28 Mei 2011

[Video] Laporan Polis Terhadap Papagomo Kerana Ugutan Bunuh

AMK Buat Laporan Polis Terima Ugutan Bunuh Blogger Papa Gomo

SHAH ALAM 28 MEI : Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam oleh blogger Harapan Rakyat apabila didakwa menerima satu mesej ugutan bunuh melalui laman sosial Facebooknya, di sini, hari ini.

Beliau yang juga ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Azuan Ab Rahman, 33, mendakwa menerima ugutan bunuh itu daripada seorang blogger yang dipercayai penyokong Umno-Barisan Nasional (BN) iaitu Papa Gomo (gambar) pada 20 Mei lalu.

Menurut Mohd Azuan, blog Harapan Rakyat mula diaktifkan kira-kira setahun lalu dan melalui laman tersebut beliau berbalas pendapat dengan blogger dan pelayar internet lain mengenai hal ehwal semasa terutama isu-isu berkaitan politik.

Mohd Azuan berkata, baru-baru ini beliau menerima permintaan blogger Papa Gomo untuk menyertainya sebagai ahli namun setelah aktif sebagai rakan dalam laman tersebut beliau dipercayai membuat ugutan bunuh berikutan tidak berpuas hati dengan pendapat yang diberikannya kepada blogger atau pelayar internet lain.

“Sebelum ini saya ada menerima permintaan sebagai rakan di akuan Facebook saya oleh dia (Papa Gomo) tetapi tidak pernah ada hubungan yang baik namun apabila saya buka akaun itu pada 20 haribulan (Mei lalu). Saya menerima mesej ugutan (bunuh) itu melalui komen saya kepada orang lain yang mungkin kerana dia (Papa Gomo) tidak puas hati dan cuba mengugut supaya saya menghentikan segala kenyataan di laman tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun menurut Mohd Azuan, beliau tidak dapat mengenal pasti masa satu pendapatnya yang menimbulkan kemarahan blogger Papa Gomo sehingga menyebabkan beliau menerima ugutan sedemikian.

Jelas Mohd Azuan lagi, antara mesej yang dihantar oleh Papa Gomo kepada Harapan Rakyat pada 20 Mei lalu adalah “nak mati ke?” dan “memang nak mati dah hang ni…tunggu lah masanya” .

Manakala pada 21 Mei pula, adalah seperti “Bunuh je, kasi kerat kote tu hehehe” dan pada 22 Mei ialah “Kau islam ke? Bunuh je” dan “he he he takut ke apa? rumah dah jumpa…..huhuhu”.

Dalam pada itu, Naib Ketua AMK Azmizam Zaman Huri berkata pihaknya menyifatkan ugutan bunuh tersebut sebagai satu perkara yang serius serta berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera dan memastikan keselamatan Mohd Azuan tidak terancam.

“Ini satu perkara yang sangat serius dan kita memandang berat perkara ini kerana ia melibatkan ancaman nyawa seseorang malah terhadap keluarga Mohd Azuan sendiri. Pihak polis harus mengambil tindakan segera iaitu dengan memastikan kawalan keselamatan di rumah beliau dan kawalan keselamatan keluarga beliau.” katanya.

Jelas Azmizam lagi, AMK percaya ugutan yang dibuat Papa Gomo ini merupakan tindakan terdesak pihak tidak bertanggungjawab berikutan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR) dan majoriti blogger serta pelayar internet hari ini condong ke arah pembangkan.

“Papa Gomo kini mungkin sudah terdesak kerana beliau tahu rakyat hari ini lebih bijak menilai kenyataan-kenyataan bernas dari blogger pro-PR yang majoritinya penyokong PR sendiri,"jelasnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fariz Musa yang ditemui di luar perkarangan IPD Shah Alam turut menyatakan sokongan kepada Mohd Azuan dan berharap polis akan bertindak tegas serta menjalankan siasatan ke atas Papa Gomo yang dikatakan blogger atau cybertrooper Umno-BN yang menjadi rujukan media kawalan Umno-BN seperti Utusan Malaysia dan TV3.

Tambah Fariz, tindakan blogger Papa Gomo ini juga jelas menggambarkan betapa rendahnya akhlak dan moral pengikut-pengikut Umno-BN.

