23 Mei 2013

Zahid, Hentikan Tangkapan ‘Rakus’ Pemimpin Pakatan, NGO


Gambar: Tian Chua ditahan di LCCT

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menyelar tindakan rakus Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sejak memegang jawatan, berterusan menggunakan kuasa sewenangnya bagi menutup mulut rakyat dan menghentikan penentangan terhadap penipuan pilihanraya yang lalu.

Pembebasan Adam Adli melalui ikat jamin, tidak mencerminkan apa-apa apabila Yb Tian Chua, Sdr Haris Ibrahim dan Dato’ Thamrin Ghafar ditahan beberapa jam yang lalu.

Tindakan Zahid ini dilihat sebagai penuh kegilaan, mengancam dan menyekat kebebasan majoriti rakyat yang mula bangkit untuk mempersoalkan kerajaan Barisan Nasional serta SPR diatas beberapa penipuan jelas bagi rejim pemerintah mengekalkan kuasa dalam pilihanraya paling kotor dalam sejarah.

AMK Selangor bertegas sebarang bentuk penentangan, dan kebangkitan yang berlaku sejak 5 Mei 2013, bukanlah berpaksi kepada kekecewaan dan tidak menerima kekalahan tetapi adalah satu manifestasi persoalan tentang beberapa bentuk salahlaku serta penipuan pilihan raya.

Rakyat sebagai penentu masa depan negara, berhak mengetahui keadaan sebenar beserta punca serta menggesa tindakan pantas kerajaan untuk menjelaskan perkara ini.

Sebaliknya, Barisan Nasional tergesa-gesa menubuhkan kerajaan sebelum sebarang penjelasan diberikan dan inilah tindakan yang mendatangkan keraguan dan kekecewaan besar kepada rakyat terbanyak.

AMK Selangor menyeru pembebasan segera mereka ini yang lebih bersifat tahanan politik, dan sewajarnya Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri menjamin hak tahanan dan tidak memperlakukan mereka seperti pesalah, selagi mereka tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Justeru, AMK Selangor menyeru rakyat tidak tunduk dan takut untuk mempersoalkan apa juga keraguan berkaitan dengan proses tatakelola negara, dan sebarang usaha keras oleh Zahid Hamidi dan Kementerian Dalam Negeri serta PDRM hanyalah satu usaha terdesak dan terakhir untuk mengekang kebangkitan rakyat ini. Semangat perjuangan rakyat, baru sahaja dinyalakan.

Azmizam Zaman Huri
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia


Bebaskan segera Tian Chua, Haris


PKR hari ini mendesak pembebasan serta merta Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan aktivis Asal Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 sebentar tadi.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kerajaan menghentikan pendakwaan bermotifkan politik terhadap aktivis Pakatan Rakyat dan NGO.

“Ini satu lagi bukti bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi terperangkap dengan dasar-dasar lapuk UMNO-Barisan Nasional (BN).

Menurut Nik Nazmi, pada tahun lepas, Najib mengumumkan bahawa Akta Keharmonian Nasional untuk menggantikan undang-undang zalim tersebut namun Akta Hasutan yang digubal penjajah tersebut kekal.

Ujar beliau, “dakwaan bahawa beliau mahukan rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya baru-baru ini juga terbukti janji kosong semata-mata.

“Ini adalah petanda buruk bagi rejim baru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Penahanan terbaru ini berlaku selepas dakwaan terhadap saya di bawah Akta Perhimpunan Aman dan penahanan aktivis mahasiswa Adam Adli di bawah Akta Hasutan,” kata Nik Nazmi.

Ironisnya, ramai pimpinan UMNO-BN dan akhbar mereka Utusan Malaysia terus membakar sentimen perkauman namun tiada tindakan diambil ke atas mereka sedangkan pimpinan yang berjuang untuk demokrasi menjadi mangsa.

“Ini menunjukkan hipokrasi pentadbiran Najib,” ujar beliau.

Tamrin ditahan di Bangsar

Sementara itu, polis juga menahan Tamrin Tun Ghafar petang tadi di sebuah restoran dekat Bangsar dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

“Saya ditahan oleh Polis Bukit Aman. Polis sedang menunggu saya menghabiskan makan tengahari di Chawan (Restoran), Bangsar,” kata Tamrin dalam sms kepada rakan-rakannya.

