19 Dis 2010

Hindraf Tuntut PR Beri 15 Kerusi Parlimen

HRP kepada Pakatan: Beri kami 15 kerusi parlimen

Hindraf-Parti Hak Asasi Manusia (HRP) telah memberi kata dua kepada Pakatan Rakyat supaya memberi laluan kepada parti kaum India itu bertanding satu lawan satu dengan BN di 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi negeri dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam surat yang dihantar hari ini kepada ketua umum PKR Datuk Seri
Anwar Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang dan presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, setiausaha agung penaja HRP, P Uthayakumar berkata jika Pakatan tidak memenuhi permintaan parti itu, gabungan itu akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan.

Sebagai ganjaran tidak bertanding, menjanji sokongan dan menyediakan bantuan jentera kepada HRP, Pakatan akan mendapatkan "sokongan tidak berbelah bagi dan kerjasama di semua 207 kerusi parlimen dan 538 kerusi DUN untuk memenangi semula sokongan pengundi India.

Beliau berkata, pihaknya telah menyokong (Pakatan) dalam pilihanraya umum ke-12, dan sekarang "kami meminta anda membalas budi itu."

Uthayakumar berkata, pihak berharap Pakatan tidak akan meletak calon di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya pertandingan tinga penjuru "menentang musuh politik bersama kita (Umno-BN).

Dikehendaki: Ijok, Lembah Pantai, Padang Serai

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat HRP di di Bangsar, Kuala Lumpur, Uthayakumar berkata bahawa kerusi yang dipilih itu mempunyai jumlah besar pengundi India, termasuk kerusi yang kini diwakili wakil rakyat PKR seperti Padang Serai di Kedah, Ipoh di Perak Barat, Kota Raja di Selangor dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Mereka juga berminat dengan kerusi parlimen Sungei Siput, Perak, yang
kini diwakili oleh anggota jawatankuasa pusat PSM, Dr D Jeyakumar.

Uthayakumar berkata, 15 aktivis setia Hindraf telah disenarai-pendekkan sebagai calon.

"Mereka telah teruji, telah menjadi sebahagian daripada Hindraf sejak hari pertama, tidak akan melompat ke parti lain dan sama kuat dengan calon PAS," katanya.

Ditanya mengapa HRP memilih untuk tidak menyokong calon Pakatan di kawasan pilihan raya berkenaan, Uthayakumar berkata, ia kerana isu yang dihadapi oleh masyarakat miskin India di situ tidak di bawa ke Parlimen.

Bagaimanapun, HRP tidak menolak kemungkinan bertanding di bawah tiket Pakatan jika mereka gagal mendaftarkannya sebagai parti

politik dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjelang pilihan raya umum akan datang.

Uthayakumar berkata, pihaknya telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan oleh ROS pada 25 November.

Menurutnya sama ada didaftar atau tidak, mereka akan bertanding, termasuk sebagai calon Bebas.

Kerusi parlimen yang dituntut bahawa HRP ialah:

1. Padang Serai (Penyandang: PKR-N Gobalakrishnan)
2. Batu Kawan (DAP-P Ramasamy)
3. Sungei Siput (PSM-Dr D Jeyakumar)
4. Ipoh Barat (DAP-N Kulasegaran)
5. Bagan Datoh (Datuk Zahid Hamidi BN-Ahmad)
6. Cameron Highlands (BN-SK Devamany)
7. Hulu Selangor (BN-P Kamalanathan)
8. Kuala Selangor (PAS-Dzulkefy Ahmad)
9. Klang (DAP-Charles Santiago)
10. Kota Raja (PAS-Siti Mariah Mahmud)
11. Rasah (DAP-Anthony Loke)
12. Teluk Kemang (PKR-Kamarul Baharin Abbas)
13. Alor Gajah (BN-Fong Chan Onn)
14. Tebrau (BN-Teng Boon Soon)
15. Lembah Pantai (PKR-Nurul Izzah Anwar)

Malam ini, Uthayakumar juga akan dilancarkan buku kedua yang
ditulisnya ketika 514 hari berada dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berjudul '25 November Hindraf Rally 2007 ", buku setebal 400 halaman itu merupakan catatan peribadinya mengenai peristiwa yang membawa kepada perhimpunan bersejarah yang disertai oleh 30,000 kerana memprotes diskriminasi terhadap kaum India, dan pengalamannya di bawah ISA. -mk

Mayat Lelaki Dibaham Buaya Ditemui Di Tebing Sungai Samarahan

Mayat nelayan dibaham buaya ditemui di tebing Sungai Samarahan

KUCHING: Mayat seorang nelayan berusia 66 tahun yang dibaham buaya, telah ditemui hari ini dalam keadaan bercerai-cerai hari ini di tebing Sungai Samarahan, tempat haiwan itu dilihat semalam.

Bahagian perut dan tangan kiri Sidi Samat ditemui pasukan mencari yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Perhutanan Sarawak dan RELA pada jam 8.45 pagi.

Anak mangsa, Musa berkata ibunya menjadi bimbang selepas warga emas itu tidak pulang-pulang selepas keluar menjala udang awal pagi semalam, kira-kira 25 meter dari rumah mereka.

Sekitar 11 pagi itu, seorang penduduk kampung dilaporkan ternampak kelibat seekor buaya berukuran 18 kaki berhampiran kawasan itu.