“Tindakan ini menggambarkan betapa tidak berakhlaknya Papa Gomo kerana menghantar mesej sedemikian. -tvsnews




Bas-bas Ekspres Berlanggar Berpunca Dari Sebuah Lori

Ipoh - Akibat berhenti secara mendadak, sebuah bas ekspres bukan sahaja dilanggar sebuah kereta tetapi turut menyebabkan dua lagi bas ekspres yang berada di belakang sama terlibat dalam kejadian itu.

Gambar: BAHAGIAN hadapan bas ekspress musnah selepas melanggar bahagian belakang sebuah bas ekspres lain yang cuba mengelak dari berlanggar dengan sebuah lori, di KM 282.4, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, menyebabkan 10 penumpang cedera, semalam. Foto Ikhwan Munir

Kejadian berlaku di lorong kecemasan kilometer 282.5 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur dekat susur masuk ke Simpang Pulai, awal pagi semalam, ketika bas ekspres itu secara tiba-tiba menekan brek bagi mengelak daripada dihimpit sebuah lori treler.

Akibat tindakan itu, sebuah kereta yang berada di belakang melanggar bas berkenaan diikuti dua bas ekspres lain yang turut berlanggar secara berturutan menyebabkan lima cedera ringan.

Ketua Trafik Ipoh, Deputi Superitendan Mohd Rodzi Rejab ketika dihubungi berkata, perlanggaran itu menyebabkan lima penumpang bas terakhir cedera sementara bas yang pertama, kereta dan bas kedua mengalami kerosakan yang serius di bahagian belakang serta hadapan.

Menurutnya, bas milik syarikat Sri Maju yang berada di hadapan dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar ke Johor Bharu sementara bas kedua iaitu Intercity dari Alor setar ke Melaka dan bas ketiga iaitu Maraliner dipercayai dalam perjalanan dari Kangar ke Kuantan.

“Semua penumpang yang cedera hanya mmengalami cedera ringan dan menjalani rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Rodzi berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 10, Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya terhadap pemandu bas Maraliner yang berada di belakang sekali.

Katanya, sebarang keputusan juga akan merujuk kepada akta berkenaan. -SH

Menunggu Detik UMNO Akan Menjadi Pembangkang Di Parlimen

Pemimpin Umno-BN resah jadi pembangkang'

Pemimpin Umno dan BN yang mendominasi kepimpinan negara lebih 50 tahun dikatakan kini dalam keadaan resah, gelisah dan risau jika mereka menjadi pembangkang selepas pilihan raya umum ke-13, akan datang, kata Ketua Penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim.

Menurut beliau, perkembangan itu semakin terserlah melalui tindakan dan ucapan yang dilakukan pemimpin BN sejak akhir-akhir ini.

“Keadaan tersebut berlaku dalam keadaan gelombang penolakkan rakyat terhadap BN sedang berlangsung dalam keadaan BN terus menerus mengharapkan simpati untuk terus kekal berkuasa.

“Kerana itu populariti BN cuba dipulihkan kononnya kerajaan prihatin dengan cuma menangguhkan kenaikan harga minyak namun nampaknya masih tidak berhasil mengembalikan sokongan rakyat.

“Kebangkitan rakyat pada masa sekarang boleh disifat sebagai air yang mengalir yang tidak mampu dibendung dan disekat lagi. Kerana itu kebangkitan rakyat kearah perubahan tidak akan terhenti setelah mereka menghukum BN dalam PRU akan datang,” kata Khalil dalam satu kenyataan media di Parit Buntar, hari ini.

Beliau mengulas laporan Bernama semalam bahawa Umno BN akan simulasi pilihan raya 'olok-olok' yang mana ia berkait rapat dengan persediaan parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Bagi Khalil yang juga ADUN Titi Serong, pilihan raya 'olok-olok' itu hanya membuang masa dan membuktikan kegusaran pemimpin Umno dan BN mengenai kemungkinan kehilangan kuasa.

“Saya juga mempersoalkan punca kewangan yang akan digunakan untuk mengadakan pilihan raya umum olok-olok yang boleh dikatakan membuang buang masa . Ia tidak lebih kepada bukti jelas tentang kebimbangan pemimpin Umno dan BN kehilangan kuasa.

