15 Nov 2010

Pemilihan PKR Terus Pincang Di Pusingan Ketiga

Petaling Jaya: Pusingan ketiga pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berakhir semalam masih tidak menunjukkan kontroversi dalam pemilihan parti itu akan berakhir.

Seperti mana dalam pusingan sebelumnya, pusingan ketiga turut dipenuhi kontoversi.

Sesetengah anggota parti turut menganggap ketika ini masih tiada sebarang tanda positif kontroversi dalam pemilihan akan reda ekoran tiada tindakkan proaktif oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Di Cabang Pendang contohnya, lebih 60 anggota PKR tersebut kempunan untuk mengundi apabila kertas undian yang disediakan tidak mencukupi.

Menurut laporan sebuah akhbar edisi utara kelmarin, hanya 100 keping kertas undi diperuntukan berbanding 535 ahli parti di cabang terbabit.

Seorang anggota PKR cabang tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Yunus berkata, pihak pengurusan pemilihan harus bertanggungjawab atas kejadian yang tidak sepatutnya berlaku.

"Sebagai ahli parti bukankah hak saya dijamin oleh perlembagaan parti? Tetapi apa yang berlaku hak saya untuk memilih pemimpin telah dinafikan disebabkan kecuaian mereka.


"Perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh parti. Kegagalan parti memberi hak yang diperuntukan oleh perlembagaan parti boleh menyebabkan tindakan mahkamah diambil," kata beliau.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau mengakui mengetahui wujudnya gerakan untuk mengumpul bukti dan saksi untuk membawa isu penyelewengan pemilihan.

Tetapi, katanya, mereka tidak bercadang berbuat demikian.

"Sampai sekarang saya belum bercadang untuk bertindak sejauh itu walaupun saya ada terdengar ura-ura ada pihak sedang bercadang membawa isu ini ke mahkamah," kata beliau lagi.

Pada masa yang sama, di pusat mengundi cabang Batu Sapi di Sabah telah mencatatkan kira-kira 600 ahli membuang undi tanpa masalah kekurangan kertas undi.

Keputusan di cabang terbabit menunjukkan penguasaan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin yang memungut 509 undian berbanding Badrul Hisham Shaharin yang hanya 8 undian sahaja.

Mungkinkah ada pakatan tentukan jumlah kertas undi untuk cabang?

Ekoran itu, intergriti JPP terus dipandang rendah apabila timbul dakwaan wujudnya tangan ghaib dalam menentukan jumlah kertas pengundian yang diedarkan kepada cabang-cabang.

Persoalan juga timbul kemungkinan pengawas pemilihan telah berbincang dengan pihak calon tertentu untuk menentukan jumlah kertas undi harus diedarkan kepada cabang-cabang berdasarkan kelebihan calon terbabit
.

Sementara itu, calon Pengerusi Tetap AMK, Amizudin Ahmat, melahirkan perasaan kesal terhadap kontroversi yang berlaku sepanjang pemilihan.

"Saya sama juga dengan kebanyakkan calon lain bersedia menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Tetapi apabila kekalahan tersebut disebabkan wujudnya penipuan oleh pihak lawan maka lukanya tentu parah.

"Saya tak benci Sam (Shamsul), Jonah (Khairul Anuar), Azmin, Zaid atau sesiapa dalam PKR ini tetapi yang saya benci adalah penipuan,
" ujar beliau.

Amizuddin merupakan calon pengerusi tetap AMK yang turut mendukung manifesto Anak Muda Penerus Momentum Reformasi pimpinan Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegu Bard.

Husam : PAS Terbuka Untuk Terima Sesiapa, Termasuk Zaid

PAS terbuka untuk terima sesiapa, termasuk Zaid: Husam

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata parti itu sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli parti lain, termasuk Datuk Zaid Ibrahim yang mengesahkan akan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, PAS pernah menawarkan tempat kepada Zaid dalam parti itu namun ditolak kerana Zaid lebih cenderung menyertai PKR.

"Dia (Zaid) sudah dewasa kalau dia nak masuk mana-mana parti... dulupun kita tawarkan dia masuk PAS, dia menolak namun terpulanglah kepada dia mana-mana parti dia nak masuk,"
katanya kepada Bernama selepas ditemuramah oleh hos Anne Edwards menerusi rancangan Hello Malaysia di Wisma Bernama, di sini.

Mengulas mengenai kekalahan Pas di tangan UMNO pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu, Husam yang memegang Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan berkata parti itu menerima kekalahan itu dengan hati terbuka namun PAS memberi perhatian khusus kepada Barisan Nasional (BN) selepas ini.

"BN nampak gembira dengan kejayaan ini, namun yang lebih penting cara BN menyusun strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang, itu yang lebih kita (PAS) bimbangkan," katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, calon Pas Dr Zulkefli Mohamad tewas kepada calon BN, Abdul Aziz Yusoff dengan majoriti 1,190 undi. - BERNAMA

Bermaruahkah Kemenanganmu Itu?

Azmin selesa muncul timbalan presiden baru, Zaid sah keluar PKR

PETALING JAYA, 15 Nov - Naib Presiden PKR Azmin Ali sudah hampir pasti untuk mengambil alih jawatan timbalan presiden dengan memperoleh majoriti 11,350 undi selepas lapan hari proses pengundian pemilihan pusat setakat semalam.

Kedudukan rasmi Azmin itu diumumkan ketika Datuk Zaid Ibrahim pula mengesahkan beliau akan keluar PKR.

