23 Dis 2011

Siapa Tergelincir, PAS Atau Hassan Ali? Tanya Mujahid

Hasan Ali tidak baca sejarah parti?

Memahami Perjuangan

Sebuah parti politik tidak mungkin kekal tanpa beberapa perkara. Pertama, prinsip, kedua organisasi dan ketiga pimpinan. Pertama berupaya menarik minat pendukung dan penyokongnya. Dari sudut organisasinya ia akan melahirkan penggerak dan aktivis parti yang asasnya ialah ketaatan. Manakala ketiga, dari sudut kepimpinan mewakili hiraki tertinggi yang akan membekalkan arahtuju perjalanan parti.

Melalui tiga komponen di atas, kita dapat mempelajari sesuatu yang amat penting iaitu, pemimpin akan datang dan pergi namun prinsip dan organisasi perjuangan akan terus kekal. Ini adalah pengajaran yang berkekalan sehingga ia menjadi satu kaedah yang sukar dicabar kebenarannya.

Dinamika Perjuangan

Ramai yang gagal memahami atau terlalu lembab untuk memahami bahawa perjuangan mempunyai dinamikanya tersendiri. Ia bukan sesuatu yang jumud dan beku sehingga gagal menepati kehendak dan tuntutan semasa. Ini adalah asas yang memberikan kehidupan kepada sesebuah parti yang mempunyai prinsip perjuangan. Yang dikatakan kebijaksanaan kepimpinan ialah bagaimana ia mampu mengimbangi antara mengekalkan prinsip yang tidak akan berubah dan menepati kehendak semasa yang berubah-ubah. Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh pemimpin yang berfikiran jumud yang gagal memahami apa erti keseimbangan ini dan seni-seni yang diperlukan.

Dinamika PAS

PAS bukan sebuah parti yang jumud, perkembangannya dan sejarah pencapaiannya menggambarkan ia senantiasa menepati kehendak semasa tanpa hilang prinsip yang diperjuangkan. Gamaknya orang seperti Hasan Ali gagal membaca sejarah dinamika PAS walaupun berdegar-degar berucap di atas pentas PAS. Untuk pengetahuan mereka yang sekepala dengan Hasan Ali, PAS memulakan manifesto politiknya di awal 1950-an hingga 1960-an dengan menawarkan konsep negara kebajikan melalui slogan Baldatun Thaiyyibatun wa Rabbun Ghafur (petikan dari al quran). Asasnya ialah Adopt Islamic Principles, Restore Malay Sovereignity, Improve The Standard of Living, Practice True Democracy dan Promote Social Justice. Apakah Hasan Ali tidak membaca sejarah PAS kerana sibuk "bermotivasi" bahawa Negara Berkebajikan sudahpun menjadi manifesto PAS sejak 1950-an lagi? Apa yang dikemukakan oleh PAS hari ini hanyalah penyegarannya mengikut tuntutan semasa.

Isu Negara Islam

Awal 1980-an menyaksikan kebangkitan gerakan Islam mempertegaskan ideologi ummah secara global. Penjelasan kerangka sebuah negara yang mahukan Islam sebagai asasnya diterjemahkan dalam bahasa yang mudah difahami iaitu negara Islam. Perdebatan Negara Islam lebih kepada perbalahan intelektual yang asasnya ialah perbezaan pandangan antara isi dan format. Ia satu usaha untuk menggambarkan kesesuaian pemikiran kerangka negara yang ditawarkan oleh Islam. Namun secara praktikalnya perdebatan negara Islam akhirnya dijurus kepada isu substantif (isi) dengan menawarkan nilai-nilai keadilan sosial, kemanusiaan sejagat dan prinsip moral kepemerintahan.

Sekali lagi Negara Berkebajikan diolah mengikut kesesuaian semasa dan perkembangan semasa. Persoalan negara Islam hanyalah transisi kepada isu substantif yang lebih inklusif sifatnya. Apa masalah Hasan Ali dan yang sama waktu dengannya tidak memahami dinamika ini? Bukankah makna Tajdid ialah mengembalikan keadaan yang berubah kepada bentuk asalnya dan kekal releven?

Siapa yang Tergelincir?

Ada pepatah Melayu mengatakan "tidak pandai menari, lantai dikatakan tidak rata". Pepatah ini membayangkan suka menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri. Samalah dengan Hasan Ali yang mendakwa PAS tergelincir dari landasan perjuangan sedangkan dia yang tidak memahami dinamika PAS hari ini. Memang mudah menyalahkan orang lain daripada menyalahkan diri sendiri, namun ahli PAS lebih matang untuk menilai kenyataan Hasan Ali. Orang PAS akan bertanya balik, siapa yang tergelincir? PAS atau Hasan Ali?

Teruslah Bermotivasi

Selalunya apabila seseorang mula bercakap merapu kita akan berkata "teruslah anda bermimpi" tapi untuk Hasan Ali saya akan berkata "teruslah bermotivasi" walaupun ahli PAS dah menganggap ianya sesuatu yang basi. Kepada yang sama waktu dengan Hasan Ali, buatlah keputusan dan tanyalah kepada pakar motivasi anda bagaimana hendak cepat membuat pilihan. Bukankah pakar motivasi selalu mengatakan bahwa segala-galanya bermula dengan membuat pilihan! Sekurang-kurangnya Hasan Ali dah menampakkan arah tuju keputusan dan pilihannya, saya mengharapkan telahan saya tidak betul. -MR

* Dr Mujahid Yusof Rawa adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Ulasan GB

Biang Hassan Ali menjadi-jadi kerana adanya orang dalam PAS yang masih menjadi penyokong tegarnya - bererti kumpulan UG masih ada dalam parti.