Mayat Sidi kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Reban. - BERNAMA


Buaya lambung ayah

KOTA SAMARAHAN: Seorang anak hanya mampu menitiskan air mata apabila melihat dengan mata sendiri ayah kesayangan dilambung seekor buaya sepanjang lima meter selepas dia dilaporkan hilang ketika pergi menjala udang di Sungai Samarahan, pagi semalam.

Sidi Samad, 66, dipercayai dibaham buaya selepas anaknya, Musa Sidi, 38, melihat sendiri reptilia terbabit timbul sebanyak tiga kali di permukaan sungai berkenaan sambil menggigit tubuh mangsa.

“Ketika itu, saya menyeru buaya terbabit supaya ‘pulangkan’ bapa saya dan reptilia terbabit mula bergerak perlahan menuju ke tebing.

“Saya perasan bapa saya berada di mulut buaya selepas melihat kedua-dua kakinya lalu memanggil buaya berkenaan. Bagaimanapun, buaya itu hanya bergerak separuh dari tempat mula-mula saya nampak sebelum membenamkan badannya ke dasar sungai.

“Selepas itu, saya terus memanggil namun buaya berkenaan terus tidak timbul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Reban, semalam.

Menurutnya, kerja menjala udang di sungai berhadapan rumahnya menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun lalu, namun dia tidak menyangka kejadian menimpa ayahnya.

“Ayah saya sering ke sungai berkenaan dan setiap kali terserempak dengan buaya itu, dia akan ‘meminta kebenaran’ untuk melaluinya,” katanya.

Sidi yang juga Imam Masjid Darul Ehsan di kampung berkenaan dikatakan keluar menjala udang di sungai berkenaan bersendirian dengan menaiki perahu kira-kira jam 6.40 pagi.

Sebelum keluar, isterinya, Dayang Salha Awang Sharul, 64, sempat menikmati sarapan pagi bersama mangsa dan kehilangannya mula disedari selepas tidak pulang ke rumah kira-kira jam 10 pagi.

“Kebiasaannya, suami saya akan pulang selewat-lewatnya sejam dari waktu dia turun ke sungai. Tapi, hari ini (semalam) saya risau selepas kelibatnya tidak muncul sehinggalah saya menghubungi Musa untuk meminta bantuan mencari ayahnya.

“Ini kerana, saya dimaklumkan ada individu ternampak suami saya dibaham buaya. Itulah yang menyebabkan saya meminta bantuan daripada anak dan penduduk kampung,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan arwah suaminya 45 tahun lalu.

Katanya, pada malam sebelum kejadian, suaminya beriya-iya mengajaknya ke majlis tahlil berikutan terdapat salah seorang penduduk kampung meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Suami saya menyuarakan hasrat untuk membawa saya menunaikan umrah April tahun depan. Kami sudah mengumpul duit untuk menunaikan hajatnya,” katanya.

Dalam pada itu, ketika usaha mencari dan menyelamat dilakukan, penduduk hanya menemui perahu dipercayai digunakan untuk menjala selain hasil tangkapan iaitu udang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada salah seorang penduduk memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, susulan itu, polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung melancarkan gerakan mencari Sidi namun sehingga jam 7 malam belum ditemui. -hm



Ribuan Gagak Serang Pangsapuri Di Melaka

Gagak ‘serang’ pangsapuri

MELAKA: Penghuni di Pangsapuri Kota Laksamana, dekat sini, tertekan sejak beberapa tahun lalu apabila ribuan gagak memenuhi bumbung dan pokok di sekeliling rumah mereka.

Kehadiran burung berkenaan bukan saja mengundang najis yang mencemari permukaan jalan dan kenderaan di kawasan itu, malah penduduk terpaksa berdepan bunyi bising bermula jam 4 pagi.

Penduduk mendakwa usaha dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menembak unggas itu sia-sia kerana ia tetap bersarang di situ.

Peniaga, Iskandar Low Abdullah, 43, berkata dia berniaga sejak setahun lalu dan masalah yang paling rumit dihadapi penghuni adalah bunyi burung berkenaan yang terlalu bising.

Katanya, kicauan burung bermula jam 4 pagi mengganggu penduduk terutama bagi yang mempunyai anak kecil.

“Jika bunyi dua burung pada awal pagi bising, inikan pula ratusan ekor. Keadaan ini yang terpaksa dihadapi selama beberapa jam untuk tempoh dua kali dalam sehari iaitu awal pagi dan sebelah petang.

“Jika waktu pagi ia berlarutan sehingga jam 7.30 pagi dan selepas ia beredar kumpulan burung berkenaan kembali kira-kira jam 5.30 petang dan membuat bising sehingga matahari tenggelam,” katanya. Iskandar berkata, kehadiran gagak itu selain menimbulkan masalah bising turut menyebabkan kekotoran dengan najisnya yang melekat pada kenderaan yang diletakkan di bawah pokok.

“Najis burung ini bukan saja mengotorkan, tetapi juga merosakkan permukaannya walau di mana kenderaan diletakkan. Jika tidak kena banyak, tetap ada sedikit pada bahagian badan kenderaan.

“Keadaan ini meresahkan pemilik kenderaan kerana perlu kerap mencucinya bagi mengelak warna cat kereta rosak,” katanya.

Iskandar berkata, sebelum ini ada usaha dilakukan PBT dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) melakukan operasi menembak gagak di situ, namun ia berkesan sementara waktu kerana burung berkenaan datang semula selepas tiada lagi bunyi tembakan senjata api.