Azmin akan menggantikan Senator Dr Syed Husin Ali yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Pada sidang media di sini petang ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Azmin memperoleh 14,751 undi manakala pesaingnya Mustaffa Kamil Ayub, seorang lagi naib presiden, menerima 3,401 undi daripada 165 cabang yang telah dikira pengundian.

Azmin akan mengambil alih jawatan timbalan presiden menerusi pemilihan pusat yang julung kali dilangsungkan secara langsung.

Awalnya, jawatan timbalan presiden menyaksikan saingan tiga penjuru antara Zaid, Azmin dan Mustaffa.

Bagaimanapun persaingan jawatan itu berubah menjadi pertarungan antara Azmin dan Mustaffa selepas Zaid menarik diri daripada bertanding, Isnin lalu atas alasan kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, Zaid yang juga bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan mengesahkan beliau akan meninggalkan PKR, tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti.

“Benar saya akan keluar parti, tetapi saya belum mengemukakan (notis) keluar daripada parti secara rasmi.

“Saya akan membuat penjelasan (susulan) menerusi kenyataan akhbar Jumaat ini,” kata Zaid yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu.

Zaid bertanding mewakili PKR pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.

Beliau mendahului persaingan dua hari pertama tetapi dipotong oleh Azmin bermula hari ketiga.

Kedudukan Azmin semakin selesa selepas pengundian masuk hari keempat dengan memperoleh undi terbanyak dari Sabah.

Ditanya mengenai kedudukan Zaid, Saifuddin berkata, keputusan bekas menteri kerajaan pusat itu perlu dihormati, tetapi tindakannya tidak akan membawa impak negatif kepada parti.

“Zaid sudah buat keputusan, kita menghormati keputusan tersebut. Ia tidak ada impak negatif kepada parti apabila beliau keluar parti,” kata Saifuddin sambil menambah, “saya doakan yang terbaik kepada beliau”.

“PKR menyertai politik pada 1999 dan kita dapat sokongan 789,000 pengundi, pada 2004 kita dapat sokongan lebih 440,000 pengundi dan pada pilihan raya 2008 kita dapat 1.5 juta sokongan pengundi.

“Jadi rekod kita dah menunjukkan dengan atau tanpa Zaid, rekod kita dah buktikan,” kata beliau lagi.

Minggu lalu, Azmin meminta Zaid meneliti semula sebarang hasrat untuk menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada parti itu.

Katanya cadangan itu diharap tidak akan berlaku kerana mengikut fahamannya, Zaid menyertai PKR dengan semangat untuk bersama-sama dengan pimpinan dan anggota PKR bagi meneruskan agenda reformasi serta melakukan perubahan.

Zaid tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat saranan supaya penasihat parti itu Datuk Anwar Ibrahim supaya berundur.

Mengenai tindakan yang bakal dihadapi Zaid berikutan kenyataannya itu, Azmin berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan kepada mana-mana anggota PKR yang telah melakukan kesalahan berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti.

“Jawatankuasa disiplin kena buat cadangan pada biro politik dan majlis pimpinan pusat untuk diputuskan dan setakat hari ini kita belum terima sebarang cadangan daripada jawatankuasa disiplin. Kita akan teliti sebaik sahaja kita terima,” katanya.

Pada 8 November lalu, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga melepaskan semua jawatan dalam parti itu dengan alasan “terdapat penipuan dalam pemilihan”.

Azmin merupakan antara pemimpin yang berada dalam PKR sejak ia ditubuhkan.

Sebanyak 57 cabang lagi akan mengadakan pemilihan pusat hujung minggu ini sebelum menuju ke arah kongres tahunan bermula 26 hingga 28 November.

Ulasan GB

Terlebih dahulu kita ucapkan tahniah kepada DSAI, Saifuddin dan Azmin kerana kejayaan melaksanakan konspirasi di dalam memanipulasi Pemilihan dengan jayanya.

Ingat, dosa tuan-tuan terlalu besar untuk disembunyikan, dan PKR akan menjadi korban dan mangsa akibat perbuatan tangan tuan-tuan bertiga.

Ketepikan GB kerana GB bukan ahli, tetapi di mana-mana, di dalam parti tuan sendiri, sudah ada ahli-ahli PKR yang bersuara tidak berpuashati dengan apa yang telah berlaku. Itu bererti bunga-bungan kehancuran.

Mana tahu silap gaya kemana saja tuan bertiga pergi, ada mereka yang memmaki-maki dalam hati. Senangkah tuan dalam keadaan demikian? Mungkin mereka tak sampai hati nak baling kasut macam yang berlaku kepada pemimpin luarnegeri. Tapi dalam keadaan sekarang, dasar dan kaedah yang diamalkan oleh parti tuan, hal tersebut tak mustahil pula boleh terjadi.

Berucap banyak mana dan setinggi mana pun suara tuan. Kebenaran dan keadilan tidak boleh anda perlakukan sesuka hati.

Bermaruahkah kemenangan jika ada sahabat yang terpaksa meninggalkan parti lantaran dicaci oleh pimpinan sendiri? Kalau GB pun dah lama GB angkat kaki kerana kadangkala cara sedemikian lebih mulia dari memperakui salahlaku mereka yang angkuh dan sombong diri. Rasulullah s.a.w. pernah berdoa begini:

Allahumma adkhilnii mudkhala sidqiin
wa akhrijnii mukhraja sidqiin
wa jaalna miladunka sultanaan nasiira


Ya Allah, masukkanlah kami dengan kebenaran
keluarkanlah kami dengan kebenaran
dan berilah kami dari sisiMu kekuasaan yang dapat menolong.


