2 Feb 2009

Ulasan Isu Hangat 2 Februari 2009

Menteri Besar perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyatakan sekalipun UMNO/BN menggunakan taktik kurang beretika, Pakatan Rakyat tetap stabil, teguh dan bersatu di dalam melaksanakan amanah rakyat.

Datuk Seri Nizar telah menghadap Sultan Perak untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan politik negeri khususnya perletakan jawatan dua ADUN. Serentak dengan itu Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar pagi tadi telah menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang.

ADUN PKR NAFI LETAK JAWATAN

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak hadir pada sidang media yang "sepatutnya dihadiri kedua-dua mereka" di sini petang tadi, sebaliknya menafikan mereka telah mengosongkan kerusi masing-masing.

Firdaus Saharudin, yang mendakwa beliau sebagai pembantu khas kepada Jamaluddin berkata, wakil rakyat itu tidak hadir pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini petang ini kerana kurang sihat.

Mohd Osman Jailu membuat laporan polis melalui wakilnya Mohd Farizal Umar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 berhubung isu mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering.

NAJIB BAKAL DITELANJANGKAN, TAWARAN RM50JUTA
Setelah rakyat mengetahui Najib merupakan dalang yang terlibat di dalam isu menculik ADUN PKR kini Ketua bahagian PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda di dalam satu AKUAN BERSUMPAH yang telah mengadakan satu pertemuan dengan Datuk Seri Najib dan telah cuba disogokkan dengan wang sebanyak RM50 juta bagi memujuk ADUN-ADUN PKR menyertai UMNO. Beliau mencabar Najib menafikannya.

Mungkin lebih banyak lagi kes sebegini belum terbongkar, namun rakyat yakin semua hal berhubung dengan penculikan dan sogokan dengan wang jutaan ringgit ini akan terdedah juga.

ADUN BUKIT SELAMBAU KEDAH BUAT LAPORAN POLIS
ADUN Bukit Selambau Kedah, Arumugam a/l Vengatarakoo menyatakan perkembangan peristiwa yang menimpa 2 orang teman exco PKR di Perak telah menyebabkan beliau tampil untuk membuat kenyataan akhbar.

Antara insiden-insiden yang melibatkan ugutan jenayah adalah cubaan menculiknya pada 17/10/2008, mengugunya melalui pegawainya melalui beberapa panggilan telefon yang antaranya pada 31/3/2008, mengugut keselamatan keluarganya, insiden memecahkan cermin kereta rasmi exco kerajaan negeri model Proton Perdana no BKL 4000 dengan meninggalkan nota ugutan yang diikat pada seketul bata pada 17/12/2008, dan juga menghantar beberapa beberapa individu untuk memujuknya keluar dari Parti Keadilan Rakyat, yang terbaru sekali beberapa hari yang lalu, dengan beberapa tawaran lumayan.



Culik: Najib Terlibat Secara lansung!

Datuk Seri Anwar hari ini mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, terlibat secara lansung di dalam drama kehilangan dua exco PKR Perak sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, menurut berita terbaru MSTAR, dua ADUN yang dikatakan akan membuat sidang media khas petang ini tidak muncul sebaliknya, pegawai khas bagi salah seorang menafikan wakil rakyat berkenaan TELAH meletakkan jawatan.

ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu pula membuat laporan polis di Shah Alam tengah hari tadi.

Firdaus Baharudin, yang mendakwa beliau sebagai pembantu khas kepada ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi, wakil rakyat itu tidak hadir pada sidang media itu kerana kurang sihat.

Bagaimanapun beliau dalam perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur.

Ulasan Datuk Seri Anwar mengenai episod terbaru

Pertama, babak kehilangan menggerunkan kerana mengingatkan tragedi Altantuya dan detektif Bala yang ada kaitannya dengan tokoh yang sama. Dalam babak terbaru ini, Datuk Seri Najib terlibat secara langsung! Malah dalam ucapan menyambut kemenangan calon PAS Kuala Terengganu, saya telah menjangka tindakan lebih ganas oleh pimpinan UMNO-BN. Jika ikhlas dan benar pendirian mereka, mengapa harus menghilangkan diri? Bedakan dengan pendirian Datuk Nasa di Bota!

Kedua, PM Datuk Seri Abdullah kongkalikong mengalu-alukan kehadhiran mereka kedalam UMNO walhal beliau dan kelompoknya membebel soal tidak bermoralnya langkah tersebut!

Ketiga, apakah lompatan terbaru melibatkan sogokan wang dan ugutan pendakwaan rasuah yang terdahulu? Datuk Seri Najib perlu menjawab kerana penglibatan beliau memujuk kedua ADUN tersebut.

