30 Jun 2015

InsyaAllah Parti Baharu Bakal Cipta Gelombang Besar...

Parti baharu bukan kumpulan terbuang Oleh A Shukur Harun

Selepas dikalahkan dengan cara paling hina di muktamar PAS baru-baru ini, golongan progresif dan sederhana dalam parti itu merancang menubuhkan sebuah parti baharu lepas Hari Raya Aidilfitri sebagai memenuhi harapan baharu rakyat Malaysia.

Penubuhan parti ini juga untuk meneruskan legasi perjuangan Allahyaram Datuk Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Datuk Seri Nik Abd Aiz Nik Mat yang sangat terbuka dan demokratik.

Kumpulan ini mulanya bernama Kumpulan 18 (G18) kini dinamakan “Kumpulan Harapan Baharu” kerana jumlahnya bertambah.

Ia memang berhak mendakwa sebagai pewaris perjuangan kedua-dua tokoh yang amat disayangi majoriti rakyat Malaysia itu.

Ini kerana, golongan progresif ini sangat serasi dengan metodologi perjuangan dua tokoh tersebut iaitu menjadikan PAS parti yang inklusif, tidak jumud dan ekstrem, menyebabkan PAS diterima pelbagai kaum dan agama, meskipun ia tetap memperjuangkan Islam.

Atas inisiatif mereka dan disokong oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat sivil, mereka merancang menubuhkan parti baharu, di mana buat sementara ini dipanggil G18 – mengambil sempena 18 tokoh yang dikalahkan itu. Nama rasmi parti baharu itu akan diumumkan sempena pelancarannya beberapa minggu lagi.

Kini perancang parti baharu ini sedang giat mengadakan perbincangan demi perancangan ke arah penubuhannya yang dilihat sangat dinanti-nantikan oleh majoriti rakyat.

Namun pada awal-awal lagi sesetengah pemimpin PAS yang ada sekarang begitu segera memperkecilkan penubuhan parti baharu itu. Ada yang mengatakan, kononnya parti serpihan PAS itu tidak akan panjang umur dengan mengambil contoh parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dulu.

Ada juga pemimpin PAS memperkecilkan tokoh progresif itu sebagai daun yang gugur selepas pohonnya digegarkan ribut. Golongan profesional ini dianggap daun gugur yang langsung tidak ada nilai, sedangkan pohonnya, kononnya, tetap teguh.

Ada yang juga yang berkata tindakan menubuhkan parti baharu itu hanya akan menguntungkan musuh, Lebih jauh, ada pula ustaz muda tokoh segera PAS yang dengan segera hendak mengajar kumpulan sederhana ini supaya melihat sejarah gemilang PAS selama ini.

Saya kira pandangan negatif pimpinan PAS terhadap parti baharu ini perlu dijawab untuk memberitahu tahap tidak matangnya mereka dalam politik.

Pertama, parti baharu ini tidak akan menjadi Hamim dan Berjasa, kerana situasinya berbeza, keadaan mencetuskan parti baharu ini berbeza, sambutan rakyat juga berbeza dan persepsi umumnya berbeza di zaman penubuhan Berjasa dan Hamim dengan keadaan yang ada sekarang.

Daripada kajian awal yang diperoleh – terutamanya di bandar dan semi bandar – rakyat pelbagai golongan sedang menantikan penubuhan parti baharu ini.

Hamim dan Berjasa adalah proUmno, sementara parti baharu ini menentang Umno/BN.

Hamim dan Berjasa hanya mendominasi kawasan Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu, sedikit di pantai barat Semenanjung, sementara parti baharu bersifat nasional, seluruh Malaysia.

Parti baharu ini diyakini akan disertai pelbagai golongan rakyat yang sedar – terutama masyarakat sivil dan generasi baharu – yang dilihat sedang menantikan penubuhan parti baharu ini, Ini gelombang besar yang akan mengejutkan pemimpin PAS sendiri nanti.

Dengan kehadiran media baharu, perkembangan politik baharu ini mudah tersebar luas. Dari itu, menyamakan parti baharu dengan Hamim dan Berjasa tidak munsabah, malah ketinggalan zaman.

Kelemahan pemimpin PAS sekarang ialah mereka tidak memahami perkembangan politik terkini, kerana tenggelam dengan emosi dan prejudis, hanya berbangga dengan lutut dan siku bukan fakta dan ilmu.

Kedua, golongan progresif ini bukan daun yang gugur dan terbuang akibat ribut. Golongan ini masih gemilang dan terbilang. Mereka tetap berharga di kaca mata masyarakat yang sedar, bukan golongan yang jumud dan ekstrem.

Malah, tidak mustahil pula ribut besar yang melanda PAS boleh menumbangkan batang tubuh PAS itu sendiri kerana masyarakat melihat PAS kini sedang melakukan “reverse gear” yang amat menghairankan. Akhirnya ia kembali menjadi parti politik Pantai Timur.

Ketiga, Penubuhan parti baharu ini tidak menguntungkan musuh, malah menggerunkan mereka. Ini kerana ia sebuah harapan baharu dan kekuatan baharu yang didukung oleh majoriti rakyat.

Berbanding dengan krisis yang dialami PAS memang jelas menguntungkan musuh dipandang dari sudut apa pun kerana ia memecahkan Pakatan Rakyat.

Keempat, adapun ustaz muda yang menjadi tokoh segera PAS yang segera hendak mengajar kumpulan sederhana ini supaya melihat sejarah gemilang PAS selama ini perlulah mereka mencerminkan diri sendiri lebih dulu.

Pada ketika mereka masih belajar di Timur Tengah, tokoh veteran G18 ini sudah pun berjuang dalam PAS dengan keringat dan air mata mereka. Merekalah yang mengukir sejarah kegemilangan PAS selama ini menerusi kepimpinan Fadzil dan Nik Aziz.

Tokoh inilah yang berjuang di dalam PAS hasil inspirasi pendedahan perjuangan Ikhwanul-Muslimin, Jamaat e-Islami Pakistan, Jamaah An-Nur, Turki, pembacaan buku dan pertemuan dengan tokoh gerakan Islam rantau ini dan antarabangsa.

Oleh itu jangan ada sesiapa dengan penuh angkuh cuba menafikan keunggulan tokoh PAS ini.

Di sini mari kita renung dengan pemikiran jernih penubuhan parti baharu ini sebagai harapan baharu masa depan rakyat Malaysia di mana ia akan menyertai gabungan parti pembangkang yang ada sekarang.

Saya tetarik dengan pemikiran terbuka, pemimpin parti baharu ini, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi “rahmat yang tersembunyi” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Beliau yang menjadi setiausaha jawatankuasa bertindak G18 itu berkata penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.

Parti baharu ini akan menggabungkan semua masyarakat sivil di negara ini terutama badan NGO Islam bagi membentuk satu wadah baharu politik Malaysia berteraskan Islam yang lebih progresif berbanding parti lama mereka.

Beliau yakin wadah ini akan lebih diterima masyarakat Malaysia kerana sifatnya yang inklusif dalam sebuah negara berbilang agama dan bangsa ini.

Selain akan bergabung dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama.

ULASAN GB

Syabas dan terima kasih Pak Syukur lantaran ulasan yang baik di atas.

Pemimpin PAS kini masih diuliti mimpi. Mereka memandang bahawa hanya "ulama seperti mereka" berhak memimpin parti, mereka melupakan peranan dan jasa para profesional yang selama ini telah mengangkat darjat dan mertabat PAS di aras yang ada kini. Golongan profesional inilah sebenarnya ulama (golongan berilmu) yang dimaksudkan oleh AlQuran dan Hadis Nabi iaitu sebagai "warisatul-anbiya", dan yang dikatakan sebagai golongan yang gementar hatinya bila disebut nama Allah, bukan ulamak celupan yang sebenarnya hanyalah berstatus "guru mengajar bab ugama" yang tergila-gilakan dunia sehingga sanggup merebut jawatan dengan cara paling kotor dan hina. Paling tinggi pun ulama othodox dalam PAS hanyalah ulamak feqah yang kasar budinya sehingga boleh mengkafirkan orang lain, memaki hamun dan membinatangkan mereka yang tak mereka senangi. (Hal ini akan GB huraikan di dalam tulisan lain... SIAPA SEBENAR ULAMA?)

Ramai ulama othodox, khususnya ulama dalam PAS begitu syok sendiri dengan kemenangan mereka tempohari. TITM misalnya terus dengan agenda mengampu Tuan Presiden siap dengan hujah menyatakan kata-kata Haji Hadi tak boleh dibantah, Haji Hadi tak tertakluk kepada Majlis Syura dan sebagainya. Mentaliti ampu ini adalah mentaliti UMNO sebenarnya sebab seorang Islam sentiasa mengikut apa yang pernah ditunjukkan oleh khalifah-khalifah Abu Bakar dan Umar, "ikut aku selama mana aku ikut Islam dan tegur aku jika aku menyeleweng."

Idris Ahmad, Naib Presiden pula merasa dirinya super-hebat kerana dapat menjadi Naib presiden dengan undi tertinggi. Terlupa dia bahawa kerusi parlimen Bukit Gantang yang dimenanginya itu sebenarnya "warisan" DS Nizar. Rakyat Bkt Gantang mengundi PAS pada PRU13 kerana mereka terkenangkan jasa DS Nizar di perak, kalau kerana Idris Ahmad, dah lama dilingkupkan. Kita tengok nanti pilihanraya akan datang apa akan jadi kepada nasib Naib Presiden PAS yang sudah takbur dan bongkak itu.

Begitulah juga nasib ahli-ahli parlimen dan ADUN-ADUN PAS yang ada kini. Mereka terlupa yang mereka itu menang kerana adanya sokongan kaum bukan melayu, dan selepas ini jangan haraplah mereka akan mengundi PAS lagi.

Kehadiran parti baharu benar-benar meresahkan ulama othodox dalam PAS. Sekarang baru mereka tahu hasil perbuatan kotor dan keji mereka menyingkirkan golongan profesyenal.

Dari laporan yang GB terima, insyaAllah ahli-ahli PAS seluruh negara akan memberikan sambutan yang besar terhadap kemunculan parti Islam alternatif ini. Kita tidak boleh membetulkan PAS dari dalam lagi. Ia dikontrol oleh kumpulan ulama jumud yang ingin membawa PAS 50 tahun ke belakang, ingin membawa PAS kembali ke surau dan gua walaupun Allah telah membawa dan menghantar PAS ke Parlimen dan DUN. Buktinya Presiden PAS sendiri tidak mengendahkan dan tidak mensyukuri kedudukannya sebagai ahli parlimen, mengkhianati amanah dengan ponteng setiap kali parlimen bersidang.

Kemunculan parti baru bakal menghantar sebilangan besar ulama-ulama PAS ke hospital dan IJN. Terkena penyakit lemah jantung. Itulah hukum kebenaran dan keadilan.

Dan insyaAllah, hanya dengan parti baharu dengan rakan-rakan di dalam PAKATAN 2.0 inilah nanti yang akan merealisasikan impian rakyat dengan tertubuhnya kerajaan baru di Putrajaya!

Biar Anjing & Serigala Menyalak, Parti Baharu Tetap Ditubuhkan...

PAS hadapi gelombang penghijrahan keluar selepas Aidilfitri

Krisis dalaman PAS sengaja dibayangkan tidak serius oleh golongan ulama yang mentadbir parti itu sejak Muktamar ke 61, yang memusnahkan sama sekali kepimpinan puak profesional.