Perlakuan Iblis: Bapa Rogol Anak

Lelaki rogol anak

JOHOR BAHRU - Gara-gara melampiaskan nafsu ke atas anak sendiri, seorang petani dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Jais Adon, 53, mengaku bersalah merogol anaknya yang berusia 16 tahun dan memerintahkan hukuman tersebut dijalankan bermula dari tarikh tangkapan dibuat iaitu pada 30 Oktober lalu.

Salawati berkata, perlakuan seperti itu adalah sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang bapa terhadap anak kandungnya sendiri dan perbuatan itu dianggap keji.

”Ini adalah kesalahan yang paling keji. Sebagai seorang bapa, kamu seharusnya melindungi anak sendiri dan bukannya merogol dirinya. Anak kamu juga mungkin akan mengalami trauma sepanjang hayatnya,” tegasnya.

Tertuduh yang hadir memakai kemeja kotak-kotak dan berseluar khakis bagaimanapun tidak me�nunjukkan sebarang reaksi dan kelihatan tenang ketika hukuman itu dijatuhkan.

Menurut fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada pukul 12.15 pagi, 30 Oktober lalu mendakwa bahawa dirinya dirogol beberapa kali oleh bapanya sehingga pertengahan bulan lalu di rumah beralamat 1230, Jalan Bunga Dahlia, Kampung Separa, Kulaijaya.

Mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami koyakan lama pada Hymen di beberapa kedudukan mengikut arah pusingan jam.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Ketika dibacakan pertuduhan, tertuduh terus mengaku bersalah dan merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan mengalami kecacatan di bahagian kaki selepas wmengalami kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh yang sanggup merogol anak sendiri selain pengajaran bagi masyarakat umum. -SH

Takbir "Allahu Akbar" Sebagai Penenang Jiwa - Lauren Booth

Saya Islam, mengapa perlu terkejut?

Semasa saya tiba di wilayah Arab itu untuk bekerja di pusat kebajikan di Gaza dan Tebing Barat, saya membawa bersama pandangan yang dimiliki semua wanita berkulit putih kelas pertengahan (secara senyap atau terbuka) mengenai wanita Islam, wanita yang saya anggap tidak lebih dari sekadar jasad yang dibalut dengan jubah hitam.

Sebagai seorang wanita Barat yang mempunyai semua kebebasan, saya jangka saya akan hanya berurusan dengan golongan lelaki sahaja. Bukankah itu yang menggambarkan dunia Islam?

Nampaknya pandangan stereotaip saya itu terbukti masih dikongsi oleh semua penduduk Barat apabila beberapa kolumnis yang mendengar saya sudah menganut Islam, menjerit ketakutan dan terkejut.

Ya, begitulah pandangan mereka terhadap lebih setengah bilion wanita di dunia yang menganut agama Islam.

Semasa lawatan pertama saya ke Ramallah, dan diikuti dengan lawatan ke Palestin, Mesir, Jordan dan Lebanon, saya banyak berurusan dengan lelaki yang berkuasa, termasuk lelaki berjambang yang kita selalu lihat dalam berita di tempat-tempat di mana kita sendiri menghantar bom untuk dimusnahkan.

Tetapi sesuatu yang mengejutkan (untuk saya), semasa lawatan ini, saya turut berurusan dengan banyak wanita berkuasa pada semua peringkat umur yang memakai pelbagai gaya tudung.

Percaya atau tidak, wanita Islam boleh dididik, mampu bekerja dalam tempoh waktu yang lama seperti wanita Barat, dan mereka juga mengarah suami mereka supaya melakukan sesuatu, walaupun di hadapan rakan lelaki itu.

Adakah bukti ini mencukupi? Saya harap ia mencukupi, kerana selepas saya menganut Islam, pengulas sinis menggunakannya sebagai alasan untuk menimbulkan pelbagai pandangan buruk terhadap wanita Islam di mana-mana.

Jadi mari kita semua menarik nafas panjang dan benarkan saya mendedahkan dunia Islam sebenar pada abad ke-21 ini.

Kebanyakan amalan dan peraturan di negara 'Islam' sudah jauh terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Amalan-amalan yang merendahkan wanita ini wujud daripada budaya dan tradisi (yang dikuasai lelaki) yang telah menular ke seluruh lapisan masyarakat.

Perjalanan saya menuju kepada Islam bermula dengan kesedaran mengenai jurang dalam apa yang diberitahu kepada saya mengenai Islam, dan realiti sebenar.

Semasa lawatan saya ke Iran September lalu, apabila saya melihat jemaah berwuduk, sujud dan membaca doa di dalam masjid, saya teringat mengenai pandangan Barat yang salah mengenai agama ini, agama yang menolak keganasan, mengamalkan keamanan dan kasih sayang melalui meditasi secara senyap.

Saya melalui perubahan ketara yang saya sendiri tidak sedari iaitu setiap kali berdoa sejak setahun lalu, saya mengucapkan 'Ya Allah' dan bukannya 'Ya Tuhan.'

Memang kedua-dua perkataan itu mempunyai maksud yang sama tetapi bagi mereka yang baru memeluk Islam, bahasa asing yang digunakan dalam solat dan al-Quran kadang-kala menjadi penghalang untuk beribadat dengan sempurna.

