12 Jun 2013

[BERGAMBAR] Bot Terbalik Di Dungun, Dua Nelayan Dikhuatiri Lemas


Orang ramai mengerumuni pantai Sura untuk menyaksikan operasi mencari dan menyelamat bagi mengetahui perkembangan terkini tentang nasib yang menimpa dua sahabat yang masih hilang itu. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ

Seorang nelayan terselamat manakala dua lagi rakannya dikhuatiri lemas apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pantai Sura Hujung, dekat sini semalam.

Kejadian pukul 4.45 petang itu menyebabkan dua nelayan berkenaan, Mohd Saifuddin Shafie, 18, dan Halim Hurus, 22, hilang manakala Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri darat, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.

Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke dalam laut.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata seorang daripada nelayan itu iaitu Mohd Mazli diselamatkan oleh penduduk tempatan yang berada di tepi pantai dan melihat kejadian itu.

Beliau berkata Mohd Mazli yang lemas dan tidak bermaya kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun.

“Sehingga pukul 8 malam tadi, gerakan mencari dua lagi nelayan itu masih diteruskan melibatkan anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita di sini.

Dahlan berkata ketiga-tiga nelayan itu yang berasal dari Kampung Sura Hujung keluar menangkap ikan sejak pagi.

Sementara itu, Hamidi Hurus, 19, ketika ditemui di hospital berkata ketika kejadian beliau berada di tepi pantai menunggu kepulangan abangnya, Halim.

“Masa itu saya melihat bot yang dinaiki abang berpusing saya nampak dengan jelas mereka semua tercampak ke laut,” katanya.

Hamidi berkata dia hanya berjaya menyelamatkan Mohd Hazli manakala abangnya dan seorang rakan lain hilang. – Bernama

Tragedi tiga sahabat

DUNGUN – “Tiba-tiba saya lihat bot yang mereka naiki berpusing, ketiga-tiganya tercampak dalam air, saya lihat mereka tenggelam timbul namun saya tak dapat buat apa-apa,” kata Hamidi Shafie, 19, adik kepada Halim Hurus, 22, salah seorang daripada mangsa lemas di Pantai Sura, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, bot gentian kaca berukuran kira-kira empat meter panjang dinaiki tiga sahabat itu dikatakan berpusing sebaik menghampiri pantai menyebabkan Mohd Shabudin, Halim Harun, 22, serta Mazli Muhammad, 30 tercampak ke dalam laut.

Ketika kejadian, mereka bertiga dalam perjalanan pulang ke pantai selepas keluar menangkap ikan di perairan Dungun kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Menurut Hamidi, kejadian cemas itu sempat disaksikannya kerana dia ketika itu berada di tepi laut menunggu kepulangan tiga sahabat itu.

Katanya, dalam keadaan cemas, dia terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum bot terbabit hanyut ke tepi pantai, lalu menghidupkan enjinnya semula dan memandu ke arah tiga rakan yang lemas itu.

Hamidi menceritakan, sebaik berjaya merapati lokasi sahabat itu lemas, dia terpandang kelibat Mazli lalu terus memautnya ke dalam bot.

"Ketika saya memaut Mazli ke dalam bot, dia beberapa kali menyebut nama Halim, saya cuba mencarinya namun dia sudah hilang dari pandangan.

“Saya kecewa sebab tak dapat selamatkannya," kata Hamidi yang masih trauma dengan kejadian menimpa abang dan rakannya itu.

Turun kali kedua cari mangsa

Hamidi kemudiannya membawa Mazli ke darat sebelum turun semula ke laut memandu bot untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.

Hamidi berkata, selepas tiba kali kedua di lokasi mangsa hilang, dia gagal mengesan dua mangsa, lalu pulang semula ke darat sebelum pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilaporkan masih hilang itu.

Sementara itu, penduduk, Nasir Ismail, 48, berkata, Mazli dan dua rakannya yang masih hilang itu merupakan sahabat baik dan mereka dikatakan sering turun ke laut bersama untuk menangkap ikan.

