29 Dis 2009

Teoh Beng Hock Sah Dibunuh - Autopsi Kedua

Teka-teki kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock akhirnya terjawab apabila laporan kedua pakar patologi terkemuka, Pornthip Rojanasunand dari Thailand membuktikan kesasihan ujian forensik itu yang mensabitkan mendiang mati dibunuh Julai lalu.

Menurut sumber-sumber kementerian kesihatan Pornthip membuat rumusan itu setelah hadir sama pada bedah siasatan kedua mendiang Teoh pada 22 Novermber lalu di Hospital Sungai Buloh.

Memetik laporan akhbar rasmi PKR, Suara Keaadilan, sumber berkenaan juga mendakwa, Pornthip sudah menyerahkan laporan kepada pihak-pihak berkenaan, termasuk keluarga Teoh dan kerajaan negeri Selangor yang meminta bantuan kepakarannya selepas terdapat keraguan yang melampau terhadap kesan yang ada pada mayat mendiang.

Inkues kematian Teoh ini akan disambung pada 7 Januari 2010 selepas dua kali ditangguh.

Difahamkan, Pornthip mengguna pakai beberapa teknik dan proses baru yang meyakinkan beliau sepenuhnya bahawa Teoh mati dibunuh dan bukan membunuh diri atau pun menjadi mangsa kemalangan.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, di mana pejabat SPRM Selangor terletak, pada 16 Julai lalu selepas disoalsiasat sepanjang malam hingga ke Subuh oleh SPRM.

Mendiang disiasat berkenaan tuntutan RM3,000 kerana pembelian bendera sempena menyambut kemerdekaan negara

Memetik laporan-laporan terdahulu, tindakan SPRM itu adalah sebahagian daripada komplot atau konspirasi Umno-BN yang mahu menjatuhkan kerajaan PR di Selangor dengan membabitkan pemimpin-pemimpin PR di negeri itu.Tujuh lagi kes membabitkan exco dan pegawai mereka, kebanyakannya dari DAP juga sedang disiasat SPRM.

Namun pelbagai laporan yang dibuat kepada suruhanjaya itu, yang membabitkan pemimpin Umno-BN, termasuk mantan Menteri Besar Khir Toyo yang didakwa memiliki rumah ala-Bali bernilai lebih RM20 juta, menjadi ’sunyi’ dan ’sepi’ dalam peti simpanan SPRM.

Teoh mati pada hari yang sama beliau sepatutnya berkahwin dengan tunangnya yang mengandung tiga bulan.

Dalam keterangan pertama Pornthip di hadapan koroner, Azmil Muntapha Abas Oktober lalu, pakar forensik Thailand itu yakin 80 peratus kematian Teoh kerana dibunuh.

Beliau membuat rumusan itu berdasarkan gambar menunjukkan tanda bulatan merah pada tengkuk mendiang yang menjadi petunjuk Teoh dicekik. Kesan jari juga dilihat pada tengkuk mangsa.

Pornthip juga menyatakan dengan tegas, Teoh juga didera kerana ada kesan luka pada dubur mangsa akibat tusukan objek keras.

Di samping itu, tegas Pornthip tiada tanda-tanda akibat jatuh pada tengkorak kepala Teoh, sebaliknya lebih mirip kepada dipukul dengan kuat.

Selain Pornthip, autopsi kedua itu juga disaksikan oleh pakar patologi, Prof Dr Peter Vanezis dari Pusat Sains Forensik Cameron, United Kingdom bagi pihak SPRM, serta Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar.

Autopsi dilakukan oleh Ketua Jabatan Patologi dan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor. -FMT


SPRM Jangan Guna Alasan Lama - Shamsul

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menggunakan alasan lapuk bagi mengelak melaksanakan tanggungjawabnya berhubung kes penyiasat persendirian P. Balasubramaniam.

SPRM hari ini dipetik berkata Bala perlu tampil memberi kenyataan kepada badan itu berhubung dakwaan pembabitan kerabat keluarga Perdana Menteri Najib Razak berhubung kes Altantuya Sharibuu.

Kenyataan itu mengejutkan kerana Bala sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPRM. Beliau hanya meletakkan syarat mahukan soal siasat itu dijalankan di luar negara kerana bimbangkan keselamatannya jika kembali ke Malaysia.

“Saya mendesak SPRM jangan berhelah dan menggunakan tektik yang lama. Iaitu mengalih tumpuan dengan memberikan alasan-alasan yang kosong dan tidak munasabah”.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor sebagai respon daripada kenyataan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull.