Menurutnya, pihaknya bimbang kemungkinan wabak penyakit seperti selesema burung melanda dan menjangkiti penduduk, sekali gus meminta PBT mencantas pokok bagi mengurangkan dahan tempat burung bersarang.

“Pokok sedia ada pun terlalu rimbun dan ini menjadikan burung bertambah banyak di kawasan berkenaan,” katanya.

Penduduk, Pang Yow Chong, 41, berkata burung berkenaan mengganggu kehidupan dan keselesaan mereka kerana ia turut membongkar sampah dan masuk ke dalam rumah untuk mencari sisa makanan.

“Saya amat berharap masalah ini diselesaikan segera kerana jumlah burung berkenaan bukan sedikit, tetapi banyak dan tidak pernah berkurangan sejak beberapa tahun lalu.

“Keadaan ini mengganggu kami selagi tiada usaha dilakukan untuk menyelesaikannya,” katanya. -hm

Shahrir Samad Ramal PRU13 Suku Kedua 2011 Atau Tahun Selepasnya

PRU-13 Pada Suku Kedua Tahun Depan Atau Tahun Selepas Itu, Ramal Shahrir

JOHOR BAHARU, 19 Dis (Bernama) -- Pilihan raya umum (PRU) ke-13 diramal diadakan pada suku kedua tahun depan atau tahun selepas itu, menurut ramalan veteran Umno Datuk Shahrir Samad.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu berkata pilihan raya umum tidak akan diadakan pada Mac tahun depan seperti yang dijangkakan oleh parti pembangkang.

Beliau berpendapat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih mahu melihat lebih banyak hasil diperoleh daripada semua dasar yang diperkenalkan sejak menjawat jawatan pada 3 April tahun lepas.

"Jadi, pilihan raya tidak akan diadakan secepat mungkin, mungkin akan diadakan pada akhir 2011 atau selepas itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kesedaran kesihatan di Kampung Sulaiman Menteri di sini Ahad.

Shahrir berkata Pakatan Pembangkang hendaklah menumpukan perhatian untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan bukan terlalu tertumpu pada pilihan raya umum.

Shahrir yang juga ketua Umno bahagian Johor Bahru berkata setakat ini pembangkang lebih berminat pada pilihan raya.


Mengenai kekecohan oleh anggota Pakatan Pembangkang di Parlimen ekoran empat anggota parlimennya digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat itu, beliau berkata insiden itu nampaknya telah dirancang.

"Saya rasa anggota Parlimen Pakatan tahu peraturan Parlimen tetapi mereka pilih untuk mengabaikannya untuk meraih perhatian politik remeh temeh," sambil menyifatkan ia satu taktik yang penuh dengan kekeliruan.

Empat anggota Parlimen pembangkang yang digantung kehadiran selama enam bulan ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R.Sivarasa (Subang).

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Shahrir berkata jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) hendaklah menerangkan isu-isu sementara bekerja untuk mengekalkan keyakinan rakat dalam parti campurannya.

Adalah terlalu awal untuk meramalkan hasil keputusan pilihan raya kecil itu tetapi jentera pilihan raya BN hendaklah bekerja keras bagi memastikan kemenangang.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59 pada Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.-- BERNAMA

Nama Mazlan & Felda Bergema Di Konvensyen, Calon PRK Tenang?

Mazlan Aliman calon PAS di Tenang?

PETALING JAYA: Tinjauan rambang di kalangan penyokong PAS di Labis dan khususnya kawasan dewan undangan negeri Tenang, mereka berpendapat calon PAS yang paling sesuai ialah Mazlan Aliman.

Mazlan merupakan AJK PAS Pusat, ketua penerangan PAS Johor dan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Adun Tenang Johor,Datuk Sulaiman Taha, 59 tahun meninggal dunia di Hospital Pakar Puteri pada 17 Disember yang lalu kerana jangkitan kuman dalam darah..

Pada pilihanraya umum 2008, Sulaiman Timbalan Yang Dipertua PAS Labis ketika itu, Mohd Saim Siran.

Seorang penyokong PAS Kampung Redong berkata, "Mazlan paling sesuai kerana di Tenang ada juga kawasan Felda.

"Beliau (MAzlan) yang lebih tahu mengenai Felda. Kita nak tahu sebanyak banyak orang Felda menyokong Anak yang diusahakan oleh Mazlan itu," katanya.

Beliau menambah, ada tiga buah kawasan tanah rancangan Felda di Dun Tenang iaitu Chemplak,Chemplak Barat dan Felda Tenang.

Rakannya, Zulkifli Sarmin pula memberitahu, Mazlan merupakan penggerak PAS Johor yang menonjol ketika ini terutama dengan isu penyelewengan Felda.

"Biarlah isu Felda terus didedahkan kepada pengundi Tenang, biar mereka tahu isu sebenar dalam tanah rancangan itu.

"Kalau pun kita tidak menang dalam pilihanraya ini, sekurangnya kita ada bekalan untuk pilihanraya umum akan datang.

"Sekurang-kurangnya kita tahu isu Felda ini. Kalau mereka sokong, maknanya isu ini boleh digunakan lagi dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

Ditanya adakah pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan Felda boleh mempengaruhi pengundi peneroka Tenang, Zulkifli berkata, "boleh jika kena caranya."

Katanya, di Tenang masyarakat penoraka hanya mendengar sahaja tetapi belum ada pihak yang mendedahkannya.