Tetapi saya amat bernasib baik apabila dapat mengatasi perbezaan bahasa itu tanpa saya sendiri sedari.

Kemudian saya mula merasakan hubungan emosi antara umat Islam lain dengan perasaan penuh terbuka dan kemesraan.

Sejak memeluk Islam, saya mula merasakan betapa rakan-rakan bukan Islam seperti tidak berperasaan.

Mengapa kita tidak boleh menangis di tempat awam, memeluk satu sama lain atau mengucapkan kata-kata sayang kepada kawan baru tanpa disyaki atau diperlekehkan?

Saya melihat bagaimana pelbagai perasaan dikongsi antara umat Islam dan berfikir jika peraturan yang ditetapkan Allah berasaskan ketakutan semata-mata, mengapa rakan-rakan Islam saya tidak berpaling tadah daripada agama mereka dan mula meminum arak untuk mendapatkan 'keseronokan' seperti kita di Barat?

Kita seronok, bukan?

Dahulu, saya sering cuba berhenti mengambil minuman beralkohol tetapi tidak berjaya, namun sejak saya memeluk Islam, saya langsung tidak membayangkan akan minum arak lagi.

Saya yakin inilah pilihan yang tepat bagi saya, terlalu banyak yang dapat dipelajari, dinikmati dan dikagumi dalam Islam.

Sebelum saya mengakhiri perkongsian pengalaman ini, saya ingin memperjelaskan perbezaan antara budaya Islam dan budaya media yang mungkin dapat memberikan orang ramai lebih pemahaman mengenai agama suci ini.

Apabila kita melihat rakaman media yang menunjukkan penganut Islam melaungkan 'Allahu Akhbar!', kita, orang Barat, telah dilatih menterjemahkan perbuatan itu sebagai ancaman.

Kita berfikir apabila mereka melaungkan kalimah itu, mereka sebenarnya mengatakan: "Kami membenci anda rakyat Britain, dan kami akan meletupkan diri di pusat membeli belah semasa anda sedang membeli keperluan harian."

Padahal sebenarnya, kami (umat Islam) hanya melaungkan 'Allah Maha Besar!' dan kami cuba menenangkan jiwa selepas negara bukan Islam menyerang kampung kami.

Kalimah itu mewakili harapan kami untuk hidup dalam suasana aman dengan semua masyarakat, sama ada beragama Islam atau tidak, dan jika itu terlalu susah untuk dicapai seperti keadaan sekarang, kami hanya mahu supaya kami tidak diganggu.

*Lauren Booth, 43, adalah adik ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Booth memeluk Islam selepas melalui 'pengalaman suci' semasa melawat Iran, September lalu. Beliau menulis rencana ini untuk akhbar Britain, The Guardian bagi menjelaskan kritikan yang diterima daripada media Barat selepas mengumumkan keputusannya memeluk Islam.

Kisah mengenai Lauren Booth memeluk Islam pernah disiarkan oleh blog ini di bawah tajuk:
[Video] Lauren Booth Peluk Islam, Berhasrat Ajar Abg Iparnya Tony Blair Tentang Islam Sebenar

Ulasan GB

Di dalam setiap kali ceramah PAS< seringkali terdengar ungkapan "Takbir" dan disambut oleh yang lain dengan "Allahu Akbar".

Kalimah itu amat ditakuti oleh jin-jin - baik jin tanah atau jin langit, jin laut atau jin hutan, jin dalam diri atau luar diri.

Ramai juga yang menyalah-tafsirkan kalimah tersebut, disangkanya sebagai semboyan untuk "berperang" dan lantas melabelkan puak Islam sebagai "terroris".

Sedangkan sebenarnya ia adalah manifestasi jiwa yang sudah lama tertekan dek kezaliman dan kekejaman.

Kerdilnya diri tidak dapat melawan kezaliman-kezaliman sehingga kalimah "membesarkan Allah" yang menjadi tempat penyerahan diri dan pergantungan.

Ia sepertimana tafsiran Lauren Booth yang baru memeluk Islam itu, sebagai satu cara untuk menenang jiwa apabila mengingatkan bahawa tiada yang lebih besar selain Allah.

Pahang Sudah Mula Banjir. Sungai Jelai Limpahi Tebing

Sungai Jelai limpahi tebing

LIPIS - Hujan lebat yang melanda bermula 6 petang kelmarin hingga ke jam 6 pagi semalam mengakibatkan beberapa kampung kecil di sekitar Kuala Medang, Kuala Serau, Tanjung Gahai dan Kuala Koyan ditenggelami air.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam di beberapa kampung itu juga mendapati terdapat beberapa jalan darat yang terputus perhubungan dan mengakibatkan penduduk terpaksa menaiki bot untuk pergi ke sesuatu tempat.

Selain itu, terdapat juga beberapa rumah penduduk dan deretan kedai berhampiran dengan Sungai Jelai telah ditenggelami air hingga mengakibatkan mereka terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.


Selamatkan barang penting

Seorang penduduk, Haitun Kamalruzaman,36, berkata hujan lebat hampir 12 jam mengakibatkan kawasan sekitar rumahnya ditenggelami air dan mengakibatkan dua buah kereta milik keluarganya turut hampir tenggelam.

“Ketika saya bangun untuk solat Subuh pagi semalam saya mendapati air sungai sudah naik di sekitar kawasan rumah dan hampir mencecah lantai rumah. Saya bersama ahli keluarga dan penduduk kampung mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi.

