orang telah mati dalam tahanan polis dalam lima bulan tahun ini. Salah seorang daripada mereka N. Dharmendran, mati kerana dipukul berkali-kali, menurut laporan bedah siasat semasa berada dalam reman polis di ibu pejabat kontigen polis Kuala Lumpur, di sini pada 21 Mei.

Suaram juga mengatakan terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012.

Kes terbaru kematian dalam tahanan adalah P. Karuna Nithi, 42 yang ditemui mati di lokap balai polis Tampin, Negeri Sembilan Sabtu lepas.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang telah mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis semenjak 2006.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong.

Presiden Persatuan Kesejahteraan Rakyat dan Hak Asasi (POWER) S. Gobi Krishnan berkata semasa menyuarat hari ini dengan Low IPCMC adalah "suruhanjaya sempurna" untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh polis, menurut Vell Paari.

"EAIC tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan disiplin terhadap anggota polis yang melanggar undang-undang, manakala IPCMC mempunyai kuasa penuh," kata Vell Paari memetik Gobi Krishnan merujuk kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Badan pengawasan penguatkuasaan EAIC mempunyai satu penyiasat untuk 19 agensi dan bajet tahunan RM7 juta, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nor Afizah Hanum Mokhtar.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider semalam EAIC telah menerima 469 aduan sehingga 31 Mei tahun ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011, dengan 353 aduan terhadap polis. Dua puluh satu aduan telah dibuat terhadap Jabatan Imigresen, 15 terhadap JPJ, 10 terhadap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan sembilan terhadap Jabatan Kastam.

Nur Afizah Hanum mengatakan, bagaimanapun, masih belum menerima aduan kematian dalam tahanan, tembakan polis, atau serangan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa.

Apa Binatangnya "Red Bean Army" Itu?


Tuduhan “Red Beans Army’ dibiayai DAP terbukti bohong

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan Star didakwa menyiarkan berita yang tidak berasas mengenai 3,000 tentera siber “Red Beans Army” kononnya dibiayai DAP, bukannya berdasarkan fakta dan kebenaran yang sepatutnya menjadi pegangan wartawan akhbar berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bagaimana mereka yang kononnya bergelar wartawan boleh bersekongkol mencipta penipuan mengenai 3,000 tentera siber “Red Beans Army” dibiayai DAP yang hanya wujud dalam imaginasi liar mereka.

Katanya, pembohongan mengenai Red Beans Army yang kononnya dibiayai DAP hanya sebahagian daripada jalan cerita yang lebih besar sejak Januari lalu untuk memburuk-burukkan DAP dengan pembohongan dan penipuan serta paling menyedihkan apabila terdapat bekas ahli dan pemimpin DAP yang bersedia untuk bertindak begitu hina dengan berbohong dan menipu untuk meneruskan agenda UMNO/BN.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, siasatan awal mendapati satu konspirasi yang dibiayai UMNO telah dilancarkan tiga bulan sebelum pembubaran Parlimen, 3 April lalu untuk memburuk-burukkan DAP, termasuk dongeng 3,000 tentera siber “Red Bean Army”.

“Mereka mendakwa DAP kononnya dengan bajet setinggi RM100 juta sehingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu membiayai tentera siber “Red Beans Army” bertujuan membunuh karakter pemimpin UMNO/BN di ruang siber.

“Penyebar utama pembohongan “Red Bean Army” adalah media cetak milik UMNO/BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star, baik sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13, pada 5 Mei lalu.

“Pembohongan dan penipuan mereka tidak menjejaskan DAP kerana tiada siapa yang mempercayai mereka – jika tidak sudah tentu DAP gagal memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU ke-13 lalu,” katanya.

Menurut Kit Siang bagi menjustifikasikan pelaburan UMNO/BN ke atas mereka, mereka yang ingkar terhadap DAP itu meneruskan kempen penipuan mereka terhadap pemimpin DAP.

Katanya, sehingga kini, kepimpinan DAP mengabaikan mereka kerana tidak releven dan sekiranya mereka terus dengan pembohongan dan penipuan terhadap pemimpin DAP, maka mereka hendaklah bersedia untuk didedahkan kedurjanaan mereka. -Roketkini

Ulasan GB

Memetik tulis Ahmad Lutfi Othman di dalam FBnya:

Tuduhan 3,000 tentera siber Red Bean Army yang dikatakan didanai oleh DAP, apatah lagi dengan bajet sehingga RM1 bilion memang melucukan, anehnya Timbalan Ketua Polis Negara pun boleh memberi komentar dengan nada serius. Saya sendiri tak faham bagaimana rakan-rakan media bekerja di Utusan dll, yang memanipulasi isu ini semahunya.

