24 Jan 2011

Steady PERKASA. Tapi Apasal Segan Nak Berdemo Lagi?

Isu salam: PERKASA sokong mufti, pendekatan Nik Aziz

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan pendekatan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu keengganan calon PAS bersalam dengan lelaki di Tenang.

Ketua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah (kanan) berkata, isu melibatkan Normala Sudirman yang ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek berpunca akibat kegagalan memahami Islam.

"Macam pendekatan Tuan Guru Nik Aziz, (apabila) mereka ini tidak faham (Islam), jadi kita mesti fahamkanlah mereka," katanya.

"(Contohnya) macam isu melibatkan DAP juga, (berlaku) kerana mereka tidak faham."

Dalam pengalaman Pakatan Rakyat, Nik Aziz antara pemimpin PAS yang kerap berbeza pandangan dengan pemimpin lain daripada DAP dalam isu agama, khususnya negara Islam.

Beliau juga sering dilapor menyimpulkan apa yang berlaku akibat pemimpin berkenaan tidak memahami Islam dan perlu dimaklumkan tentang ajaran agama yang sebenar.

Di Tenang, kenyataan Chua kelmarin mengundang reaksi keras pelbagai NGO dan tokoh Islam, antaranya Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Harussani dan PAS sendiri.

Senada dengan peguam Muslim

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Arman Azha berkata menjadi tanggungjawab parti-parti komponen lain dalam BN menjelaskan "apa yang salah, apa yang tidak" kepada Chua secara matang.

tenang by election day 1 230111 chua soi lek campaigning 3"Kalau kita marah pun, mereka semakin jauh. Kalau perkara itu salah, Rasulullah suruh panggil dan nasihati cara yang betul daripada kita bertindak tidak tentu arah," katanya.

Bagaimanapun, Arman Azha tetap beranggapan bahawa tindakan Chua itu salah dan menghina Islam.

Justeru, menurutnya, ahli politik veteran itu patut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

"Bukan hanya minta maaf, tetapi dia juga kena memahami konteks Islam yang sebenar," katanya, senada dengan tuntutan PPMM semalam.

Ditanya sama ada pihaknya akan menganjurkan demonstrasi - tindakan yang dilihat sinonim dengan NGO Melayu itu kebelakangan ini - Arman Azha menjawab:

"Bukan semuanya kita berdemo." -mk

Ulasan GB

Apaakah isu yang menentang aspirasi UMNO saja yang akan didemokan PERKASA?

Cemas: Pelajar Tkn 3 Ingin Terjun Dari Tingkat 2 Bangunan Sekolah (updated)



Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di sini cuba dipujuk anggota penyelamat apabila mengugut untuk terjun dari tingkat dua bangunan sekolah itu hari ini.

Detik cemas yang berlarutan lebih sejam itu dipercayai bermula apabila pelajar terbabit diserang histeria dengan menjerit lalu melompat keluar dari kelas ke koridor melalui tingkap.

Bagimanapun tindakan pantas pasukan penyelamat terdiri daripada Bomba, Polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya menyelamatkan nyawa pelajar terbabit. -- fotoBERNAMA

Berita terbaru

TEMERLOH - Pelajar dan guru sebuah sekolah di sini, cemas seketika apabila seorang pelajar perempuan yang mengalami histeria cuba terjun dari tingkat dua bangunan sekolah itu hari ini.

Detik cemas itu berlarutan lebih sejam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam berjaya menyelamatkan pelajar tingkatan tiga berkenaan.

Suasana kecoh dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu turut menarik perhatian petugas Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh.

Pegawai Pelajaran Daerah Temerloh, Mohd Nadzri Ab Wahab berkata, beliau difahamkan pelajar terbabit tiba-tiba menjerit ketika berada dalam kelas, sebelum bertindak keluar ke koridor menerusi tingkap.

Pelajar itu juga bertindak membaling tingkap kaca ke bawah sebelum membuka tudungnya dan berlari-lari di sepanjang koridor yang mempunyai kelebaran satu meter dan tidak berpenghadang, katanya.

Keluarga pelajar tersebut yang datang selepas dihubungi pihak sekolah juga gagal memujuk pelajar itu, katanya.