Nasir berkata, sebaik menerima berita kejadian lemas itu, dia yang tinggal berdekatan bergegas ke pantai dan sempat memberi pertolongan kepada Mazli sebaik mangsa dibawa ke darat.

“Ketika itu dia sudah tidak bermaya. Saya beberapa kali cuba mengajarnya mengucap tapi dia tidak sedarkan diri, tak tahulah nasibnya bagaimana,” kata Nasir yang bekerja sebagai pemandu trak tunda.

Ibu doa anak ditemui

Ibu Sahbudin, Mariam Mat Ali, 54, ketika menyaksikan operasi mencari anaknya itu menceritakan, anaknya sebelum itu dikatakan tidak pulang ke rumah dan dia berkemungkinan bermalam di rumah Halim untuk memudahkan dua sahabat itu turun ke laut pada awal pagi.

Mariam berkata, mangsa, anak ketujuh daripada 10 beradik itu merupakan bekas pelajar kelas pendidikan khas sekolah Menengah Kebangsaan Sura dan turut mempunyai kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, sebaik pulang kerja, dia terkejut apabila dimaklumkan anak lelakinya yang mesra dengan panggilan Syamil itu lemas di laut.

“Bila diberitahu Syamil lemas di laut, saya rasa tiada harapan lagi. Apa pun saya berdoa dia segera ditemui,” kata Mariam yang kelihatan sugul.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat memaklumkan, gerakan mencari mangsa diteruskan.

Gerakan mencari juga turut melibatkan penduduk kampung. Sehingga jam 9 malam, keadaan Mazli dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Dungun, manakala operasi mencari dan menyelamat dua lagi yang masih hilang diteruskan.

Sabtu lalu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurul Nabilah Zubir menjadi mangsa lemas ketika sedang mandi-manda di pantai Teluk Gadung, kira-kira 500 meter dari lokasi tragedi lemas membabitkan tiga sahabat itu.

Ia kejadian kedua dalam tempoh seminggu.
-SH


Abang Sahbudin, Mohd Shahrizam (kiri) memeriksa beg pinggang, dipercayai milik Halim yang ditemui di permukaan laut berhampiran lokasti dua sahabat itu dilaporkan hilang. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ

Penduduk kampung turut membantu mencari dua mangsa yang masih hilang dengan menggunakan bot gentian kaca. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ



TERKINI Mangsa terakhir bot gentian kaca terbalik ditemui

DUNGUN - Gerakan mencari dua nelayan yang hilang selepas bot gentian kaca yang mereka naiki terbalik di perairan Pantai Sura Hujung di sini semalam, ditamatkan setelah mayat mereka ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata mayat Mohd Saifuddin Shafie, 18, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 5.25 petang ini.

Terdahulu mayat seorang lagi nelayan, Halim Hurus, 22, ditemui kira-kira 1 pagi ini setelah terdampar di persisir pantai kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang semalam, tiga nelayan terhumban ke laut setelah bot yang mereka naiki terbalik. Seorang daripada mereka, Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan penduduk tempatan yang berada di tepi pantai.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri daratan, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.

Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke laut.
- Bernama

Ali Rustam Pun Failkan Petisyen Jugak?


Ali Rustam ada bukti gambar

AYER KEROH - BN Melaka memfailkan dua petisyen pilihan raya bagi membantah keputusan PRU13 membabitkan kerusi Parlimen Bukit Katil dan Dun Bukit Baru.

Petisyen berkenaan difailkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di mahkamah tinggi di sini menerusi Rosfinah Rahmat dari Tetuan Rosfinah & Co serta Adli Ithnin dari Adli & Co kira-kira jam 3 petang semalam.

Sementara itu, Mohd Ali, ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan telah memfailkan dua petisyen pilihan raya bagi membantah keputusan PRU13 membabitkan dua kerusi berkenaan.