Sebelum UMNO dapat dihapuskan dari pentas politik tanahair, kumpulan UMNO dalam PAS yang perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Rewind 2011: Jangkahayat BN Pada Penghujung Jalan?

Tahun 2011 akan melabuhkan tirainya tidak berapa lama lagi. Tahun ini telah menyaksikan beberapa sejarah yang telah merubah lanskap politik Malaysia.

Ternyata tsunami politik pasca PRU-12 masih lagi menunjukkan bisanya walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan memerintah untuk menawarkan ‘bisa’ gelombang kebangkitan rakyat.

Mengambil ‘berkat’ rancangan Maharaja Lawak yang bakal berakhir hujung tahun ini, saya mengandaikan begitulah jangkahayat Barisan Nasional.

Sewaktu saya menulis artikel ini, Dewan Negara telah pun meluluskan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 hanya dalam masa sehari.

Hebat bukan? Satu Rang Undang-Undang yang dikritik oleh pengamal undang-undang bahkan oleh Special Rappoteur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh diluluskan dalam masa sehari oleh Dewan Negara. Ini lah uniknya Malaysia. Negara yang tiada apa-apa yang mustahil –‘Boleh Land’ . Benarlah kata orang Malaysia Truly Asia.

Secara peribadi saya merasakan Bersih 2.0 merupakan kemuncak bagi kebangkitan rakyat tahun ini.

Rakyat Malaysia yang prihatin dari segenap ceruk berkumpul dan berhimpun mendesak agar sistem pilihanraya direformasikan supaya ianya lebih telus dan bersih.

Rakyat sudah jelak dengan Suruhanjaya Pilihanraya yang diperkudakan seolah-olah ianya parti komponen Barisan Nasional. Usaha kerajaan persekutuan melalui media – media arus perdana yang cuba menakut-nakutkan dan menggertak rakyat yang ingin keluar berhimpun ternyata gagal.

Suasana Kuala Lumpur sehari sebelum Bersih 2.0 sangat luar biasa tenang dan aman. Rakyat tidak lagi takut dan makan kepada ugutan Kerajaan.

9 Julai 2011 adalah kenangan manis bagi rakyat Malaysia dan saya (kerana inilah kali pertama saya turun berdemo). Jika dahulu saya percaya hanya teh tarik dan nasi lemak (dan makanan-makanan lain) sahaja yang mampu meleburkan (transcends) sempadan agama dan bangsa (yang mana saya masih percaya lagi sehingga saat artikel ini ditulis).

Tetapi Julai 9, .2011 membuktikan sebaliknya, rakyat Malaysia tanpa mengenal bangsa, agama dan keturunan bersatu di jalan raya melawan regime kezaliman dan penindasan.

Rakyat sudah bosan dengan sandiwara dan tipudaya Barisan Nasional yang sanggup memperkudakan SPR, PDRM dan agensi-agensi lain yang dibiayai oleh wang rakyat demi untuk memastikan survival politik mereka.

Perang terhadap Agong

Sebulan sebelum Bersih 2.0, kerajaan ‘Transormasi’ 1Malaysia dengan kerjasama polis telah menahan 12 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia yang kononnya berhasrat untuk melancarkan perang terhadap Yang Di Pertuan Agong. Tak masuk akal bukan? Ingat kita masih lagi bercerita tentang Boleh Land. Semuanya tidak mustahil.

Tahun 2011 juga merupakan tahun pertama saya berurusan dengan pihak polis (Ya! Saya masih muda).

Sewaktu tahun akhir di Sekolah Undang-Undang, subjek Prosedur Jenayah adalah antara subjek yang menjadi pujaan hati saya. Kami diajar apakah itu tangkapan, bagaimana tangkapan dibuat?, apakah hak-hak orang yang kena tangkap – termasuk mendapatkan khidmat peguam pilihan.

Malang bagi saya, subjek itu tidak langsung mempersiapkan saya untuk berurusan dengan pihak polis.

Teori-teori yang diajar di dalam buku-buku teks dan Kanun Acara Jenayah tak lebih dari bacaan sebelum tidur.

Pengalaman mengendalikan soal siasat polis menunjukkan sebaliknya. Anak guam langsung tidak diberi akses kepada peguam dan sudah menjadi rukun untuk para peguam terpaksa meninggikan suara kepada pegawai polis yang bertugas.

Dan selepas hampir setahun pengalaman saya berurusan dengan polis, saya perhatikan para pegawai polis mempunyai template jawapan yang sama untuk setiap soalan yang ditanya – “ Saya tak tahu, saya hanya ikut arahan orang atas…..”. (Mungkin itu polisi pelanggan mereka :-)

Pada bulan Oktober 2011, pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari telah digantung daripada menjalankan tugasnya sebagai ahli akademik oleh pihak Universiti berikutan kritikannya terhadap tidakan Sultan Selangor dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dalam isu serbuan di gereja Damansara Utama.

