16 Dis 2011

Tak Datang Mesyuarat, Lagi Mahu Tunjuk Gedebe (Samseng)

Nasharudin tidak pernah hadir mesyuarat - Mustafa

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Ustaz Nasharudin Mat Isa tidak pernah datang ke mesyuarat PAS sejak muktamar yang lalu walaupun dilantik sebagai AJK PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

Datuk Dr Hassan Ali pula hanya sesekali sahaja datang ke mesyuarat PAS Pusat tetapi tidak pernah datang ke mesyuarat PAS negeri selepas dilantik semula sebagai ahli perhubungan.

Mustafa berkata demikian dalam wawancara khas dengan wartawan Harakah dan Harakahdaily semalam.

Ekoran laporan mengenainya oleh Harakahdaily semalam, pelbagai pihak menghubungi Harakahdaily dan Mustafa untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Dalam wawancara itu, Mustafa melahirkan rasa kesal dengan kedua-dua pemimpin itu dan menyifatkan mereka sejak akhir-akhirnya terperangkap dalam agenda Umno.

"Ingin saya dedahkan, dalam rekod di Pejabat Agung PAS Pusat dan Pejabat Perhubungan PAS Selangor, Nasharudin setelah tidak terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS, beliau telah dilantik sebagai AJK PAS Pusat yang dilantik, tetapi sepanjang masa selepas dilantik hingga kini, tidak ada sekalipun beliau menghadiri mesyuarat PAS Pusat.

"Sementara Hassan Ali dari sudut di pusat kadang-kadang hadir kadang-kadang tidak, tetapi di peringkat Selangor, sekali pun beliau tidak hadir (mesyuarat).

"Walaupun telah dinasihati supaya hadir dan saya sendiri menghubungi Nasharudin Mat Isa supaya datang mesyuarat walaupun sanggup awalnya (untuk hadir), tetapi akhirnya tidak hadir," beritahu Mustafa dalam wawancara khas itu.

Ekoran beberapa tindakan dan kenyataan kedua-duanya sejak akhir-akhir ini Mustafa membuat kesimpulan mereka terperangkap dalam agenda musuh.

"Jadi sebab itu saya buat kesimpulan berdasarkan maklumat yang saya terima dari pelbagai puhak samada sedar atau tidak kedua-dua mereka ini terperangkap dalam agenda musuh politik PAS, dan sebab itu ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS," katanya. -HD

Isu calon: PAS pelik sekarang, bidas Nasharudin Mat Isa

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa membidas golongan tertentu dalam PAS, yang menurutnya “pelik” dan mendahului presiden dalam menentukan calon pilihan raya umum ke-13.

Nasharudin yang turut dinamakan sebagai antara calon yang akan digugurkan berkata, beliau hairan dengan perkembangan terkini dalam PAS.

Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga disebut-sebut akan digugurkan tetapi dinafikan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang Ahad lalu atas alasan pemilihan calon belum dimuktamadkan.

“Saya ada hubungi Dr Hasan dan menyatakan sokongan kepadanya. Saya pelik bila tengok ada pihak mendakwa beliau dan saya akan digugurkan sebagai calon pilihan raya umum.

“Mengikut amalan PAS, biasanya presiden yang umumkan siapa bertanding di mana. Tapi tiba-tiba ada pula individu peringkat bawah yang membuat kenyataan,” katanya dipetik Berita Harian.

Ia dilihat kenyataan media terbuka mengenai PAS sejak tewas mempertahankan kerusinya Jun lalu.

Nasharudin (gambar) turut mempersoalkan kenyataan pihak berkenaan bahawa pemilihan calon PAS berdasarkan pencalonan daripada kawasan sedangkan parti itu mempunyai beberapa Ahli Parlimen yang diimport dari luar kawasan.

Sebagai contoh katanya, PAS membenarkan Datuk Ibrahim Ali bertanding atas tiket parti itu di kerusi Parlimen Pasir Mas pada 2008 sebelum menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau juga merupakan calon luar tanding di Kelantan.

“Saya tak fikir banyak cawangan PAS di Pasir Mas mencalonkan beliau tetapi apabila pucuk pimpinan memberi lampu hijau, jentera bekerja untuk memastikan kemenangan parti.

“Sama juga apabila saya mendapat arahan presiden untuk bertanding di Yan pada 1999, Besut pada 2004 dan Bachok pada 2008,” katanya lagi.

Tambah beliau, PAS mempunyai proses saringan menyeluruh dalam memilih dan mengesahkan calon.

“Senarainya perlu melalui Biro Politik, Jawatankuasa Kerja Pusat dan Majlis Syura sebelum kata putus presiden,” katanya lagi.

Nasharudin juga menegaskan beliau berpegang kepada pendirian untuk menyerahkan soal bertanding atau digugurkan kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, masalah dalam PAS sekarang terlalu ramai orang yang hendak bercakap.

“Senario beberapa hari kebelakangan ini mewujudkan persepsi baru terhadap PAS.

“Dulu banyak pihak, terutama rakan media kata cukup susah nak dapatkan maklumat mengenai PAS sebab yang bercakap biasanya cuma presiden atau setiausaha agung,” katanya lagi. -TMI


Hasan Ali: ‘Pemimpin PAS harus berlapang dada dan berjiwa besar’

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Datuk Dr Hasan Ali sambil menafikan penglibatan Umno berhubung segala isu melibatkan diri beliau yang kini menjadi polemik di kalangan pemimpin utama PAS, mahu parti itu “berlapang dada dan berjiwa besar.”

Sehubungan itu, bekas pesuruhjaya PAS Selangor ini menasihatkan pemimpin-pemimpin partinya berhenti membuat tohmahan sedemikian dan jangan berfikiran tertutup.