Mohd Nazri berkata, kejadian histeria telah beberapa kali berlaku di sekolah terbabit namun kejadian pagi tadi disifatkan paling mencemaskan.

Pelajar itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan lanjut. - Bernama



Bapa Bolek Anak Lintik: PAS Saman Anak Soi Lek

Didakwa fitnah Cikgu Mala, PAS mahu saman anak Soi Lek

Normala Sudirman dengan gaya sendiri menjawab soalan pemberita pada sidang media sempena kempen hari ketiga hari ini.

LABIS, 24 Jan — PAS Johor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong kerana didawka telah memfitnah calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Laporan akhbar harian China Press hari ini memetik Chua, anak Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, sebagai berkata Normala ada bertanya kepada seorang peniaga Cina “kenapa jual minuman arak” ketika berkempen.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad, pihaknya akan menyaman Chua kerana telah membuat tuduhan yang tidak berasas.

Selain itu, Dzulkefly memberi tempoh 24 jam kepada Chua untuk membuktikan tuduhan tersebut.

“Tuduhan itu adalah satu pembohongan, dalam masa 24 jam kita minta Tee Yong untuk buktikan nombor kedai, tempat dan masa kejadian itu berlaku.

“Kalau gagal kita akan hantar surat peguam dan memfailkan saman fitnah di mahkamah.

“Calon kita tidak lakukan perkara itu, jadi kita minta Chua Tee Yong buktikan kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menggesa Chua supaya meminta maaf kepada Normala kerana telah membuat tuduhan palsu.

“Chua Tee Yong (gambar) kata Normala pergi ke sebuah kedai kopi dan jumpa dengan bos kedai itu kenapa jual arak?

“Ini adalah satu tuduhan palsu yang dibuat oleh Chua Tee Yong, saya dah maklumkan kepada PAS dan Normala sendiri menafikan perkara itu,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu percaya tuduhan yang dibuat Chua itu adalah kerana mahu menakut-nakutkan pengundi-pengundi bukan Melayu di kawasan Tenang.

“Ini adalah untuk takutkan pengundi Cina, ia adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, dia (Chua) perlu minta maaf kepada Normala,” katanya.

Sebelum ini MCA telah menimbulkan kontroversi mengenai cara bersalam Normala yang enggan bersalam dengan lelaki.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula berkata tuduhan itu dibuat kerana mahu menimbulkan keresahan di kalangan pengundi bukan Melayu khususnya orang Cina.

“Cikgu Mala (Normala) telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa itu adalah tuduhan berniat jahat.

“(Ia) satu perancangan yang jahat untuk menimbulkan keresahan dan ketakutan orang Cina,” katanya.

Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi kelmarin dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Hari pengundian adalah Ahad ini. -TMI


PAS nafi calonnya tanya 'kenapa jual arak'

PAS menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina - China Press - yang memetik ahli parlimen Labis Chua Tee Yong sebagai berkata calon PAS Normala Sudirman bertanya kepada seorang peniaga Cina "kenapa jual minuman arak".

"Cikgu Mala telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa itu adalah tuduhan berniat jahat," kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"(Ia) satu perancangan yang jahat untuk menimbulkan keresahan dan ketakutan orang Cina," katanya dalam satu sidang media di bilik operasi PAS di Tenang hari ini.

NONESehubungan itu, Salahudin yang juga bekas ketua pemuda PAS Pusat mencabar Chua menyatakan di mana, bila dan tempat, calon PAS Normala (kiri) bercakap sedemikian.

"Itu tidak benar sama sekali,"tegas Salahudin.

Mengulas mengenai kejadian provokasi seperti membakar bendera, pengedaran risalah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan kumpulan bermotor membuat bising di tengah malam, Salahudin berkata semua perkara tersebut bukan daripada PAS.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Johor Mazlan Aliman berkata beliau menghantar surat tawaran berdebat dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berhubung isu berkaitan dengan Felda.

Surat tersebut akan diserahkan oleh naib presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) Shamsul Bakri pagi esok, yang akan mewakili beliau.

Bagaimanapun masa dan tempat akan dimaklumkan kemudian kepada pihak media. -mk



Ulasan GB

Bapanya borek anaknya rintik.
Huh sama jer anak dan bapak. Suka main borong dan memfitnah.
Now its time for the allegation be tested in court.