Ramai ultra-Melayu dari kalangan Umno dan Perkasa mengkritik Aziz Bari, kononnya telah menderhaka kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Barangkali mereka lupa atau mempunyai ‘selective memories’ terhadap tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan perang secara terbuka dengan mengkritik Sultan-Sultan Melayu di media arus perdana suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Prof Aziz Bari juga telah dikritik oleh Menteri Pengajian Tinggi, kononya ingin berpolitik dan menyebelahi Pakatan Rakyat. Boleh jadi Menteri terlupa tentang istilah ‘Kebebasab Akademik’.

Kebebasan akademik

Tidak cukup sampai di situ, 31 Oktober, 2011 Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan Seksyen 15 Akta Universiti & Kolej Universiti 1974 sebagai tidak sah dan ‘ultra-vires’ dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan 2-1 itu menggemparkan negara dan semestinya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri, yang sebelum ini mengumumkan pelan transformasi untuk meminda AUKU, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordian Darurat telah mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu ke Mahkamah Persekutuan. Ironi bukan?

Lebih ironi dalam pelan transformasinya untuk memansuhkan ISA, Kementerian Dalam Negeri telah menahan seramai 13 orang di bawah undang-undang zalim tersebut pada 15 September, iaitu tidak lama selepas Perdana Menteri mengumumkan transformasinya.

Gelombang kebangkitan mahasiswa terus bergerak dan mendesak agar kerajaan menghormati kebebasan akademik.

17 Disember 2011 yang lalu sekumpulan mahasiswa turun ke jalan untuk menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah.

Saya hanya mampu ‘tabik spring’ kepada mahasiswa-mahasiswa ini, termasuk bekas mahasiswa UKM 4, yang berani berdiri memperjuangkan dan mempertahankan hak anda sebagai mahasiswa dan manusia.

Seperti kata Soe Hok Gie, “Mimpi saya yang terbesar, yang ingin saya laksanakan adalah agar mahasiswa Indonesia berkembang menjadi ‘manusia-manusia yang biasa’.

Menjadi pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang bertingkahlaku sebagai seorang manusia yang normal, sebagai seorang manusia yang tidak mengingkari eksistensi hidupnya sebagai seorang mahasiswa, sebagai seorang pemuda dan sebagai seorang manusia” –(andaikan Soe Hok Gie sedang berbicara dengan anda, dan gantikan kalimat Indonesia dengan Malaysia)

Ingat! Mahasiswa bukan haiwan yang berhabitat di dewan-dewan kuliah dan bersempadan di pintu pagar universiti sahaja. Mereka adalah sebahagaian daripada masyarakat dan bertanggungjawab terhadap pencerahan masyarakat.

Terlalu banyak yang perlu kita kenang sebelum tahun 2011 melabuhkan tirainya. Artikel pendek ini tidak cukup untuk ‘recap’ setiap peristiwa yang berlaku. Tapi untuk berlaku adil, izinkan saya menyebut kata kunci bagi setiap peristiwa yang signifikan:

Ludah, tampar, kuning, doraemon haram, cincin, lembu, kondominium, kapal selam, Seksualiti Merdeka, katak dan Saiful.

Untuk tidak menimbulkan sebarang kontroversi dengan Jabatan-Jabatan Agama Islam. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maulid* Nabi Isa (A.S) kepada rakan-rakan yang beragama Kristian dan Selamat Tahun Baru 2012. -FMT

(*Maulid ialah istilah Arab yang bermaksud ulangtahun atau birthday)

Afiq M Noor adalah ahli Lawyers For Liberty

Ibu Relakan Anaknya Berkhalwat

Ledang – Seorang ibu tergamak menyembunyikan perbuatan anak perempuannya daripada ditangkap khalwat dalam satu serbuan oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Tangkak, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan wanita berusia 44 tahun itu yang mendakwa teman lelaki anaknya sebagai anak saudaranya dari Segamat terbongkar.

Ia berikutan anak perempuan wanita terbabit yang berusia 17 tahun mengaku lelaki berusia 16 tahun dan tidak bersekolah itu adalah teman lelakinya, selain bercadang untuk berkahwin pada Mac tahun depan.

Lebih malang, ibu remaja terbabit turut diarah hadir ke Pejabat Agama Daerah Ledang kerana didapati nikah tanpa kebenaran di Narathiwat, Thailand pada 2004.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa rumah tersebut.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita berbaju tidur membuka pintu.

“Pihak penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum wanita berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja lelaki berseluar pendek tanpa memakai baju dalam sebuah bilik, manakala remaja perempuan sedang baring di atas katil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala ibu remaja perempuan terbabit diarahkan hadir ke Pejabat Agama Darah Ledang kerana bersubahat dan akan didakwa di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam kerana nikah tanpa kebenaran. -SH

Ibu bapa subahat

LEDANG: Seorang ibu tergamak membiarkan anak perempuannya yang dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) berusia 17 tahun berkhalwat dengan teman lelaki di rumah mereka di Taman Tangkak Jaya di sini, jam 1.10 pagi semalam.

Lebih menjijikkan, suami baru kepada wanita terbabit yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di daerah ini juga hanya mendiamkan diri walaupun tahu perbuatan anak tirinya itu haram di sisi agama.

