14 Okt 2011

Kursus Keusahawanan? Jawapan Polis Meragukan, Menteri Diminta Jawab Hal Sebenar

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diminta menjawab isu enam bas yang dikatakan membawa warga asing dari Johor untuk menghadiri proses pemberian Mykad di sebuah resort berhampiran Putrajaya semalam.

Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberikan jawapan konkrit jika insiden itu benar-benar berlaku.

“Pas percaya ada proses pemberian Mykad di situ. Perkara itu amat mencurigakan dan menguatkan lagi keraguan kita bahawa ada sindiket terancang yang cuba memberi kerakyatan kepada warga asing, seterusnya didaftarkan sebagai pengundi pada pilihan raya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, pasukan perisik Pemuda Pas berada di kawasan berkenaan dan mendapati lebih 200 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh dibawa ke situ.

Salahudin berkata, KDN perlu menjawab isu ini dengan segera kerana perkara ini sangat penting.

“Kita tuntut penjelasan KDN. Apa sebenarnya yang berlaku di resort ini, kenapa ada enam bas dari Johor membawa warga asing? Tujuannya apa? Jelaskan juga mengapa ada pergerakan daripada pegawai kerajaan se-perti polis dan Jabatan Kesihatan yang mencurigakan di situ,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda Pas, Mohd Adram Musa berkata, mereka menyedari perbuatan berkenaan sejak kelmarin.

“Jam 7 pagi, kita dapati ada enam bas berhampiran Masjid Putra dan mereka kemudian dibawa ke sebuah resort di pinggir Putrajaya setelah menyedari kehadiran kami.

“Apabila masuk ke kawasan itu, saya dapati mereka warga asing dan mengatakan hadir ke situ untuk mendapat Mykad. Bagaimanapun ia bercanggah dengan ketua rombongan yang memberitahu warga asing ini dibawa untuk kursus keusahawanan,”
katanya.

Adram berkata, lebih banyak soalan diberikan lebih banyak jawapan yang bercanggah diterima.-SH

Sindiket IC: Alasan 'kursus usahawan' tak munasabah

KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman bahawa ratusan warga asing yang ditemui di Istana Dugang Country Resort kelmarin menghadiri kursus keusahawanan disifatkan sebagai tidak munasabah.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, alasan itu sama sekali tidak dapat diterima rakyat kerana tiada keperluan mereka mengikuti kursus tersebut kerana mereka memang tidak dibenarkan berniaga di Malaysia.

"Apakah seorang warganegara asing yang datang ke negara ini atas permit pertanian dibenarkan berniaga dalam negara kita? Sejak bila pula kerajaan Malaysia membenarkan pekerja buruh daripada kalangan warga asing dibenarkan berniaga di negara kita? soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Suhaizan turut membangkitkan beberapa persoalan yang menimbulkan kecurigaan dan mengesahkan dakwaan pemuda PAS bahawa warga Indonesia, bangladesh dan Kemboja itu dibawa ke resort tersebut untuk mengambil MyKad.

Warga asing itu juga dipercayai akan didaftarkan sebagai pemilih dalam pilihan raya umum ke-13.

Katanya, layanan yang diterima mereka sangat istimewa sehingga diberikan perkhidmatan pengangkutan dan bas secara percuma.


"Tidak munasabah warga asing ini diberi layanan kelas pertama untuk menghadiri kursus keusahawanan. Mereka diberi perkhidmatan bas dan resort. Badan kerajaan mana yang begitu bermurah hati membenarkan mereka berkursus?" soalnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Apa yang lebih melucukan katanya warga asing itu datang dari Johor ke Selangor semata-mata untuk berkursus selama lima jam sahaja.

Ini kerana jelasnya, menurut perjanjian dengan pemandu bas, perkhidmatan mereka diperlukan sehingga jam 1 tengahari Rabu, sedangkan warga asing tersebut tiba di Putrajaya pada jam 6 pagi hari yang sama.