Bala sebelum ini membuat kenyataan kepada peguamnya bahawa beliau disogok wang dan diugut oleh adik Najib dan kenalan rapat isteri Perdana Menteri supaya menafikan sebarang hubungan antara Altantuya dan Najib.

Bala adalah penyiasat persendirian yang diupah Razak Baginda pada tahun 2006 untuk membayangi Altantuya ketika warga Mongolia itu berada di Malaysia.

Razak, kenalan rapat Najib, dituduh bersubahat dengan dua pegawai polis membunuh Altantuya. Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah.

Menurut Shamsul, SPRM tidak perlu mencipta pelbagai alasan bagi melengahkan kes tersebut sedang SPRM telah menerima surat daripada peguam Bala, Americk Sidhu.

“Sepanjang pengetahuan saya, Americk Sidhu telah pun menulis surat bahawa beliau sedia membawa Bala dan sepatutnya perkara ini menuntut satu jawapan daripada SPRM. Dan bukannya komen sebegitu” tambahnya lagi.

Shamsul kesal kerana SPRM tidak mahu berdepan dengan Bala atau menyiasat dakwaannya terhadap pembabitan isteri Perdana Menteri Nazeem Razak dan penjual permaidani Deepak Jaikishnan.

“Malah saya pertikai mengapa sehingga sekarang, saksi-saksi seperti Deepak, seperti Nazeem Razak dan Rosmah Mansor, kalau boleh kita gunakan kerana dalam CD tersebut namanya disebut, tetapi tidak dipanggil”.

Bala sebelum ini mendakwa beliau ditawarkan rasuah 5 juta ringgit dan diugut meninggalkan Malaysia selain menafikan Perdana menteri mempunyai sebarang hubungan dengan Perdana Menteri yang ketika itu menteri pertahanan.



Bila Kaduk Naik Junjung..

Politiking Dalaman PAS, Antara Kadok Dan Sireh

Oleh Ustaz Zorkharnain Abidin

Berdepan dengan Umno dalam politik tidak punya masalah besar. PAS punya jentera sendiri sampai ke peringkat paling bawah berbanding Umno yang sangat bergantung kepada jentera kerajaan.

Umno berjaya menjadi kerajaan pun adalah kerana kongkongannya ke atas SPR. Hakikatnya Umno hanya gah pada ‘merahnya’ sahaja tetapi kosong di dalam, kelam.

Apa yang sulit, kesat dan berat bagi PAS ialah politiking dalaman. Kadang-kadang, di sesetengah negeri, pemimpin PAS negeri berkenaan lebih menumpukan politiking dalaman sehingga agenda politik menghadapai Umno sedikit terabai.

Upaya, masa, tenaga, fikiran, kemudahan, tumpuan dihabiskan untuk jatuh-menjatuh, singkir-menyingkir, aib-mengaib dan banyak lagi sesama sendiri. Sedangkan jika semuanya itu digunakan untuk berhadapan dengan Umno, mustahil Umno tidak dapat ditumpaskan dalam PRU 13 akan datang.

Saya tidak pelik kalau politiking dalaman ini berlaku di negeri yang PAS memerintah. Tentunya setiap individu atau kelompok di situ punya agenda masing-masing. Pertembungan idealisme dan tindakan tentu berlaku, itu biasa sahaja. Kadang-kadang pertembungan itu mematangkan tanpa menafikan ia juga boleh meruntuhkan.

Apa yang pelik ialah apabila ini berlaku di negeri yang PAS tidak sekuat mana, tenaga tidak seramai mana dan strategi politik tidak sehebat mana pun. Dalam keadaan begitu, masih wujud gerakan singkir-menyingkir, jatuh-menjatuh, aib-mengaib dan godam-menggodam.

Ini berpunca daripada orang yang merasa dirinya hebat, berkuasa dan serba berupaya. Sepatutnya perasaan itu dihalakan untuk berdepan dengan Umno bukan untuk berpolitiking secara dalaman.

Tidak ada untung apa-apa apabila ada anggota parti, apatah lagi yang masih berada di barisan pimpinan, disingkir atau dipetiaiskan. Setiap anggota parti, secabuk mana pun, dia perlu digilap sebagai aset, bukannya menyingkirkan anggota yang pada suatu ketika pernah menjadi aset.