“Kerana itu saya membantah sekeras-kerasnya jika pilihan raya olok-olok itu menggunakan sumber kewangan yang ada pada jabatan dan agensi tertentu kerana ia merupakan satu penyelewengan wang rakyat termasuk wang kami dari Penyokong Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurut Khalil adalah lebih baik dana awam itu “disalurkan untuk kepentingan membantu rakyat bawahan yang masih memerlukan bantuan”. -mk

Rogol Pelajar Dalam Bas Sekolah - Pemandu Dihukum Penjara Dan Sebat


Melaka - Seorang pemandu bas sekolah dihukum penjara 14 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol pelajar sekolah di dalam bas empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh Ibrahim Sali, 26 selepas meneliti hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak semasa prosiding rayuan terhadap hukuman oleh pihak pendakwaan.

Ibrahim sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati merogol seorang pelajar sekolah berumur 13 tahun sembilan bulan di dalam sebuah bas sekolah di hadapan Taman Muhibbah, Merlimau kira-kira jam 3 petang pada bulan April 2007.

Peguam bela tertuduh ketika rayuan, memohon mahkamah mengekalkan hukuman sedia ada dengan alasan hukuman terhadap tertuduh yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen adalah memadai.

“Tertuduh ketika kejadian merupakan pesalah muda dan tiada unsur-unsur paksaan terhadap perlakuan yang dilakukan tertuduh dan mangsa. Oleh itu, hukuman tersebut memadai dengan kepentingan kepada tertuduh dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika pendakwaan berhujah mangsa dihantar ke sekolah dengan selamat dan sepatutnya juga dihantar balik ke rumah juga dengan selamat.

“Malah, mangsa tidak pernah tidak hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung walaupun dia tidak dipanggil mahkamah dan ini jelas menunjukkan kesungguhan mangsa untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya,” katanya.

Ahmadi kemudian menjatuhkan hukuman selepas mendengar rayuan pihak pembelaan dan hujah pihak pendakwaan dan mendapati hukuman penjara 14 tahun dan 14 sebatan yang dijatuhkannya adalah hukuman yang sewajarnya terhadap kesalahan yang dilakukan tertuduh. -SH

Janda Ikut Mat Indon, Makan Ubi Kayu Cecah Asam Setiap Hari

Ibu sedih janda beranak tiga hidup terseksa di Lombok

Gambar: MARYAM bersama suami, merayu bantuan membawa anak mereka pulang.

KUALA NERANG: Seorang ibu merayu bantuan orang ramai bagi membawa pulang anak perempuannya yang didakwanya hidup terseksa akibat didera dan hanya makan ubi kayu rebus di Lombok, Indonesia, selepas mengikut teman lelakinya, kira-kira dua tahun lalu.

Maryam Kasim, 49, dari Kampung Kuala Pai di sini, sering menangis setiap kali terkenangkan nasib anaknya yang juga janda beranak tiga, Zarina Abu Bakar, 30.

Malah, Maryam mendakwa anaknya menjadi mangsa janji kosong apabila hasrat berkahwin dengan lelaki dikenali Helmi, 30, tidak kesampaian selepas Zarina melahirkan anak hasil hubungan sulit itu.

“Saya sedih apabila dia menelefon dan memberitahu hanya makan ubi kayu rebus dicicah dengan air asam setiap hari.

“Zarina ke Lombok awal September 2009 mengikut teman lelakinya kerana dia berjanji akan mengahwini anak saya sebaik sampai di sana nanti. Zarina ada tiga anak berusia 6 hingga 10 tahun.

“Dia kata dia jatuh cinta dengan lelaki itu yang dikenalinya tidak sampai sebulan di Negeri Sembilan. Pujuk rayu lelaki itu menyebabkan Zarina mengikutnya ke kampungnya di Desa Jeruk Mani, Dusun Jawa Guar, Kacamatan Sipur,”
katanya ketika ditemui, semalam.

Maryam berkata, selepas bercerai, Zarina ke Negeri Sembilan pada September 2009 untuk mencari kerja dan berkenalan dengan lelaki itu yang bekerja di FELDA di Bahau sebelum mengikutinya ke Lombok sebulan kemudian atas alasan untuk berkahwin.