“Janganlah berfikiran tertutup dan simplistik sehingga segala-galanya dijuruskan kepada agenda Umno tanpa memberikan bukti,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Hasan mengeluarkan reaksi itu ekoran kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam yang menyifatkan Hasan dan bekas timbalan presiden parti itu Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan parti Islam itu.

Juga semalam, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata Hasan boleh keluar PAS dan menyertai Umno jika beliau mahu.

Mustafa berkata, Hasan yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasharudin bertindak tidak wajar sebagai pemimpin parti.

“Saya buat kesimpulan, mereka berdua terheret dengan agenda (Umno) yang boleh menjejaskan parti. Sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik PAS.

“Ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS walaupun tidak memberikan kesan besar bagi parti,” kata beliau.

Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin lalu juga secara terbuka mengumumkan kesediaan menerima jemputan daripada perdana menteri untuk membincangkan usaha menyatupadukan PAS dan Umno.

Katanya, beliau akan berbuat demikian dengan menggunakan Islam sebagai teras.

Nasharudin dalam kenyataan terbaru kepada Berita Harian berhubung isu calon pilihan raya mendakwa PAS semakin pelik sejak kebelakangan ini.

Hasan juga berkata kenyataan dan pendirian pemimpin-pemimpin PAS bukan satu masalah kepadanya, sebaliknya menjadikan beliau lebih kental untuk terus berjuang atas nama Islam dan Melayu.

Hasan juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS harus berlapang dada dan berjiwa besar menghormati pandangan serta pendapat sesama pemimpin demi kelangsungan perjuangan parti.

“Saya tetap setia dan akan terus setia kepada dasar perjuangan parti sebagai harakah Islamiah dan bukan parti politik semata-mata,” katanya lagi. -TMI


Ulasan GB

Sekarang setelah pendedahan dibuat oleh Setiausaha Agung terhadap dua komrad UG di dalam PAS, Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa maka kita ingin bertanya:

Pertama kepada Nasharuddin Mat Isa: Siapa yang pelik sekarang? PASkah atau Nasharuddin sendiri? Kalah pertarungan Timbalan Presiden di tangan mat Sabu, terus memboikot dan tidak hadirkan diri di dalam mesyuarat sekalipun telah diberikan penghormatan dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

Kedua kepada Hassan Ali: Siapa yang perlu berlapang dada dan berjiwa besar kini? PASkah atau hassan Ali yang tidak dilantik sebagai Pesuruhjaya oleh Presiden tetapi telah dipilih untuk menduduki kerusi AJK PAS Pusat, mengambil sikap kadang-kadang hadir kadang-kadang tidak, tetapi di peringkat Selangor, sekali pun beliau tidak hadir.

Dari sudut tanzim, kedua-dua tidak ada akhlak jamaah, malah dari sudut organisasi moden sekalipun kedua-duanya sudah wajar dipecat dan dihukum.

Adalah merupakan satu "dosa" kerana tidak melaksanakan "amanah" yang diberikan apatah lagi jika amanah itu cuba dikhianati.


Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).


Yang anehnya, kamu berdua bukan calang orang, ada ilmu yang tinggi di dalam agama. Tetapi malangnya bersikap sedemikian rupa, sedangkan si penampal poster untuk kamu sewaktu pilihanraya dulu tak pernah dapat habuan apa-apa, tetapi di dalam perjuangan mereka lebih dan masih tetap setia.

Dan terlebih aneh, kamu-kamu berdua telah jelas melakukan kesalahan tetapi masih berani dan masih mahu tunjuk lengan untuk pertahankan diri. GB ingin peringatkan, ini bukan rostrum tempat di mana Shahrizat tunjuk lengan pertahankan kes lembunya!

PAS sebagai "hizbullah" tidak perlukan pemimpin sebegitu.

Itu, UMNO sudah buka pintunya untuk kamu berdua - Mahfuz berkata kita tak halang jika kamu mahu ke sana.

Umno buka ‘pintu’ untuk Hasan Ali, Nasha

PETALING JAYA: Umno tiada halangan menerima exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menyertai parti itu, malah mengalu-alukan penyertaan mereka.

Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata, keputusan untuk menyertai parti itu disifatkan tepat kerana PAS kini sudah tidak lagi memperjuangkan Islam yang sebenar.

Abdul Shukor menegaskan, baik Hasan mahupun Nasharudin kedua-dua pemimpin PAS itu dianggap bijak untuk membuat keputusan dan masih belum terlambat untuk berbuat demikian.

“Hasan Ali adalah seorang yang bijak untuk melihat sendiri siapa yang memperjuangkan Islam. Umno memimpin parti berbilang kaum dan meningkatkan martabat Islam jauh dari parti-parti lain.

“Hanya orang buta tidak nampak perjuangan Umno dan Islam. Jika boleh Hasan Ali dan Nasharudin menilai perkara ini.

`Hanya topeng’

“Malah pilihan menyertai Umno adalah tepat kerana Umno yang memperjuangkan Islam. PAS hari ini bukan perjuangkan Islam tetapi hanya mahu kekal berkuasa dengan bersekongkol dengan DAP. Perjuangan Islam oleh PAS hanya topeng,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Katanya jika kedua-dua pemimpin tersebut berminat menyertai Umno, prosedur biasa perlu dilalui dengan mengisi borang yang akan diproses oleh Majlis Tertinggi parti itu.

“Umno terbuka kepada orang Melayu tidak kira nama atau rakyat biasa.Tiada halangan untuk sesiapa sahaja. Kami harap baik Hasan Ali mahupun Nasharudin boleh isi borang tersebut.

Abdul Syukor membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam, sambil menegaskan Umno itu telah membawa kesejahteraan dan berada landasan benar.

Mustafa dilaporkan berkata dua pemimpin parti itu sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.