Kegiatan pasangan kekasih terbabit bagaimanapun terbongkar selepas Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) menyerbu kediaman itu selepas mendapat aduan daripada orang ramai.

Serbuan dijalankan lima pegawai PPADL yang diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Mohd Zainal Kadiran bersama dua anggota polis.

Menurut Zainal, selepas pasukannya memberi salam dan mengetuk pintu, mereka terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum ibu remaja perempuan terbabit membuka pintu. -hm


Ugutan: Adam Adli Lapor Polis, Terima Notis Tatatertib [updated]

Kuala Lumpur: Pemimpin pelajar, Adam Adli yang menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di PWTC Sabtu lalu membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya.

Menurut peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri, ugutan itu dipercayai diterima dari seorang anggota polis dikenali sebagai Ruslan Mokhtar.

Ruslan dipercayai seorang anggota polis kerana pegawai polis di luar pondok Bukit Aman seolah-olah mengenalinya. Adam pergi untuk membuat aduan tentang ugutan yang diterima dan pada masa sama polis cuba membawa Adam.

“Kita mahu lihat anggota polis yang terlibat diambil tindakan kerana jelas ada ugutan dari pihak-pihak yang mempunyai kuasa,”
dakwa beliau.

Ujar Fadiah, tindakan Adam yang menurunkan bendera itu hanya tidak mematuhi sivil dan bukan berunsur jenayah.

Katanya, tindakan itu boleh diterima di seluruh dunia malah pihak polis disarankan menghentikan sebarang ancaman terhadap mahasiswa terbabit.

Sabtu lalu, Adam bersama kumpulan mahasiswa lain mengadakan perarakan dari Masjid Jamek ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan seterusnya ke bangunan PWTC.

Apabila tiba di PWTC, pelajar berkenaan menyerahkan pula memorandum mereka kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah

Terima notis tatatertib

Dalam perkembangan berkaitan, Adam menerima notis pendengaran tatatertib dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Adam berkata seorang individu tidak dikenali menyerahkan notis terbabit, yang mengarahkan beliau hadir ke perbicaraan tatatertib pada 9 Januari depan.

Beliau mengesahkan akan hadir menjalani perbicaraan tatatertib tersebut.

Dalam pada itu, Adam menegaskan tindakan beliau menurunkan bendera itu membuktikan bahawa mahasiswa komited untuk kebebasan akademik.

Beliau turut mengecam laporan Utusan yang memetik kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican mendakwa beliau memijak bendera, sebaliknya jelas Adam ia fitnah yang dijalankan individu terlibat di belakang akhbar Umno tersebut.

“Saya tidak faham kenapa anda takut dengan kami? Kami bukan ahli politik tetapi mahasiswa. Kalau anda musuhi kami, maknanya apa yang mahasiswa lakukan adalah betul,” katanya. -FMT

Adam buat Laporan Setelah Di Ugut Anggota Polis

KUALA LUMPUR, 23 DIS : Aktivis Pelajar, Adam Adli tampil membuat laporan polis berhubung ancaman ditumbuk dan ugutan keatas dirinya daripada seorang anggota polis.

Adam Adli sebelum ini menerima ancaman tersebut daripada anggota polis berpakaian biasa bernama Roslan Mokhtar sejurus selepas membuat laporan ugutan bunuh terhadapnya di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman beberapa hari lalu.

Pada 17 Disember, Adam Adli, Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim ketika menyertai demontrasi bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri di ibu pejabat Umno sebagai tindakan protes AUKU.

Bendera berslogan kebebasan akademik itu hanya digantikan untuk beberapa ketika sebelum Adam menaikkan semula bendera asal.

Bagaimana pun tindakannya itu menerima pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh, pukul, ludah dan cacian.

Peguam yang mewakili Adam, Fadiah Nadwar berkata ugutan seumpama itu tidak sewajarnya hadir daripada anggota polis, sedangkan tiada sebarang jenayah dilakukan oleh gerombolan mahasiswa yang berdemontrasi baharu-baharu ini.

"Jadi keterangan hari ini diambil berdasarkan insiden tersebut dan kita akan lihat sama ada anggota polis yang terlibat ini akan ambil tindakan kerana ia begitu jelas bahawa terdapat ugutan dari pihak polis," katanya.

Sementara itu, Adam Adli menjelaskan sebagai mahasiswa beliau bertindak sebagai agen masyarakat untuk menegur mana-mana pihak yang salah tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.

Namun, beliau kecewa dengan tindakan yang diterimanya apabila tindakannya menurunkan kain rentang itu diputar belitkan oleh pihak berkepentingan yang takut terhadap gerakan mahasiswa.

"Sebagai seorang mahasiswa, apa yang anda takutkan sangat terhadap kami, kami bukan, kami bukan ahli politik, kami hanyalah mahasiswa, jika sehingga tahap ini, maka benarlah perjuangan mahasiswa hari ini berada dilandasan yang betul,"

Beliau berkata demikian sejurus selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Adam berkata tindakannya menurunkan bendera itu adalah simbolik kemenangan kepada siswa pada hari tersebut.

Akhbar kawalan UMNO, Utusan Malaysia bertarikh 21 Disember melaporkan Naib Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, Reezal Merican mendakwa Adam bukan sahaja bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri, malah mengatakan mahasiswa itu telah memijak bendera tersebut.

