25 Jun 2013

Pakatan Terima Keputusan PRU-13, Tolak Penyelewengan Pengendalian PRU

Walaupun Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada 5 Mei lalu, gagasan itu tetap membantah penyelewengan dan kepincangan yang didakwa berlaku di dalam sistem pilihan raya.

Malah bukan sahaja Pakatan yang memfailkan petisyen mahkamah terhadap keputusan pilhanraya, Umno-BN juga telah memfailkan petisyen terhadap keputusan di dalam 21 kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata, Pakatan sentiasa menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, namun ia tidak bermakna gabungan itu perlu berdiam diri dan akur sepenuhnya terhadap pengendalian sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menegaskan, tindakan memfailkan petisyen yang dilakukan Pakatan pada awal Jun lalu bagi memastikan sistem pilihan raya tidak akan terjejas di masa akan datang.

“Menerima keputusan PRU tidak bermakna kita mengabaikan dan menutup sepenuhnya bab pilihan raya ini tetapi pendedahan mengenai penyelewengan sistem PRU harus diteruskan.

“Ini bukan sahaja mengenai PRU yang lalu, tetapi mengenai integriti sistem pilihan raya di masa akan datang.

Kami akan bekerja keras untuk memastikan penyelewengan dan ketirisan tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena upcara perasmian Persidangan Dewan Rakyat Penggal ke-13, di sini hari ini.

Di dalam titahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menerima keputusan PRU-13.

Sentimen tersebut turut diakui MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang menjelaskan Pakatan menghormati keputusan pilihan raya yang lalu, namun menegaskan undang-undang membenarkan pihak yang bertanding untuk mengemukakan bantahan.

Katanya, akur terhadap keputusan PRU tidak semestinya menghalang Pakatan untuk membuat teguran terhadap kepincangan sistem pilihan raya yang berlaku.

“Undang-undang memberi ruang kepada kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya yang tidak sempurna.

“Teguran yang kita berikan itu walaupun kedengaran lantang, tetapi ia adalah untuk kebaikan negara. Teguran yang bertujuan membina itu seringkali diabaikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pakatan telah memfailkan 34 petisyen di mana membabitkan 24 kerusi Parlimen PRU-13 sementara 10 lagi petisyen adalah merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan jumlah petisyen kerusi Parlimen itu, 19 daripadanya adalah daripada PKR dan baki masing-masing empat bagi PAS dan dua bagi DAP.

Umno-BN pula memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen. -selangorku

18 Anggota Polis Iringi Husam Musa Dari KL Ke Kota Bahru

Seramai 18 anggota dengan lima kereta polis mengiringi Datuk Husam Musa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu malam 22 Jun lalu.

Naib Presiden PAS itu berkata, beliau “dilayan” seperti pembesar pula dengan diiringi begitu ramai anggota polis.

Namun katanya, apa yang lebih pelik apabila polis terbabit melalui jalan yang jauh dengan berpusing ke beberapa jajahan sebelum sampai di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu jam 1.30 pagi.

“Polis buat habis minyak kereta sahaja dengan berpusing-pusing ke merata tempat sebelum sampai di IPD di Pengkalan Chepa,” katanya pada ceramah Free Husam di Pasir Tumbuh malam tadi.

Program tersebut dianjurkan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), diketuai Nazri Deraman.

Hadir sama anggota Exco, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Adun Pasir Tumbuh, Abdul Rahman Yunus, Adun Tawang, Hassan Mohammad dan aktivis R.

Husam ditahan di Pandan ketika berada di sebuah kedai makan sebelum dibawa ke IPD Ampang. Kemudian pada jam 6 petang dibawa pula ke Kota Bharu dengan kereta.

Beliau ditahan dipercayai ada kaitan dengan ucapannya mengajak orang ramai hadir pada program Blackout di Padang Merbok petang 22 Jun lalu.