Sebenarnya, Umno ini sering buat tuduhan kepada lawan politiknya berdasarkan apa yang sebenarnya dia lakukan ... Semuanya hanya ada pada imiginasi dia sahaja. Sampai bila dia nak dapat sokongan dan simpati berdasarkan siri pembohongan dan pendustaan?

MCA Kata Tarian Gelek Itu Aktiviti Sihat, Apa Kata Ulamak UMNO?


MCA: PAS 'ultra konservatif' bantah tarian gelek

Bantahan PAS Segamat terhadap acara tarian gelek yang disifatkan lucah di sebuah pasar raya menggambarkan parti itu akan melaksanakan dasar "ultra konservatif" dan "mundur" di Johor jika menang dalam pilihan raya umum yang lalu di Johor.

Ketua MCA Segamat Dr Lee Hong Tee berkata, selaran oleh Yang Dipertua PAS Segamat Firdaus Masod juga membuktikan parti itu bersifat "autoritarian" terhadap nilai-nilai lain.

"Tarian gelek merupakan aktiviti yang sihat dan persembahan yang teaterikal," kata Dr Lee.

"Oleh kerana PAS menganggap tarian gelek bertentangan terhadap apa yang dianggap mereka norma Malaysia, ini menunjukkan PAS tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang persembahan seni yang sihat."

Harakahdaily semalam melaporkan, PAS Segamat membantah keras penganjuran tarian yang disifatkan separuh bogel oleh wanita yang dipercayai dibawa dari luar negara di sebuah pasar raya pada 1 Jun lalu.

Akhbar web PAS itu melaporkan, tarian itu disaksikan hampir 500 pengunjung yang membawa bersama mereka anak-anak kecil dan diadakan pula pada waktu puncak dan malam minggu.

"Kami amat menyesali penganjuran tersebut diadakan secara terbuka yang ternyata menyalahi tatasusila adat dan budaya masyarakat Malaysia," Firdaus dipetik sebagai berkata dalam kenyataannya.

Harakahdaily juga melaporkan ramai pihak terkejut dan peniaga juga agak terkejut dengan hidangan yang dipersembahkan pada malam tersebut.

Isu yang sama turut dilaporkan sebuah harian berbahasa Melayu hari ini.

Ulasan GB
,br> MCA dah kalah besar dalam PRU lagi mahu bising?

Tak mengapa. Dia keluarkan hujjah maka kita berhujjah.

Pertama, ternyata MCA walaupun sudah berkawan dengan UMNO sekian lama, tetap jahil mengenai Islam. Sama macam Presidennya Chua Soi Lek di dalam isu berjabat tangan dengan perempuan Islam.

Menurut Ketua Pemuda MCA Segamat, tarian gelek dan lucah itu satu aktiviti yang sihat. Hahaha. GB tak tahu apa yang sihat. "Angry bird" mungkin sihat tetapi tarian sedemikian adalah faktor kepada punca keruntuhan moral masyarakat.

Dan seandainya Ketua Pemuda MCA itu ingin menyatakan bahawa di dalam agamanya tidak ada halangan dan sekatan terhadap tarian sedemikian, maka sepatutnya tarian tersebut tidak dilakukan di tempat terbuka yang dikunjungi pelbagai bangsa dan agama.

Anda perlu menghormati norma-norma dan nilai-nilai ugama dan bangsa orang lain. Kamu boleh melakukan di premis tertutup, Islam tidak menghalangnya untuk kamu seperti aman Islam tidak menghalang kamu untuk melantak arak sebanyak-banyaknya... tetapi ia perlu dilakukan di tempat kamu bukan di tempat awam.

Islam sebagai ugama rasmi negara perlu dihormati. Rupa-rupanya parti komponen BN sendiri yang tak menghormayti Perlembagaan negara.

GB hairan, bagaimana pula sikap UMNO terutama para mufti dan ulamaknya yang membisu seolah-olah bersekutu dengan pendirian MCA itu?