"Kalau Mazlan boleh dedahkan, saya percaya masyarakat peneroka Felda akan mengundi PAS apatah lagi kalau calonnya Mazlan sendiri," katanya.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Umno Labis menjelaskan isu penyelewengan Felda tidak berkesan untuk digunakan di Tenang.

ini kerana, kataya, tiada sebarang masalah yang dihadapi oleh masyarakat Felda di Tenang.

"Kami tidak pernah mendengar peneroka Felda merungut tidak puas hati…jadi apa isu yang hendak dibawa Mazlan di sini (Tenang)," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Alias. -FMT


Mazlan dan Felda bergema di Dewan Millenium

Isu Felda sekali bergema di persada politik negara apabila Pengerusi Anak, Mazlan Aliman menjadikan peneroka Felda dan anak cucu mereka sebagai pihak yang perlu diperjuangkan.

Apa yang dikatakan oleh Mazlan penting kerana selain mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum, konvensyen kali ini juga perlu mempersiapkan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang, Labis, Johor.

Pilihan raya kecil ini perlu diadakan ekoran kematian Adunnya, Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini.

Ucapan Mazlan penting kerana di Dun Tenang, lebih 3,000 pengundinya adalah peneroka dan penghuni tiga kawasan Felda di dalam Dun tersebut.

Pelbagai cadangan dikemukakan Mazlan dalam ucapannya kali ini. Ada yang lama dan banyak juga cadangan baru yang dikemukakan beliau.

Yang terbaru adalah cadangan beliau agar sebuah universiti Felda ditubuhkan sebagaimana lain-lain agensi dan badan kerajaan yang mempunyai universiti sendiri termasuklah TNB dan Petronas.

Felda, kata Mazlan, mempunyai kelebihan tersendiri sehingga melayakkannya untuk dibina sebuah universiti. Antaranya mempunyai tanah yang banyak.

"Saya cadang, apa salahnya Felda dibina di bandar pusat Jengka misalnya," kata Mazlan dalam ucapannya itu.

Atas ucapan itulah, nama Mazlan disebut-sebut bakal menjadi calon pilihan Pakatan Rakyat untuk mewakili mereka dalam pilihan raya kecil Tenang tidak lama lagi.

Ketika konvensyen berlangsung, pemimpin utama Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat khas yang jarang-jarang mereka adakan ketika majlis berlangsung.

Mesyuarat yang disertai oleh semua pemimpin PAS, PKR dan DAP dikatakan telah membincangkan beberapa isu penting. Antaranya calon Tenang, kedudukan ketua pembangkang berikutan penggantungan Anwar dan beberapa isu penting lagi.

Nampak jelas, selepas mesyuarat berakhir, wajah mereka berseri-seri tanda kesepakatan dicapai dengan penuh toleransi. Ia diakui sendiri oleh Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail yaang ditemui selepas mesyuarat khas itu.

Kata Saifudin, para pemimpin Pakatan akan mengumumkan beberapa perkara penting ketika ucapan penggulungan mereka penting ini.

Tunggulah nanti pengumuman itu. -Zulkifli Sulong (Harakahdaily)



Kempen 1 Juta Untuk Deklarasi 6 Perkara

Kempen 1 juta tandatangan untuk demokrasi

Pakatan Rakyat bercadang untuk melancarkan kempen untuk mengumpul satu juta tandatangan untuk Akta Pemulihan Demokrasi yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas hari ini, Pakatan berkata ia akan melancarkan kempen tersebut pada 1 Januari sehingga akhir Februari tahun depan untuk mengumpul tandatangan tersebut.

Dalam satu deklarasi yang diedarkan kepada media pagi ini, Pakatan berkata, ia menyedari perlunya untuk menyelamatkan negara ini.

Sambil mengikrarkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, rakyat dan negara, Pakatan menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan BN untuk menggubal akta tersebut, berdasarkan kepada enam isu penting.

Enam isu tersebut ialah:

1. Menghapuskan semua deklarasi darurat.
2. Memansuhkan semua undang-undang anti-demokratik.
3. Menghormati perjanjian untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak.
4. menjamin integriti pilihanraya umum.
5. Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.
6. Mewujudkan kebebasan akhbar. -mk

Bank Of America Hentikan Transaksi Wikileaks

Bank Amerika hentikan semua transaksi WikiLeaks

WASHINGTON: Bank of America, bank terbesar di Amerika Syarikat (AS) semalam menghentikan semua transaksi perbankan WikiLeaks, mengikuti langkah yang diambil institusi lain yang menolak proses pembayaran menerusi internet bagi laman web yang mendedahkan rahsia kerajaan Amerika itu.

“Bank of America bersama dengan pihak lain, MasterCard, PayPal, Visa Europe dan sebagainya untuk tidak lagi memproses sebarang bentuk transaksi kepada WikiLeaks,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

“Keputusan ini diambil berdasarkan sebab yang konkrit bahawa WikiLeaks membabitkan diri dalam aktiviti yang antaranya tidak sejajar dengan polisi dalaman kami," katanya.

Tindakan itu dibuat selepas pengasas WikiLeaks, Julian Assange mendakwa dalam satu temubual bersama Majalah Forbes bahawa satu kejutan paling hebat membocorkan maklumat membabitkan institusi bank di Amerika akan dilakukannya, awal tahun depan.

Assange semalam juga memberitahu, beliau akan berusaha mendapatkan dana awam dan antarabangsa bagi memastikan laman webnya itu terus berfungsi.

