4 Jun 2015

[VIDEO] Tak Mampu Berhujjah Di"Boo"nya Hanipa Maidin...


Kerana pertahan kritikan terhadap Hadi, Hanipa di ‘boo’ perwakilan PAS

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin diejek 'boo' oleh perwakilan muktamar di Kuala Selangor hari ini apabila seorang perwakilan t mempersoalkan peranannya sebagai pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS yang sepatutnya mempertahankan presiden membawa rang undang-undang persendirian hudud ke Parlimen. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 Jun, 2015.

Gara-gara mempertahankan tindakannya menegur Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka dan mengkritik hudud Kelantan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin diejek 'boo' perwakilan muktamar di Kuala Selangor hari ini.

Ini bermula apabila seorang perwakilan dari Segambut mempersoalkan peranannya sebagai pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS yang sepatutnya mempertahankan presiden membawa rang undang-undang (RUU) persendirian hudud ke Parlimen.

"Inikah tarbiah yang kita hasilkan dengan ‘boo’ macam itu?

"Saya tiada masalah, dalam Parlimen perangai Umno pun macam ni," katanya semasa memberi penjelasan dalam sesi pembentangan minit mesyuarat PAS 2014 di Kuala Selangor, hari ini.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, isunya adalah RUU persendirian itu tidak pernah dibawa Hadi masuk dalam perbincangan PAS Pusat.

Malah mengakui dirinya, ahli Parlimen PAS lain termasuk Ketua Whip Datuk Mahfuz Omar tidak pernah berpeluang melihat RUU itu sebelum dihantar untuk dibentangkan.

"Dan apabila saya lihat RUU itu ada beberapa kelemahan. Jadi itu persoalannya, bukan nak pinda.

"Kita pertikai cara dan apa salahnya sekiranya kita buat teguran," katanya mempertahankan tindakannya mengkritik Hadi itu membuktikan amalan demokrasi wujud dalam PAS.

Hanipa berkata, dirinya sering mempertahankan hudud Kelantan tidak bercanggah dengan Perlembagaan walaupun menyertai forum “hostile hudud” di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH).

Beliau kemudian mencabar perwakilan membuktikan jika ada kenyataannya mengenai hudud bercanggah dengan presiden.

"Kalau ada kenyataan saya bercanggah dengan presiden, buktikan. Di mana yang bercanggah itu saya tak boleh jawab.

"Saya bagi jaminan kalau RUU dibawa ke Parlimen saya akan pertahankan dan saya akan berani lawan mana-mana wakil Parlimen Umno," katanya.

Hanipa semasa muktamar di Johor tahun lalu pernah menerima nasib sama, apabila mempertikaikan PAS mahu merebut kerusi menteri besar Selangor milik PKR. –TMI


Kena boo, Hanipa jawab 'I love you'

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Hanipa Maidin kena "boo" ketika menjawab soalan perwakilan berhubung dakwaan yang mengatakan beliau memberi kenyataan bercanggah dengan presiden parti bagi isu hudud.

Sebelum itu, semasa pembentangan penyata mesyuarat tahunan muktamar kali ke-60, perwakilan dari Segambut bangun dan mempersoalkan tentang kenyataan Hanipa yang sering bercanggah dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas itu, ahli parlimen Sepang itu kemudian bangun untuk menjawab soalan tersebut bagi memastikan semua perwakilan tidak terpengaruh dengan kenyataan perwakilan tadi.

"Saya kena jawab supaya mengundi nanti tidak dalam keadaan masih percaya dengan apa yang tuan bahaskan tadi," kata Hanipa.

Bagaimanapun kenyataan tersebut mendapat reaksi negatif daripada para pemerhati.

Hanipa kemudian berkata, beliau menyokong pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Namun hanya mempersoalkan mengapa tiada perbincangan dilakukan bersama jawatankuasa Pusat PAS dan Pakatan untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian di Parlimen.

"Bukan rang undang-undang ini isunya. Isunya kenapa sebelum kita bawa ke Parlimen tak dibincangkan dalam PAS Pusat. Saya AJK PAS Pusat tak pernah lihat RUU.

"Kami ahli parlimen PAS dan ketua whip pun tiba-tiba sahaja tahu ada RUU dalam Parlimen dan Pakatan pun tidak diberitahu.

"Itu persoalannya, bukan pertikai rang undang-undang persendirian itu.