Bagaimanapun, riak-riak cemas dalam kalangan ulama PAS boleh dibaca lewat amaran yang mereka berikan terhadap pemimpin dan penyokong puak profesional. Daripada hierarki tertinggi, Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sehinggalah yang lebih bawah, Ketua Penerangan Nasrudin Tantawi dan lain-lain; semuanya memberi ingatan mana-mana pemimpin yang berjuang meninggalkan PAS akan karam.

Mereka memberi contoh parti serpihan seperti Hamim dan Berjasa yang ditubuhkan oleh pemimpin PAS terdahulu akhirnya kalah dalam pilihan raya, mengecil dan tidak berkesinabungan selepas beberapa tahun. Parti Melayu Semangat 46 juga dijadikan ikhtibar. Parti serpihan Umno itu akhirnya dibubarkan dan pengikutnya kembali semula kepada Umno selepas 1996.

Bagaimanapun, puak pro ulama terlupa menjadikan PKR sebagai perbandingan. Parti yang ditubuhkan oleh isteri Anwar Ibrahim ini daripada hanya menang beberapa kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) 1999 bertukar menjadi parti pembangkang paling banyak mendapat kerusi dalam PRU 2008.

Puak profesional berpegang kepada hujah mood rakyat dan kejayaan PKR membulatkan tekad mereka membentuk parti baharu. Bagi profesional tiada guna mereka berada dalam PAS yang tidak menjanjikan peluang dan ruang untuk bergerak. Sedangkan mood rakyat menolak BN tetapi ulama PAS pula ingin bersekongkol dengan Umno. Oleh itu, mereka akan memanfaatkan mood rakyat dan seboleh-bolehnya ingin mengulangi sejarah kegemilangan PKR.


Ura-ura penubuhan parti baharu ini telah menarik minat pemimpin PAS di semua peringkat. Mereka didakwa bosan dengan kepimpinan Hadi yang tidak boleh ditegur dan terlalu mengikut telunjuk think tank parti yang tidak diketahui asas pemikiran atau rujukan.

Penolakan boleh dilihat ketika mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Johor yang hanya dihadiri 11 ahli daripada 26 Kawasan di Johor.


Keluar parti

Mesyuarat pertama itu sepatutnya dihadiri 52 ahli iaitu Yang DiPertua dan setiausaha kawasan di samping Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfudz Mohamad. Tidak lama selepas itu, pemimpin PAS Johor bermesyuarat di Bakri, Muar dihadiri oleh hampir kesemua pemimpin puak profesional. Dalam mesyuarat itu mereka mencapai persetujuan untuk menubuhkan sebuah parti baharu.

Di Kedah, dikhabarkan ketidak puasan hati ahli PAS akan menyaksikan gelombang keluar parti beramai-ramai. Lebih buruk lagi, di peringkat pusat beberapa dermawan yang selama ini memberi sumbangan kepada PAS juga didakwa telah menarik diri.

Dengan kemerosotan sebegitu teruk sokongan pemimpin peringkat kawasan dan cawangan kepada pucuk pimpinan, dijangkakan arus penghijrahan ahli PAS ke dalam parti baharu kelak sangat kencang. Mungkin lebih hebat berbanding penghijrahan ahli Umno ke dalam Parti Keadilan Nasional pada 1999.


Ahli yang tidak berhijrah pula belum tentu akan memberi undi kepada PAS dalam pilihan raya. Jadi asas untuk pemimpin PAS gentar memang wujud. Mereka terbayang kekalahan bertanding di kawasan-kawasan yang kurang 80 peratus pengundi Melayu.

Malah di Kelantan, misalnya Kota Bharu pun belum tentu PAS akan menang. Situasinya mungkin berulang seperti PRU 1978 apabila PAS ditentang tiga penjuru oleh Umno dan parti serpihan Berjasa.

Lebih segar

Apa pun parti baharu dilihat lebih segar kerana tidak mempunyai struktur didominasi ulama yang memiliki kuasa veto. Tidak ada Majlis Syura Ulama atau Dewan Ulama yang merupakan kuasa pemutus dasar-dasar parti.

Semua keputusan dibuat secara demokrasi dalam mensyuarat AJK Pusat. Parti baharu ini mirip kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pimpinan Recep Tayyib Erdogan di Turki, yang memisahkan diri daripada parti Refah yang mirip PAS pada 2001 lalu.

Hanya setahun selepas AK ditubuhkan mereka memenangi PRU Turki pada 2002 walaupun ditentang oleh parti-parti sekular yang berpuluh tahun wujud dan pihak tentera yang menjaga perlembagaan sekular Turki.


Gelombang Erdogan akan sekali lagi melanda Malaysia selepas PKR yang menerima nasihat dari Turki telah mencapai tahap maksimum pada PRU 2013.

Dijangkakan parti baharu yang akan dilancar selepas Hari Raya Aidilfitri ini akan segera dipimpin oleh kalangan ahli parlimen dan ADUN PAS yang berhijrah keluar pada gelombang pertama. -pkrl.blogspot.com

ULASAN GB

Apabila ada cadangan mewujudkan parti Islam alternatif, ada "salakan-salakan" menyatakan kononnya "berdasarkan sejarah", parti serpihan tidak kekal lama, parti baharu tidak ke mana.

Namun kemudian apabila kita buktikan bahawa PAS juga berasal dari sebuah parti serpihan UMNO, Pemimpin PAS Terlupa Bahawa PAS Juga Berasal Dari Parti Serpihan!, terus mereka senyap sepi tidak lagi berani untuk menyatakan parti serpihan tak mampu bertahan lama.

Begitu juga sejarah telah membuktikan PKR yang wujud sebagai parti baharu dan parti serpihan selepas gelombang reformasi 1998. Kini menjadi sebuah parti yang hebat.

Kemudian kelmarin, Presiden PAS di dalam ceramahnya di Pongsu Seribu menyatakan "Biar anjing menyalak, serigala menyalak... qabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.".

Dengan menutup kisah hudud yang gagal dibentangkan melalui Private Bill setelah ditipu UMNO, Haji Hadi masih mahu menyatakan "qabilah berjalan terus".... dan paling aneh semasa private bill disenaraikan di dalam agenda Dewan Rakyat kali kedua, Presiden PAS masih berada di Jepun!

Dan tidak melupakan juga pada sebelum isu Private Bill itu, Haji Hadi telah ponteng sebagai ahli parlimen sewaktu tiga undang-undang penting dibahas dan diluluskan secara undian belah-bahagi iaitu, Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Pindaan Akta Hasutan dan Undang-undang GST.

Itulah sikap Ahli Parlimen Marang terhadap tanggungjawabnya sebagai seorang ahli parlimen!

Kemudian di dalam isu "menyalak" itu, ada juga pihak yang cuba membuat pembelaan kepada beliau, iaitu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan bahawa Haji Hadi tidak tujukan sesiapa. Hj. Abdul Hadi cuma memetik sebuah syair Arab sebagai kiasan.

Sedangkan telah jelas ia ditujukan kepada mereka yang tidak menyokong hudud.

"Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan.


Tidak mengapa, kita juga menggunakan syair yang sama, "biarlah anjing-anjing dan serigala menyalak, parti baharu akan tetap ditubuhkan"....

GB pun tak sebut sesiapa, tak Nak kata apa sekarang?

29 Jun 2015

Asyik Nak Salahkan Orang, Salah Sendiri Tak Nampak

Guan Eng terlalu gopoh

KEPALA BATAS - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah seorang yang gopoh apabila mengisytiharkan PR tidak lagi wujud sedangkan Pas masih belum memutuskan sebarang ketetapan berhubung usul Dewan Ulama mahu parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana Guan Eng tidak merujuk kepada kepimpinan pakatan pembangkang untuk mengisytiharkan bahawa DAP tiada lagi hubungan Pas dan PR juga sudah tidak lagi wujud.

Katanya, Majlis Syura akan mengadakan mesyuarat khusus berhubung isu itu dan beberapa isu lain tidak lama lagi selepas Mursyidul Am, Datuk Dr Harun Din pulang daripada mengerjakan umrah.

“Apa yang berlaku ialah DAP yang memutuskan hubungan dengan PR dan Pas. Jadi, ini sesuatu yang menariklah usul Dewan Ulama Pas Pusat dilaksanakan oleh DAP sedangkan kita belum membuat sebarang keputusan dan ketetapan mengenainya,” katanya selepas ceramah perdana kepimpinan Pas Pusat di Markas Tarbiyah Pas negeri, Pongsu Seribu.

Nasrudin berkata, sehingga sekarang, Pas mempunyai hubungan yang baik dalam PR dan parti komponen yang lain kecuali DAP yang mengambil pendirian untuk memutuskan hubungan dengan Pas dan PR.

Ditanya sama ada tindakan Guan Eng itu mahu menimbulkan sentimen untuk mengelirukan rakyat, Nasrudin berkata, apa yang berlaku merupakan satu provokasi yang cuba dilancarkan sejak awal lagi.

“Apa yang mereka (DAP) nak lakukan, bagaimana mereka nak suarakan dan apa sikap yang mereka nak ambil itu terpulanglah. Namun, sikap (pendirian) Pas sehingga hari ini kita masih bersama dengan PR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan semua lapisan kepimpinan Pas negeri dilantik beberapa perjawatan dalam kerajaan Pulau Pinang untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat seperti biasa.

Mengenai cadangan penubuhan parti politik baharu, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan kumpulan G18, Nasrudin mengibaratkan itu hanyalah fenomena sementara selain ‘demam’ selepas pasca muktamar Pas.

Namun, beliau menasihatkan agar mereka tidak menjadi pengganggu kepada hasrat parti untuk memperjuangkan Islam dan menjadi satu alternatif kepada Umno dan BN dalam mentadbir negara.

“Dengan langkah yang ditimbulkan mereka sedikit sebanyak mengelirukan orang awam dan juga mengganggu kedudukan politik tanah air yang saya kira tak kan ke mana pun,” katanya.

Ditanya mengenai DAP yang didakwa menjalin hubungan baik dengan Pasma dan kumpulan G18 yang disifatkan sebagai pro DAP berbanding pro-ulama Pas, Nasrudin berkata, itu adalah hak rakan sekutunya itu untuk berbuat demikian selain tidak timbul sentimen pro-ulama mahu pun profesional. - Bernama

ULASAN GB

Cukup aneh dan cukup pelik. Asyik nak menyalahkan orang lain sedang diri sendiri yang membuat salah.

Bukankah usul memutuskan hubungan itu dengan DAP itu adalah usul dari Dewan Ulama yang telah diterima secara SEBULAT SUARA?

Mengapa DAP pulak dijadikan sasaran dan bukan Dewan Ulama yang membentangkan usul itu?

Hanya nak membela puak sendiri walaupun salah... itu adalah assabiyah.

Dan katakanlah usul itu tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama, mengapa sampai sekarang Majlis Syura Ulama tidak bermesyuarat untuk membuat keputusannya?

Inilah akibatnya sudah tiada lagi golongan profesional dalam PAS. Semuanya menjadi jumud dan kolot semula. Lembab dan tidak layak lagi untuk memimpin ummah.

InsyaAllah, masa akan menentukan, PAS sudah menjadi semakin tidak relevan di dalam arus politik negara.

Hari Raya ini akan menyaksikan satu "exodus" - penghijrahan berama-ramai dari PAS kepada sebuah parti baharu.

Oh Rupanya Dia Yang Sebenarnya "Menyalak"....

Tindak tanduk pemimpin PAS malukan Islam'

Kepimpinan PAS sekarang tidak mewakili sebuah parti politik Islam yang sebenar, dan juga kadang kala memalukan agama itu, dakwa bekas seorang pemimpin parti itu

Bercakap kepada Malaysiakini, anggota parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata perkara tersebut disebabkan oleh tindak tanduk pemimpin-pemimpin parti.