Track record

“Jerat Umno bawa kesejahteraan dan kita berada dilandasan benar. Ini terbukti dengan ‘track record’ kami untuk memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu.

“PAS sanggup gugurkan agenda dari negara Islam kepada negara kebajikan,” kata Abdul Syukor.

Isu itu tercetus apabila Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib dilaporkan berkata, Hasan tidak menerima pencalonan yang mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man menafikannya dan berkata, perkara itu belum muktamad.

Hasan turut membuat pendirian bahawa akan tetap kekal bersama parti, malah PAS Selangor juga yakin beliau akan kekal menjadi ahli. -FMT


Kempen ABU Tumbangkan Umno Bermula

Petaling Jaya: Kempen Asalkan Bukan Umno (ABU) untuk menumbangkan Umno/BN dimulakan semalam di markas PAS di Taman Melewar dekat Kuala Lumpur.

Kempen ini dipelopori oleh parti politik pembangkang dan NGO.

Berbeza dengan kempen lain, ABU turut mengetengahkan suri rumah, pekerja dan golongan pelajar.

Menurut Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia Al Jafree Md Yusop, sesi ceramah semalam menampilkan Badrul Hisham Shaharin dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan PKR, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan dan aktivis NGO Haris Ibrahim.

1, 000 orang hadir

“Mereka berceramah berkenaan banyak isu tetapi ia adalah berpangkalkan empat topik utama iaitu peningkatan harga barang, politik perkauman, Lynas dan undang-undang yang zalim seperti ISA, Ordinan Darurat dan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011,” kata Jafree.

Hampir 1, 000 menghadiri sesi ceramah ini.

Menurut Jafree, golongan suri rumah yang berceramah disitu menyatakan bahawa para penduduk di kawasan luar bandar turut menghadapi kesukaran ekoran kenaikan harga barang.

Beliau menambah bahawa kempen ABU akan diteruskan siri jelajah di setiap negeri tidak lama lagi.

Asalkan Bukan Umno bergema lagi

Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) yang menjadi sebutan menjelang pilihan raya 2008 kembali meraih perhatian dalam acara sulungnya di tapak markas tarbiah PAS, Taman Melewar malam tadi.

Sebelum ini, ABU hanya dikenali melalui contengan grafiti di dinding dan tembok sekitar Kuala Lumpur dan juga cakap-cakap di kedai kopi.

Ceramah pertama yang dijalankan malam tadi bagaimanapun mula menampakkan bentuk "Gerakan Rakyat Membebaskan Malaysia Dari Cengkaman Umno/BN" ini.

Program ceramah rakyat itu membariskan wakil daripada golongan masyarakat yang rata-ratanya menyuarakan kekecewaan terhadap Umno dan BN serta menyeru supaya parti berkenaan tidak lagi dipilih dalam pilihan raya akan datang.

Bekas pemimpin muda PKR, Badrul Hisham Shaharin yang bertindak sebagai pengerusi ceramah berkata, ABU bukanlah satu pergerakan politik tetapi satu "semangat dan iltizam rakyat untuk menghumbankan Umno."

"Ia bukan milik sesiapa," katanya lagi yang menambah, gerakan itu juga tidak mempunyai pemimpin tapi bergerak atas semangat sama untuk mengundi selain Umno dan BN.

Antara pemimpin politik yang ditampilkan dalam ceramah berkenaan ialah naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM), Haris Ibrahim, setiausaha agung PSM, S Arutchelvan dan juga wakil SAPP, Benny Loh.

Mahfuz dalam ucapannya di ceramah berkenaan berkata, kempen ABU itu membawa semangat sama yang menghumbankan parti Liberal Democratic Party di Jepun pada pilihan raya di negara berkenaan dua tahun lalu.

ABU seperti di Jepun

Katanya, LDP tidak ubah seperti Umno yang membentuk kerajaan secara berterusan di negara berkenaan selama 54 tahun.

Anehnya, ramai yang memilih untuk tidak menyokong LDP pada pilihan raya 1999 berbuat demikian tanpa mengetahui dasar dan juga tawaran oleh parti alternatif – Democratic Party yang baru dibentuk setahun sebelum itu.

"Bila ditanya (sebab undi Democratic Party), pengundi kata 'oh asalkan bukan LDP," kata Mahfuz lagi.

Beliau turut menyeru supaya para hadirin berkenaan tidak termakan dengan kebimbangan yang ditimbulkan Umno bahawa Malaysia akan hilang kemajuan sekiranya kerajaan berubah.

Katanya, ekonomi Jepun yang jauh lebih maju daripada Malaysia tidak terjejas walau kuasa politik itu berubah kepada parti baru.

"Takkanlah mereka tidak terfikir bahawa mereka akan hilang kemajuan jika buat perubahan," soalnya lagi.

Bagaimanapun, fokus utama program itu ialah luahan perasaan daripada rakyat biasa yang diangkat ke pentas ceramah berkenaan, kata Badrul Hisham.

Antaranya ialah seorang pekerja kilang, Zuraidi Abdullah yang membangkitkan mengenai masalah yang dialami oleh pekerja industri yang tidak dilindungi gaji minimum dan juga manipulasi oleh majikan dalam kontrak kerja.

"Gaji RM600 memang tak cukup untuk tampung kos sara hidup hingga pekerja terpaksa kerja lebih masa. Mereka akan berada lebih 12 jam di tempat kerja," katanya pemuda dari Melaka itu lagi.

'Akta tak bermaruah'

Isu berkenaan turut diulas oleh seorang aktivis pekerja, Jaafar Malik yang mempertikaikan langkah kerajaan untuk membiarkan majikan menetapkan gaji pekerja mengikut harga pasaran.

