2 Feb 2014

[MENGEJUTKAN] Fenomena Melayu Paling Ramai Minta Sedekah / Angpow Di Tokong


pelik, rumah ibadat penuh ALOR SETAR - Gara-gara kesesakan pelik, sekali gus mencurigakan!

Niat melakukan tinjauan Sambutan Tahun Baru Cina terbantut, apabila Sinar Harian menyaksikan lebih 100 orang berbagai bangsa berkumpul di sekitar rumah ibadat di Simpang Kuala, dekat sini, semalam.

Rupa-rupanya, golongan tertentu dipercayai pengemis, gelandangan, orang miskin, peminta sedekah dan bangsa asing ini berkumpul menantikan pemberian wang angpau dilakukan di hadapan rumah ibadat terbabit.

Sungguh menyedihkan, apabila segelintirnya berkerusi roda sambil membawa satu bekas minuman kosong, malah ada juga yang berpakaian lusuh sambil membawa anak kecil duduk di atas tikar mengkuang.

Penduduk tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Noridah, 40, berkata, dia bersama beberapa penduduk tempatan menyaksikan golongan terbabit dipercayai sudah berkumpul di sekitar rumah ibadat terbabit sejak malam 30 Januari lagi.

“Golongan terbabit bukannya bersembahyang di dalam rumah ibadat berkenaan, sebaliknya menunggu pemberian wang angpau. Tak kira umur, bangsa mahupun jantina semuanya ada. Peliknya, majoritinya dilihat adalah berbangsa Melayu.


“Entah datang dari mana sebahagiannya, sebab ada segelintir dilihat bukan penduduk tempatan. Bayangkan, kalau dari malam semalam (kelmarin) mereka sudah berkumpul di kiri kanan laluan ini, jadi di mana mereka tidur,” katanya.

Lantas, Sinar Harian turut duduk bersama segelintir golongan terbabit lebih kurang 30 minit untuk mengetahui keadaan sebenarnya dengan lebih lanjut, sambil menyamar sebagai peminta sedekah.

“Kalau, adik nak duit. Adik duduklah di jalan bertentangan mak cik. Bahagian sini, kami dapat beras. Sumbangan diperoleh sedikit sebanyak meringankan beban kami,” katanya ketika ditanya tujuan mereka berkumpul.

Bagaimanapun, sepasang suami isteri yang sempat diajak berbual berkata, pemberian wang kepada peminta sedekah yang berkumpul di hadapan rumah ibadat terbabit bertujuan amal.

“Aktiviti memberi wang angpau dilakukan setahun sekali bersempena Tahun Baru Cina. Ia dianggap sebagai kerja amal demi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, sesiapa yang berkemampuan akan memberi wang kepada golongan tertentu yang berkumpul di kawasan berkenaan selepas keluar bersembahyang dari rumah ibadat terbabit.

Menurutnya, dia sekeluarga turut menghulurkan sedikit wang derma, namun hanya buat mereka yang tidak larat dan cacat sahaja kerana kebanyakannya dilihat masih mampu bekerja. -SH

ULASAN GB

Pendedahan di atas memang mengejutkan. Langkah tokong berkenaan mengagihkan bantuan kepada golongan daif memang terpuji, dan tiada pula niat untuk mengeji dan menghina umat Islam yang beratur sebagai peminta sedekah kerana ada kemungkinan benar bahawa mereka adalah dari golongan yang amat memerlukan bantuan.

Namun satu perkara yang bermain di benak iaitu apakah dan dimanakah peranan MAIK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama ini?

Ia juga menimbulkan satu persoalan, masjid-masjid pun tidak pernah melakukan untuk mengagihkan bantuan tanpa mengira kaum dan agama sepertimana yang dilakukan oleh tokong berkenaan.

Dimana silapnya?

Kecoh Saja Lebih, Penakut Rupanya Noh Omar Ni...

Noh Omar tidak sertai Forum RTM1 tindakan penakut

SHAH ALAM 1 FEB: Tindakan Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar tidak menyertai forum bersama Pemuda PAS di RTM1 malam kelmarin menerima kecaman pelbagai pihak yang menganggapnya tindakan penakut.

Forum anjuran RTM itu yang dijadualkan disertai oleh Noh itu hanya disertai bekas Ketua Wira Perkasa merangkap Exco Pemuda Umno, Armand Azha.