Pelajar Tkn 2 Dibunuh Di Kebun Kelapa Sawit

SMS akhir

BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam yang ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin, dikatakan sempat menghantar SMS nyawanya terancam kepada seorang rakan ketika kejadian, Rabu lalu.

Malangnya, mangsa, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra Tongkang Pechah, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, gagal memberi lokasi menyebabkan rakannya itu tak dapat memberikan bantuan dan mendiamkan diri.

Nenek mangsa, Mailiah Idris, 62, berkata perkara itu dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila dia mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

“Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

“Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.

“Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokannya,” katanya.

Menurutnya, selain membuat laporan polis bapa arwah menghubungi beberapa rakan dan salah seorang daripada mereka memberitahu, arwah sempat menghantar SMS mengatakan dia akan dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana arwah tidak sempat memberitahu lokasi dia berada.

“Kami hanya tahu arwah berada di kebun sejauh kira-kira 100 meter dari rumah apabila sepasukan polis datang ke kawasan itu jam 5 petang kelmarin,” katanya.

Mak cik mangsa, Arina Syairah Muhammad Fauzi, 18, berkata dia bermimpi arwah bergelut dengan lelaki selama tiga malam berturut-turut, sebelum diberitahu arwah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kebun kelapa sawit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa Jumaat lalu sebelum pergi ke Kuala Lumpur bersama rakan sekolah.

Menurutnya, bermula Ahad hingga Selasa, dia bermimpi arwah yang memakai kemeja-t berwarna merah jambu, bergelut dengan lelaki menyebabkannya bimbang dan menghubungi arwah pada Selasa lalu.

“Kali terakhir kami berbual, saya dapati dia ceria seperti biasa menyebabkan saya tidak menyangkakan apa-apa kejadian buruk akan berlaku terhadapnya.

“Bagaimanapun, saya diberitahu dia hilang sejak Rabu lalu seolah-olah mengiyakan mimpi buruk yang saya alami itu, sebelum ditemui meninggal dunia Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, mereka yang rapat sejak kecil tidak menyangka kejadian itu akan berlaku terhadap mangsa dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memberkas penjenayah terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bapa mangsa membuat laporan polis kehilangan anak perempuan berusia 14 tahun Khamis lalu dan sepasukan polis menyiasat aduan berkenaan.

“Bagaimanapun, tengah hari kelmarin suspek berusia 15 tahun datang ke balai polis membuat laporan mengatakan dia melihat satu pembunuhan dilakukan seorang rakannya, di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, menyebabkan kami menahan suspek kedua berusia 16 tahun itu.

“Namun, hasil siasatan mendapati suspek pertama turut terbabit sebelum kami dibawa ke lokasi pembunuhan dan menemui mangsa pada kira-kira jam 5 petang kelmarin,” katanya. -hm

TGHH : Jangan Untung Secupak Rugi Segantang

Tinggalkan tafsiran sempit perkauman Umno

KEPALA BATAS, 19 Dis: PAS mengajak rakyat Malaysia meninggalkan tafsiran sempit perkauman Umno/Barisan Nasional dan menobatkan prinsip keadilan sejagat demi menyelamatkan masa depan negara.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berucap di majlis pembukaan konvensyen kedua Pakatan Rakyat pagi ini mahu rakyat menolak corak pemerintahan yang telah terbukti mencipta rekod buruk melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan di negara ini.

Islam, kata beliau mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Beliau turut menyelar permainan busuk media yang memutar belit pendirian PAS dan Pakatan Rakyat berhungan Islam dan Bahasa Melayu.

"Sengaja ditimbulkan tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah (dalam isu Melayu dan Islam).

"Hakikatnya kita (Pakatan) telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum," jelas beliau.

Berucap di hadapan lebih lebih dua ribu perwakilan dan pemerhati di dewan Milineum itu beliau mengingatkan para pemimpin dan anggota Pakatan Rakyat supaya sentiasa waspada dengan permainan pihak lawan yang sentiasa cuba menimbulkan keadaan tidak selesa dan perpecahan.

"Semua pihak perlu lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini agar jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang," kata beliau. -harakahdaily


Presiden PAS Akui Wujud Kelemahan Dalam Pakatan Pembangkang

KEPALA BATAS, 19 Dis (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui wujudnya kelemahan dalam Pakatan Pembangkang (PR) apabila terdapat beberapa anggotanya yang mula hilang tumpuan setelah diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata kelemahan itu merupakan cabaran terbesar yang perlu dihadapi dan sekaligus menyeru agar anggota parti bersatu dan tidak mudah tersasar daripada tujuan asal untuk melakukan perubahan menyeluruh kepada generasi akan datang.

Ada ketikanya Pakatan Pembangkang juga sering berhadapan dengan perbezaan pendapat dan pandangan dalam menyelesaikan pelbagai masalah, katanya dalam ucapan pada Konvensyen Pakatan Pembangkang Kedua sehari di Dewan Millenium di sini Ahad.

Konvensyen itu turut dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Selain itu, Abdul Hadi berkata PAS mengakui tidak mempunyai masa yang panjang untuk melaksanakan beberapa dasar yang dirangka oleh Pakatan Pembangkang kerana BN sentiasa mencari jalan meruntuhkan negeri pimpinan mereka.

Beliau berkata negeri pimpinan Pakatan Pembangkang tidak akan memberi makna dalam politik baru negara sekiranya gagal menunjukkan kaedah pemerintahan jauh lebih baik daripada negeri yang ditadbir oleh BN.