"Harga pasaran itu apa? Adakah kita ini sama dengan kobis? Sama dengan cili? Sama dengan lembu?," katanya yang disambut gelak ketawa daripada lebih 700 orang yang hadir.

Setidak-tidaknya kerajaan perlu merangka dasar gaji minimum sekiranya tidak mampu untuk membuat akta khusus, kata Jaafar (foto kanan).

"Tapi ini dasar pun tak boleh diwujudkan," tambahnya yang memuji langkah Selangor berhubung penetapan takah RM1,500 untuk gaji minimum kakitangan kerajaan negeri itu.

Anggota exco Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia itu juga menyamakan langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem kontraktor tenaga kerja melalui pindaan Akta Kerja 1955 dengan sistem dalam industri seks.

"Strukturnya mudah. Ada bapa ayam dan ada anak ayam, itulah dia kontraktor pekerja.

"Anak ayam yang kerja dan bapa ayam dapat hasil, jadi memanglah akta ini tak bermaruah," katanya lagi yang mahu pekerja mengadakan demonstrasi besar pada Februari depan untuk membantah pindaan berkenaan.

'Hancurkan Umno'

Turut mencuri perhatian ialah seorang kontraktor binaan, Yusof Tapa, yang mendakwa telah menghadapi masalah untuk mendapatkan kontrak apabila tidak lagi bersama Umno.

"Orang Umno ini tak boleh tengok orang senang," katanya yang mendakwa telah disenarai hitam daripada menerima projek sejak tiga tahun lalu.

Namun, beliau tetap berjaya mendapatkan dua projek melalui lesen kontraktor rakan-rakannya dan akan menyelia projek di jalan-jalan berkenan.

Perkara itulah yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu yang menimbulkan pertanyaan: "Apa pasal Yusof Tapa duduk tepi jalan, dia dapat kerja ke?"

Sedangkan, beliau mendapat projek berkenaan melalui saluran yang betul, kata bekas pemimpin di satu bahagian Umno Negeri Sembilan itu.

Perkara itu menunjukkan bahawa pemimpin berkenaan Umno, yang juga menjawat jawatan dalam perbadanan negeri, bukanlah berjuang untuk kepentingan Melayu tetapi untuk kepentingan kroni mereka sendiri, kata Yusof.

"Jadi kalau ada yang masih dengan Umno kita tinggalkanlah. Kita sertai Pakatan Rakyat, kita kempen untuk hancurkan Umno," katanya lagi. -mk


Jentera Bomba Redah Rumah, 4 Anggota Cedera

Kepala Batas: Empat anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Muda cedera dalam satu kemalangan apabila jentera bomba yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh dua buah rumah di Kampung Pasir Gebu, Penaga di sini, malam tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat, berkata kejadian itu berlaku pada jam 9.25 malam ketika jentera berkenaan dalam perjalanan ke satu kejadian kebakaran di Pajak Song di sini.

Katanya, mereka yang cedera termasuk seorang parah ialah Shawal Dahaman, Nordin Hassan, Shamsuddin Mohd Nahu dan Ridzuan Hamid, kesemuanya dalam lingkungan usia antara 25 dan 40 tahun.

"Kejadian itu berlaku ketika jentera bomba berkenaan melalui satu selekoh di persimpangan jalan dan tiba-tiba sebuah motosikal datang dari arah bertentangan.

"Pemandu jentera cuba mengelak bagaimanapun hilang kawalan dan terbabas sehingga merempuh dinding bahagian dapur dua buah rumah di situ," kata Azmi ketika ditemui di tempat kejadian selepas kerja-kerja menyelamatkan mangsa selesai.

"Bomba terpaksa mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan seorang daripada mangsa yang tersepit kerana jentera bomba itu tersepit antara pokok dan rumah," katanya.

Beliau bersyukur kedua-dua penghuni rumah yang terbabit dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, seorang pemilik rumah yang terbabit dalam kemalangan itu, Noriah Wahab, 61, berkata ketika kejadian dia sedang solat dalam biliknya manakala anak lelakinya, Nurizwan Abdul Razak, 31, berada di ruang tamu.

"Tiba-tiba dengar bunyi kuat, mak cik ingat bunyi pokok tumbang, rupa-rupanya dinding rumah mak cik yang kena rempuh, nasib baik tiada sesiapa yang cedera... anak-anak mak cik yang lain tiada di rumah," katanya.

Noriah berkata, dapur rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan kuat. - BERNAMA



Pencuri Kereta Cedera Parah Dibelasah Penduduk Kampung

Besut – Seorang lelaki dipercayai terbabit kes curi kereta parah dibelasah penduduk kampung apabila keretanya tidak dapat dihidupkan sebaik rakannya melarikan sebuah kereta curi di Kampung Limbongan dekat Kampung Raja, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, suspek berusia 37 tahun cedera parah di kepala akibat dipukul penduduk yang berang dengan tindakan rakan suspek mencuri sebuah Proton Wira Aeroback hijau di depan sebuah rumah di perumahan belakang Kompleks Sekolah Kebangsaan (SK) Nur Zahirah di sini.

Sebelum kejadian, pemilik kereta yang berada dalam rumah terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan di depan rumahnya.

Pemilik kereta berusia 32 tahun itu keluar memeriksa bunyi tersebut dan mendapati keretanya yang diparkir di depan rumah telah dihidupkan seorang wanita yang duduk di kerusi pemandu.

Belum sempat mangsa menghalang, wanita itu terus melarikan keretanya dan pada masa sama, mangsa terpandang dua lelaki menolak Proton Iswara berwarna putih berhampiran rumahnya.

Mangsa menghampiri lelaki tersebut lalu menegur menyebabkan mereka bertempiaran melarikan diri.