Apabila Kedudukan Dalam Zon Bahaya... Maka "Mengipas" Tugas Paling Utama

PM selalu nasihat menteri hormati hak kaum lain

JELEBU: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sentiasa mengingatkan jemaah menterinya supaya mengiktiraf hak rakyat mengikut kaum dan agama masing-masing.

Katanya, Najib sering menasihatkan menteri Kabinetnya bahawa perpaduan dan kesatuan kaum ini boleh menjadi retak jika ada menteri mengenakan syarat dalam pembangunan sesuatu kaum.

"Kita seharusnya jangan mencabul apa-apa hak itu. Apa yang menjadi asas kepada sesuatu komuniti tidak menjadi rintangan kepada perpaduan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Karisma Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib kelmarin yang mahu agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan bersama dengan kerajaan dalam memastikan golongan tidak berkemampuan terus mendapat pembelaan.

Beliau berkata, hak setiap kaum di negara ini dijamin oleh Perlembagaan dan dengan itu hak-hak itu tidak dicabul.

Sementara itu dalam ucapannya, Rais menekankan bahawa galakan kerajaan dalam membudayakan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk pemberian komputer riba percuma kepada pelajar bukan untuk disalahgunakan.

"Jika kemudahan dan pengetahuan internet ini telah memberi kebaikan, kita rasa amat bersyukur," katanya.

"Keburukan juga banyak ada dalam internet seperti penyebaran fitnah dan pornografi, tetapi pengguna jangan terus membiarkan budaya mereka hanyut dalam arus permodenan ini walaupun komputer, internet dan perisian dicipta oleh masyarakat luar negara," katanya. – BERNAMA

Ulasan GB

Rakyat melihat, mendengar dan mengikuti gelagat menteri yang bernama Rais Yatim, tokoh yang amat kontroversial sejak Wikileaks terbocor.

Dan kenyataan di atas dibaca dengan senyum simpul oleh semua. Komain laju Rais mengipas Najib. Ada yang mencelah:

Kalau tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah.

Semasa era Pak Lah sebagai PM, sampai begini Rais lakukan:



Siapa Sebenarnya Yang Syok Sendiri Di Selangor?

BN bidas k'jaan Selangor 'syok sendiri'

Ketua pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman - ketika membahaskan cadangan meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri - mendakwa kerajaan negeri 'syok sendiri'.

Katanya, Umno Selangor tidak akan sesekali menyokong cadangan itu kerana menurutnya ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan dan bermotifkan politik.

Menurutnhya lagi, kerajaan BN terdahulu tidak pernah membelakangi Sultan, berbeza dengan menteri besar baru yang didakwa tidak dapat menerima pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah mendapat perkenan Sultan.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua pembangkang itu turut mempersoalkan tindakan Speaker Datuk Teng Chang Khim memanggil sidang DUN tanpa notis 14 hari.

Teng bagaimanapun menegur kembali Satim supaya mengingat peraturan tetap dewan sebelum membangkitkan sebarang perkara atau beliau akan diminta keluar untuk mengingatinya.


Penyokong Pakatan ketawa besar.

Dewan mula bersidang jam 10 pagi. ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan pekenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.

Ia diikuti dengan ucapan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurutnya, berdasarkan perkara 10(3) peraturan dewan, kerajaan Selangor membentangkan pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Selangor 1959 terhadap perkara 52(1).

Katanya, pindaan itu dicadangkan supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan Sultan, kata Khalid.

Pakatan Rakyat, tegas Khalid lagi, memberikan komitmen menjunjung perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri serta Rukun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini.

Pakatan juga, tambahnya, berhasrat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

Ulasan GB

Siapa yang sebenarnya syok sendiri?

Yang syok sendiri pakai gelaran Dr walaupun dengan PhD palsu tu siapa ya?

Menyentuh Sidang Khas Sultan sudah pun megizinkan DUN bersidang malah memberikan titahnya yang telah dibacakan oleh Setiauaha Dewan.

Justeru itu tindakan wakil rakyat UMNO jelas tidak menghormati Sultan Selangor. Begitu juga 500 orang yang berarak ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk menyerahkan memorandum bantahan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Jenis tak reti bahasa. Noh Omar punya kerja.


