10 Jul 2015

Parti Baharu Atau Ambil Alih Parti Sedia Ada, Tunggu Hari Raya...

Jenamakan semula parti sedia ada jika gagal daftar parti baharu, kata Mujahid

Sekumpulan pemimpin progresif PAS sedang mengkaji kemungkinan membuat "penjenamaan semula" sebuah parti politik sedia ada, jika parti baharu yang akan ditubuhkan berdepan masalah pendaftaran dengan Pendaftar Petubuhan (RoS), kata bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata pendekatan sebenar adalah menubuhkan parti baharu tetapi jika RoS membuat keputusan untuk mengetatkan prosedur pendaftaran, kumpulan itu akan mencari jalan lain bagi mewujudkannya.

"Kita boleh mempertimbangkan untuk mengambil alih parti sedia ada, menghantar permohonan kepada RoS untuk menukar namanya, logo dan misi.

"Tetapi kita tidak menghadapi masalah (untuk mempunyai parti baharu berdaftar)," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Parit Buntar, hari ini.

Langkah itu akan mencerminkan apa yang PKR lakukan apabila presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempunyai masalah mendaftarkan Pergerakan Keadilan Sosial sebagai sebuah parti politik lewat 1990-an selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Pergerakan Reformasi mengambil alih sebuah parti kecil yang dikenali sebagai Ikatan Masyarakat Islam Malaysia dan dilancarkan sebagai PKR pada April 1999, tepat pada masanya untuk pilihan raya umum tahun itu.

Mujahid bersama sekumpulan pemimpin progresif PAS yang digulingkan daripada jawatan mereka dalam parti Islam itu, yang kini dikuasai puak ulama konservatif, sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti sebagai alternatif kepada PAS dan membina pakatan pembangkang baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang sudah runtuh.

Ketika ditanya mengapa mereka mahu berdepan masalah menubuhkan parti baharu berbanding menyertai DAP atau PKR, Mujahid berkata terdapat keperluan untuk melihat tujuan yang lebih besar dan bukan survival peribadi mereka dalam kancah politik.

"Ini bukan soal menyertai parti lain untuk kelangsungan politik tetapi untuk membawa politik baharu kepada negara ini. Kita mesti mempunyai jiwa yang lebih besar untuk membuka jalan ke arah agenda baharu.

"Kami melihat kepentingan ini biasa di parti yang lain. PR mungkin mati tetapi kita perlu mengekalkan semangat dan kesepakatan itu,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata parti baharu berkenaan belum ada nama kerana mereka masih mengumpul sokongan dan menggerakkan kekuatan badan bukan kerajaan yang berkongsi wawasan pemimpin progresif, tetapi ia bersahaja yang dirujuk sebagai "harapan baharu" atau "xin xi wang" dalam bahasa Mandarin.

"Kita mungkin tidak dapat menggelar diri kita sebagai Parti Islam Progresif kerana sudah ada sebuah parti Islam. Nama itu boleh menyebabkan kekeliruan. Kami mungkin menggunakan nama yang akan mencerminkan perjuangan dan prinsip kami seperti inklusif, progresif dan keadilan.

"Kami juga tidak mahu dikenali sebagai G18. Ia seperti panggilan nama kumpulan gengster terkenal di Pulau Pinang. Semasa saya kanak-kanak, G18 adalah kumpulan gengster yang menakutkan," katanya, merujuk kepada nama tidak rasmi yang diberikan kepadanya dan 17 pemimpin progresif PAS yang tewas pada pemilihan parti itu bulan lepas.

Mujahid berkata, "harapan baharu" pergerakan itu kini sudah berkembang lebih besar daripada hanya 18 kepada mereka yang datang daripada kumpulan serpihan PAS, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), yang ditubuhkan tahun lepas.

Beliau berkata bersama mereka adalah NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia dan Pertubuhan Ikram Malaysia, institusi dan ahli masyarakat sivil yang berkongsi visi dan aspirasi mereka.


"Kami berada di seluruh tempat. PasMa bermula lebih awal tetapi kami mahu masuk dan melawan terlebih dulu (dalam pemilihan parti), sekurang-kurangnya sehingga kami pasti proses yang sistematik untuk menghapuskan progresif. Ia seolah-olah PAS tidak memerlukan lagi ahli progresif," katanya.

Ia juga secara terbuka difahamkan ahli progresif akan menjelajah seluruh Malaysia bagi mengajak individu terkenal seperti bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah serta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sama ada mereka mengajak mana-mana tokoh penting, Mujahid berkata mereka akan menjelajah ke seluruh negara untuk berjumpa dengan orang yang berkongsi cita-cita dan aspirasi bagi mendapatkan pandangan mereka.

"Meminta seseorang seperti Dr Mahathir menyertai kami? Kami terlalu kecil," katanya sambil menambah mesyuarat awal minggu ini antara pemimpin progresif PAS Mazlan Aliman dan Dr Mahathir secara khusus mengenai isu Felda.

Sejauh mana harapan baharu yang diambil mereka, Mujahid berkata pergerakan itu menuju ke depan dan mungkin hasil usaha mereka akan dapat dilihat selepas sambutan Aidilfitri.

"Pada masa ini, bulan Ramadan kita bertemu ramai orang secara persendirian. Kami bergerak di semua negeri supaya parti itu apabila ia dibentuk kelak akan hadir di peringkat negeri juga. Kita tidak mahu menjadi sebagai sebuah parti yang 'syok sendiri'.