Mangsa meminta bantuan penduduk sekitar dan akhirnya salah seorang daripada suspek berjaya ditangkap orang ramai yang kemudian bertindak membelasah lelaki itu sebelum diserahkan kepada anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kampung Raja.

Sinar Harian difahamkan suspek lelaki dan wanita yang melarikan diri itu dikatakan pasangan suami isteri.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kata beliau, lelaki yang berjaya ditangkap itu beralamat dari Kampung Kulim, Pasir Puteh, Kelantan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut akibat kecederaan di kepala dan ditahan di wad berkenaan sebelum dibenarkan keluar semalam.

Menurutnya, dua lagi rakan suspek yang juga dikatakan rakan sekampung berjaya meloloskan diri tetapi usaha mengesan mereka giat dilakukan.

“Proton Wira Aeroback yang dicuri dijumpai semula ditinggalkan suspek di tepi jalan di Kampung Nail, Kuala Besut kira-kira jam 8.30 malam hari sama,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut. -SH

Ketua UMNO Cheras Diserang Kerana "Biawak Hidup"

NFC: NGO salah tafsir ‘biawak hidup’, kata Ketua Umno Cheras

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Ketua Umno Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menjelaskan maksud kenyataan “memikul biawak hidup” ditujukan ke atas Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang kini menjadi pertikaian umum, bukannya merujuk kepada anggota Kabinet dari parti itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Syed Ali, kenyataan beliau kelmarin berkaitan isu NFC yang mana jika tidak diselesaikan maka selagi itulah rakyat akan menunding jari kepada kerajaan kononnya melindungi Shahrizat yang mana suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah Pengerusi Eksekutif NFC.

Projek NFC, yang menggunakan dana awam RM250 juta, dikendalikan oleh keluarga Shahrizat.

“Maka, sudah tentulah pada anggapan saya rakyat akan menyalahkan Perdana Menteri dan timbalannya kerana memikul isu NFC seperti memikul biawak hidup. Bukannya peribadi Shahrizat,” kata beliau dalam kenyataan disiarkan menerusi blognya.

Kenyataan keras Syed Ali sebelum ini didakwa dituju ke atas Mohamad Salleh supaya memberikan penjelasan secara jelas dan terperinci berhubung isu tersebut supaya tidak menjadi beban kepada Umno dan kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 sepertimana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

“Saya bercakap berkisar tentang isu NFC yang kini menjadi bualan rakyat, malah pihak pembangkang juga menuduh pelbagai penyelewengan berlaku dan menyalahkan kerajaan, bukannya saya tujukan kepada Shahrizat secara peribadi,” tegasnya.

Sebelum ini kata Syed Ali, beliau bersama beberapa pemimpin Umno telah menegur Shahrizat berhubung isu NFC dan mendesak beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat, yang tewas dalam pilihan raya umum 2008, merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ini bermakna saya menghormati Shahrizat sebagai wanita dan pemimpin sayap kanan parti tetapi beliau harus mengakui bahawa isu NFC ini menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang menteri Kabinet,” jelasnya.

Beliau juga berkata, penjelasan Mohamad Salleh mungkin boleh membersihkan imej Shahrizat yang turut terpalit dalam isu tersebut.

Semalam, sekitar 80 orang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan “membanjiri” pejabat Syed Ali di Jalan Peel di sini berkaitan kenyataan beliau yang mengumpamakan Shahrizat dan keluarganya “biawak hidup”.

Antara mereka hadir ialah wakil Persatuan Gabungan NGO Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, National Women Entrepreneurs of Malaysia (Nawem) dan Kelab Sahabat Kebajikan Nusantara.

Pertubuhan-pertubuhan berkenaan mendakwa Syed Ali tidak menghormati status wanita.

“Saya adalah orang yang paling menghormati kaum wanita, sebab emak saya adalah wanita, malah wanita merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia,” tegasnya.

“Saya ingin jelaskan ini kerana ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tetapi niat saya hanya ingin mempertahankan institusi Umno, bukannya kepentingan peribadi individu tertentu,” tegasnya.

“Individu tidak penting pada saya, parti dan kerajaan yang lebih penting,” ujarnya. -TMI

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Ulamak Perlu Berani Tegur Najib Bukan Sekadar Berhimpun Untuk Mengampu

Lebih 2,000 Ulama Dijangka Hadir Majlis Perdana Ulama Bersama PM

PUTRAJAYA: Seramai lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada barisan ulama bakal menghadiri Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata majlis anjuran Jakim yang diadakan buat kali ketiga selepas 2008 dan 2010, bertujuan mewujudkan kesatuan fikiran dan tindakan dalam pembangunan negara dan mengekang perpecahan yang mengundang kemudaratan kepada agama dan negara.

Katanya antara barisan ulama yang akan hadir ialah mufti-mufti seluruh Malaysia, Ketua Hakim Syarie, ahli Panel Kajian Syariah dan ahli Panel Kajian Akidah Jakim, ahli panel dari Bahagian Hub Halal Jakim dan imam dari seluruh negara.

"Perdana Menteri merupakan pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang berfungsi sebagai Penasihat kepada Majlis Raja-Raja, maka forum ini adalah satu mekanisme yang lebih terbuka kepada beliau untuk mendapatkan sumbangan daripada ulama dan umara.

"Selain itu, ia bagi memberi tambah nilai kepada fungsi tersebut dan menjadi forum bagi ulama dan umara menjalin hubungan kerjasama dalam pembangunan negara," katanya dalam kenyataan di sini Khamis. - BERNAMA

Ulasan GB

Perkara pokok yang perlu dilakukan oleh para ulamak ialah menegur dan mendidik Najib dengan ajaran Al-Quran & hadith berhubung dengan pemerintahan dan pentadbiran negara, bukan sekadar berhimpun dan mengampu-bodek PM.