Hasilnya dalam forum malam kelmarin, Suhaizan Kaiat terpaksa berdepan dengan tiga yang lain iaitu moderator dan dua lagi penal termasuk Armand.

“Maka sah dan terbuktilah Noh Omar memang takut nak berdebat macam Umno Sabak Bernam bersama pemudanya sekali. Cakap saja lebih buatnya tidak pernah.

“Jika dengan Suhaizan Kayat yang ‘cool’ pun anda tidak berani, bagaimana pula anda nak berdepan ‘gedebe’ Khalid Samad?,” tulis Facebook Dewan Pemuda PAS Sabak Bernam.

Semasa Sinar Harian membatalkan debat beliau dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Noh Omar telah datang ke pejabat Sinar Harian dengan marah-marah kerana kononnya beliau sudah bersedia dengan debat itu.

Sementara itu menurut blog,omakkau.blogspot.com, menyatakan sepatutnya masa inilah peluang terbaik Noh untuk mematahkan hujah Ketua Pemuda PAS Pusat itu.

“Cakap kat luar bukan main samseng gedebe berdegar-degar macam nak terbalik dunia ajak Khalid Samad berdebat dalam isu Kalimah Allah.

“Bila Sinar Harian batalkan mengamuk sakan konon dia sudah bersedia. Yang mudah untuk dipulas pun dia (Noh) lari mencicit sampai tidak cukup tanah,” katanya. -selangorku


Noh Omar tidak sertai forum bersama Pemuda PAS di RTM1


Setelah marah-marah kerana debat beliau dengan Khalid Samad dibatalkan oleh Sinar Harian, Datuk Sri Noh Omar tidak menyertai forum dengan Ketua Pemuda PAS malam tadi.

Forum anjuran RTM yang dijadualkan disertai oleh beliau itu hanya disertai bekas Ketua Wira Perkasa merangkap Exco Pemuda Umno, Armand Azha.

Hasilnya dalam forum malam kelmarin, Suhaizan Kaiat terpaksa berdepan dengan tiga yang lain iaitu moderator dan dua lagi penal termasuk Armand.

Semasa Sinar Harian membatalkan debat beliau dengan ahli parlimen Shah Alam, Noh Omar telah datang ke pejabat Sinar Harian dengan marah-marah kerana kononnya beliau sudah bersedia dengan debat itu.

Dalam forum malam kelmarin, Suhaizan membuat penegasan untuk memberikan sokongan penuh kepada calon PKR di Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengaku, Pemuda PAS memberikan kenyataan agak keras kerana keliru dengan perletakan jawatan Adun Kajang.

Namun selepas mendapat penjelasan, mereka mengambil keputusan untuk menyokong penuh pencalonan Anwar di situ.

Katanya, semua pihak perlu ingat PAS adalah sebuah parti yang terbuka kepada pandangan dan teguran daripada ahli-ahlinya tetapi akan patuh dan wala' selepas keputusan diambil oleh pucuk pimpinan parti.
- TMI


"Rekonsiliasi Nasional" Hanya Untuk Selamatkan Najib Dari "Isu Kangkung"


Perbincangan rekonsiliasi selamatkan Najib daripada disingkir?

Tawaran pendamaian Pakatan Rakyat (PR) dengan saingannya Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan masalah perkauman dan ekonomi juga dapat membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada musuh dalamannya yang mahu menyingkirkannya.

Pemimpin kanan PR membuat spekulasi tawaran berunding bagi mencari persamaan berhubung isu peningkatan kadar inflasi, jenayah dan rusuhan kaum membantu Najib menangani puak ultra Melayu yang wujud di dalam Umno.

Pada masa sama, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyifatkan percaturan di Kajang meskipun tidak popular dapat mengukuhkan kebolehan Najib memulakan rundingan pendamaian dengan PR.

Rafizi adalah “arkitek” dalam pencaturan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kajang bagi membolehkan ketua pembangkang itu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang dikatakan kemudiannya akan mengambil alih jawatan menteri besar.

Rafizi mengandaikan persetujuan Najib untuk rundingan pendamaian adalah sebagai penyelamat bagi puak yang cuba menjatuhkan kedudukan perdana menteri itu.

"Anwar konsisten sejak awal lagi (berhubung rekonsiliasi). Bukannya kerajaan perpaduan. Biarkan pendekatan politik yang menentukan.