Akhirulkalam, kita yakin inshaallah dengan suara rakyat. Jentera kita harus bersedia bertarung di gelanggang Perak.

Blog Datuk Seri Anwar juga di dalam postingnya yang terbaru memuatkan pendedahkan Ketua PKR Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda, di dalam satu AKUAN BERSUMPAH yang telah mengadakan satu pertemuan dengan Datuk Seri Najib dan telah cuba disogokkan dengan wang sebanyak RM50 juta bagi memujuk ADUN-ADUN PKR menyertai UMNO.



Sementara itu keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berhubung kekosongan dua kerusi - Changkat Jering dan Behrang - yang akan membuka laluan untuk pilihan raya kecil - adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tindakan ADUN terbabit, Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi selama lima hari dengan sendirinya telah memaksa Speaker untuk membuat keputusan itu.

Kata beliau, surat peletakan jawatan tersebut sah walaupun tidak bertarikh semasa ditandatangani memandangkan kedua-dua mereka mengetahui kandungan dan kesan yang akan mereka hadapi jika menandatangani surat itu.

"Mereka sedar dan tahu isi kandungan tersebut.

"Mereka juga bukan diacukan pistol ke kepala mereka untuk dipaksa menandatangani surat tersebut," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah dimaklumkan tentang kekosongan kedua-dua kerusi itu oleh Speaker DUN pukul 8 pagi tadi.

"Ke mana mereka selama lima hari ini? Jika benar mereka telah menyertai Umno sekali pun, maklumkan kepada kerajaan negeri.

Perak: Kemungkinan Selepas Ini...

Menteri Besar Perak YAB Datuk Seri Nizar Jamaluddin diterima mengadap oleh DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan kira-kira jam 10 pagi tadi di istana Kinta di sini.

Difahamkan YAB DS Nizar telah menunjukkan semua dokumen berkaitan dengan pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering kepada DYMM Tuanku.

Di dalam satu perkembangan lain pula Speaker Kerajaan negeri, V.Sivakumar telah memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya Negeri Perak mengenai peletakan jawatan dua ADUN berkenaan.

Jika pengosongan dua kerusi tersebut menerima perkenan Sultan Perak, SPR perlu pilihanraya kecil di dalam tempoh 60 hari.

Apa kemungkinannya selepas ini?

Berdasarkan majoriti kemenangan PKR ke atas BN di kedua-dua kerusi Behrang (1027) dan Changkat Jering (1102), dengan senario dan perkembangan politik semasa, Pakatan Rakyat tidak menghadapi banyak masalah besar untuk mengekalkan majoriti berkenaan.

Bagi UMNO, pertarungan yang akan berlaku dalam tempoh enam puluh hari itu adalah lebih kurang sama tempoh dengan Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac depan.

Ini bererti besar kemungkinan UMNO akan "memboikot" pilihanraya kecil tersebut tidak dapat disangkal. Pertama, tidak mungkin untuk mereka "bertarung" di dalam keadaan rumahtangga mereka masih kucar-kacir waktu itu. Dan yang kedua di dalam keadaan gelombang tsunami rakyat yang masih menolak UMNO/BN peluang kemenangan terlalu tipis buat BN/UMNO berdasarkan catatan keputusan 2 pilihanraya kecil yang berlaku selepas PRU12 iaitu Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang menyaksikan UMNO/BN diaibkan begitu teruk.

Memasuki gelanggang pilihanraya kecil di saat itu adalah umpama menyorong leher mereka untuk disembelih.

Justeru itu pilihan kemungkinan yang ada bagi UMNO ialah akan mengambil sikap untuk mencabar di mahkamah dengan melakukan pembelaan ke atas dua exco PKR jika mereka sudah bersetuju untuk menyeberang ke parti UMNO bagi mengharapkan mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihanraya kecil berkenaan tidak sah dan memulangkan semula dua kerusi berkenaan kepada ADUN berkenaan.

Ini berdasarkan precedent mahkamah di mana Mahkamah Agung pada tahun 1992 memutuskan dalam kes Nordin lwn DUN Kelantan, undang2 yang memaksa mana-mana ADUN mengosongkan kerusinya hanya kerana ahli itu melompat parti..."adalah bertentangan dgn Perlembagaan Persekutuan - Perkara 10(1)(c) :

In April 1992, the Supreme Court in Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan, held that the law forcing an assemblyman who changed his party after his election to the legislature, to vacate his seat, was unconstitutional as it conflicts with the fundamental right provided under Article 10 (1) (c) of the federal constitution which guarantees all citizens freedom of association, including their right to dissociate with any association.