Sungguh mengaibkan bagi yang berstatus dan bergelar ulamak mendatangi "penguasa" sekadar bermatlamat untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Malah jika untuk belajar sekalipun, ulamak sepatutnya mempunyai harga diri, bukan terhegeh-hegeh di pintu penguasa. Apa yang berlaku kini sebenarnya telah ada penjelasannya di dalam sejarah.

Imam Malik (179 H) pernah diminta Khalifah Harun Ar Rasyid untuk berkunjung ke istana dan mengajar Hadith kepadanya. Tidak hanya menolak datang, ulama yang bergelar Imam Dar Al Hijrah itu malah meminta agar Khalifah yang datang ke rumahnya untuk belajar, ”Wahai Amirul Mukminin, ilmu itu didatangi, tidak mendatangi.”

Akhirnya, mau tidak mau, Harun Ar Rasyidlah yang datang kepada Imam Malik untuk belajar. Demikianlah sikap Imam Malik ketika berhadapan dengan penguasa yang adil, semisal Ar Rasyid. Ia diperlakukan sama dengan para pencari ilmu lainnya, dari kalangan rakyat jelata.

Selain itu, para ulama menilai, kedekatan dengan penguasa boleh menimbulkan banyak fitnah. Kisah ini termaktub dalam Adab As Syari’iyah (2/52).

Sedangkan Abu Hazim (140 H), ulama di masa tabi’in, menyatakan bahawa di masa sebelum dirinya, jika penguasa mengundang ulama, ulama tidak mendatanginya. Jika penguasa memberi, ulama tidak menerima. Jika mereka memohonnya, mereka tidak menuruti. Akhirnya, para penguasa yang mendatangi ulama di rumah-rumah mereka untuk bertanya. (Riwayat Abu Nu’aim).

Kedekatan ulama dengan penguasa dianggap sebagai aib oleh para ulama saat itu. Bahkan Abu Hazim mengatakan, ”Sebaik-baik penguasa, adalah mereka yang mendatangi ulama dan seburuk-buruk ulama adalah mereka yang mendatangi penguasa.”

Selain Abu Hazim, Wahab bin Munabih (110 H), ulama dari kalangan tabi’in juga pernah menyatakan agar para ulama menghindari pintu-pintu para penguasa, kerana di pintu-pintu mereka itu ada fitnah, ”Kau tidak akan memperoleh dunia mereka, kecuali setelah mereka membuat musibah pada agamamu.” (Riwayat Abu Nu’aim).

Para ulama bersikap demikian, karena keakraban dengan penguasa boleh menyebabkan sang ulama kehilangan keikhlasan. Kerana, ketika mereka mendapatkan imbalan dari apa yang mereka berikan kepada penguasa, maka hal itu boleh menimbulkan perasaan ujub, atau kehilangan wibawa di hadapan penguasa. Akibatnya, mereka tak mampu lagi melakukan amar ma’ruf nahi munkar, jika para penguasa melakukan kesalahan.

Bas Sekolah Rempuh Lapan Kenderaan Termasuk Ambulan

Akibat hilang kawalan, bas sekolah rempuh lapan kenderaan lain

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah apabila bas sekolah dipandunya bertembung sebuah ambulans sebelum merempuh tujuh kenderaan lain ketika cuba memotong sebuah kereta dalam kemalangan di Dutamas Raya, Segambut di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, bas tanpa penumpang yang dipandu lelaki berumur 30-an itu dalam perjalanan menghala ibu negara.

"Bas dikatakan cuba memotong sebuah kereta, namun pada masa sama sebuah ambulans datang dari arah bertentangan.

"Ekoran itu, bas terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan lain termasuk dua buah teksi yang kebanyakannya diletakkan di sebelah kiri bahu jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu bas tersebut cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan, manakala pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian tiada orang lain dalam ambulans tersebut kecuali pemandu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, lapan buah kenderaan rosak termasuk sebuah kereta Perodua Kembara yang remuk teruk akibat dihempap bas berkenaan.

"Siasatan mendapati, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah yang gagal dikawal ketika memotong yang pada masa sama sebuah ambulans dipandu laju dari arah bertentangan menyebabkan bas tersebut hilang kawalan sehingga merempuh kenderaan lain.

"Siasatan terperinci sedang dilakukan dan polis akan mengambil keterangan daripada beberapa mangsa termasuk pemandu bas," katanya. - BERNAMA

Bas sekolah rempuh 8 kenderaan


KUALA LUMPUR: Demi tugas, seorang pemandu ambulans memandu kenderaannya yang remuk ke pejabatnya di Sri Hartamas untuk menukarnya dengan ambulans lain bagi menghantar pemandu bas sekolah yang parah ke hospital.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, seorang pemandu bas sekolah parah selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah ambulans dan tujuh kenderaan lain di Dutamas Raya, Segambut.

Bagaimanapun, pemandu bas dikenali sebagai Deeva, 30-an, kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans hospital berkenaan yang tiba beberapa minit selepas ambulans gantian tiba.

Sumber trafik berkata, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke ibu negara hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh lapan kenderaan lain.

“Bas sekolah yang dalam perjalanan pulang dari menghantar pelajar sebuah sekolah antarabangsa itu merempuh empat kenderaan lain yang berada di hadapannya dan tiga kereta yang diletakkan di bahu kiri jalan termasuk sebuah kereta mewah jenis Lexus.

“Sebuah kereta kembara dirempuh dan dihempap bas itu kemudian diheret beberapa meter sebelum bas berkenaan melanggar sebatang pokok kelapa,” katanya.

Menurut seorang mangsa yang terselamat, Mohd Norrizki Mohd Suffian, 25, kejadian berlaku begitu pantas dan sekelip mata sebaik dia melalui selekoh menuruni bukit di jalan berkenaan.

