1 Mac 2015

Ust Ahmad Awang: Multaqa, Kempen Menjatuhkan Pihak Lain..


Ulama bukan tiket dapat pujian, jawatan’

ULASAN Bhgn 2 Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh multaqa ini? Mengusahakan perpecahan PR atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saf dalaman PAS atau merenggangkannya?

Yang dilihat, ianya dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat ia menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.

Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program liqa’, neqad, ijtima’ dan multaqa itu sendiri adalah tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain?

Amat malanglah sekiranya ia benar sehingga tumpuan usaha ulama yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri.

Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.


Harapan ahli supaya Multaqa Ulama II bebas dari politiking yang sebegini dan persidangan ini akan mengeluarkan usul mengutuk tadbir urus kerajaan Umno-BN yang rosak dan tempang, dasar ekonominya yang membebankan rakyat, politiknya yang rakus dan zalim serta salah guna kuasa yang terang dan nyata.

Harapan ahli supaya multaqa ini menjadi pendorong untuk meningkatkan usaha menjatuhkan Umno-BN supaya Islam boleh bebas membangun. Dengan itu juga saf yang telah sengaja direnggangkan oleh golongan tak bertanggungjawab dapat dirapatkan kembali.

Tetapi tidak demikian. Agenda perubahan bagaikan hilang dengan tiupan bayu dan alunan lagu "perpaduan Melayu" yang di mainkan Umno dan konco-konconya terutama selepoas musibah "tsunami kecil" di Kelantan pada akhir tahun lalu.

Maka yang tinggal hanya perbalahan dalaman PAS dan Pakatan Rakyat. Adakah golongan Ulama PAS sudah hilang fokusnya dan tidak mampu memimpin perubahan ke arah keadilan dan negara berkebajikan?

Ingatan buat golongan ulama

Saya sebagai mantan ahli Majlis Syura Ulama (MSU) berbelas tahun merasa dukacita dan kesal ia tidak menzahirkan kehebatan dan kepimpinan ulama sepertimana yang saya harapkan.

Saya tertanya-tanya apakah tokoh multaqa yang lebih sepuluh orang pembentang dan pembahas itu terlupa pada perintah Allah seperti yang terkandung dalam firmannya yang bermaksud:

"Maka berkat rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkan lah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal." ( Surah Ali Imran ayat 159)

Hadis Rasulullah SAW: "Al-Ulama' warasatul anbiayaa" atau ulama adalah pewaris para Nabi bukan merupakan tiket untuk mendapat pujian dan dokongan serta kedudukan dan jawatan.

Ia sebaliknya merupakan amanah dan wawasan yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh mereka yang digelar ulama. Supaya mereka akan ke depan memimpin masyarakat dengan ilmu dan ketaqwaan.

Kepimpinan ini pula bukan untuk dituntut atau ditagih atas alasan "saya ulama", tetapi sebaliknya diperolehi dan dimenangi melalui proses perjuangan bersama rakyat sehingga kelebihan seseorang ulama terserlah.

Itu jugalah proses yang dilalui Rasulullah SAW yang akan mampu menyerlahkan diri manakala ulama dunia, walau panjang mana senarai ijazahnya, akan terpinggir dan ditinggalkan. Ini kerana ilmunya tidak dihayati mencorakkan diri dan kehidupannya.

Pada masa yang sama, hendaklah sentiasa diingati bahawa ilmu dan kefahaman berhubung agama Allah ini ianya adalah milik Allah. Allah boleh memberi kefahaman mengenai agama kepada sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya.

Ilmu bukan pada sijil, ijazah

Ketahuilah oleh itu bahawa ramai yang telah bersama PAS, walaupun tidak mempunyai kelulusan rasmi dari institusi pendidikan agama, sememangnya berilmu dan bukan dari golongan juhala' (orang yang jahil).

Ilmu itu bukan semata-mata terletak pada sijil atau ijazah universiti, tetapi terletak pada hujah keilmuan dan intelektual. Oleh itu segala yang ingin diusahakan perlu dikemukakan dan dihujahkan dengan jelas dan tersusun.

Jangan dituntut ketaatan atau wala' dengan secara membuta tuli atau taqlid tetapi perjelaskan dan pertingkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat.

Jangan perlekehkan mereka yang tidak berpendidikan agama secara rasmi, sedangkan mereka mungkin memahami banyak persoalan dengan lebih mantap. Didikan yang telah mereka perolehi adalah didikan amali haraki bersama perjuangan Islam yang dipimpin ulama' muktabar.

Adalah diharapkan bahawa golongan ulama akan membebaskan diri mereka dari amalan ‘politiking’ sempit dan sebaliknya membina imej mereka sebagai badan yang bebas dari kepentingan jawatan dan pangkat atau kepentingan duniawi.

