4 Nov 2012

[PANAS] UMNO Gigil: Ramai Pemimpinnya Bakal ke Penjara Bila PR Tawan Putrajaya - Video


Pakatan Rakyat (PR) akan mengheret ke mahkamah mana-mana individu atau pemimpin Umno-BN yang pernah terlibat dengan rasuah sekiranya diberi peluang menerajui kerajaan.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan tidak bermoral akan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Demikian ujar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di program Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan di Seremban Jaya malam tadi.

Menurut Anwar lagi, tindakan pemimpin Umno-BN menyalahguna kuasa dan kedudukan mereka ketika berkuasa telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada rakyat dan negara ini.

“Saudara, kita tak nak ganggu dia, tetapi yang dia kata kalau kita menang, kita akan jadi alat dan pencacai kepada DAP (tetapi) sebenarnya yang mereka takut adalah harta yang mereka rampas daripada rakyat.

“Anak Perdana Menteri, anak bekas Perdana Menteri, kerjanya, bilion ringgit dia ambik, apa kamu ingat duit ini bapa kamu punya ke atau rakyat punya.

“Syarikat petroleum bilion ringgit bila untung beli syarikat arak dan ustaz Umno pun kata hidup Melayu,” sindir Anwar.

Sebelum itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula sekali lagi memberi jaminan bahawa DAP tidak pernah berhasrat menghapuskan keistimewaan orang Melayu.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri terakhir dari Umno-BN.

“Najib Razak pecah rekod sebagai Perdana Menteri yang memiliki penggal terpanjang sebelum pilihan raya, tetapi kalau dia tak bubar, maka pada 23 April 2013 Parlimen akan terbubar secara automatik.

“Kita boleh bagi dia peluang untuk cipta satu lagi rekod iaitu Perdana Menteri terakhir Umno-BN,” ujar Kit Siang.

Kit Siang turut menyentuh skandal RM40 juta ‘Aman gate’, kenderaan SUV mewah, Hummer, milik Micheal Chia tetapi digunakan oleh anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri. -selangorku

Isu TGHH Bertanding Di Pekan: TGNA Beri Lampu Hijau, Harun Taib Mahu Beliau Kekal Di Marang

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di Parlimen Pekan tidak lebih menggambarkan beliau seorang yang setia kepada parti.

Harun berkata, apa dinyatakan Abdul Hadi itu menunjukkan dia akur bertanding mana-mana tempat diputuskan parti, namun beliau tidak terfikir Abdul Hadi akan bertanding di Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Bagaimanapun, beliau memberitahu tidak mengetahui maklumat sebenar mengenai perkara itu dan belum berjumpa Abdul Hadi untuk dapatkan kesahihannya.

“Saya tidak jumpa lagi dengan beliau sama ada sungguh atau tidak (mahu tanding di Parlimen Pekan), tetapi apa yang boleh dikatakan, ia bermakna kesetiaan beliau terhadap parti,” katanya, semalam.

Harun mengulas laporan berhubung kesediaan Abdul Hadi untuk bertanding di Parlimen Pekan, sekali gus menunjukkan kesediaan beliau melawan kerusi yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdul Hadi ketika ini penyandang kerusi Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang.

Harun berkata, Pas sudah tentu akan beri kerusi ‘sesuai dan munasabah’ kepada Abdul Hadi.

Menurutnya, parti akan buat keputusan bijaksana sesuai dengan jawatannya dalam usaha membawa hala tuju parti selepas pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut Harun berkata, hanya kerusi Parlimen Marang dilihat sesuai untuk Abdul Hadi.

“Buat masa ini (Abdul Hadi sesuai) di Parlimen Marang, bukan Maran,” katanya.