Husam Perlu Tegas Saman Kerajaan Malaysia Di Dalam Tuntutan Royalti

Kerajaan Kelantan bantah tukar mahkamah

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan kesal terhadap keputusan pihak tertentu yang memindahkan kes tuntutan royalti minyak dari mahkamah perdagangan ke mahkamah sivil.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah memfailkan permohonan untuk menukarkan kes itu, malah difahamkan tidak juga dilakukan pihak Petronas.

“Adalah menghairankan kes ini dipindah kebahagiaan sivil tanpa permohonan pihak yang terlibat dan kami berasa sangsi dengan tindakan ini,” katanya semalam.

Pada 30 Ogos lalu, Kerajaan Negeri memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara dengan mendakwa Petronas melanggar perjanjian selain menuntut pembayaran perjanjian petroleum dilaksanakan.

Husam berkata, pendengaran permohonan Kerajaan Pusat untuk mencelah dan memohon menjadi defendan kedua kes ini yang dijadualkan 24 Januari ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri membantah percubaan Kerajaan Pusat campur tangan dalam kes ini memandangkan kes tersebut hanya melibatkan Petronas berasaskan perjanjian pada 1975.

“Ia mungkin akan mendorong Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang lain bagi melindungi hak rakyat Kelantan yang dinafikan,” katanya. -SH

Ulasan GB

Sudah jelas bahawa kerajaan UMNO/Bn akan berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan tuntutan royalti tersebut dengan apa cara sekalipun.

Mereka telah menang pada pusingan pertama apabila Husam mengalah lebih awal untuk tidak menyaman kerajaan Malaysia, sebaliknya hanya menyaman Petronas sebagai defendan tunggal yang mana Petronas telah menandatangani kontrak tapi kemudian pecah kontrak.

Sedangkan langkah awal sebelum pertemuan dengan Petronas, iaitu memasukkan sekali saman ke atas Kerajaan Malaysia itulah yang terlebih tepat.

Benar kerajaan Malaysia tida ada di dalam perjanjian tersebut, namun tindakan Petronas itu adalah dari pihak yang berkepentingan terhadapnya (stake-holder) iaitu Kerajaan Malaysia sendiri dan Petronas bertindak mengikut arahan Kerajaan Malaysia.

Saya hairan bagaimana Kerajaan Malaysia tidak disaman sehingga akhirnya Kerajaan Malaysia bertenggek menjadi pihak yang mencelah di dalam kes ini untuk membantu Petronas pula.

Common on Husam. Rakyat berdiri di belakang anda.



Baru Sekarang Terhegeh-hegeh Datang Ke Sidang DUN

ADUN Pelabuhan Klang dilarang sertai Sidang Khas DUN

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang kerusinya diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu lalu, hari ini dilarang menyertai persidangan khas dewan itu.

Beliau yang tiba pada 9.35 pagi, tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan ketika sidang bermula setengah jam kemudian oleh anggota keselamatan yang memaklumkan kepadanya mereka menerima arahan daripada Speaker, Datuk Cheng Chang Khim.

Bagaimanapun, Badrul Hisham dibenarkan memasuki dewan selepas meminta kebenaran untuk menghadiri sidang DUN itu sebagai pemerhati tetapi terpaksa duduk di bilik media setelah mendapati ruang pemerhati penuh.

Beliau meninggalkan bilik media kira-kira 20 minit kemudian.

Pada sidang media di luar dewan selepas itu, Badrul Hisham berkata beliau masih ADUN Pelabuhan Klang yang sah selagi tidak menerima keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan beliau mengosongkan kerusi berkenaan.

Perkara itu katanya, dimaklumkan kepada beliau oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau juga berkata belum menerima notis rasmi daripada DUN memaklumkan kekosongan kerusi yang diwakilinya.

Pada Jumaat lalu, Teng mengeluarkan kenyataan Badrul Hisham tidak layak menyertai sidang khas hari ini kerana beliau bukan lagi seorang ADUN.