Mengulas lanjut pekara ini, Adam berkata sekiranya Reezal tidak mengeluarkan kenyataan maaf diatas kenyataan fitnahnya itu, mahasiswa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. -tvsnews




Khir Toyo Dihukum Penjara 12 Bulan

Shah Alam - Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu barangan berharga dengan balasan diketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini empat tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu yang dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari ini.


Dalam pada itu, Mohtarudin turut memerintahkan agar tertuduh dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada kerajaan.

Keputusan itu dibuat menurut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan pelucutan hak sementara menunggu rayuan.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007. -Bernama

Ulasan GB

Baru sebentar tadi GB sudah ulas dengan memetik ulasan GB yang terdahulu:

GB sudah ulas di Khir Toyo Bakal Habiskan Sisa Hidupnya Dalam Penjara?.

Tak apalah Khir. Tuan pun dah lama "sapu" bersih wang rakyat semasa menjadi MB. Mungkin di dalam penjara tuan boleg "berriadah" memperbanyakkan ibadah menyuci diri dan kemudiannya siapa tahu diterima semula ke dalam masyarakat macam Mokhtar Hashim yang pernah jadi seorang Menteri kabinet kemudian, dihukum gantung sampai mati, kemudian mendapat keampunan dari Yang Di Pertuan Agong dengan cuma dipenjara seumur hidup. Kemudian setelah menjalani 10 tahun dalam penjara, beliau mendapat keampunan daripada Agong untuk dibebaskan.


Salahguna Kedudukan MB: Mahkamah Dapati Khir Toyo Bersalah Tuduhan Rasuah

Mahkamah dapati Khir Toyo bersalah tuduhan rasuah

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap ADUN Sungai Panjang itu tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Pada masa ini, Hakim Mohtaruddin sedang mendengar rayuan dari peguam Khir sebelum menjatuhkan hukuman.

Khir didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Khir berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai ADUN dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Turut hadir ialah isterinya, Zaharah Kechik dan kira-kira 40 penyokongnya - ada yang duduk dan ada yang berdiri di dalam bilik mahkamah yang padat.

Khir diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

DPP Abdul Wahab Mohamed menjalankan pendakwaan.

Khir tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi.

Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu. -mk

Ulasan GB

GB sudah ulas di Khir Toyo Bakal Habiskan Sisa Hidupnya Dalam Penjara?. Petikan:

Tak tentu arah Khir Toyo sekarang ini apabila ada skrip lain sedang mengatasi skrip untuk membebaskannya.

Maka didedahkanlah skrip dari 3 Menteri Kabinet yang dikatakan sedang berkonspirasi untuk beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah.

Tetapi beliau tak dedahkan pula bahawa sebelumnya ada skrip lain dari kalangan pihak paling berkuasa di dalam sistem kehakiman negara untuk membebaskan beliau dari tuduhan rasuah. Buktinya: apa pihak yang sudah menyuruh beliau duduk diam-diam dan jangan buat kenyataan mengenai kesnya.

Tetapi mungkin Khir berang kerana tak tahan kena bela diri di atas tuduhan rasuah, maka beliau buat juga kenyataan dedahkan apa yang dikatakan konspirasi menteri-menteri berkenaan terhadap dirinya. Sepastinya beliau sudah diberitahu ada kemungkinan skrip asal untuk membebaskannya sudah ditewaskan dengan skrip lain yang lebih bermutu tinggi.

Tak apalah Khir. Tuan pun dah lama "sapu" bersih wang rakyat semasa menjadi MB. Mungkin di dalam penjara tuan boleg "berriadah" memperbanyakkan ibadah menyuci diri dan kemudiannya siapa tahu diterima semula ke dalam masyarakat macam Mokhtar Hashim yang pernah jadi seorang Menteri kabinet kemudian, dihukum gantung sampai mati, kemudian mendapat keampunan dari Yang Di Pertuan Agong dengan cuma dipenjara seumur hidup. Kemudian setelah menjalani 10 tahun dalam penjara, beliau mendapat keampunan daripada Agong untuk dibebaskan.

Gigil tak bila GB kata kena masuk penjara jugak? Relaxler. Lom kena lagi. Doa banyak-banyak.


Dan di dalam satu lagi ulasan GB di Siapa Yang Bakal Terkena Suweh Penyapu?. Petikan:

Kumpulan UMNO yang dahulunya ber"kepala lembu" kini "bertopeng dan berpenyapu".

Penyapu dikatakan sebagai sesuatu simbol yang tidak baik. Di dalam adat bangsa Melayu yang dipercayai sebilangan besar ahli UMNO sendiri, ia pembawa suweh... maka dibawalah penyapu ke hari demonstrasi semalam.

Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi.


BENAR, Wang Zakat Diguna Bayar Kos Guaman Menteri - Audit Negara

Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain.

Kos guaman itu adalah bersabit kes tuntutan qazaf oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan jumlah tersebut telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.

Menurut laporan tersebut, Che Mat telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010, daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurutnya lagi, pada 29 April 2010, MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM32,150 juga menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu.

Laporan itu menyebut, MAIWP melantik firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir mewakili mereka atas pegangan jawatan mereka dalam MAIWP.