PAS bukan milik individu tertentu, tetapi milik ahli dan penyokongnya. Kini ia menjadi milik rakyat. Mengurus PAS bukan seperti mengurus sebuah jentera menuai padi milik sendiri. Kalau jentera itu rosak, padi di bendang tidak akan reput, kerana ada orang lain yang mempunyai jentera yang lebih baik.

PAS milik rakyat, kini menjadi harapan rakyat dan PAS berhadapan dengan ‘persepsi’ rakyat. Kalau PAS rosak, caca-merba, kucar-kacir, sedangkan mereka yang sedang menguruskan PAS pula syok sendiri, kononnya PAS kuat, tunggulah masanya PAS akan dihukum. Ingat, ‘persepsi adalah informasi’.

Kalau PAS rosak, kepada siapa lagi rakyat akan menumpang berteduh dalam situasi Umno tidak lagi dipercayai sebagai payung mereka. Ya, rakyat ada PKR dan DAP. Tetapi ingat, PAS adalah sekutu PR. Kalau PAS kuat, PKR dan DAP pun kuat, begitu sebaliknya.

Maksudnya, kalau ada pimpinan PAS yang melemahkan PAS, dia melemahkan PR. Adakah itu dilupai?

Bagi sebuah kereta, komponen yang paling kecil pun wajib dijaga dengan baik. Kita mungkin tidak memerlukan hon dalam keadaan biasa, tetapi apabila ada kenderaan di hadapan tidak bergerak ketika lampu isyarat berwarna hijau, apa yang dicari? Hon bukan! Justeru, jangan menghina dan memperkecilkan hon.


Benar kata orang tua-tua, kadok kalau naik junjung, dia merasa dirinya sireh. Tetapi sireh, walau pun menjalar di bumi, tetap kekal sebagai sireh. Dia tetap dipungut oleh pemakan sireh. Hanya pemakan sireh yang kenal mana kadok dan mana sireh.

Kadok adalah kadok, sireh adalah sireh.

Buat mereka yang mengikuti perkembangan PAS di negeri paling utara semenanjung, ‘hati boleh panas, tetapi kepala mesti dingin’.

Ulasan GB

GB tak perlu ulas tulisan di atas. Rasanya semua faham kot. Kalau tak faham, kenaler berkunjung ke Perlis berjumpa Ust Zol Al-Hafiz.

Hassan Shukri: Tekad Pertingkat Bidang Pendidikan Islam

Mantan Senator, Hassan Shukri, 70, nyata tidak menduga sumbangannya dalam pendidikan Islam membolehkan beliau dinobatkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah 1431 Hijriah peringkat negeri Selangor

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, sumbangannnya dalam bidang pendidikan Islam bermula dari Perak hinggalah ke Selangor.

Katanya, sikap kepeduliannya kepada masyarakat membuatkan beliau mudah didekati rakyat setempat sekaligus berpeluang menjalankan usaha dakwah ke seluruh Malaysia setelah menyertai PAS pada awal 1970-an.

"Ini adalah kerana peranan saya pada waktu itu banyak menumpukan kepada nak meningkatkan pendidikan dan juga sistem pelajaran di Sekolah-sekolah Rendah dan juga Menengah Agama Rakyat di seluruh negeri Perak. Di negeri Selangor saya juga banyak memberi perhatian terhadap perkembangan-perkembangan yang ada kaitan dengan masyarakat," Hassan berkata demikian kepada Tv Selangor yang ditemui di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves semalam.

Katanya, anugerah itu menjadi motivasi kepadanya untuk terus memperjuangkan dakwah Islam selain memperkukuhkan PAS sebagai sebuah parti bertunjangkan Islam sebagaimana yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah Rasulullah.

"Saya tidaklah pernah bahawa sesungguhnya kerja-kerja saya itu akan dinilai, akan dianugerah dan sebagainya. Tetapi nampaknya saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan juga Majlis Agama Islam Negeri Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor yang telah memilih saya untuk dianugerahkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah negeri Selangor bagi tahun 1431 Hijriah," katanya.

Beliau yang memulakan kerjaya guru di Madrasah Yahyawiyyah, Perak pada 1958 ini menambah, kepercayaan yang diberikan tidak akan dipersiakan malah bersedia menyumbangkan pemikiran kepada usaha memperkukuhkan akidah dan keyakinan umat Islam di negara ini.

"Insya Allah saya akan memberikan sumbangan setakat mana yang boleh untuk meningkatkan lagi pemikiran ataupun pandangan umat Islam dan juga memperkukuhkan akidah dan keyakinan umat Islam di negara kita ini supaya mereka sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam dan berusaha untuk melaksanakan syariat Islam itu dalam semua aspek kehidupan," katanya.