"Tetapi di sana ada kebuntuan. Najib melengahkannya dan menunggu keadaan yang sesuai. Saya berani mengatakan percaturan di Kajang memberi peluang kepada Najib untuk melihat perubahan.

"Jika kami menolak tawaran rekonsiliasi maka kami akan dilihat kehilangan sentuhan kerana PR melihat isu ini secara serius,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Najib tempoh hari mengumumkan BN terbuka kepada dialog dua hala dengan PR, tiga hari selepas Anwar mengulangi tawaran rekonsiliasi.

Tawaran Anwar meminta kedua-dua belah pihak mencapai konsensus nasional berhubung ketegangan hubungan antara kaum yang disifatkannya pra 13 Mei.

Sehari selepas ucapan Anwar itu, Adun PKR Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

Rafizi berkata, kedudukan Najib perlu diperkukuhkan bagi membolehkan perdana menteri itu mengukuhkan rasa tidak adil dan ekstremis dalam Umno.

Katanya, sejak pilihan raya umum lalu, doktrin Umno yang mengutamakan sokongan Melayu Islam telah mengenepikan suara pengukuhan etnik dan kerajaan pelbagai kaum.

Ini berlaku sejak banyak kerusi yang dimenangi Umno di kawasan majoriti Melayu di kawasan pedalaman negara.

"Doktrin kerajaan berdasarkan satu kaum telah dipromosikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


"Saya tidak bercakap demi kepentingan Najib tetapi membina kepercayaan Umno terhadap pengukuhan kerajaan Malaysia.

"Beliau telah diserang secara dalaman kerana mengutamakan kaum minoriti," katanya. -TMI


Rekonsiliasi Nasional hanya mainan bibir sahaja


Rekonsiliasi Nasional sudah mula menjadi isu yang hangat diperbincangkan sekarang ini. Istilah ini mula kedengaran hanya beberapa minit selepas BN mengumumkan pembentukan kerajaan selepas memenangi kerusi yang ke 112 malam selepas pilihanraya yang lalu oleh PM Najib. Najib dalam pengumuman ringkas pembentukan kerajaan itu sempat berkata yang kekurangan kerusi yang dimenangi oleh BN itu adalah oleh kerana tsunami Cina, dan kita memerlukan rekonsiliasi nasional secepat yang mungkin.

Tetapi baru tiga empat hari ini sahaja Najib bercakap tentang isu itu setelah hampir setahun pilihanraya itu berlalu. Sebelum Najib bercakap untuk melakukan sesuatu untuk menuju kearah rekonsiliasi nasional itu beberapa hari yang lepas, ada pihak-pihak yang telah memberikan cadangan itu termasuk lah parti-parti pembangkang, PKR dan DAP.


Kata DAP dan PKR rekonsiliasi nasional itu amat perlu memandangkan isu perkauman dan agama yang semakin hari semakin merasuk politik negara dan akan membawa negara ke arah anarki dan berbagai-bagai bahaya yang mungkin timbul jika isu-isu ini tidak dapat diselesaikan. Mungkin DAP dan PKR mengambil kesempatan diatas kelemahan Najib dan barisan kepimpinan beliau sekarang ini yang mungkin lebih mudah untuk memaksa Najib ke meja rundingan dan mengambil kesempatan diatas kelemahan yang dihadapi Najib kini.

Di sebelah pihak Najib pula mungkin juga inilah waktu yang sesuai untuk bercakap tentang isu ini bagi mendapatkan aura yang baru bagi dirinya yang begitu lemah dan menggunakan isu perpaduan nasional itu menjadi isu untuk memulihkan sokongan ramai.

Sokongan terhadap beliau yang kini hanya tinggal sedikit sahaja, itu pun dikalangan pemimpin yang mendapat keuntungan peribadi mereka sahaja yang masih bersama beliau dalam kepimpinannya sekarang ini.

Keinginan kedua-dua belah pihak untuk bersemuka untuk tujuan rekonsiliasi ini tentulah didorongkan oleh sesuatu, dan saya tetap beranggapan ia adalah oleh kerana keinginan pemimpin kedua-dua belah pihak yang sudah mahu mendapatkan apa yang masing-masing mahukan. Dipihak BN ia tentulah didorong oleh kemahuan untuk menyambung kuasa dan dipihak pembangkang pula ialah untuk mendapatkan kuasa yang sudah lama di idamkan mereka dan mereka sudah begitu lama menjadi 'kembiri politik' yang tidak berkesudahan.