Laporan Audit Negara menjawab soalan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) yang dipengerusikan Datuk Seri Azmi Khalid, oleh tiga ahli parlimen - Saifuddin Nasution Ismail (Machang), Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Jawapan Azmi yang melampirkan laporan Audit Negara itu bertarikh 14 Disember, dan disiarkan dalam blog Nurul Izzah.

Laporan itu menyebut bahawa peruntukan wang zakat yang didahulukan itu, telah dibayar balik sebelum penutupan akuan MAIWP tahun 2010 dan telah disahkan oleh pihak audit. mk

Laporan sebelum ini

Jamil Khir, Pengarah Jawi guna RM32 ribu wang zakat biaya kos guaman

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mempersoal salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32 ribu.

Jumlah itu dikatakan dikeluarkan bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

Perkara itu didedahkan sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah semalam mengakui yuran guaman Jamil Khir dan Che Mat Ali dibayar dengan wang peruntukan berkenaan.

Kedua individu itu sebelum ini diambil tindakan mahkamah kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam kes Qazaf membabitkan kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada amanah rakyat, Saifuddin berkata, Che Mat Ali yang juga merangkap Setiusaha Jawi telah memohon dan meluluskan sendiri penggunaan wang zakat berkenaan.

“Datuk Che Mat Ali meluluskan kepada Datuk Che Mat Ali. Itu dari segi tata kelolanya, jelas (salah) ,” kata Saifuddin ketika sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya lagi, dari segi hukum agama juga, kedua individu berkenaan tidak tergolong dalam kategori mereka yang layak menerima wang zakat.

“Apakah Menteri dan Pengarah Jawi termasuk dalam asnaf yang lapan, yang layak menerima zakat? Sudah tentulah jawapannya sangat terang, tidak,” tegas Saifuddin.

Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Ketua Audit Negara menyiasat salahguna wang itu kerana individu yang sama memohon dan meluluskan peruntukan wang itu.

“Dari segi undang-undang yang memohon dan meluluskan orang yang sama, jadi kita minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara untuk menyiasat,” kata Saifuddin. -KD


Ulasan GB

Begitu mudahnya wang zakat dipergunakan untuk tujuan yang tidak betul dan tidak diagihkan kepada golongan asnaf.

Sekali pun wang itu telah dibayar semula, namun perbuatan menggunakan wang zakat untuk tujuan "kos guaman" itu tetap menyalahi syarak.

Tetapi bagi UMNO, halal dan haram tolak tepi... sepertimana kes duit lembu RM250 juta - bedal semacam jer.


Patut Pun Orang Gelar Mahathir Mahafiraun...

Bank Dunia: Pinjaman dibuat melalui MTEN

KUALA LUMPUR, 21 Dis: PKR mendedahkan, pinjaman kepada Bank Dunia dibuat oleh kerajaan Malaysia melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia dibuat melalui satu badan di bawah MTEN iaitu Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (National Economic Recovery Plan, NERP).

Demikian didedahkan oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR dalam satu kenyataannya hari ini bagi menjawab penafian Dr Mahathir beliau ada memohon pinjaman dari Bank Dunia.

Menurut Rafizi, perjalanan seharian MTEN diputuskan oleh Pengarah Eksekutif NEAC iaitu Tun Daim Zainuddin, Menteri Tugas-tugas Khas yang dilantik oleh Tun Mahathir Mohamad.

Setiausaha NEAC adalah Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab penuh kepada Tun Mahathir Mohamad ketika itu, katanya.

Berikut kenyataan penuh Rafizi:

Saya mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir Mohamad yang akhirnya mengaku[1] bahawa pentadbiran beliau memang ada mengambil pinjaman dari Bank Dunia yang ditandatangani pada 31 Mac 1999 semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Ini bertentangan dengan penafian beliau sehari sebelum itu kononnya beliau tidak mengambil sebarang pinjaman Bank Dunia.

Malangnya, adalah mendukacitakan apabila beliau masih meneruskan pembohongan untuk mengabui mata rakyat.

Beliau menulis kononnya “rundingan terakhir dibuat dalam tahun 1997 untuk mendapatkan pinjaman Bank Dunia” dengan niat menyabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan permohonan pinjaman tersebut.

Hakikatnya adalah berbeza dan ini disahkan oleh dokumen-dokumen Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia.

Saya rujuk rentetan peristiwa dan dokumen-dokumen berikut untuk membuktikan bahawa permohonan untuk pinjaman sebanyak USD404 juta dari Bank Dunia dibuat atas arahan Tun Mahathir Mohamad sendiri:

1. Dokumen Bank Dunia (Laporan Awal Permohonan Pinjaman PID6999 yang disertakan bersama) pada halaman 2 perenggan terakhir menyebut:

“In view of these circumstances in July 1998, the Government announced a National Economic Recovery Plan to bring the economy back on a positive growth path. One of the six strategic objectives of the National Economic Recovery Plan is to continue the country's equity and socio-economic agenda which had been instrumental during the past two decades, in maintaining social stability in the country. In line with this objective, the Government has proposed a plan of action to mitigate the adverse social impacts of the crisis which threaten to reverse the gains made in the past. The Government has approached the Bank for help in strengthening this plan and implementing it through a Social Protection Project”

Dokumen Bank Dunia itu menjelaskan tujuan permohonan pinjaman yang dibuat iaitu untuk membiayai Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (National Economic Recovery Plan, NERP) yang diumumkan di dalam bulan Julai 1998.