“Saya nampak melalui cermin pandang belakang keadaan bas yang terhuyung-hayang dan hilang kawalan sebelum merempuh belakang kereta saya dengan kuat.

“Akibat rempuhan itu, saya melanggar sebuah teksi yang berada di hadapan sebelum terbabas ke laluan masuk sebuah kondominium,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengambil keterangan daripada beberapa mangsa.

Dalam kejadian berasingan di Kilometer 34.1 Lebuh Raya Karak arah Genting Sempah, sebuah bas ekspres yang membawa 20 penumpang hampir hangus selepas terbakar di bahagian enjin.

Difahamkan, kejadian itu disedari seorang penumpang yang ternampak kepulan asap sebelum menjerit memberitahu pemandu bas berkenaan.

Semua penumpang bagaimana pun selamat selepas pemandu bas bertindak memberhentikan bas di tepi jalan dan mengarahkan semua penumpang keluar menyelamatkan diri.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian berjaya memadamkan kebakaran. -hm


Jimmy Shanley Dedah Isterinya Suka Berjudi & Seorang Perokok

Jimmy dedah tabiat buruk isteri

SHAH ALAM – Perbicaraan pada hari pertama di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam membabitkan pengacara Jimmy Shanley yang menuntut supaya isterinya kembali taat mendedahkan yang wanita itu didakwa masih ketagih judi dan rokok walaupun berjanji untuk meninggalkan tabiat itu selepas berkahwin pada 1 Oktober 2010.

Selain itu, ketika disoal peguam Syarie yang mewakilinya, Mohd. Noor Aizan Md Idrus, Jimmy mendakwa, isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy bukan sahaja bermain judi daun terup malah pernah bertaruh di Internet ketika berada di rumah keluarga wanita itu di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Petaling Jaya pada hari kedua pernikahan mereka.

Katanya, ia diburukkan lagi dengan sikap Nursuhaila yang gemar melayan laman sosial Facebook (FB) dan khidmat pesanan ringkas BlackBerry (BBM) hingga wanita itu tidak mengendahkan permintaannya untuk bersama pada hari itu.

“Sebelum bernikah, dia berjanji untuk meninggalkan tabiat buruk itu dan melayan saya 24 jam. Oleh sebab itulah saya bersetuju untuk berkahwin.

“Bagaimanapun, ia tidak berubah selepas kami berkahwin kerana Nursuhaila masih berjudi hinggakan layanan terhadap saya terhad. Dia juga enggan berada di rumah saya yang tiada talian Internet tanpa wayar,”
dakwanya.

Tambahnya, Nursuhaila memberi alasan yang dia bermain judi untuk menghilangkan tekanan di hari lahir bapanya sendiri pada 11 Oktober 2010.

Menurut Jimmy, pada hari itu, Nursuhaila yang sepatutnya membeli kek, pulang lewat dan apabila ditanya, dia mengaku masih lagi berjudi.

“Saya juga bertanya penting ke layan FB dan BBM rakan-rakan, lalu dia menjawab lebih penting layan kawan daripada suami,” dakwanya. -kosmo

Perangai isteri tidak berubah

SHAH ALAM: Pengacara Jimmy Shanley mendakwa tindakan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy yang mungkir janji untuk berubah antara alasan dia memfailkan permohonan nusyuz dan perintah kembali taat di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Dia berkata, Nursuhaila pernah berjanji menjadi isteri solehah dan meninggalkan perangai buruk termasuk suka berjudi apabila mendirikan rumah tangga dengannya.

Bagaimanapun katanya, isterinya tidak mengotakan janji itu, sebaliknya tidak melaksanakan tanggungjawab untuk melayan suami dan ingkar apabila disuruh tinggal bersama-samanya selepas berkahwin.


Jimmy berkata, demikian ketika menjawab soalan peguam syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes kedua-dua permohonannya, semalam.

MOHD NOOR: Apa tabiat buruk yang dia janji akan tinggalkan?

JIMMY: Banyaklah... merokok dan yang paling kritikal berjudi.

MOHD NOOR: Dia berjudi di mana?

JIMMY: Di rumah.

MOHD NOOR: Dia berjudi dalam bentuk apa?

JIMMY: (Main) daun terup dan berjudi di Internet. Itu sebab masa bersama suami terhad. Itu sebab dia tidak mahu tinggal dengan saya sebab susah (untuk jalankan) aktiviti (berjudi). Di rumah saya, tiada kemudahan broadband (jalur lebar).

Jimmy seterusnya mendakwa, Nursuhaila menghilangkan diri bersama bekas kakak ipar dan teman baik untuk berjudi pada malam sambutan hari lahir bapa mentuanya itu pada 11 Oktober tahun lalu.

“Apabila dia balik, saya tanya dia, ‘berjudi lagi?’. Dia dengan besar hati mengaku.

“Saya tanya kenapa berjudi lagi. Dia jawab mahu hilangkan tekanan,” katanya.

Jimmy, 31, atau nama sebenarnya Jimmy Norjahan Salleh memfailkan perintah kembali taat diikuti permohonan nusyuz terhadap Nursuhaila, 25, di mahkamah ini, masing-masing pada 3 dan 27 Januari lalu.

Pengacara Akademi Fantasia ke-8 itu dan isterinya dilaporkan tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010 atau hanya 20 hari selepas mereka bernikah di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.

Hasil perkahwinan singkat itu, Nursuhaila yang juga anak jutawan produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim, melahirkan bayi perempuan Zahra Rania yang kini berusia dua bulan.

Terdahulu, pengacara itu berkata, Nursuhaila mula ingkar perintahnya untuk tinggal bersama-sama di rumahnya sehari lepas mereka diijabkabulkan pada 2 Oktober 2010.