Bagaimanapun, kata Maryam, impian Zarina bersuamikan lelaki itu berkecai apabila kekasihnya membatalkan hasrat mengahwininya selepas Zarina melahirkan seorang bayi perempuan hasil hubungan sulit mereka.

“Bayi itu kini berusia lima bulan dan dipelihara keluarga lelaki itu dengan baik. Setiap kali dia memberitahu makan ubi kayu yang dicicah dengan air asam, air mata saya bercucuran kerana pilu mengenang nasibnya di tempat orang.

“Kami bukan orang senang tetapi masih makan nasi setiap hari, selain itu Zarina juga mendakwa dia dipukul.

“Saya sangat berharap kepada mana-mana pihak dapat membantu membawa balik Zarina ke negara ini,” katan.-BH


Kos Tandas Awam RM140,000?

Miri – Sebuah tandas awam yang dibina atas tanah kerajaan berharga RM140,000, di Pusat Komersial Saberkas menimbulkan keraguan kerana kos itu mampu untuk mendirikan sebuah banglo.

Pengerusi DAP Senadin, Lim Su Kien berkata, dia terkejut dengan pendedahan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan semalam yang melaporkan tandas yang masih dalam kerja-kerja pembinaan menelan kos sebanyak RM140,000.

“Kos projek itu didedahkan oleh kontraktor tersebut di akhbar tersebut sehingga saya tergerak untuk melihat tandas tersebut. Namun saya dapati, kos itu terlalu tinggi dan tidak berbaloi untuk sebuah tandas,” katanya semasa makan tengah hari bersama PAS di sini hari ini.

Su Kien menambah, difahamkan tandas tersebut yang dibina bersebelahan pasar malam Saberkas itu berkonsepkan tandas hijau dan mesra alam.

“Saya berpendapat, kos projek itu kurang daripada RM100 ribu, apatah lagi ia dibina di atas tanah kerajaan.”

“Justeru, saya mahu penjelasan dan ketelusan daripada Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai dan Majlis Bandaraya Miri mengenai kos sebenar dan siapa kontraktor. Warga Miri berhak untuk tahu kerana mereka adalah pembayar cukai pintu,” tegasnya.

Sementara itu, Su Kien dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamad Sabu turut meninjau projek pembinaan tandas awam tersebut yang kini masih dalam pembinaan. -sarawakupdate

Hasrat Bob Lokman Bantu PR Ke Putrajaya

Bukit Mertajam: Penulis lirik, pencipta lagu dan pelakun Bob Lokman memberitahu, tugas beliau kini adalah membantu Pakatan Rakyat khasnya PAS ke Putrajaya.

"Kini saya sudah sedar daripada lamunan kerana dunia hiburan banyak melalaikan.

"Tugas saya kini berceramah, membantu Pakatan Rakyat agar lebih berketrampilan dalam usaha mengejar impian ke Putrajaya," beritahu Bob Lokman (gambar) ketika berpidato pada majlis anjuran PAS Permatang Pauh di belakang Sekalah Agama Al Masriyah, Bukit Mertajam semalam.

Bob Lokman menyertai PAS tidak lama dahulu dan kini aktif bersama program PAS bagi membantu parti Islam itu agar lebih berketerampilan dalam menyampaikan mesejnya kepada masyarakat.

"Islam yang digerakkan oleh PAS juga tidak mengharamkan lagu bahkan mengalakkan lagu-lagu ketuhanan dengan irama yang berbagai agar anak muda tidak terpesong akidah atau lalai dengan gerak geri penyanyi luar, " jelas beliau.

Beliau berceramah dipentas bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan.

Dalam pada itu, beliau juga meminta Jabatan Agama Islam memantau lirik-lirik lagu yang dinyanyikan penyanyi agar ia tidak terpesong dari aqidah Islam.

Mereka di saran berperanan lebih aktif menilai dan mengkaji semua senikata lagu supaya tidak timbul masalah pemesongan akidah.

Ia perlu kerana semasa peminat menghayatinya sebagai hiburan ia boleh menggugat akidah, kata bekas penilis lirik, pencipta lagu dan pelakun itu.