Mereka perlu memperlihatkan ulama' sebagai kumpulan ilmuan yang memimpin arus perubahan dengan menentang kezaliman dan penyelewengan.

Dengan itu mereka akan diterima sebagai pemimpin ummah dan melayakkan diri ke status ‘warasatul anbiyaa’. Zahirkan ketajaman keilmuan dengan membedah permasalahan kontemporari dan mengemukakan penyelesaiannya sambil menjadi pihak yang berdiri teguh di pihak keadilan dan kebenaran.

Itulah proses yang dimulakan pada 1982 apabila konsep kepimpinan ulama mula-mula diutarakan dengan tertubuhnya Majlis Syura Ulama. Proses ini masih lagi dalam perlaksanaannya dan MSU itu sendiri perlu terus diperkasakan. Jangan golongan ulama’ hilang fokus.


Tidak ada ketaatan mutlak kepada ulama Oleh Mustaffa Fikri

Bersaing kuasa

Tanpa berselindung Ustaz Ahmad Awang, mantan naib presiden PAS dan mantan presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang menzahirkan kekecewaannya terhadap Multaqa (Pertemuan) Ulama II yang diadakan baru-baru ini.

Pertemuan ulama PAS ini sepatutnya dimanfaatkan untuk membincangkan masalah “…tadbir urus kerajaan UMNO-BN yang rosak dan tempang, dasar ekonominya yang membebankan rakyat, politiknya yang rakus dan zalim serta salah guna kuasa yang terang dan nyata…”, malangnya bertukar menjadi medan “…untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri,” tegas Ahmad Awang merujuk kepada dua kumpulan yang bersaing kuasa di dalam PAS, iaitu kaum ulama dan profesional.

PAS memperkenalkan konsep kepimpinan ulama pada 1982 dengan melantik Yusuf Rawa sebagai mursyidul am yang pertama dan kemudiannya digantikan oleh Nik Aziz Nik Mat.

Di bawah Nik Aziz Nik Mat, PAS mengambil pendirian tegas menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan UMNO.

Pada masa sama sikap kesederhanaan dan keterbukaan Nik Aziz telah membuka ruang untuk golongan intelektual dan profesional terlibat dengan PAS dan sebahagiannya berjaya menduduki jawatan tertinggi dalam hiraki parti.


Ulama kehilangan arah?

Insiden pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno pada 1998 menyemarakkan lagi penyertaan golongan intelektual profesional di dalam PAS.

Golongan profesional dalam PAS dilihat bertegas untuk mempertahankan landasan politik untuk kekal bersama Pakatan dan menolak kerjasama politik dengan UMNO sepertimana yang telah digariskan oleh Nik Aziz.

Golongan ulama pula, menurut Ahmad Awang bagaikan kehilangan arah “…dengan tiupan bayu dan alunan lagu ‘perpaduan Melayu’ yang dimainkan UMNO dan konco-konconya terutama selepas musibah ‘tsunami kecil’ di Kelantan pada akhir tahun lalu”.


Beliau turut mempersoalkan usul pertemuan kali ini yang sama seperti usul pertemuan ulama dua tahun lepas yang meminta agar kerjasama politik ini dikaji semula.

Ulama tegur ulama

“Tetapi setelah ditegur dan dikritik, maka diperjelaskan bahawa ‘kajian semula’ itu bermaksud ‘kaji semula ke arah memperbaiki dan memperkukuhkan lagi!’ Kalau benar itulah yang dimaksudkan pada ketika itu, maka di mana hasil kajiannya?” soalnya.

Teguran Ahmad Awang selaku tokoh PAS yang disegani yang pernah menjadi ahli Majlis Syura Ulama selama belasan tahun dan memimpin Persatuan Ulama Malaysia ini dijangka akan membuka ruang perdebatan yang lebih luas, tajam dan sengit tentang hala tuju dan garis kepimpinan yang akan menerajui PAS.

Teguran terhadap golongan ulama daripada seorang yang juga bergelar ulama sudah tentu mengundang pelbagai persepsi dan pertanyaan tentang kedudukan dan peranan ulama dalam PAS dan Islam secara keseluruhannya.

Khalayak awam Muslim di Malaysia serta di negara-negara Muslim yang lain umumnya memandang dan menggelar para lulusan pengajian Islam dan bahasa Arab dari pusat-pusat pengajian Islam tradisional dan moden di dalam dan luar negara seperti di Indo-Pakistan dan Timur Tengah sebagai ulama.

Sebahagian lulusan agama ini pula dengan mudah akan membenarkan dan mengiyakan gelaran yang diberi, lantas menyandarkan ucapan dan pemikiran Islam serta diri mereka sebagai tergolong dalam hadis Rasulullah SAW, ‘al-‘ulama warasatul anbiayaa’ atau ‘ulama adalah pewaris para Nabi’, sekali gus memiliki autoriti agama yang tidak boleh dibantah.