Mengenai sama ada Abdul Hadi masih bertanding dua kerusi sebagaimana pilihan raya sebelumnya, Harun menegaskan urusan calon terpulang kepada parti. -SH

Nik Aziz beri lampu hijau Hadi tanding Pekan
KOTA BHARU - Hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu bertanding di Parlimen Pekan, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) disambut baik dan direstui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Abdul Aziz semalam memberi 'lampu hijau’ kepada Ahli Parlimen Marang itu dan menyokong kenyataannya bertanding PRU13 menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dia (Abdul Hadi) adalah presiden parti, jadi apa (hasrat) yang dicakapkan kita akan turut dan sokong demi kebaikan parti serta perjuangan Islam.

“Saya sangat menyokong sekiranya Abdul Hadi benar- benar mahu bertanding di Pekan pada pilihan raya akan datang untuk menentang mereka yang mengagun-gagungkan perjuangan kebangsaan daripada memilih agama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Nik Aziz yang juga Pengerusi Majlis Syura Ulama Pas tidak terkejut dengan pengumuman Abdul Hadi yang ingin berhijrah ke Pahang walaupun tidak dapat memberi jaminan sepenuhnya sama ada kemenangan memihak kepada parti mahupun pihak lawan.

“Sekarang ini menang atau kalah itu lain hal, apa yang penting adalah sokongan kepada beliau setelah menunjukkan keberanian untuk bertanding di kerusi disandang Perdana Menteri,” katanya.

Tanpa menunjukkan kebimbangan terhadap kerusi Parlimen Marang sekiranya dilepaskan Abdul Hadi nanti dengan penghijrahannya ke Pekan, Nik Aziz mengharapkan perjuangan tersebut disokong penuh.

Nik Aziz juga Menteri Besar Kelantan turut menyuarakan kebimbangan sekiranya pilihan raya yang berlangsung di Pekan tidak dilaksanakan dengan adil.

“Saya minta ketika pilihan raya nanti tidak ada pengundi- pengundi hantu yang mempengaruhi keputusannya,” katanya.

Dalam masa sama, Nik Aziz juga turut memuji keberanian Abdul Hadi itu untuk melawan mana-mana calon yang dilihat menolak kepada perjuangan Islam
-SH



[BERGAMBAR] Tanah Runtuh, Kuarters Polis IPD Gombak Terjejas

Selayang - Puluhan keluarga pegawai dan anggota polis di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh kira-kira jam 7 malam selepas hujan lebat melanda Lembah Kelang sejak petang tadi.

Akibat kejadian itu, tiga kereta yang diletakkan berhampiran kuarters itu rosak selepas ditimpa batu yang jatuh berikutan runtuhan tebing itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Rosly Hassan berkata, siasatan awal bomba mendapat kondisi tanah berada di tahap kritikal dibimbangi berlaku pergerakan tanah sekiranya hujan berterusan.

Menurutnya, sebagai langkah awal keselamatan dan pengawasan, seramai 150 orang daripada 32 keluarga yang tinggal di blok F1 diarahkan meninggalkan kediaman serta berkumpul di dewan.

“Hujan berterusan bermula jam 4 hingga 6 petang dipercayai antara punca berlakunya rekahan tanah dan kejadian ini adalah insiden pertama berlaku sejak kuarters berkenaan diduduki 2002.

“Keluarga yang dipindahkan itu tidak dibenarkan memasuki blok bagi tujuan keselamatan sehingga pengesahan kondisi tanah diputuskan agensi berkaitan,” katanya sewaktu meninjau runtuhan tebing.

Katanya, jarak runtuhan tebing dengan blok F1 yang didiami 32 keluarga itu cuma adalah 1.2 meter sahaja.

Beliau berkata, hanya penduduk satu blok itu diarahkan keluar dan pihaknya masih menunggu laporan terperinci daripada pihak Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Selayang.

Seorang penduduk ditemui, Aida Ninggal, 50, berkata, ketika kejadian dia bersama suami keluar membeli kelengkapan dapur.

“Saya menerima panggilan telefon dari anak perempuan sekitar jam 7 malam memaklumkan berlaku runtuhan tebing berhampiran rumah dan terdengar siren kecemasan.

