10 Feb 2011

Polis Yang Bunuh Along Spoon Tetap Dihukum Gantung

Seorang bekas anggota polis ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk menyemak keputusan terdahulunya yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati Lans Koperal Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati kerana kesalahan membunuh, Bernama dipetik.

Ia adalah ulangan rayuan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh penyanyi kumpulan Spoon 11 tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff memutuskan bahawa berdasarkan fakta, kes Harcharan Singh tidak wajar atau sesuai disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 atau bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hasan Lah yang turut bersidang, membuat keputusan sebulat suara menolak permohonan itu.

Sedikit kronologi kes ini:

25 Disember 1999 – Penyanyi lagu Rindu Serindu-Rindunya, Sabi’ul Malik Shafiee yang lebih dikenali Along Spoon (gambar), 20, dilaporkan hilang.

6 Januari 2000 – Polis kemudian menjumpai rangka manusia dipercayai milik Along yang diikat dalam guni di lereng bukit di di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu.

7 Januari 2000 - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan Along.

19 Januari 2000 – Anggota polis dari cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Mohamed Ya’cob, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan membunuh Along.

10 April 2002 – Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhi hukuman mati selepas mendapati Mohamed Ya’cob bersalah terhadap tuduhan membunuh Along.

29 September 2009 – Mohamed Ya’cob membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersabit dengan hukuman mati terhadapnya.

2 November 2010 – Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan hukuman mati terhadap Mohamed Ya’cob yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Seremban sebelum ini.

10 Februari 2011 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk menyemak keputusan terdahulunya yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Mohammad Ya'cob

Tangkap Segera Penerbit Dan Pengedar My Balik Pulau!

Desak haram risalah

GEORGETOWN - Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) mendesak Kerajaan Negeri mengharamkan edaran risalah My Balik Pulau selain mengambil tindakan tegas terhadap penerbitnya, Arts-ED.

Gabungan dianggotai empat badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), Badan Anti Islam Liberal (Badai), Islamic Provocation International Society (IPIS) dan Sekretariat Dakwah Pulau Pinang.

Presiden Gabungan, Mohamed Nordin Mohd Nor berkata, pihaknya mendapati penerbitan risalah itu mengandungi unsur pemalsuan fakta sejarah Pulau Pinang dan menghina orang Melayu asal negeri itu.

“Kami berasakan penerbitan My Balik Pulau ini amat berbahaya dan mempunyai motif politik serta perkauman yang tidak sihat. Secara keseluruhan, penerbitan ini dengan sengaja hendak meluputkan sejarah awal orang Melayu di pulau ini dan ia tidak boleh dimaafkan.

“Kandungan risalah ini juga dilihat boleh mengelirukan golongan muda khususnya pelajar,” katanya semalam.

Sehubungan itu, mereka mendesak Kerajaan Negeri mengharamkan edaran penerbitan ini dan mengambil tindakan tegas kerana ditaja oleh ‘Penang Education Council (PEC)', jelas menunjukkan ia bawah Kerajaan Negeri kerana logonya turut tertera pada belakang risalah.

Risalah My Balik Pulau mengandungi 12 muka surat dan diterbitkan oleh Arts-ED, sebuah Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang yang ditaja Penang Education Council (PEC) dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Pulau Pinang serta dibantu oleh beberapa individu dan organisasi lain.


Ulasan GB

Penerbit dan pengedar risalah MY BALIK PULAU sepatutnya ditahan dan ditangkap kerana ia menyemarakkan unsur perkauman.

Tetapi malang di dalam negara kita, dimana polis bersokongkol dngan pemerintah yang memainkan isu perkauman membiarkan hal tersebut berlaku.

Jika kesalah di pihak Pakatan rakyat misalnya di dalam kes ADUN SRI MUDA, pihak polis begitu tangkas mendakwa sekalipun polis tidak mempunyai hujjah yang kukoh untuk menuduh ADUN berkenaan mengeluarkan kata-kata yang mencemar dan menghina Sultan Selangor, sekalipun pejabat ADUN berkenaan digelidah dan komputer dirampas.

Ketidak-adilan polis di dalam menjaga ketenteraman awam akan terus menjadi perhatian rakyat.