Dia berkata, ia menyebabkan mereka berkelahi sehingga ibu mentua terpaksa campur tangan dan meminta dia tidur bersama-sama di bilik Nursuhaila bagi menjaga air muka di depan saudara-mara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Saharuddin Selamat bersambung pada 23 Februari dan 5 Mac tahun depan. -hm


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Guan Eng Akan Dermakan RM200,000 Daripada Utusan Kepada Badan Amal

Ambil iktibar saman Guan Eng terhadap Utusan

PULAU PINANG 15 Dis: Media arus perdana disaran mengambil iktibar kemenangan kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Utusan Malaysia, kata Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Ini kerana katanya, antara keputusan penting dalam kes itu ialah Utusan jelas melanggar etika kewartawanan dalam laporannya.

“Kami kesal dan kecewa melihat media massa arus perdana yang dikuasai sekutu Umno sering diperalat untuk memecah-belahkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

“Kami berharap Utusan dan media arus perdana lain mengambil iktibar daripada keputusan Hakim dan menghayati seruannya bahawa pengamalan kewartawanan bertanggungjawab penting kepada sistem demokratik di Malaysia,”
kenyataan itu dipetik.

Keputusan itu juga katanya, membuktikan Pakatan Rakyat, Guan Eng dan kerajaan Pulau Pinang tidak rasis dan jauh sekali anti Melayu sebagai mana didakwa akhbar Umno itu.

“Hakim juga memutuskan Utusan Malaysia mengamalkan “selective vendetta” atau dendam terhadap Ketua Menteri dan DAP dengan tujuan memfitnahkan mereka secara tidak adil,” katanya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Disember lalu mendapati akhbar milik Umno itu bersalah kerana memfitnah Guan Eng berhubung berita bertajuk ‘Kebiadaban Guan Eng’ dan diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.

Sehubungan itu, Utusan diarah membayar pampasan RM200,000 kepada Guan Eng dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau akan mendermakan RM200,000 itu kepada badan-badan amal.

Mahkamah Tinggi Buktikan Kerajaan Pulau Pinang Adil Kepada Semua Kaum

SHAH ALAM, 15 DIS : Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mendapati Utusan Malaysia bersalah kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng jelas menunjukkan bahawa dasar kerajaan negeri itu bertujuan membela semua rakyatnya sebaik mungkin tanpa mengira kaum atau agama.

Di dalam kenyataan bersama, Exco-exco Kerajaan Pulau Pinang berkata penghakiman ini menunjukkan secara konklusif bahawa Guan Eng dan pentadbirannya bukan anti-Melayu atau anti-Islam, seperti dakwaan palsu Utusan Malaysia yang berniat jahat.

"Kami berasa amat kesal dan kecewa melihat keadaan media massa arus perdana pada hari ini, yang dikuasai oleh parti-parti komponen Barisan Nasional dan sering dipergunakan untuk memecahkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Semalam, Utusan Malaysia didapati bersalah kerana memfitnah Setiausaha Agung DAP itu di dalam artikel yang bertajuk "Kebiadaban Guan Eng" yang diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.

Utusan Malaysia diperintahkan membayar Lim pampasan berjumlah RM200,000 dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Artikel tersebut menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis' dan ‘anti-Melayu' berdasaran ucapan ‘A People's Goverment for the Real Malaysians' semasa Konvensyen Pakatan Rakyat sehari sebelum itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk G V Varughese di dalam penghakimannya menggariskan tujuh perenggan daripada artikel itu yang dikatakan telah memfitnah Lim.

Kenyataan itu juga menyatakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menerima dan menyokong sepenuh-penuhnya keputusan Hakim dalam perkara ini sekaligus membuktikan ketujuh-tujuh dakwaan Utusan Malaysia sebelum ini adalah fitnah belaka.

"Penghakiman semalam menyaksikan kesemua dakwaan itu sebagai 'half-truths' atau 'kenyataan separuh benar' itu sebenarnya "tidak benar sama sekali", dan setelah mengkaji dakwaan-dakwaan tersebut, berpendapat bahawa dakwaan-dakwaan itu berniat jahat dan bertujuan untuk menipu pembaca-pembaca Utusan Malaysia.

"Hakim juga memutuskan bahawa Utusan Malaysia telah mengamalkan 'selective vendetta' atau dendam terhadap Ketua Menteri dan DAP dengan tujuan untuk memfitnahkan mereka secara tidak adil,"jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, akhbar kawalan Umno itu menyenaraikan tujuh dakwaan salah laku pentadbiran Guan Eng terhadap rakyatnya.

Berikut adalah dakwaan-dakwaan yang disenaraikan oleh Utusan Malaysia:

* Menindas orang Melayu dan melenyapkan satu demi satu perkampungan Melayu di bumi Pulau Pinang;
* Membatalkan atau menghalang perarakan Maulidur Rasul pada tahun 2010 (yang sebenarnya telah diadakan);
* Tidak membenarkan peniaga-peniaga Melayu untuk berniaga di KOMTAR semasa bulan Ramadan;
* Merobohkan gerai-gerai milik penjaja Melayu;
* Menggunakan dana dari sumber perjudian untuk memberi RM100 kepada warga emas;
* Merobohkan kampung-kampung Melayu di Kg Jalan Pokok Asam dan Kg Genting, Balik Pulau; dan
* Mengusir penduduk-penduduk India dari Kg Buah Pala.


"Kami berharap bahawa Utusan Malaysia dan media massa arus perdana yang lain akan mengambil iktibar daripada keputusan Hakim dan menghayati seruannya bahawa pengamalan kewartawanan yang bertanggungjawab adalah amat penting kepada sistem demokratik di Malaysia," tambah kenyataan itu. -TVSNEWS