“Berbanding dengan keadaan dua tahun lalu, saya kira situasi sekarang masih lagi terkawal dan saya belum bersedia untuk berpindah ke kawasan rumah banjir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Seorang lagi penduduk, Norashikin Mat Adam, 53, berkata, separuh dari rumahnya telah ditenggelami air dan mengakibatkan mereka sekelurga terpaksa berpindah ke rumah rakit yang disediakan di hadapan rumah.

“Air banjir naik dengan begitu pantas dan kami sekeluarga bertindak mengalihkan barang-barang elektrik ke tempat yang lebih tinggi.

“Selain itu, saya bertindak mengalihkan barang-barang runcit dari kedai kami ke rumah rakit yang disediakan tidak jauh dari rumah asal namun masih ada barang makanan yang telah rosak akibat terkena air bah” katanya.

Kawasan kedai ditenggelami air

Seorang peniaga, Rogayah Abdul Rahim, 38, berkata, kejadian banjir berkenaan berlaku terlalu pantas hingga mengakibatkan sebahagian daripada kedainya ditenggelami air hingga paras betis.

“Beberapa malam sebelum kejadian kami sekeluarga tidur di kedai namun pada hari kejadian kami membuat keputusan untuk tidur di rumah emak yang terletak tidak jauh dari kedai.

“Menjelang Subuh saya dan suami telah pergi ke kedai dan terkejut apabila air banjir sudah mulai naik hingga mengakibatkan laluan di sekitar kawasan kedai dan tapak pekan sehari sudah ditenggelami air hingga paras betis,” katanya.

Beberapa jalan ditutup

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang, Hassan Mat Sam berkata, 15 rumah penduduk di kawasan berkenaan telah ditenggelami air dan diletakan di paras berjaga-jaga.

“Terdapat juga beberapa kampung kecil di kawasan ini telah terputus perhubungan melalui jalan darat seperti Kampung Ketuyum, Pulau Badak dan Kermoi.

“Selain daripada kawasan tapak pekan sehari yang ditenggelami air, terdapat juga beberapa kedai berhampiran dengan Sungai Jelai telah ditenggelami ari. Selain itu, jeti Kuala Medang turut terjejas akibat banjir yang melanda kawasan ini,” katanya.

Bagi Pengerusi JKKK Kuala Serau, Idris Kesah berkata, 27 penduduk dari tujuh keluarga di Kampung Kuala Serau telah berhadapan dengan banjir di mana kawasan rumah mereka telah dimasuki air dari Sungai Serau.

“Tujuh keluarga berkenaan telah bersiap sedia untuk berpindah sekiranya hujan melanda kawasan mereka hari ini. Selain itu, kami juga bersiap sedia dari sedia peralatan kemudahan membabitkan bot untuk memindahkan mangsa banjir ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya. -SH

Jika Berlaku Pilihanraya Tergempar Sekarang, PR Kalah Teruk

PRU tergempar tidak memihak kami tapi tiada pilihan, akui Pakatan

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui perikatan itu berhadapan dengan situasi rugi jika pilihan raya umum ke-13 dipanggil lebih awal, di sebalik kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) yang memenangi dua pilihan raya kecil serentak baru-baru ini.

Malah, perikatan itu melihat pilihan raya umum tergempar juga tidak memihak kepada mereka dan merupakan satu kekurangan jika mengambil kira beberapa perkembangan membabitkan komponennya.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga merasakan kesan negatif ekoran pemilihan langsung PKR julung kali diadakan, yang tercalar dengan dakwaan manipulasi dan pelbagai kecacatan. Malah pemilihan DAP Perak semalam, yang menyaksikan wujudnya perpecahan kepimpinan komponen PR di negeri itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada boleh menghadapi pilihan raya umum dengan penuh yakin.

Keadaan itu diburukkan dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim — pengumuman terbaru menunjukkan beliau keluar PKR hari ini.

Justeru, beberapa wakil rakyat PR yang dihubungi berkata, waktu pilihan raya umum ke-13 diadakan kemungkinan tidak memihak mereka jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pun begitu, mereka mengakui bahawa mereka perlu bersedia untuk menghadapi persaingan memandangkan mereka tidak boleh mempengaruhi proses pemilihan waktu untuk diadakan pilihan raya.

Malah mereka juga mengakui bahawa sudah ada peralihan sokongan bukan Melayu ke arah BN dengan prestasi pilihan raya kecil kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi walaupun mereka menekankan bahawa trend itu tidak mewakili sokongan sebenar di peringkat nasional.

“Nampaknya, pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat, dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Waktu ia akan diadakan bukan sesuatu yang memihak kami,” kata Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke kepada The Malaysian Insider apabila ditanya pandangannya mengenai cakap-cakap mengenai pilihan raya umum tergempar.

BN mempunyai mandat sehingga Mei 2013 untuk mengadakan pilihan raya umum iaitu lima tahun selepas pilihan raya umum 2008.

“Pentadbiran Barisan Nasional akan mengambil peluang ekoran kemenangan di Galas dan Batu Sapi, dan juga perkembangan dalam Pakatan sekarang. Mereka akan mengambil kesempatan daripada kedudukan kami yang lemah,” katanya.

Sehubungan itu, kata Ketua Pemuda DAP ini, Pakatan Rakyat perlu bertindak secara bersama dengan mengetepikan salah faham dan pergeseran sesama sendiri.