Bapa Tidak Mengaku Bunuh Anaknya

Seorang bekas pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh anaknya yang berusia tiga tahun dengan cara menyembelih menggunakan pisau pada 24 Ogos tahun lalu.

Muhaimi Sautar, 34, memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Tuan Azman Abdullah.

Tuan Azman kemudiannya menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan tertuduh mendapatkan peguambela.

Pada 2 September lepas, Mahkamah Majistret di sini memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke hospital psikiatri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental, dan dia dihantar ke Hospital Bahagia di Tampoi, Johor.

Muhaimi didakwa membunuh anaknya Muhammad Adam Muzhaffar antara pukul 11.45 pagi hingga 12 tengah hari di rumahnya di No 133, Jalan Atas Paloh, Kampung Sungai Budor di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris. - BERNAMA

Sekali Lagi Perarakan Maulidir-Rasul Pulau Pinang Hendak Disabotaj

Perarakan Maulidur Rasul kena sabotaj lagi?

GEORGETOWN - Jabatan Penerangan Pulau Pinang didakwa enggan memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri sempena perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri 15 Februari ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim berkata, pihaknya tidak menerima respons daripada jabatan itu setelah memohon mendapatkan kenderaan bagi alunan selawat mengiringi perarakan.

“Menerusi jawapan secara lisan dalam mesyuarat, saya dimaklumkan oleh jabatan itu bahawa kemudahan kenderaan tidak boleh dibekalkan kepada Kerajaan Negeri mengikut polisinya.

“Walau apa pun, saya masih menunggu jawapan secara bertulis daripada Jabatan Penerangan untuk mengetahui status permohonan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Abdul Malik berkata, tahun lalu Kerajaan Negeri menghadapi masalah yang sama apabila Jabatan Penerangan memberi alasan kenderaannya sudah dijadualkan lebih awal untuk aktiviti penerangan mengenai dasar Kerajaan Pusat.

“Tahun ini mereka memberi alasan kenderaan tidak boleh dibekalkan sebab ia tidak terkandung dalam polisi mereka. Padahal, Kerajaan Negeri bawah tampuk kepimpinan Barisan Nasional mendapat kemudahan itu.

“Ketika pemerintahan BN, Jabatan Penerangan bukan sahaja mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul malah menyediakan sekurang-kurangnya lima kenderaan bagi alunan selawat mengiringi perarakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri tahun ini akan bermula 12 Februari bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kecemerlangan Ummah’, tema sama digunakan untuk Maal Hijrah yang membawa maksud ‘Kesederhanaan dalam Islam’.

Bekas Setiausaha Politik Menteri Dituduh Miliki RM2.13 Juta Wang Haram

Butterworth, Hasbie Satar, bekas setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap tuduhan terlibat dengan pengubahan wang haram dan memiliki RM2.13 juta hasil daripada aktiviti haram tahun lepas.

Gambar: Anggota SPRM membawa bekas Setiausaha Politik Menteri di JPM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob, Hasbie Satar ke Mahkamah Butterworth hari ini. - Foto Rosli Ahmad

Hakim Mohd Zairan Aman menetapkan 14 Mac ini untuk sebut semula kes dan membenarkan Hasbie diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua orang penjamin.

Hasbie, 38, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar, pada 11 Feb tahun lepas. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Anslen Charles Fernandis, memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius dan jumlah yang diperoleh adalah tinggi.

Bagaimanapun, Hasbie yang tidak diwakili peguam, memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana beliau tidak bekerja dan terpaksa menanggung keluarga.

Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan jasanya selama berkhidmat dengan kerajaan yang telah bekerja di bawah kepimpinan tiga orang Perdana Menteri.

"Saya telah setahun tidak bekerja dan saya berhenti kerja tanpa mendapat pencen," katanya -- BERNAMA


Wang haram: Bekas pembantu menteri didakwa



Bekas setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yakcop hari ini didakwa dengan pengubahan wang haram, setahun selepas beliau didapati memiliki RM2 juta di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Mohd Zairan Aman menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Hasbie, 38 diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua orang penjamin.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Jika bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anslen Charles Fernandis, memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius dan jumlah yang diperoleh adalah tinggi.

