7 Mei 2015

[VIDEO & GAMBAR] Pmtg Pauh: 73% Mengundi, Insiden Bertumbuk Berlaku.. -UPDATED


Nasib empat calon akan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh terjawab hari ini.

Mereka ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia atau PRM) dan Salleh Isahak (bebas).

Kerusi itu kosong susulan kegagalan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan pengampunan diraja atas kesalahan meliwat.

Azizah dianggap calon pilihan di kerusi tradisi Anwar itu.

Bagaimanapun, jika lebih 6,000 pengundi luar tidak pulang mengundi, susulan hari bekerja di negeri latihan, majoriti PKR mungkin terjejas.

Dalam pilihan raya umum lalu Anwar menewaskan calonBN Mazlan Ismail dan Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti 11,721 undi.

Permatang Pauh mempunyai 71,699 pemilih dengan 70 peratus Melayu, 23 peratus Cina dan 6 peratus India.

LINTAS LANSUNG

6.00pm: Peratusan keluar mengundi selepas peti undi ditutup ialah sebanyak 73 peratus, berbanding 88.3% pada pilihan raya umum lalu. Pengiraan undi bermula dan keputusan dijangka diumumkan sebelum jam 10 malam.

5:40 petang: TMI melaporkan Petugas bilik gerakan PKR di Jalan Berapit, Penanti di Permatang Pauh menangkap seorang individu yang mengaku sebagai tentera darat dan hanya mahu dikenali sebagai ‘Sarjan Wong, menyamar sebagai petugas parti di pondok sementara mereka.


Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berkata, 'Sarjan Wong' ditangkap selepas dikesan bertindak mencurigakan menghantar butiran daripada daftar pengundi PKR melalui telefonnya setiap jam.

"Dia menyamar sebagai petugas untuk korek maklumat dari kita.

"Setiap jam dia cuba mengesahkan data daripada kita," kata Sivarasa.

D Suhana, 37 tahun, petugas PKR yang berjaya mengesan kelakuan mencurigakan 'Sarjan Wong' berkata 'Sarjan Wong' bertugas sebagai sukarelawan di pondok PKR berhampiran SJK (C) Jit Sin A&B itu seawal 8 pagi lagi dengan memakai baju-T bertulisan 'Demi Rakyat Bantah GST Tegakkan Keadilan'.

"Apabila kita minta telefon dia, di dalamnya ada kumpulan WhatsApp berkaitan Barisan Nasional.

"Tapi di dalamnya tiada pula kumpulan WhatsApp PKR," kata Suhana yang menyedari kelakuan mencurigakan 'Sarjan Wong' sekitar 12 tengah hari.

'Sarjan Wong' yang kelihatan tenang sewaktu disoal siasat oleh Sivarasa kemudian mendapatkan bantuan pegawai atasannya, yang hanya mahu dikenali sebagai 'Mejar Jazimin'.

5.00 petang: Semua 245 pusat mengundi dengan 130 saluran ditutup secara rasmi.

4:40 pm: Sehingga jam 4 petang 49934 (69%) keluar undi

3:30 pm: 45333 (63.06%) telah keluar mengundi.

2:40 pm: Pengarah pilihan raya DAP Steven Sim mendakwa seorang warga emas Tan Soo Eng, 70, menjadi mangsa pengundi hantu.

Anggta Parlimen Bukit Mertajam itu mendakwa Tan mendapati undinya dibuat oleh pihak lain di saluran A dan B di pusat pengundian SRJKC Jit Sin.


“Dia pergi ke pusat (pengundian) pada jam 11 pagi ini dan dapati seseorang telah mengundi menggunakan nama dan kad pengenalannya,” dakwa Sim.

“Pegawai SPR yang bertugas mahu menandakan jarinya dengan dakwat kekal tetapi dihentikan oleh agen pengundian kerana Tan tidak mengundi sebaliknya dibuat oleh orang lain.”

2.30 petang: Jumlah pengundi keluar mengundi sehingga pukul 2 petang ialah sebanyak 40,173 iaitu 55.88 peratus.

1.40pm: Jumlah keluar mengundi setakat 1 petang sebanyak 35,752 atau 49.73 peratus.