Husam tak letak jawatan, kita semua ‘sayang dia’ - TG Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamatkan spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.

Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin kesayangan semua orang.

“Mana boleh dia (Husam) letak jawatan... kita semua sayang pada dia, dia punya kebijaksanaan,” kata beliau selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini petang ini.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri, Nik Aziz berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”

Dimaklumkan perkara itu dilaporkan oleh blog sejak beberapa hari lalu, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan, “celaka blog itu. Tak ada kerja lain... tau nak laga-lagakan orang.”

“Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” tambah beliau.

Husam juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan. Malah juga diamanahkan untuk mengetuai jawatankuasa berkaitan isu pertikaian royalti minyak untuk negeri itu.

Dalam perkembangan berasingan dua setiausaha kanan Menteri Besar Kelantan sah akan meninggalkan jawatan mereka atas keputusan sendiri awal tahun depan manakala Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menyangkal ia berkaitan dengan tekanan politik.

Kata Nik Aziz, setiausaha politik Anual Bakhri Haron dan setiausaha akhbar Mohd Saiba Yaakub memutuskan tidak mahu kontrak mereka diperbaharui.

Keputusan mereka tiada kaitan dengan isu kontroversi yang menyelubungi negeri Kelantan sejak kebelakangan ini, umum Nik Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini petang ini.

“Mereka tidak diminta letak jawatan, mereka sendiri yang meminta mahu meletakkan jawatan,” kata Nik Aziz yang merupakan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan sejak 1990, menerima keputusan mereka tetapi tidak menamakan pengganti hari ini.

“Ia (pengganti) akan diputuskan kemudian,” kata beliau. -MI

Sang Menantu Melepas Lagi

Desas-desus sebelum ini yang menyatakan menantu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khary Jamaluddin dilantik timbalan menteri nampaknya tidak menjadi kenyataan. Jawatan Timbalan Menteri Pelancongan yang dilepaskan oleh Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib akan disi oleh anak kelahiran Sarawak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata pengganti Sulaiman akan diumumkan dalam sedikit masa lagi. "Lebih kurang tapi tidak boleh umumkan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Parti Demokratik Progresif Sarawak(SPDP) di Dewan Suarah Kuching di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai nama pengganti Sulaiman, yang juga anak lelaki sulung Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang meletak jawatan atas alasan peribadi.

Pada 10 Disember lalu, Abdul Taib berkata Sulaiman terlalu sedih selepas kehilangan ibunya, Puan Sri Laila Taib, yang meninggal dunia kira-kira enam bulan lalu.

Sulaiman, 41, yang juga Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 19 Mac 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri dan apabila Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri April tahun ini, beliau dikekalkan.

Sulaiman adalah Anggota Parlimen Kota Samarahan yang pernah diwakili oleh ayahnya

TG Nik Aziz Diasak Lagi Oleh Pihak Berkepentingan

Desas-desus menyatakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangaka mengumumkan rombakan Pejabat Mentri Besar Kelantan hari ini membabitkan dua pegawai kanannya bertiup kencang di seluruh negara semenjak ianya mula didedahkan oleh blogger Penarik-beca.

Notis menggugurkan setiausaha akhbar dan setiausaha politik beliau sudah dikeluarkan hari ini. Ia dijangka akan diketahui secara rasmi apabila Dewan Harian Perhubungan PAS, yang akan dipengerusikan oleh Nik Aziz, mengadakan mesyuaratnya har ini.

Kelmarin, setiausaha politik Nik Aziz, Anual Bakhri Haron dan setiausaha akhbar Mohd Saiba Yaakub menafikan pihaknya ada menerima makluman berkaitan perubahan kedudukan mereka, Malaysian Insider melaporkan.

Laporan-laporan blog semalam menyebut mereka akan digantikan mulai Jumaat ini. Bagaimanapun notis penggantian mereka akan berkuat kuasa awal Februari, kata sumber.

Dalam pada itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim ketika dihubungi memberitahu beliau ada mendengar perkara tersebut tetapi tidak “melihatnya secara hitam putih.”

“Kalau benar, kemungkinan Tok Guru akan mengumumkan apabila diadakan mesyuarat Dewan Harian, yang kita adakan setiap Selasa,” katanya.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Kelaboran ini menambah, jika tindakan itu menjadi kenyataan ia merupakan perkara biasa.