Kenyataan Teng itu adalah susulan pengiystiharan yang dibuatnya pada Rabu bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berkuatkuasa 16 Januari, berikutan kegagalan Badrul Hisham menghadiri sidang DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Teng juga berkata beliau menghantar notis pemberitahuan tentang kekosongan kerusi itu kepada SPR pada Jumaat lalu.

Mengulas kehadirannya hari ini, Badrul Hisham menegaskan beliau hadir atas jemputan Speaker DUN menerusi satu surat bertarikh 11 Januari lalu.

Beliau juga memberitahu media surat itu diterima sebelum kerusinya diisytiharkan kosong oleh Teng. - BERNAMA

Berita sebelum ini

PRK Pelabuhan Kelang | ADUN ponteng, kerusi kosong

Kerusi DUN Pelabuhan Kelang diisytiharkan kosong hari ini.

Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim telah mengumumkan kekosongan kerusi itu berikutan wakil rakyatnya, Badrul Hisham Abdullah telah gagal menghadiri sidang dewan selama 6 bulan.

Datuk Teng memberitahu wartawan bahawa bekas pemimpin PKR itu telah tidak hadir sidang DUN sejak 15 Julai 2010. Bermakna, mengikut Perkara 69 Perlembagaan Negeri Selangor, Badrul mesti mengosongkan kerusinya kerana beliau bukan lagi wakil rakyat kawasan itu sejak 16 Januari 2011.


Ulasan GB

Baru sekarang terhegeh-hegeh datang ke sidang DUN.

Semasa berkewajipan datang tak datang. Ponteng sehingga 6 bulan. Masa tak perlu datang, dah kena gantung, baru terhegeh-hegeh datang.

MB Johor Ketara Semakin Resah

MB Johor serang impian Pakatan tawan Putrajaya

Gambar: Ketara wajah MB Johor (kiri) semakin resah. Foto Bernama.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman melancarkan serangan terhadap Pakatan Rakyat dengan mendakwa gabungan tiga parti itu mahu memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Ghani berkata tindakan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu semata-mata mahu mengejar kuasa seterusnya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

“Janganlah kita pertaruhkan masa depan kepada pihak lawan (Pakatan Rakyat) yang buat pelbagai janji.

“Saya nak jelaskan, hari ini ada parti yang dah datang ke Labis dan Tenang, jumpa orang Melayu cakap lain, kemudian depan (orang lain), cakap lain.

“Mereka (Pakatan Rakyat) bercakap bukan untuk perpaduan tetapi bercakap untuk perpecahan antara kita,” katanya ketika pada program Majlis Jamuan Mesra Bersama Menteri Besar Johor di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Labis di sini malam tadi.

Turut hadir dalam program itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong dan calon Umno-BN Mohd Azahar Ibrahim.

Umno-BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan Rakyat diwakili oleh Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis dan bekas guru sebagai calon.

Menurut Ghani, Pakatan Rakyat akan menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat seterusnya memecahkan perpaduan kaum yang telah terjalin sejak merdeka lagi.

“Dia (Pakatan Rakyat) tak ada masa depan kerana cuba dapatkan tempat dan kuasa dengan perpecahan yang berlaku.

“Cara dia nak pecah belahkan masyarakat untuk mendapatkan kuasa, ini jauh berbeza dengan BN.

“Saya ambil kesempatan ini meminta supaya pengundi berikan sokongan kepada calon BN,” kata Pengerusi Umno Johor itu.

Selain itu, Ghani dalam ucapan juga memberikan jaminan kerajaan pimpinannya akan membantu rakyat di negeri itu termasuk dalam bidang pendidikan.

Beliau juga memberi jaminan Sekolah Jenis Kebangsaan sama ada Cina atau Tamil turut akan mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

Program selama dua jam itu dihadiri kira-kira 300 masyarakat Tionghoa dan ia dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan yang disusuli dengan makan malam.

Selain itu, Mohd Azahar turut mengambil kesempatan menyanyikan sebuah lagi bertajuk “Selamat Tahun Baru Cina” kepada masyarakat Tionghoa yang akan menyambut perayaan itu awal bulan depan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu. -TMI

Ulasan GB

Dahulu lain sekarang lain, wahai Datuk Seri Ghani Othman.