Selama ini apa yang menyebabkan rakyat begitu ‘detached’ dari parti atau kerajaan yang memerintah ialah kerana rakyat tidak dibawa bersama dalam perlaksanaan atau penggubalan sesuatu dasar kerajaan itu. Setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan itu hanya dirundingkan sesama sendiri dan mengumumkan sesuatu tindakan dan dasar itu yang tidak diambil kira perhatian dan pandangan rakyat yang biasa.

Dalam menentukan sokongan dari rakyat ramai semua perkara yang hendak kita lakukan wajar mendapat ‘feedback’ dari rakyat dahulu. Apabila terlaksana dasar yang telah ditetapkan itu, tidak akan ada lagi atau sekurang-kurangnya penolakan rakyat akan berkurangan.

Sebelum pentadbiran Mahathir dahulu setiap perkara yang hendak dilakukan terutamanya yang melibatkan rakyat ramai, Jabatan Penerangan Daerah memainkan peranan yang penting melalui kursus sivik setiap hari mengikut giliran kampung dan JKKK di setiap daerah itu. Semasa kurus sivik itulah Jabatan Penerangan akan mendapat ‘feedback’ rakyat dan setiap isu yang ditimbulkan oleh rakyat melalui Jabatan Penerangan itu akan membolehkan kerajaan memahami apa pendapat dan perasaan rakyat terhadap perkara yang hendak dilaksanakan kerajaan itu.

Itu sebabnya banyak yang dilaksanakan oleh kerajaan itu tidak mendapat bantahan yang banyak dari rakyat biasa kerana ahli-ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung merupakan pentadbiran kerajaan yang terendah dimana rakyat ramai ditadbir. Rakyat merasakan yang mereka tidak dipinggirkan dalam melaksanakan sesuatu dasar itu dan merasakan yang mereka ada sebahagian dari penentu perlaksanaan sesuatu dasar itu.

Tetapi sejak tiga puluh tahun dahulu Jabatan Penerangan Daerah ini tidak lagi berfungsi seperti itu, malahan mereka adalah pegawai yang paling ‘under employed’ dan tidak diberikan fungsi dan peranan yang sepatutnya dalam perlaksanaan sesuatu dasar kerajaan itu. Dengan itu rakyat merasakan terpinggir dan tidak mempunyai tanggungjawab untuk memberikan sokongan kepada kerajaan kerana mereka samada tidak faham dengan apa yang kerajaan lakukan atau merasa terpinggir dari arus pembangunan negara.

Dalam isu rekonsiliasi ini adalah amat penting bagi kerajaan membawa rakyat bersama dalam melaksanakannya kerana 'feedback' rakyat itu amat penting untuk difahami. Saya masih teringat dipenghujung tahun tujuh puluhan dahulu, Jabatan Penerangan telah memberikan penerangan tentang apa yang dikatakan dan difahami tentang slogan 'Muhibbah’ yang kita ramai masih percaya yang slogan iitu sahajalah yang boleh menjadi slogan yang relevan bagi matlamat rekonsiliasi yang heboh diperkatakan ini.

Sebenarnya semuanya telah disediakan oleh pimpinan terdahulu dengan dasar-dasar yang boleh diguna pakai untuk jangka masa yang panjang yang mampu melepasi sempadan masa setidak-tidaknya lebih dari lima dekad. Tetapi oleh kerana permainan politik masing-masing mahukan masing-masing mempunyai identiti pentadbiran yang berbeza dengan tujuan untuk menunjukkan kelainan dari pentadbiran sebelumnya.

Maka terlupalah kepada satu slogan yang boleh dipakai sepanjang masa bagi negara yang mempunyai berbagai-bagai kaum dan cara hidup ini, iaitu slogan Muhibbah yang didasarkan oleh kerajaan pimpinan Tun Razak dahulu. Sekarang ini nyata kita berperang untuk melangsungkan hidup bermuhibbah dalam negara kerana kepincangan kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum sekarang ini amat menakutkan ramai.

Itu sebabnya yang lama sahaja yang benar dan lebih hampir kepada matlamat asas kepimpinan negara iaitu perpaduan diantara kaum seperti yang termaktub didalam dasar ekonomi baru dahulu.