Ia menjadi persoalan "legislation" dan persoalan "masa" yang pada ketika itu nanti teraju pimpinan negara mungkin sudah berubah. Najib mungkin sudah menjadi PM.

Koh Tsu Koon, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan ini semula dimulakan oleh PKR, bukan BN. Beliau menduduh langkah YB Nasaruddin Hashim yang melompat ke PKR menjadi punca utama kepada kemelut yang berlaku, tetapi beliau melupakan fakta bahawa YB Nasaruddin masuk ke PKR tanpa sebarang "penculikan", tanpa sebarang ugutan tidak seperti ADUN Behrang dan Changkat Jering berkenaan.

Husam Musa seperti yang ditulis di dalam blognya cetusanhati menyatakan:

"Terpulang kepada penyokong PR untuk bekerja keras mengekalkan kedua kerusi ini. Saya yakin, dengan situasi semasa, Insya Allah, segala agenda kotor BN boleh dipatahkan.

"Anda mungkin bertanya apa perbezaan antara langkah yang diambil oleh ADUN Bota dengan pengurungan dua Adun PKR oleh pihak atasan yang terdesak? Jawabnya ialah kerelaan," katanya.

Selepas Adun Bota mengumumkan menyertai PKR, beliau bebas bergerak ke sana ke mari tanpa perlu dikurung. Ini kerana keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri tanpa paksaan, katanya.

"Dua Adun PKR pula hilang, tak dapaat dihubungi, mungkin diugut, mungkin dipaksa dan di blackmailkan. Unsur kerelaan tidak nampak wujud. Ia dengan itu tidak terhormat. Penuh putar belit cara biasa BN," tulisnya.



Maruah BN dan "Penculik" Sehina Tong Najis

Drama "penculikan" 2 orang exco Perak berakhir dengan meletakkan maruah dan kredibiliti UMNO(BN) serta pihak yang menculik yang telah melakukan kerja kotor tersebut berada di tong najis layaknya.

Taktik kotor tersebut sebenarnya telah terdedah dengan jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahamd Badawi seperti yang tersiar di dalam media arus perdana (bercetak dan eletronik) yang semalam mengesahkan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Ini jelas menunjukkan "sememangnya wujud konspirasi menculik dan percubaan untuk memaksa kedua-dua exco Perak dari PKR berkenaan supaya menyertai UMNO."

Tetapi dengan surat perletakan jawatan tanpa tarikh yang telah ditandatangani oleh kedua-dua ADUN berkenaan menyebabkan segala perancangan dan perencanaan gila dan kotor UMNO itu tidak menjadi kenyataan apabila Speaker mengumumkan perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan sehingga muncullah kedua-dua ADUN tersebut dengan cara tergesa-gesa membuat penafian yang sebelum ini membisu tatkala berada di dalam "jagaan" pihak tertentu.

Timbalan Speaker Perak dari DAP, Hee Yit Fong yang turut dilaporkan hilang. juga tiba-tiba juga muncul selepas kejadian tersebut. Persis seolah-olah "kebetulan" yang terlalu banyak. Kenyataan beliau pula kebetulan seiring dengan kenyataan Ong Tee Keat Presdiden MCA yang menyatakan tidak akan menerima wakil rakyat daripada parti lain yang berhasrat menyertai parti itu. Hee pula tampil dengan kenyataan berikut

"Saya tidak hadir mesyuarat tergempar hari ini (semalam) yang diadakan oleh Menteri Besar sebab saya kurang sihat dan menutup telefon saya".

Dalam pada itu juga beliau menyelar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang tidak menyiasat sebelum mengeluarkan kenyataan petang tadi.

"Lim tidak menghormati saya dan saya telah berada dalam parti ini selama 22 tahun."

Apa yang berlaku sebenarnya ialah anda sendiri tidak menghormati rakyat Perak yang pada waktu itu anda mengetahui keadaan politik Perak di dalam keadaan yang yang cuba dikucar-kacirkan oleh UMNO/BN.

Sama seperti Jamaluddin Mat Razi dan Osman Jailu orang seperti Hee Yit Fong tidak layak untuk menjadi wakil rakyat kerana tiada perasaan tanggungjawab untuk mempastikan kedudukan Pakatan Rakyat di Perak sentiasa kukuh dan tidak tergugat oleh anasir yang cuba mempeorak-perandakannya.

Akhbar media massa menggambarkan apa yang berlaku di Perak sebagai satu keadaan yang kelam-kabut, kecoh, "chaos", genting dan seumpamanya sedangkan BN/UMNO yang sebenarnya telah gagal untuk menimbulkan suasana yang lebih buruk daripada itu di Perak.