“Saya bersyukur tiada apa-apa kejadian buruk berlaku ke atas anak yang ketika itu tinggal bersendirian dan sedang tidur,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Nor Shamsiah Ibrahim, 49 berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan lima anaknya berada di rumah sedang menonton televisyen.

“Saya yang tinggal di tingkat satu terkejut mendengar dentuman kuat ingatkan kemalangan.

“Namun apabila meninjau di luar tingkap mendapati bongkah batu dari tembok pengadang runtuh dan menghempap tiga kereta yang salah satunya rosak teruk,” katanya yang baru menduduki tersebut dua tahun lalu. -SH

PKR Lancar ‘Pakatan Harapan Rakyat’


PKR selangkah lagi menuju Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) apabila melancarkan kempen bertemakan ‘Pakatan Harapan Rakyat’ sebagai medium menyahkan fitnah politik BN.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PKR menjadi parti politik pertama yang menjalankan kempen ini.

Katanya, kempen tersebut mengetengahkan idea,harapan dan wajah rakyat untuk memberi kelainan kepada Malaysia.

“PRU kali ini akan jadi medan BN untuk menghambur segala caci nista kepada keadilan (PKR) “Sebab itu PRU-13 ini kita tidak mahu dirosakkan dengan cacian mereka. Makanya kempen poster dan papan tanda gergasi ini adalah pendekatan kita untuk menolak kempen berbaur fitnah yang akan dimainkan oleh BN,” katanya ditemui selepas perasmian kempen itu di Ibu Pejabat PKR pagi tadi.

Beliau turut menafikan bahawa kempen ini bukan untuk propaganda namun membawa mesej,warna dan harapan rakyat.

“Tsunami politik 2008 telah membawa perubahan termasuk pembentukan Pakatan sebagai wadah reformasi yang menjadi wadah baru kepada rakyat,” katanya.

Jelas beliau, fasa pertama sebanyak 10 bilboard akan dipasang, dan fasa kedua kempen secara online akan dilakukan.

Turut hadir dalam perasmian itu termasuklah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pimpinan parti.

KEADILAN lancar poster kempen PRU 13 tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’

KUALA LUMPUR 2 Nov: KEADILAN menjadi parti politik pertama di Malaysia melancarkan poster dan billboard kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13 dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’ Disempurnakan Presiden, Datuk Seri Dr Wan AzizahIsmail hari ini, kempen itu sarat dengan mesej rakyat warna rakyat dan harapan yang diketengahkan KEADILAN.

“Kita tak mahu PRU 13 dirosakkan dengan fitnah politik dan cacian Barisan Nasional. KEADILAN mahu mewarnai kempen dengan idea, harapan, wajah-wajah rakyat, semangat dan keyakinan bahawa Malaysia berhak menjadi lebih baik.

“Kempen ini menolak pendekatan kotor berbaur fitnah politik yang akan dimainkan BN,” katanya pada pelancaran di ibu pejabat parti, pagi ini.

Turut hadir, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli; Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Exco Selangor, Rodziah Ismail.

Sejak 2008, Wan Azizah berkata, KEADILAN dan Pakatan Rakyat membawa isu rakyat, antaranya kenaikan harga barangan, pendidikan percuma, pembelaan terhadap wanita.

“Inilah isu rakyat. Mereka letakkan harapan tinggi agar persoalan asas ini dapat dirungkai. Perjuangan Pakatan tidak boleh dipisahkan dari harapan rakyat.

“Keadilan akan terus memegang amanah sebagai parti tunjang dalam Pakatan,” katanya.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution pula, berkata 10 bilboard diperkenal bagi fasa pertama kempen manakala fasa seterusnya diperkenal menjelang PRU-13.

“Segala urusan termasuk kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) diuruskan sebuah pasukan khas,” katanya yang menyatakan kempen itu turut diperluas melalui media.

“Setakat ini, sebanyak 13 tajuk risalah disebar luas sejak empat bulan lalu,” katanya.