"Secara keseluruhannya, kami percaya bahawa PAS, atau lebih tepat pemimpin, telah sampai ke titik di mana kedudukan dan tingkah tanduk yang tidak mewakili parti politik Islam yang sebenar.

"Kadang kala ia memalukan Islam di mata orang ramai, orang Islam atau bukan Islam,"
katanya.

Dr Hatta berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam parti, tetapi beliau tidak melihat sebarang usaha serius untuk membetulkan keadaan.

"Sebaliknya, membantah dan pertentangan idea ditafsirkan sebagai menentang ulama," kata bekas pengarah pilihan raya PAS pusat.

Sementara itu, diminta mengulas bagaimana PAS dikatakan memalukan Islam, MP Shah Alam Khalid Samad memberi contoh antara lain keputusan PAS bertanding di Kota Damasara yang menjadi kerusi PKR sejak pilihan raya umum 2008.

Pengerusi PSM Nasir Hashim sepatutnya mempertahankan kerusi DUN bagi penggal kedua atas tiket PKR, namun PAS meletakkan calon menjadikan pertandingan enam penjuru dan akhirnya dimenangi BN.

"Nasir adalah ADUN dan tidak ada rungutan terhadap beliau sejak lima tahun kemudian tiba-tiba pada 2013, PAS letak calonnya sendiri dan tidak memberi penjelasan sebabnya, di samping mengkritik sosialisme, dan begitu dan begini," katanya kepada Malaysiakini.

Langkah itu telah dilabel sebagai pengkhianatan PAS, dan menyebabkan parti itu dikritik hebat.


Hadi panggil penentang hudud ‘anjing’

KEPALA BATAS: Pas akan meneruskan agenda untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan. Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan walaupun terdapat sesetengah pihak yang menolak pelaksanaan undang-undang hudud,parti itu tidak akan berganjak.

Malah mengorak langkah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan di negeri berkenaan.

“Dalam hal ini, Pas mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai. Pas tak mahu berkelahi.

Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah…biar dia sahaja yang bersuara kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak…qabilah berjalan terus sampai ke destinasi,matlamat yang dituju.

“Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak,” katanya pada Ceramah Perdana Kepimpinan Pas Pusat di Markas Tarbiyah PAS negeri, Pongsu Seribu.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan Tantawi dan barisan kepimpinan Pas negeri Pulau Pinang.

Abdul Hadi sekali lagi mengulangi bahawa undang-undang hudud bukan untuk menyeksa penjenayah sebaliknya ia bertujuan mendidik penjenayah selain membela mangsa yang dizalimi.

“Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat yang ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.

“Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit, tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal penjenayah.

Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan kulit,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan anggota-anggota Pas untuk menjaga setiap tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang mempunyai adab,akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota parti.

“Kita kena ingat bahawa selagi kita ikat diri kita di jalan Islam menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik Islam, nama baik jemaah dan perjuangan yang kita bawa.

“Jangan kita tiba-tiba duduk dalam jemaah dan kita mengkritik jemaah yang kita duduk itu. Ia tidak mencerminkan kebaikan akhlak kita kerana seorang yang baik tidak akan keluar daripada mulutnya melainkan kebaikan,” katanya.


ULASAN GB

Memang memalukan.

Rupa-rupanya "anjing" yang menyalak itu ialah orang yang menuturnya.

Hukum kebenaran dan keadian akan berjalan. Tutur yang baik akan menerima hal yang baik sementara tutur yang buruk akan menerima hal yang buruk kepada si penuturnya.

Nabi berpesan "Kullu Kalam Addua" - setiap ucapan itu adalah DOA.

Apabila anda mengungkapkan perkataan ANJING MENYALAK, maka sebenarnya perkataan itu akan kembali kepada diri anda sendiri.

Sebelum ini pun Haji Hadi kerapa menutur perkataan-perkataan yang buruk seperti BARUA, TOLOL dan seumpamanya. Misalnya perkataan BARUA... tiba-tiba BARUA menimpanya - beliau diheret ke kandang orang salah di dalam satu kes saman fitnah pil kuda dan walaupun beliau bebas dari tuduhan itu tetapi Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan "kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah". Dengan automatik jatuh maruahnya kerana telah diisytiharkan "seorang yang mengeluarkan perkataan yang berunsur fitnah". Itulah hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan... BARUA menimpa sipenuturnya.

Begitulah juga dengan penutur-penutur JEBON, MUNAFIK HARAKI, SYAITAN, BABI dan sebagainya.... usah bimbang ia akan kembali menimpa si penuturnya... kerana demikianlah hukum kebenaran dan keadilan (sunatullah) berjalan .. dan Allah berjanji sunnatullah itu tidak berubah ...

Sama dengan kes Najib dengan perkataan HARAMJADAHnya dulu yang ditujukan kepada peneroka FELDA... akhirnya apa jadi? Najib yang ditimpa HARAMJADAH berkali-kali. Saham FGV merudum, Najib dinobatkan PM Kangkong, MH370 hilang, MH17 ditembak, timbul isu 1MDB, Skandal MARA dan banyak lagi...

Hukum kebenaran dan keadilan tidak mengira kedudukan seseorang itu di atas didunia waimma ia seorang PM atau ulama tersohor sekalipun.

Menayalaklah lagi.... ia hanya mendedahkan perwatakan penuturnya sendiri....

28 Jun 2015

[PANAS] Haji Hadi Gelar Penentang Hudud Sebagai Anjing & Serigala!

Isu hudud: Biar anjing, serigala menyalak, kata Hadi

PAS akan meneruskan agenda untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan, demikian ditegaskan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata walaupun ada sesetengah pihak yang menolak pelaksanaan undang-undang hudud, PAS tidak akan berganjak malah mengorak langkah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan di negeri itu.

"Dalam hal ini, PAS mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai. PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah...biar dia sahaja yang bersuara kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak... qabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.

"Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak," katanya pada ceramah perdana kepimpinan PAS Pusat di Markas Tarbiyah PAS negeri, Pongsu Seribu di Kepala Batas malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan dan barisan kepimpinan PAS Pulau Pinang.

Abdul Hadi sekali lagi mengulangi bahawa undang-undang hudud bukan untuk menyeksa penjenayah sebaliknya ia bertujuan mendidik penjenayah selain membela mangsa yang dizalimi.

"Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat yang ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.

"Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit, tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal penjenayah. Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan kulit," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan anggota-anggota PAS untuk menjaga setiap tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang mempunyai adab, akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota parti.

"Kita kena ingat bahawa selagi kita ikat diri kita di jalan Islam menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik Islam, nama baik jemaah dan perjuangan yang kita bawa.

"Jangan kita tiba-tiba duduk dalam jemaah dan kita mengkritik jemaah yang kita duduk itu. Ia tidak mencerminkan kebaikan akhlak kita kerana seorang yang baik tidak akan keluar daripada mulutnya melainkan kebaikan," katanya. -Bernama

ULASAN GB

Selepas BARUA, TOLOL, NYAMUK, kini ANJING dan SERIGALA pula yang keluar dari mulut Haji Hadi.

Kali ini ditujukan khusus kepada mereka yang yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud.

Dan semua orang tahu yang tidak bersetuju dengan hudud ialah DAP dan majoriti kaum bukan Islam.

Apakah kerana tidak bersetuju dengan perlaksaan hudud di Kelantan maka ia mewajarkan Haji Hadi menggelar mereka najing dan serigala? Siapa yang mengajar demikian? Sedang kaum bukan Islam berhak untuk tidak menyokong hudud.. dan apakah mereka perlu ditempelak sebagai anjing dan serigala yang menyalak lantarannya?

Bukankah Haji Hadi sendiri pernah menyatakan "Hudud Bukan Keutamaan" dan "DAP Berhak Tolak Hudud?" Kini apabila mereka menolak hudud di tempelaknya mereka sebagai anjing dan serigala yang menyalak.


Bagaimana kita boleh menempelak dan menyalahkan mereka yang bukan Islam sebagai anjing dan serigala? Apakah mereka mahu dilahirkan sebagai bukan Islam? Bagaimana agaknya jika ditakdirkan dahulu Haji Hadi lahir dari perut ibu seorang bukan Islam?Apakah beliau rela ditempelak sedemikian rupa??>

Dan kedua, hina sangatkah makhluk Allah yang bernama anjing dan serigala itu? Apakah Islam mengajar kita untuk melakukan penghinaan sedemikian rupa terhadap sesama makhluk Allah?

Apakah anjing dan serigala itu mahu dilahirkan sebagai anjing dan serigala? Bagaimana satu ketika dulu atau satu ketika nanti Allah menukar kejadian Haji Hadi sebagai anjing dan serigala pula?

Sebagai muslim, kita mesti taat dan patuh terhadap ajaran agama ISLAM. ISLAM telah menetapkan beberapa peraturan dan hukum berkenaan anjing.

Hukum fiqh terhadap anjing bukanlah bermakna kita mesti menghina dan memandang hina terhadap anjing. Hukum itu mempunyai hikmah tertentu dan wajib kita sebagai muslim mematuhinya, sebagai tanda iman yang kukuh. Kepada anjing dan semua binatang serta makhluq ciptaan ALLAH yang lain, kita tidak wajar menherdik dan melakukan penganiayaan terhadap mereka. Itulah ajaran Islam yang suci.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahwa Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya:

“Tatkala seorang lelaki sedang berjalan pada sebuah jalan terasalah olehnya dahaga yang sangat. Lalu ia mendapati sebuah sumur dan bersegeralah ia meneruninya untuk minum. Ketika keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing menjulurkan lidah sambil menjilat-jilati debu kerana merasa sangat haus.

Lelaki itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti aku tadi” lalu turunlah dia kembali ke dalam sumur untuk memenuhi kasut kulitnya dengan air lalu digigit agar dapat naik kembali. Kemudian ia meminumkan air itu kepada anjing tersebut. ALLAH berterima kasih kepadanya lalu mengampuninya.

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan memperolehi pahala kerana binatang-binatang seperti ini?”

Rasulullah saw menjawab: “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.”


(HR Muslim)

Lihatlah tuan/puan sekalian, betapa ALLAH telah sediakan kebaikan dan pengampunan dosa sekiranya kita berbuat baik kepada binatang-binatang. Malah ALLAH berterima kasih kerana berbuat baik kepada haiwan iaitu salah satu makhluq ciptaanNYA.

Di dalam hadith yang lain, Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Nabi saw telah bersabda yang masudnya:

“Bahawa pada suatu hari yang sangat panas seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah sumur sambil menjulurkan lidahnya kerana kehausan. Ia kemudian melepas kasut kulitnya (untuk mengambil air sumur yang akan diminumkan kepada anjing), lalu wanita itu diampuni dosanya.”

(HR Muslim)

Demikian hebatnya seekor anjing boleh menyelamat seseorang dari masuk neraka apabila kita berlaku baik terhadapnya, bukan menggunakan fitrahnya dilahirkan sebagai seekor anjing untuk sesiapa secara sesuka hati menempelak dan memaki orang lain.

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Watak dan perwatakan Haji Hadi semakin terserlah. Kata-kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri di acara yang sama menyatakan:

Tuan Ibrahim mengingatkan anggota-anggota PAS untuk menjaga setiap tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang mempunyai adab, akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota parti.

Tidakkah wajar perkataan Tuan Ibrahim itu ditujukan kepada Presiden PAS sendiri?

Ulama PAS Jauhkan Bukan Islam Terhadap Islam


Gagasan parti Islam baharu satu keperluan walaupun terlambat, kata aktivis pelajar

Gagasan sebuah parti baharu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini merupakan satu keperluan, khususnya di kalangan anak muda yang berhaluan Islamik, kata aktivis pelajar Fahmi Zainol.

Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu berkata, parti yang sebegitu seharusnya ditubuhkan 5 hingga 10 tahun dahulu lagi.

"Ia satu keperluan, khususnya bagi kami anak-anak muda Islamik yang sudah mampu menilai setiap perkara," katanya yang kini digantung pengajian dan akan kembali menyambung pelajarannya di UM pada Ogos ini.

"Namun apa boleh buat, orang-orang tua di atas sana baru sedar perlu adanya gagasan parti baharu yang bercorakkan parti Islam dengan ciri-ciri kontemporari dan semasa,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Fahmi mengulas cadangan penubuhan sebuah parti Islam baharu yang progresif dan inklusif oleh kumpulan G-18 yang terdiri daripada bekas pemimpin PAS yang tersingkir dari pucuk kepimpinan parti itu.

Pemimpin yang tewas dalam pemilihan PAS awal bulan ini menyifatkan kekalahan mereka secara blok pada Muktamar Tahunan ke-61 itu sebagai "rahmat yang terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Pada pertemuan pertama mereka 16 Jun lalu di Muar, Johor, G18 membentuk jawatankuasa bertindak dengan bekas timbalan presiden Mohamad Sabu dipilih sebagai pengerusi, bekas naib presiden Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai setiausaha dan bekas ketua Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausaha.

Sehingga ini, cadangan penubuhan parti baharu ini mendapat dokongan pelbagai pihak termasuk PasMa, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) yang pro Pakatan Rakyat (PR) dalam PAS, NGO Islam dan juga tokoh masyarakat.

Fahmi digantung pelajarannya selepas menganjurkan majlis untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus UM tahun lalu, di mana pelajar merempuh pintu pagar utama universiti itu untuk membolehkan mereka masuk.

UM memutuskan menggantung dan mendenda beliau dan seorang lagi mahasiswa yang menganjurkan program "40 Tahun Dari UM ke Penjara" Anwar pada Oktober lalu itu selepas hampir 12 jam prosiding tatatertib diadakan Disember tahun lalu.

Fahmi digantung pengajian selama 2 semester dan didenda sebanyak RM600 manakala Pengerusi Pro Mahasiswa (Pro M) Safwan Shamsuddin digantung selama satu semester dan didenda sebanyak RM300.

Prosiding tatatertib itu juga menyaksikan Abraham Au digugurkan pertuduhan dan Khairul Najib Hashim diberi amaran.

Walaupun digantung, Fahmi menjadi pemimpin pelajar yang dihormati di kalangan mahasiswa negara ini.

Beliau diberikan sambutan hangat oleh pelajar universiti seluruh negara dalam jelajah yang dibuatnya bersama rakan-rakan.

Program anjuran PPUM itu diadakan pada 27 Oktober, sehari sebelum berlangsungnya pendengaran rayuan terakhir bekas ketua pembangkang itu di Mahkamah Persekutuan Putrajaya terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan. – 27 Jun, 2015.


‘Pembersihan etnik’ dalam PAS antara punca Sheikh Omar sertai DAP

Sheikh Omar Ali berkata semangat perjuangan demokrasi yang dibawa DAP selari dengan semangat yang dianjurkan Islam, dan berbanding PAS, parti tersebut tampak lebih serius tentang memperjuangkan isu membabitkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Jun, 2015.

Kecewa dengan sikap sebahagian pemimpin PAS yang lebih gemar menjadikan parti Islam itu "eksklusif" dan berterusan dengan polemik lama yang sering dikitar semula, serta "pembersihan etnik" pada pemilihan parti awal bulan ini, Sheikh Omar Ali mengambil pendirian keluar parti dan menyertai DAP.

Bekas penuntut jurusan Usuluddin di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu berpendapat, keputusan pemilihan PAS yang menyaksikan kelebihan dimiliki kumpulan konservatif dari kalangan pro ulama juga menyaksikan parti itu semakin ketinggalan 30 tahun ke belakang.

Keadaan ini berbanding DAP, yang pada pandangan bekas ahli PAS berusia 30 tahun ini, nampak lebih serius dalam memperjuangkan isu yang membabitkan rakyat.

"Agak lama saya berada dalam PAS, namun sikap sesetengah pimpinan parti Islam tersebut yang terus-menerus mengulangi polemik serta titik bengik konflik dalamannya yang terlalu panjang, menyebabkan PAS menjadi begitu ekslusif dan seolah-olah tidak mahu bergerak ke hadapan mendepani isu rakyat.

"Bukan tidak ada figura progresif, namun pasca muktamar lalu seolah-olah menyaksikan satu proses 'ethnic cleansing' yang akhirnya akan membawa semula PAS 30 tahun ke belakang," katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider, merujuk Muktamar Tahunan ke-61 yang diadakan di Kuala Selangor itu.

Bekas penuntut sekolah menengah kebangsaan agama di selatan tanah air itu juga yakin, DAP bukan sebuah parti yang berteraskan jalur perkauman seperti dibangkitkan beberapa pihak yang mendakwa DAP merupakan parti cauvinis.

Sebaliknya, Sheikh Omar berkata, beliau melihat semangat perjuangan demokrasi yang dibawa DAP juga selari dengan semangat yang dianjurkan Islam.

"Saya tidak khuatir dengan 'backfire' yang mungkin diterima dek kerana seorang anak muda Melayu, berlatar belakangkan pengajian agama, menyertai DAP – sebuah parti yang berteraskan semangat demokrasi, yang hakikatnya tiada percanggahan dengan semangat Islam.

"Asalkan sahaja dasarnya tidak berubah, DAP adalah untuk semua rakyat yang bercita-cita melihat perubahan iklim politik kepada yang lebih sihat dan demokratik, tanpa mengira warna kulit," katanya.

Hubungan DAP dan PAS kini semakin keruh, lebih-lebih lagi apabila Muktamar Dewan Ulama mengusulkan supaya parti itu memutuskan hubungan dengan parti sekular itu dan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas di muktamar penuh.

Susulan daripada perkembangan itu, DAP kemudiannya mengambil pendirian dan mengumumkan tamatnya riwayat gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

Ia kemudiannya menyebabkan sekumpulan ahli Parlimen dan bekas pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan, terutamanya mereka daripada kumpulan progresif, menubuhkan G18, juga dikenali sebagai 'Gerakan Harapan Baru'.

Ia sekali gus mencetuskan ura-ura akan wujudnya parti baharu yang akan menjadi alternatif kepada PAS dalam PR.

"Saya memilih DAP kerana saya melihat ada ruang untuk saya mainkan peranan ke arah perubahan di Malaysia," kata Sheikh Omar ketika diajukan pertanyaan sama ada akan menyertai parti baharu itu sekiranya ia ditubuhkan.

"Sekiranya terbentuk parti baharu oleh golongan profesional PAS, saya harap ia benar-benar dapat menjadi elemen penguat ke arah menyatukan barisan pembangkang, termasuklah DAP dan PKR, dalam satu pakatan untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN)."

Sheikh Omar turut berkata, meskipun berlatarbelakangkan pendidikan agama, 'penjenamaan Islam' dalam DAP bukan isu pokok yang menjadi matlamatnya menyertai DAP.

"Bagi saya, Islam adalah pada intipati, ruh, semangat, penghayatan dan diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan sistem serta nilai kehidupan.

"Natijah akhirnya ialah kesejahteraan kepada rakyat dalam bernegara. 'Baldatun toyyibatun, wa robbun ghafur' – negara yang baik sejahtera dan Tuhan maha pengampun," katanya.

Sayap Islamis, atau apa sahaja 'penjenamaan Islam' dalam parti demokratik itu, katanya, bukan isunya.

"Komitmen DAP untuk melawan rasuah, pengagihan kekayaan negara yang berat sebelah, ketirisan, perkauman sempit dan sebagainya adalah intipatinya, walaupun tanpa 'sayap Islamis' atau 'Dewan Ulama'," katanya.

Bekas exco pemuda PAS Johor itu menyertai DAP secara rasmi minggu lepas apabila menyerahkan borang keahlian kepada Penasihat DAP, yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada satu majlis berbuka puasa di Kluang.

Sheikh Omar turut berkata, selain ibu bapa, isterinya turut menyokong tindakannya itu.

"Keluarga saya tiada masalah dengan keputusan ini. Lebih-lebih lagi ibu dan bapa saya. Merekalah sumber kekuatan bagi diri saya untuk berpencak di lapangan politik.

"Rakan-rakan umumnya, serta kenalan dalam PAS, memberikan pandangan yang berbeza-beza. Namun semuanya saya anggap sebagai motivasi, dorongan serta nasihat tanda 'peduli' mereka dalam mengikuti perkembangan karier politik saya," katanya, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Putrajaya.
-TMI




TEMERLOH - 'Perhimpunan Perjuangan Bermula Di Sini' bagi memberi penjelasan mengenai penubuhan parti baharu oleh pemimpin Pas yang tersingkir pada muktamar lalu hambar, walaupun hanya tinggal sebulan sebelum parti itu dilancarkan.

Perhimpunan itu yang menampilkan bekas Menteri Besar Perak, Mohammed Nizar Jamaluddin; bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Awang Ahmad; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; bekas Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairudin Abd Malik dan Ketua Pembangkang Dun Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri itu hanya mampu menarik perhatian kira-kira 200 orang.

Malah terdapat juga sebilangan pengunjung yang meninggalkan perhimpunan itu semasa ceramah yang secara amnya 'menzahirkan' kekecewaan kepada barisan kepimpinan baharu Pas, khususnya terhadap presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad atau lebih dikenali sebagai UAA (Ustaz Awang Ahmad) dalam Pas berkata beliau tidak nampak bagaimana 'kerosakan' dalam Pas sekarang boleh dibaiki kerana 'hasil' muktamar kali ke-61 lalu melahirkan pucuk pimpinan yang sukar untuk berubah.

"Mereka ini duduk sesama mereka dan menamakan diri sebagai ustaz. Saya rasa semua tahu bahawa Pusat (Pas) adalah di Kuala Lumpur, tapi sekarang adalah di Rusila. Apa sahaja semuanya di Rusila," katanya secara sinis.

Untuk rekod, Abdul Hadi juga adalah Ahli Parlimen Marang dan sering memberikan ceramah di Masjid Rusila, di Marang, Terengganu.

Tengku Zulpuri yang juga Adun Mentakab daripada parti DAP pula mendakwa Pas adalah punca kepada krisis dalam Pakatan Rakyat, yang boleh menyebabkan mereka 'berundur 20 tahun ke belakang'.

Disebabkan itu, beliau yakin parti baharu yang akan menyertai Pakatan Rakyat 2.0 itu kelak akan mendapat sokongan jitu kerana penyokong mereka mengharapkan sebuah parti yang bersikap inklusif dan bukan bersikap eksklusif seperti diamalkan Pas.

Pendapat itu dipersetujui Khairudin yang mengatakan bahawa sikap eksklusif itu akan menjadi punca kepada kejatuhan Pas, selain perbuatan memberi gelaran tidak baik kepada ahli yang berani menegur.

"Perbuatan menghina ahli sendiri...menunjukkan contoh yang tidak baik kepada orang bukan Islam... Adakah ini sebuah parti yang dikatakan Islam?," soalnya.

Mohammed Nizar pula berkata, tindakan Pas akan merugikan masa depan parti kerana parti itu tidak mungkin dapat memenangi pilihan raya umum lalu tanpa sokongan masyarakat Cina, dan kaum itu menurutnya telah kehilangan kepercayaan kepada Pas.