Tidak bekerja

Bagaimanapun, Hasbie yang tidak diwakili peguam, memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana beliau tidak bekerja dan terpaksa menanggung keluarga.

Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan jasanya selama berkhidmat dengan kerajaan yang telah bekerja di bawah kepimpinan tiga orang Perdana Menteri.

"Saya telah setahun tidak bekerja dan saya berhenti kerja tanpa mendapat pencen," katanya

Empat hari selepas ditahan oleh SPRM berhubung penemuan wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta di pangsapurinya itu, pejabat Nor Mohamed mengeluarkan kenyataan yang Hasbie telah meletakkan jawatan.

Hasbie, seorang rakyat Sarawak dilantik sebagai setiausaha politik pada tahun 2008 ketika Nor Mohamed adalah menteri kewangan kedua.

Nor Mohamed (kanan), yang berasal dari Pulau Pinang adalah juga ahli parlimen Tasek Gelugor. Beliau dilantik sebagai menteri kewangan kedua dari 2004 hingga 2009.

Sebagai menteri di jabatan perdana menteri, Nor Mohamed kini bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang berkuasa menentukan projek-projek kerajaan. -mk


Ulasan GB

Ulasan GB hampir setahun yang lalu

"Toyol" Separuh Bogel Pecah Masuk Rumah Jiran Dipenjara 11 Bulan

Ditangkap ketika tidur

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang memecah masuk sebuah kediaman milik seorang guru yang juga jirannya dengan menggunakan taktik ala ‘toyol’ iaitu dalam keadaan separuh bogel dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Suffian Ramli Pandian, 21, dari kampung Losong Haji Su mengaku bersalah memecah masuk rumah Hanini Hashim, 32, di Kampung Losong Haji Mohd pada 22 November tahun lalu, jam 3.45 pagi dalam keadaan separuh bogel dengan tubuh berlumuran minyak.

Tertuduh yang memakai baju penjara berwarna merah terus mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Siti Faraziana Zainuddin yang dijalankan oleh Inspektor Miky Anak Dustan Muda.

Bagaimanapun, tertuduh merayu diringankan hukuman terhadapnya kerana mengakui telah insaf dengan kesalahan yang dilakukannya sejak hari dia ditangkap lagi.

Mengikut fakta kes, tertuduh memecah masuk kediaman mangsa di Kampung Losong Haji Mohd kira-kira 3.45 pagi, 22 November tahun lalu, namun sempat disedari mangsa selepas terdengar bunyi bising sewaktu tertuduh sedang menyelongkar beg tangan mangsa yang diletakkan di ruang tamu.

Mendengar jeritan mangsa, tertuduh melarikan satu beg tangan yang mengandungi satu kamera digital jenama Canon, buku akaun Tabung Haji, kad nikad dan juga kad pengenalan serta dua bentuk cincin emas melalui pintu belakang rumah.

Tertuduh berjaya ditahan polis di depan surau Kampung Losong Haji Mohd pada hari sama, jam 6.20 pagi ketika sedang nyenyak tidur sewaktu jemaah mengerjakan solat Subuh.

Semasa tangkapan, tertuduh turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing.

Tertuduh yang berwajah bersahaja selepas hukuman dijatuhkan dihadapkan dengan dua tuduhan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) kerana positif Methamphetamine.

Tertuduh mengaku bersalah di atas kedua-dua pertuduhan dan akan dihantar ke Penjara Penor, Kuantan untuk menjalani hukuman penjara 11 bulan yang berkuat kuasa pada tarikh tangkapan. -SH

Pengakuan: Adakan Hubungan Seks Dengan Penagih Lebih 5 Kali

Ambil suka-suka, akhirnya terjerat

DUNGUN - “Kejadian ini bukan kali pertama. Sejak mengenalinya hampir dua bulan lalu, saya sudah melakukan hubungan seks dengannya lebih lima kali. Sudah menjadi perkara biasa bagi saya. Gambar fail

Itu pengakuan Ida (bukan nama sebenar) seorang gadis awal 20-an ketika dicekup pihak berkuasa selepas rumahnya di Kampung Pantai Laut, Paka yang disyaki menjadi sarang penagih itu diserbu polis, pagi kelmarin.