Sementara itu Lim ketika berucap di konvensyen itu berkata Pakatan Pembangkang telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Ia merupakan sesuatu yang sangat penting dan kritikal, dan kita telah bersedia sepenuhnya," katanya.

Dr Wan Azizah pula berkata konvensyen Pakatan Pembangkang kedua ini membuktikan parti dalam pakatan ini masih kukuh dan bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau turut menafikan bahawa anggota parti Pakatan Pembangkang, PAS, DAP, PKR menghadapi masalah dalaman dan berada di ambang perpecahan.

"Dakwaan yang Pakatan Pembangkang merosot dan menghadapi masalah dalaman sehingga akan dibubarkan adalah salah, sebaliknya kami sentiasa bersatu dan konvensyen ini membuktikan PR masih kukuh," katanya pada sidang akhbar di konvensyen itu di sini.

Dr Wan Azizah berkata konvensyen ini juga akan mengeratkan lagi hubungan antara anggota dalam pakatan dan yakin mampu merancang pelbagai agenda untuk pengukuhan dalam pakatan tersebut. -- BERNAMA


Bayi Dalam Kandungan Remaja Yang Ditikam 19 Kali Kerja Siapa?

Keluarga senyap

JOHOR BAHRU: Keluarga remaja perempuan berusia 17 tahun masih membisu siapa bertanggungjawab terhadap kehamilan anaknya yang masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas ditikam 19 kali dan disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, hingga kini pihaknya juga masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai pasangan mangsa terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat keperluan, ia menjadi tugas pihak hospital bagi menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurutnya, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat mendakwa suspek berusia 44 tahun ditahan kelmarin mempunyai sebarang kaitan dengan kandungan enam bulan mangsa yang disahkan meninggal dunia selepas remaja perempuan itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

"Mengenai soal sama ada suspek bertanggungjawab ke atas kehamilan mangsa, hanya dapat diketahui sekiranya ada ujian DNA dilakukan terhadap janin itu kerana hingga kini keluarga tidak memberi maklumat.

"Malah polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian kandungan mangsa itu," katanya yang enggan mengulas sama ada mangsa sudah berkahwin.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan kisah malang seorang bakal ibu berusia 17 tahun yang hamil terpaksa bertarung dengan maut di ICU akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali di rumahnya di Kampung Baru Sungai redan, Ulu Tiram, di sini, pagi kelmarin. -hm

Isu Ke PRK Tenang: Kerajaan UMNO BN Pasti Naikkan Harga Barang Lagi

Harga barang keperluan terutama minyak dan gula bakal mengalami kenaikan harga lagi jika BN menang di Tenang, demikian tulis seorang pensyarah tempatan melalui email kepada GB.

Ini kerana, menurutnya, sudah jelas tanda-tanda bahawa wujudnya perancangan untuk menaikkan harga tersebut secara diam-diam oleh kerajaan UMNO BN sekalipun mereka cuba untuk menyembunyikannya daripada dihidu oleh rakyat.

Isu kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga petrol RON95 yang mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) sejak awal bulan ini — kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib, juga perlu mendominasi kempen Pakatan Rakyat di PRK Tenang nanti.

Janji kerajaan UMNO BN ternyata palsu, janji yang tidak boleh dipercayai kerana belum pun sebulan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelumnya menyatakan "Harga minyak RON 95 dijangka tidak akan dinaikkan pada tahun ini", tambahnya.

Tetapi pada malam itu, 3 Disember 2010, 1Malaysia dikejutkan dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak RON95 daripada RM1.85 kepada RM1.90 seliter dengan diiringi kenaikan harga diesel, gula dan LPG.

Ketua Muslimat PAS, Puan Nuridah Salleh pula menyatakan janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikannya sejak dulu.

"Pada hal, 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily sebelum ini.

Pembohongan kerajaan UMNO BN kepada rakyat.


"Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat. Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," kata Ismail Sabri seperti yang dilaporkan media tempatan.

Ternyata, janji Menteri berkenaan adalah palsu.

Sementara itu, Konges Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula telah menyifatkan kerajaan memilih cara “tembak curi” untuk mengumumkan pelarasan subsidi yang membawa kepada kenaikan harga bahan api dan gula.

Sehubungan itu badan induk pekerja itu berkata, langkah kerajaan yang diumumkan awal bulan ini amat dikesali kerana keputusan diambil tanpa mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja, badan pertubuhan bukan kerajaan termasuk badan pengguna.

“Kerajaan memilih malam Jumaat 3 Dis untuk menaikkan harga bahan bakar petroleum dan harga gula.

“Ini untuk memastikan bahawa berita kenaikan harga bahan-bahan keperluan asas ini tidak serta-merta akan disambut oleh para wakil rakyat di Parlimen.


“Kali ini kerajaan telah memilih cara ‘tembak curi’ tanpa banyak perbincangan dan memberi maklumat awal,” kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dalam satu kenyataannya.

Katanya, sebelum ini pegumuman kenaikan harga bahan bakar petrol dibuat ketika sidang Parlimen ditangguh.

Amat jelas tarikh dan masa dipilih sebagai taktik pengolahan berita untuk memastikan berita ini akan tenggelam dan diharapkan orang ramai akan lalai dan tidak marah.

“Setelah diumumkan kenaikan harga ini para menteri yang bertanggungjawab dan menteri yang lain terus ‘padam’ tidak memberikan apa-apa pandangan.