Dengan penangkapan Tamrin, polis kini telah menahan empat orang iaitu aktivis pelajar Adam Adli, anggota Parlimen Batu Tian Chua dan akhtivis Asal Bukan Umno, peguam Haris Ibrahim.
-FMT

SAMM Tempelak Zahid Pertahan Rampasan Kuasa Perak


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menempelak Datuk Ahmad Zahid Hamidi dengan bertanya mengapa Naib Presiden Umno itu mempertahankan rampasan kuasa di Perak pada Februari 2009.

“Apakah rampasan kuasa di Perak itu cukup demokratik? Mengapa tidak terima sahaja keputusan PRU 12 lalu bahawa Perak dimenangi Pakatan Rakyat?,” kata Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shahrin.

Beliau juga mendakwa Zahid sengaja memutar belit isu perhimpunan Ahad ini.

“Rakyat protes bukan kerana mahu merampas kerajaan melalui jalan raya tetapi turun kerana pilihan raya 5 Mei lalu penuh penipuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perhimpunan di depan Amcorp Mall di sini disertai lebih 50 NGO ini menyasarkan jawatankuasa tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan segera sebagai tuntutan yang pertama dan utama.

Badrul Hisham mendakwa SPR menjadi punca utama kecurangan besar PRU-13 dengan pelbagai taktik kotor yang diatur untuk memenangkan pemerintah.

“Malah, kononnya SPR direformasikan, tetapi senarai daftar undi masih tidak bersih dan paling penting ialah apabila dakwat kekal yang dijamin tahan lebih lima hari tidak mampu bertahan untuk 5 minit.

“Kalau beginilah reformasi pilihanraya yang ditunjukkan, bukan bukan sekadar celup jari tetapi celup kepala pun boleh menipu tetap boleh berlaku penipuan,” tambahnya.

SAMM juga meminta Zahid selaku Menteri Dalam Negeri jangan mengulangi kesilapan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang asyik berpolitik mempergunakan agensi bawah KDN untuk kepentingan politik sehingga jenayah berleluasa.

“Wahai Zahid ketahui atau tidak bahawa rumah kakak Muhiyuddin telah dirompak dan rumah adik IGP telah dipecah masuk ketika polis sibuk siasat Adam Adli dan Zahid sibuk mempolitikkan isu bantahan rakyat terhadap PRU yang kotor,” katanya. -FMT


Chegubard: Himpunan Sabtu ini tetap diteruskan


Di sebalik tangkapan beberapa pemimpin pembangkang dan NGO, perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke-13 pada Sabtu ini di Petaling Jaya akan tetap diteruskan, kata penggerak utamanya Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Pemimpin SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata, NGO anak muda itu bertekad memastikan himpunan yang dinamakan "SuaraRakyat505" itu mencapai matlamat, walaupun beliau sendiri mungkin ditahan.

"Himpunan ini adalah himpunan rakyat, semua yang hadir tanpa pangkat tetapi sebagai rakyat menuntut demokrasi yang dirampas regim legasi penjajah untuk kekal berkuasa," katanya yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Dalam kenyataan hari ini, Badrul juga mengutuk keras "tindakan tidak bertamadun" pihak berkuasa membuat tangkapan demi tangkapan bermula sejak aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dicekup minggu lalu.

"Negara seolah-olah berada dalam keadaan 'belum merdeka' ketika mereka yang bersuara bercakap benar disumbatkan ke dalam lokap seterusnya didakwa atas akta yang sepatutnya telah dimansuhkan.

"Ini bukti kegagalan transformasi Najib, ketika kerajaan yang ada hari ini tidak punya sokongan majoriti," katanya.
-mk

Tian Chua, Haris Ibrahim & Tamrin Ghaffar Pula Ditahan, Harakah & Suara keadilan Dirampas


Polis hari ini menahan MP Batu Tian Chua, akvtivis Haris Ibrahim dan aktivis PAS Tamrin Ghafar dalam operasi berasingan, dipercayai berhubung perhimpunan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya pada Sabtu ini.

Tian Chua dalam tulisannya di Twitter hari ini menyebut, beliau ditahan sejurus sebelum melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang LCCT kira-kira tengahari.

"Sekarang saya dibawa dalam kenderaan polis (menuju) Balai Polis Jinjang," katanya.

Menurutnya lagi, polis menahannya berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan.

Sementara itu, pemimpin NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, beliau juga sedang dicari polis.

"Di KL, baru dihubungi isteri, maklumkan sekumpulan polis datang mencari saya di rumah ibu di Seremban, saya mohon masa tiga minggu berunding macam (dengan penceroboh) Sulu," tulisnya di Twitter.