Gelaran ulama bukan tiket

Gelaran “…ulama adalah pewaris para Nabi bukan merupakan tiket untuk mendapat pujian dan dokongan serta kedudukan dan jawatan”, dan “Kepimpinan ini pula bukan untuk dituntut atau ditagih atas alasan ‘saya ulama’ ”, tegas Ahmad Awang.

Jika kita menelusuri sejarah perjalanan Islam dan agama-agama Ilahi kita akan menemui bahawa cuma segolongan kecil atau segelintir insan pada setiap kurun yang benar-benar mampu memikul dan meraih gelaran ulama sejati ini, bukan secara en masse atau borong sepertimana yang didakwa oleh ribuan lulusan agama pada hari ini.

Mereka ini adalah insan-insan berjiwa kental yang telah diuji ilmu, iman dan amalnya sepertimana besi disepuh dengan api.

“Itu jugalah proses yang dilalui Rasulullah saw yang akan mampu menyerlahkan diri manakala ulama dunia, walau panjang mana senarai ijazahnya, akan terpinggir dan ditinggalkan. Ini kerana ilmunya tidak dihayati mencorakkan diri dan kehidupannya,” tulis beliau lagi.

Selain memberikan teguran pedas kepada golongan ulama, Ahmad Awang juga secara jujur mengingatkan, “…hendaklah sentiasa diingati bahawa ilmu dan kefahaman berhubung agama Allah ini ianya adalah milik Allah.

Autoriti mutlak

Allah boleh memberi kefahaman mengenai agama kepada sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya. Ketahuilah oleh itu bahawa ramai yang telah bersama PAS, walaupun tidak mempunyai kelulusan rasmi dari institusi pendidikan agama, sememangnya berilmu dan bukan dari golongan juhala’ (orang yang jahil)”.

“Ilmu itu bukan semata-mata terletak pada sijil atau ijazah universiti, tetapi terletak pada hujah keilmuan dan intelektual. Jangan dituntut ketaatan atau wala’ dengan secara membuta tuli atau taqlid tetapi perjelaskan dan pertingkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat”.


Tidak dapat dinafikan salah satu hambatan terbesar bagi pencerahan dan pemecahan kebuntuan pemikiran umat Muslim pada hari ini adalah budaya taqlid dan mengikut kata-kata ulama secara mutlak dan membuta tuli di kalangan orang awam.

Malahan akal seorang Muslim profesional yang berilmu dan berpendidikan yang telah diasuh untuk mencerap pemikiran dan hujah logikal, kritikal dan saintifik akan lesu dan longlai apabila berdepan dengan dogma dan fatwa ulama, sedangkan mereka ini juga tidak mempunyai sebarang jaminan untuk terlepas dari berdepan dengan pengadilan Ilahi di Akhirat nanti.

Apa yang sepatutnya dinilai dan dipertimbangkan adalah hujah-hujah keilmuan dan kefahaman baik dari golongan yang bergelar ulama, ilmuan, sarjana, intelektual dan profesional berdasarkan nas-nas Quran dan Rasulallah SAW yang memiliki autoriti mutlak di atas agama Ilahi ini.

Selain Baginda SAW adakah insan-insan lain yang memiliki autoriti yang setara?
-FMT


Laporan sebelum ini: Ust Ahmad Awang: Multaqa Nak Kukuh Atau Nak Pecahkan Pakatan Rakyat?

Apa Agenda Najib Mahu Saman Harakahdaily?


Saman saya dulu sebelum ugut orang lain, Rafizi cabar Najib

Susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Harakahdaily berhubung laporan yang mengaitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan keluarganya, Rafizi Ramli hari ini mencabar perdana menteri menyaman beliau terlebih dulu.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, beliau terkejut membaca laporan media yang Najib sekali lagi mengugut memfailkan saman, kali ini terhadap lidah rasmi PAS iaitu Harakah.

"Bukan saja saya terkejut kerana kelakuan sebegitu tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini, saya lebih terkejut kerana Najib belum lagi menyaman saya walaupun pernah mengugut untuk berbuat begitu baru-baru ini.

"Oleh itu, saya menasihati Najib supaya menyaman saya dulu sebelum mengugut untuk menyaman pihak lain.

"Saya juga menggalakkan lebih ramai pihak mengkritik Najib dan jangan takut dengan ugutan saman kerana sehingga sekarang beliau masih belum menyaman sesiapa pun, lebih-lebih lagi pengkritik nombor 1 beliau iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis, Utusan Online melaporkan, Najib bakal menyaman portal Harakahdaily kerana didakwa memfitnahnya dan anak tirinya Riza Aziz dalam isu 1MDB melalui satu artikel bertajuk “Dana 1MDB biaya syarikat filem Riza Aziz (Bhg 2)'.