Rupa-rupanya sudah ada "grand design" untuk setidak-tidaknya untuk mengkelam-kabut kerajaan Perak apabila dilaporkan dan difahamkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali akan menghadap Sultan Perak hari ini dipercayai berhubung ‘pembentukan kerajaan negeri baru.’

Tu dia! Perancangan licik Timbalan Perdana Menteri yang telah mengambil-alih jawatan Pemangku Pengerusi UMNO Perak dari tangan Tajol Rosli bagi meletakkan UMNO/BN sebagai sebuah kerajaan negeri secara tidak bermaruah di Perak.

Rakyat juga "membaca" kehilangan tiga orang ADUN UMNO, Datuk Ahmad Pakeh Adam (Lintang), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) daripada menghadiri mesyuarat tergempar UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib sebagai salah satu skrip yang ada di dalam drama culik-menculik ini.

Setidak-tidaknya untuk salah satu dari dua tujuan ini:

Pertama, "jika PKR hilang wakil UMNO juga hilang - jadi apa yang nak dibising-bisingkan?"

Atau kedua, bagi mempastikan ketiga-tiga orang yang pernah membuat kritikan terhadap kepimpinan UMNO Perak ini tidak melakukan U-turn seperti yang dilakukan oleh Datuk nasaruddin Hashim, ADUN Bota yang telah berhijrah ke Pakatan Rakyat.

Wamakaru, wamakarallah wallahukhairul-maakiriin.

Perak: Apa Selepas Ini?

Tindakan Speaker yang mengumumkan perletakan jawatan dua orang exco PKR adalah tepat yang dengannya telah menyebabkan kedua-dua exco berkenaan dikeluarkan dari tempat persembunyian mereka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kedua-duanya menafikan telah menghantar surat perletakan jawatan tetapi kedua-duanya tidak menafikan pernah menandatangani surat perletakan jawatan tanpa tarikh selepas memenangi pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

Semasa menandatangani surat tersebut pada 8 Mac lalu, sepastinya mereka penuh berkesadaran akan implikasinya, dan menerima risiko seandainya berpaling tadah.

Seperti sekeping cek kosong yang ditandatangi sekalipun tanpa tarikh, ia boleh ditunaikan di bank dengan pembawanya menulis tarikhnya bila masa cek itu perlu ditunaikan.

Sewaktu negara sedang sibuk menjejaki mereka, mereka berdua membisu, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan, malah daripada kenyataan adik salah seorang dari mereka menyatakan abangnya telah keluar dari PKR. Ini diperkuatkan kenyataan Perdana Menteri yang mengiyakan kemungkinan kedua-dua mereka menyertai UMNO/BN.

Justeru apa selepas ini? Perak kusut? Oh tidak. Speaker pada bila-bila masa boleh menarik balik perisytiharannya apatah lagi jika perisytiharan rasmi belum dikemukakan kepada pihak SPR.

Kedua, tindakan kedua-dua exco PKR ini perlu di siasat dan diselidiki dengan teliti. Apakah sebenarnya yang telah berlaku. Tidak cukup untuk menerima alasan mereka menyatakan cuti sakit. Tidak mungkin satu perkara yang "kebetulan" dua-dua yang menghadapi tekanan pertuduhan rasuah tiba-tiba kedua-dua sakit pada hari yang sama dan pulih pada masa yang sama.

Ketiga, mereka perlu dilucutkan jawatan exco kerana gagal untuk melaporkan kepada Ketua Kerajaan, di dalam konteks ini, Menteri Besar Perak, terhdap kehilangan mereka. Surat cuti sakit tidak dihantar ke Menteri Besar tetapi dikatakan diletakkan di pejabatnya. Siapa mengajarnya berbuat begitu? Perlucutan jawatan exco tidak boleh dipertikaikan kerana ia hak mutlak kepimpinan PR dan sekali lagi di dalam konteks ini MB Perak yang mempunyai bidangkuasa itu.

Keempat, mereka perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat yang telah menyebabkan kekecohan ini sehingga memaksa Speaker mengumumkan perletakan jawatan mereka kerana tidak mungkin sesuatu kawasan terbiar kosong tanpa wakil rakyat apa tah lagi mereka gagal untuk menghubungi pimpinan PKR sewaktu "kehilangan" mereka.

Kelima, mereka perlu bertindak jujur dengan memberitahu apa sebenarnya yang berlaku dan bukan mencipta helah sekadar menyatakan sakit. Apa yang nyata tindakan mereka yang berdiam diri sebelum ini benar-benar merupakan satu penyakit dan mereka perlu meminta maaf kepada rakyat sebelum mereka dihumbankan oleh rakyat sepertimana rakyat telah menghumbankan UMNO/BN sebelum ini!

Kuasa rakyat kuasa keramat!
Video akan menyusul