Sementara itu, setiausaha agung PSM S Arutchelvan dalam satu tulisan di Facebook pula berkata Haris, yang mengetuai NGO Asalkan Bukan Umno, ditahan oleh lima orang anggota polis ketika sedang makan tengahari di Segambut.

Haris pagi ini muncul di bangunan kompleks mahkamah Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan ke atas aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim yang dituduh mengikut Akta Hasutan hari ini.

Beliau turut berucap dalam forum mengenai dakwaan penipuan pilihan raya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei lalu.

Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar ketika dihubungi berkata Haris turut disiasat mengikut Akta Hasutan.

Beliau juga berkata, aktivis PAS, Tamrin Ghafar yang turut berucap di forum sama, juga ditahan pada hari ini dalam satu operasi polis di Bangsar.

Katanya, Tamrin juga dibawa ke balai sama yang kini menempatkan Haris dan Tian.

Operasi berkenaan berlangsung walau jurucakap bagi penganjur perhimpunan, Badrul Hisham Shaharin telahpun menafikan bahawa ia bertujuan untuk menumbangkan kerajaan seperti 'Arab Spring' seperti yang didakwa pihak berkuasa.

Sebaliknya, perhimpuan di Petaling Jaya pada Sabtu ini adalah 'Festival Rakyat' untuk mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat, katanya.

Gabungan 50 NGO yang menjadi penganjur acara berkenaan dijangka menampilkan bukti dan saksi mengenai dakwaan penipuan pilihan raya dijangka akan ditampilkan ladam perhimpunan berkenaan di padang berhampiran Amcorp Mall.

Antara yang dijangka mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut adalah NGO Suaram, Solidariti Anak Muda Malaysia, Asalkan Bukan Umno, Tindak Malaysia, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Rakyat Malaysia. -mk


KDN rampas ribuan naskhah Harakah, Suara Keadilan


Tiga organ parti dalam Pakatan Rakyat hari ini menjadi sasaran penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjalankan operasi merampas naskhah akhbar berkenaan di beberapa negeri hari ini.

KDN dalam kenyataannya petang ini menyebut, operasi rampasan naskhah Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket itu dibuat kerana penerbitan itu didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.

Ia didakwa melanggar Seksyen 5 undang-undang tersebut yang meperuntukkan syarat edaran untuk ahli sahaja.

"Operasi penguatkuasaan ini telah dilaksanakan di premis-premis yang menjual tabloid di seluruh negara bermula pada 22 Mei 2013 dengan mengambil kira tindakan pemantauan dan teguran yang telah dilakukan oleh pihak KDN sebelum ini.

"Operasi ini akan dilakukan secara berterusan dengan bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 bagi memastikan semua pihak tidak melanggar Akta tersebut," kenyataan itu dipetik.

Menurut KDN lagi, sejumlah 1,408 naskhah Suara Keadilan, 1,062 naskhah Harakah dan 70 naskhah The Rocket dirampas dalam operasi itu.

Pengurus pemasaran Harakah, Ahmad Faisal Tawang ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan dijalankan ke atas pengedar mereka di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, kedah dan Perak hari ini.

“Pengurusan Harakah sehingga kini masih mengumpul data mengenai jumlah rampasan tersebut,” katanya.

Edisi yang terlibat dalam rampasan tersebut menonjolkan isu penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan “GST) dengan tajuk besar 'GST hadiah BN untuk rakyat'.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution pula dalam satu kenyataan berasingan menyatakan pegawai KDN menjalankan tindakan tersebut sejak 24 jam lalu.

Selain merampas nashkhah berkenaan, pegawai KDN juga dakwanya mengancam untuk menangkap pembekal dan pengedar akhbar itu di beberapa tempat.

Ia antara lainnya melibatkan operasi di Ipoh pada malam tadi, di mana seramai tujuh pegawai KDN telah menyerbu premis salah seorang pembekal Suara Keadilan dan merampas 214 naskah akhbar.

Pegawai berkenaan juga dakwanya enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan.

Manakala, di Melaka pula sebanyak 70 naskah telah dirampas dari seorang pengedar yang didakwanya, bahawa pegawai KDN hanya memberi alasan ia telah menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kata Saifuddin.

Kejadian yang sama juga telah berlaku hari ini di Johor Bahru, Johor, Seremban, Bangi dan Kota Bharu, Kelantan, tambahnya lagi.