Beliau juga meminta maaf kepada masyarakat Cina kerana 'selepas muktamar Pas, harapan untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN) terus hancur dan mengguris hati mereka untuk terus menyokong Pas'.

"Pas mengambil masa selama 50 tahun untuk mendapatkan keyakinan mereka (masyarakat Cina). Selepas 2008, mereka semakin sayang kepada Pas. Saya sendiri di Changkat Jering menang dengan 82 peratus adalah sokongan masyarakat Cina.


"Muktamar kali ini, pelbagai usul buat orang Cina marah. Mereka kata tidak akan sokong lagi. Mana saya nak letak muka? Kalau sekarang saya bertanding, saya juga akan kalah," katanya.

Sehubungan itu, Mohammed Nizar berkata, adalah penting sebuah 'kapal' baharu ditubuhkan untuk terus mendapatkan sokongan rakyat dalam menewaskan BN pada pilihan raya akan datang.

Meskipun perhimpunan itu kurang mendapat sokongan, Mohammed Nizar berkata perhimpunan itu juga dapat didengar secara langsung di Pedas FM yang menurutnya didengar sejuta penduduk.

"Kami telah menjelajah dan orang-orang muda meminta supaya kami percepatkan penubuhan kapal baharu ini, kerana mereka mahu menjatuhkan BN. Tapi kami kena ambil sedikit masa dan apabila ada kapal baharu, ini kekuatan kami untuk menumbangkan BN," katanya.
-Bernama


ULASAN GB

Bukankah tindakan golongan ulama atau konservatif di dalam PAS melalui "cai" mmenyingkirkan golongan progresif menunjukkan bahawa PAS sudah membuang slogan PAS FOR ALL?

Dan yang paling menyedihkan PAS kini sebagai parti yang telah menjauhkan bukan Islam terhadap Islam.

Memberika n imej buruk parti Islam malah agama Islam sendiri terhadap mereka yang bukan Islam....

27 Jun 2015

[OFF-POLITIK] VIDEO - Pelajar Yang Dibelasah Kawan Tidak Pulang Ke Rumah

Pelajar perempuan bergaduh hilang dari rumah

Ibu kepada salah seorang pelajar perempuan yang bergaduh dan visualnya diviralkan di laman sosial meminta anaknya pulang.

Menurut Kilijah Abu Bakar, 45, sejak dua minggu lalu, Nurul Raihan Rahman, 16, didakwanya gagal dikesan.

Ibu kepada enam orang anak itu ketika dihubungi FMT, memberitahu kehilangan anak gadisnya hanya disedari selepas anaknya keluar dari rumah pada 10 Jun iaitu sehari selepas mereka sekeluarga pulang dari bercuti ke Pulau Langkawi.

Katanya, Nurul yang tidak pergi ke sekolah sejak empat bulan lepas selepas bergaduh dengan seorang rakan kelasnya bertukar sikap daripada ceria kepada seorang yang pendiam.

“Dia bergaduh dengan rakan kelasnya sehingga terjatuh ke dalam longkang di sekolah ekoran perselisihan faham.

“Apa yang berlaku itu telah diketahui oleh guru disiplin dan tindakan menukar ke sekolah lain juga telah diambil ke atas rakannya itu,” katanya yang mendakwa rakan Nurul Raihan itu yang telah memulakan pergaduhan tersebut.

Bagaimanapun katanya, Nurul Raihan tetap tidak mahu pergi ke sekolah dipercayai masih lagi berasa malu dengan guru serta rakan-rakannya .

“Itu bukan kejadian pertama Nurul diperlakukan sedemikian oleh rakannya. Sebelum ini dia juga pernah mengalami nasib yang sama tetapi tidak seperti kali ini hingga dia terjatuh ke dalam longkang,” ujarnya lagi.

Kilijah berkata, usaha mencari Nurul Raihan di beberapa rumah rakan yang biasa dikunjunginya juga gagal hingga memaksa mereka sekeluarga membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan pada 14 Jun lepas.

Susulan kehilangan itu, dia yang kini menderita sakit buah pinggang merayu supaya Nurul Raihan, anak kelimanya, pulang segera.-FMT


Pemimpin PAS Terlupa Bahawa PAS Juga Berasal Dari Parti Serpihan!


Mujahid harap Hadi 'lebih matang'

Seorang bekas ahli jawatankuasa PAS pusat berkata beliau berharap kenyataan balas yang lebih "matang" daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pemimpin dan anggota PAS yang mencari pakatan baru di luar parti, berbanding berkata mereka akan "tenggelam".

MP Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof mendakwa bahawa Hadi "memperkecil dan memandang rendah" mereka yang mencari wadah baru di luar parti itu seolah-olah mereka sebagai sebuah "kapal tenggelam atau nyamuk" apabila presiden mengeluarkan surat terbuka kepada ahli PAS.

Dr Mujahid berkata Hadi juga menolak Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang diasaskan oleh segelintir ahli yang tidak berpuas hati, dan bercadang menubuhkan parti politik baru.

"Saya rasa, mana-mana presiden dari mana-mana parti akan bertindak dengan cara yang sama tetapi saya berharap respon beliau perlu lebih matang, dan beliau boleh menghormati hak demokrasi sesiapa sahaja pun untuk membentuk parti baru atau pakatan.

"Jika saya jadi presiden, inilah apa yang saya akan cakap. Saya akan menyuarakan harapan bahawa kita boleh bekerjasama dengan parti baru ini jika kita bersetuju mengenai gambaran yang lebih besar. Kita perlu bekerjasama dengan orang lain demi kepentingan bersama rakyat.

"Tetapi malangnya ia datang daripada mulut seorang presiden yang memperkecilkan hak demokrasi anggota PAS.

"Beliau bukan sahaja memperkecil, malah memandang rendah terhadap mereka (dengan menyifatkan) seperti kapal tenggelam atau nyamuk," kata Dr Mujahid kepada Malaysiakini.

Mujahid berkata beliau tidak boleh menyalahkan Hadi yang dilihatnya seolah-olah "sangat berpuas hati" dengan apa yang beliau ada sekarang dan beliau mempunyai hak untuk menyatakan apa yang beliau rasa.

Mujahid, salah seorang daripada 18 pemimpin progresif PAS menjawab soalan berhubung pandangan Hadi mengenai pemimpin dan penyokong PAS yang mencari wadah baru selepas kekalahan mereka dalam muktmar di Kuala Selangor awal bulan ini.


Hadi Ketinggalan - Suhaizan

Pemimpin progresif PAS yang tewas pada pemilihan awal bulan ini yakin parti politik baharu yang bakal ditubuhkan untuk menggantikan PAS dalam pembentukan Pakatan 2.0 tidak akan 'tenggelam'.

Setiausaha G18, Suhaizan Kayat menyifatkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agak ketinggalan apabila memberi peringatan bahawa ahli dan pemimpin parti Islam baharu itu akan 'tenggelam' apabila ia ditubuhkan.

"Zaman sekarang sudah berubah. Lanskap politik sudah bertukar. Apa yang bakal ditubuhkan G18 ini berbeza dengan sejarah lama.

"G18 bukan dibentuk atas inisiatif satu dua pemimpin serpihan PAS. Ia sebaliknya adalah gerakan rakyat, hasil sokongan rakyat," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini Hadi memberi amaran bahawa pemimpin dan ahli PAS yang menyertai parti dan pertubuhan lain akan 'tenggelam' bersama parti baharu itu.

Kenyataan Hadi disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan bahawa sejarah membuktikan penubuhan parti serpihan PAS tidak mampu bertahan lama.

Mohd Amar menamakan Parti Melayu Semangat 46 dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) sebagai contoh.

Mengulas lanjut, Suhaizan yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat bagaimanapun menolak amaran dan peringatan Hadi.

"G18 berbeza dengan Hamim mahupun parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia). Parti-parti itu ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang mahu bergerak sendiri.

"Bezanya G18 bukan ditubuhkan oleh pemimpin, walaupun yang mengetuainya adalah bekas pimpinan PAS tapi hakikatnya ia didorong oleh sokongan rakyat, bukan sahaja ahli PAS," katanya.

Jelas Suhaizan lagi, G18 kini giat mengadakan pertemuan dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendokong perjuangan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

G18 diketuai bekas Timbalan Presiden PAS yang kalah, Mohamad Sabu.
-mstar


ULASAN GB

Parti baharu akan tenggelam, parti baharu tak tahan lama, parti baharu tak kekal... demikian suara-suara ulama yang merasa terancam dengan kewujudan sebuah parti baharu.

Mereka yang mendakwa parti baharu itu tidak kekal lama dan akan senassib dengan BERJASA dan HAMIM, terlupakan akan sejarah sebenar Parti Islam Malaysia (PAS) sendiri.

Sejarah penubuhan PAS bermula daripada Bahagian Agama UMNO yang sewaktu itu dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan, seorang tokoh ulama dari Terengganu. Ahmad Fuad kemudiannya menduduki jawatan penting di dalam UMNO sebagai ahli MKT dan rapat dengan presiden parti iaitu Dato' Onn bin Jaafar. Haji Ahmad Fuad turut mengetuai sayap ulama di dalam UMNO iaitu PAS.

Apabila berlaku krisis di dalam UMNO yang membawa perletakan jawatan Dato' Onn daripada presiden UMNO, Haji Ahmad menjadi salah seorang daripada calon presiden disamping Tunku Abdul Rahman Putra dan Dato' Zainal Abidin. Tunku Rahman telah dipilih sebagai presiden setelah mengalahkan calon-calon yang lain.

Haji Ahmad dikatakan kecewa serta tidak menerima kekalahan itu sebaliknya beliau keluar dari UMNO dan membawa bersamanya PAS. Pada tahun 1951 PAS ditubuhkan sebagai persatuan yang berasingan daripada UMNO, sebagai sebuah parti politik baru. Ternyata bahawa kemunculan PAS sebagai parti politik adalah serpihan daripada UMNO

Jadi dimanakah letaknya otak kamu wahai pemimpin PAS yang menuduh parti baharu itu akan tenggelam, tidak tahan lama dan sebagainya sedangkan kamu juga kini sedang berada di dalam sebuah parti yang dulunya adalah serpihan UMNO?

G-18, teruskan dengan parti baharu, ramai yang kini sedang menunggu, persetankan semua suara cuba menghalang dan mengganggu!

26 Jun 2015

Kumpulan Ulama Berantakan, Penyokong TITM Dipancung Di Pahang

Penyokong Tuan Ibrahim ‘dipancung’ dalam kabinet baharu PAS Pahang

Kumpulan konservatif dalam PAS bukan sahaja menyingkirkan golongan profesional tetapi juga menolak pihak yang tidak bersama dalam kumpulan mereka.

Di Pahang, dua orang kanan bekas pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin yang dianggap sederhana dalam parti Islam itu, turut disingkirkan.

Dalam pembentukan kabinet PAS Pahang di bawah pesuruhjaya baharu Rosli Jabar, Yusof Embong, bekas timbalan pesuruhjaya 1 yang disebut-sebut sebagai bakal pengganti Tuan Ibrahim, hanya dilantik sebagai ahli perhubungan PAS Pahang.

Nasib bekas ketua penerangan, Suhaimi Saad, lebih teruk lagi apabila tidak dilantik memegang apa-apa jawatan dalam PAS Pahang walaupun sudah lama berada dalam kepimpinan negeri.

Serangan terhadap Yusof bermula sejak sebelum muktamar PAS ke-61 lagi, apabila laman Facebook pro-konservatif Tuc Tok Usin Ceroi menyerangnya.