“Dalam konvensyen Pakatan Rakyat akan datang, kami perlu datang dengan garis panduan yang lebih jelas, bertindak ke atas cadangan-cadangan bagi menyelesaikan isu semasa seperti isu air, kenaikan tol... kami perlu mengurangkan politiking, sebaliknya perlu menyelesaikan masalah yang wujud.

“Saya merasakan rakyat sudah penat dengan persekitaran politiking (sejak sekian lama),” kata beliau.

PR akan mengadakan konvensyen keduanya di Pulau Pinang bulan depan.

Sambil menekankan bahawa Pakatan Rakyat tiada pilihan apabila berhadapan dengan pilihan raya, Pengarah Strategi PKR Chua Tian Chang berkata, “kami perlu menghadapinya sama ada kami sebenarnya sudah bersedia ataupun sebaliknya.”

“Menjadi kerajaan yang memerintah adalah satu kelebihan, BN boleh menentukan tarikh (pilihan raya),” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Batu itu mengakui bahawa jika pilihan raya umum diadakan dalam waktu terdekat, ia tidak akan menjadi sesuatu yang memihak kepada Pakatan Rakyat.

“Tetapi kami kena iktitaf bahawa pilihan raya tergempar, jika diadakan pada bila-bila masa, ia akan menjadi satu kekurangan kepada kami,” kata beliau lagi.

Beliau bagaimanapun mendakwa sokongn bukan Melayu masih kekal kuat di sebelah Pakatan Rakyat meskipun BN menang di Galas dan Batu Sapi.

“Dari segi sokongan bukan Melayu, meskipun ada peralihan di Galas, tetapi tidak ada peralihan di Batu Sapi.

“Sebenarnya di Batu Sapi, ada peningkatan sokongan bukan Melayu ke arah Pakatan.

“Sebagai seorang ahli politik, sudah tentu saya akan mengatakan bahawa trend pengundian di Galas dan Batu Sapi tidak mewakili trend kebangsaan,” kata beliau lagi.

Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memberitahu, peralihan sokongan bukan Melayu ke arah BN di Galas dan Batu Sapi merupakan kes terpencil dna bukan sesuatu yang signifikan.

Kata beliau, peralihan seumpama itu bukan sesuatu yang biasa dalam pilihan raya kecil ekoran skala kempen dan sumbangan yang diberikan untuk mendapatkan sokongan mereka.

“Saya tidak melihat ia mewakili sentimen keseluruhan negara,” katanya.

“Pun begitu, ia masih merupakan panggilan amaran bagi setiap orang dalam Pakatan untuk memobilisasikan jentera kami untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai ini.

Pemerhati dan penganalisis politik melihat kejayaan BN di dua pilihan raya kecil serentak termasuk merampas balik kerusi Galas sebagai petanda Pakatan Rakyat sudah hilang momentum 2008 manakala Umno dan BN memperbaiki kedudukan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun padang menemui ahli dan penyokongnya mulai awal tahun depan, yang dilihat sebagai petanda pilihan raya umum semakin dekat.

Beliau dijangka mengumumkan perubahan kepimpinan Umno peringkat negeri akhir bulan ini. -TMI

Ulasan GB

Setelah tewas berturut-turut di Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi, pun masih ramai pemimpin-pemimpin PR yang masih diuleti mimpi dan terjebak dengan sindrom penafian. Masih cuba bermain kata untuk menyedapkan rasa.

Galas dan Batu Sapi - "worst case scenarios" atau "best case scenarios" atau akan menjadi "typical scenarios" untuk PRU13? Hanya si lembu akan berkata itu kes terpencil.

Mayat Pekerja Projek Mega Ditemui, Isteri Dan 4 Anak Hilang Tempat Berpaut

Mayat pekerja projek mega hilang ditemui

NORLAILA bersama empat orang anaknya menunggu jenazah Mohd. Nor di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Selepas dilaporkan hilang lebih 48 jam lalu, mayat seorang operator jentera pengorek pasir, Mohd. Nor Miskam ditemui pagi semalam kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa tenggelam di kawasan tebus guna projek mega Lido Boulevard berhadapan Zoo Johor di sini.

Mayat Mohd. Nor, 36, ditemui pada pukul 7.30 pagi oleh pasukan penyelamat yang menjalankan kerja-kerja mencari sejak malam Jumaat lalu.

Pegawai Bomba Tinggi (Operasi), Balai Bomba Johor Bahru, Aminah Saiman berkata, ketika ditemui mayat Mohd. Nor berada dalam keadaan terapung berhampiran pelampung penyedut pasir.

“Pasukan bomba pergi ke kawasan tersebut dan menemui mayat mangsa yang telah kembung tapi lengkap berpakaian.

Menurut beliau, mayat Mohd. Nor kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Menurut beliau, jentera pengorek pasir yang tenggelam bersama Mohd. Nor juga telah ditemui namun ia belum dinaikkan.

Sementara itu, bapa mangsa, Miskam Yusof, 68, berkata, dia tidak menyangka anak bongsu daripada tiga beradik itu akan menemui ajal dengan cara demikian.

Kata warga emas itu, 20 hari sebelum kejadian, Mohd. Nor terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Renggam.

“Dalam kejadian itu, Mohd. Nor tidak mengalami kecederaan parah walaupun kereta yang dipandunya remuk teruk,” katanya.