Ulasan GB

Yang terang-terangan bercakap dan berucap meniupkan api perkauman dari UMNO dan PERKASA tak pernah ditangkap. Blogger pro-UMNO yang terangan-terangan bikin dan siar video lucah di blog masing-masing dan menyiarkan tulisan berbentuk perkauman tak nak pulak ditahan.

Allah tempat kita berlindung dan semuga Dia menurunkan hukumanNya kepada pihak yang zalim.

[BERGAMBAR] Kes Sosilawati: Bekas Peguam, 3 Yang Lain Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati


R.Matan, T.Thilaiyalagan dan N Pathmanabhan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Khamis. -foto AZHAR MAHFOF/The Star

Mahkamah Tinggi pada Khamis menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keempat-empat tertuduh dalam kes pembunuhan ahli perniagaan kosmetik Sosilawati Lawiya di Tanjung Sepat, Banting pada tahun 2010.

"Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan yang munasabah," kata Hakim Akhtar Tahir.

Hakim Akhtar Tahir telah membuat keputusan setelah berpuas hati dengan bukti dan bahan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula 4 Julai 2011.

Bilik mahkamah beliau dipenuhi dengan keluarga tertuduh dan mangsa, media dan peguam.

Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang selepas pergi ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Kehilangan mereka menjadi tajuk utama di seluruh negara.

Bekas peguam N. Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladangnya T. Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22 dan R. Kathavarayan, 33, dituduh membunuh Sosilawati dan pembantu beliau di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, di antara pukul 8.30-9.45 malam pada 30 Ogos 2010





[BERGAMBAR] Adam Adli Diikat Jamin RM5,000, Kes Disebut Semula 2 Julai


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap Adam Adli Abdul Halim dengan seorang penjamin.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian setelah aktivis mahasiswa itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melalui ucapannya pada 13 Mei lalu.

Mahkamah juga membuat keputusan kes tersebut akan disebut semula pada 2 Julai depan.

Adam, 24, dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Beliau diwakili peguam S Ambiga.

Pagi tadi, lebih 50 orang penyokong aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim hadir di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini, pagi ini bagi memberi sokongan kepada Adam yang akan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Adam telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) C Akta Hasutan dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan di Bangsar Utama pada 18 Mei lalu berhubung ucapan beliau pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor 13 Mei lalu.

Adam, 24, disiasat kerana ucapannya pada satu forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor 13 Mei lalu.

Turut hadir peguam N. Surendran, S Ambiga dan juga bapa Adam, Abdul Halim Abdul Hamid.

Pada awalnya keadaan menjadi sedikit kecoh apabila pihak polis tidak membenarkan penyokong Adam Adli memasuki pekarangan lobi mahkamah.

Namun keadaan kembali reda apabila perbincangan dilakukan antara penyokong dengan pihak polis.









[HOT] Sistem Pilihan Raya Malaysia Dicipta Untuk Kekalkan Kuasa BN


Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memerintah selagi sistem pengundian “first past the post” terus digunakan di Malaysia walaupun persempadanan semula dilakukan, kata ahli akadamik Amer Saifude malam tadi.

Timbalan pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) itu menjelaskan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada akhir tahun ini akan memberi kelebihan kepada gabungan dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak dan akan memberikan keputusan lebih baik kepada BN berbanding Pilihan Raya 2013.

“Selagi mana kita mengguna pakai sistem first past the post, ia akan menjadi kelebihan untuk BN,” kata Amer dalam satu forum berkenaan kesan Pilihan Raya 2013 di sini malam tadi.

“Sejarah menunjukkan setiap kali persempadan semula, prestasi BN akan meningkat,” tambahnya.

BN yang diketuai Najib hanya memperolehi 47 peratus undi popular walaupun menang Pilihan Raya 2013 dengan majoriti mudah sebanyak 133 kerusi, berbanding 89 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat (PR).

Beliau turut berkata Najib adalah Pengerusi BN pertama yang paling lemah ketika tempoh penggal pertama menjadi perdana menteri, kesan akibat kegagalan sistem tersebut.

Kegagalan sistem berkenaan jelas Amer dapat dilihat bagaimana BN yang tidak pernah mencatatkan 60 peratus undi popular masih menang dengan junmlah besar yang ditandingi mereka.

Beliau turut menjelaskan bagaimana beberapa kerusi di seluruh negara dipersempadankan semula tanpa sebab yang kukuh.

“Sesetengah persempadanan semula itu tidak masuk akal dan tidak adil, ia biasanya dilakukan untuk kepentingan sesuatu pihak,” katanya.