Turut diserang adalah pembantu Tuan Ibrahim, Ahmad Nazaruddin Mohamed yang didakwa bersekongkol dengan Yusof.


Sekarang ini fokus serangan laman Facebook Tok Usin adalah DAP manakala semua posting lamanya dibuang.

"Hoiiii DAP dan Gobind.... lu sapa barua???? Sejak bila org islam dan kerajaan Kelantan kena dengar cakap dan minta izin lu kalau mau bentang draf hudud dan laksanakan hudud???

"Celaka punya DAP...!!!" tulis Tok Usin dalam posting terbarunya merujuk kepada Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Tok Usin sebelum ini mendedahkan diri dan rangkaiannya melalui penyiaran satu rakaman perbualan dengan Nurul Islam Mohamad Yusof, pegawai media Pejabat Presiden PAS.

Sebelum muktamar, Tuan Ibrahim yang menang jawatan timbalan presiden dalam pemilihan baru-baru ini, menyerang laman Tok Usin dan meminta pemiliknya agar menutup laman itu jika benar mereka sayangkan PAS.

Namun operasi laman Tok Usin diteruskan dengan menyerang DAP. -TMI

ULASAN GB

Demkianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan... untu memperlihatkan siapa sebenarnya geng ulama ini... tidak lain dan tidak bukan jenis berjiwa kotor, gila kuasa dan tamak jawatan.

Bukan sahaja profesional disingkirkan, malah dengan sesama mereka pun jika bukan dari kumpulan mereka akan dipancung dan dicantas.

Itu yang berlaku di Pahang ke atas kumpulan TITM seperti dilaporkan.

Pada pemilihan di muktamar yang lalu, Dewan Ulama PAS Pusat siap menggunakan cai untuk perwakilan memilih kumpulan mereka dan menyingkirkan profesional secara blok. Dengan dibantu oleh cybertrooper ala papagomo sepertu Tok Usin Ceroi, El-Heraki, Alnangi, Huzir Sulaiman dan lain-lain mereka menang besar, hampir 100% dengan cara sedemikian, namun GB pernah mempersoalkan, redhakah Allah dan berkahkah tindakan Dewan Ulama itu?

Sekarang terjawab, mereka berantakan dan akan terus beranatakan sesama sendiri.

Apabila dilakukan kerja-kerja keji sedemikian, bererti ulama-ulama ini telah dan sedang terus merancang untuk menguasai parti sampai mati, dan tiada ruang untuk yang "bukan-ulama" berada di dalam saf kepimpinan.

Dan sewajarnya, golongan profesional memisahkan diri dari "ulama-ulama jahat" ini dan membentuk sebuah parti Islam yang baharu, yang lebih profesional dan lebih mematuhi akhlak Islam. Kita profesional, kita tidak akan jatuh dalam lubang biawak dua kali. InsyaAllah. Biarkan mereka itu yang tenggelam...

Jangan lupa malam ini di Termerloh, Pahang.



Dan esok bersama Mazlan Aliman dan NGO ANAK

Isu Jumpa Nabi: Setelah Dibelasah Mokhtar Senik Padam Posting Di FB


Orang dakwa ‘mimpi nabi’ bersifat riak, kata mufti Perlis

Mereka yang suka mendakwa bermimpi jumpa dengan Nabi Muhammad tertipu dengan perangkap syaitan sehingga mendatangkan sifat riak, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Asri berkata, mereka yang membuat dakwaan sebegini sering memiliki tujuan tertentu seperti menambah pengaruh diri, mengumpulkan harta orang ramai untuk diri sendiri, menyokong puak atau aliran tertentu serta tujuan politik kepartian.

"Bukan sedikit dalam sejarah golongan yang menyeleweng menggunakan dakwaan sebegini untuk menaikkan diri sendiri dan menyokong aliran yang mereka dokongi," tulisnya dalam laman Facebook hari ini.

Komen itu dipercayai sebagai respons terhadap kiriman Facebook Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mokhtar Senik yang mendakwa bermimpi bertemu Nabi Muhammad dan sahabat baginda Umar Al-Khattab berpuluh kali ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting, Perak.

Asri berkata, syaitan tidak boleh meniru ataupun menyerupai Nabi, namun syaitan boleh menyerupai yang lain untuk disangka Nabi datang dalam mimpi mereka.

"Lalu ada kalangan mereka yang tertipu itu mendakwa di depan orang ramai untuk satu kemasyhuran diri ataupun riak mereka bermimpi Nabi.

"Padahal mereka lupa, riak adalah penyakit daripada suntikan syaitan dan mereka jatuh ke dalam perangkap syaitan," katanya.


Mokhtar, yang pernah ditahan ISA kerana terlibat dengan kumpulan Al Maunah pada 2000 yang dituduh cuba melancarkan perang terhadap Agong, menulis pengalamannya, dan berkata antara hiburan Allah kepada mereka semasa dalam tahanan ialah mimpi indah.

"Antaranya kami dikurniakan mimpi bertemu Rasulullah. Sepanjang 3 tahun lebih ditahan di situ, berpuluh kali saya bermimpi didatangi Saidina Umar Alkhattab," tulis ketua Dewan Ulama PAS Pahang itu.

Bagaimanapun, Mokhtar kemudiannya memadam posting tersebut selepas ia mengundang sindiran pengguna media sosial lain. – 25 Jun, 2015.

ULASAN GB

Memang amat memalukan. Seorang yang dikatakan "ulama" cuba mempamerkan kelebihan diri menceritakan kononnya beliau bermimpi bertemu Nabi dan sahabat Nabi.

Pun ramai yang memberikan "Like" terhadap postingnya itu, yang setelah dikecam hebat, maka posting itu pun dipadamkan dari dinding mukabukunya.

Anehnya, orang sebegini menang menduduki jawatankuasa PAS Pusat di dalam pemilihan di muktamar yang lalu.

Sebelum ini ada ramai yang mendakwa jumpa Nabi.


Cuba kita baca apa ulasan Allahyarham TGNA mengenai hal ini:

Tn Guru Nik Abdul Aziz pernah sebut, manusia yang bertemu Nabi ni.. Serupa dengan kita jalan2 tiba2 jumpa duit sejuta...

Bila jumpa duit sejuta ni kite nak heboh ke org lain ke atau nak simpan senyap2? (Tanya tn guru pd audiens)

Ofkos la senyap...

Pahtu... Bila dah ado duit sjuta.. Mulo kito pun beli keto baru, rumah beso sket, pakaian baru.. Dalam keadaan orang sekeliling x tahu pun kito ado duit sjuta.. Tp lihat perubahan pada aset kita..

Srupo la dgn ore mimpi jupo Nabi.. X cito ke ore lain.. Tp orang lain dpat lihat perubahan yang berlaku pada jiwa dan peribadi kite.. Wallahu'alam..

Nukilan dari TGNA yg dirindui.

Dan selepas ini makin ramailah yang mendakwa bertemu Nabi untuk tujuan tertentu.

25 Jun 2015

PAS Tidak Dapat Diperbetulkan Lagi, MSU Kerap Ceroboh Kuasa Eksekutif

Majlis syura PAS semakin kuat kuasai kepimpinan'



Pengaruh majlis syura PAS yang semakin meningkat terhadap perkara-perkara dasar, telah mencetuskan tuntutan terhadap sebuah parti Islam yang baru, demikian menurut beberapa bekas pemimpin parti itu.

Bekas ahli jawatankuasa pusat PAS, Hanipa Maidin berkata majlis itu - eksklusif untuk golongan ulama parti itu - sering mengetepikan idea-idea yang progresif yang bertujuan untuk membawa parti ke hadapan dan menjadi lebih inklusif.

"Kami tak pernah menyangka yang majlis syura menjadi sekuat sekarang. Kami melihatnya sebagai badan penapisan bagi dasar-dasar baru untuk memastikan ianya Islamik," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, majlis syura kini telah menceroboh ke dalam domain eksekutif, dan menyukarkan PAS untuk bergerak ke hadapan.

Hanipa, yang pernah mengetuai biro undang-undang PAS, berkata majlis syura cenderung untuk melihat secara 'hitam dan putih".

Dalam politik, tegasnya, tiada penetapan 'halal' atau 'haram' dan "terdapat banyak kawasan kelabu di mana kita mesti begitu (berhati-hati) untuk mengatakan ini (atau itu) adalah tidak Islamik."

Sebaliknya, kata beliau, perlu ada pendekatan yang kreatif dan fleksibel dalam politik, dan menurut Hanipa, kepimpinan parti itu sekarang tidak terbuka terhadapnya.

"Sebab itu idea ini untuk sebuah parti baru adalah tuntutan popular dari akar umbi. Kita perlu fikir mengenainya dan jika boleh, kita menjadikan idea itu satu kenyataan.

"Ia bukan kita tidak suka PAS [...] tapi kita perlu menghadapinya, saya tak fikir kita boleh perbetulkan PAS buat masa ini," katanya sambil menambah bahawa parti itu sekarang, tidak lagi menjadi tarikan kepada bukan Islam dan profesional Islam.

Politik majmuk

Ahli Parlimen Sepang itu dan beberapa tokoh progresif parti itu kecundang dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam muktamar tahun ini.

Mereka telah bergabung sebagai sebuah badan bertindak, dikenali sebagai G18, untuk memulakan gerakan baru Islam yang inklusif.

MP Shah Alam Khalid Samad secara terbuka telah menyatakan bahawa kumpulan itu akan menubuhkan sebuah parti baru dan lebih inklusif bagi memenuhi objektif bekas Presiden PAS Fadzil Noor.

Ditanya sama ada parti baru akan menghalang senario yang sama sepertimana PAS begitu dipengaruhi oleh majlis syura, seorang lagi bekas ahli jawatankuasa pusat, Dzulkefly Ahmad positif mengenainya.

"Kita perlu menangani semua masalah yang kita hadapi dalam parti kita," katanya kepada Malaysiakini.

"Kami mahu bergerak ke hadapan [...] menghidupkan semula pemikiran Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Fadzil Noor. Bagi Islam sederhana yang inklusif, yang mampu untuk menangani politik majmuk dalam demografi majmuk Malaysia," katanya .

Sentimen ini turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa yang juga menekankan keperluan untuk mengembalikan kuasa dari majlis syura kepada perwakilan parti.

ULASAN GB

Sebelum ini perwujudan Majlis Syura Ulama (MSU) di dalam PAS sebenarnya tidak membawa masalah apa-apa. TETAPI apabila MSU menceroboh kuasa eksekutif, maka peranannya dilihat sudah kesasar dan PAS tidak mungkin dapat diperbetulkan lagi.

Bermula dengan Langkah Kajang, MSU telah bertindak untuk campurtangan dalam hal eksekutif. Pembelaan MSU terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu itu telah menyebabkan ramai yang mempersoalkan, apa hal MSU campurtangan bukan sahaja kuasa eksekutif dalam PAS sendiri tetapi dalam hal parti orang lain.

GB sudah ulas waktu itu, petikan:

Soal integriti adalah soal yang lain. Tetapi soal Khalid tidak mematuhi arahan kepimpinan partinya sendiri adalah jelas satu penderhakaan dan pengkhianatan terhadap partinya sendiri. Apakah Majlis Syura Ulamak mengajar ahlinya supaya tidak ikut arahan kepimpinan parti?.....

Nampaknya Muktamar PAS akan datang perlu membincangkan semula Perlembagaan Parti khususnya berkaitan dengan peranan dan keanggotaan ahli Majlis Syura Ulamak. Ia perlukan penilaian, penelitian dan pemerkasaan semula supaya tidak lagi menjadi alat sekumpulan tertentu di dalam parti/jemaah bagi mencapai matlamat tertentu.