Miskam memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian arwah menghubunginya kerana mendakwa menghadapi masalah berkaitan wang untuk membayar sewa rumah. -kosmo

Berita Sebelum

Projek Mega Telan Nyawa, Mayat Belum Ditemui

Nikah Stail Baru, Berwalikan Sekeping Lukisan

Kuala Lumpur: Satu lukisan wajah seorang lelaki yang didakwa seorang daripada Wali Songo digunakan seorang jurunikah haram sebagai pengganti kepada wali pengantin perempuan yang dinikahkannya.

Dikenali sebagai Ustaz Hashim, lelaki warga Indonesia terbabit mendakwa lukisan berkenaan simbolik kehadiran ulama Islam terkenal di Pulau Jawa pada kurun ke-17 itu yang kononnya sentiasa berdampingan dengannya secara ghaib.

Setakat ini, ustaz temberang itu dipercayai sudah melakukan banyak upacara akad nikah termasuk lelaki yang ingin berpoligami dan dia akan membawa lukisan dalam bentuk poster itu ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyerbu sebuah rumah setinggan di Jalan Kubur, Pantai Dalam, di sini, ketika lelaki itu hendak menikahkan satu pasangan, malam kelmarin.

Ketika serbuan pada kira-kira jam 8 malam, sepasang bakal mempelai yang lengkap berpakaian pengantin dicekup bersama dua wanita dan 21 lagi lelaki dipercayai rakan dan saudara pasangan berkenaan.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata ketika serbuan semua yang ditahan berada di dalam rumah berkenaan dan menyaksikan upacara pernikahan yang dilakukan jurunikah haram itu.

“Bagaimanapun, jurunikah yang dikenali dengan panggilan Ustaz Hashim itu melarikan diri dengan memanjat siling rumah. Pemeriksaan sekitar kawasan rumah gagal menemui jurunikah itu.

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ustaz terbabit menghubungi Jawi,” katanya.

Che Mat berkata, ketika disoal siasat 25 orang di dalam rumah berkenaan termasuk bakal pengantin pada mulanya memberi alasan mengadakan kenduri doa selamat.

Bagaimanapun, pasangan bakal mempelai itu tidak mampu berdalih apabila ditanya mengapa mereka lengkap berpakaian pengantin, lantas mengaku mereka mengadakan majlis pernikahan.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan Ustaz Hashim kepada mereka yang menggunakan khidmatnya adalah antara RM5,000 hingga RM 6,000.

“Siasatan awal juga mendapati kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmat ustaz palsu itu adalah mereka yang ingin berpoligami kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama.

“Selain itu, sijil nikah yang diberikan sekadar menggunakan kertas biasa yang ditulis tangan dan ditandatangani lelaki digelar Ustaz Hashim itu,” katanya.

Che Mat berkata, pasangan bakal pengantin itu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini manakala 23 yang lain dibebaskan selepas diambil keterangan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. -hm


Pasangan nikah sindiket diserbu

ANTARA tetamu yang ditahan pada majlis pernikahan yang didalangi Pak Hashim di Pantai Dalam, Kuala Lumpur malam kelmarin.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket nikah palsu apabila menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan Pantai Dalam di sini malam kelmarin.

Ketika serbuan dibuat, sindiket berkenaan disyaki sedang berurusan untuk menikahkan secara haram satu pasangan kekasih dengan menggunakan khidmat jurunikah palsu.

Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa Jawi menahan sepasang kekasih yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia yang mempunyai status penduduk tetap berumur lingkungan 30-an yang berhasrat untuk melangsungkan pernikahan secara haram.

Turut ditahan 25 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita dipercayai warga Indonesia yang berada di dalam rumah itu bagi membantu siasatan.

Pasangan tersebut telah didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menikah tanpa kebenaran pendaftar, menikah tanpa jurunikah bertauliah dan gagal memberi penjelasan mengenai lokasi pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.

Sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh seorang jurunikah yang tidak bertauliah dan lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan gelaran Pak Hashim yang merupakan warga Indonesia.

Bagaimanapun, Pak Hashim berjaya meloloskan diri dalam serbuan itu menerusi pintu belakang rumah tersebut. -kosmo


[Bergambar] Expo Cheng Ho Bakal Julang Kelantan

Sukarelawan Cheng Ho bersedia

KOTA BHARU – Seramai 400 sukarelawan Expo Perdagangan Antarabangsa Cheng Ho 2010 yang akan berlangsung minggu depan sudah bersedia bagi memastikan perjalanan lancar ekspo berkenaan.

Mohd Nazrin Faiz Che Abd Aziz, 21, berkata, beliau akan mempraktikkan kefasihannya berkomunikasi dalam bahasa Cina bagi membantu pedagang-pedagang dari China yang bertandang ke negeri itu.

“Kami kumpulan sukarelawan menyahut seruan pengerusi, Datuk Husam Musa untuk menyampaikan mesej dan imej yang baik kepada tetamu kita nanti.

“Kami juga sentiasa berada di lokasi ekspo dari 21 hingga 26 November untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi membantu memberikan keselesaan sepanjang mereka berada di Kelantan,” katanya selepas menyertai kursus peringkat kedua di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, di sini, semalam.

Sukarelawan, Soon Xue Ning, 23, pula berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri Kelantan seharusnya dipuji kerana ia dapat membantu menjana ekonomi negeri itu agar maju seiring negara China.