Beliau bagaimanapun turut berkata sebarang keputusan dan cadangan bagi merombak kedudukan sempadan perlu mendapat keputusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat di Parlimen.

Beberapa pemimpin PR telah menyuarakan hasrat mereka untuk mengambil kesempatan daripada pertambahan kerusi di Parlimen untuk memastikan kedudukan persempadan itu dilakukan dengan adil apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan semula penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengingatkan jika aktiviti itu akan menyebabkan peningkatan jumlah kerusi, undi majoriti dua pertiga diperlukan untuk mengesahkan perubahan sebelum diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Pertuduhan pengagihan pengundi yang tidak adil telah digunakan sebagai hujah utama oleh penggubal undang-undang PR untuk menyokong pertuduhan manipulasi berpihak kepada BN telah menyebabkan gabungan pemerintah itu terus berkuasa.

Dalam artikel terbaru portal berita FZ.com, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan membangkitkan persempadanan kawasan pilihan raya yang sedia ada tidak logik dari segi saiz dan bilangan pengundi.

Perkara ini juga telah menarik perhatian media antarabangsa dengan Wall Street Journal dalam satu komen ditulis wartawan Hong Kong Philip Bowring memberikan pandangan mengapa PR kalah pilihan raya walaupun menang 51 peratus undi popular — keputusan yang ahli Parlimen pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil menyalahkan manipulasi kawasan pilihan raya.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mengatakan dengan pilihan raya berakhir dan usaha akan dilakukan untuk mencabar sesetengah keputusan melalui petisyen pilihan raya, langkah seterusnya bagi PR adalah untuk menumpukan kepada proses persempadanan semula. -TM1

Ulasan GB

Sebenarnya tidak ada masalah mengenai sistem pengundian “first past the post” JIKA badan SPR itu bebas dan berkecuali. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia ialah SPR terlalu senget dan dalam banyak masa lebih merupakan kakitangan parti pemerintah bukan sebuah badan yang bebas. Justeru itu segala tugas yang dilakukan termasuk persempadanan semula kawasan pilihanraya lebih mengutamakan untuk memenangkan BN.

Itu sebab mengapa beberapa siri perhimpunan BERSIH diadakan. Ia bertujuan untuk mendesak agar SPR itu sendiri dibersihkan. Tetapi kerajaan memekakkan telinga kerana mereka tahu baahawa SPR selama ini adalah "budak suruhan" yang amat mereka sayangi kerana telah melakukan kerja-kerja cemerlang bagi pihak BN termasuk beberapa penipuan yang dikesan setiap kali pilihanraya diadakan.

Jadi tugas utama sekarang ialah mengembalikan "kebenaran dan keadilan" ditempatnya yang sebenar. SPR perlu dibersihkan dan semua perbuatan salahlaku SPR selama ini perlu dihukum dan mereka yang terlibat dihumbankan ke penjara.

GB tetap yakin Allah akan membantu kita di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan ini.

Marilah kita sama-sama terus berdoa!

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

وقل رب أدخلني مدخل صدق وأخرجني مخرج صدق
واجعل لي من لدنك سلطانا نصيرا
وقل جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nasiiran
wa qul ja alhaqqu wa zahaqal bathil innal bathila kana zahuqan


Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

[IKTIBAR] Ku Sangka Dia Orang Gila


Pagi tadi lebih kurang pukul 10.30 aku singgah sarapan di bazar batu buruk sementara menunggu interview di steten minyak kerana sudah tiada kerja di Terengganu yang menggunakan Ijazah aku ini. Sewaktu makan, mata ni terpandang seorang pakcik yang "lusuh " karekternya.. Bau busuk, baju koyak, pakai kain pelikat singkat, tak beralas kaki, tapi berkopiah.

Duduk bersandar di tiang bazar dekat dengan kerusi aku. Terdetik dalam hati, apa pakcik ni kelaparan. Orang gila pun lapar, masih tetap manusia. Aku pesan satu lagi nasi minyak. Pesanan aku sampai ke meja. Terus aku beri pada pakcik tadi. Tuan kedai terkejut dan mengangkat tangan melambai seolah2 memanggilku. Aku pun balas tunggu skejap.

Pakcik tadi tenung aku sambil berkata "pakcik dah makan nak.. terima kasih nak.." Dalam hati terdetik sungguh indah bahasa pakcik yang ku sangka gila tadi. Aku bangun dengan kecewa kerana pesanan aku tidak dijamah oleh pakcik. Lalu aku pergi kepada tuan kedai yang memanggil ku tadi.