"Selepas Aidilfitri, kami akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bermula dari Perlis pada 19 Julai. Kami akan berada di Perak pada 26 Julai. Kami akan memberitahu media mengenai program kami sejurus rancangan dimuktamadkan," katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Nibong Tebal Teoh Seang Hooi berkata DAP sentiasa menghargai kepimpinan prinsip dan usaha Mujahid bagi merapatkan kaum dan agama yang berbeza dengan dialog dengan gereja.

Beliau berkata apa yang Mujahid lakukan untuk menggalakkan keharmonian dan perpaduan antara agama adalah teladan, bukan saja di rumah tetapi di luar negara, dan prinsip beliau adalah sama dengan impian DAP untuk menjadikan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia. –TMI

ULASAN GB

Kita sedia maklum bahawa RoS akan cuba untuk melengah-lengah pendaftaran parti-parti baharu dari kalangan yang tidak mesra-BN.

Malah "Pakatan Rakyat" sendiri sehingga sekarang tidak lagi diluluskan pendaftarannya oleh RoS.

Jadi mengambil alih parti yang sedia ada, menghantar permohonan kepada RoS untuk menukar namanya, logo dan misi itu adalah alternatif jika parti baharu yang betul-betul baharu tidak diterima oleh RoS.

Jika itupun ada banyak ranjaunya, maka tiada pilihan kecuali gerakkan Jawatankuasa Undang-undang di bawah Hanipa dan Asmuni untuk mengheret RoS ke mahkamah.

Kita memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan pendaftaran parti baharu, parti alternatif kepada PAS yang telah membuang kumpulan professional di dalam muktamarnya yang lepas.



Saifuddin Dedahkan Haji Hadi Aib dan Hinakan Anwar Depan-depan

Bekas setiausaha agung PKR dedah Anwar dihina ketika krisis Selangor

Bekas setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikasari individu dipercayai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mahu membincangkan kemelut menteri besar Selangor tahun lalu.

Walaupun tidak menyatakan identiti Hadi secara langsung, Saifuddin mengimbas peristiwa ketika dirinya menemani ketua umum PKR berjumpa dengan individu terbabit untuk mengadakan perbincangan.

"Masih ingat saat aku menemani Datuk Seri Anwar berjumpa dengannya. Bagaimana Datuk Seri Anwar diaibkan dengan bahasa yang cukup kasar," katanya dalam status Facebook hari ini.‎

Perbincangan itu dipercayai merujuk kepada ‎pertemuan singkat Anwar dengan Hadi di Terengganu untuk menukar jawatan menteri besar Selangor yang ketika itu disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Saifuddin berkata, pertemuan itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil kerana individu itu beredar kerana kurang sihat implikasi pengambilan ubat.

"Perbincangan terhenti. Dia kemudian beredar. Dua temannya yang juga turut hadir kemudian meminta maaf. Dia baru makan ubat kata mereka.

"Aku dan Datuk Seri Anwar kemudian meminta diri. Indahnya akhlak," katanya sinis.

Bekas ahli Parlimen Machang itu berkata, dirinya menyaksikan sendiri Anwar dihina dan menganggap individu itu "bukan malaikat" yang perlu dipertahankan.

Beliau turut menggambarkan individu tersebut semasa pertemuan itu‎ sebagai "amat kasar" dan Anwar pula bersikap "amat lemah lembut".

"Yang hadir di situ saya. Yang tengok dan dengar sendiri kata penghinaan itu saya.

"Yang dok cerita lebih-lebih kata dia lebih tahu pula sebenarnya tak ada di situ pun. Tapi pertahan gila-gila... 'dia bukan malaikat'," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Anwar dan Hadi mengadakan pertemuan sulit di sebuah hotel di Kuala Ibai, dekat Kuala Terengganu, namun beberapa sumber dalaman parti mendakwa perbincangan itu gagal mencapai kata penyelesaian.

Anwar dilaporkan enggan mengulas lanjut hasil pertemuannya dengan Hadi dan menganggap ia hanya pertemuan biasa.

"Perjumpaan biasa... kita baru dalam proses perbincangan... bincang banyak isu... hasilnya macam biasa," kata Anwar dipetik Astro Awani ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, 12 Ogos lalu. – TMI

ULASAN GB

Demikianlah keangkuhan seorang Presiden sebuah parti Islam.

DSAI datang dengan cara baik, tetapi disambut dengan herdikan melampau.

Rupa-rupanya selain membenci DAP, Presiden PAS itu sudah lama juga membenci DSAI, Ketua Umum PKR.

Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. Ia akan menghukum orang yang menghina orang lain dengan kadar yang serupa atau dengan cara lebih dasyat sebagai pengajaran untuknya.

GB pernah mengulas sebelum ini.. petikan:

Di dalam ilmu jiwa (psikologi dan psikatri) orang yang menuturkan perkataan-perkataan jelek seperti di atas sebenarnya orang yang mengalami mental disorder atau sakit jiwa. Di dalam ilmu hakikat pula, orang yang suka menuturkan kata-kata sedemikian adalah disebabkan oleh kewujudan "penyakit" di dalam hatinya. Diantara penyakit hati termasuklah angkuh, sombong, riak, takabbur dan seumpamanya.

Penyakit di hati akan menyebabkan akhirnya akan berlaku penyakit fizikal. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Maka tidak hairan angkara kalbu kotor, maka ramai yang terlantar di hospital, menderita pelbagai penyakit fizikal. Kerana semua penyakit di zahir itu bermula penyakit di batin. Apakah Tuan Presiden tidak menyedari hal ini?