Menurutnya, petisyen itu dibuat selepas ada individu daripada PR didakwa berkempen sehingga ke depan pintu bilik mengundi.

Selain itu, katanya, pihak terbabit juga didakwa telah mengambil barang yang tertinggal di dalam beg peti undi yang dibawa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika dalam perjalanan.

“Kita ada gambar sebagai membuktikan tindakan ini. Mengikut undang-undang beg peti undi tidak dibenarkan dibuka ketika pegawai SPR sedang membawanya,”
katanya.

Pada PRU13 lepas, Mohd Ali, yang juga bekas Ketua Menteri, tewas di Parlimen Bukit Katil kepada Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang mendapat majoriti 5,477 undi.

Di Dun Bukit Baru pula, Karim Yaacob, yang juga Ketua Pemuda Umno Melaka, tewas kepada Dr Md Khalid Kassim dari Pas, yang mendapat majoriti 48 undi. -SH

Ulasan GB

Dulu Ali Rustam tuduh kaum Cina tak bagi undi kepadanya yang menyebabkan beliau kalah di Palimen Bukit Katil.

Sekarang semasa memfailkan petisyen lain pula dakwaannya.

Samada sahih atau tidak dakwaan Ali Rustam itu, ia adalah hal yang lain, namun aduannya menyatakan ada individu daripada PR didakwa berkempen sehingga ke depan pintu bilik mengundi agak menarik untuk diberikan ulasan.

Biasanya jika ada individu terutama PR melakukan kerja berkempen di pusat mengundi, bukankah di pusat mengundi apatah lagi di bilik mengundi itu ada petugas-petugas SPR yang bertugas dan boleh menahan mereka?Dalam hal ini ada gambar tak Tok Ali untuk melihat dan mengenalpasti siapakah gerangan yang berkempen itu? Jika tak da gambar tak dapatlah nak dijadikan alasan jika semata-mata membuat tuduhan rambang sedemikian. Silap gaya orang UMNO BN yang berbuat begitu.

Dan dari gambar yang ada, nampaknya Tok Ali sendiri yang berkempen sampai di depan pintu bilik mengundi! tengoklah ni.


Kedua mengenai pihak terbabit yang juga didakwa telah mengambil barang yang tertinggal di dalam beg peti undi yang dibawa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika dalam perjalanan.

Seperkara lagi siapa "pihak yang terbabit" itu? Yang berkempen itukah?

Nampaknya Tok Ali sendiri tak percaya kepada SPR!

Ambil barang yang tertinggal di dalam peti undi, bukan memasukkan sesuatu di dalam peti undi?

Sandaran dan alasan Tok Ali memfailkan petisyen nampaknya tak cukup kuat sekalipun dikatakan ada gambar kerana gambar itu berkemungkinan, seperti yang GB katakan tadi orang UMNO BN sendiri.

tetapi rasanya pihak Pakatan Rakyat tidak akan rasa resah gelisah, jauh sekali "kecut perut" dengan petisyen Tok Ali. Sekalipun katakanlah Tok Ali menang di dalam petisyen itu, rakyat Melaka sentiasa bersedia untuk menjalani pilihanraya semula bagi Parlimen Bukit Katil. Dan ia juga peluang untuk rakyat Bukit Katil untuk benamkan Tok Ali kali kedua....

Tok Ali sudah bersediakan?

Najib Mahu Singkir "5 Jahanam" Bilik Perang Yang Kalah PRU


Atas dari kiri: Datuk Latt Shariman Abdullah, Datuk Shahlan Ismail, Datuk Mohd Shafei Abdullah. Bawah dari kiri: Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohamed Suffian Awang

Kesemua pembantu politik kepada Datuk Seri Najib Razak akan digugurkan daripada jawatan masing-masing kerana dikatakan meletakkan kepentingan diri melebihi perdana menteri dalam langkah dilihat untuk menyingkirkan tunggul-tunggul tidak berguna dari pejabat beliau menjelang pemilihan Umno tahun ini, kata sumber-sumber dari Barisan Nasional (BN) kepada The Malaysian Insider.

Dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya 5 Mei, Datuk Latt Shariman Abdullah, Datuk Shahlan Ismail, Datuk Mohd Shafei Abdullah, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohamed Suffian Awang telah diserang oleh penulis-penulis blog Umno dan pengkritik pro-kerajaan kerana kekalahan memalukan mereka dalam pilihan raya umum ke 13.

Kelima-lima dilihat oleh ahli strategi “bilik perang” Najib mempunyai peluang terbaik untuk menang membantu gabungan pemerintah itu mendapatkan semula majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen yang mereka hilang semasa Pilihan Raya 2008.

Akan tetapi penulis-penulis blog Umno telah mengecam Najib (gambar) kerana membenarkan pembantu-pembantunya untuk bertanding, berhujah kelima-lima lelaki itu mempunyai sedikit sokongan akar umbi di kawasan pilihan raya mereka.

BN menang 133 kerusi daripada 222 anggota Dewan Rakyat dan Umno, tunjang kepada gabungan itu mendapat 88 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2013 – meningkat sembilan kerusi berbanding 2008.

Akan tetapi sesetengah veteran parti telah menyalahkan prestasi kurang memberangsangkan parti itu dan BN kepada ahli strategi “bilik perang” Najib, dan memberikan petunjuk perdana menteri mungkin ditunjukkan pintu keluar jika tidak menyingkirkan ahli strateginya kerana nasihat buruk.

Dua pegawai khas Najib, Shahlan dan Latt Shariman,
dikalahkan oleh calon PAS di Kedah, walaupun BN berjaya merampas semula negeri jelapang padi itu dari Pakatan Rakyat (PR).

Shahlan kalah dengan 3,935 undi kepada Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar di kerusi Parlimen Pokok Sena manakala Latt Shariman dikalahkan oleh Mohd Nasir Mustafa dengan 1,044 undi di kerusi Dewan Undangan Rakyat (DUN) Kubang Rotan.

Mohd Shafei yang merupakan setiausaha politik Najib di Kementerian Kewangan, kalah kepada Datuk Dr. Tan Kee Kwong dari PKR dengan 5,511 undi di kerusi Parlimen Kuala Lumpur, lebih besar dari kekalahan 2008.

Mohamad Fatmi dan Mohamed Suffian
 masing-masing kalah di kerusi Parlimen Kota Baru dan Kuantan.

Penyingkiran mereka yang kalah, adalah petanda pertama Najib serius menyingkirkan penasihatnya, ramai telah dipersalahkan kerana salah baca akar umbi menjelang pilihan raya paling sengit itu.

Bilik perang BN ditugaskan untuk memilih calon dan memberikan beberapa nasihat tentang strategi untuk menang pilihan raya.

Diantara ahli bilik perang BN termasuklah ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Pengerusi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Datuk Seri Alies Anor Abdul, Pengarah Petronas Omar Mustapha Ong, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan bekas menteri Datuk Seri Idris Jusoh sebagai sebahagian daripada ahlinya.

Bilik perang meramalkan BN akan menang diantara 145 hingga 150 kerusi Parlimen dan akan merampas kembali Selangor dalam Pilihan Raya 2013 walaupun sesetengah pemimpin kanan BN meragui angka itu.

Pada tengah hari hari mengundi, bilik perang mengeluarkan “senarai putih” 118 kerusi dijamin menang akan tetapi sesetengahnya seperti Pasir Mas, Shah Alam dan Lembah Pantai kalah, dimana sebahagian ketua bahagian Umno mengatakan terdapat jurang diantara kepimpinan dengan akar umbi.

Perdana menteri keenam turut diberi tekanan dari Umno untuk menjauhkan dirinya daripada perancang bilik perang seperti Alies Anor, Omar dan Jamaluddin, kata sumber dalaman parti kepada The Malaysian Insider.