Gadis sunti berambut pendek itu ketika berkongsi detik hitam kehidupannya bersama Sinar Harian berkata, pembabitannya dalam gejala tidak bermoral bermula sejak dia meninggalkan bangku persekolahan.

Ketika itu, dia yang baru berumur 17 tahun mula bergaul dengan rakan sebaya, kebanyakannya remaja lelaki tidak bersekolah dan difahamkan sebahagiannya terdiri daripada mat rempit.

Menurutnya, dia mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah selepas alam persekolahan, terutama tatkala melihat abang dan bapa kandungnya turut menjadikan musuh nombor satu negara itu sebagai teman hidup.

Ida yang pada mulanya agak sukar untuk menceritakan rahsia sulitnya itu mengakui, pergaulannya dengan rakan yang sudah terjebak dengan najis dadah itu akhirnya memerangkap dirinya sehingga menyebabkan dia turut mengambil bahan terlarang itu.

“Masa itu saya ambil hanya untuk suka-suka. Tidak keluar duit pun. Kawan berikan, bukan selalu. Kalau rasa gian, baru saya ambil.

“Saya berhenti buat seketika. Tetapi, kalau ada orang beri, saya ambil. Sekarang saya tidak ambil barang itu lagi, cuma buat hubungan seks. Itu pun bukan selalu, hanya bersama teman lelaki,” katanya.

Ida yang ditangkap bersama teman lelakinya yang bekerja di pelantar minyak itu berkata, sebelum ini, perbuatan tidak bermoral itu sering dilakukan di rumah ibunya.

Namun, ia tidak pernah diambil tahu jiran tetangga, apatah lagi ditangkap pihak berkuasa.

Dalam kejadian itu katanya, dia tidak bernasib baik setelah ditangkap pihak berkuasa ketika berada berdua-duaan ketika serbuan dibuat di rumahnya, pagi kelmarin.

Ida yang hanya menundukkan muka ketika diberi kaunseling oleh pihak berkuasa, bagaimanapun dibebaskan setelah ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

Arwah bapanya juga difahamkan meninggal dunia akibat HIV, manakala abangnya turut menjadi penagih dan sudah beberapa kali keluar masuk penjara kerana kesalahan itu.

Pasangannya, berusia 26 tahun, berasal dari Bukit Payong, Marang bagaimanapun selepas menjalani ujian saringan air kencing didapati positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pasangan terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Wahid Sujani yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pantai Laut, Paka, Dungun kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit. -SH

Mekanik Maut Langgar Tembok Plaza Tol

Seberang Jaya - Kegemaran terhadap makanan laut menyebabkan dia sanggup keluar lewat malam tanpa mengira masa dan tempat.

Gambar: Keadaan kereta yang terbabas mengorbankan pemandunya. -Bernama

Namun, kunjungannya ke sebuah kedai makan di Bertam, Kepala Batas, malam kelmarin, untuk menjamu selera menjadi hidangan terakhir bagi Ong Thin Sam, 38.

Dia menemui ajal apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar tembok laluan Smart Tag di Plaza Tol Sungai Dua, awal pagi semalam.

Seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, Thin Sam seorang mekanik yang gemar menikmati makanan laut dan akan mengunjungi kedai berkenaan apabila diajak rakan-rakannya.

“Petang semalam (kelmarin) dia mengajak kami ke sebuah kedai makan di pekan Bertam untuk makan ketam dan udang.

“Disebabkan kami ada kerja lain, dia pergi seorang diri. Dia juga biasanya akan menelefon kami ketika makan untuk memberitahu sedap atau tidak, tetapi kali ini dia tak buat begitu, sehinggalah kami dimaklumkan kemalangan yang menimpanya itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ketua Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Superintendan Mohd Suhaimi Mohd Noor yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pulai Jaya, di sini, dari arah Bertam.

“Polis menerima maklumat kira-kira jam 12.15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas itu.