Tambahnya, jika benar mereka menghadiri kursus keusahawanan, kenapa dalam waktu yang singkat sahaja iaitu dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari.

"Jika benar mereka berkursus keusahawanan 5 jam sahaja dengan jarak 800 KM, pergi dan balik daripada Johor Baharu ke Putrajaya, mengapa mereka tidak berkursus di Johor Baharu sahaja. Mengapa begitu istimewa warga asing ini dilayan oleh pihak tertentu dalam negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak polis agar tidak bersubahat melindungi penyelewengan yang melibatkan kedaulatan negara.-hd


"Zulkifli Bidas Pak Janggut" : Utusan Diarah Bayar Khalid Samad RM60,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan akhbar Umno, Utusan Malaysia membayar gantirugi RM60,000 kepada Khalid Samad kerana memfitnah ahli parlimen Shah Alam itu.

Keputusan itu dibuat hakim Dr Prasad Sandosham Abraham hari ini berhubung berita di muka hadapan akhbar itu bertarikh 11 Oktober 2009 yang bertajuk 'Zulkifli bidas Pak Janggut'.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang mewakili Khalid berkata, selain membayar RM60,000 itu, Utusan juga diarah membayar kos perundangan.

"Mahkamah arahkan Utusan membayar RM60,000 kepada Khalid Samad sebagai gantirugi kerana memfitnah.

"Utusan juga kena bayar kos yang jumlahnya akan ditaksir kemudian,"
katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Hakim juga memberi tempoh satu bulan kepada Utusan untuk mengemukakan rayuan.

Utusan pada 11 Oktober lalu melaporkan 'Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin membidas individu yang digelarnya Pak Janggut yang sanggup memutar belit ayat-ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam.'

Di dalam samannya sebelum ini Khalid menyatakan berita fitnah itu merujuk kepada beliau meskipun nama beliau tidak disebut.

Beliau menamakan Ketua Pengarang Utusan, penerbit dan pencetak akhbar itu, sebagai defenden dalam saman tersebut.

Ini kerana sebelum berita itu diterbitkan, beliau ada menulis surat kepada penduduk Seksyen 23 di mana di dalam surat tersebut Khalid ada menukilkan ayat-ayat Al-Quran bagi menegaskan perlunya umat Islam berlaku adil dalam isu pembinaan kuil di Sekyen 23 Shah Alam.

Hakim pada perbicaraan 30 September lalu, bersetuju bahawa artikel tersebut merujuk kepada Khalid dan hakim berkata tuduhan memutar belit ayat al-Quran adalah fitnah yang serius, lebih serius dari menuduh orang Islam sebagai Abu Jahal.

Pada 11 Oktober lalu, mahkamah telah mendengar hujah peguam kedua-dua pihak berkaitan isu gantirugi.

Khalid Samad yang juga AJK PAS Pusat diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Khairudin manakala Utusan diwakili peguam Mohan dari Tetuan Shafiee & Mohan. -hd


Laporan sebelum ini
klik untuk baca


khalid samad utusan


Pak Janggut



Ariel Sharon Dalam Neraka Dunia, Sudah 5 Tahun Koma

Semua kita tahu mengenai cerita Kamal Artaturk yang mati secara terhina sehingga bumi tidak menerimanya. Namun manusia terus berani menentang Allah. Terbaru Allah buktikan kekuasaannya seperti berlaku di zaman Firaun dan Qarun yg mana kedua mereka mati dalam keaiban.

Ariel Sharon telah banyak merosakkan bumi Palestin. Banyak air mata yang mengalir kerana kezalimannya dulu. Hari ini, Ariel Sharon bagaikan mayat hidup selepas 5 tahun koma. Sehinggakan media di seluruh dunia malu untuk menerbitkan gambar keadaannya. Kini Ariel Sharon yg berusia 82 tahun dikatakan mempunyai berat sekitar 15 kg sahaja.