"Adakah salah untuk memberi teguran dan kemudian kata 'oh ini tidak walak'. Saya rasa ini tidak betul," kata Hanipa.

'Inilah hasil tarbiahnya'

Kemudian timbalan pengerusi tetap Hussin Ismail menegur Hanipa supaya fokus kepada soalan yang diajukan oleh perwakilan.

"Saya minta fokus pada soalan", kata Hussin.

Selepas teguran itu, Hanipa kemudiannya dilontarkan laungan "boo" oleh perwakilan dan pemerhati.

Ekoran kejadian itu, Hanipa berkata beliau tidak terasa dengan tindakan itu malah telah biasa dengan perkara tersebut semasa di Parlimen.

Malah, beliau dengan sinis mengatakan "I love you" kepada pihak yang "mengejek" beliau apabila di "boo" sekali lagi.

"Inilah tarbiah yang dihasilkan. Menghasilkan benda macam ini.

"Saya tak ada masalah, dalam Parlimen perangai BN pun macam ini. Saya tak ada masalah. Saya dah biasa.

"Saya tak akan terasa. Tak ada masalah, jangan takut. I love you," kata Hanipa sinis.

Selepas itu, Hanipa meminta supaya perwakilan dari Segambut menunjukkan bukti berhubung dakwaan yang mengatakan kenyataannya bercanggah supaya ia dapat dijawab.

Hanipa turut memberi jaminan bahawa sekiranya rang undang-undang persendirian hudud dibentangkan di dalam Parlimen, beliau akan mempertahankan perkara tersebut.

"Kalau ada kenyataan bercanggah dalam isu hudud, tolong jelaskan bukti. Insya-Allah saya akan jawab. Sebab tuan tak cakap di mana (kenyataan itu), saya tak dapat jawab.

"Saya bagi jaminan kalau sekiranya rang undang-undang persendirian di bawa ke Parlimen dan tiba pada hari perbahasan, saudara akan lihat bagaimana saya berbahasa nanti,” katanya.
-mk



ULASAN GB

Sudah teruk sangat akhlak dan budaya di kalangan pro-ulama dalam PAS kini. Tak mampu nak berhujjah, pedas kena dengan jawapan profesyenal dari Hanipa, terus di"boo"nya.

Halnya berlaku di muktamar pemuda juga kelmarin. Gb sudah ulas sebelum ini.

Berlaku lagi, seperti tahun lepas, segolongan Pemuda PAS dengan gelagat "memboo".

Namanya Pemuda Parti Islam SeMalaysia, kononnya mereka memperjuangkan dan mempertahankan kepimpinan ulama, tapi akhlaknya syaitan. Mengalahkan akhlak dan perangai parti lawan.

Inilah akibatnya apabila TIADA TINDAKAN TEGAS DIAMBIL terhadap mereka pada muktamar yang lepas. Mustafa Ali, kamu berdiri dan jawab di padang masyar nanti mengapa kamu melakukan tindakan berpilih di dalam hal disiplin ahli dan sikap kamulah yang mengnancurkan parti.

Mereka menuduh orang Jebon, tetapi rupanya merekalah yang berperangai jebon yang sebenarnya. Dan PAS sudah kena tukar nama, tak boleh jadi lagi Parti "Islam" SeMalaysia. Memalukan dan mencemarkan Islam dengan akhlak yang sedemikian rupa.

Allah Maha Tahu dan Maha Adil, hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan dan akan menghukum mereka yang "melampau batas" berkenaan.

Taktik Kotor Untuk Menang, Risalah Burukkan Profesyenal Diedar


Risalah Wajah Perosak PAS Diedar

KUALA SELANGOR: Kempen pemilihan PAS semakin agresif pada saat-saat akhir apabila wujudnya risalah yang melabel pemimpin tertentu sebagai perosak parti.

Ditemui diletakkan secara meluas di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kundang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LTAR), risalah berkenaan cuba membezakan antara kumpulan 'pendukung fahaman liberal' dan kumpulan yang 'tunduk kepada pendukung liberal'.

Risalah bersaiz A4 dengan cetakan berwarna itu menyenaraikan gambar barisan kempimpinan tertinggi PAS Pusat dan pesuruhjaya negeri bagi sesi 2013-2015.