“Sebaik polis tiba, mangsa disahkan meninggal dunia akibat tersepit dan cedera parah di kepala setelah kereta yang dipandu remuk teruk kerana melanggar tembok plaza tol itu,” katanya.

Mayat mangsa dikeluarkan oleh Bomba sebelum dihantar untuk bedah siasat di Hospital Seberang Jaya.

RM6 Billion Beli Kapal Tidak Menasabah - Tubuh J/K Parlimen Pantau Belian

Tubuh JK Parlimen pantau beli kelengkapan pertahanan

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta satu jawatankuasa khas di peringkat parlimen ditubuhkan bagi memantau dan meluluskan sebarang pembelian peralatan kelengkapan ketenteraan melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berkata, kerajaan harus mewujudkan mekanisme baru dalam proses pembelian kelengkapan ketenteraan bagi memastikan pembeliannya benar-benar mengikut keperluan negara dengan menubuhkan jawatankuasa berkenaan yang melibatkan ahli parlimen dari pelbagai parti politik.

"Oleh kerana pembelian kelengkapan pertahanan ini memerlukan perbelanjaan yang sangat besar jadi perlu dirujuk kepada satu jawatankuasa di peringkat parlimen seperti mana yang wujud dalam parlimen di United Kingdom," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Kementerian Pertahanan yang sedia membayar RM6 bilion bagi enam kapal tentera laut, 870 peratus lebih mahal daripada bayaran negara lain untuk kapal yang sama.

Jawatankuasa ini juga, katanya dapat memastikan wang negara tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya selain mengelakkan ketirisan dalam perbelanjaan wang rakyat.

"Pembelian kelengkapan pertahanan mesti ditujuk kepada jawatankausa khas parlimen untuk pastikan pembelian itu benar-benar memenuhi keperluan dan tidak berlaku kebocoran dalam perbelanjaan sebab pembelian ini memakan belanja yang besar," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Sementara itu, beliau turut mempersoal penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang disifatkan sebagai retorik politik Umno BN.

"Apakah motif kepada penubuhan Teraju ini? Pelbagai institusi ditubuhkan untuk membantu masyarakat bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) Permodalan Nasional Berhad (PNB), institusi ini telah wujud sekian lama tiba-tiba hari ini timbul satu lagi yang saya anggap satu retorik untuk menunjukkan kerajaan begitu prihatin terhadap bumiputera," katanya.

Mahfuz turut mengecam tindakan kerajaan membubarkan kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2009 sedangkan ianya lebih berkesan berbanding mewujudkan unit-unit kecil.

"Kementerian Pembangunan Usahawan yang lebih tepat sebagai satu kementerian yang mempunyai fungsi yang lebih kuat untuk membuat pemantauan dan meneliti pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan dihapuskan.

"Kita menghapuskan satu kementerian yang mempunyai seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap kementeriannya dan institusi berkaitan kepentingan Melayu berada di bawah kementerian dan sekarang ini kita lihat institusi-institusi ini berkecamuk dan berada di merata-rata," katanya lagi.

Ujarnya juga, kerajaan tidak menunjukkan keseragaman dan tindakan tersusun dalam membantu bumiputera sebaliknya menemui kegagalan demi kegagalan.

"Kita sudah ada dasar ekonomi baru (DEB), wawasan 2020 tapi semuanya tidak memperlihatkan keseragaman langkah kerajaan dalam membantu bumiputera. Wujudnya institusi ini masyarakat bumiputera terus ketinggalan," katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Teraju yang dikatakan untuk memperkukuhkan lagi agenda pembangunan golongan bumiputera. -harakahdaily

Pengerusi FELDA Yang Perasan Dirinya Terlebih Hebat

Isa: Hebat sangat ke orang yang buat kritikan?

Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad mengambil pendirian tidak menghiraukan kenyataan pihak tertentu yang mempersoalkan pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana tidak mahu menjejaskan fokus beliau untuk memajukan Felda.

Beliau berkata, sekiranya diambil serius perkara itu, ia akan menghalang fokusnya untuk membangunkan Felda dan memberikan taraf kehidupan lebih bermakna kepada peneroka di seluruh negara.