Kepada saya yang tidak mahu melibatkan mana-mana pihak, saya tetap merasakan yang usaha-usaha yang disebut sebagai rekonsiliasi nasional yang disebut-sebut dan diperhangatkan oleh kedua-dua belah pihak sekarang ini tidak akan kemana. Bagi saya ia hanyalah permainan politik berpartisan yang hanya bermatlamat kepentingan parti dan kepimpinan masing masing sahaja.

Masing-masing hendak mempergunakan isu ini untuk kepentingan sesuatu kumpulan pemimpin sahaja. Pendeknya ia tidak akan kemana-mana. Ramai yang mungkin membidas saya tetapi saya tidaklah hendak mengambil 'pot' dengan bidasan mereka nanti kerana saya yakin kebenaran akan timbul juga akhirnya.


Bidaslah, katalah apa yang hendak dikatakan. ‘National Reconciliation’ yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin BN dan pembangkang sekarang ini hanyalah retorik yang begitu kosong dan hampa semata-mata. Bak saya kata selalu, kita boleh 'menyelam air di dalam tunggak' dengan mudah.

Ia setakat untuk mendapatkan tajuk nyanyian yang baru yang akan dinyanyikan semasa pilihanraya kecil Kajang itu sahaja. Ia hanya akan menjadi nyanyian seniman dan seniwati atau biduan dan biduanita dari DAP, PKR dan UMNO sahaja semasa diatas pentas pilihanraya kecil itu nanti….tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Dalam PRK itu nanti tidak tahulah siapa yang makan siapa.

Yang pasti rakyat akan diperhambakan kerana masalah parti masing-masing yang disaluti dengan nafsu yang besar untuk berkuasa sahaja.
- aspanaliasnet




ULASAN GB

Beberapa hari sebelum Najib mengumumkan "Rekonsiliasi Nasional", kabinetnya telah membincangkan satu isu panas - iaitu isu mengenai "lawak kangkung" yang telah menjadi berita antarabangsa dimana beberapa menteri dilaporkan berhujah: Putrajaya perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat lawak kangkung di internet.

Dilaporkan juga bahawa ada menteri mahukan tindakan terhadap mereka yang membuat lawak tersebut, akan tetapi tiada undang-undang yang boleh menghalang perbuatan tersebut.

Menteri-menteri berkenaan diberitahu Rang Jaminan Malaysia untuk Multimedia Super Corridor (MSC) menghalang penapisan.

"Lebih baik suruh sahaja kerajaan tutup Facebook, Twitter dan media sosial lain kalau nak hentikan lawak dan jenaka daripada tersebar," kata satu sumber kepada TMI.

Kemudian, selang beberapa hari selepas itu barulah keluar gagasan ROKONSILIASI NASIONAL dimana Najib menggesa semua pihak perlu bersedia berhenti daripada menyebarkan penipuan dan fitnah, serta menghentikan politik kebencian.

Dalam perkataan Najib sendiri: "Bagi semua mencapai ini, kita semua perlu berhenti menyebarkan penipuan dan fitnah, seterusnya menghentikan politik kebencian."

Umum mentafsirkan perkataan Najib itu sebagai menepis "lawak kangkung" yang ditujukan kepadanya sejak beberapa minggu yang lalu apabila beliau meminta orang ramai berterima kasih kepada kerajaan apabila harga sayur turun dan tidak hanya menyalahkan kerajaan apabila berlaku kenaikan harga barang.

Tiads kejujuran di pihak BN, walau ditelek dari sudut mana pun mengenai rekonsiliasi nasional, kononnya untuk menyatupadukan rakyat negara ini kerana, rentetan peristiwa yang berlaku menunjukkan UMNO bersama-sama NGO yang pro kepadanya seperti PEKIDA, PERKASA, ISMA, JATI, GPMS dan seumpamanya masih terus-terusan memukul gendang "nasionalisme sempit" dan meniupkan api perkauman. Malah sebelum ini telah dilaporkan PERKASA menerima peruntukan dana dari beberapa badan seperti MKN untuk menjalankan aktiviti-aktivitnya dan ini diakui oleh pemimpin PERKASA sendiri bahawa aktiviti mereka adalah untuk kepentingan UMNO juga.

Jari telunjuk lurus, kelingking berkait!

Kesimpulannya Rekonsiliasi Nasional" hanya satu escapisme untuk menyelamatkan kredibiliti dan air muka Najib yang telah hancur berderai kerana "isu kangkung ciptaannya sendiri.