Daripada 54 gambar dan nama pemimpin yang disenaraikan, 17 daripadanya ditandakan dengan bulatan berwarna biru yang berada dalam kategori 'wajah pendukung liberalisme yang merosakkan PAS dari dalam'.

Kumpulan ini dikatakan cuba menghapuskan dominasi ulama yang menjadi tunjang dalam PAS.

Bukan itu sahaja, mereka yang tersenarai dalam kumpulan ini turut didakwa membawa agenda 'tuan politik' luar kerana ditaja dengan pelbagai bentuk imbuhan dan ditugaskan menguasai PAS demi kepentingan penaja.

Antara yang berada dalam senarai kumpulan biru ialah Datuk Husam Musa, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Siti Mariah Mahmud, Khalid Samad serta Hanipa Maidin.

Selain itu, lapan daripada senarai berkenaan ditandakan dengan bulatan jingga kerana dikatakan sebagai 'pemimpin yang sudah tunduk kepada pendukung liberarisme dan menjadi lalang serta berani menentang golongan ulama dalam PAS secara terang-terangan.

Kumpulan ini terdiri daripada Mohamad Sabu, Salahuddin Ayob, Suhaizan Kayat, Datuk Mahfuz Omar serta Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Penyebaran risalah ini dilihat sebagai cubaan untuk mempengaruhi perwakilan yang akan mengundi pada pemilihan yang akan diadakan pada petang Khamis.

Keputusan pemilihan jawatankuasa tertinggi PAS akan diumumkan secara rasmi pada pagi Jumaat. -mstar

ULASAN GB

Risalah itu menyerupai risalah yang dicipta oleh beberapa cybertrooper PAS yang diedarkan melalui facebook sejak beberapa bulan yang lalu di dalam usaha mereka untuk memburukkan kumpulan profesyenal.


Ia juga menyamai risalah ‘Siapakah Perosak Sebenar PAS ?’ yang dikesan mula tersebar di alam maya pada bulan April lalu menjelas mesyuaraat PAS Kawasan-kawasan.


Paling aneh risalah itu berlambangkan logo PAS PUSAT. Lansung tiada penafian dari Pejabat Agung PAS Pusat seolah-olah membiarkan buku itu terus diedarkan tanpa sekatan.

Dengan cara kempen sedemikian, mereka menang. Namun hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Berkatkah kemenangan dengan cara sedemikian?

[DEDAH] Kerjasama Dengan UMNO, Ahmad Awang Ditawar Jadi Speaker


Ahmad Awang ditawar jadi speaker jika setuju tubuh kerajaan dengan Umno

Calon presiden PAS, Ahmad Awang mendedahkan beliau pernah ditawarkan jawatan speaker oleh Umno jika bersetuju mewujudkan kerajaan campuran ketika Perak ditadbir Pakatan Rakyat (PR) pada 2008.

Dalam satu wawancara secara eksklusif bersama Sinar Harian, Ahmad berkata beliau menolak tawaran tersebut kerana berpegang kepada prinsip tidak bersetuju adanya kerjasama dengan Umno.

"Semasa saya berkhidmat dalam kerajaan pernah berkali-kali saya ditawarkan untuk masuk Umno. Saya tetap berpegang kepada prinsip saya, kalau saya nak dunia, nak duit nak pangkat, saya ikut dan jadi orang Umno, selesai.

"Malah tawaran terakhir saya yang saya dapat daripada Umno ialah semasa menubuhkan kerajaan negeri Perak, kalau saya bersetuju PAS dan Umno tubuhkan kerajaan, lainlah ceritanya sekarang," katanya kepada Sinar Harian.

Kerana keengganannya bersetuju dengan cadangan tersebut, Ahmad dikecam menjadi punca tidak tertubuhnya kerajaan Melayu - Islam di Perak.


Katanya, apabila beliau menawarkan diri bertanding jawatan presiden PAS, ia menimbulkan keresahan kepada Umno.

"Jadi tidak peliklah bila saya bertanding jawatan presiden, Umno pun resah dan menggunakan akhbar mereka untuk memburukkan saya sebab saya berpegang kuat kepada prinsip iaitu Islam," katanya.

Bekas naib presiden PAS itu juga menyimpulkan perjalanan pemilihan yang dianggap panas kali ini hampir menyerupai seperti ketika parti Islam itu memenangi Terengganu pada 1999.