Sambil berjanji untuk komited dalam menjayakan agenda yang sudah dirancang untuk membangunkan Felda, beliau berkata: "Bila kita dilantik, biasalah ada yang tak suka, orang tak suka saya dari dulu. Apa sahaja jawatan yang saya pegang...ada sahaja yang tidak suka. Biarlah, saya tetap akan terus majukan Felda."

Mohamed Isa berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini sebagai mengulas dakwaan Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof, semalam bahawa pelantikannya menerajui Felda adalah suatu yang sedih dan mengakibatkan kebimbangan pasaran.

Beliau mendakwa ini berpunca daripada Mohamed Isa yang terpalit dengan gejala rasuah dan didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti itu dan digantung jawatannya oleh lembaga disipin Umno pada 2005.

Mohamed Isa berkata, latar belakang individu yang membuat kenyataan juga perlu dilihat sama ada mereka hebat di dalam bidang yang mereka ceburi sehingga boleh membuat kenyataan itu.

"Mereka yang cakap begini biasanya mestilah hebat tapi kita kena tengok rekod mereka, hebat sangat ke sehingga boleh sesuka hati mendakwa itu dan ini... apapun biarlah," katanya.

Mengenai pencapaian Felda, beliau berkata tahun lalu mereka mencapai kutipan jualan keseluruhan tertinggi oleh peneroka sejak 2006 iaitu sebanyak RM1.06 bilion berbanding hanya RM911 juta tahun sebelumnya.

Beliau berkata, Felda pada tahun ini mensasarkan hasil daripada jualan keseluruhan bernilai RM2 bilion.

"Kita juga bangga, daripada 36,000 usahawan yang menghasilkan produk untuk Felda, 33 orang mencatatkan jualan lebih RM1 juta setahun," katanya.

Terdahulu, Mohamed Isa melancarkan program Promosi Produk Usahawan Satu Wilayah Satu Industri Felda di Aeon Jusco di AU2, Setiawangsa, yang bermula semalam hingga Ahad.

Sebanyak 150 produk makanan dan kraftangan hasil daripada usahawan Felda dipamerkan di ruang legar pusat membeli-belah itu sebagai langkah meletakkan produk Felda dalam pasaran pasaraya besar tempatan. - Bernama

Ulasan GB

Demikian perlekehan Pengerusi FELDA terhadap para pengkritiknya seolah-olah hanya dia yang paling hebat.

Memang manusia yang bernama Mohd Isa Samad itu hebat kerana walau pun terpalit dengan gejala rasuah dan didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang, tapi masih boleh terpilih sebagai wakil rakyat dan masih dapat memegang jawatan tertinggi di dalam Felda.

Kerana itulah wajah sebenar UMNO. Tidak bermoral dan tidak berakhlak itulah yang akan diangkat ke atas. Malah "dengar cerita" dari negeri yang sama, ada kisah seorang menteri kabinet didakwa merogol amahnya. Benar atau tidak, wallahu alam. Kebenaran akan tetap terdedah jua, jika tidak sekarang, akan datang.


Komuter KTMB "Tersangkut" Akibat Terputus Kabel Eletrik

Kuala Lumpur: Perkhidmatan komuter Kereta api Tanah Melayu Bhd (KTMB) terpaksa dihentikan sementara operasinya bermula kira-kira jam 6.35 petang semalam sehingga lewat malam tadi berikutan kejadian kabel elektrik terputus di laluan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Gambar: TERKANDAS...sebahagian penumpang perkhidmatan KTM Komuter dari KL Sentral ke Rawang yang terkandas petang semalam.

Pegawai Kanan Koperasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail ketika dihubungi berkata, berikutan masalah itu laluan seperti Bank Negara ke Hentian Putra dan laluan daripada Bank Negara ke Batu Caves dihentikan serta-merta.

“Kami terpaksa menghentikan operasi bagi melakukan kerja baik pulih kabel berkenaan sehingga malam, namun laluan di Kepong ke Rawang masih boleh digunakan seperti biasa, tetapi hanya satu laluan dibuka.

“Laluan lain seperti Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang dan daripada Kuala Lumpur ke Seremban masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, kerja membaik pulih kabel perkhidmatan itu giat dijalankan dan dijangka siap secepat mungkin.