“Saya sangat berbangga apabila negara China dipilih untuk menyertai ekspo kali ini, ekspo ini juga memberi peluang kepada mengasah dan menajamkan lagi skil komunikasi serta perkhidmatan kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu, sukarelawan dari negara China, Yusuf Daud, 21, penuntut tahun akhir Pengajian Bahasa Arab di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), di sini, seronok terpilih sebagai sukarelawan ekspo berkenaan. -SH


Expo Cheng Ho bakal julang Kelantan

SIAPA sangka suatu hari nanti Kelantan Darul Naim akan lebih dikenali di China daripada negara Malaysia sendiri?

Jangan salah faham, bukan Kelantan hendak bersaing dengan Malaysia sebagai sebuah negara.

Tetapi Kelantan sudah mula meletakkan dirinya sebagai 'leading state' sebagai hab utama pelancongan, perdagangan, produk makanan halal, kesenian, perubatan dan pendidikan yang berasaskan Islam dalam negara.

Bolehkah impian ini direalisasikan? "Sudah tentu, saya berkeyakinan kita akan berjaya menarik kuasa pasaran, peniaga dan pelancong yang ramai sempena Expo Cheng Ho yang akan diadakan pada 21 hingga 26 November depan," kata Dato' Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Penatnya belum hilang. Selepas berkempen di Galas, beliau bergegas ke China. Sebaik pulang keesokannya, terus hadir dalam temuramah dengan Bernama TV. Siaran mengenai Expo Chengo Ho dipancarkan dari jam 1 hingga 2 petang, di saluran Astro 502 hari Sabtu lepas. Selesai dengan Bernama TV beliau menghadap penulis pula.

Tetapi Husam adalah 'Man with a mission'. Beliau tidak kenal erti penat lelah, tidak menoleh ke belakang. Rancangannya cukup besar.

Expo Cheng Ho yang dirancang merupakan yang pertama diadakan di dunia.

Ianya akan menjadi hab pameran perdagangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.

Lebih 300 syarikat perniagaan dari seluruh dunia, terutamanya syarikat milik umat Islam akan mempamerkan produk-produk keluaran mereka.

Difahamkan lebih 700 gerai pameran yang disediakan. 160 buah syarikat daripada negara China, 100 buah syarikat dari Kelantan dan lebih 150 buah syarikat antarabangsa akan mempamerkan produk di dalam sebuah pavilion besar yang akan disediakan.

Manakala sekitar 300 gerai disediakan di luar dewan pameran untuk peniaga-peniaga dari Kelantan dan seluruh Malaysia.

Persoalannya, mengapa dinamakan Expo Cheng Ho? Expo ini diadakan bersempena memperingati dan meraikan kedatangan armada laut Laksamana Cheng Ho ke Semenanjung Tanah Melayu 600 tahun yang lalu.

Apa signifikannya Cheng Ho? Yang penting kata Husam, Cheng Ho adalah seorang Muslim yang membina jambatan diplomatik, menghapuskan lanun-lanun, membawa keamanan serantau.

Cheng Ho katanya mendarat lebih awal di Kelantan daripada negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut Husam, pihak Kerajaan Negeri Kelantan sudah pun mendapat persetujuan dari Muzium Cheng Ho di Melaka untuk memindahkan sementara bahan serta artifak untuk dipamerkan sepanjang expo berlangsung.

Misi penyebaran Islam, keamanan, perdagangan serta idea yang dicetuskan Laksamana Cheng Ho sejak 600 tahun lampau, kini diterjemahkan dalam Expo yang akan berlangsung selama enam hari tersebut.

Kelantan katanya, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menjadi peneraju utama mempromosikan kesatuan di kalangan umat Islam serantau melalui kolaborasi perdagangan dan hubungan diplomatik di kalangan pelbagai negara yang berbeza.

Selama enam hari, Expo Cheng Ho akan mengenengahkan peluang-peluang perniagaan, pelancongan, produk halal, perbankan Islam, industri, bioteknologi serta produk berasaskan pertanian.

Bagi yang berminat dengan lebih mendalam, mereka boleh menyertai beberapa forum yang bakal diatur di sepanjang Exco berlangsung.

"Tokoh-tokoh serantau yang akan menghadiri Expo Cheng Ho ini akan kita maklumkan dari masa ke semasa.

"Bagaimanapun yang sudah mengesahkan kehadiran, antaranya ialah penulis kaligrafi al-Quran terpanjang, iaitu sepanjang 209 meter akan kita pamerkan, serta persembahan akrobatik seperti berjalan di atas tali merentasi Stadium Sultan Muhammad juga ada. Rugi kalau siapa-siapa tak nak mari (datang)" katanya.


Foto ehsan Topeng Perak










Suami Mati Ditikam 6 Lelaki, Isteri Ditahan Bantu Siasatan

Suami mati ditikam enam lelaki, polis tahan isteri untuk bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia mati ditikam enam lelaki dalam satu pergaduhan di rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya dekat sini kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis menahan isteri lelaki yang berumur 24 tahun itu yang dipercayai turut terbabit dengan kejadian bagi membantu siasatan, manakala enam lagi suspek melarikan diri.

Beliau berkata, lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu maut selepas ditikam oleh enam suspek yang juga rakannya, warga Indonesia.

Katanya, polis percaya kejadian berpunca daripada pertengkaran apabila lelaki itu dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada salah seorang daripada enam lelaki berkenaan.

"Dia ditikam di rumahnya di tingkat lima, kemudian dia melarikan diri ke tingkat dua dan mati di situ," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki itu mati akibat ditikam berkali-kali dengan senjata tajam seperti pisau dan parang, dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Arjunaidi berkata, polis sedang berusaha memburu enam suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.-Bernama