Kadang-kadang, kata beliau, pencipta lagu dan lirik, ketika mendapat ilham terus sahaja mencatat tanpa berteraskan syariat yang dibenarkan asalkan penyusunan ayatnya bernas di tambah pula melodinya yang boleh mengkhayalkan pendengar.

"Bukan bermakna tidak boleh mencipta lagu asalkan penciptaanya tidak menyalahi Islam. Saya bercakap bukan untuk orang lain tetapi untuk diri saya sendiri yang pernah melalui era kegemilangan menerusi lagu Taman Rashidah Utama nyanyian Kumpulan Rock Wings dan Isabella nyanyian Search, " jelasnya.

Baginya, sekaranglah masa terbaik untuk dirinya meluangkan masa kepada Islam sebab dulu terlalu sibuk mengejar dunia semata-mata kerana duit.

Keluar dari alam glomour bukan mudah tambahan lagi aktif bersama PAS berceramah sana sini dengan tujuan menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang zalim terhadap rakyat bawahan, kata beliau. -hd

Lanjutkan Tempoh PLKN Bukti Kegagalan & Penganiayaan Ke Atas Pelatih

Lanjut tempoh latihan bukti PLKN gagal, kata DAP

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Pemuda DAP menyifatkan alasan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memanjangkan tempoh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah tidak berasas, sebaliknya mahu ia dikaji semula kerana didakwa telah gagal.

Sehubungan itu, Ketua Pemudanya Anthony Loke (gambar) menegaskan, sepatutnya jika tempoh latihan selama tiga bulan gagal untuk menerapkan semangat patriotik seperti yang dikatakan oleh Ahmad Zahid, maka PLKN dilaksanakan sejak 2004 wajar dikaji semula.

“Beliau (Ahmad Zahid) mencadangkan agar PLKN dipanjangkan tempoh latihan kerana mendakwa tempoh tiga bulan tidak mencukupi untuk menerapkan semangat patriotik di kalangan pelatihnya.

“Kami membantah cadangan itu kerana ia bukan faktor utama sama ada program itu berjaya memupuk semangat patriotik di kalangan anak muda kita dan sekiranya menteri sendiri mengakui program itu tidak berkesan memupuk semangat patriotik, ia sepatutnya dikaji semula secara komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Parlimen Rasah itu, sekiranya tempoh latihan PLKN dilanjutkan ia secara automatik akan menambah kos mengadakan program tersebut.

“PLKN memakan belanja begitu besar, yang mencecah RM560 juta setahun. Sekiranya tempoh tersebut dipanjangkan, maka tanggungan kerajaan untuk program ini akan bertambah berlipat ganda.

“Adakah ini wajar dalam keadaan kewangan negara ketika ini yang terus mengurangkan pelbagai subsidi untuk barangan keperluan yang menghimpit kehidupan rakyat? Malah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sendiri telah menyarankan supaya PLKN dikaji semula,” kata Loke.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga mempersoalkan cadangan bahawa modul baru akan diperkenalkan dalam PLKN untuk mendidik pelatih mengenai kepentingan mengundi.

“Saya mempersoalkan tujuan sebenar mengapa PLKN begitu beria-ia untuk memperkenalkan modul ini walaupun peserta PLKN belum pun layak untuk mendaftar sebagai pengundi,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk mendidik orang muda tentang sistem demokrasi, ia sepatutnya dimulakan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana merekalah yang berhak mengundi dan merupakan golongan yang sepatutnya digalakkan untuk mengambil berat tentang perkembangan politik negara dan sistem pilihan raya dan bukannya terus dibantutkan pemikiran mereka di bawah AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti),” katanya.

Semalam Ahmad Zahid berkata pihaknya mengkaji kemungkinan untuk memanjangkan tempoh latihan PLKN.

Kata beliau, tempoh latihan tiga bulan ketika ini terlalu singkat dan tidak memadai dalam usaha membentuk sahsiah terpuji, keperibadian unggul dan memupuk semangat patriotisme.