Dahulu Johor adalah kubu terkuat UMNO. Tiada parti pembangkang yang dapat menembusinya. Tetapi sejak PRU12, keadaan berubah, kubu terkuat UMNO di selatan tanahair sudah pun ditembusi, di era Datuk Seri sendiri.

Rakyat tidak selamanya boleh diperbodohkan. Begitu juga pengundi-pengundi di N05 Tenang.

Jika pada 2004, PAS menang satu kerusi secara percuma, pada 2008, PAS menang dua kerusi secara anak jantan. Cabar lagi, dan PAS/PR, insyaAllah, akan terus mencengkam bumi Johor.

Justeru itu, kepada MB Johor, kita katakan, usah takbur, malah kerusi MB Johor itu sendiri bakal dimiliki oleh Pakatan Rakyat. Siapa tahu? Mungkin hanya menunggu detik dan ketika.

Habis La Lu Apek...

Isu bersalam: Harussani anggap Soi Lek hina Islam, perlu minta maaf

LABIS, 24 Jan — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani (gambar) menggesa Dr Chua yang juga Presiden MCA supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi “mengingatkan” masyarakat Cina di DUN Tenang.

“Beliau (Dr Chua) perlu tahu, kalau tahu beliau kena hormati pendirian agama masing-masing, kalau tidak tahu itu adalah kejahilan.

“Kalau tahu tapi buat-buat tidak tahu itu menghina Islam namanya... saya bukan sebut ini untuk pertahankan calon PAS tapi ini melibatkan ajaran agama.

“Jadi beliau perlu minta maaf kerana menghina orang Islam,”
kata Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.

“Barangkali beliau (Dr Chua) tidak tahu, beliau tak tahu apa itu hukum Islam.

“Kalau lelaki dan wanita itu bukan muhrim maka mereka tidak boleh bersalam, itu haram namanya.

“(Dr) Chua kena tahu itu adalah hukum agama, bagi orang Islam yang beriman tindakan itu adalah betul kerana agama jelaskan katakan ia haram,” katanya.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider semalam, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Dalam pada itu, Harussani turut menyifatkan tindakan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengeluarkan “fatwa” baru sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

“Beliau (Nizar) tidak boleh gunakan ajaran agama sewenang-wenangnya, kalau tiada dalam tuntutan (agama) tidak boleh kata haram.

“Kalau nak keluarkan (fatwa) mesti ada nas-nas, jangan main cakap sahaja.

“Kalau tiba-tiba kata haram ia melebihi Tuhan, melebihi Tuhan adalah syirik,” katanya.

Beliau juga menggesa mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan agama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Jadi jangan gunakan agama sewenang-wenangnya, jangan kerana politik agama dipolitikkan.

Saya tidak sebelah mana-mana, apa yang saya cakap berdasarkan agama Islam,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Baru dengar mufti bersuara. Terima kasih dari kami. Chua Soi Lek, Muhyiddin dan Ghani Othman, sila dengar dan patuh kata mufti tersebut. Kalau tak mahu, bawakan nas-nas ke pejabat mufti berkenaan.

Mengani ucapan YB Mohd Nizar, jika Tuan Mufti perlukan nas-nas seperti yang diminta, saya kira PAS sentiasa bersedia mengemukakannya. Di mana boleh berjumpa? Di forum? di rumah? di pejabat? atau di gerai Kg. Baru yang menjadi kegemaran tuan mufti?


Pakatan Rakyat Lancarkan "Huan" (Ubah) Di Tenang

Suasana meriah hari pertama kempen calon PAS ini disemarakkan lagi dengan sokongan padu daripada rakan Pakatan Rakyat.

Gambar: CALON PAS DUN Tenang, Normala Sudirman (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang, Salahuddin Ayub membuat lakaran perkataan Mandarin 'huaan' yang bermaksud ubah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Tengahari semalam, bertempat di perkarangan Wayang Pacak PAS, DAP melancarkan tema sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 3 Februari nanti. Majlis itu diserikan dengan tarian singa dan mainan gendang daripada kumpulan 'Action Team'.

Pada majlis tersebut, Cikgu Mala diberi peluang menyempurnakan tulisan tema Tahun Baru dalam bentuk kaligrafi Cina iaitu 'Huan' yang bermaksud ubah.