"Masa PAS menang di Terengganu ada berlaku sedikit krisis terutama dalam memilih pemimpin untuk mentadbir Terengganu. Krisis PAS Terengganu pada masa itu semua saya tahu, kesimpulannya semangat kedaerahan berlaku.

"Jadi bila kita baca balik perkara itu, krisis dalaman yang berlaku pada masa itu terjadi juga pada masa ini. Tidak baik kalau semangat kedaerahan berlaku dalam PAS," katanya.

Ahmad berkata krisis dalaman PAS berpunca daripada pihak yang enggan berpegang kepada tanggungjawab dan peranan mereka seperti mana termaktub dalam Perlembagaan parti.

"Ia seolah-olah masing-masing boleh keluarkan hukum dan sebagainya," katanya tanpa menamakan secara khusus siapakah pihak dimaksudkan. -TMI

Media UMNO Sambut Kemenangan Wira Baru PAS...


Akhbar Umno yakin ahli PAS sokong putus hubungan dengan DAP

Utusan Malaysia yakin usul tergempar dicadangkan Dewan Ulama agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP akan disokong ahli parti Islam itu.

Dalam ruangan "Bisik-bisik Awang Selamat", akhbar milik Umno itu berkata ahli parti Islam itu akan menyokong usul tergempar kerana DAP secara berterusan menyerang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Awang yakin teras usul tersebut akan mewarnai muktamar PAS yang bermula hari ini kerana masalah hubungan sesama pakatan pembangkang itu tidak berupaya untuk disorok lagi," tulis Awang Selamat hari ini.

"Tindakan semua 644 perwakilan sebulat suara meluluskan usul tersebut pada muktamar ke-54 dewan itu semalam, cukup mencerminkan betapa seriusnya kepincangan dalam pakatan pembangkang khususnya dalam konteks PAS-DAP, yang dari awal lagi jelas bertentangan asas perjuangan mereka," katanya. Menurut akhbar Umno itu, Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PAS, PKR dan DAP akan berpecah tidak lama lagi.

"Awang yakin, perkembangan ini jelas menghala kepada kecelaruan lebih serius dalam pakatan pembangkang.

"Tahap saling tidak percaya sesama sendiri makin ketara," katanya.

Semalam Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul tergempar dibawa Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik untuk membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik bersama DAP.

"Kita beri amaran pada mereka yang menyerang dan ingin mengalihkan perjalanan landasan Islam.

"Kita tidak akan serah kepada kamu parti PAS dan dengan itu kita sekali menyarankan usul memutuskan hubungan dengan DAP namun tetap bersama PKR dan PR," katanya ketika berucap di Muktamar Dewan Ulama di Gombak semalam.

Sejurus selepas Mokhtar membentangkan usul, wakil Perak Noor Azli Musa meminta semua 644 ahli sayap Dewan Ulama yang berada dalam dewan itu bangun sebagai tanda sokongan terhadap usul itu. -TMI

ULASAN GB

Kemenangan tim pro-UG disambut besar-besar oleh media UMNO, bercetak dan eletronik.

Lebih-lebih lagi Dewan Ulamak yang meluluskan usul supaya PAS memutuskan hubungandenagn DAP. Ini dilihat satu kemenangan besar untuk UMNO yang begitu cemburu hubungan baik selama ini diantara PAS-UMNO, hubungan yang lebih rapat dari UMNO-MCA.

Kini UMNO sudah tidak bimbang lagi. PR berantakan.

Semenjak awal muktamar lagi, UMNO sudah mengalu-alukan tim pro-UG ini dengan pelbagai sambutan dan sebaran. Dan perwakilan pemuda dan muslimat PAS telah pun "menyambut"nya dengan membuat pilihan yang melegakan UMNO.



Dan ditambahi dengan beberapa spanduk dan risalah yang memburukkan golongan profesyenal.

PAS Perlu Asingkan Gerakan Islam Dan Parti Politik


Asing parti politik dan gerakan Islam, kata penganalisis kepada PAS

Penganalisis menjangka pemilihan itu bakal menyaksikan golongan profesional kalah teruk dalam pertembungan dengan golongan konservatif PAS.

Maka perwakilan disaran memilih antara memenangkan golongan profesional agar mereka boleh memimpin parti sepenuhnya, atau mengasingkan diri daripada pendekatan ulama yang ada dalam PAS sekarang dan membentuk parti baharu menyertai PKR, DAP dan gerakan sivil demi kepentingan negara secara keseluruhannya.