PLKN dilancarkan pada 16 Februari 2004 oleh Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri, dengan kumpulan sasaran merupakan golongan remaja berumur 18 tahun.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan Dr Tan Seng Giaw menggesa Ahmad Zahid membentangkan laporan penuh berkenaan perbelanjaan mengendalikan PLKN di Parlimen.

“Biar kita adakan perbahasan (di Parlimen) sebelum memperluaskan tempoh latihan lebih daripada tiga bulan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong. -TMI

Ulasan GB

Berita mengenai cadangan lanjutan tempoh PLKN keluar bertepatan serentak pula dengan berita mengenai seorang pelatih PLKN yang melahirkan dan membuang anak di kawasan kem yang disiarkan di entri sebelum ini.

Pelatih PLKN Lahirkan & Buang Bayi Di Belakang Asrama [updated]

Rahsiakan Kelahiran Bayi, Pelatih PLKN Cancun Park Ditahan

PASIR MAS 27 MEI : Seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Cancun Park, Bukit Tuku dekat sini ditahan polis kerana menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian bayinya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata kelahiran 'rahsia' pelatih berkenaan disedari selepas pelatih itu yang mengadu sakit dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini.

"Pihak hospital kemudian mengesahkan suspek telah melahirkan anak sebelum pihak kita menjalankan pemeriksaan mencari mayat bayi perempuan yang dilahirkan suspek di kawasan kem berkenaan kira-kira pukul 4 petang semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gambar: MAYAT bayi perempuan seberat 2.6 kilogram dijumpai di dalam kawasan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Taman Cancun, Pasir Mas dibawa ke Hospital Pasir Mas, Kota Bharu untuk dibedah siasat. - Foto Syamsi Suhaimi

Beliau berkata mayat bayi tersebut dipercayai dijumpai kakitangan PLKN kem berkenaan di belakang asrama pelatih perempuan dalam kawasan kem.

"Mayat bayi seberat 2.6 kilogram tersebut ditemui masih bertali pusat dan dilahirkan cukup sifat. Mayat itu kemudiannya di bawa ke hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat,"
katanya.

Katanya pelatih berkenaan kini dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kota Baharu dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pelatih bagi menjaga maruah pelatih dan keluarga.

"Kita menerima laporan mengenai kes itu dan saya telah mengarahkan komander kem mengambil tindakan mengikut perintah yang ditetapkan dan membuat laporan polis," katanya.

Abdul Hadi berkata pelatih tersebut baru melaporkan diri bersama 300 pelatih lain untuk siri kedua pada 15 Mei lepas.

Menurutnya, pelatih tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan seperti pelatih lain sebelum melaporkan diri dan lulus dalam pemeriksaan tersebut.


Bir Arab Haram! Mengandungi Kadar Alkohol Melebihi Yang Dibenarkan Syarak

Bir halal’ jadi haram

JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai `bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.

Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

Menurut sumber, JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol.

“Berikutan penemuan itu, JAJ memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“JAJ perlu memaklumkan penemuan itu kepada Jakim kerana difahamkan minuman itu (gambar) menjadi kegemaran ramai dan selama ini dianggap halal. KDRM pula perlu mengambil tindakan lanjut kerana minuman itu diimport dari luar negara,” katanya.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin ketika mengulas perkembangan itu berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.

“Makanan atau minuman disahkan halal jika terdapat kandungan alkohol tidak melebihi 0.01 peratus. Ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semula jadi.

“Kuantiti itu amat kecil dalam kebanyakan buah-buahan serta tumbuh-tumbuhan. Ia bukan najis dan boleh dimakan atau diminum umat Islam,” katanya.

Sementara itu, sumber Jakim berkata, kebanyakan pengguna Islam yang gemar minum minuman itu mungkin tidak menyangka kewujudan alkohol dalam minuman itu berikutan ia dikilang dan diimport dari negara Islam di Timur Tengah.

Menurutnya, tambah meyakinkan apabila label pada luar produk berkenaan tertera tulisan minuman itu bebas alkohol dan hadir dalam pelbagai jenis perisa buah-buahan.

“Ia mula popular sejak lebih setahun lalu di kalangan masyarakat apabila minuman botol itu mudah diperoleh di kedai runcit, restoran termasuk kafe pada harga antara RM3 hingga RM5 sebotol
.