Beberapa ahli Parlimen BN dari Malaysia Timur yang tidak berpuas hati bertemu ahli Parlimen veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dua hari lalu bagi membincangkan kedudukan mereka kerana tidak mendapat apa-apa selepas kemenangan pertempuran sengit dalam Pilihan Raya 2013 menegaskan mahu memberikan tekanan kepada Najib selepas beliau memenangi mandat pertama peribadi dengan kerusi kurang daripada pendahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penganalisis dan pemerhati politik telah mengatakan kepimpinan Najib dalam Umno mungkin akan dicabar dalam pemilihan akhir tahun ini, yang boleh menggugat kedudukannya untuk mempimpin gabungan 13 parti itu sekaligus kehilangan jawatan. -TMI

[VIDEO & GAMBAR] Hujan Tak Halang Ribuan Banjiri BLACK 505 Sungai Petani Malam tadi


Sekalipun hujan turun dan petir berdentum namun ia tidak sesekali menyekat momentum himpunan Black 505 di Sungai Petani malam tadi.

Hampir keseluruhan yang hadir tidak berganjak dan untuk mendengar ikon pembangkang Anwar Ibrahim dan rakan Pakatan Rakyat bercakap mengenai penipuan pilihanraya dan untuk mendapatkan perkembangan terkini terhadap tindakan undang-undang ke atas Anwar serta perancangan PR untuk bertindak ke atas Suruhanjaya Pilihanraya. SPR telah dilihat secara meluas sebagai bersalah kerana membantu Umno-BN memenangi PRU pada 5 Mei lepas melalui cara-cara yang tidak jujur dan tidak adil.

"Kita berharap untuk mendapatkan kehadiran yang ramai, kita telah bersedia untuknya. Pihak polis dan pihak berkuasa memberikan kerjasama yang baik. Kita boleh merancang tetapi bergantung kepada Yang Satu (Allah swt) untuk menentukannya. Malah, saya sudah berfikir berkemungkinan hujan akan turun dan telah membuat persediaan jika berlaku demikian. Bersyukur kepada Allah, kita mempunyai dewan yang baik dan sistem PA yang baik juga. Rakyat tidak berganjak, mereka menunggu sehingga akhir malah selepas hujan berhenti mereka terus mendengar ucapan-ucapan para pemimpin. Ini benar-benar menyentuh hati. Ia adalah semangat yang tinggi," kata Johari Abdul, ahli parlimen Sungai Petani.

Hujan turun kira-kira jam 10 malam, muncul tiba-tiba dan dengan lebatnya. Orangramai yang berada di padang, bergerak seperti dalam satu pasukan secara bersama-sama dan seperti satu alunan gelombang, menuju kearah pentas yang dibina di luar dewan yang berbumbung.

Dengan jumlah hadirin sebegitu ramai - dianggarkan 10,000 di atas padang - tiada seorang yang tercedera dan suasana kelam-kabut hanya berlaku seketika. Pasukan penganjur seperti mengetahui apa yang perlu dilakukan dan mereka bertindak pantas. Situasi begitu terkawal dan dalam tempoh hanya 10 minit, orangramai kembali duduk sekalipun kali ini di atas lantai dewan dan siap sedia untuk mendengar cermaha-ceramah yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan.

Tarikh Penting 22, 23 dan 24hb Jun

Selain Anwar dan Johari, lain-lain pemimpin yang menyertai himpunan Black 505 Sungai Petani malam tadi ialah Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, ahli parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Naib Presiden PKR Tian Chua, ADUN Bukit Selambau Dr R Krishnamoorthy dan aktivis anak muda Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard.

Dengan sambutan yang ramai untuk himpunan Black 505, pemimpin Pakatan terus membelasah Umno-BN kerana "mencuri" kejayaan mereka. PR bercadang untuk mengadakan satu perhimpunan raksaksa pada 22 Jun ini, dimana mereka mensasarkan satu juta akan hadir.