Doktor yg merawatnya mengatakan Ariel Sharon akan terus koma sehingga 90 tahun. Dia dirawat di Hospital Hadassah di Jerussalem dan kemudian di Chaim Sherba Medical Center. Difahamkan Sharon telah dimasukkan ke bilik pembedahan untuk menyambung bahagian ususnya yg membusuk dan merebak ke seluruh bahagian lain.

Beliau dah jadi umpama mumia firaun. Terpenjara dalam jasad yang sudah membusuk. Subhanallah... ambillah pengajaran daripadanya agar kita terus bertakwa dan beriman kepada Allah... Amin... Tulisan: Norman Liverpool





Ulasan GB

Ia juga peringatan kepada manusia-manusia yang dengan beraninya menentang dan mempersendakan hukum Allah s.w.t.

Pemandu teksi pun nak dikenakan BN...

Jika boleh diungkapkan, inilah kemungkinan ayat kerajaan Barisan Nasional kepada para pemandu teksi; senada dengan watak Haji Bakhil yang mengherdik budak-budak yang berada di depan laman rumahnya, "Nah! Ambil gula-gula ini, pergi main jauh-jauh".

Perumpamaan dari satu daripada filem legenda P. Ramlee ini mudah difahami semua, setelah kita menghalusi Belanjawan kerajaan BN yang cuba menawarkan sesuatu kepada para pemandu teksi di negara ini.

Insentif yang dicadang untuk diberikan, sebagaimana yang ditawarkan oleh Najib Razak adalah:

* Pengecualian 100% duti eksais dan cukai jalan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

* Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jalan ke atas teksi berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik.

* Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet persendirian.

* Subsidi kadar faedah dua peratus untuk teksi baru buatan tempatan.

* Pemberian bantuan menggantikan teksi usang (RM3,000 bawah 7 hingga 10 tahun dan RM1,000 lebih 10 tahun)

* Kerajaan BN mendakwa semua insentif ini memberi manfaat kepada pemandu teksi bajet dengan penjimatan berjumlah RM7,560.

Jadi, apa pula kaitannya ungkapan Haji Bakhil dengan belanjawan BN ini?

Tampi padi untuk dapatkan beras

Pengumuman Najib selaku Menteri Kewangan itu sekadar mengurangkan sakit, seperti menelan pain killer, dan ianya bersifat sementara.

Kos-kos ini bukan sekadar kos berbentuk wang kertas kerana ia juga melibatkan birokrasi yang sangat rigid dalam proses-proses lain juga. Karenah birokrasi juga memakan kos iaitu masa dan tenaga, dan kadang kalanya melibatkan "duit kopi".

Dalam ilmu ekonomi, masa dan tenaga juga akan membawa makna wang, dan dalam bahasa seharian, semua orang tahu apa itu duit kopi.

Bagaimana pula dengan pemandu teksi yang tidak ada pilihan lain dalam hidup kecuali memandu teksi sebagai kerjaya mereka? Memang tiada jaminan bahawa karenah birokrasi untuk mendapatkan kelulusan membawa teksi ini tidak berlanjutan.

Cukai jalan telah pun diketahui bahawa jumlahnya sudah berpatutan dan murah. Ia bukan satu beban utama kepada pemandu teksi. Ibarat kata, seperti menawarkan diskaun kepada orang tua untuk menaiki LRT dan monorel atau jika imaginasi lebih jauh menjalar, menawarkan diskaun untuk rakyat membeli helikopter, mana-mana kerajaan mana pun sanggup berbuat begitu.

Respon pemandu teksi

Tinjauan selepas pengumuman Belanjawan BN mendapati salah seorang dari ribuan pemandu teksi di Lembah Klang telah sempat mengirim SMS, katanya "lepas ni aku tak nak 'kayuh' lagi la, duit sewa cab aku masih sama, bajet NR tak bagi impact sangat kat 'pilot' macam aku ni, penat je kayuh cab orang."