“Bukan sesuatu yang luar biasa. Selaku Mentri Besar, Tok Guru ada bidang kuasa untuk menukar dan menggantikan pegawai-pegawainya... bukan sesuatu yang pelik,” kata beliau lagi.

Menteri Besar Kelantan disebut-sebut akan membuat rombakan pentadbiran kerajaan negeri untuk mengharungi cabaran tahun 2010 ekoran beberapa isu kontroversi sejak kebelakangan ini.

Keputusan menggugurkan beliau dikaitkan dengan perkembangan pentadbiran negeri itu termasuk isu menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang didesak melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Mentri Besar Kelantan (PMBK).

Ariffahmi akan meninggalkan PMBK Mac depan.

Laporan blog-blog juga mendakwa keputusan menggantikan Anual berkait dengan hubungan beliau dengan Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa.

Bagaimanapun kebenaran itu menjadi tanda tanya memandangkan Husam juga mempunyai hubungan rapat dengan Nik Aziz.

Anual pernah didakwa oleh anak Nik Aziz sebagai antara pegawai yang memberikan nasihat yang salah kepada Mursyidul Am PAS itu dan cuba melaga-lagakan beliau dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Semntara itu Husam telah menjwab secara halus di sini.

TERKINI


Digugur: 2 setiausaha MB ambil sikap tunggu dan lihat

Jangkaan Pejabat Menteri Besar Kelantan akan membuat rombakan terhadap struktur organisasinya membabitkan dua pegawai kanan masih menjadi teka-teki.

The Malaysian Insider difahamkan dua pegawai tersebut ialah setiausaha politik Menteri Besar, Annual Bakhri Haron dan setiausaha akhbarnya, Mohd Saiba Yaakub.

Semalam desas-desus ada mengatakan kononnya notis pengguguran terhadap dua pegawai berkenaan telah dikeluarkan.

Annual Bakhri semasa dihubungi sebentar tadi tidak menafikan maklumat yang berupa khabar angin itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Biar dulu, saya sendiri belum ada (terima) hitam putih perkara itu. Saya cuma dengar perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat Dewan Harian petang ini. Jadi, apa pun biar dulu.

“Saya tak mahu mendahului sebarang keputusan dan kenyataan. Sesuatu perkara itu segalanya mungkin. Untuk lebih specifik dan saintifik lebih baik tunggu sehingga ianya ada hitam putih,” katanya.

Annual Bakhri berkhidmat sebagai setiausaha politik Menteri Besar selama lebih 10 tahun.

Pada masa sama Mohd Saiba turut menafikan notis tersebut.

“Setakat ini tidak ada lagi. Kontrak saya akan tamat pada 2 Feb,” kata beliau yang telah berkhidmat di pejabat Menteri Besar itu selama lapan tahun.

Sehubungan itu baginya rombakan organisasi dalam satu-satu jabatan adalah perkara biasa.

“Bahkan mungkin lebih baik. Dan bagi saya, jika benar ia berlaku ke atas saya, saya boleh katakan bak kata pepatah “pucuk dicita ulam mendatang”,” katanya yang sudah sekian lama berhasrat untuk menyambung pengajian.

Menurut sumber, walaupun belum jelas namun perkara itu sudahpun menjadi bahan percakapan sekeliling bermula sejak semalam lagi.

Sementara itu Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim semasa ditemui lewat malam tadi berkata belum ada maklumat rasmi berhubung perkara tersebut.

“Saya pun juga sekadar mendengar khabar angin saja. Pengesahan hitam putih dari tok guru tidak ada lagi,” katanya.

Menjawab spekulasi kononnya notis bersabit perkara berkenaan sudah pun dikeluarkan, beliau berkata sekiranya benar Menteri Besar akan bincang pada mesyuarat mingguan parti yang akan diadakan hari ini.

Mesyuarat mingguan parti dikenali dengan mesyuarat Dewan Harian diadakan setiap Selasa di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10.

Sehubungan itu beliau yang juga selaku Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menafi rombakan itu ada kaitan dengan beberapa siri krisis yang melanda pentadbiran kerajaan negeri sejak kebelakangan ini.

“Tidak. Jika benar berlakunya rombakan ia hanya secara kebetulan, tidak ada kaitan langsung dengan krisis PMBK atau sebagainya. Mungkin kebetulan kontrak pegawai tersebut telah tamat.

“Dan tok guru merasai mungkin perlu ada perubahan di pejabatnya,” katanya turut menegaskan masalah berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Menteri Besar.