Husam juga meluahkan rasa hairan mengapa polis tidak memberitahunya lebih awal untuk datang memberi keterangan di IPD Kota Bharu, sehingga terpaksa pula ditahan di Kuala Lumpur.

Katanya, laporan polis terhadapnya dibuat pada 21 Jun, sedangkan ceramah Blackout 505 diadakan di Ketereh pada malam 12 Jun lalu.

“Lagi pun semasa datang ke Kuala Lumpur pada 21 Jun lalu saya juga bertemu dengan seorang pegawai kanan polis dalam satu penerbangan, tetapi tidak pula diberitahu ada tangkapan hendak dibuat.

“Kalau ada apa-apa masalah polis boleh panggil dan tak payahlah hendak datang tangkap di tempat lain,” ujarnya. -HD


Ribuan sertai majlis Free Husam, Exco dakwa Umno terlibat


Dengan didengari oleh ribuan orang yang memenuhi sebuah dewan di sebuah sekolah, Umno didakwa terlibat dalam insiden penangkapan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Ketua Penerangan PAS Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan mendakwa insiden penahanan Husam merupakan antara permulaan perancangan Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum keempat belas (PRU-14).

Bagi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tidak sepatutnya ditahan.

“Dengan tuduhan yang dibuat ke atas Datuk Husam itu, dia tak sepatutnya ditahan.

Cukuplah dia dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.

Ketua Penerangan PAS Kelantan itu bercakap pada majlis ceramah perdana sempena pembebasan Husam di Dewan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Ma’rif, Pasir Tumboh malam tadi.

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri.

Hadir sama Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran Mohamed Zaki Ibrahim, Adun Tawang yang juga Pemangku Dewan Ulama PAS Kelantan Hassan Mahmood, Adun Gual Periuk Mohamad Awang.

Ketua Lajnah Guaman PAS Kelantan Hisyam Fauzi, mantan Setiausaha Politik MB Kelantan Annual Bakri Haron dan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) Nazeri Deraman turut hadir.

Husam yang ditahan dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sejak 23 Jun dan dibebaskan kira-kira 5.

00 petang 24 Jun semalam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta jaminan polis, dalam tempoh sebulan.

“Sekarang ini setiap pergerakan yang dibuat (badan-badan kerajaan), mesti ada perancangan Umno-BN, tambahan pula dia (Umno-BN) sedar bahawa (prestasinya) pada PRU-14 nanti dia amat teruk.

"Jadi mereka akan buat perancangan daripada awal lagi supaya tidak berlaku sebagaimana pilihan raya baru-baru ini, dia rasa nak mati sangat-sangat.

Jadi ini adalah perancangan dia, ini baru permulaan.

“Jadi ini sangat-sangat merisaukan kita," kata Fadhli.
-HD

Tutup Jonker Street, Bukti UMNO BN Melaka Dendam Kesumat Terhadap PR

Penutupan pasar Jonker Street yang menjadi tumpuan pelancong di Melaka lebih sedekad lalu membuktikan dendam kesumat UMNO-BN terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mampu dibendung lagi.

Demikian ulas Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang menyifatkan penutupan pasar malam itu sebagai manifestasi politik balas dendam terang-terangan yang amat mengejutkan.

“Tindakan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron ini boleh dilihat sebagai tindakan balas dendam kepada komuniti bukan Melayu.

“Ia ibarat memotong hidung pada wajah seseorang,” katanya dalam satu siaran media.

Sambil melahirkan rasa kecewa, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu tidak menolak tindakan tidak cerdik dengan mengajar pengundi Cina melalui cara ini adalah disebabkan komuniti itu tidak lagi memihak kepada BN dalam PRU13 lalu.

“Hanya semata-mata Idris Haron mahu balas dendam dan merosakkan komuniti Cina, beliau telah mengorbankan kepentingan warga Melaka dan ekonomi negeri itu,” ulas Pua.