Bagi yang tidak begitu memahami bahasa SMS pemandu teksi…
"kayuh" - memandu/bawa teks
"cab" - teksi
"NR" - Najib Razak
"pilot" - pemandu teksi


Kekecewaan pemandu teksi ini rupanya masih berterusan sekali pun insentif kerajaan BN telah diumumkan. Kebanyakan mereka hanya pemandu, bukan pemilik. Yang memiliki teksi ialah syarikat-syarikat; mungkin yang ada kabel politik dengan parti pemerintah.

Tanda-tanda jika sesuatu pihak itu tidak ikhlas dan tidak jujur adalah kefahamannya dalam sesuatu situasi. Hairan bagaimana kerajaan BN yang dikatakan cukup sumber untuk mengkaji dan mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat, telah gagal memahami dan melaksanakan keperluan utama rakyat, dalam hal ini pemandu teksi.

Tawaran Pakatan Rakyat

Bukankah Pakatan Rakyat dalam Belanjawan Alternatifnya dengan tema Kesejahteraan Untuk Semua telah menunjukkan jalan yang mudah dan jelas tentang apa yang diinginkan oleh pemandu teksi - memberi permit penuh kepada pemandu teksi.

Ini bererti PR lebih faham keperluan dan kehendak rakyat, termasuk pemandu teksi. Bagi pemandu teksi, memiliki teksi sendiri adalah serupa seperti seorang petani atau peneroka FELDA mendapat hak milik tanah.

Pemandu teksi tidak mahu membawa kereta yang disewa dari syarikat kerana kos sewaan mahal, malah kerajaan tidak ada banyak kuasa untuk menentukan harga sewaan yang dikenakan syarikat tesebut. Kerajaan BN seolah-olah mahu pemandu teksi makan gaji semata-mata tanpa membenarkan mereka berdikari.

Kerajaan BN yang gah dengan sebegitu ramai penasihat dan perunding, termasuk dari luar negara yang dibayar berpuluh juta ringgit tetapi berpura-pura tidak faham masalah asas dan penting bagi pemandu teksi.

Mengapa permit hak milik teksi ini begitu liat mahu diberikan kepada individu pemandu teksi? Adakah kerana permit-permit ini hanya untuk syarikat yang sudah menjadi kuota kepada ketua-ketua bahagian UMNO?

Adakah kerana permit ini masih telah menjadi satu-satunya aset kaum Bumiputera yang mesti dipegang amanahnya oleh segelintir elit UMNO hingga menafikan hak-hak pemandu teksi Melayu sendiri? Malah pemandu teksi berketurunan Cina, India dan lain-lain juga menggigit jari sahaja.

Sekali lagi, terbukti Belanjawan BN 2012 hanya ingin mengabui mata golongan berpendapatan rendah (baca: Melayu) untuk jangka masa yang amat singkat, sekadar untuk UMNO dan BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Kalau ada yang masih kurang faham dengan politik UMNO-BN, selain dari tepuk dada tanya selera, luangkan sedikit masa untuk menonton filem klasik yang berwatakkan Haji Bakhil untuk kesekian kalinya. Mungkin ada ilham baru untuk rakyat yang semakin dihimpit tekanan kenaikan kos hidup. -Roketkini

Kazakhstan Larang Surau Dalam Pejabat Kerajaan

Almaty: Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev semalam meluluskan undang-undang ketat yang melarang surau dibina di dalam bangunan kerajaan, langkah yang dilihat bertujuan menyekat pengaruh militan tetapi dikecam ulama negara itu dan Barat.

Gambar: PM Malaysia Mohd Najib disambut oleh Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev sewaktu lawatannya ke negara tersebut baru-baru ini.

Nazarbayev, 71, memerintah Kazakhstan lebih 20 tahun sebagai pemerintah kuku besi sekular. Sehingga tahun ini, negara yang didiami seramai 70 juta penduduk Islam berusaha mengelak daripada keganasan yang dilihat berlaku di tengah Asia, negara bekas Soviet seperti Uzbekistan dan Tajikistan.

Bagaimanapun, pengeboman bunuh diri pada Mei dan penahanan kumpulan yang didakwa merancang keganasan pada Ogos meningkatkan kebimbangan kemunculan militan menyebabkan Nazarbayev melaksanakan undang-undang baru untuk mengekang kelompok ekstremis.