“Saya percaya kerja membaik pulih ini akan siap menjelang tengah malam ini (tadi) dan akan mula beroperasi esok pagi (hari ini),” katanya.

Mohd Fazil berkata, KTMB memohon maaf kepada semua penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan itu atas segala kesulitan dialami. -hm


BERATUR...penumpang perkhdimatan Komuter dari KL Sentral ke Putra terpaksa menukar semula tiket mereka atau memulangkan wang.

TUNGGU...sebahagian penumpang yang terkandas, petang semalam.


Ketua Polis Johor Nyaris Lemas

Batu Pahat - Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff nyaris lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya tergelincir ke dalam parit di kawasan banjir di Kampung Parit Basri, Sri Medan di sini semalam.

Gambar: MOHD. Mokhtar (dua dari kiri) diselamatkan beberapa anggota polis selepas kereta yang dinaikinya masuk ke dalam parit di Batu Pahat semalam.

Turut bersamanya dalam kenderaan terbabit ialah Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris.

Pada masa kejadian, Mohd. Mokhtar dalam perjalanan untuk melawat kawasan banjir dan turut disertai oleh beberapa wakil media.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd. Mokhtar berkata, ketika melalui kawasan itu kira-kira pukul 3.30 petang tiba-tiba kenderaan tersebut seperti masuk ke dalam lubang yang sebenarnya adalah parit.

Difahamkan, pemandu pacuan empat roda itu sukar membezakan antara jalan dan parit di kawasan berkenaan kerana kawasan itu dilitupi air. -kosmo

Ulasan GB

Sejak satu dua hari ini banyak berita yang tak berapa bagus mengenai polis.

1) Polis didakwa merompak dan menampar seorang wanita hamil
2) Mahathir salahkan polis sebab kredibilitinya jatuh akibat dari Operasi Lalang
3) Polis Rompin didapati bersalah oleh mahkamah kerana menceroboh kediaman persendirian berkaitan kes penangkapan pemimpin PAS semasa berceramah
4) Seorang sarjan retak tengkoraknya kena libas oleh seorang pemuda yang mengalami masalah mental
5) Berita di atas - Ketua Polis Johor nyaris lemas bila pacuan empat rodanya masuk parit semasa banjir.

Kesemua insiden di atas sepatutnya jadi bahan renungan oleh pihak polis BAHAWA: rakyat biasa tidak mempunyai kuasa untuk melawan polis. Tetapi hukum kebenaran dan keadilan TETAP berjalan.

Rakyat yang tak ada pistol, tak ada senapang tetapi ada senjata paling kuat iaitu DOA, hanya mampu berdoa agar polis melaksanakan tugasnya dengan BETUL, CEKAP DAN ADIL seperti motto perkhidmatan mereka. Dan supaya mertabat polis tidak direndahkan hasil dari perbuatan-perbuatan sesetengah dari kalangan mereka sendiri yang mempunyai pelbagai kepentingan lain.


Dr Hatta Menang Saman Terhadap Polis Yang Menceroboh Kediaman Persendirian

Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan YDP PAS Rompin Mazlan Mohamed Yasin dan Ketua Pemuda Rompin Nazri Ahmad menang dalam saman terhadap bekas Ketua Polis Daerah Rompin di Mahkamah Tinggi Kuantan berkaitan kes penangkapan semasa berceramah di premis sendiri pada 2004 lalu, lapor harakahdaily.

(Gambar fail: Dr Hatta bersama peguamnya, Mohamed Hanipa menunjukkan dokumen mahkamah yang memutuskan polis perlu membayar ganti rugi kepada Dr. Hatta)

Mahkamah Tinggi Kuantan akan menentukan jumlah tuntutan saman yang dimenangi Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta dan dua rakannya terhadap polis, sebelum 15 Mac ini.

Menurut Dr Hatta yang dihubungi Harakahdaily, hari ini berlangsung perbincangan dengan peguam kedua-dua pihak namun jumlah sebenar tuntutan belum boleh diputuskan.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam penghakimannya pada 26 Ogos lalu memutuskan Hanapi Daud (pihak polis) telah secara salah menangkap Dr. Mohd Hatta Ramli, Mazlan Mohamed Yasin dan Nazri Ahmad.