Permohonan juga dibuat oleh Kerajaan Malaysia, bukannya ditawarkan oleh Bank Dunia seperti yang didakwa Tun Mahathir.

2. NERP diumumkan dan ditadbir sepenuhnya oleh National Economic Action Council (NEAC) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). NEAC dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri.

Perjalanan seharian NEAC diputuskan oleh Pengarah Eksekutif NEAC iaitu Tun Daim Zainuddin, Menteri Tugas-tugas Khas yang dilantik oleh Tun Mahathir Mohamad. Setiausaha NEAC adalah Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab penuh kepada Tun Mahathir Mohamad ketika itu.

3. Maka, jelas terbukti bahawa permohonan mendapatkan bantuan kewangan dari Bank Dunia dibuat oleh NEAC bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk membiayai NERP yang dilancarkan dalam bulan Julai 1998. NEAC dikawal sepenuhnya oleh Tun Mahathir Mohamad.

4. Ini bertepatan dengan jadual kelulusan pinjaman dari Bank Dunia seperti yang termaktub di dalam Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document 18855-MA yang disertakan bersama) mukasurat 29. Ia menyebut tarikh-tarikh penting seperti berikut:

a. Permohonan mula-mula diterima dari Kerajaan Malaysia pada 26 Julai 1998
b. Pasukan penilai dari Bank Dunia berlepas ke Malaysia pada 30 November 1998
c. Rundingan hanya bermula 1 Februari 1999

5. Bukan sahaja permohonan dibuat oleh NEAC mengikut arahan Tun Mahathir Mohamad, malah kesemua proses rundingan berlaku selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah pun dipenjarakan.

Saya percaya Tun Mahathir Mohamad akan mencari alasan baru untuk menerangkan perkara ini walaupun ia sudah jelas terbukti, sebagaimana beliau akhirnya mengaku beliau ada mengambil pinjaman Bank Dunia (walaupun menafikannya sebelum itu).

Saya juga menasihatkan Tun Mahathir Mohamad agar tidak begitu ghairah mencabar orang lain bersumpah di atas al-Quran dalam hal ini, kerana jika polemik cabar-mencabar untuk bersumpah ini melarat kepada isu-isu yang membabitkan keluarga beliau, sukar untuk beliau menafikannya.

Contohnya, adalah lebih berguna sekiranya beliau bersumpah di atas al-Quran bahawa anak beliau, Mirzan Mahathir tidak membeli pegangan besar di dalam konglomerat arak terbesar di rantau ini iaitu San Miguel kerana soal keluarga pembesar negara beragama Islam menguasai perniagaan arak adalah soal yang sensitif bagi masyarakat beragama Islam di Malaysia. Tambahan pula, bila konglomerat yang sama ingin menguasai perniagaan hiliran milik ExxonMobil Malaysia yang melibatkan ribuan rakyat Malaysia beragama Islam yang tidak sanggup dibayar gaji dari wang yang terlibat dengan arak.

Jika beliau bersungguh-sungguh untuk bersumpah di atas al-Quran, bersumpahlah menafikan perkara ini terlebih dahulu.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN


Dr M akui Malaysia pinjam dana Bank Dunia

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau namun menegaskan bahawa beliau tidak pernah menulis kepada badan berkenaan untuk mendapatkan dana.

Tiada surat mahupun permintaan bertulis dibuat oleh beliau kepada Bank Dunia, kata Mahathir, menjawab dakwaan yang ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah berbuat demikian ketika krisis kewangan 1999.

"Jika Anwar boleh menunjukkan bukti sebaliknya, dia patut berbuat demikian. Jika tidak dia mesti bersumpah dengan al-Quran di masjid bahawa dia tahu apa yang dia kata itu benar.

mahathir ebook launching 091211 02Saya bersedia untuk bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta pinjaman daripada Bank Dunia," katanya lagi dalam tulisan di blog beliau, chedet.co.cc, semalam.

Katanya lagi, Malaysia enggan menerima dana pinjaman International Monetary Fund (IMF) daripada Bank Dunia kerana "bantuan yang dikatakan itu akan memburukkan lagi keadaan."

Mahathir mengambil alih kedudukan sebagai menteri kewangan selepas Anwar dipecat dan dipenjarakan pada 1998.

Katanya lagi, pinjaman sebanyak USD300 juta ditandatangani dengan Bank Dunia pada Jun 1998, ketika Anwar masih menjadi menteri kewangan, untuk makanan, pendidikan tinggi dan program mikrokredit.

Sebanyak USD100 juta turut ditandatangani untuk bantuan teknikal pada Mac 1999, namun hanya USD11.94 juta dikeluarkan.

Pinjaman sektor sosial sebanyak USD60 juta dihentikan selepas pengeluaran sebanyak USD60,000 manakala satu pinjaman pendidikan dihentikan selepas sejumlah USD244 juta dikeluarkan.

Kedua-duanya diluluskan pada Mac selepas Anwar dipecat daripada jawatan menteri kewangan. -mk


Ulasan GB

Sangat pelik jawapan Tun Mahathir ni.