Pada waktu itu, sang menantu Presiden yang bernama Zaharuddin Muhammad menjadi anggota MSU. Beliau adalah Ketua Ugama Kumpulan Peransang Sdn Bhd, satu jawatan politik yang dilantik oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Maka sebab itu, MSU cukup mempertahankan TSKI sebagai MB sekalipun ia tiada kena-mengena dengan soal dasar PAS. Khalid dipecat oleh partinya, mengapa pula MSU yang sibuk-sibuk pertahankan Khalid?

Haji Hadi waktu itu turut mengambil sikap mempertahankan Khalid (khuatir kedudukan menantunya di Kumpulan perangsang terjejas?).

Hal yang kedua, amat memalukan apabila seorang anggota MSU, iaitu Setiausa MSU sendiri, Nik Zawawi bin Salleh menggunakan gelaran "DATUK" yang tidak diketahui dari mana diperolehi pingat itu. Ia satu penipuan malah menyalahi undang-undang negara. Sehingga kini beliau belum tampil untuk menafikan laporan berikut:

c) Nik Zawawi bin Salleh menggunakan gelaran pangkat Datuk yang tidak diperolehi secara rasmi didalam Negara atau mana Gabenor / Sultan atau mana-mana yang diPertuan Negeri dan mana-mana negeri dalam Malaysia. Telah secara berleluasa digunakan semasa di media cetak, media elektronik dan Dokumen Rasmi Kerajaan. Perlakuan ini menyalahi Akta Pemakaian Nama dan Gelaran 1963.

Ini semua menyebabkan kredibiliti Majlis Syura Ulamak tercalar dan keputusan-keputusannya tidak dapat dihormati oleh para ahli.

Dengan perlantikan Dr. Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS menggantikan almarhum TG Nik Abdul Aziz, PAS lebih dilihat sebagai rakan karib UMNO. Kenyataan Dr. Haron Din selaku Mursyidul Am PAS supaya Najib diberi peluang sebahai PM tatkala rakyat mempersoalkan kepimpinan Najib yang sedang meruntuh dan merosakkan negara dengan isu-isu rasuah dan ketirisan wang negara dalam 1MDB, FGV dan yang terbaru penyelewengan pembelian hartaanah di Australia oleh MARA, menjelaskan bahawa seolah-olah PAS rela bersekongkol dengan penyelewengan dan kezaliman UMNO.


Justeru itu seperti kata Hanipa,

"Ia bukan kita tidak suka PAS [...] tapi kita perlu menghadapinya, saya tak fikir kita boleh perbetulkan PAS buat masa ini"

Langkah yang wajar dan tepat ialah tinggalkan PAS dan serta parti baharu pimpinan kumpulan progresif.

Parti Baharu Bakal Cetus Gelombang Reformasi Kedua ...


Kemunculan parti Islam baru untuk semua?

Malaysia tidak lama lagi bakal menyaksikan kelahiran parti Islam baru yang akan membuka pintu kepada semua rakyat tidak mengira kepercayaan dengan syarat mereka bersetuju dengan perjuangan terasnya.

Ini akan menjadi menjadi kenyataan sekiranya PAS tidak memenuhi pendekatan inklusif yang dibina pada masa ini, kata MP Shah Alam.

Tidak seperti PAS, kata Khalid Samad, objektif parti baru itu antara lain lebih kepada memerangi rasuah dan menegakkan keadilan.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata parti itu masih berpandukan kepada prinsip-prinsip Islam.

"Pendekatan kami lebih inklusif. Kami mahu semua kumpulan orang Islam dan bukan Islam bersama-sama kami dan menentang rasuah. Inilah apa yang (Allahyaham bekas presiden) Datuk Fadzil Nor bawa.


"Ia adalah perjuangan Islam berdasarkan kepada prinsip Islam. tetapi jika bukan Islam bersedia untuk menerima asas perjuangan, maka tidak ada masalah (mereka untuk menyertainya)," katanya.

Tidak seperti pemimpin PAS yang lain, Khalid lebih jelas menceritakan mengenai inisiatif baru itu sebagai parti politik yang sedang dalam penubuhan sedangkan pemimpin lain memilih menggunakan perkataan 'platform'.

Ditanya sama ada kumpulan pemimpin progresif yang dikenali G18 mahu menubuhkan parti baru, Khalid berkata:

"Ya, besar kemungkinan jika ia tidak memenuhi visi pendekatan yang inklusif yang dibina pada masa ini.

"Jika ia mula menjadi lebih pendiam, lebih nak halau orang keluar keluar, nak yang suci murni saja bersama dia, maka sudah tentu pendekatan itu (tubuh parti baru) kami mahu," katanya.

Perincian mengenai parti itu masih di peringkat awal, kumpulan pemimpin progresif itu merancang untuk menarik sokongan profesional, aktivis, pemimpin NGO Islam atau bukan Islam. -mk


Pakatan Rakyat Baru Direstui Anwar?

Perkembangan terkini dalam blok pembangkang menunjukkan bukan saja sebuah parti Islam baru bakal wujud tidak lagi, bahkan juga akan disusuli dengan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang benar-benar beraspirasi mahu menggantikan BN mentadbir negara ini.

Setelah kumpulan progresif Pas yang menggelarkan diri mereka G18 mengadakan beberapa pertemuan, seorang daripada anggotanya, Khalid Samad hari ini mengesahkan mengenai penubuhan sebuah parti Islam baru itu.

Katanya, parti baru itu berkonsepkan untuk semua tanpa mengira kepercayaan dengan teras perjuangannya ialah untuk memerangi rasuah dan menegakkan keadilan kepada rakyat.

Sebelum ini beberapa pemimpin progresif Pas seperti Mohamad Sabu, Nizar Jamaluddin dan lain-lain turut membayangkan perkara yang sama yang sekaligus menunjukkan mereka ini sudah tawar hati dengan trend perjuangan yang dibawa oleh Pas pro ulama sekarang.

Pada malam semalam juga, kumpulan G18 ini turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama PKR dan DAP di kediaman bekas Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaafar yang dipercayai sebagai tanda-tanda awal kepada penyusunan semua Pakatan Rakyat yang dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

Antara pemimpin PKR yang hadir dalam pertemuan itu ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua, Johari Abdul, Saifuddin Nasution dan Shamsul Iskandar manakala daripada DAP pula ialah Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan beberapa yang lain.

Dengan adanya pertemuan tersebut serta kehadiran pemimpin utama PKR dan DAP, kebarangkalian paling nyata ialah bukan saja penubuhan sebuah parti Islam baru akan menjadi kenyataan tidak lama lagi tetapi juga penyusunan semua Pakatan Rakyat yang lebih mantap dan kuat.

Adalah dijangkakan sebaik saja parti baru itu disahkan penubuhannya, ia akan terus memohon menyertai Pakatan Rakyat atau PKR dan DAP sendiri yang akan mencadangkan kemasukannya ke dalam gabungan pembangkang.

Ia akhirnya terserah kepada Pas sama ada mahu terus kekal bersama Pakatan Rakyat atau secara sukarela "mencari selipar dan berlaku pergi" meninggalkan gabungan itu.

Jika Pas mahu terus kekal, bermakna Pakatan Rakyat baru ini akan dianggotai oleh empat parti, tetapi kiranya Pas memilih untuk mengundurkan diri ia akan kekal dianggotai oleh tiga parti.

Pertemuan kumpulan G18 dengan pimpinan PKR dan DAP ini diadakan hanya beberapa jam selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan daripada Penjara Sungai Buloh yang melahirkan keyakinan bahawa gabungan pembangkang akan menjadi lebih kuat setelah melalui penyusunan semulanya.

Sambil menegaskan bahawa Pakatan Rakyat masih berfungsi sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen, Anwar berkata, barisan pembangkang selepas disusun semula dengan kekuatan baru, termasuk sokongan NGO-NGO, akan muncul lebih kuat dan bersatu selepas ini.


Beserta ikrar tidak akan meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan, Anwar ternyata tidak sekadar membaca buku dan mengaji Al Quran saja ketika mendekap di penjara.

Sepertimana jangkaan banyak pihak sebelum ini, kehidupan di penjara tanpa tekanan dan gangguan akan membuatkan Anwar lebih bebas berfikir dan merangka strategi yang lebih baik untuk kepentingan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Serentak dengan itu, tidak disangsikan lagi bahawa penubuhan parti Islam baru dan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang sedang direncanakan ini adalah dalam pengetahuan dan restu Anwar sepenuhnya.

Di luar atau dari dalam penjara, Anwar nampaknya sentiasa ada untuk politik Malaysia.
-Shahbudindotcom


ULASAN GB

Ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi sungguh teruja dengan kehadiran parti dari kumpulan progresif.

Mereka yakin dengan para profesional yang sekalipun tewas di dalam pemilihan PAS, namun di atas usaha merekalah PAS berjaya mencai era kecemerlangannya di arena politik tanahair.

Era kecemerlangan ini akan berulang, kali ini dengan sebuah "kapal baru", malah di bawaha Pakatan yang baru, dinamakan Pakatan 2.0.

Yang nyata, parti baharu ini mempunyai misi dan visi yang jelas. Ia benar-benar sebuah parti yang profesional dipimpin oleh tenaga profesyenal yang masih mempunyai dasar Islam yang kental.

Kehadiran beberapa NGO yang turut menyokong parti baharu ini seperti PASMA, IKRAM, ABIM dan lain-lain akan menjadikan parti baharu ini seperti parti AKP yang dipimpin oleh Erdogan di Turki.

Dan jika dulu Anwar pemimpin gerakan Reformasi 1998 yang buat pertama kali telah berjaya membangkitkan kesedaran rakyat sehingga sejak itu UMNO BN gagal untuk mencapai majoriti dua pertiganya di parlimen, kini gerakan reformasi kedua bermula, dipimpin oleh tenaga progresif insyaAllah bakal menamatkan rejim pemerintahan kerajaan UMNO BN digantikan dengan "Pakatan Rakyat" yang sebenarnya.

24 Jun 2015

Kumpulan G-18 Ganti PAS Dalam PAKATAN 2.0


Penubuhan pakatan pembangkang baharu dibincang semalam?

Sekumpulan pemimpin progresif PAS yang menggelarkan diri mereka sebagai G-18 mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR dan DAP semalam.

Pengerusi jawatankuasa bertindak G-18, Mohamad Sabu berkata, pertemuan di Kuala Lumpur semalam berjalan dengan baik dan dihadiri pemimpin kanan PKR dan DAP.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, selepas Ramadan nanti, G-18 akan membuat pengumuman rasmi mengenai masa depan politik mereka.

"Ia sangat berjaya dengan semua pemimpin kanan menyertainya," kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada The Malaysian Insider, tanpa mahu mengulas panjang.

Ditanya sama ada terdapat perbincangan menubuhkan pakatan pembangkang baharu, Mat Sabu berkata: “Tunggulah lepas raya nanti.”

Semalam, hampir kesemua anggota G-18 yang tewas dalam pemilihan lepas menyertai majlis berbuka puasa di rumah bekas setiausaha agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar, di Kemensah Heights, Kuala Lumpur.

Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat mengesahkan kehadiran pemimpin kanan PKR dan DAP.

"PKR datang dengan diketuai presidennya sendiri Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) manakala DAP juga datang," kata Kamarudin kepada The Malaysian Insider.

Selain Dr Wan Azizah, antara yang turut hadir dari PKR ialah Chua Tian Chang atau Tian Chua, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Johari Abdul dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR dikatakan tidak sempat hadir kerana terlibat dengan program di Kuala Selangor.

DAP pula disertai Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan lain-lain.