1.09pm: Jumlah keluar mengundi setakat 12 tengah hari sebanyak 30,865 atau 43 peratus.

12.40pm: Kira-kira lapan buah trak polis berada di Sekolah Kebangsaan Tanah Liat berikutan pergaduhan berlaku antara penyokong BN, PKR dan pihak polis.

Terdapat penyokong yang cedera semasa pergaduhan itu telah dihantar ke hospital.

Pada ketika ini puluhan anggota polis antirusuhan kini berkawal di hadapan sekolah tersebut.

Seramai kira-kira 200 penyokong BN dan PKR berada bertentangan jalan di sekitar Tanah Liat.

Turut kelihatan exco Pemuda Umno Arman Azha Abu Hanifah dan dan Ibdilillah Ishak dalam kalangan penyokong BN.

Pada ketika ini juga berlaku perang mulut antara penyokong BN dan PKR. Penyokong PKR "boo" dan melaungkan "BN bodoh".

11.50am Pengarah Pilihan Raya DAP Steven Sim mendakwa terdapat kes pengundi hantu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jit Sin.

“Kami akan buat laporan pada jam 12 tengah hari,” kata anggota Parlimen Bukit Mertajam itu.

11.44pm Jumlah pengundi yang keluar mengundi setakat 11.00 pagi sebanyak 33.44 peratus atau 24,042 orang.

10.45am: Peratusan keluar mengundi 22.91 setakat jam 10 pagi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Penyokong BN, Pakatan bertumbuk di SMK Guar Perahu

Satu insiden tumbuk menumbuk tercetus di antara sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) dan PKR berhampiran SMK Guar Perahu di Permatang Pauh sekitar 11.15 pagi ini.

Insiden tersebut berlaku di tengah-tengah jalan raya apabila beberapa penyokong dari kedua-dua parti bergelut dan bertukar-tukar tumbukan di atas jalan raya yang memisahkan kawasan mereka berkumpul.

Pergaduhan meletus selepas kedua-dua kumpulan mula saling mengejek terhadap satu sama lain sejak 9.30 pagi.

Kumpulan tersebut disuraikan apabila Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyusup masuk ke tengah pergelutan dan meleraikan kumpulan yang berasak.

Insiden bermula apabila penyokong kedua-dua kumpulan tidak berpuas hati terhadap satu sama lain.

Penyokong BN yang berada di situ hadir memakai kemeja T bertulisan 'Mie Anak Muda Anak Tempatan Ada di Kawasan".

Sebilangan penyokong PKR bersorak-sorak ke arah kumpulan tersebut dan menayangkan beberapa keping wang kertas ke udara ke arah penyokong BN.
-TMI



Guar Perahu kecoh, penyokong UMNO-BN langgar peraturan


PERMATANG PAUH, 7 MEI: Berlaku sedikit kekecohan tadi di Guar Perahu apabila penyokong UMNO-BN melanggar peraturan dengan berdiri terlalu hampir, kurang 50 meter daripada pusat pengundian.

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai, namun malangnya petugas SPR seolah-olah tidak mengendahkannya, hingga menyebabkan pertikaman lidah dan nyaris insiden kekasaran berlaku.

Salah seorang daripada penyokong BN tersebut turut menjerit dengan kata-kata sebegini:- “Apa kuasa kamu ada nak suruh kami beredar?, kata penyokong UMNO-BN.

Seorang penyokong PKR yang tidak tahan dengan perilaku bongkak penyokong BN itu lantas meluru kearah mereka. Pegawai polis terpaksa campur tangan dan memisahkan kedua-dua penyokon PKR dan BN yang seramai lebih 100 orang itu.

Selepas lima minit perbincangan dengan polis, penyokong BN akhirnya bersetuju untuk besurai. SMK Guar Perahu adalah salah satu daripada 25 pusat mengundi di Parlimen Permatang Pauh.

Seramai 71,252 pengundi Permatang Pauh hari ini akan mengundi untuk menentukan siapa yang akan membawa suara mereka di Parlimen.







Ini Wajah Nur Salina, Yang Dibunuh Oleh Teman Lelakinya, Seorang Ustaz..