Beliau mengakui bahawa Malaysia meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau tetapi tidak tidak pernah menulis kepada badan berkenaan untuk mendapatkan dana (?)

Apakah Bank Dunia suka-suka tabur duit kepada Malaysia tanpa adanya surat permohonan untuk mendapatkan pinjaman?

(Yang suka tabur-tabur duit lazimnya hanyalah UMNO sewaktu pilihanraya umum atau kecil untuk membeli undi)

Kedua, katakanlah benar Tun mahathir tidak pernah menulis surat tersebut, tetapi ditulis oleh ahli/pegawai MTEN. Tetapi Tun Mahathirlah Pengerusi MTEN. Pelik lagi. Apakah Pengerusi terlalu naif sehingga tidak menyedari apa yang dilakukan oleh ahli-ahli MTEN?

Janganlah terasa diri terlalu hebat untuk memperbodohkan rakyat sampai mati.

Ingat, rakyat kelantan belum memaafkan dosa kamu lantaran rompakan wang royalti mereka yang mana di masa kamulah sekatan wang royalti dilakukan dengan menukarkan wang royalti kepada wang ehsan - itupun tidak diberikan kepada kerajaan Kelantan semata-mata busuknya hati kamu terhadap PAS.

Maka sebab itu tidak salah ada pihak yang menggelarkan kamu MAHAFIRAUN.

[Video] Adam Adli: Turun Bendera PM Tanda Kemenangan

Pemimpin pelajar, Adam Adli berkata tindakannya menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno dilakukan sebagai satu simbol kemenangan kepada siswa pada hari tersebut.

Dalam temubual disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini, Adam berkata, perhimpunan dan perarakan pelajar itu pada hujung minggu lalu – dari Masjid Jamek ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan seterusnya ke bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra – berlangsung dengan terkawal tanpa kekecohan.

Beliau juga tidak menyangka bahawa perkara berkenaan akan menjadi perhatian media kerana tindakan menurunkan bendera berkenaan, yang digantikan dengan bendera berslogan kebebasan akademik, juga hanya satu ekspresi dirinya.

Bendera itu juga hanya digantikan untuk beberapa ketika sebelum beliau menaikkan semula bendera asal.

"Bermula dari bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) lagi, kami berada di situ dalam tempoh yang agak lama, jadi kami bosan kerana tidak nampak kesan dari memorandum yang kami serahkan," katanya.

Apabila tiba di PWTC, pelajar berkenaan menyerahkan pula memorandum mereka kepada timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, kata pelajar tahun tiga Universiti Pendidikan Sultan Idris itu.

"Bila kami menyerahkan memorandum, semua pelajar mendengar ucapan daripada Saifuddin. Bagi saya ia tidak boleh jadi," katanya.

Tambahnya, kumpulan pelajar dianggar seramai 350 orang itu sebelumnya bersungguh-sungguh melaungkan slogan kebebasan akademik.

"Tetapi apabila menteri datang terus jadi sama dengan pelajar lain. Nampak sahaja menteri, terus salam dan ambil gambar, bagi saya ini bukan cara sebenarnya.

"Jadi saya ambil bendera dan terus menurunkan bendera Najib digantikan dengan bendera Kebebasan Akademik

"Apabila pelajar lain nampak apa yang saya lakukan, barulah mereka merasakan kemenangan, bukan hanya jumpa menteri sudah rasa menang," katanya yang berniat supaya "kemenangan" itu dirasai oleh siswa yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Adam turut mengulas kritikan dan ugutan oleh pemimpin Umno, yang antara lain menyifatkan beliau tidak matang kerana menurunkan bendera berkenaan.

"Bagi saya ia matang bagi orang yang memahami isu dan menerima keadaan bahawa mahasiswa sekarang ditekan.

"Malah bagi saya, banyak lagi tindakan yang jauh lebih tidak matang yang dilakukan pihak lain seperti menyerahkan kek berupa tahi dan sebagainya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini. Adakah bagi mereka tindakan ini matang?," soalnya.

"Adakah mereka sedar tindakan turun naik bendera ini tidak pernah menjadi kesalahan mana-mana tempat dalam dunia ini? jadi saya tahu perkara yang salah dan betul.

"Jika tindakan itu dikira jenayah, sudah tentu saya teragak-agak untuk melakukannya. Ini adalah satu bentuk ekspresi saya. Sebab itu saya percaya mereka yang mengugut saya ini tidak tahu apa-apa langsung mengenai diri saya," tambahnya.

Ditanya lanjut, Adam, 22, yang mendapat sokongan penuh ibubapanya dalam tindakan itu berkata, beliau secara khusus tidak akan meminta maaf kepada perdana menteri walau digesa berbuat demikian.

"Saya tidak akan minta maaf. Selepas perkara ini berlarutan sehingga ke tahap ini, tiba-tiba pula saya didesak untuk minta maaf.

"Bagaimana pula dengan rakan-rakan saya? Saya tidak mahu rakan-rakan saya jatuh semangat sekiranya saya minta maaf," katanya.

Namun, Adam menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk tidak meminta maaf buat selama-lamanya.

"Pada satu tahap nanti saya perlu juga minta maaf kepada beberapa orang berikutan tindakan saya ini," katanya lagi.-mk