Beliau berkata, apa yang diperlihatkan BN ini adalah wajah hipokrit sebuah parti yang kononnya mengamalkan “1Malaysia” seperti yang menjadi slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

“Tetapi kita telah diperlihatkan wajah 1UMNO yang mementingkan kroni dan puak-puak mereka sahaja,” ujar beliau.

Sebelum ini, Kwong Wah Daily melaporkan bahawa Idris Haron dipetik sebagai berkata “kini kita lihat ramai penduduk Melaka memberi sokongan padu kepada DAP berbanding calon MCA yang telah berkhidmat kepada mereka. Jadi, kita telah buat keputusan untuk tutup pasar malam itu dan berharap agar mereka gembira.”

Akhbar itu juga memetik Idris sebagai berkata keputusan penutupan pasar malam oleh Majlis Eksekutif Melaka itu pada 12 Jun lalu adalah kerana “mengikut kehendak orang ramai.”

“Persoalannya kini, adakah pasar di Petaling Street juga akan menjadi mangsa politik jahiliah UMNO akibat kecewa dalam PRU13 yang lalu?” Soal Pua.

“Dalam pada kerajaaan PR membantu dan berkhimat kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama mahu pun fahaman politik, kita telah menyaksikan kegelojohan BN memangsakan hidup dan periuk nasi rakyatnya.

“UMNO telah tunjukkan taring perkaumannya dan kita seluruh rakyat perlu menghentikan penularan wabak ini,” kata Pua.

Sehingga kini, Perdana Menteri , Najib Razak masih belum memberikan komen beliau berhubung penutupan pasar malam Jonker Street.

Ia sekaligus menunjukkan bahawa janjinya untuk berpegang pada prinsip 1Malaysia adalah sia-sia dan palsu belaka. – Roketkini

Apabila Nasib Majoriti Ditentukan Minoriti!


Kes jenayah menjadi "tema" akhbar bahasa Cina baru-baru ini. Wanita dirogol ketika membeli kek dalam sebuah kedai di Kepong, pelanggan disimbah air najis ketika menjamu selera di gerai makanan, restoran dirompak, kes ragut berlaku di mana-mana... Kini, "Namakan tempat yang selamat di Malaysia" menjadi soalan cepumas yang paling mencabar.

Kereta dipecah cerminnya, rumah dipecah pintunya. Malah seorang rakan saya yang merancang untuk pulang ke Malaysia selepas beberapa tahun mencari rezeki di luar negeri secara berseloroh bertanya, "Senjata mana yang lebih baik untuk saya setelah balik ke Malaysia, parang atau kapak?"

Jawapan rakannya di laman sosial Facebook mencuit hati. "Kalau tidak membawa apa-apa, paling dahsyat kamu ditetak, tidaklah sampai mati. Tapi seandainya kamu membawa parang/kapak ketika berjalan-jalan, dan jika ditemui polis dan kemudian ditahan dalam lokap, matilah kau."

Apa yang tersirat di sebalik sindiran ini adalah ketidakpuasan rakyat terhadap polis yang menzalimi suspek sebelum tahanan lokap dibuktikan bersalah, di samping ketidakcekapan polis untuk mengurangkan kes penjenayahan yang semakin hari semakin melonjak. Lebih-lebih lagi, tangkapan dan tahanan politik mengeruhkan keadaan. Ketika perhimpunan diadakan di luar Lokap Berpusat Jinjang sebagai tanda solidariti kepada Adam Adli, polis cuba menyuraikan perhimpunan dengan memulakan penangkapan. Lantas seorang aunty Cina yang berada di situ mengejek, "Alangkah baiknya kalau kehebatan sedemikian digunakan untuk menangkap penjenayah!"

Isu keselamatan semakin meresahkan masyarakat Malaysia, khususnya golongan bandar. Ia bukan sekadar menyasarkan kaum Tionghua, kerana sahabat Melayu saya turut merasai "bahaya" apabila berjalan di lapangan letak kereta, di pusat beli belah dan sebagainya. Kegelisahan ini dikongsi bersama oleh penduduk bandar.