Dr Hew Kuan Yau, Exco Publisiti DAP berkata, berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina, setiap Tahun Baru mereka akan memilih satu tema sebagai simbol permulaan yang baik bagi tahun tersebut.

Lazimnya tema yang dipilih ini akan dipamerkan atau digantung di hadapan pintu rumah dengan tujuan menghalau roh jahat. Amalan tradisi ini juga dianggap sebagai membawa tuah bagi masyarakat Cina amnya.

Tambah Dr Hew lagi, Cikgu Mala akan menulis tema tahun baru tersebut sebanyak 6 salinan. Ini kerana bilangan 6 kali atau 6x6 membawa maksud 'sangat lancar'.

"Kami percaya kemenangan untuk memenangi kerusi di Dun Tenang kali ini akan berpihak kepada PR melalui calon PAS, Cikgu Mala."

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Mohammad Sabu, Dato Mahfuz Omar, Dr Dzulkifli Ahmad dan Pengerusi DAP negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau. -n05tenang

Di Ujung Usia, Lee Kuan Yew Merapu Gesa Penduduk Islam Kurang Patuh Pada Agama

Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama

SINGAPURA - Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.

Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India.

Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.

"Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.

"Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.

Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka.

Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.

Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya.

Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.

"Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.

Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.

Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.

"Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu," katanya.

Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.

"Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul," tegasnya.

Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.

Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.

"Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.

"Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya," katanya lagi.

Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa.

Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.

Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004.Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.

"Ia membawa makna lebih keseorangan," kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times. - AFP

Ulasan GB

Jika benar seperti yang diulas oleh penulis di atas terhadap kandungan catatan memoir Lee Kuan Yew, maka ternyata ia menunjukkan bekas PM Singapura tersebut terlalu naif tentang agama Islam.

Ia menyerlahkan kesempitan minda yang saling tak tumpah dengan kesempitan minda rakan karibnya di negara ini, Presiden MCA, Chua Soi Lek yang suka mengkritik Islam dan cara hidup Islam yang akhirnya mendedahkan kejahilannya terhadap isu yang dikritik.

Mengapa semua ini berlaku? Sabab UMNO yang menunjukkan contoh teladan yang tidak baik terhadap Islm selama mereka berkuasa.

Orang bukan-Islam sebelum ini melihat UMNO sebagai orang Islam yang "liberal" dan boleh dibuat kawan. Tetapi ramai sudah menyedari di sebalik "Islam Liberal" yang dibawa oleh UMNO ini, hakikatnya, UMNO itu korup, UMNO itu pengkhianat, UMNO itu pepat di luar rencong di dalam. Mereka menonjolkan kononnya mereka perjuangkan Islam, hakikatnya mereka peruntuh dan perosak Islam. Tak ramai pemimpin mereka tahu dan boleh baca Al-Quran yang merupakan panduan besar terhadap agama Islam yang mereka anuti. Itu kenyataannya. Dan mereka sendiri mengakui mereka golongan yang tak berapa faham tentang Islam.


Menteri Baru Sedar Pemasangan Beg Udara Tidak Praktikal Pada Kereta Lama

Beg Udara Hanya Sesuai Dipasang Bagi Kereta Baru

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pemasangan beg udara hanya sesuai bagi kereta salon baru yang dikeluarkan di Malaysia pada tahun depan.

Katanya tidak seperti pemasangan tali pinggang keledar, pemasangan beg udara mestilah dibuat ketika kereta itu dibuat dan memasangnya di kereta lama adalah tidak praktikal.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya di sini hari sini sebagai menjelaskan laporan yang disiarkan oleh Bernama mengenai respon pengusaha pengangkutan dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan langkah itu.

Kong berkata menurut penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (Miros), beg udara itu sesuai untuk kereta salon dan bukan kenderaan jenis lain seperti lori dan bas serta sesetengah pacuan empat roda kerana ketinggian, tempat duduk dan reka bentuk adalah berlainan.

Beliau berkata kajian Miros juga menunjukkan beg udara membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kemungkinan mengalami kecederaan serius dan kemalangan jalan dan tidak mengurangkan kadar kemalangan.

"Kita tidak dapat elak sebarang kemalangan kerana banyak sebab yang menyumbang pada punca kemalangan, tetapi apa yang kita boleh buat ialah untuk mengurangkan kecederaan dan kemungkinan menjadi sebab kematian," tambah beliau.