Semalam, Najib menyifatkan artikel tulisan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakub itu, yang mempersoalkan sama ada Riza mendapat manfaat daripada 1MDB, satu "fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang tidak lebih daripada sekadar pembohongan".

Rafizi berkata, memandangkan masih tiada tindakan undang-undang dikenakan Najib terhadapnya yang mengkritik keborosan kerajaan sehingga katanya memaksa pentadbirannya memotong subsidi, ia bermakna kenyataannya itu adalah betul.

Naib presiden PKR itu berkata, beliau pernah menerima surat undang-undang dari peguam Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada 4 Disember tahun lepas berhubung satu ceramah dibuatnya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Ceramah saya itu mengkritik keputusan menghapuskan subsidi minyak dalam keadaan perbelanjaan kerajaan terus boros dan skandal 1MDB yang menelan dana rakyat.

"Saya menjawab surat undang-undang itu pada 9 Disember, 2014 dengan menegaskan isu subsidi dan keborosan perbelanjaan negara adalah isu berkepentingan awam," katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini, Setiausaha Agung PKR itu berkata, beliau masih belum mendapat maklumbalas dari Najib berhubung perkara itu.

"Saya agak kecewa kerana sebelum itu teruja agar peguam saya boleh menyoal balas Najib dan Rosmah di kandang saksi," katanya. –TMI

ULASAN GB

Akhbar Utusan Malaysia semenjak dua menjak ini memberikan liputan yang meluas kepada PAS - terutama kepada golongan pro-Ulama. Multaqa Ulama yang baru lalu misalnya diberikan liputan yang cukup hebat. Tokoh-tokoh pro-ulama turut mendapat "sanjungan dan pembelaan" sementara golongan profesyenal dihentam oleh media massa UMNO berkenaan.


Tiba-tiba semalam Utusan mengeluarkan laporan bahawa Najib bakal menyaman portal Harakahdaily, sebuah organ PAS kerana didakwa memfitnahnya dan anak tirinya Riza Aziz dalam isu 1MDB.

Apa agenda sebenar UMNO disebalik semuanya itu?

Di satu masa memuji melambung kumpulan pro-ulama sementara di satu masa yang lain mengeluarkan kenyataan Najib mahu saman harakahdaily?

Ia tidak lain tidak tidak bukan untuk "memaksa dan menekan PAS" untuk bekerjasama dengan UMNO. UMNO kini sedang tenat sehingga keluar kenyataan dari tokoh-tokoh tertentu menyatakan UMNO dan PAS perlu bersatu untuk "masadepan Melayu".


Tidaklah mungkin di saat dan ketika UMNO mengajak untuk PAS bersatu, tiba-tiba Najib hendak menyaman Harakdahdaily kecuali ada maksud yang tersirar dari yang tersurat.

Yang nyata UMNO sangat memerlukan PAS untuk terus berkuasa. Harakahdaily ditekan supaya beri kerjasama usaha "kerajaan perpaduan" yang sedang diusahakan, tidak menjadi media yang mempromosi dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Satu grand design dalam usaha mewujudkan Kerajaan Perpaduan dan mengenepikan golongan profesyenal yang kuat hendak perkukuhkan Pakatan Rakyat didedahkan oleh Mujahid Yusof Rawa:



'Tangan tersembunyi mahu guling progresif dalam PAS'

Kempen bagi pemilihan barisan kepimpinan PAS Jun ini mungkin dilihat persaingan antara golongan konservatif dan pro-reformis dalam parti itu, tetapi seorang pemimpin tertingginya kini mendakwa ia turut membabitkan "kuasa ketiga".

Perwakilan PAS berhimpun setiap dua tahun untuk mengundi memilih barisan kepimpinan baru, dan kempen untuk jawatan biasanya mulai hangat enam bulan lebih awal daripada tarikh muktamar berlangsung.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Mujahid Yusof Rawa mendakwa kempen yang panas menjelang muktamar itu nampaknya didorong oleh apa yang disifatkannya sebagai "struktur yang lebih besar".

Beliau tidak menolak terdapat “tangan tersembunyi” musuh politik PAS, iaitu Umno, di sebalik kempen untuk mencemarkan pemimpin yang dipanggil progresif dalam PAS seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan ahli jawatankuasa pusat, Dr Hatta Ramli.

Mujahid mendakwa kempen tersebut menjadi tidak bersih kerana ia bukan lagi di antara golongan ulama dan progresif dalam PAS.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui di majlis sambutan Tahun Baru Cina oleh biro perpaduan nasional PAS Pulau Pinang di Bayan Lepas malam tadi.
-mk