“Seolah-olah adanya arahan agar berita kenaikan harga barangan ini tidak dibincangkan secara meluas,”
kata Syed Shahir.

Beliau mendakwa satu pekara yang amat jelas ialah bagaimana berita kenaikan bahan asas ini diolah untuk memperdaya pandangan orang ramai.

Katanya lagi, perkataan seperti keseragaman harga, penyelarasan harga, penarikan subsidi, rasionalisasi harga telah digunakan.

“Perkataan ‘naik harga’ terus tidak muncul dalam akhbar dan media.

Oleh itu sewajarnya, menurut ramai aktivis masyarakat, UMNO BN ditolak di dalam pilihanraya kecil Tenang nanti sbagai protes rakyat terhadap mereka yang bertindak menzalimi rakyat.

Untuk sebaran sempena PRK Tenang

Imam Hilang Dibaham Buaya

Mangsa sedang tangkap udang ketika disambar reptilia ganas

PENDUDUK kampung membaca surah Yassin di Sungai Samarahan, Kampung Reban, semalam.

SAMARAHAN: Seorang imam sempat menghadiri majlis tahlil jirannya sebelum dibaham buaya besar ketika menangkap udang di Sungai Samarahan berhampiran Kampung Reban, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Sidi Samad, 66, dikatakan sedang menangkap udang di sungai berdekatan rumahnya sebelum buaya dianggar sepanjang hampir enam meter membaham bahagian pinggang mangsa.

Beberapa penduduk yang berada di tempat kejadian melihat mangsa bergelut sebelum dilambung dan dihempas sebanyak tiga kali oleh reptilia ganas itu yang kemudian menghilangkan diri di tengah sungai.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian jam 11 pagi sebelum operasi mencari dilancarkan bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan bomba.

“Mangsa kali terakhir dilihat berdekatan tebing sungai menangkap udang sebelum dilaporkan diserang buaya yang muncul secara tiba-tiba. Air sungai keruh selain arus deras menyukarkan operasi mencari. Saya meminta penduduk tidak bertindak terburu-buru termasuk cuba menembak buaya berkenaan kerana ia boleh membahayakan,” katanya.

Difahamkan, beberapa penduduk kampung dilihat turun ke sungai menaiki bot dan turut membawa senapang patah, manakala ada yang melaungkan azan di tengah sungai sambil menurunkan mata kail besar yang kemudian dihanyutkan. Beberapa ahli keluarga mangsa juga membaca surah Yassin berdekatan lokasi kejadian.

Isteri Sidi, Dayang Sara Awang Sahrol, 64, berkata suaminya tidak sempat bersarapan dan hanya minum kopi sebelum turun ke sungai di hadapan rumah mereka jam 6.45 pagi.

“Selepas berkahwin hampir 45 tahun, malam semalam (kelmarin), dia beria-ia mengajak saya ke surau menghadiri majlis tahlil jiran yang baru meninggal dunia. Suami juga ada menyuarakan hasrat membawa saya menunaikan umrah, April depan dan kami sedang berusaha mengumpul wang,” katanya sedih.

Anak mangsa, Musa, 38, yang melihat ayahnya disambar buaya, berkata kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan penduduk yang berada di tebing tidak dapat berbuat apa-apa.

“Saya melihat kaki ayah dalam mulut buaya sebelum dia dilambung di tengah sungai sebelum berlari ke rumah bagi memaklumkan ibu dan meminta pertolongan,” katanya. -BH

Sah, Taib Mahmud Nikahi Gadis Lubnan 28 Tahun

Kuching: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selamat dinikahkan dengan seorang wanita Lubnan berusia 28 tahun dalam majlis tertutup yang diadakan di kediaman rasminya, di sini, malam tadi.

Gambar: KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selamat dinikahkan dengan gadis Lubnan berusia 28 tahun (gambar kecil) di Kuching, malam tadi.

Terdahulu, anggota keselamatan yang bertugas di kediaman Taib memaklumkan satu majlis tertutup diadakan dengan pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Majlis itu hanya dihadiri orang kenamaan dan ahli keluarga terdekat bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat yang turut dihadiri kira-kira 200 tetamu khas.

Antara orang kenamaan yang dilihat masuk seawal jam 6 petang ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Penasihat Khas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Naroden Majais dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Taib dan isteri, seorang wanita Lubnan dinikahkan Mufti Sarawak, Kipli Yassin, kira-kira jam 9.30 malam dengan satu majlis persandingan sederhana turut diadakan di ruang utama kediaman rasmi beliau. Antara saksinya, anak kedua Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir.

Majlis tepung tawar mempelai dan persembahan hadrah dan berzanji turut diadakan ketika Taib dan isteri bersanding dengan kenalan dan keluarga terdekat diberi peluang menepung tawar pasangan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Amin Sahmat yang ditemui pihak media, memaklumkan majlis itu adalah tertutup dengan hanya jemputan khas dibenar memasuki kediaman Ketua Menteri.

“Ini hanya majlis doa selamat, pengumuman lanjut akan dibuat kemudian dengan majlis kepada umum akan diadakan pada Januari,” katanya.

Bagaimanapun, Amin enggan mengulas lanjut mengenai majlis yang sebelum itu dipercayai adalah bagi meraikan pasangan Taib dan pilihan hatinya itu. -BH

[Bergambar] 10 Tempat Di Dunia Yang Serasa Di Planet Lain - updated

Tempat-Tempat Yang Serasa Di Planet Lain

Di beberapa bahagian di atas dunia ini kedapatan tempat-tempat yang unik dan aneh yang jarang ditemui di mana-mana bahagian di atas dunia - hanya di situ. Ia menjadikan kita persis berada di planet lain.