[VIDEO] TG Haji Hadi Seru Rakyat Ubah Kepada Pakatan Rakyat


Ubah kepada cara Pakatan Rakyat - Presiden PAS

Seremban: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat Malaysia mengubah cara berpolitik di negara ini kepada cara baru iaitu cara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat.

"Cara BN cara lama. Cara parti dibentuk dari bangsa-bangsa. Berbeza dengan cara Pakatan Rakyat. Parti-parti kita semua berbilang kaum dan agama.

"PAS parti islam dari pelbagai kaum. Ada juga bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. PKR parti pelbagai kaum dan agama. Begitu juga DAP.

"Berbeza dengan BN. Semua partinya dari parti kaum," kata beliau di Himpunan Kebangkitan Rakyat dekat Taman Seremban Jaya, Senawang malam ini.

Puluhan ribu rakyat pelbagai kaum dan agama berhimpun di sini bagi menyertai perhimpunan yang penuh sejarah itu. Padang usang itu penuh dengan keghairahan rakyat untuk memperjuangkan hak mereka.

Tepukan dan laungan reformasi bersatu dengan teriakan Allahuakbar dari para penyokong PAS, PKR dan DAP.

Pelbagai barangan kempen dijual oleh penyokong PAS, PKR dan DAP di perhimpunan ini.

DAP membawa treler dan lori kempennya manakala PKR membawa bas dua tingkat jelajah rakyatnya.

Selain Ustaz Hadi, turut berucap adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Penyanyi Ito yang berasal dari Negeri Sembilan telah diberikan penghormatan untuk melancarkan lagu Pakatan Rakyat bertajuk 'Ubah Sekarang' di perhimpunan ini.

Ustaz Hadi dalam ucapannya menyatakan sekali lagi komitmen Pakatan untuk mematuhi perlembagaan negara tetapi membawa mesej yang berbeza sama sekali dari BN.

"Kita memegang perlembagaan yang sama tetapi penghayatan yang lain dari BN," kata Ustaz Hadi.

Dalam ucapannya juga, Ustaz Hadi berkata, memang PAS bersekongkol dengan DAP dalam Pakatan Rakyat "tetapi kita mentafsirkan Islam secara yang sebenar.

" "Kerajaan tidak boleh berlagak sebagai Tuhan, pemimpin bukan juga bukannya manusia suci," tegas beliau ketika mentafsirkan sistem pemerintahan yang dikehendaki Pakatan.

Beliau juga memberitahu, PAS tidak pernah memaksakan Islam kepada orang lain kerana "tiada paksaan dalam agama.

" Oleh itu, katanya, tidak berbangkit PAS menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak termasuk DAP apabila PAS tidak memaksakan Islam kepadanya kerana ia sememangnya hak yang dberikan oleh Islam.

Beliau juga menegaskan, PAS akan sentiasa komited untuk mempertahankan hak bumiputra kerana mereka sememangnya tertinggal dari segala segi selepas disusun sedemikian rupa oleh penjajah.

"Namun dalam masa yang sama kita juga perlu memberikan hak istimewa kepada kaum Cina dan India yang miskin kerana mereka juga mesti dibela.

"PAS akan memperjuangkan hal ini dan ini adalah tanggungjawab kita," tegasnya dengan disambut teriakan takbir dan tepukan gemuruh dari para hadirin yang pelbagai kaum, agama dan jantina itu.

BN tak mahu berubah, rakyat wajib tukar.

SEREMBAN: Rakyat wajib menukar kerajaan yang ada pada hari ini memandangkan Umno BN tidak bersedia membuat perubahan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat merupakan hakim yang menghukum kerajaan apabila pemimpin tidak menjalankan amanah dengan baik.

"BN tak bersedia buat perubahan jadi kita wajib mengubah kerajaan hari ini.

"Rakyat boleh mengadili pemimpin-pemimpin. Di Britain misalnya, bila pemimpin buat silap rakyatnya hukum dengan menukar kerajaan.