"Apa-apa pun boleh berlaku pada tarikh 22, 23 dan 24 (Jun). Kita akan berada di sana (di parlimen untuk mengangkat sumpag) pada 24 dan juga 25 (ucapan perasmian Yang DIpertuan Agong). 22 merupakan hari yang besar dimana kita akan berhimpun di Padang Merbok - 505 - dan kita akan bermula pada jam 12 tengahari," kata Johari.

"Ada yang bercadang untuk tinggal semalaman di sana sehingga 23hb dan kemudian pada 24 hb merupakan hari mengangkat sumpah. Jadi ini rentetan peristiwa yang akan berlaku. 22hb itu adalah hari yang penting. (Pada) 23hb, orangramai mungkin mahu menunggu dan melihat apa yang bakal berlaku kerana mereka mengharapkan banyak pihak media akan berada di sana dari seluruh dunia, jadi mereka bleh mengambil kesempatan dari media ini dan mereka boleh menyuarakan ketidak-puashatian mereka terhadap kerajaan minoriti yang ada sekarang."

Pandikar Amin & Himpunan Jun 22

Di dalam pilihanraya 5 Mei, Umno-BN menang 133 kerusi di peringkat Parlimen berbanding Pakatan cuma 89. Tetapi Anwar enggan untuk mengakui kekalahan, mendakwa telah wujud penipuan dan salahlaku. Majoriti daripada 13 juta pengundi dilihat menyebelahi Anwar kerana Pakatan telah 51% dari undi popular tetapi tewas dengan BN sebanyak 44 kerusi di Parlimen.

Anwar, 64, telah memulakan himpunan Black 505 untuk memprotes pengundian yang dianggapnya tidak adil. Pakatan telah menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatannya. Mereka juga mahu pilihanraya semula di 30 kerusi 'yang meragukan".

Lain-lain tindakan dimulai Pakatan untuk meluahkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan PRU13 termasuklah pemboikotan taklimat Dewan rakyat semalam.

Ini menyebabkan Pandikar Amin, Speaker BN pada sessi parlimen yang lalu, melenting dan mengeluarkan amaran kepada pemimpin Pakatan jika mereka memboikot upacara mengangkat sumpah pada 24 Jun, dia tidak akan membenarkan mereka mengangkat sumpah di tarikh yang lain. Pemimpin Pakatan kemudian akan berrisiko kehilangan status wakil rakyat, kata Pandikar, yang kata-katanya telah disifatkan sebagai ugutan yang "bertentangan dengan undang-undang" dan terang-terangan melanggar Perintah Tetap Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

Himpunan di Sungei Petani malam tadi adalah himpunan yang ke 12 di dalam siri Black 505. Selepas ini ialah di Kota Bahru, Kelantan pada malam ini, diikuti pada 16 Jun 16 di Batu Pahat, Johor. Namun himpunan 22 Jun mwerupakan himpuan yang sedang ditunggu-tunggu.

"Sama seperti ini, satu perhimpunan aman, namun di dalam skala yang lebih besar - satu acara nasional - bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa kmai tidak sesekali merestui penipuan," kata Anwar, merujuk kepada himpunan yang bakal berlansung pada 22 Jun. Beliau menjelaskan ia adalah perhimpunan aman dan bukan satu protes jalanraya. - malaysian-chronicle/terjemahan bebas oleh GB














[VIDEO]: Upacara Mencuci Kaabah Sempena Kedatangan Ramadan


Smelam berlangsung upacara membersihkan Kaabah sempena kehadiran bulan Ramadan tak berapa lama lagi.

Kaabah dicuci dengan campuran khas air zam-zam dan air mawar.

Upacara itu diketuai Gabenor Makkah, Putera Khaled A-Faisal dan imam Sheikh Abdul Rahman as Sudais dan penolongnya, Muhammad A-Khozaim.

Turut hadir beberapa diplomat asing dari beberapa buah negara Islam. -mynewshub