Hakim dalam keputusannya berkata, pihak polis telah gagal menyatakan sebab penangkapan di samping ternyata bersalah menceroboh kediaman persendirian semasa penangkapan itu.

Berikutan itu, hakim memutuskan Hanapi selaku defendan dikehendaki membayar ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi tauladan dan ganti rugi melampau kepada tiga aktivis PAS terbabit.

Menurut fakta kes, pada jam 9.15 malam 10 Jun 2004 satu majlis ceramah penerangan telah diadakan di Markas Pas Kawasan Rompin, di nombor 42 Desa Teratai, Muadzam Shah. Ketua Polis Daerah yang mengetuai sekumpulan anggota polis dari Ibupejabat Polis Rompin telah mengeluarkan arahan supaya majlis tersebut dihentikan diatas alasan tiada permit perhimpunan dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah juga telah mengarahkan anggota-anggota polis melakukan serbuan keatas premis ceramah tersebut dan telah menangkap plaintif kedua, ketiga dan keempat tanpa menunjukkan sebarang waran tangkapan.

Anggota-anggota polis yang melakukan serbuan dan tangkapan keatas premis tersebut telah merampas segala peralatan sistem bunyi (P.A. System) dan secara kasar yang telah mengakibatkan kecederaan pada plaintif keempat.

Berikutan itu, mereka bertiga telah ditahan, digari dan dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Rompin untuk disoal-siasat sehingga keesokan harinya.


Kes tersebut difailkan oleh ketiga-tiga ahli PAS itu pada 1 Disember 2004 di Mahkamah Tinggi Malaya Kuantan melalui firma guaman Mohamad Hanipa & Associate.

Plaintif memohon deklarasi bahawa penangkapan dan penahanan mereka pada masa ceramah tersebut tidak sah, terbatal, tidak berpelembagaan dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa majlis ceramah yang diadakan di markas PAS Kawasan Rompin (pada 10 Jun 2004) tidak memerlukan permit polis di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Selain itu, plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah bertindak melampaui batas kuasainya di bawah Akta Polis 1967 dan tindakan defendan tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa (abuse of power).

Plaintif turut memohon deklarasi bahawa defendan telah melakukan pencerobohan ke atas markas PAS Kawasan Rompin dan menuntut ganti rugi serta lain-lain relif difikirkan sesuai oleh mahkamah. -harakahdaily

Ulasan GB

"Precedence" sudah ada.

Justeru itu, jika ada kes di mana berlakunya serbuan dan tangkapan oleh pihak polis terhadap mana-mana individu di premis persendirian, ia adalah satu kesalahan yang dilakukan oleh pihak polis lantaran menceroboh (trespass) dan hendaklah didakwa di mahkamah.

Syabas kepada Peguam PAS, Mohd Hanipa Maidin kerana berjaya memenangi kes ini.

Motivasi: Di Mana Ada Kemahuan Di Situ Ada Jalan

Kita seringkali mengadu, mengapa kita diuji begitu dan begini. Dan kadang kala mudah pula berputus-asa sedangkan nikmat Allah tak terperi banyaknya.

Pepatah Melayu menyatakan: Genggam bara api biar sampai jadi arang, alang-alang mandi biar sampai basah dan alang-alang berjuang biar sampai menang.

Sekarang, kita tidak perlu banyak bicara untuk melihat gambar-gambar berikut ini, kerana gambar-gambar ini sendiri menginspirasi kita untuk kurangkan bicara tapi banyakkan bekerja.


Ambil iktibar dari si cacat penampal tiub basikal ini, yang tanpa tangan, tetapi terus gigih bekerja menggunakan kedua-dua belah kakinya. Kesepuluhan jari-jemari kakinya berguna.


















Sebagai penutup, ingin GB sisipkan satu kata-kata indah:

“Enta wa ma turid”
Kamu ialah apa yang kamu inginkan

Nak berusaha? Atau nak tidur?
Nak menang? Atau nak kalah?

Ia terletak di tangan anda!
Azimat itu yang perlu di bawa ke Merlimau.