Kong berkata menurut dua pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua), lebih 50 peratus kereta yang dikeluarkan oleh dua syarikat itu telah dipasang dengan beg udara.

"Ia juga menunjukkan bahawa kereta yang dipasang dengan beg udara diterima dengan baik oleh pengguna," kata beliau sambil menambah bahawa pembuat kereta kini mengkaji untuk menyediakannya di semua kereta mereka.

"Harga kereta yang dipasang dengan beg udara adalah lebih mahal, tetapi kita perlu ingat bahawa keselamatan pengguna kereta adalah lebih penting dan nyawa yang tidak dapat dinilaikan.

"Pembuat juga berjanji untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan membantu kerajaan mengurangkan kadar kematian dan kecederaan dalam kemalangan jalan, mereka akan mengenakan bayaran minimum bagi keretanya yang dipasang dengan beg udara," kata beliau. BERNAMA

Ulasan GB

Sebelum keluar kenyataan awal, pastikan ia tidak mengelirukan dan tidak menimbulkan keresahan rakyat.

Sebelum ini menteri berkenaan membuat satu arahan: Semua kenderaan diwajib pasang beg udara mulai tahun depan

Arahan blanket berkenaan telah menimbulkan keresahan rakyat, sekalipun Bernama cuba meberikan justifikasi pemasangannya yang lebih dilihat untuk mengampu menteri berkenaan daripada memberikan persepsi sebenar rakyat umum mengenai cadangan tersebut.

Kita mendesak peraturan baru itu hanya dibkenakan terhadap kereta-kereta yang baru dikeluarkan buakn terhadpa kereta-kereta lama yan menteri itu sendiri sudah akui ia TIDAK PRAKTIKAL.

[Bergambar] Pencalonan Cikgu Mala Bangkitkan Semangat Kaum Hawa

Normala 'kejut' pengundi hawa

ALOR SETAR - Strategi Pas meletakkan calon wanitanya, Normala Sudirman, 38, bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang adalah sebahagian daripada usaha parti itu untuk menyedarkan kaum wanita bahawa sokongan mereka juga penting kepada parti.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, langkah ini juga dibuat supaya berlakunya kebangkitan semula pengundi wanita untuk sama-sama menyumbang kepada parti.

“Saya harap wujud satu perubahan besar apabila kita meletakkan calon wanita kali ini. Selama ini pun kita tak pernah pinggirkan calon wanita. Seingat saya, pada tahun 1969 calon wanita Pas ada bertanding, dan selepas era 90an, semakin ramai calon wanita diletakkan,” katanya.

Ir Phahrolrazi yang juga Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah berkata, Pas tiada masalah untuk menentang calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim, 39, walaupun sebelum ini calon lelaki lebih menjadi pilihan.

“Perbezaan jantina bukan ukurannya, yang penting calon Pas mampu tarik keyakinan pengundi dan memang layak. Semua akar umbi parti harus yakin pada kebolehan Normala dan tak perlulah pihak lawan memperlekeh kemampuannya hanya kerana dia seorang wanita,” katanya.

Menurutnya, potensi untuk Pas menang dalam pilihan raya kecil ini agak cerah memandangkan jumlah pengundi wanita yang keluar mengundi adalah besar.

“Kita kotakan janji bila cakap akan letak calon wanita,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, kontinjen pilihan raya Pas Kedah turut hadir pada hari penamaan calon semalam, dengan menghantar 100 petugas untuk berkhidmat di peti undi Labis.

“Semua peringkat turun padang daripada Pemuda hinggalah Muslimat untuk sama-sama berkempen di Labis. Kita juga mengadakan syif bertugas bermula awal pagi hingga malam bagi memastikan calon wanita kali ini dapat mewakili penduduk di situ sebagai wakil rakyat,” katanya. -SH

Foto-foto ini menyebabkan UMNO tak tenang di Tenang.

Sebaik saja selesai proses penamaan calon semalam, Muhyiddin Yassin mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak memandang ringan dan memperlekehkan calon parti lawan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

YB Dr Siti Mariah merakamkan foto-foto ini.