Krisis PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) dianggap kontroversi berprestij dalam pentadbiran kerajaan negeri ekoran melibatkan menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahmah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif September lalu.

Susulan krisis berkenaan Ariffahmi didesak supaya meletakkan jawatannya.

Sebelum ini Nik Aziz pernah membuat kenyataan tiada rombakan terhadap barisan exco kerajaan negeri sebaliknya jika berlaku pertukaran di kalangan pegawai kerajaan adalah perkara biasa di dalam sesebuah organisasi. - Mohd Zuharman (MI)

Jawatankuasa Disiplin PAS Jawatankuasa Haram

Saya tetap tegas tentang isu Lembaga Disiplin dengan menyatakan bahawa Jawatankuasa Disiplin PAS yang dipengerusikan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man adalah sebuah jawatankuasa haram kerana pembentukannya bertntangan dengan perlembagaan parti.

Semalam Tuan Ibrahim telah menyatakan bahawa Hassan Ali dan Khalid Samad belum diputuskan bersalah.

"Setelah bermesyuarat pada Sabtu lalu, pihak jawatankuasa mendapati ada satu keperluan untuk memanggil kedua-dua pihak bagi mendengar keterangan mereka. Ini adalah proses biasa dalam parti," Harakahdaily dipetik.

Beliau meminta pihak media tidak membuat laporan yang menggambarkan seolah-olah Hasan dan Khalid sudah dibuktikan bersalah kerana pihak jawatankuasa belum membuat apa-apa keputusan berhubung perkara itu.

"Buat masa sekarang, pihak jawatankuasa tidak boleh cakap mereka bersalah atau tidak sebab belum mendengar keterangan daripada mereka. Sebab itu lah jawatankuasa akan memanggil mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada kedua-duanya," kata beliau.

Persoalan yang masih belum terjawab ialah apakah status Jawatankuasa Disiplin PAS ini apabila ianya diketahui dibentuk tidak mengikut Perlembagaan parti.

Saya telah membuat pendedahan ini berkali-kali tetapi semua Jawatankuasa PAS Pusat seperti terkunci mulut, meredhakan salahlaku berlaku di dalam parti di peringkat tertinggi parti.

Tuan Ibrahim sepatutnya SEDAR DIRI, bahawa beliau tidak ada kuasa lansung untuk bertindak "menghakimi" apa-apa kes masalah disiplin parti malaha beliau sepatutnya malu memegang jawatan yang tidak disahkan oleh Perlembagaan.

Saya pernah menyatakan di SINI bukan sahaja Tuan Ibrahim bersifat bias, malah beliau dilihat tidak mempunyai kelayakan untuk berlaku adil sebagai seorang Pengerusi J/K Disiplin.

Oleh kerana pembentukan J/K Disiplin itu terkeluar dari Perlembagaan PAS, maka semua tindakannya, arahan dan keputusannya adalah tidak sah dan tidak wajar dipatuhi.

Saya sudah bersedia untuk diambil tindakan sebab saya tahu tindakan apapun dari J/K Disiplin parti tidak mempunyai penguatkuasaan undang-undang.

Perbetulkan dahulu hal itu.


Misalnya di dalam isu Jawatankuasa Disiplin. GB telah kemukakan fakta-fakta asas bahawa Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man adalah sebuah jawatankuaa yang tidak sah, kerana ianya bertentangan dengan Perlembagaan.

Faktanya jelas. Dari Perlembagaan. Walaupun ada yang mendakwa GB tak gunakan perlembagaan pindaan terkini, tetapi apabila diminta untuk membawakan mana-mana resolusi muktamar untuk menunjukkan fasal-fasal penting yang dipinda mengenai Jawatankuasa Disiplin, ia tidak dapat dikemukakan, maka dituduhnya GB memfitnah.

GB telah mengulanginya berkali-kali untuk meletakkan kebenaran ke tempatnya yang hakiki, tetapi tiada dari kalangan pimpinan yang tampil memberikan keterangan, yang bererti bahawa apa yang didedahkan itu benar.

GB mengutarakannya supaya PAS kembali ke pangkal jalan. PAS perlu bergerak mengikut asas Perlembagaan. PAS perlu diperkasakan dengan menyedarkan pemimpin-pemimpin parti yang telah terlajak perahunya di dalam menggunakan kuasanya.