Tiba-tiba ia mencungkil ingatan saya terhadap pengalaman sepanjang tempoh kempen PRU 13. Kami sekumpulan dari bandar cuba menembusi kampung, termasuk kawasan ladang dan FELDA untuk berkempen. Kami menceritakan betapa bimbangnya diri kami terhadap isu keselamatan, dengan peningkatan kes penjenayahan yang berlaku di sekitar kami. Hampir semua daripada kami mempunyai pengalaman dirompak atau diragut, setidak-tidaknya kawan dan saudara kita pernah menjadi mangsa. Namun demikian, kami perhatikan bahawa penduduk kampung itu seolah-olah tidak tersentuh dengan isu yang cuba kami bawa.

Pengalaman ini memanjangkan renungan saya. Saban hari golongan penduduk bandar terhimpit dan terdesak dengan tekanan hidup, dengan kadar inflasi yang melonjak, sewa rumah, kos pengangkutan, hutang yang membebankan dan sebagainya. Tetapi agak jelas masalah ini tidak menimpa golongan penduduk FELDA dan kawasan kampung di pedalaman. Mereka memiliki tanah dan ladang sendiri. Mereka mudah ke mana-mana dengan pengangkutan sendiri. Pendek kata, "Hidup mereka okay saja! Tiada masalah!"

Maka saya tersenyum sinis dalam hati. Alangkah pandainya BN. Mereka hanya perlu mengekalkan bilangan yang tertentu untuk kawasan parlimen sebegini, dan menjaga kepentingan pengundi kawasan ini sebaik-baiknya. Kemudian, ditambah dengan 25% kerusi parlimen yang dipertandingkan di Sabah dan Sarawak, maka dengan senang BN dapat mempertahankan kuasa kerajaan persekutuan.

Hakikatnya, 65% kerusi parlimen Malaysia berada di kawasan kampung, meskipun 70% populasi Malaysia kini berada di bandar. Malah, menurut Andrew Khoo dari Majlis Peguam, BN menawan 112 dari 130 kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan parlimen yang kecil dalam PRU13. BN memenangi kira-kira 2.21 juta undi popular di 112 kawasan parlimen ini. Dengan kata lain, BN hanya memerlukan 19.97% undi popular untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah.

Persempadanan kawasan yang tidak adil ini sudah diketahui umum. Barang siapa yang menafikan hakikat bahawa "PRU Malaysia tidak adil" harus digoncang otaknya sekuat mungkin. Usahlah untuk saya panaskan isu yang sudah basi. Tetapi saya ingin mengingatkan bahawa selangkah demi selangkah kita menghampiri kemelut apabila jurang dalam masyarakat ini semakin melebar.

Hari ini majoriti 51% pengundi Malaysia gagal menentukan nasib negara dan dirinya melalui sistem pilihan raya yang sedia ada. Nasib populasi bandar ditentukan warga kampung yang tidak berkongsi masalah harian dan masalah hidup penduduk bandar. Untuk golongan bandar, inflasi kekal melambung, penjenayahan tetap berleluasa, hutang terus melambak selagi BN menerajui tampuk kuasa. Tapi komuniti kampung tidak terpanggil untuk berubah kerana segala-galanya "okay" untuk mereka.

Lebih-lebih lagi, pengundi kampung tidak berkongsi nilai yang sama sebagaimana yang dipegang pengundi bandar. Penduduk bandar jemu dengan hujah perkauman, sebaliknya memandang berat isu hak asasi dan kebebasan. Sementara itu, sentimen perkauman kekal mujarab di kalangan sesetengah penduduk kampung, dan mereka semacam langsung tidak peka dan tidak berminat dengan isu hak asasi dan kebebasan.