"Di Malaysia tak jadi begini sebab BN sangka dia jadi kerajaan selama-lamanya," kata beliau sewaktu berucap di Perhimpunan Kebangkitan Rakyat, di Taman Seremban Jaya, dekat sini, malam ini.

Ustaz Hadi berkata, pemimpin BN tidak boleh menganggap mereka boleh menjadi kerajaan yang terbaik buat selama-lamanya.

"Pemimpin BN tidak boleh berlagak menjadi Tuhan, tidak boleh mengganggap kesenangan rakyat datang dari mereka.

"Mereka tidak boleh menganggap mereka yang terbaik selamanya kerana rakyat yang menjadi hakim," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Justeru, beliau mengajak rakyat melakukan perubahan bersama-sama Pakatan Rakyat yang sudah membuktikan mereka memberi layanan yang sama rata kepada semua kaum.

"Pakatan boleh menunjukkan perpaduan, bukan parti satu kaum sahaja.

"Mari kita ubah cara baru, cara Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu meminta rakyat mengekalkan momentum kebangkitan malam ini sehingga ke perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Melihat kepada kesabaran dan kesungguhan rakyat malam ini walaupun dalam keadaan hujan, saya yakin himpunan akhir nanti, seluruh rakyat akan berada di Kuala Lumpur Januari ini," katanya.

Beliau juga mengajak rakyat turun beramai-ramai ke perhimpunan kebangkitan rakyat kali kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 16 November ini.

"Jangan lupa 16 November ini kita turun ramai-ramai ke Kota Bharu untuk perhimpunan kedua," katanya. -HD





[BERGAMBAR] 1103 BERSIH: Puluhan Ribu Rakyat Berhimpun Biarpun Hujan Rahmat Mencurah Turun


Seremban: Biarpun hujan lebat turun tidak berhenti-henti sejak jam 5 petang tadi, namun ianya tidak menghalang ribuan rakyat hadir ke pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya di sini malam ini.

Dianggarkan sehingga jam 9.30 malam, 10,000 orang dari pelbagai kaum memenuhi ruang padang dihadapan pentas dan jumlahnya semakin bertambah menjelang ucapan pemimpin utama Pakatan Rakyat di penghujung program malam ini.

Mereka tetap hadir walaupun terpaksa berpayung, berbaju hujan dan berada dalam becak di tengah padang, semata-mata mahu mendengar amanat dari pimpinan mereka. (Angka meningkat kepada 30,000 pada jam 10.30 mlm - GB)

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang dijangka akan menyampaikan amanat khas malam ini.

Tirai program malam ini dimulakan dengan ucapan wakil-wakil NGO rakyat termasuk NGO 'R' yang memperjuangkan tuntutan royalti, NGO Anti-Lynas, NGO Anak yang memperjuangkan nasib peneroka, NGO Bersih yang memperjuangkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil serta wakil NGO Kase yang membantah saman ekor termasuk penggunaan AES.

Sesuai dengan nama Himpunan Kebangkitan Rakyat, warna tema pada himpunan kali ini juga mewakili warna tema NGO-NGO tersebut.

Empat warna tema malam ini adalah warna kuning sebagai menyokong perjuangan Bersih, Oren untuk Anak, merah untuk Royalti dan hijau untuk Anti-Lynas.

Turut berucap diawal program malam ini termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Taufek Ghani, Pengerusi DAP Negeri Sembilan Lok Seiw Fok, serta Pengerusi PKR Negeri Datuk Kamarul Bahrin Abas.

Ketika ini antara pemimpin Pakatan Rakyat yang duduk di pentas utama termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof.

Selain itu, turut kelihatan pemimpin ketiga-tiga parti Negeri Sembilan, pemimpin pakatan rakyat di segenap peringkat serta Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Ucapan oleh pemimpin utama dijangka bermula jam 10 malam ini.

Ketika ini kelihatan Bas Merdeka Rakyat yang membawa ketiga-tiga ketua pemimpin parti, Anwar, Kit Siang dan TG Abdul Hadi tiba di tapak program. -HD