Ustaz sanggup bunuh janda

HULU SELANGOR – Usaha seorang bapa untuk mencari anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah sejak malam kelmarin berakhir dengan kejadian menyayat hati apabila dia menjumpai wanita itu mati dibunuh di depan sebuah sekolah agama di Kuala Kubu Bharu dekat sini semalam.

Mangsa yang merupakan seorang janda anak empat, Nur Salina Nazir, 34, ditemui bapanya, Nazir Ramli, 67, kira-kira pukul 9 pagi semalam dalam kea­daan terlentang tidak bernyawa di dalam kereta Proton Wira miliknya dengan kesan tujuh tikaman pada anggota badan.

Menurut abang mangsa, Nor Salizam Nazir, 40, adik bongsunya itu yang membuka perniagaan online dikatakan keluar dengan kekasihnya berusia 26 tahun pada malam kelmarin untuk menghantar barang tempahan kepada pelanggan tetapi dia tidak balik ke rumah selepas itu.

Katanya, selepas gagal menghubungi Salina menerusi telefon bimbit, bapanya bertindak mencari mangsa dengan berjumpa kekasihnya itu yang bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu.

“Ayah akhirnya jumpa Salina dalam keadaan tidak bernyawa di dalam keretanya sebelum dia pergi membuat laporan polis,”
katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sungai Buloh semalam.

Menurut anak saudara mangsa, Ainaa Syafiqah Shamsudin, 24, Salina dijangka melangsungkan perkahwinan dengan lelaki bergelar ustaz itu pada 6 Jun depan selepas dua tahun bercerai dengan bekas suaminya.

“Keluarga kami baru sekali bertemu suspek iaitu pada bulan lalu untuk membincangkan hal perkahwinan mereka berdua.

“Persiapan untuk perkahwinan itu sudah hampir siap apabila baju pengantin dan pelamin sudah ditempah. -kosmo

Tikam lepas ajak kahwin


Hulu Selangor: Seorang wanita ditemui dalam keadaan telentang di tempat duduk pemandu dengan tujuh kesan tikaman di dada, rusuk dan lengan kanan dipercayai dibunuh teman lelakinya di depan sebuah sekolah agama di Kuala Kubu Bharu (KKB), di sini, pagi tadi.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira 9 pagi yang melihat keadaan kereta itu mencurigakan dengan enjin masih hidup dan pintu bahagian pemandu terbuka sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Sumber polis berkata, sepasukan polis yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tikaman pada dada mangsa, dua di rusuk kiri dan kanan serta satu lagi pada lengan tangan kiri mangsa.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama KKB berusia 26 tahun dipercayai teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan.

Berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, lelaki itu mengaku membunuh mangsa yang juga janda anak empat itu selepas si mati sentiasa mendesaknya untuk berkahwin.
-HM


ULASAN GB

Hukum kebenaran sentiasa berjalan dan tidak ada yang sia-siap pada tiap-tiap satu kejadian Allah itu. Ada pengajaran ada iktibar yang boleh diambil oleh orang-orang yang berfikir, mafhum Al-Quran. Pengajaran dari kisah di atas:

Bahawa tak kira apa pun latarbelakang seseorang itu, hatta dia seorang guru agama sekalipun, asalkan dia bernama manusia, dia tetap tidak terlepas dari boleh dipengaruhi dan diperdaya oleh syaitan dan iblis.... sehingga boleh ke tahap membunuh... tahap kejahatan tertinggi yang boleh dilakukan oleh manusia apabila dipengaruhi iblis.

Hendaklah kita sentiasa memohon ampun dan sentiasa memhon perlindungan Allah dari godaan dan perdayaan syaitan yang direjam itu.

Al-fatihah untuk Nur Salina....

[VIDEO] PAS Pusat Wajar Bertindak Ke Atas Pendemo Ini


Penduduk halau demo penyokong PAS

Memasuki hari terakhir berkempen, berlaku kekecohan antara kumpulan yang mengaku diri mereka sebagai "proulama" dengan penduduk Kampung Kubang Semang, Permatang Pauh.