Undang-undang yang diluluskan itu mencetuskan perdebatan hangat. Artikel 7 melarang bilik solat di semua institusi negeri.

Mufti Kanan Kazakhstan, Absattar Derbisali, berkata undang-undang ini akan mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam dan meningkatkan kegiatan militan.

Undang-undang turut mensyaratkan semua institusi dakwah di negara itu mendaftar dengan pihak berkuasa setiap tahun.

Kumpulan hak asasi di Barat termasuk Organisasi untuk Kerjasama dan Keselamatan di Eropah, melahirkan kebimbangan mengenai sekatan kebebasan agama.

Antara langkah terbaru yang diambil untuk mengekang golongan militan ialah menyekat sementara laman web asing pada Ogos selepas mahkamah memutuskan yang mereka menyebarkan propaganda pengganas dan menyuntik kebencian agama. – Reuters

Ulasan GB

Sebut Kazakhstan, teringat bakal besan "dia".

Di Malaysia, surau dan masjid ada, tapi tazkirah tak dibenarkan, orang-orang UMNO tak apa.

Kerajaan Sorokkan Laporan Audit Untuk Rujukan Ahli Parlimen Bahas Bajet 2012

Ahli parlimen Pakatan Rakyat menimbang untuk mengemukakan usul khas bagi menuntut penjelasan kerajaan kerana masih belum mendapat laporan kewangan untuk tahun 2010.

Sedangkan pejabat ketua audit negara telah mengesahkan bahawa laporan audit itu telahpun siap, dakwa ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

"Mereka terkejut bila ahli parlimen belum dapat (laporan audit) sedangkan ia telah dihantar," kata Johari dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Jelasnya, beliau diberitahu demikian ketika menghubungi pejabat ketua audit negara semalam.

"Malah mereka gembira kerana mereka boleh siapkan laporan itu jauh lebih baik daripada tahun lepas," katanya.

Tambahnya, laporan berkenaan biasanya telahpun disediakan ketika menteri kewangan membentangkan belanjawan.

Macam mana nak bahas bajet

"Macam mana kita hendak bahaskan bajet jika kita belum lihat laporan sebelum ini," katanya lagi dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, perkara itu memalukan kerana perbahasan telahpun masuk hari keempat dan laporan itu masih belum diperolehi.

"Kalau sangkut di pejabat menteri, itu pelik kerana laporan itu perlu diserahkan kepada parlimen, bukannya ke pejabat menteri.

"Yang saya hairan, bagaimana ada negeri yang telah dapat laporan audit daripadada jawatan audit negara berhubung kewangan negeri tersebut.

"Selalunya akan dibentangkan (laporan) kerajaan pusat dan kerajaan negeri semuanya akan diberikan kepada kami," katanya lagi.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa negeri Kelantan telahpun mendapat laporan kewangan untuk negeri berkenaan.

Minta penjelasan PAC

Sementara itu ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof pula berkata, isu berhubung laporan audit itu telahpun ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbahasannya Isnin lalu.

"Beliau telah menempelak kerajaan kerana inilah kali pertama laporan audit tidak dibentangkan sebelum perbahasan.

"Tidak pernah berlaku di zaman (Anwar yang juga bekas menteri kewangan). Itupun, hingga sekarang tidak dibawa ke Dewan," katanya.

Tambahnya, speaker dewan boleh mencadangkan supaya perbahasan itu tidak dapat diteruskan selagi dokumen tersebut tidak diperolehi.

Ahli parlimen Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaafar dalam sidang media sama berkata beliau selaku ahli Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) juga tidak pernah menerima atau melihat apa-apa laporan audit.

"Saya rayu kepada pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid supaya buat penjelasan," katanya. -mk



Lagi Gadis Hilang Ikut Kenalan Facebook

Kangar – Seorang bapa runsing apabila anak perempuannya lari dari rumah dipercayai mengikut rakan lelaki yang dikenali melalui laman sosial, Facebook sejak tiga hari lalu.