Akhirnya, pertentangan antara penduduk kampung dengan penduduk bandar semakin meruncing. Kerajaan akan menggubal dasar untuk menjaga kepentingan minoriti di kampung - kubu yang mempertahankan kuasanya. Sementara itu, majoriti warga di bandar menyalahkan pilihan pengundi kampung, yang menyebabkan warga bandar terus tersepit dalam kesusahan hidup, malah sering terancam dengan penjenayahan yang tidak terkawal. Maklumlah, apabila undi kita boleh dirompak dengan sistem yang tidak adil, maka kita tidak akan selamat di mana-mana. -Lim Hong Siang

[VIDEO] Khalid Samad Tenteramkan Peserta Blackout505

Khalid Samad Tenteramkan Peserta BLACKOUT505 | Terbaik Daripada Khalid Samad | Walaupun berlaku sedikit kekecohan di hadapan Parlimen petang semalam, namun, YB Khalid Samad dapat meredhakan kemarahan perserta yang telah diprovokasikan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Walau apa pun aku memang respect dengan YB Khalid Samad ni. Inilah orang panggil Cool.

Antara petikan ucapan beliau. "Kita lawan di Parlimen, di luar kita lawan, kita lawan at all level, tetapi jangan kita serah pada dia apa yang dah kita menang... -tintaasyraf


Pakatan komited bawa isu pecat SPR


Ahli parlimen Pakatan Rakyat memberikan komitmen untuk membawa isu dibangkitkan aktivis Suara Rakyat 505 bagi mendesak pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut berjanji membantu membebaskan kesemua aktivis yang ditahan polis dalam himpunan di hadapan bangunan parlimen pagi ini.

“Kita turut bersama dengan mereka yang ditahan. Kami akan bantu dan peguam akan ke sana (Lokap Jinjang), Ini merupakan tuntutan bahawa rakyat yang sepatutnya memilih.

“Saya berterima kasih kepada aktivis yang hadir menyatakan bantahan agar pimpinan SPR letak jawatan,” katanya kepada pemberita ketika menerima memorandum yang diserahkan wakil 60 NGO Suara Rakyat 505.

Bantu bebaskan tahanan

Beliau berjanji akan mendapakan barisan peguam Pakatan Rakyat untuk membela anak-anak muda yang kini di bawa ke balai polis di Jinjang dan Dang Wangi.

“Kita akan minta kepada pihak polis untuk tidak mengapa-apakan mereka,” kata Khalid.

32 aktivis yang ditahan dalam himpunan depan bangunan Parlimen hari ini dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang selepas diambil keterangan di IPD Dang Wangi.
-KD



Nazri Kantoi Tunjuk Isyarat Lucah Kepada Jurugambar Di Parlimen!


Apakah ini contoh terbaik yang ditunjukkan oleh seorang yang bergelar menteri kanan dalam kabinet Najib Razak?

Menunjukkan isyarat tidak senonoh kepada jurugambar yang merakamkan gambarnya di parrlimen hari ini sempena persidangan angkat sumpah ahli-ahli parlimen dan melantik Speaker Dewan Rakyat yang baru.

Dia memegang jawatan Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Sudah pasti isyarat ini bukan molek dan indah untuk tarik pelancung ke negara kita serta jauh sekali bukannya budaya kita.

Betapa sombong, bongkak dan angkuhnya pemimpin UMNO ini.

Tidak tahu nak kata apa lagi... speechless. -omakkau

Ulasan GB

Bagi orang-orang UMNO, video lucah, gambar lucah dan isyarat lucah macam sudah menjadi budaya bagi mereka sehingga kita tertanya-tanya agama apakah orang-orang UMNO ini?

Jika Islam apakah itu akhlak yang diajar oleh Rasulullah saw dan bagaimana tergamaknya mereka memalukan Islam dan umat Islam dengan perbuatan-perbuatan sedemikian di depan mereka yang bukan Islam?