Kira-kira jam 5 petang, kumpulan yang diketuai Ketua Penerangan PAS Bagan Azmi Jaafar bersama kira-kira 10 lagi pengikutnya berkumpul di simpang tiga berhampiran stesen Petron Kampung Kubang Semang.

Kumpulan itu membawa sepanduk yang bertulis "Hudud hukum Allah" dan "Pemuda bersama kepimpinan ulama".

Bagaimanapun, tidak sampai seminit, dua lelaki yang berada di kedai makan di seberang jalan simpang tiga itu menghampiri kumpulan tersebut dan menghalau mereka.

Kemudian seorang lelaki menjerit ke arah kumpulan itu dengan berkata: "Jangan buat kacau di kampung kami. Hangpa (kamu) semua bukan pengundi di kawasan ini.”

Selepas itu, berlaku tolak-menolak apabila lelaki tersebut cuba untuk merampas sepanduk kumpulan terbabit.

Keadaan bertambah kecoh apabila sekumpulan penduduk kampung yang berada di kedai makan di seberang jalan turut mengerumuni kumpulan tersebut dan menghalau mereka.

Salah seorang lelaki tersebut kemudian mengambil pembesar suara daripada Azmi sebelum menghempaskannya ke jalan raya.

Azmi kemudian meminta kumpulannya berundur dan pergi ke tempat lain selepas melihat penduduk kampung semakin berang dengan kehadiran mereka.

Dakwaan sabotaj

Selepas kira-kira 10 minit, Azmi bersama kumpulannya kemudian beredar daripada kawasan tersebut.

Selepas itu, ketika ditemui pemberita, bekas setiausaha agung PAS Permatang Pauh, Abdul Razak Abdullah yang turut berada di tempat kejadian memberitahu, mereka menghalau kumpulan terbabit bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Abdul Razak mendakwa, kumpulan tersebut bukan pengundi di Permatang Pauh dan sengaja datang ke kampung Kubang Semang untuk membuat "kacau" di kawasan kubu kuat Pakatan itu.

'Mereka bukan orang sini, mereka orang Bagan. Mereka tak mengundi di sini. Saja datang nak sabotaj (PRK Permatang Pauh).

"Ini (Kubang Semang) kubu PAS, kubu Pakatan. Tak perlu nak buat di sini," katanya.

'Jangan undi parti tolak hudud'

Sementara itu, dalam kenyataan media yang diberikan kepada pemberita, Azmi berkata tujuan himpunan pada hari ini untuk mengajak seluruh pengundi Permatang Pauh tidak mengundi parti yang menolak hudud.

"Kami mengajak seluruh pengundi P44 agar tidak memberi undi kepada penentang hudud. Kami berpendirian bahawa penentang hudud adalah penentang Allah seperti wasiat almarhum Datuk Fadzil Noor, mantan presiden PAS pada 1994," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kumpulan sama mengadakan perhimpunan di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama bagi mendesak PKR memohon maaf berhubung kenyataan AMK berkaitan hudud.


ULASAN GB

PAS perlu siasat kejadian tersebut dan ambil tindakan ke atas ahli PAS yang terlibat.

Kita hairan ke mana perginya Seiausaha Agong PAS, Mustafa Ali yang selama ini begitu hebat dengan hal-hal disiplin ahli-ahli PAS. Begitu pantas bertindak ke atas orang-orang yang tak sebulu dengannya tetapi lemah longlai terhadap kumpulan pro-ulama (baca: pro-UMNO). Malah tindakan ke atas Ketua Pemuda PAS Pahang yang berdemo di depan pejabat PAS pun gagal diambil tindakan kononnya Ketua Pemuda tersebut membantah keanggotaan Lembaga Disiplin sedangkan Presiden sendiri sudah mengesahkan dan bersetuju anggota-anggota Lembaga Disiplin berkenaan. Boleh pilih-pilih anggota disiplin yang mereka suka saja. Pelik.. Jika ke atas kumpulan professional (progresif) dah dihebohkan besar-besaran dan kemudian cepat dikenakan tindakan seperti yang berlaku ke atas kedua ADUN Selangor satu ketika dulu.

Betul-betul sudah semacam UMNO. Terlalu bias, terlalu pilih kasih & terlalu assabiyah!