Gambar: MOHD. SABRI bersama isterinya, Nur Hafizah Nordin (dua dari kiri) menunjukkan gambar Nurul Nur Syawaltie yang hilang dari rumah di Kangar semalam.

Menurut Mohd. Sabri Samat, 35, kehilangan anaknya, Nurul Nur Syawaltie, 14, disedari apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan di Sekolah Menengah Putra di sini Rabu lalu.

Ujarnya, dia kemudian menghubungi pihak sekolah, namun terkejut apabila dimaklumkan anak sulung daripada lima beradik itu rupa-rupanya tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.

“Saya hanya menjumpai basikal anak saya yang ditinggalkan di taman perumahan di sebelah sekolahnya.

“Selepas menunggu hingga lewat malam, dia masih tidak pulang ke rumah dan berikutan itu saya membuat laporan di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato Jaafar di sini semalam.

Mohd. Sabri berkata, dia mengesyaki kehilangan Nurul Nur Syawaltie ada kaitan dengan seorang lelaki berusia 20-an yang dikenali oleh anak gadisnya itu melalui Facebook.

“Sejak kebelakangan ini, dia kerap bermain Facebook dan sehari sebelum kejadian, saya terdengar dia berbual di telefon bimbit dengan rakan yang mengajaknya berjalan-jalan di Pulau Pinang,” ujarnya.

Malah, katanya, beberapa orang rakan sekolah Nurul Nur Syawaltie juga memberitahunya bahawa anaknya itu ada meluahkan rasa tidak gembira tinggal di Kangar melalui Facebook.

“Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di Pulau Pinang lebih lima tahun ketika saya bekerja di sana dan kami baru setahun tinggal di Kangar,” ujarnya.

Ujarnya, dia percaya anaknya itu menghilangkan diri bersama seorang lagi rakan sekolahnya yang dikenali sebagai Amira.

Katanya, orang ramai yang berjumpa atau mempunyai maklumat mengenai Nurul Nur Syawaltie diminta menghubunginya di talian 016-4871042 atau balai polis berhampiran. -kosmo


Anak hilang tinggal basikal

KANGAR: Hanya penemuan basikal menjadi petunjuk buat seorang bapa apabila anak perempuan kesayangannya didapati hilang ketika berbasikal ke sekolahnya di Bintong, dekat sini, kelmarin.

Lebih mengejutkan apabila basikal milik anak sulung daripada lima beradik, Nurul Nursyawaltie Mohd Sabri, 14, ditemui di sebuah taman perumahan berhampiran kira-kira jam 3 petang.

Mohd Sabri Samat, 35, dari Taman Bukit Kayangan, dekat sini, berkata sebaik menerima maklumat itu, dia menunggu anaknya di kawasan berkenaan kerana bimbang tetapi gadis berkenaan tetap tidak muncul sehingga lewat petang.

Menurutnya, dia kemudian berasa tidak sedap hati dan percaya anak perempuannya mungkin berada di luar Perlis berdasarkan wang tunai RM30 dalam dompetnya juga disedari hilang pada pagi sebelum kehilangan Nurul Nursyawaltie. Katanya, anaknya itu memang gemar melayari laman sosial seperti facebook dan mempunyai ramai kawan.

“Sebelum ini, saya tinggal di Pulau Pinang dan mengesyaki dia pergi ke sana ataupun dijemput salah seorang rakan facebooknya untuk ke sana.

“Tetapi saya berasakan wang RM30 itu memang tidak mencukupi pergi dan tinggal di sana sehingga hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah mengedarkan gambar anaknya di sekitar kawasan sekolah termasuk kepada rakan-rakannya melalui telefon bimbit sebagai langkah untuk mengesan anaknya.