Ia adalah tanda-tanda kebesaran Ilahi yang tidak dapat ditandingi oleh makhlukNya. Ia mengajak kita untuk merenung nikmat Allah yang banyak dan entah bila kita akan dapat menyaksikannya dengan mata kepala sendiri, namun alam siber memungkinkan kita untuk melawatinya secara maya. Inipun sudah merupakan satu nikmat yang tak terhingga dari Dia...


1. Dry Valleys - Antartika




Lembah Kering di Antartika ini memiliki lantai berupa kerikil, dan dikatakan bahawa pemandangan yang anda dapat saksikan di tempat ini tidak jauh jadi pemandangan di Mars. Pemandangan yang luar biasa ini akan anda temukan di Antartika, dan sama sekali tidak mendapat salji, sekaligus merupakan satu-satunya tempat tanpa ais di Antartika. Kdang-kala di dasar lembah ini terdapat danau ais yang tebalnya mencapai beberapa meter. Dan dibawah danau ini, terdapat air yang sangat masin, dan yang lebih ajaib lagi, ternyata di dalam air tersebut ada makhluk hidup yang boleh hidup!

2. Socotra Island - Lautan Hindi



Jika anda berkesempatan mengunjungi pulau ini, anda boleh dengan mudah berbohong bahwa anda baru saja diculik Alien, pemandangan Pulau Socotra yang sudah terpisah dari benua terdekat, benua Afrika selama 6 atau 7 Juta tahun ini, sangat unik. Apalagi di pulau ini terdapat 700 flora spesies flora dan fauna paling jarang ditemui di dunia.

Tapi jangan berharap boleh tinggal, iklim dipulau ini sangat keras, panas, dan kering banget. Pantai di pulau ini banyak sekali terdapat gua, bahkan salah satu gua mencapai panjang 7 km, dan gunung di pulau ini mencapai tinggi 1525 meter, dan bahkan beberapa tanaman usianya mencapai 20 juta tahun.

3.Rio Tinto - Sepanyol



Lombong terbuka Rio Tinto ini menampilkan pemandangan yang luar biasa indah plus aneh, sehingga pemandangan yang ada semakin mirip dengan bulan. Pertumbuhan dari lombong ini tidak hanya memakan gunung dan lembah yang ada, bahkan sampai semua penduduk desa di dekat tambang tersebut harus dipindahkan ke kota terdekat. Air merah di sungai Rio Tinto ini sangat masam dan tinggi kandungan logam beratnya.

4. Klikuk, the Spotted Lake - Kanada




Pada saat musim panas, air di danau ini, berwap dan meninggalkan mineral yang ada mengkristal, dan membentuk berbagai kolam kecil dengan berbagai warna, yang pada umumnya adalah biru dan hijau. Kandungan mineral yang ada dalam air dan lumpur sangat membantu mengurangi rasa sakit, sehingga suku Indian setempat sering menggunakan tempat ini sebagai tempat untuk merawat anggota mereka yang terluka.

5. Salar de Uyuni - Bolivia




Adalah tempat yang mungkin paling indah (sekaligus aneh) di dunia. Daerah dengan padang garam terbesar di dunia, termasuk juga gunung berapi yang aktif, dan dataran geyser, dengan berbagai fatamorgana unik yang membuat anda merasa tinggal di planet lain.

6. Vale da Lua - Brazil



Terjemahan dari nama tempat ini adalah Lembah Bulan, yang merupakan lembah batu yang terkikis air, dan meninggalkan banyak 'kolam renang alami'. Batuan yang ada di lembah ini adalah batuan tertua di dunia, yang dibentuk dari quartz dengan pinggiran berupa kristal.

7. Blood Pond Hot Spring - Jepun



Mata Air Panas Kolam Darah, adalah salah satu 'neraka' di Beppu, Jepun. Sembilan mata air panas alami yang muncul ditempat ini sangat indah, tapi mungkin tidak untuk mandi. 'Neraka kolam darah' ini memiliki air dengan warna merah akibat kandungan besi di dalamnya. Serasa di Mars ya?

8. The Stone Forest - China



Hutan Batu yang dalam bahasa aslinya dibaca Shilin, adalah batuan alami yang dibentuk dari air yang terus menerus menggelegak menerpa permukaan dan mengikis bebatuan yang ada dan meninggalkan bentuk berupa tiang-tiang alami. Daerah ini ternyata dikenal semenjak dinasi Ming dan dianggap sebagai 'Keajaiban Dunia Pertama'

9. The Richat Structure - Mauritania



Permukaan tanah yang luar biasa ini berada di bahagian Barat Daya gurun Sahara, dan disebut sebagai Richat Structure, dan begitu besar (diameternya mencapai 50km) sampai dapat dilihat dari luar angkasa. Bentuk lingkaran yang ada juga masih belum dapat dijelaskan oleh para ilmuwan

10. Eisriesenwelt Ice Caves - Austria



Gua Ais ini berbeza sekali dengan gua biasa. Begitu anda masuk, panahan cahaya yang ada akan membuat anda merasa tidak sedang berada dalam planet ini, tapi sedang menjelajah ke planet lain. Gua Eisriesenwelt ini adalah gua terbesar yang ada dan dapat mencapai panjang 40km. -uniksaja/GB