Inilah pintu keluar yang perlu dipertimbangkan golongan profesional dalam PAS selepas Muktamar Tahunan ke-61 ini, kata Profesor Dr Abdul Latif Ibrahim.

"Model PAS sekarang sudah salah. Dulu okay lah, tetapi sekarang, dengan kita belajar dari Turki, Tunisia dan tempat-tempat lain, tidak boleh lagi gerakan Islam itu juga parti politik.

"Ikhwan (Muslimin) juga sudah berubah. Mereka tubuh parti politik. Biarlah parti politik masuk dengan sepak terajang politik, jika timbul apa-apa isu,"
kata bekas penolong setiausaha agung PAS itu.

Latif berkata, pendekatan yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ulama muda yang menyokongnya sekarang tidak lagi bertepatan dengan realiti semasa politik dunia.

"Mereka bersama golongan profesional Islam dalam Abim dan Ikram misalnya, perlu bersedia menubuh parti baharu untuk bersama PKR dan DAP serta gerakan sivil dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hasrat yang sama, iaitu membawa gerakan rakyat untuk membuat perubahan dalam politik negara secara berskala besar.

"Ada yang kata, jika buat parti serpihan, ia akan mati. Saya kata tidak, kerana perpecahan dalam PAS sekarang, dari atas sampai ke bawah. Kalau tokoh yang besar-besar ini masuk ke sana (parti baru), pengikut yang bawah ini akan ikut dengan ramai.


"Kita nampak ini gambaran besar yang ada sekarang dan perlu diterima ahli PAS jika mereka mahu terus ke depan," kata Latif kepada The Malaysian Insider.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu merupakan salah seorang pemikir dalam PAS yang dilantik penolong setiausaha agung pada sesi lalu, namun melepaskan jawatan itu selepas satu penggal.

Kajian yang dibuat badan bebas memperlihatkan golongan profesional dalam PAS sekarang akan dikalahkan sepenuhnya dalam muktamar kali ini selepas kedua-dua belah pihak berbeza pendapat sejak sekian lama dalam isu kerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR).

50% perwakilan dalam muktamar ini dijangka terdiri daripada muka baru yang pertama kali menjadi perwakilan, sementara hanya 10% mereka dipercayai bebas pengaruh mana-mana kumpulan dalam PAS, yang dikatakan kini dikuasai golongan konservatif.

Calon presiden, bekas pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang yang menentang Hadi, dijangka mendapat 25% undi sahaja, manakala Mohamad Sabu yang ditentang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi kerusi timbalan presiden dijangka hanya akan mendapat sekitar 35% sokongan sahaja.

Hanya Salahudin Ayub penyandang yang dijangka akan menang kerusi naib presiden PAS, manakala penyandang ketua Pemuda Suhaizan Kaiat dan ketua Muslimat Siti Zailah Yusof dijangka gagal mempertahankan jawatan mereka.



Ibrahim Sufian dari Merdeka Center juga turut membuat jangkaan sama mengenai apa yang berlaku dalam PAS sekarang, di mana kemaraan golongan ini tidak boleh lagi disekat.

"Saya rasa ulama akan menang besar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagi Latif, jika hanya sebahagian kecil dari golongan profesional dalam PAS menang, mereka tidak akan boleh berbuat apa-apa.

"Kalau Salahudin menang dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) di kalangan profesional pun menang, apa yang mereka boleh buat?" soalnya.

Katanya, sebelum pemilihan ini, majoriti AJK PAS dari golongan profesional.

"Dengan sokongan AJK pusat kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor pun, cara pintu belakang boleh dibuat untuk mengenepikan beliau, inikan pula ketika golongan ini menguasai parti sepenuhnya," kata Latif.

Baginya, ahli dan pemimpin PAS perlu belajar dari rakan mereka di luar negara.

"Mereka kena buat platform baru, iaitu parti politik baru seperti AKP di Turki yang bukan gerakan Islam,"
kata Latif merujuk kepada parti AKP yang memerintah Turki sejak 2002 lalu.

"Gerakan Islam terus kekal sebagai gerakan Islam yang besar itu," katanya menggambarkan umat Islam secara keseluruhannya.

AKP berasal dari parti Islam Refah, tetapi berpecah dengan golongan konservatif yang membentuk parti Saadet. –TMI