Ada apa pakcik? Pakcik kedai balas: Jangan bagi dan suruh dia makan kat sini, nanti customer pakcik lari. Aku tersentap. Dan spontan aku membalas. "Jika orang ini ayah kandung pakcik, pakcik halau tak dia?" Pakcik tu diam. Takpe pakcik, saya akan bayar ansuran kalo pakcik rugi hari ni. Saya nak tanya, betul ke pakcik td tu sudah makan? Pakcik kedai jawab, tidak. Dari mula pakcik buka kedai pukul 6.30 tadi pakcik kopiah tu duduk kat tiang tu.

Dalam hati kecil ni cakap, tak pernah aku jumpa pakcik gila semulia ini. Tidak mengemis, tidak pula meminta. Aku pegi semula pada pakcik kopiah tu. "Pakcik, saya sunyi makan sorang2, pakcik teman saya makan jom." Pakcik tu akur dengan pelawaan aku kerana kesungguhan aku. Ramai yang beralih meja kerana bau pakcik tu, namun kerana ingin menjaga hati orang tua yang aku tak kenal, aku tahan bau itu.

Lega tengok pakcik tu makan dengan sangat sopan. Aku lontarkan beberapa soalan pada pakcik tu. Pakcik dari mana, tinggal dimana? Pakcik tu jawab. Pakcik merantau cari redha Allah. Aku terkejut. Dalam hati aku dah syak bukan2. Kot2 wali ke ni? Mana keluarga pakcik?

Pakcik dibuang oleh keluarga pakcik kerana sekeping geran tanah. Kenapa pakcik? Apa masalahnya? Pakcik sedekahkan geran itu untuk seseorang untuk dibangunkan pondok2 mengaji. Keluarga pakcik terus buang pakcik. Allah...

Pakcik tinggal dimana? Pakcik tu diam tak menjawab. Masa terlalu singkat untuk aku menyambung urusan kerja. Aku panggil pakcik kedai untuk kira. Semuanya berharga RM 11.60. Aku celup dompet aku, dan aku lupa yang aku hanya bawa RM 5.00. Aduh.... Pakcik tu nampak raut wajah muka aku seolah2 melihat masalah dalam dompetku. Pakcik tu mencelah. Nak, ambil duit ni, pakcik bayarkan.

Nak tau ape? pakcik keluarkan satu sampul surat sebagai dompet dia (macam dompet TGNA), dalam tu duit seratus setebal setengah inci, dan satu kad BSN dan i.c lama (pakcik tu bekas tentera laut).. Satu kedai dia bayarkan. Allah.. Satu kedai hairan apabila pakcik kedai tu announce yang makanan semua sudah dibayarkan oleh pakcik kopiah tadi. Masing2 semua pandang aku dan pakcik kopiah. Dengan tiba2 pakcik kopiah angkat tangan dan berdoa dengan suara yang agak sederhana kuat, aku pun turut angkat sama. Dan paling terharu apabila aku dengar suara "amin....." dengan suara yang ramai. Bila aku berpaling ke belakang, satu kedai mengangkat tangan bersama pakcik kopiah tu.. Ada yang bangun mendekati kami berdoa dekat2.

Terasa sangat gemuruh dan terharu dengan keperibadian orang yang ku sangka gila ini rupanya seorang guru agama!! Ada yang menangis kerana doa oleh sang guru itu sungguh merdu.. Kecoh seketika.. Selesai berdoa, aku bersalam dengan pakcik tadi dan ucap terima kasih dengan harapan dapat jumpa lagi. Aku terus berjalan ke motor aku. Aku berpaling ke belakang, semakin ramai yang berkerumun pada pakcik tadi. Aku senyum tanda puas bahawa orang sekeliling mula mendekati pakcik. Aku buka semula dompet aku kerana aku simpan kunci motor dalam tu.

Nak tau apa? Aku terkejut kerana ada 2 keping duit seratus dan satu nota kecil yang bertulis: "Ambil duit ni buat beli susu anak dan buah delima untuk orang rumah anak yang mengidam.." Aku terkaku, dan terus pandang ke arah tempat pakcik tadi. Beliau sudah tiada disitu. Aku terus pakai helmet dan tutup pemuka helmet. Aku menangis kerana terharu dan sangat bersyukur. Bagaimana dia tahu aku dalam kesusahan...

Ya Allah.. Kau peliharakanlah pakcik itu.. (Copy pasted - Warta Dari Hati)