Katanya, dia turut membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Kangar, kira-kira jam 1 pagi semalam. -hm


Jenayah Rogol Menjadi-jadi: Remaja Rogol Amah Sebelum Samun

Kajang: Seorang remaja berusia 19 tahun sempat merogol seorang pembantu rumah warga asing sebelum melarikan dua botol minyak wangi bersama laptop dan wang tunai selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Jaya Baru, di sini. Gambar Fail

Dalam kejadian jam 2 petang 3 Oktober lalu, suspek yang tinggal di taman perumahan sama, mengumpil pintu belakang rumah itu sebelum mengacukan pisau kepada mangsa yang sendirian di rumah kerana majikannya bekerja.

Sebaik masuk ke rumah, suspek mengikat kedua-dua tangan mangsa berusia 20-an dan merogolnya di ruang tamu sebelum melarikan dua botol minyak wangi, sebuah laptop serta wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM8,000.

Bagaimanapun, suspek yang mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes dadah di Selayang, diberkas di Lorong Haji Taib di ibu negara Ahad lalu hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata suspek dipercayai sudah lama memerhatikan rumah berkenaan dan memilih untuk memecah masuk ketika pembantu rumah terbabit tinggal sendirian.

Katanya, suspek direman hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sementara itu, Ab Rashid berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30-an yang mempunyai talian persaudaraan dengan seorang warga emas yang dibunuh kejam di Kampung Pasir Baru Peringkat, Jalan Sungai Lalang, di sini, hujung bulan lalu, bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek yang disisihkan keluarga warga emas itu kerana terbabit dalam penagihan dadah, ditahan di sekitar Semenyih pagi kelmarin dan sedang direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 12 tengah 27 September lalu, S Danaletchemee, 64, disamun sebelum dibunuh dengan kejam individu tidak dikenali apabila lehernya ditikam dan kepalanya dihentak dengan objek keras di dalam rumahnya. -BH

Ulasan GB

Tolak hukum Islam, maka kejadian-kejadian seperti di atas akan sentiasa wujud dan berlaku sepanjang masa dimana-mana jua dalam negara.

Dengan undang-undang ciptaan manusia, bukan saja menteri, remaja pun tak takut lagi merogol amah, malah samun lagi.

Allah tak rugi hukumNya ditolak atau dipersendakan, tetapi kitalah yang bernasib malang apabila terbukti jenayah bermaharajalela, apabila hidup diburu ketakutan dengan kisah jenayah yang berulang-ulang.

[Bergambar & Video] Bali Bergegar Dilanda Gempa Bumi 6.8 Skala Richter

Bali: Gempa bumi yang melanda sebuah kawasan percutian popular Indonesia, di sini, Khamis, memaksa orang ramai termasuk pelancong melarikan diri daripada rumah dan hotel dalam keadaan panik.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Saksi-saksi di tempat kejadian memberitahu stesen radio dan televisyen tempatan bahawa mereka melihat beberapa buah rumah dan bumbung-bumbungnya roboh, selain beberapa buah kuil di sepanjang persisiran pantai pecah berderai akibat gegaran tersebut.

Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata gegaran berskala 6.0 magnitud itu bertumpu pada kira-kira 60 batu (100km) di bahagian barat daya pulau itu dengan kedalaman (36 batu) 60km ke paras dasar laut.

“Saya terjatuh daripada motosikal akibat gegaran itu,” kata seorang penduduk tempatan, Miftahul Chusna.

Pegawai perhubungan awam Hotel Sanur Beach, Candy Juliani berkata semua benda di dalam bangunan itu bergegar.

“Penginap-penginap hotel melarikan diri dalam keadaan panik.

“Kami sebenarnya mempunyai laluan kecemasan khas apabila berdepan dengan situasi sebegini tetapi semua orang menjadi cemas dan mengabaikan laluan tersebut,” katanya.

Beberapa orang awam melaporkan turut melihat dinding-dinding pejabat dan rumah mereka mengalami keretakan ekoran gegaran itu.

Gempa bumi terkuat melanda negara itu pada 26 Disember 2004 telah mencetuskan tsunami di Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa di Aceh. - AP