Apabila hujjah GB tidak berjawab atau terjawab, maka diwujudkan istilah "fitnah yang benar" yang kononnya tak boleh disebarkan, kerana ia memudharatkan parti. Yang mengimplikasikan bahawa "kebenaran itu mesti disembunyikan demi maruah parti. Konsekuennya, naiknya maruah parti lantaran kebenaran tidak didedahkan. Bermaruahkah apabila fitnah yang benar itu disembunyikan? Sedangkan kudis yang bernanah akan terus bernanah, membesar dan membusuk lantaran ianya disembunyikan.


National Interest Atau Self-Interest? - Husam

Malaysia mungkin dikenakan sanction atas penjualan enjin pesawat secara gelap. Kesan kepada ekonomi dan negara kita secara keseluruhan tentu amat besar. Kenyataan Balasubraniam yang tersebar menerusi internet mengenai isu PM-Altantuya, amat menjejaskan dan belum nampak formula mengatasinya. Imej Kerajaan kita terjejas teruk. PKFZ dan lubang hitam terbesar yang ditinggalkannya tak mungkin dapat ditutup dalam tempoh dekat. Hampir tumbangnya kerajaan pimpinan Najib gara-gara MP BN tuang sidang Parlimen semasa undian, tentulah menggerikan penyokong BN.

Lebih menakutkan kekurangan solid vote untuk Najib itu memang direstui oleh MP BN itu sendiri kerana dah malas.
Di peringkat antarabangsa, kita nampaknya belum mencapai standing terhormat seperti dulu.

Kerajaan seakan nampak tidak solid. Isu BTN sahaja, pimpinan utama berbelah bagi. Enjin jet, seakan terbahagi dua antara ingin mendedahkan dan ingin mendiamkan.

PM mungkin mengikuti jejak Pak Lah. Lebih banyak berdiam dari memberikan respon segera. PM seakan terpisah dari realiti. Beliau lebih memberi fokus terhadap agenda yang hendak ditonjolkan yang dirangka oleh penasihat strategik beliau dan pasif terhadap isu sebenar yang berbangkit saban hari. Beliau articulative ketika membincangkan agenda utopia rangkaan kumpulan penasihat dan seakan membiarkan isu sebenar bergerak sendiri.

Dalam setengah hal, kita mengulangi keadaan seakan kerajaan dipandu secara auto pilot dalam urusan seharian kerana pimpinan sibuk menyiapkan gagasan utopia untuk dijadikan gula-gula. Banyak keadaan terkunci pada mode lama, termasuk SOP urusan diplomatik dan luar negara.

Belum dibincangkan susunan parti-parti komponen.

Keadaan nampaknya kritikal.

Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas.

Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak. Kemucut-kemucut sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan.

Konsep berkerajaan yang baik ialah pengasingan antara family matters dan state matters. Bukan sahaja legally, tetapi juga morally.

PAS - satu masa dulu pernah digelar Parti Asri Sekeluarga - kerana pemegang beberapa jawatan tinggi ada kaitan keluarga dengan Presiden PAS waktu itu, Datuk Asri. Serangan sedemikian ketika PAS berdepan dengan krisis politik pada waktu itu, merugikan PAS dan menjadi modal lawan yang berkesan sekali.

Antara isu yang sukar ditepis oleh Dr. Mahathir ialah penglibatan anak-anaknya dalam perniagaan. Isu bail out syarikat kapal Mirzan oleh Petronas kekal dibangkitkan sampai ke hari ini. Anaknya yang lain, Mokhzani akhirnya membuat pengumuman berundur dari dunia korporat apabila menjadi sasaran serangan dan digunakan sebagai bukti amalan kronisma Mahathir sekitar awal 1990an.

Abdullah Badawi sangat popular sebelum isu anak dan menantunya muncul dalam kehidupan politik beliau. Beliau berjaya membawa UMNO/BN menang paling besar dalam sejarah politik negara pada tahun 2004.

Selepas riak dan alpa dengan kemenangan besar itulah, isu penglibatan perniagaan syarikat anaknya, Scomi mula menikam politik beliau. Ditambah dengan penglibatan ekonomi dan politik KJ, Abdullah akhirnya kecundang dalam masa yang sangat singkat.

Anak dan menantu atau keluarganya, gagal mempertahankan beliau. KJ telah berkhidmat secara langsung dengan Pak Lah melalui jawatan di Tingkat Empat, yang tak lama kemudian ditentang hebat termasuk oleh ahli UMNO sendiri.

KJ kemudian memperolehi saham ECM Libra, yang menjadi isu hangat.

Sekalipun KJ melepaskan jawatannya di Tingkat Empat dan menjual sahamnya dalam ECM Libra, namun Pak Lah terus dikaitkan dengan KJ dan anaknya Kamaludin dalam banyak perkara.