Dipihak G-18 pula, selain Mat Sabu, turut hadir ialah Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof, Asmuni Awi, Dr Mariah Mahmood.

G-18 sedang dalam siri pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan, susulan penubuhan jawatankuasa bertindak pada 16 Jun lalu di Muar, Johor. –TMI.


Pembangkang bincang tubuh Pakatan 2.0?

Pada hari yang sama bekas ketua pembangkang menyeru penyusunan semula dan muncul pembangkang yang kuat, para pemimpin gabungan pembangkang itu dilihat mengadakan satu pertemuan.

Sekeping foto menunjukkan sekumpulan anggota parlimen dan pemimpin progresif PKR, DAP dan PAS duduk bersama-sama dalam satu kumpulan dengan dilaporkan mereka berbincang menubuhkan Pakatan 2.0.

MP Teresa Kok yang memuatnaik gambar tersebut dalam laman Facebooknya semalam berkata ia diambil dalam satu majlis berbuka puasa di rumah anggota parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar di Kuala Lumpur malam tadi.

"Ketika keputusan muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi malam ini ia seolah-olah memberi harapan lahirnya Pakatan Rakyat 2.0," tulis beliau.

Antara pemimpin yang hadir dalam gambar tersebut ialah bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, tokoh DAP Lim Kit Siang, bekas naib presiden Salahuddin Ayub, MP Shah Alam Khalid Samad, MP Sungai Petnu Datuk Johari Abdul, penyanyi dan ahli PAS Wan Aishah Wan Ariffin dan Naib Presiden PKR Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.
-mk



Aktiiviti Pertama G-18 Harapan Baru

Laporan Polis Berhubung Isu FGV oleh ANAK dan Isu Pembelian Hartanah Mara di Melbourne oleh G18 Harapan Baru.

Tarikh :
25hb Jun 2015 (Khamis)

Jam :
11 Pagi

Lokasi :
IPD Dang Wangi, KL.

Semua Media dijemput hadir.
Sekian, Terima Kasih.

SUHAIZAN KAIAT
Penolong Setiausaha
G18 HARAPAN BARU

Semua pls come n join
ULASAN GB

InsyaAllah, PAKATAN 2.0 bakal muncul di persada politik tanahair menggantikan Pakatan Rakyat. Kali ini kita berharap ia tanpa PAS. Terlalu banyak masalah apabila PAS berada di dalam Pakatan Rakyat. PAS tidak layak untuk berkawan dengan sesiapa pun.

Biarlah PAS bersendirian. PAS merasa dirinya sudah cukup bagus, dah cukup kuat sehingga membuang semua profesional yang telah banyak berjasa kepadanya. Malah PAS sudah tidak memerlukan undi kaum Cina lagi apabila presidennya sendiri secara sinis, bongkak dan angkuh menyatakan “Kita (PAS) sedia kerja dengan semua parti yang tidak cauvinis". Dia tak sebut DAP tapi itulah maksudnya sedangkan selama ini DAP banyak membantu PAS di dalam pilihanraya.

Semalam GB sudah ulas, petikan:

Dan semalam G-18 bersama pimpinan PR telah hadir bersama-sama di dalam satu majlis berbuka puasa. Sekalipun PAS telah mengusulkan putus kerjasama dengan DAP, sehingga menyebabkan DAP dan PKR membuat keputusan Pakatan sudah tidak wajud lagi, maka pertuemuan semalam adalah satu permuafakatan untuk Pakatan 2.0 tanpa melibatkan PAS lagi. InsyaAllah ia akan lebih kukuh dan lebih kuat, lebih cemerlang dan gemilang demi menghadapi PRU14 nanti. PAS jangan pula segan dan malu untuk terima pelawaan Chua Soi Lek, untuk bersama UMNO dan BN.... kalau tak memang tenggelam habis pru nanti...
Mustafa Ali pasti gembira dengan pelawaan sahabat baiknya itu...




Parti Baharu: Bukan Gila Jawatan Tetapi Untuk Pakatan 2.0


Siapa Tenggelam Dan Siapa Bimbang?

Kewujudan sebuah parti baru yang bakal diterajui oleh kumpulan progresif Pas yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini nampaknya semakin hampir menjadi kenyataan.

Tidak saja PasMa dengan penuh yakin mengumumkan penubuhan parti baru itu akan direalisasikan tidak lama lagi bersama beberapa NGO dan bakal menjadi pengganti kepada Pas dalam Pakatan Rakyat, bahkan kumpulan progresif itu sendiri sudah ada jenamanya sendiri yang dinamakan G18 yang sekaligus menggambarkan iltizam untuk terus mara ke hadapan dengan wadah baru dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang bersama kenangan silam.

Kumpulan G18 ini turut mempunyai jawatankuasa penajanya yang diketuai oleh Mohamad Sabu manakala timbalannya pula ialah Salahuddin Ayub yang ditawarkan oleh Pas menduduki kerusi Ahli Jawatankuasa lantikan bersama Mahfuz Omar dan Mohd Taufek Abdul Ghani, dua hari lalu.

Maka, tidak syak lagi tawaran yang dibuat kepada Salahuddin itu ada maksudnya yang terselindung.

Dalam perkembangan yang sama, PasMa akan terus kekal sebagai NGO yang bersama-sama mendukung perjuangan Pakatan Rakyat bagi mencapai hasrat mengambil alih pentadbiran negara ini daripada BN.

Sumber yang dekat dengan kumpulan progresif juga memberitahu, parti baru itu sebenarnya sudah pun ada melalui pengambilalihan sebuah parti yang sudah lama ditubuhkan tetapi selama ini tidak aktif. Ia hanya menunggu masa untuk diumumkan saja lagi.

Kemungkinan juga parti yang diambil alih itu akan menjalani proses pertukaran nama bagi menyesuaikannya dengan perjuangan Islam yang progresif, moden dan inklusif yang mahu dibawanya nanti.

Bagi kumpulan progresif ini, penubuhan sebuah parti baru tidak dapat dielakkan lagi berikutan Pas pro ulama sekarang lebih condong untuk mempertahankan Najib Razak serta mempunyai kecenderungan mahu bekerjasama dengan UMNO berbanding menumbangkan BN.

Beberapa kenyataan Presiden Pas, Haji Hadi Awang seperti Najib wajar terus dikekalkan sehingga habis tempohnya kerana telah dipilih melalui sistem yang sah dan "UMNO tidaklah seburuk Firaun", jelas menggambarkan pendirian berbeza parti itu ketika ini.

Demi meneruskan perjuangan menukar kerajaan BN bersama Pakatan Rakyat, kumpulan progresif tidak melihat ada pilihan lain selain mencari wadah baru, tambahan pula keseluruhan mereka sudah "disapu licin" daripada menduduki kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Sesetengah yang lain seperti bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman, mereka juga sudah "ditanam" ketika pemilihan di peringkat kawasan lagi.

Serentak dengan keyakinan yang membuak-buak daripada kumpulan progresif terhadap parti baru itu sehingga anak bekas Presiden Pas, Faiz Fadzil juga mengatakan jika arwah ayahnya, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor masih hidup ketika ini, pasti beliau turut menyokong penubuhannya, Haji Hadi Awang secara tiba-tiba mengeluarkan surat terbuka mengingatkan agar jangan sesiapa meninggalkan Pas.

Beliau seterusnya memberi ingatan bahawa berdasarkan sejarah, sudah ramai pemimpin tertingginya yang meninggalkan Pas untuk menyertai parti atau pertubuhan lain, akhirnya akan tenggelam begitu saja.

Tanpa menyebut nama atau ditujukan kepada sesiapa tetapi tentulah difahami ia ditujukan khusus kepada kumpulan progresif G18 dan PasMa, beliau juga menyeru mereka yang terbabit supaya istiqamah dalam perjuangan dengan mengambil contoh apa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dahulu.

Soalnya, kenapa Haji Hadi berasa sangat perlu mengeluarkan surat terbuka dan mengingatkan tentang timbul dan tenggelam kepada kumpulan progresif itu?

Bukankah mereka sudah ditenggelamkan oleh kumpulan ulama dalam pemilihan baru-baru ini?

Dan mereka menubuhkan parti Islam baru yang sesuai dengan kehendak rakyat serta bersandarkan aspirasi berbilang kaum masyarakat di negara ini adalah untuk menjadikan diri mereka terus timbul dalam persada politik negara ini.

Memilih untuk timbul bersama Pakatan Rakyat adalah pilihan yang jauh lebih baik daripada tenggelam dalam mempertahankan Najib dan UMNO.

Haji Hadi juga tidak harus selama-lamanya bersandar kepada sejarah dalam menghukum sesuatu yang belum berlaku kerana sejarah sentiasa mencipta perkara-perkara yang baru dan bukannya statik mengikut acuan sebelumnya.

Mana tahu sejarah kali ini mencatitkan bahawa mereka yang meninggalkan Pas akan terus timbul dan hidup, manakala yang kekal bersamanya pula akan tenggelam.

Atau barangkali Haji Hadi memberikan ingatan itu kerana jauh di sudut hatinya sudah mula terselit rasa bimbang tentang masa depan yang suram akibat ketiadaan kumpulan progresif dalam Pas nanti? -shahbudindotcom

ULASAN GB

InsyaAllah, semuga segala-galanya dipermudahkan Allah swt.

Namun ada juga yang dari penyokong grup ulama yang menyatakan bahawa penubuhan parti baharu itu hanya kerana mereka dari kumpulan proresif itu telah kalah di dalam pemilihan. Jadi menurutnya asas pembentukan parti baharu sudah tidak betul..

Ingin kita tegaskan bahawa penubuhan parti baharu bukan kerana progresif kalah dan tiada jawatan. Tetapi kerana sikap tamak dan fitnah puak ulamak yang menggunakan taktik kotor dan keji untuk menang. Jadi asas pembentukan parti baru adalah benar, malah wajib apabila PAS sudah terpesong jauh dari perjuangan Islam, dengan menghalalkan cara-cara yang tidak Islam di dalam pemilihan..

Dahulu betul Mat Sabu tak mahu tubuh parti baharu sebab disangkanya para ulama akan bersikap "profesional" seperti mereka di dalam pemilihan. Rupa-rupanya para ulama meniru gaya UMNO untuk mencapai kemenangan iaitu dengan cara fitnah, dengan caci-maki, dengan cai, dengan label-melabel dan seumpamanya. Jadi tak salah untuk Mat Sabu membatalkan hasratnya yang dahulu dan kemudian membuat keputusan baru. Itulah politik, itulah kebijaksanaan. Kaum profesyenal tidak mahu dan tidak mmudah jatuh ke dalam lubang biawak dua kali. Itulah ppemimpin yang profesyenal bukan macam ulamak yang dah lapan kali masuk lubang biawak...

Berkiblatkan PKR dan DAP? itulah fitnah dari grup ulama terhadap progresif. Tahaluf siyasi bukan maksud berkiblat. Habis sebelum ini sebelum berkrisis PAS, bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP ok pulak.

Dan semalam G-18 bersama pimpinan PR telah hadir bersama-sama di dalam satu majlis berbuka puasa. Sekalipun PAS telah mengusulkan putus kerjasama dengan DAP, sehingga menyebabkan DAP dan PKR membuat keputusan Pakatan sudah tidak wajud lagi, maka pertuemuan semalam adalah satu permuafakatan untuk Pakatan 2.0 tanpa melibatkan PAS lagi. InsyaAllah ia akan lebih kukuh dan lebih kuat, lebih cemerlang dan gemilang demi menghadapi PRU14 nanti. PAS jangan pula segan dan malu untuk terima pelawaan Chua Soi Lek untuk bersama UMNO dan BN....