“Persoalan bagaimana alkohol ini wujud dalam minuman ‘halal’ berkenaan masih dalam siasatan berikutan ia berkemungkinan di kilang di dalam bangunan sama dengan minuman keras,” katanya. -hm

[Video] Pengedar Video Seks Fitnah Sasar Kampung Cina

Selepas tersebar tanpa sekatan di laman Youtube, selain di tabur di kawasan perumahan sehingga ke masjid, video seks fitnah yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus disebar.

Terbaru rakaman video itu dikesan di perkampungan Cina dan sasarannya adalah ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat.

Sekurang- kurangnya 15 pemimpin di Hulu Langat dan lebih lapan lagi di Kuala Selangor mengesahkan menerima video berkenaan menerusi pos.

EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, berdasarkan cop pada bungkusan itu, rakaman tersebut dikirim dari Melaka dan Shah Alam.

"Pandangan kita jelas, ini adalah taktik kotor BN dan kita yakin bahawa orang dalam video tersebut bukan Anwar Ibrahim," katanya.

Ean Yong berkata demikian ketika mengiringi 15 ketua kampung dari kawasan Ulu Langat membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Beliau menambah, VCD seks turut diedarkan antaranya di Hulu Langat, Rawang, dan Sekinchan.

Beliau yang memegang portfolio jawatankuasa tetap pembangunan kampung baru dan penyelesaian kilang haram menggesa ketua kampung membuat laporan polis sekiranya menerima VCD tersebut.

Rakaman video fitnah itu giat diedar pihak yang tidak bertanggungjawab tanpa sebarang usaha mengekang daripada polis.

"Banyak laporan polis telah dibuat bersabit aktiviti pengedaran video ini, tapi sehingga kini polis masih tidak dapat tangkap orang yang mengedarkan VCD tersebut," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafie hari ini turut membuat laporan polis dan mendakwa penyebaran video ini dalam makluman polis, namun tiada sebarang tindakan diambil.

25 Mei lalu, sekurang- kurangnya sepuluh ketua kampung baru di DUN Kuala Kubu Bharu membuat laporan polis setelah menerima VCD yang sama, juga menerusi pos.

Rata- rata mereka menolak tindakan tidak bertanggungjawab menyebarkan bahan pornografi kepada umum. -tvsnews



Kenaikan Tarif Elektrik Diluluskan, Kerajaan Perihatin Terhadap Beban Rakyat?

Kenaikan Tarif Elektrik Diluluskan

PUTRAJAYA: Majlis Ekonomi Negara (NEC) pada Jumaat meluluskan kenaikkan tarif elektrik yang butirannya hanya akan diumumkan Isnin ini.

NEC yang bermesyuarat di sini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dihadiri oleh beberapa anggota Jemaah Menteri, lapor Malaysiakini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dijadualkan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang Isnin bagi membuat pengumuman rasmi.

Sejak beberapa minggu lalu, Kabinet berulang-kali mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kenaikan tarif elektrik dalam usaha kerajaan mengurangkan subsidi negara.

Pada Rabu lalu, Kabinet menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga bahan api kerana bimbang tindakan itu akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Ulasan GB

Jika sebelum ini dilaporkan bahawa keputusan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) kerana kerajaan amat prihatin terhadap beban yang ditanggung rakyat, walaupun terpaksa menanggung beban kewangan yang besar berikutan peningkatan jumlah subsidi, sekarang mengapa pula menaikkan tarif elektrik jika benar-benar kerajaan amat perihatin terhadap beban rakyat?

Ini jelas menunjukkan kerajaan UMNO BN sebenarnya lansung tidak menghiraukan beban rakyat.

Kenaikan tarif elektrik jauh lebih memberi kesan negatif kepada rakyat kerana setiap sektor terlibat.

Implikasinya, kenaikan harga barang akan melambung dengan hebat dan ini sekaligus akan melucutkan kuasa beli rakyat dengan jumlah pendapatan yang sama. Nilai wang akan terus menjunam kerana inflasi akan mengakibatkan situasi dimana segala-galanya akan menjadi lebih mahal.

Dan rakyat marhaen menanggung derita dan sengsara yang teramat sangat - di jangka pendek dan jangka panjang.