KJ berada di belakang semua keputusan Pak Lah - dalam minda hampir semua orang.

Namun, politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihanraya 2008.

Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah stake holder yang lebih penting dari pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah.

Dilihat dari sirah Rasulullah, ada keadaan-keadaan di mana anggota keluarga memberikan pandangan atau diminta pandangan dalam pelbagai isu. Namun, keputusan akhir adalah di tangan Rasulullah s.a.w dan isu-isu itu pula bukan berbentuk monetary gain atau percaturan politik keluarga tetapi lebih kepada public interest.

A'isyah memberi pendapat kepada suami baginda bahawa ayahandanya Abu Bakar seorang yang penghiba dan tidak perlu dilantik menggantikan Rasulullah sebagai imam solat yang dikira penting. Rasulullah s.a.w meneruskan hasrat baginda. A'isyah memberikan pandangan itu atas kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Salah seorang isteri Rasulullah memberikan idea Rasulullah mesti memulakan tahalullul sebagai penyelesaian terhadap keengganan sesetengah sahabat menerima terma perjanjian Hudaibiyyah dan idea ini diterima dan berjaya.

Namun, sampai kepada isu monetary gain, rule of law dan isu governance yang lain, Rasulullah mengambil sikap menjunjung prinsip pemisahan itu mengatasi hubungan kekeluargaan. Baginda sampai berkata, kalau anaknya sendiri didapati melakukan jenayah, hukuman sepatutnya akan dikenakan dan ia akan dilakukukan oleh baginda sendiri.


Batas inilah yang perlu dipelihara ketika madsyarakat sedang tertunggukan kebangkitan yang solid tanpa kecelaruan sedangkan kecelaruan tersebut boleh dielakkan. -Husam Musa

Waspada, Jangan Biarkan Anda Digigit Nyamuk

Kerajaan Negeri menyeru orang ramai supaya berwaspada dengan penularan wabak Denggi dan Chikakunya.
Exco Kesihatan Dr Xavier Jayakumar berkata Selangor berada di tangga ketiga terburuk diserang Denggi dan Chikakunya, beliau meminta orang-ramai memainkan peranan membantu kempen kerajaan negeri memerangi penularan wabak.

"Kes denggi dan Chikakunya di Selangor walaupun terkawal namun itu tidak bermakna kita boleh bersikap lewa,"katanya.

Dr Xavier mengingatkan masyarakat memastikan tahap kebersihan kediaman pada tahap optimum bagi membendung pembiakan nyamuk.

Katanya, arahan kepada pihak terbabit sentiasa akan dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi memastikan wabak sentiasa terkawal.

"Kita telah bagi arahan kepada semua PBT dan pegawai Kesihatan untuk teruskan dengan program-program yang telah diadakan sekarang sebab itu saya terima kasihlah kepada penduduk juga sebab kerjasama penduduk sekarang kita nampak, bila kita kedua pihak bekerja bersama-sama ini dapat menurunkan kes Denggi dan Chikakunya di negeri Selangor",katanya. -TVS



Kelab Belia Graduan 1Malaysia Serah Memo Kepada SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat mengenai dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam anak syarikat sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan kira-kira RM160 juta.

Setiausaha Agung Kelab Belia Graduan 1 Malaysia Ezaruddin Abd Rahman berkata kelab itu menerima maklumat bahawa penyelewengan yang dilakukan dalam anak syarikat GLC yang berusia lebih 50 tahun itu dikesan sejak 2006.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mengenai dakwaan penyelewengan itu kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM Azlin Mohd Ali di pejabat SPRM di sini untuk siasatan.

Memorandum itu antara lain mendakwa pemberian tender yang tidak mengikut prosedur dan syarikat yang diberikan tender tersebut merupakan syarikat di mana seorang daripada anggota Lembaga Pengarah GLC itu mempunyai kepentingan di dalamnya.

Memorandum itu turut mendakwa mesin yang dibekalkan oleh syarikat tersebut juga menimbulkan masalah dan kerugian.

Ezaruddin berkata pihaknya juga akan menyerahkan memorandum itu kepada Pejabat Perdana Menteri.

Kelab Belia Graduan 1Malaysia merupakan badan bukan kerajaan yang terdiri daripada golongan profesional muda pelbagai bidang di seluruh negara yang ditubuhkan pada 10 Nov lepas dan kini mempunyai 8,000 anggota. – Bernama